Saturday, January 14, 2023

Uniform British Airways bertudung. & Perak X Islam kosmetik?

 

Uniform baharu British Airways benar kru kabin bertudung. - Foto Twitter Pamannairbitch

1. Uniform baharu British Airways benar kru kabin bertudung

LONDON: British Airways buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun mula memperkenalkan pakaian seragam baharu dengan menyertakan pilihan tunik dan tudung untuk kru kabin wanita sebagai pilihan pertama atau 'airlines first'.

Dalam pengenalan pakaian seragam baharu itu, kru lelaki mempunyai pilihan memakai sut (three-piece suit) manakala wanita boleh memakai gaun, skirt atau seluar bukan sekadar jumpsuit.

Rombakan pakaian seragam syarikat penerbangan itu adalah hasil projek selama lima tahun oleh pereka fesyen Britain, Ozwald Boateng dan sebelum ini ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.

Justeru, setiap anggota 30,000 kakitangan barisan hadapan syarikat penerbangan itu akan dilihat dengan pakaian seragam baharu, yang bermula dengan jurutera dan pengendali darat, menjelang musim panas.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif British Airways, Sean Doyle, berkata pakaian seragam mereka adalah representasi ikonik jenama penerbangan itu, yang akan membawa ke masa depan.

"Ia mewakili yang terbaik dari zaman moden Britain dan membantu kami menyampaikan perkhidmatan asli British yang hebat untuk pelanggan kami," katanya.

Beliau berkata, sejak awal penghasilan pakaian seragam itu adalah mengenai jati diri negara.

"Kami mahu mencipta koleksi seragam yang boleh bangga dipakai oleh orang kita dan dengan bantuan lebih 1,500 rakan sekerja, kami yakin bahawa kami sudah menyampaikannya," katanya.

"Apabila menyarung uniform baharu ini, pekerja syarikat penerbangan ini juga akan mengitar semula atau menderma pakaian lama mereka, yang diperbuat daripada kira-kira 90 peratus campuran fabrik poliester kitar semula.

"Lebih 1,500 rakan sekerja di seluruh syarikat penerbangan mengambil bahagian dalam 50 bengkel untuk membantu memastikan kesesuaian pakaian, daripada bengkel reka bentuk kepada maklum balas prototaip dan percubaan pakaian, dan membantu mencipta koleksi ikonik yang akan bertahan dalam mengikut masa," katanya.

Boateng yang mereka cipta pakaian itu dikatakan sangat berhati-hati dalam mencipta koleksi unik berkenaan dan mendapat inspirasi daripada syarikat penerbangan dan kakitangannya sendiri.

Corak gelombang udara yang ada pada jaket, kemeja-T, butang, dan tali leher diilhamkan oleh pergerakan udara di atas sayap pesawat.

Semua pakaian disesuaikan dengan menampilkan fabrik jenis jacquard serta menepati ikon 'speedmarque' ikonik syarikat penerbangan itu. - AGENSI

Uniform baharu British Airways benar kru kabin bertudung. - Foto Twitter Pamannairbitch



2. Tidak tertipu dengan Islam kosmetik penuh kepalsuan 

MUKADIMAH ucapan saya, sekalung tahniah saya ucapkan kepada PAS Perak yang beroleh kemenangan besar dalam PRU15 baru-baru ini.

PAS Perak menang empat daripada lima kerusi Parlimen yang diberikan mewakili PN dan juga menang 17 kerusi daripada 20 kerusi DUN yang ditandingi.

Insya-Allah berkat kesabaran dan istiqamah kita dengan perjuangan Islam ini pasti kelak kita akan dianugerahkan kemenangan oleh Allah S.W.T.

Jangan bimbang, Allah S.W.T bersama dengan kita yang memperjuangkan agamaNya. 

Allah S.W.T tidak boleh ditipu walau sejauh mana pun Islam kosmetik yang mereka taja dan walau sejauhmana pun serangan fikiran yang mereka tujukan kepada PAS. 

Lambat laun kepalsuan mereka akan terkuak seperti yang sudah mula dilihat. 

Apa yang penting kita tidak terjebak ke dalam gelanggang permainan yang sedang mereka atur. 

Jangan sekali-kali. 

Gelanggang mereka adalah fitnah dan adu domba. 

Gelanggang kita adalah ilmu dan integriti serta politik yang benar-benar bersih berteraskan Syariat Islam melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Bergeraklah di dalam keberkatan Allah S.W.T. 

YB USTAZ MOHD YUSNI MAT PIAH
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/1/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Uniform British Airways bertudung. & Perak X Islam kosmetik?

Semuanya, al-hamdulillah! Islam akan terus bersinar menerangi kegelapan.

Paling dahsyat di laut, kemanusiaan Rohingya & politik ayam, babi..

 

Gambar fail menunjukkan kumpulan pelarian Rohingya di pusat perlindungan sementara disediakan kerajaan tempatan Aceh di Pidie, Aceh, Indonesia, pada 28 Disember lalu. - Foto EPA

1. Bot dengan 185 pelarian Rohingya mendarat di Aceh, Indonesia

JAKARTA: Sebuah bot dengan 185 pelarian Rohingya dilaporkan mendarat di pantai wilayah Aceh, Indonesia hari ini.

Difahamkan ini adalah kumpulan terbaru menyusuli ratusan yang tiba lewat tahun lalu selepas melarikan diri dari keadaan bersesak di kem pelarian di Bangladesh.

Menurut ketua agensi bencana Aceh Besar, Ridwan Jamil, separuh daripada mereka yang tiba sekitar jam 2.30 petang adalah wanita dan kanak-kanak.

Malah, nelayan di Aceh juga melaporkan melihat tiga bot yang disyaki membawa pelarian Rohingya di perairan berhampiran Pulau Rondo, menurut agensi berita negara, Antara, semalam.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada bot yang mendarat adalah salah satu daripadanya.

Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, 2022 boleh dikatakan antara tahun paling dahsyat di laut dalam hampir sedekad bagi pelarian Rohingya, yang sekian lama dianiaya di Myanmar.

Selama bertahun-tahun, pelarian Rohingya melarikan diri ke negeri jiran seperti Thailand, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia yang majoritinya beragama Islam.

Dilaporkan hampir sejuta Rohingya hidup dalam keadaan sesak di Bangladesh, termasuk ramai daripada ratusan ribu yang melarikan diri daripada tindakan keras di bawah junta tentera Myanmar pada 2017.

Malah, pelbagai pihak menggesa junta tentera Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kumpulan hak asasi manusia mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pelarian yang meninggalkan kem di bangladesh, namun tidak jelas apa yang mendorong tindakan itu.

Ramai percaya penarikan sekatan COVID di seluruh Asia Tenggara mungkin mendorong mereka beramai-ramai mencuba nasih selepas hampir tiga tahun di bawah kekangan ancaman coronavirus. - REUTERS

BERITA BERKAITAN


2. Simbolik: Politik ayam dan babi 

DI BALIK kesungguhan Anwar Ibrahim memujuk politik orang Melayu-Islam dengan pelarutan diri dengan simbol identiti Melayu-Islam seperti muncul di masjid dan berdampingan ulamak.

Malangnya usaha memujuk ini dikambus oleh menteri dengan mengangkat simbol negatif bagi orang Melayu-Islam yakni babi. 

Begitu juga dalam isu ayam dan telur yang merupakan simbol makanan majoriti rakyat Malaysia dibuat acuh tak acuh. Hingga keluar kata-kata, jika ayam mahal jangan beli ayam. 

Namun, bab babi yang merupakan simbol makanan minoriti rakyat Malaysia dipernampakkan sungguh-sungguh. Rakyat melihat bab babi bersungguh, ayam menangguk air keruh.

Namun, Kita tidak perlu hairan, kerana dalam PRU15 lalu, golongan minoriti telah memberikan 95 peratus sokongan kepada PH. Walaupun dilihat minoriti tapi ianya majoriti di sisi PH.

Manakala orang Melayu-Islam pula hanya berikan 11 peratus kepada PH. Nampak majoriti, tapi orang Melayu-Islam hanyalah minoriti di sisi PH. 

Penilaian majoriti-minoriti antara kita dan PH adalah berbeza.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/1/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Paling dahsyat di laut, kemahnusiaan Rohingya & politik ayam, babi..

Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa, itulah Islam. Tahniah Aceh!

Thursday, January 12, 2023

PRN15: PN-PAS tawan S'ngor? Perpaduan wajib/haram..

 

Wan Hasrina Wan Hassan

1. PRN15: PERIKATAN NASIONAL sasar 30 kerusi DUN Selangor

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyasarkan mampu memenangi tidak kurang daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam  Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang dijangka berlangsung pada awal Mac atau Mei, atau selewat-lewatnya Jun tahun ini. 

Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata demikian  sambil menegaskan sehubungan itu, PN diyakini mampu menubuhkan kerajaan di negeri Selangor. 

“Kalau kita melihat kepada senario PRU15  yang lepas (pada Nov 2022), insya-Allah kita yakin PERIKATAN NASIONAL dapat menguasai DUN Selangor dalam PRN15 kelak,” ujarnya kepada HarakahDaily

PRN15 yang dijangka dijangka berlangsung kurang daripada enam bulan lagi akan membabitkan negeri Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. 

Menjelaskan lebih lanjut Wan Hasrina memberitahu, dalam menghadapi PRN kali ini, pihaknya selaku jentera wanita PAS/PN Selangor sedang giat memperkemaskan lagi jentera PN.

“Selain memantapkan jentera wanita PAS/PN Selangor, kerjasama antara PAS dan Bersatu serta Gerakan turut dilakukan.

“Kita turun ke setiap DUN yang ada di negeri Selangor bagi mendapatkan semaksimum mungkin pengundi-pengundi Umno yang cukup kecewa dengan penggabungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang telah membentuk kerajaan pada hari ini  selepas berlangsungnya PRU15 Pada Nov lalu itu,” jelasnya.

Tambah beliau, gerak kerja jentera wanita PAS/ Perikatan Nasional (PN) juga turut ditumpukan kepada  golongan anak muda.

“Hal ini memandangkan Selangor merupakan salah satu negeri yang mempunyai pengundi termuda yang paling ramai. Jadi, Insya Allah banyak gerak kerja yang PAS/PN sedang giat lakukan pada masa kini. 

“Kita lihat, pengundi-pengundi muda lebih terdorong kepada PN kerana golongan ini yakin dengan kebolehan dan kemampuan jentera PN untuk membentuk kerajaan,” tegasnya lagi.

Menurutnya, justeru, slogan yang sama masih digunakan, iaitu PN BEST yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil. 

“Hal ini dapat dibuktikan  melalui rekod ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), terutama negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS menunjukkan rekod yang cukup cemerlang dan bersih. 

“Insya-Allah gerak kerja ini akan berterusan sehingga berlakunya pilihan PRU15 Selangor kelak,” ujarnya. 

Alternatif kekal menang, tambah pengundi

Dalam pada  itu, bagi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi pula berkata, antara persediaan yang dilakukan oleh jentera PAS/PN Selangor untuk menghadapi PRU15 jentera parti sedang meneliti kawasan DUN yang telah dimenangi PN dalam PRU15. 

“Jentera ini akan mencari alternatif yang lebih berkesan untuk mengekalkan kemenangan di 16 kawasan yang telah dimenangi oleh PN dan menambahkan lagi bilangan pengundi yang akan menyokong PAS/PN di Selangor,” tegasnya.

Ahmad Yunus Hairi

Justeru, beliau turut memberitahu, bagi memperkasakan lagi jentera PN Selangor agenda perpaduan ummah diteruskan agar kemenangan dapat dikuasai oleh PN dan seterusnya dapat merampas Selangor daripada dikuasai oleh PH. 

Pada masa ini, ujar beliau, PAS/PN turut menekankan agenda sokongan daripada golongan anak muda dan pengundi yang kali pertama keluar mengundi. 

“Selain itu, PAS/PN juga bergiat aktif mendapatkan sokongan daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengundi-pengundi BN/ Umno dan PH yang yang cukup kecewa dengan penggabungan antara BN dan PH yang telah membentuk kerajaan pada hari ini selepas berlangsungnya PRU15,” katanya.  – HARAKAHDAILY 9/1/2023


2. Perpaduan yang wajib dan haram 

Minda Presiden PAS
[Bil: 72 / 2022]
PERPADUAN YANG WAJIB DAN HARAM

Semua kumpulan mengajak kepada perpaduan mengikut kepercayaan agama dan ideologi masing-masing. Bermula daripada peringkat rakyat sehinggalah peringkat satu bangsa, satu negara dan antara berbagai-bagai bangsa dan negara.

Kesemua ajaran itu tidak lengkap dan tidak memenuhi ciri-ciri fitrah manusia yang tidak mungkin dapat disatukan laksana barangan yang tidak bernyawa dan tidak berakal. Hal ini disebabkan manusia itu bukan sahaja jasad yang bernyawa, berakal dan berilmu, tetapi juga mempunyai nafsu yang tidak boleh dikawal dengan mudah.

Islam menegaskan prinsip perpaduannya sendiri mengikut petunjuk Allah, Pencipta manusia yang Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Bijaksana. Perkara ini wajib dipercayai dan dilaksanakan oleh mereka yang beriman, demi kebaikan di dunia dan di akhirat.

Hanya perpaduan yang mengikut hidayah (petunjuk) Allah sahaja akan membawa berkat, berwawasan kukuh dan kekal, daripada dunia hingga akhirat.

Allah SWT menegaskan prinsip dan konsep perpaduan secara amali dalam al-Quran kepada mereka yang beriman, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ١٠٥﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu kerana ni‘mat Allah, kamu menjadi orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (103); Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung. (104); Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat. (105)” (Surah Ali ‘Imran: 103-105)

Petunjuk perpaduan umat itu dilaksanakan sehingga berjaya menegakkan sebuah kerajaan perpaduan yang sebenarnya yang dipimpin oleh Islam, dengan berpegang teguh kepada agama Allah (Islam). Keadaan itu telah berjaya menyatukan generasi awal bangsa Arab yang paling liar dan ganas, setelah itu dengan mudah berjaya menyatukan umat manusia daripada pelbagai bangsa dan agama yang lebih besar jumlahnya dan paling majmuk masyarakatnya.

Perpaduan itu diwajibkan kepada umat Islam terlebih dahulu, kerana mereka diwajibkan memimpin seluruh manusia, melalui pendekatan menyampaikan Islam tanpa paksaan. Seterusnya, mengajak seluruh manusia bermasyarakat majmuk berada di bawah keadilan kerajaan Islam untuk semua, dalam kehidupan bermasyarakat dalam urusan dunia. Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Peranan aqidah beriman yang ada dalam diri kepimpinan Islam yang bertaqwa akan mengawal dirinya agar beristiqamah menegakkan rahmat Allah SWT dan keadilan Ilahi kepada semua. Hal tersebut merupakan ciri penting yang tidak terdapat dalam agama lain dan ideologi ciptaan manusia.

Firman Allah SWT:

﴿لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal: 63)

Rasulullah SAW melaksanakan konsep perpaduan ketika menegakkan negara di Madinah dengan menyatukan penganut Islam dalam kalangan Muhajirin (yang datang daripada luar Madinah) dan Ansar (penduduk asal Madinah).

Kemudiannya, diikuti pula dengan penyertaan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem dan berdamai dengan pelbagai agama, sama ada dari Madinah dan dari luarnya mengikut sempadan yang telah ditetapkan. Mereka semua termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam, penganut dan negaranya.

Semuanya telah dirakamkan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang terkenal. Konsep perpaduan yang menerima Islam memimpin, hukum Islam adalah tertinggi bagi menyelesaikan semua masalah yang berlaku dengan adil dan saksama, serta hak kebebasan beramal dengan agama masing-masing yang dijamin dalam al-Quran dan Sunnah. Perkara berikut telah dinyatakan dalam piagam itu:

‌وَإِنَّهُ ‌مَا ‌كَانَ ‌بَيْنَ ‌أَهْلِ ‌هَذِهِ ‌الصَّحِيفَةِ ‌مِنْ ‌حَدَثٍ ‌أَوْ ‌اشْتِجَارٍ يُخاف فَسَادُهُ، فَإِنَّ مردَّه إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan sesungguhnya apa-apa yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam piagam (perjanjian) ini seperti perbalahan atau pertelingkahan yang dibimbangi merosakkan hubungan sesama mereka, maka hendaklah ia dirujuk penyelesaiannya kepada Allah (al-Quran) dan Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 504)

Allah SWT telah memerintahkan kepada Rasulullah SAW (pemimpin negara) agar menjadikan Kitab Allah sebagai satu-satunya petunjuk yang tertinggi, di samping dirinya sendiri yang menjadi teladan. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِي ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ لِّقَوۡمٖ يُؤۡمِنُونَ٦٤﴾

“Dan Kami tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah al-Nahl: 64)

Adapun perpaduan tanpa petunjuk Allah SWT tersebut adalah diharamkan, disebabkan oleh kerapuhannya. Ikatannya yang membawa padah di dunia dan akhirat kerana pelaksanaannya tidak berprinsipkan aqidah dan tidak mempunyai konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar yang mengawal kehidupan manusia serta pergaulannya dalam bermasyarakat. Hal ini disebabkan tiada asas aqidah untuk mengawal diri dan tidak berakhlak.

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48); Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq. (49); Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” (Surah al-Ma’idah: 48-50)

Allah SWT memberikan amaran yang paling keras terhadap orang yang memilih kalangan bukan Islam dalam kerjasama semata-mata bagi mendapatkan kuasa, sehingga mereka meninggalkan konsep kepimpinan Islam. Allah meletakkan golongan itu dengan sifat munafiq. Firman Allah SWT:

﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا١٤٠﴾

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman-teman penolong) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139); Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. (140)” (Surah al-Nisa’: 138-140)

Islam mengharamkan sebarang hubungan yang menghilangkan kepimpinan Islam atau tidak menegaskan kedaulatan Islam atau tiada kuasa Islam untuk mentadbir kehidupan manusia. Begitu juga, apabila bersama kalangan yang nyata bermusuh terhadap Islam, sama ada mereka yang menghina ajarannya atau bermusuh terhadap penganutnya atau bersikap melampau mahu berkuasa terhadap umat Islam. Bahkan, kalangan Islam yang melakukan perkara sedemikian dianggap munafiq.

Rasulullah SAW beristiqamah dengan tegas berpegang kepada prinsip dan konsep yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT, sehinggakan Baginda sanggup membatalkan hubungan dengan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar syarat dan adab perpaduan dalam Islam.

Teladan Rasulullah SAW itu menjadi amalan negara Islam generasi awal sepanjang zaman, sehingga berjaya menjadi sebuah negara besar, mempunyai masyarakat majmuk berbagai-bagai agama dan bangsa yang menjangkau tiga benua besar, dari Asia Tenggara sehingga Asia Tengah dan Asia Barat, Utara Afrika dan Selatan Eropah.

Kita menyaksikan ideologi yang memimpin kerajaan perpaduan berasaskan bangsa, ekonomi, sempadan wilayah, kerjasama pertahanan dan keamanan sangat singkat masa bertahannya. Hal ini demikian kerana, kepimpinan tidak boleh mengawal nafsu manusia yang tidak dikawal oleh akal dan ilmu yang berpandukan iman atau aqidah yang menjadi petunjuk Allah Pencipta alam.

Allah SWT menolak golongan pelampau yang merosakkan perpaduan, walaupun mereka itu daripada kalangan penganut Islam sendiri. Perkara ini ditegaskan oleh firman-Nya:

﴿وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى الۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٩﴾

“Dan jika ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang, maka hendaklah kamu mendamaikan antara kedua-duanya! Tapi jika salah satunya melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah kamu perangi yang melanggar perjanjian itu sehingga dia kembali kepada perintah Allah. Sekiranya dia telah kembali, damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat: 9)

Islam membenarkan perbezaan pendapat, bahkan kebebasan beragama tanpa paksaan dengan sempadan yang tidak hanyut (liberalisme). Akan tetapi, Allah mewajibkan agar berlaku adil kepada semua dan diharamkan bersikap melampau dan zalim (ekstrem), walaupun terhadap musuh bukan Islam yang bukan dalam kalangan rakyatnya. Perkara ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَآنُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Islam menegaskan bahawa perpaduan itu wajib dipimpin oleh Islam yang bercirikan keimanan kepada aqidah, syariat dan akhlaknya yang terdapat pada kepimpinan, bukan sekadar mempunyai ilmu dan pengaruhnya sahaja tanpa hidayah Allah SWT. Pada masa yang sama, perpaduan itu disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan tidak memusuhi Islam, serta melarang dengan hukum haram daripada bersama dengan golongan yang nyata ekstrem dan bermusuh terhadap Islam dan penganutnya. Firman Allah SWT:

﴿۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾

“Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa; dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7); Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu kerana agama sebagai kawanmu dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 7-9)

Inilah petunjuk Allah SWT daripada kitab mukjizat dan pelaksanaan Rasulullah SAW yang menjadi teladan sebenar, bukannya ciptaan manusia yang berakal dan bernafsu, sekalipun berilmu tetapi tiada hidayah. Fahamilah firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah, diperintahkan oleh Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:  2 Jumada al-Akhirah 1444 / 26 Disember 2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PRN15: PN-PAS tawan S'ngor? Perpaduan wajib/haram..

Ya, PRN15, PN-PAS akan tawan Selangor, insya Allah! 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails