Saturday, March 04, 2023

Anwar rencatkan bumiputera. Pedang kayu haram, & Propaganda.

 


1. Anwar rencatkan pembangunan ekonomi Bumiputera

SETELAH lama rakyat Malaysia ternanti dengan pengharapan Bajet 2023 yang bertemakan Malaysia ‘Madani’ akan mampu memberikan impak dalam cabaran rakyat yang dijangka perlu mendepani krisis ekonomi global yang bakal menghimpit, namun ternyata Belanjawan 2023 Kerajaan Campuran PH-BN ini adalah begitu mengecewakan dengan sekadar hanya retorik kosong!

Khususnya dalam konteks yang paling memeranjatkan utamanya adalah aspek pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang pasti akan membuatkan ramai tertanya-tanya apakah peranan Umno dalam Kerajaan Campuran ini?

Bermula dengan berita yang mengejutkan kepada peneroka Felda yang rata-ratanya adalah orang Melayu, pra pembentangan Belanjawan 2023 telah memberikan indikasi betapa orang Melayu akan dihukum apabila Kerajaan ‘Madani’ telah mengambil keputusan untuk membatalkan agenda yang digerakkan oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghapuskan hutang peneroka Felda sejumlah RM8 bilion! 

Bayangkan dalam keadaan tekanan ekonomi semasa tanpa strategi tuntas bagi meringankan beban masyarakat ditambah idea ‘menu rahmah’ yang sekadar tangkap muat sedang penyelesaiannya bersifat sementara malah turut beri kesan kepada peniaga-peniaga baru dan kecil, orang Melayu warga Felda pula kembali dihukum berhutang!

Kemudian sewaktu pembentangan Belanjawan 2023 sebentar tadi, tampaknya dengan gagap dan berhati-hati tanpa kejelasan dari pernyataannya, Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan yang begitu mengejutkan yang wajar dipersoal seluruh masyarakat Melayu-Bumiputera dalam negara apabila Anwar Ibrahim menjelaskan hasrat menerusi bajetnya yang ingin ‘menutup’ fungsi yayasan di bawah agensi-agensi yang menggalas tanggungjawab untuk memacu perkembangan ekonomi Bumiputera di negara ini seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) sebagai satu entiti tunggal dengan alasan ‘fungsi yang hampir sama bertujuan supaya lebih efektif dalam menunaikan mandatnya’.

Ini adalah tindakan regresif yang dilihat akan melumpuhkan pemberdayaan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dengan mengemukakan alasan yang tidak munasabah sedangkan fungsi segenap yayasan mahupun agensi-agensi ini adalah ternyata berbeza antara satu sama lain, sama ada dalam hasrat pemilikan modal saham, pengurusan pembangunan ekuiti, meningkatkan bilangan tenaga kerja Bumiputera termasuk bukaan peluang usahaniaga dengan pemberian geran dalam skop masing-masing yang berbeza sebegitu pengurusan pemilikan hartanah pelaburan Bumiputera.

Orang Melayu perlu bangkit dan tanyakan apakah matlamat yang ingin dicapai melalui agenda ini, kerana menerusi penstrukturan semula yang hanya diperindahkan nama sebagai ‘Reformasi Institusi’, namun kesan yang akan ditanggung kelak adalah ke atas pegangan orang Melayu itu sendiri! 

Termasuk dari jangkaan pengurusan sumber yang tidak efisien dan kebarangkalian peruntukan yang akan mengecil atau terhad! Inilah suatu perkara yang jelas tampaknya betapa Anwar Ibrahim dengan dasar ekonomi liberalnya langsung tidak benar-benar peduli dengan nasib dan kemajuan ekonomi orang Melayu! 

Sedangkan data berkaitan kemiskinan, pendapatan, pekerjaan dan kekayaan modal, kesemuanya menunjukkan bahawa kaum Melayu dalam persaingan global kini masih tetap ketinggalan berbanding kaum bukan-Melayu dalam semua sektor. 

Satu-satunya data yang menunjukkan kedudukan Melayu yang lebih tinggi sudah pastilah kadar kemiskinan! 

Mewakili ARMADA dan BERSATU, suka untuk saya ingatkan betapa sewaktu PERIKATAN NASIONAL menjadi kerajaan peruntukan terbesar ke atas pegangan Melayu telah diberikan yang membawa pulangan kembali bukan sahaja ke atas orang Melayu namun kepada perkembangan ekonomi negara yang memanfaat berbilang kaum. 

Dalam pada selaku Ketua Penerangan ARMADA saya bersetuju untuk cukai orang kaya dan laksanakan percukaian positif melalui cukai barangan mewah sebegitu seharusnya agenda reformasi percukaian yang tampaknya tidaklah lebih difokuskan Anwar sedangkan wajar diterokai percukaian lain seperti cukai warisan, ‘windfall tax’ mahupun ‘capital gain tax’ yang perlu lebih diperhalusi ke sidang Belanjawan! 

Justeru janganlah digadai pegangan orang Melayu dan bawa agenda kesamarataan sedangkan ianya tidak mampu imbangi keperluan nisbah antara agihan sumber dengan jumlah masyarakat Bumiputera yang masih terkebelakang dalam sudut ekonomi! 

Jangan ditarik agenda afirmitif untuk memperkukuh ekonomi orang Melayu yang mana pasca pandemik dan cabaran krisis ekonomi ini akan beri implikasi yang lebih serius dalam pada kerajaan hilang punca untuk mengatasi masalah pegangan kapital oleh pemodal yang menguasai rantaian perbekalan sedangkan ianya tidak ramai diceburi orang Melayu!

Kami di PERIKATAN NASIONAL malah tidak lupa setelah dibongkarkan oleh ramai pimpinan BERSATU khususnya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali,  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin yang pernah menyelamatkan usaha DAP yang dipelopori oleh Lim Guan Eng sewaktu menjawat sebagai Menteri Kewangan yang mahu potong atau menyekat sejumlah peruntukan RM400 juta untuk Melayu-Bumiputera malah Anwar Ibrahim di ketika itu turut berdiam diri atas usaha tersebut! 

Kini akhirnya tanpa perlu Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, namun cukuplah sosok Anwar Ibrahim menjadi ejen dalam melunaskan agenda kesamarataan yang diperjuangkan DAP bermula dengan memperkecilkan peruntukan orang Melayu dan menguncupkan pegangan terkait Bumiputera.

“Melayu Prihatin”

MOHD ASHRAF MUSTAQIM
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia
24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023



2. Penganut Islam diharamkan membawa pedang kayu? 

KETIKA penjajah dahulu datang menceroboh dengan senjata moden untuk menakluk tanah air umat Islam seluruh pelosok dunia, umat Islam tidak menyerah kalah sekali-kali. Malah, mereka melawan dengan apa sahaja yang ada di tangan. Maka, penjajah menguatkuasakan undang-undang bagi mengharamkan sebarang senjata kepada penganut Islam. 

Puak mereka dibolehkan memiliki semua senjata, termasuklah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa yang dicipta oleh mereka sendiri. Hakikatnya, undang-undang ini laksana sarang labah-labah yang boleh dikoyakkan oleh mereka, tujuannya hanyalah untuk menghalang penentangan terhadap penjajah yang dilakukan oleh umat Islam dengan gagah berani tanpa menyerah kalah.

Begitulah yang dilakukan di Palestin ketika dijajah British supaya mereka menyerahkan tanah air kepada Yahudi Zionis mengikut terma dalam Perjanjian Balfour 1917. Mereka sendiri dalam keadaan bersenjata, tetapi sebaliknya rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata.

Oleh itu, dikuatkuasakan undang-undang yang mengharamkan senjata, sehinggalah kepada senjata yang paling kuno, seperti pedang, keris dan lain-lain. Alasan yang digunakan kononnya bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan, pada masa yang sama mereka mengganas terhadap rakyat dengan semua senjata yang dimiliki. Maka, jelas sekali bahawa alasan menjaga keselamatan itu hanyalah untuk diri mereka sahaja, tidak bagi umat Islam.

Pada zaman penjajah dahulu, polis Melayu diberikan senjata belantan kayu, manakala polis berbangsa Inggeris pula diberikan pistol. Demikianlah umat Islam begitu sekali dihina.

Teori menghapuskan peperangan juga disebarkan atas nama kemanusiaan, sedangkan mereka bebas menyerang negara lain untuk menjajah dan merompak. Akan tetapi, mereka dianggap pembebas, sedangkan penentang mereka pula dianggap lanun, termasuklah Raja-raja Melayu dan ulama’ yang melawan kedatangan penjajah.

Allah Pencipta manusia itu Maha Mengetahui akan munculnya kalangan manusia yang dirasuk iblis dan bala tenteranya, sehingga sanggup melakukan kejahatan secara melampau terhadap manusia yang lain. Justeru, Islam mewajibkan penentangan, sehingga diizinkan berperang menentang kezaliman tersebut bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٥١﴾

“Dan seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan sebahagiannya yang lain (yang beriman dan setia), nescaya rosak binasalah bumi ini. Akan tetapi, Allah sentiasa melimpahkan kurniaan-Nya ke atas sekalian alam.” (Surah al-Baqarah: 251)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam supaya menyediakan senjata dan latihan untuk menggunakannya bagi menghadapi musuh, hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠﴾

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada kalangan mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal: 60)

Walaupun Islam menggalakkan dan mendahulukan perdamaian, namun Allah SWT dan Rasulullah SAW mewajibkan penganut Islam agar sentiasa bersiap siaga dengan senjata yang sesuai pada zaman dan cabarannya.

Hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat.

Seterusnya, umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan yang memahirkan pertahanan diri dan kesihatan jasad dan roh seperti memanah, menggunakan senjata, seni mempertahankan diri dan lain-lain. Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah.

Terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf. Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam.

Hakikatnya, umat Islam itulah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara. Hal ini berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah, sehingga menyebabkan berlaku kadar jenayah yang tidak terkawal sesama mereka, termasuklah sanggup membunuh diri sendiri.

Islam mengharamkan senjata pemusnah seperti bom atom dan senjata nuklear yang lebih ganas daripada binatang. Islam juga mengharamkan jenayah membunuh diri sendiri dan orang lain kerana dihitung dalam perkiraan dosa besar yang keras hukumnya di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

﴿مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعٗا وَمَنۡ أَحۡيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحۡيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعٗاۚ وَلَقَدۡ جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُنَا بِٱلۡبَيِّنَٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم بَعۡدَ ذَٰلِكَ فِي ٱلۡأَرۡضِ لَمُسۡرِفُونَ٣٢﴾

“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa segala keterangan yang jelas; kemudian sesungguhnya kebanyakan antara mereka sesudah itu, sungguh-sungguh melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Adapun mereka yang mempertahankan agamanya, dirinya, keluarganya, hartanya dan haknya yang wajib, mendapat pahala besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌قُتِلَ ‌دُونَ ‌مَالِهِ ‌فَهُوَ ‌شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ.

“Sesiapa yang mati mempertahankan hartanya, dia syahid (mati mulia), dan sesiapa yang mati mempertahankan agamanya, dia syahid, dan sesiapa yang mati mempertahankan dirinya, dia syahid, dan sesiapa yang mati mempertahankan keluarganya, dia syahid.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1421)

Begitu juga dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّ ‌أَبْوَابَ ‌الْجَنَّةِ ‌تَحْتَ ‌ظِلَالِ ‌السُّيُوفِ.

“Sesungguhnya, pintu-pintu syurga berada di bawah bayangan pedang-pedang.” (Riwayat Muslim, no. 1906)

Maka, jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab. Adapun buruk sangka daripada kalangan bukan Islam dan munafiq terhadap perkara tersebut, biarkan ia musnah dengan kemarahan yang melulu itu, seperti yang disifatkan oleh firman Allah SWT:

﴿هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡ‍ًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾

“Kamu sahajalah yang menyukai (dan percayakan) mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu, mereka berkata: ‘Kami beriman’, tetapi apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): ‘Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.’ Sesungguhnya, Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati. (119) Jika kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian), nescaya ia menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya, Allah mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (120)”  (Surah Ali ‘Imran: 119-120)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Sya‘ban 1444 / 24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023


3. PAS dan keganasan: Propaganda dan stigma yang diulang 

BILA mana timbul isu berkaitan dengan keganasan yang sering cuba dibawakan naratif oleh musuh terhadap PAS, ia sebenarnya, bukanlah isu yang baharu berlaku. Semenjak dahulu lagi, PAS sering ditempelkan dengan fitnah yang PAS adalah sebuah gerakan yang ekstrem, jahat dan tidak bertamadun. Fitnah ini juga akan diserikan lagi dengan kenyataan bahawa PAS tidak tahu memerintah, kolot, bodoh, jahat, pecah amanah dan sebagainya.

Ironinya, semua tuduhan itu, tidak pernah dapat dibuktikan secara fakta akan kebenarannya. Tidak dinafikan, mungkin ada berlaku beberapa kelemahan dalam PAS. Tetapi ia bukan amalan. Maksudnya, ia adalah sesuatu yang bukan boleh dijadikan sebagai ‘trade mark’ PAS. Lainlah kalau orang bercakap mengenai rasuah, ia adalah ‘trade mark’ Umno atau pembohongan, ia adalah hak eksklusif PH sewaktu berkempen.

Pernah PAS kalah teruk dalam tahun 1986. Selain dari isu Memali (yang kemudiannya menjadi menu wajib setiap kali kempen PRU oleh BN kerana keberkesanannya menonjolkan PAS sebagai parti ganas), ada juga peristiwa sekumpulan pemuda yang menyamar menjadi ahli PAS, masuk kampung dengan motosikal, malam sebelum mengundi, melakukan aksi-aksi jahat, bising, ganas yang menaikkan kemarahan orang kampung. Akhirnya, PAS yang disalahkan, walaupun tidak kenal siapa pemuda-pemuda itu.

Al-Maunah yang punah

Bagi pengundi muda, mungkin ada yang tidak pernah mendengar mengenai al-Maunah. Ia adalah kisah mengenai sekumpulan lelaki, diketuai oleh seorang yang bernama Amin, dan menggelarkan kumpulan mereka al-Maunah. Kumpulan ini bercita-cita untuk merampas negara melalui jalan perang. Maka melatalah mereka ke seluruh ceruk alam Malaysia ini, bagi merekrut ahli-ahli baharu.

Kena dengan tema jihadnya, ada segelintir ahli PAS, terpesona dengan janji-janji itu, konon mahu ke syurga kata mereka. Presiden PAS bertindak pantas dengan segera mengumumkan, ahli PAS yang terlibat dengan al-Maunah, mereka boleh keluar dari PAS. Kedegilan beberapa orang ahli PAS, mengatasi arahan Presiden yang juga seorang ulamak untuk menuruti perjuangan seorang yang tidak diketahui mana asal usulnya. Mereka kekal berjuang bersama al-Maunah. Lebih istimewa mereka juga mempelajari ilmu kebal senjata. Tetapi timbul soalan lain, bagaimana mahu mati syahid, jika tidak lut senjata?

Pada hari yang dirancang, Amin telah berjaya membawa beberapa pencinta syahid yang ditipu itu ke Bukit Jenalik, Sauk, Perak, untuk rancangan mereka memulakan perang. Senjata berjaya mereka curi dari dua kem tentera berdekatan, dengan kaedah penyamaran, tanpa disedari. Amin dikira hebat kerana berjaya memperbodohkan tentera yang berkawal di kem itu dengan mudah. Dapatlah mereka 114 laras berbagai senjata dengan 18,000 peluru dikeluarkan menggunakan tiga buah Pajero.

Akhirnya mereka dikepung oleh pihak keselamatan, selepas dengan bodohnya menjalani latihan bersenjata di bukit tersebut yang didengari oleh penduduk kampung. Berlaku satu peristiwa yang menakjubkan, salah seorang ahli al-Maunah itu telah berjaya dipujuk untuk menyerah dengan menggunakan lagu P. Ramlee. P. Ramlee sememang mendahului zaman, pengganas cair mendengar lagu Getaran Jiwa beliau.

Setelah semuanya berakhir, maka acara menempelkan PAS dengan keganasan, ekstremis, dilakukan dengan lebih giat lagi. Dan bagi meyakinkan semua pihak, bagaimana al-Maunah berjaya menyelinap masuk ke dalam kem dan keluar penuh dengan senjata, satu demonstrasi atau lakonan semula telah diadakan. Entahlah kalau mahu dikatakan terdesak. Manakala Mursyidul Am PAS ketika itu, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) meminta agar hukuman gantung sampai mati ke atas Amin, dilakukan di hadapan beliau, yang mana permintaan itu tidak dipenuhi.

PASTI dan SAR semenjak dahulu ditakuti

Tidak puas dengan itu, BN juga sering menyerang PAS menggunakan tema keganasan ini dengan menuduh PASTI sebagai salah satu tempat memupuk keganasan. Bagaimana kata mereka, gambar-gambar pimpinan negara (baca BN) dipijak-pijak oleh anak-anak PASTI. Silibus yang diajar juga tidak sesuai kerana ia menjurus kepada ekstremis.

Ada lagi. Pelajar SAR, yang kita sedia maklum majoriti SAR adalah kepunyaan PAS, turut dituduh sebagai pemuja lagu black metal, death metal dan berbagai lagi genre muzik yang mengagungkan syaitan, serta melahirkan pelajar yang berfikiran ganas. Semua organisasi PAS dikira sebagai ganas.

Anehnya, dalam semua gelaran keganasan yang diberi kepada PAS dengan cara fitnah itu, tetapi yang mati dibunuh berkaitan politik, ialah Dato’ Mohamad Taha Talib (bekas Speaker DUN Negeri Sembilan), Altantuya, As-Syahid Ibrahim Libya, Abdul Samad Gul dan Tragedi Lubuk Merbau. Semua pembunuh itu, ada yang langsung dibuktikan dilakukan oleh Umno, ada yang dikaitkan dengan Umno. Tetapi tiada tuduhan yang PAS pelakunya. Namun orang PAS antara yang menjadi mangsa peristiwa pembunuhan itu.

Apa beza PH dan BN?

Dan kini, semua kerja jahat dan fitnah itu diwarisi oleh PH. Padahal sebahagian mereka yang ada dalam PH dahulu inilah yang yang bermati-matian mempertahankan PAS bukan kumpulan ganas dan berbahaya, sebaliknya BN dan Umnolah yang jahat, Maha Firaun, Maha Zalim, dengan bukti yang ada, kata mereka. Sekarang PH menggunakan semula cara ugut dan fitnah BN itu. Apa beza PH dengan BN dahulu? Tiada beza, kerana kedua-duanya tidak membawa Islam sebagai pedoman dan mereka terbabas.

PAS tetap ‘steady’ dengan semua ini. Presiden PAS mendapat pingat Tan Sri. Kerajaan-kerajaan PAS, mendapat anugerah-anugerah cemerlang. Pertubuhan antarabangsa mengiktiraf PAS. Pihak keselamatan membuka pintu kepada PAS, bagi sebarang kerjasama. Pihak kerajaan menerima pelajar-pelajar lepasan PASTI ke sekolah mereka, sama seperti pihak universiti menerima pelajar SAR. Pemuda-pemudi PAS diterima sebagai ahli profesional atau bukan profesional dalam bidang masing-masing. Bantuan daripada NGO PAS, diterima, malah diiktiraf. Takkanlah pengganas diiktiraf, kan?

PAS dan keganasan memang berpisah tiada, tetapi kenyataan itu hanya bagi otak pemfitnah, bukan kepada manusia normal yang cintakan kedamaian, berakal waras, beriman, tidak mempercayai pembohongan. Begitulah yang terjadi kepada semua pemfitnah, walaupun bukti sudah terbentang di hadapan mata, tetapi apabila iblis dan syaitan penghasut menguasai diri, maka akan berundurlah para malaikat yang menasihati. Isu ini hanya untuk mereka alihkan isu yang lebih besar sekarang bahawa PH lebih teruk dari BN.

Nota tambahan eksklusif:

Dalam al-Maunah, selain ilmu kebal, turut diturunkan ilmu kebatinan iaitu ilmu bertahan lama di ranjang. Lamanya di ranjang itu sehingga isteri minta berhenti. Ilmu ini amat tipikal kepada lelaki, kerana akan melahirkan lagi perasaan yang sememangnya dia adalah gagah perkasa, tulennya kejantanan mereka dibuktikan dengan lamanya di ranjang. Ia juga penambah keyakinan bahawa Ketua al-Maunah, Amin itu, tinggi ilmunya.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/2/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Anwar rencatkan bumiputera. Pedang kayu haram, & Propaganda.

Semuanya realiti..

Jepun minat labur RM140 juta. 100 juta Kedah, & milik tanah-rumah..

 


1. Syarikat Jepun minat labur RM140 juta di Kelantan

KOTA DARULNAIM: Sebuah syarikat dari Jepun yang berasaskan pembangunan produk karbon berminat melabur RM140 juta di Kelantan.

Pelaburan tersebut adalah bagi membina fasiliti ‘Waste Plastic Carbonization and Volume Redaction System‘ yang akan menghasilkan ‘Activated Carbon‘.

Bahan ini akan digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk seperti carbon plate, elektrod yang akan digunakan dalam kapasitor, filter pelbagai gred, penebal haba dan pelbagai lagi produk yang menggunakan karbon sebagai bahan asas.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dato’ Dr Izani Husin sewaktu menerima kunjungan delegasi daripada Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) di MABNA-MBI, semalam.

Rombongan tersebut diwakili Pengasas Ohgi,  Takehiko Ohki, Pengasas Bersama Ohgi, Ryuichiro Kuboshima dan wakil Syarikat Bersekutunya, J Global Trading Sdn Bhd.

Ohgi yang berpangkalan di Tokyo memfokus kepada pembangunan produk berasaskan karbon yang digunakan dalam bidang perubatan, makanan, pembinaan dan sebagainya.

Ohgi juga banyak terlibat dengan kajian pembangunan bersama Universiti Ryukoku bagi membangunkan pelbagai produk baharu yang berasaskan karbon.

Setakat ini Ohgi memegang 181 paten pelbagai rekaan produk.

“Pihak Ohgi berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Pengurusan Siso Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PPSMP) selaku Syarikat Bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) bagi menaik taraf sistem pengurusan tapak pelupusan di Daerah Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang,” katanya. – UPKN 


2. Berikan pampasan RM100 juta kepada Kedah

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta kerajaan Persekutuan memberi pampasan munasabah sejumlah RM100 juta bagi memulihara hutan di Ulu Muda sepenuhnya secara kekal.

Beliau berkata, kawasan tadahan hujan Ulu Muda di Kedah perlu dilindungi daripada pembalakan dan pembangunan.

“Hal demikian kerana ia merupakan kawasan punca sungai empangan yang membekalkan 90 peratus bekalan air di Kedah, 80 peratus di Pulau Pinang dan 70 peratus di Perlis untuk pengairan sawah padi, sumber air bersih dan sebagainya.

“Seramai 4.2 juta orang yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada air mentah di Ulu Muda,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ahmad Fakhruddin berkata, perkara ini berdasarkan pengorbanan Kedah bagi mengekalkan kawasan hutan yang menyebabkan kehilangan hasil yang agak tinggi demi negeri Pulau Pinang dan Perlis.

Menurutnya, Kedah juga memohon agar pampasan padi diberikan secara setimpal dengan kos melepas.

Beliau berkata, jika tiada usaha bagi mengekalkan penggunaan tanah sawah padi, sudah tentu segala perancangan ke arah menjamin keselamatan makanan tidak dapat direalisasikan dan bakal menjejas nilai maqasid syariah penjagaan nyawa itu sendiri.

“Jika tanah sawah padi negeri ini ditukar kepada tanah komersial, nilai kutipan cukai tanah yang diperolehi adalah RM1.7 bilion. Permohonan ini mengambil kira 10 peratus daripada kos melepas RM1.7 bilion tadi, iaitu sekitar RM170 juta sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023


3. Generasi tanpa rumah membimbangkan 

KUALA LUMPUR: Generasi tanpa rumah pada masa akan datang dibimbangi akan menyumbang kepada krisis sosial di negara ini.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, keadaan yang membimbangkan itu adalah akibat majoriti rakyat tidak mampu mempunyai rumah akibat pendapatan tidak seimbangan.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, keadaan yang membimbangkan itu kerana secara majoriti, pendapatan rakyat tidak seimbang dengan harga rumah.

“Adakah kerana wujudnya spekulator yang berperanan menaikkan harga rumah dan jika benar, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan untuk mengatasi perkara tersebut,” katanya bertanyakan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pemilikan rumah bergantung kepada faktor pendapatan dan harga rumah itu sendiri.

Katanya, seramai 15,024 orang mendapat manfaat dengan jumlah nilai pembayaran sebanyak RM1.91 bilion selepas kerajaan mengumumkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk membantu mereka memiliki rumah pertama.

“Walaupun harga rumah meningkat dan pendapatan tidak seiring, namun inilah intervensi yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023


4. Isu milik tanah dan rumah kritikal untuk diselesaikan 

PENDUDUK asal negara ini dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera hakikatnya hidup tak ubah umpama ‘Menang sorak, kampung tergadai’. Lebih 65 tahun merdeka dari penjajah dan berpemerintahan sendiri, namun masih ramai hidup seperti pendatang.

Kerana bukan sahaja tidak memiliki tanah, tetapi juga tidak mampu mempunyai rumah kediaman untuk diduduki menjalani kehidupan. Mengikut data yang ada, tidak sampai 8 peratus penduduk Melayu dan Bumiputera memiliki rumah sendiri, selainnya banyak menyewa.

Sedangkan bumi Malaysia yang dahulu namanya adalah Tanah Melayu ini masih terlalu luas biarpun telah dikongsi bersama kaum-kaum lain. Bahkan bangsa asal negara inilah pemugar dan peneroka tanah yang telah menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi.

Malangnya, orang Melayu dan Bumiputera hanya memegang jawatan politik selama ini, tetapi ternyata seperti tidak menjulang kuasa. Pemerintahan politik yang diterajui bukan memberdaya dan memperteguhkan bangsa, sebaliknya sekadar dijadikan alat meraih kepentingan.

Para pemimpin dan parti Melayu sendiri yang selama ini mengkhianati bangsanya hingga mengakibatkan ketidakpastian masa depan tersebut. Sedangkan kaum penghijrah lebih kukuh serta terjamin pemilikan tanah mereka, selain mempunyai kediaman yang jauh lebih selesa dan mewah.

Bahkan warga asing yang sekadar bekerja di negara ini turut ada meraih kekayaan serta mampu menduduki rumah besar. Lebih mengharukan, terdapat pegangan asal kaum Melayu dan Bumiputera yang telah berpindah milik menjadi aset bangsa lain.

Selain ia berlaku kerana jual-beli, terdapat juga banyak kes bersifat manipulasi memperdaya dan kes ‘ajaib’ bertukar nama di geran tanpa melalui sebarang proses pertukaran. ‘Rompakan senyap’ ini dicurigai didalangi politikus dan pentadbir tanah secara salah guna kuasa.

Paling patut dirintihkan, apabila peruntukan hak untuk peribumi ini hanya terpampang dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi wasiat Raja-raja Melayu. Hakikatnya, pemilikan sepatutnya iaitu Tanah Rizab Melayu (TRM) semakin berkurang dan ‘hilang’.

Siapa yang mencabul dan melarikan TRM ini sedang ia bahagian telah wujud semasa British keluar meninggalkan pertiwi ini? Malah, para pemimpin awal negara ini juga telah berusaha memperkukuhkan kaum peribumi menerusi kewujudan tanah-tanah rancangan.

Tetapi kemudiannya, ‘bumi dipijak milik orang’ dan generasi beranak-pinak beberapa keturunan peneroka tanah rancangan kekal seperti pengemis. Geran Tanah pula dijadikan mekanisme politikus untuk dibuat modal ugutan mencengkam perolehan undi setiap kali PRU.

Ironinya, tanah atau premis diduduki dan dimiliki kaum lain pula hingga boleh terjamin menerusi pengiktirafan badan Antarabangsa yakni peruntukan UNESCO. Malah, para penceroboh juga boleh dirundingi, walhal veteran tentera yang pernah menggadai nyawa diabaikan

Oleh itu satu kebangkitan ummah amat diperlukan dan mendesak bagi melakukan perubahan segera dan menangani serta membetulkan kepincangan sempit ini. Jangan dibiarkan lebih banyak pemilikan tergadai, sedang rakyat sendiri terkontang-kanting dan merempat.

Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu jangan sehingga meminggirkan apatah lagi menyebabkan kaum asal ini terusir. Sebaliknya segala muslihat kritikal secara polarisasi terancang dan menumpukan pemilikan lain termasuk mengimport pakar luar mesti diwaspadai.

Juga jangan biarkan segala pegangan negara ini ditentukan para pemaju spekulator dan kapitalis yang hanya mementingkan kekayaan sekelompok. Para pemimpin Melayu dan Bumiputera yang sayangkan tanah air ini serta anak cucu cicit bakal pewaris akan datang mesti mengadakan penyelesaian tegas.

Jaminkan kependudukan dan pemilikan tersebut serta tamatkan kemungkinan Malaysia menjadi senasib tanah Palestin. Pemilikan tanah adalah bukti kedaulatan dan aset utama serta strategik untuk menikmati erti kehidupan di alam dunia yang sementara ini.

“Malaysia Sejahtera”

DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/3/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Jepun minat labur RM140 juta. 100 juta Kedah,  & milik tanah-rumah..

Al-hamdulillah, insya Allah. Allah Maha Pembentang Rezeki.. 

Bantu sesama Islam... Rohingya bantu Turkiye. J/Amal. Robot ular Indo canggih..


Pelarian Rohingya di Bangladesh tidak ketinggalan menyampaikan bantuan buat rakyat Turkiye yang ketika terjejas akibat bencana gempa bumi. (FOTO: Jogo News 24)

1. Pelarian Rohingya di Bangladesh kumpul wang bantu Turkiye 

DHAKABangladesh: Pelarian Rohingya yang dilanda kemiskinan di kem sementara di selatan Bangladesh terbukti berhati mulia apabila mereka mengumpul wang bagi membeli 700 selimut dan 200 jaket untuk didermakan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Ketua masyarakat Rohingya, Sahat Zia Hero memberitahu Anadolu Agency, Türkiye telah menjadi salah satu penyedia bantuan utama sejak awal krisis yang dihadap mereka.

“Bagaimana kami boleh duduk diam sahaja dalam menghadapi musibah besar yang melibatkan rakan baik kami (Turkiye)?”

“Terimalah sumbangan daripada kami yang tidak seberapa ini, tetapi ia lebih kepada ‘hadiah kasih sayang’ kami buat rakyat Turkiye yang terjejas angkara dilanda dua gempa bumi kuat itu,” katanya dalam nada penuh emosi.

“Kami adalah pelarian di sini dan kebanyakannya bergantung kepada derma dan bantuan daripada orang lain untuk terus hidup. 

“Namun,  hadiah ini membawa bersama kasih sayang dan solidariti yang tidak terhad kepada saudara (Islam) kami di Turkiye,” katanya sambil menjelaskan bahawa ia adalah yang terbaik yang boleh mereka lakukan untuk rakyat Turkiye memandangkan sumber kewangan mereka yang sangat terhad.

Pada Selasa (14 Feb) lalu,, wakil Rohingya telah menyampaikan sumbangan itu ke pejabat Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA) di Dhaka. 

Penyelaras TIKA Bangladesh, Sevki Mert Baris berkata pihaknya sangat gembira melihat sokongan sepenuh hati rakyat Bangladesh terhadap kami semasa krisis negara kami, dan amat berbesar hati juga melihat sumbangan daripada pelarian Rohingya.

Beliau menambah bahawa sumbangan pelarian Rohingya membawa rasa cinta dan solidariti yang mendalam rakyat Türkiye yang terjejas.

Sementara Pengasas bersama Gabungan Rohingya Bebas, Nay San Lwin memberitahu Anadolu Agency melalui perbualan telefon bahawa walaupun sumbangan pelarian Rohingya di Bangladesh kepada rakyat Turkiye tidak banyak, namun mereka melakukannya kerana berkongsi penderitaan akibat bencana gempa bumi tersebut.

“Apabila kami ditindas sepenuhnya berikutan keganasan yang ditaja kerajaan (Myanmar) terhadap kami pada tahun 2012, Türkiye adalah antara negara pertama yang menjawab rayuan kami untuk mendapatkan bantuan.

“Kami tidak akan melupakan jasa baik mereka (Turkiye),” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2023


2. 32 tahun Jabatan Amal Malaysia: Cetusan sejarah penubuhan 

DICERITAKAN pada tahun 1988, merupakan detik sejarah buat Cikgu Hussin di mana satu peristiwa beliau bersama Allahyarham Ustaz Hassan Shukri telah mengubah beliau sehingga menjadi seorang aktivis kemanusiaan yang hebat dan dikenali seperti sekarang melalui Unit Amal dan Yayasan Amal Malaysia. 

Cikgu Hussin ketika itu memegang portfolio sebagai ketua Lajnah Kebajikan pemuda PAS pusat menziarahi Ustaz Hassan Syukri, yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Agong PAS Malaysia. 

Arwah Ustaz Hassan Shukri pernah berkata kepada Cikgu Hussin, “Zaman aku pemuda dulu, aku ada satu pasukan yang boleh ‘On call’!,” tegas Ustaz Hassan bercerita mengenai zaman mudanya kepada Cikgu Hussin. 

“Aku tabik kamu, kalau kamu dapat, siapkan 30 ke 40 anak muda yang boleh dipanggil bila-bila masa saja bila parti perlu,”  tambah Ustaz Hassan lagi. 

Terdiam seketika Cikgu Hussin, kemudian beliau sambung bicara, “Ustaz, ini cabaran ya Ustaz!!?,” dengan berseloroh dialek banjarnya tetapi terselit nada tegas Ustaz Hassan jawab “Ya Ako cabar kamu!!”. 

Lantaran ketegasan pemimpin itu maka Cikgu Hussin bangun dan genggam tangan Ustaz Hassan sambil kata, “Insya-Allah ustaz! Ana sahut cabaran ustaz, 30 ke 40 pemuda setiap kawasan, akan bersedia menjadi khadam parti dan khadam Islam.”

Begitulah arwah Ust Hassan Shukri, pencetus dan pembakar semangat pertama  dalam penubuhan awal Unit Amal Malaysia, seorang pemikir yang menjadi penasihat Unit Amal Malaysia sehingga ke akhir hayatnya. 

Pada 14 Jun 2010 ketika berumur 71 tahun, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Selayang kerana serangan jantung selepas pulang menyertai Muktamar PAS ke-56 di Kota Bharu, Kelantan. (Al-Fatihah) 

Jenazah disembahyangkan di pekarangan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar dan diimamkan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2, Gombak. Turut hadir Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Berbekalkan sedikit pengalaman dalam unit beruniform pengakap, Cikgu Hussin dan beberapa sahabat pemuda lain yang juga mempunyai latar belakang pengakap di sekolah telah memulakan langkah awal penubuhan sebuah pasukan Amal. 

Sembilan anggota penaja cadangan penubuhan Pasukan Amal ketika itu adalah Cikgu Hussin, Cikgu Nawi, Cikgu Zubir Embong, Cikgu Syauki, Cikgu Mohd Amin, Cikgu Zainal Abidin Husin, Cikgu Razali Yunus, Cikgu Wan Zul dan Ust Awang Embong.

Sejarah tercipta pada tahun 1988 sempena ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali pertama di Masjid Rusila, Marang Terengganu, satu pasukan Amal beruniform dengan menggunakan baju Camel hijau sebagai Uniform pertama mereka telah mengadakan perbarisan hormat di majlis perasmian ijtimak tersebut. 

Susulan dari cetusan idea tersebut maka sejarah penubuhan pasukan ini ditukar nama kepada Unit Amal melalui sebuah kertas kerja Lujnah Kebajikan Pemuda PAS 1989/91 dan pada 16 Februari 1991 di Pantai Peranginan Tok Jembal, Kuala Terengganu Unit Amal telah dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Harun Taib (Ahli Majlis Syura Ulamak) AJK PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. 

Hari ini Unit Amal Malaysia telah menjadi sebuah Jabatan penting dalam gerak kerja jamaah, dengan nama Jabatan Amal Malaysia kini mereka gagah berkhidmat di tengah-tengah masyarakat dengan kemahiran dan kepakaran dari sebuah pasukan kepanduan menjadi pasukan Penyelamat dan Berkebajikan dengan Motto ‘Beramal Kerana Allah’.

Menyusuri sejarah Pasukan Amal kepada Unit Amal dan kini Jabatan Amal Malaysia, keanggotaan mereka bukan lagi sekadar 40 orang tetapi kini sudah mencapai ribuan anggota di seluruh negara. 

Penulis: SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN 
Rujukan Asal: Tuan Haji Hussin Ismail @ Cikgu Hussin dan Tuan Hj Jamuliddin Elias – HARAKAHDAILY 16/2/2023

3. Jokowi Ingin miliki Robot Ular seperti AS dan Jepun.
Presiden Jokowi (YouTube Sekretariat Presiden)

Jakarta - Presiden Joko Widodo (Jokowi) memerintahkan Basarnas segera memiliki alat canggih yang berguna untuk mempercepat pencarian dan penganan benkata. Salah satu alat yang dutika Jokowi adalah robot ular.

Hal itu disampaikan Jokowi dalam rapat kerja Basarnas dan Forum Koordinasi Potensi Pencarian dan Pertolongan (FKP3) Nasional 2023, Khamis (16/2/2023). Jokowi mengatakan robot ular tersebut bahkan sudah dikuman di suma negara.

Jokowi juga ingin Basarnas mempunyai alat canggih, takuum yang seperti Iron Man. Selain robot ular, Jokowi juga mewanti-wanti Basarnas untuk segera membeli drone rescue hingga robot diver. Juga jet suit seperti Iron Man, yang dapat mencari korban bancata hingga di algaatura 3,600 meter. (IH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bantu sesama Islam... Rohingya bantu Turkiye. J/Amal. Robot ular Indo canggih..

Begitulah peraturan dalam Islam, cubit paha kanan paha kiri pun terasa juga. Dalam agama-agama samawi lain pun begitu, disuruh tolong menolong.. Insya Allah!

Kecuali bagi barua-barua anti Islam, mereka tetap dan sentiasa memusuhi walaupun rakan-rakan se negara, se bangsa dan se agama dengan mereka, asalkan misi anti Islam 'tuan mereka' tercapai. Ya, nama pun 'barua'.

Jab.Warga Emas, Zailah sokong K/Pembangkang. & Skandal Zakat..

 

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff

1. Wujudkan Jabatan Warga Emas

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, supaya kerajaan menubuhkan jabatan khas untuk warga emas.

Katanya, ini berikutan golongan berkenaan dilihat mampu menyumbang idea dan tenaga kepada masa depan negara selain boleh membantu mereka dari segi pendapatan dan sebagainya.

Siti Zailah berkata, Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ menjelang tahun 2030 apabila 15 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk bakal berusia 60 tahun dan ke atas.

Justeru itu, katanya cadangan bagi menubuhkan jabatan berkenaan merupakan antara langkah pembangunan yang selari ke arah mesra warga emas.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, Siti Zailah mengemukakan pertanyaan sama ada Belanjawan 2023 yang dibentangkan bersifat mesra warga emas.

Terdahulu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, perancangan bagi menubuhkan Jabatan Warga Emas telah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU lalu.

“Kami telah merancang sebelum PRU lalu supaya menubuhkan Jabatan Warga Emas sebab kalau sekarang, kita ada Jabatan Kanak-Kanak, jadi dengan rancangan untuk mewujudkan Jabatan Warga Emas juga boleh membantu mereka dari pelbagai segi.

“Selain itu, kita dapat gunakan mereka sebagai ‘work force’ (tenaga kerja) yang boleh digunakan dan cari cara bagaimana membayarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2023.

2. Cubaan tutup skandal zakat Negeri Sembilan? 

Sebulan yang lepas saya telah terima satu set dokumen mengenai skandal Zakat N.Sembilan hampir RM8 juta. 

Setelah teliti dokumen dan maklumat ada asasnya maka 5 Feb saya telah naikkan di fB Che'GuBard Original untuk tarik perhatian Exco Agama dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sendiri, cadang saya 13 Feb utk hadir sendiri ke Pejabat Exco Agama dan MAINS untuk cari penjelasan.

Ramai terkejut dan dapat respon banyak pihak. Mungkin panik dengan perkembangan itu Aminuddin Harun terpaksa komen pada 8 Feb. Dia akuo ada masalah dalam Zakat NS dan serah pada SPRM & Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) , namun sikap lepas tangan MB merangkap exco agama menyerlahkan kelemahannya apabila dia nyatakan tidak pasti apa terjadi kerana dia sudah keluar dari MAINS. Makan gaji buta sebagai exco Agama?  
9 Febuari pula secara tiba tiba SPRM NS umumkan kes Zakat NS ditutup dan tidak ada kes, ini lucu kerana beberapa jam selepas itu Ketua Polis NS pula keluar kenyataan Polis putus buka kertas siasatan bawah 409 kanun keseksaan - kerana disyaki ada pecah amanah. 8 Feb MB serah pada pihak berkuasa, 9 Feb polis baru buka siasatan sebaliknya SPRM sudah tutup dan kata tidak ada kes. 9 Feb lewat petang pula kerana kenyataan SPRM maka MAINS telah keluar kenyataan ugut siapa sahaja bangkit isu skandal zakat akan dilapor polis kerana fitnah... 

10 Feb saya dan kawan kawan tampil ke SPRM dedah hampir semua bukti. Pegawai yang menerima bukti sendiri tak mampu kata apa kerana semua jelas ada penyelewengan. Saya terpaksa ugut jangan sampai saya terpaksa bangkitkan persoalan adakah ini ada kena mengenai dengan adik ipar Azam Baki (ketua SPRM) yang dilantik beberapa jawatan mewah bawah kerajaan NS ? 

Makin menarik bila 12 Feb, Pemuda Umno Rembau pula muncul di media serang MB N.Sembilan dalam isu Zakat ini. Shukri juga merupakan pembahas wakil NS yang bawa usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan dalam PAU baru ini. Jelas ia budak Mat Hassan dan diyakini Mat Hassan guna isu ini untuk serang MB NS untuk bagi tekanan dalam mereka sedang berebut kerysi bertanding PRN terdekat. Menariknya budak Timbalan Presiden Umno ini dedahkan SPRM menipu sebab macam mana nak tutup kalau no fail pun tak ada sebab fail tak dibuka. 

 12 Feb.juga saya melalui hubungan keluarga telah menyembah maklum kepada YM salah seorang Dato' Undang mengenai perkara ini. 

13 Feb lewat petang SPRM Putrajaya telah keluar kenyataan akui ada unsur kecurangan dan mula menyiasat kes skandal Zakat.

Kepada semua, khususnya masyarakat Islam Negeri Sembilan yakinlah mereka hanya sedang cuba cari kambing hitam atau sedang brli masa untuk kes ini dilupakan sebelum "disapu bawah karpet". Kena terus beri tekanan. 

Untuk pengetahuan semua khususnya orang NS, kes zakat ini hanya bukti kecil kelemahan dan penyelewengan kerajaan DAp PH NS. Cuma "tips of iceberg"...kita akan asak dengan banyak lagi pembongkaran.


T.kasih buat semua termasuk pihak media yang berani mengangkat isu ini.

Bersama MENGANGKAT MARTABAT NEGERI BERADAT

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jab.Warga Emas, Zailah sokong K/Pembangkang. & Skandal Zakat..

Blog ini sentiasa bersetuju bagi mengangkat dan membongkar isu-isu rakyat demi kemantapan negara tercinta ini. 

Insya  Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails