Thursday, March 30, 2023

M'sia perlu ke arah pengembangan teknologi dron?

 


Apa yang tersirat di sebalik serangan drone di Isfahan, Iran

BARU-BARU ini dunia dikejutkan dengan serangan drone ke atas fasiliti ketenteraan Iran di Isfahan. Iran mengecam serangan tersebut dan menyatakan ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa sambil menegaskan ia berhak untuk mempertahankan kedaulatannya dan akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman atau salah laku regim zionis Israel pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja yang difikirkan perlu.

Serangan drone tersebut telah mencetuskan kebimbangan akan berlakunya ketegangan yang memuncak di Asia Barat jika Iran bertindakbalas terutamanya terhadap negara haram Israel.

Terdapat beberapa penganalisa geopolitik antarabangsa berpendapat jika Iran bertindakbalas, ketegangan tersebut mampu mencetuskan gelombang konflik hingga ke Syria, Iraq, Yaman, Lubnan dan seterusnya kemungkinan mampu mencetuskan gelombang intifada baharu di Palestin.

Namun sebenarnya serangan drone tersebut mempunyai skop yang sangat luas dari segi konflik dan “peperangan geopolitik“ yang sedang berlangsung di dunia ketika ini. Ia bukan hanya tertumpu kepada ketegangan antara Iran dan negara haram Israel sahaja bahkan juga mencakupi konflik antara Rusia – Ukraine, pemulihan hubungan antara Iran – Arab Saudi, hubungan antara negara haram Israel – Rusia dan yang paling utama adalah pertembungan antara Barat dan seterunya.

Sebagaimana yang diketahui umum, konflik antara Iran – negara haram Israel telah berlegar di Asia Barat lebih dari dua dekad. Bagi negara haram Israel, Iran adalah penghalang utama kepada mereka untuk meluaskan cengkaman dan kuasa seterusnya mewujudkan “The Greater Israel“.

Sebagai satu contoh, kewujudan Hizbullah di Lubnan yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran “merencatkan“ agenda negara haram Israel untuk menguasai Lubnan.

Bagi Iran pula, negara haram Israel adalah “alat“ utama Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melumpuh dan menjatuhkan Republik Islam Iran yang diasaskan oleh Ayatollah Khomenei setelah menumbangkan Mohammad Reza Pahlavi, Shah Iran terakhir pada 1979.

Bagi Amerika Syarikat dan sekutunya, Iran mengganggu dan menjadi penyebab ketidakstabilan Asia Barat yang mampu menggugat cengkaman kekuasaan geopolitik dan hegemoni mereka di Asia Barat.

Selain daripada itu, hubungan rapat antara Iran dan Rusia turut memainkan peranan utama dan menjadi penyebab kepada Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melumpuh dan menjatuhkan Iran kerana bagi mereka, Iran adalah “launchpad“ kepada Rusia untuk meluaskan dan memperkukuhkan pengaruh dan kekuasaannya di Asia Barat sebagaimana Syria yang merupakan sekutu utama Iran di mana Rusia telah bertapak dan merencatkan agenda Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menumbangkan Basyar Al Assad.

Konflik Rusia – Ukraine

Amerika Syarikat dan sekutunya mendakwa bahawa Iran telah membekalkan drone “kamikaze“ Shahed 136 atau Geranium 2 kepada Rusia untuk melancarkan serangan ke atas Ukraine yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Ia juga telah menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik antara Iran dan Ukraine yang mana Ukraine telah melucutkan akreditasi Duta Iran ke Ukraine di samping mengurangkan bilangan diplomat Iran ke Ukraine.

Dakwaan tersebut juga telah menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutunya mengenakan sekatan baharu ke atas Iran terutamanya industri aero angkasa.

Apabila berlakunya serangan drone di Isfahan yang dipercayai fasiliti pembuatan drone, Ukraine memberi respon yang seolah-olah menyambut baik serangan tersebut.

Akibat daripada respon tersebut, Iran telah memanggil Duta Ukraine di Tehran untuk memberikan penjelasan terhadap respon tersebut di samping wujud dakwaan bahawa Ukraine turut memainkan peranan dalam serangan tersebut berasaskan hubungan baik antara Ukraine – negara haram Israel di samping takrifan “musuh bersama“ oleh Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk negara haram Israel.

Hubungan Rusia – Negara Haram Israel

Rusia sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan negara haram Israel walaupun dalam masa yang sama adalah sekutu utama Iran dan Syria yang menjadi musuh utama negara haram Israel di Asia Barat.

Sebagaimana yang diketahui umum, negara haram Israel sering kali melancarkan serangan udara di Syria termasuk operasi “black ops“ di Iran. Meskipun begitu, negara haram Israel masih mampu mengekalkan hubungan baik tersebut walaupun adakalanya agak genting.

Namun, apabila Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine, hubungan tersebut mula goyah. Di belakang tabir, negara haram Israel menyokong Ukraine walaupun tidak membekalkan senjata.

Negara haram Israel juga secara terang mengkritik Rusia dengan melabelnya telah melakukan jenayah perang di Ukraine yang telah menimbulkan kemarahan Rusia.

Di samping itu juga, negara haram Israel turut menerima tekanan hebat daripada Amerika Syarikat dan NATO untuk membekalkan senjata kepada Ukraine terutamanya sistem pertahanan udara Iron Dome.

Negara haram Israel dipercayai akan tunduk kepada desakan tersebut dan seterusnya ia bakal menghancurkan hubungan antara Rusia dan negara haram Israel yang menjadi agenda utama Amerika Syarikat dan NATO.

Beberapa hari lalu, Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu dalam wawancara dengan CNN menyatakan bahawa negara haram Israel sedang berkira-kira untuk menghantar bantuan ketenteraan kepada Ukraine termasuk sistem pertahanan udara Iron Dome yang dijangka penganalisa geopolitik antarabangsa bakal mengubah senario hubungan Rusia – negara haram Israel termasuk keadaan geopolitik di Asia Barat.

Hubungan Arab Saudi – Iran

Arab Saudi dan Iran ketika ini sedang dalam proses untuk memulihkan hubungan diplomatik setelah lebih dua dekad berseteru antara satu sama lain. Jika proses pemulihan hubungan diplomatik ini berjaya direalisasikan, ia akan menjadi “satu mimpi yang amat ngeri“ bagi Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk buat negara haram Israel kerana ia mampu mencetuskan gelombang perubahan besar di Asia Barat yang dijangka akan melenyapkan pengaruh Barat secara muktamad.

Dipercayai juga Rusia turut memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik tersebut yang memperlihatkan keakraban hubungan antara Rusia dan Arab Saudi.

Arab Saudi yang selama ini dilhat sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat dan menjadi pendokong kuat hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat ketika ini dilihat sudah mula bergerak secara beransur-ansur akrab dengan Rusia dan terbaharu dengan China.

Jika Arab Saudi berjaya memulihkan hubungan dengan Iran, ia secara automatik akan mengeratkan lagi keakraban Arab Saudi dengan Rusia dan China yang seterusnya akan menyebabkan “domino effect“ kepada negara-negara Asia Barat lain yang kemungkinan besar akan berpaling dari Amerika Syarikat dan sekutunya di mana kemudiannya Iran bersama Arab Saudi bakal muncul sebagai antara kuasa besar di Asia Barat yang mampu menggerunkan Amerika Syarikat dan sekutunya terutamanya negara haram Israel.

Oleh itu menurut beberapa penganalisa geopolitik antarabangsa, telah wujud usaha untuk menghalang usaha dan proses pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran dan dalam masa yang sama akan mampu menghalang kecenderungan Arab Saudi untuk menjadi lebih akrab dengan Rusia dan China kerana jika gagal untuk menghalang usaha tersebut dijangka ia akan mampu mengakhiri dominasi Barat ke atas Arab Saudi.

Pertembungan antara Timur dan Barat

Serangan drone ke atas fasiliti ketenteraan Iran di Isfahan mahupun konflik di Ukraine sebenarnya adalah lanjutan daripada pertembungan antara Timur dan Barat terutamanya antara China dan Rusia dengan Amerika Syarikat dan sekutunya dari Barat di mana ketika ini pengaruh kekuasaan dan hegemoni Barat yang diterajui Amerika Syarikat dan sekutunya telah berada di penghujung jalan dan berasa terancam dengan kebangkitan China dan Rusia.

Kebangkitan yang berpunca dari sistem unipolar yang diterajui Barat untuk mengawal dunia mengikut kemahuannya turut mengakibatkan blok Timur telah mula mewujudkan sistem multipolar yang menolak dominasi Barat. BRICS yang dipelopori China, Rusia, India, Brazil dan Afrika Selatan dijangka akan menerima kemasukan Arab Saudi, Turkiye, UAE, Iran, Argentina, Thailand, Indonesia dan beberapa negara lagi menjelang sidang kemuncaknya pada Ogos hadapan di Afrika Selatan.

BRICS dijangka menjadi seteru utama kumpulan negara-negara G7 yang sekian lama secara unipolar mendominasi ekonomi dunia. SCO atau Shanghai Cooperation Organisation yang diterajui China dan CSTO atau Collective Security Treaty Organisation yang diterajui Rusia dijangka akan menjadi pencabar utama kepada NATO tidak lama lagi yang sekian lama mendominasi Eurasia.

Dengan pelbagai lagi agenda yang bakal diterajui China dan Rusia, pertembungan Timur dan Barat ini akan merubah senario geopolitik dunia yang unipolar kepada dunia multipolar, dunia yang tidak lagi bergantung kepada Barat terutamanya kepada Amerika Syarikat dan sekutunya. Dengan Afrika yang ketika ini sudah mula “bergerak“ ke arah China dan Rusia, “pecutan“ untuk meninggalkan dunia unipolar yang diterajui Barat kini kelihatan sudah hampir sampai ke garis penamatnya.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI  Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 4/2/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia perlu kearah pengembangan teknologi dron?

Begitulah sepatutnya, apalagi dalam usaha mempertahankan agama Allah SWT.

Lagi atlet M'sia berpakaian telanjang. Hukum Aurat.

 

Zaidatul Husniah Zulkifli (kanan) memenangi pingat emas dalam acara 100m wanita pada Kejohanan KL All Comers 2023 di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. NSTP/FATHIL ASRI.

1. Zaidatul tiada tandingan

KUALA LUMPUR: Atlet pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mendapat tonik terbaik dalam persiapan ke Sukan SEA Kemboja, Mei depan selepas memenangi pingat emas 100 meter (m) wanita di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers, hari ini.

Pelari berusia 30 tahun itu yang membawa cabaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mencatatkan masa terpantas pada aksi final di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dengan catatan 11.74 saat (s).

Dia mengatasi atlet Sabah, Nur Aishah Rofina Aling yang mencatat 12.14s manakala S Komalam yang mewakili Perak ketiga dengan catatan 12.22s.

Zaidatul yang memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, berkata kejohanan kali ini dianggap sebagai pemanas badan buat dirinya sebelum beraksi di Terbuka Filipina yang bermula Selasa ini.

"Saya jadikan kejohanan ini sebagai medan untuk dapatkan 'feel' sebelum berlari di Terbuka Filipina.

"Kalau ikutkan keputusan menyertai KL All Comers ini dibuat pada saat akhir atas permintaan jurulatih untuk buat catatan masa sebagai persiapan sebelum ke Filipina," katanya ketika ditemui selepas tamat aksi final.

Sementara itu, saingan 100m lelaki menyaksikan atlet Selangor mendominasi kedudukan podium dengan Adam Hakim muncul juara selepas merakam masa terpantas 10.68s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Adam, Nabil Alwani yang mencatat masa 10.79s manakala Thaqif Hisham 10.81s. ( Mac 18, 2023 @ 6:26pm) (BH)


2. Aishah Rofina sasar layak ke Sukan SEA Kemboja 

Atlet UMS, Nur Aisyah Rofina Aling (kiri) menjuarai acara 100 meter wanita Kejohanan Olahraga IPT di Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah. 

KUALA LUMPUR: Selepas menutup musim 2022 dengan keputusan positif, pelari pecut dari Sabah, Aishah Rofina Aling kini mahu memberi tumpuan memburu slot kelayakan ke Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Aishah menutup kempen 2022 dengan cemerlang apabila meraih gelaran ratu pecut pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final) semalam dan baginya, masih ada ruang untuk membuat penampilan sulung pada temasya peringkat Asia Tenggara itu. 

Beliau berhasrat layak secara automatik ke Kemboja dan untuk itu, dia harus melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu 11.66 saat (s). Katanya, ia boleh direalisasikan pada dua kejohanan yang bakal disertainya tahun depan. (2022)

Komen Weblog Ibnu HasyimSukan di M'sia atlet wanita, masih 'berpakaian telanjang'..

Mengapa disebut begitu?

Lihat fatwa ini..

IRSYAD AL-FATWA KE-73: HUKUM PEREMPUAN BERPAKAIAN MENAMPAKKAN BENTUK TUBUH DAN HUKUM BAGI ORANG YANG SENGAJA MELIHAT AURAT ORANG LAIN

SOALAN

Apakah hukumnya di sisi Islam bagi orang perempuan berpakaian menampakkan bentuk tubuh dan apakah hukumnya bagi orang yang sengaja melihat aurat orang?


JAWAPAN

Dalam menjawap persoalan ini, saya kemukakan beberapa noktah:

            Menampakkan tubuh dengan berpakaian seperti itu tidak dibolehkan dalam Islam kerana melanggar adab berpakaian yang yang sepatutunya longgar bagi perempuan.

            Melihat aurat orang lain secara sengaja hukumnya adalah berdosa dengan nas al-Quran dan hadis. Mengikut pendapat yang rajah dan sahih suara perempuan bukanlah aurat. Ia hanya dikira sebagai aurat jika suara berkenaan digunakan untuk perkara yang boleh menarik perhatian kaum lelaki.

            Kami menukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam berkenaan dengan ciri pakaian yang sepatutnya dipakai oleh wanita, antara lain katanya:

  • Pakaian wanita muslimah hendaklah bersopan sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Manakala pakaian ala Islam ialah kesemua pakaian yang terkumpul padanya sifat-sifat ini:
    • Pakaian itu hendaklah menutup aurat semua badan wanita keuali apa yang dibolehkan oleh al-Quran dan anggotanya yang ternampak yang menurut qaul yang diberatkan, iaitu wajah dan kedua tapak tangan sahaja.
    • Pakaian itu bukan dari jenis yang jarang, sehingga dapat menampakkan apa yang dibelakangnya kerana Nabi SAW bersabda:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا، قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ، مَائِلاَتٌ رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ المَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا 

Maksudnya: “Dua golongan termasuk ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian separuh bogel (kerana memakai pakaian yang nipis atau yang menampakkan susuk badan), yang berjalan dengan berlenggang lenggok (seperti perjalanan seorang pelacur), yang kepalanya terhuyung-hayang laksana kelana unta yang bergoyang-goyang, wanita-wanita itu tidak akan memasuki syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.”

            Ini kerana pakaian wanita itu tidak berfungsi menutup tubuhnya kerana terlalu nipis sehingga ternampak badannya yang berkeadaan seperti dia tidak berpakaian sama sekali.

            Satu peristiwa datang serombongan kaum wanita dari suku Bani Tamim untuk menziarahi Saidatina Aisyah RA dengan berpakaian nipis, maka Saidatina Aisyah RA secara terang-terangan berkata kepada mereka: “Jika kamu sekalian dari wanita mukmin iaitu beriman dengan sebebar-benar iman, maka pakaian-pakaian yang kamu pakai ini bukanlah dari pakaian orang yang beriman.”

            Dalam peristiwa lain, datang beberapa orang wanita membawa seorang pengantin perempuan yang memakai tudung yang nipis, sehingga kelihatan perhiasan kepalanya, maka Saidatina Aisyah RA berkata: “Wanita yang memakai seperti ini, ialah wanita yang tidak beriman.”

  • Pakaian itu tidak terlalu sempit sehingga melekat pada semua anggota badan, dan kerana itu ternampaklah susuk badan wanita itu, meskipun pakaian itu tidak nipis seperti pakaian moden masa kini. Maka pemakai pakaian seperti ini tidak terlepas dari maksud hadis di atas sebagai wanita-wanita yang separuh bogel bahkan pakaian seperti ini tidak terlepas dari maksud hadis di atas sebagai wanita-wanita yang separuh bogel bahkan pakaian seperti ini lebih mudah memberifitnah kepada pemakaianya.
  • Pakaian itu bukan dibuat khusus untuk kaum lelaki seperti pakaian pantelon atau seluar ketat dan sebagainya yang sudah terkenal pada masa kini, kerana Rasulullah SAW pernah melaknat wanita-wanita yang menyerupai lelaki sebagaimana Baginda melaknat lelaki yang menyerupai wanita. Demikian Baginda melarang wanita memakai pakaian lelaki dan lelaki memakai pakaian wanita.
  • Jangan sampai pakaian itu sudah terkenal sebagai pakaian orang-orang kafir dari kaum Yahudi, kaum Nasrani dan kaum Wathani penyembah api dan berhala kerana keinginan hendak meniru atau menyerupai orang-orang ini sangat dilarang oleh Islam yang mahukan lelaki dan wanitanya berlainan dari mereka dan bebas dalam bentuk dan rupa. Kerana itulah Islam memerintahkan kita supaya bersikap berbeza daripada orang-orang kafir itu dalam banyak hal yang mana disimpulkan oleh Rasulullah SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka samalah dia seperti mereka.”

Riwayat Ahamd, Abu Daud (4031) dan al-Tabarani (8/179)

 

  • Wanita muslimah hendaklah bersopan santun dalam perjalanannya dan dalam bicaranya menjauhi minat orang dalam segala gerak geri badannya dan penonjolan wajahnya kerana sikapnya bergaya dan menggoda itu adalah tabiat perempuan lacur dan bukan dari tingkah laku wanita muslimah. Firman Allah SWT:

فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَعْرُوفاً

Maksudnya: Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (sentiasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).

(Surah al-Ahzab: 32)

  • Jangan sekali-kali wanita muslimah itu sengaja menarik perhatian lelaki kepada apa yang disembunyikan dari perhiasan dirinya dengan memakai wangian macam mana sekalipun atau memakai benda-benda yang berbunyi dalam rentak langkah kakinya atau seumpamanya. Allah SWT berfirman:

وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا

Maksudnya: Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

(Surah al-Nur: 31)

            Pada zaman jahiliah, apabila seseorang wanita itu berjalan dengan menghentak-hentak kaki supaya menarik perhatian orang ramai agar mereka memperdengarkan gelang kakinya, maka perbuatan seperti itu boleh menghidupkan khayalan lelaki yang menyimpan gelora nafsu syahwat yang jahat terhadap wanita itu. Perbuatan seperti itu menunjukkan bahawa wanita itu menyimpan niat buruk untuk menarik dan minat golongan lelaki terhadapnya.

            Dalam maksud ini juga, dari segi hukumnya apabila seorang wanita memakai wangian dan bau-bauan yang mengharumkan sesiapa sahaja yang menghidunya untuk membangkitkan nafsu dan menarik perhatian lelaki kepadanya. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَعْطَرَتِ المَرْاةُ فَمَرَّتْ عَلَى الْقَوْمِ لِيَجِدُوا رِيحَهَا فَهِيَ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya:  “Apabila seseorang wanita itu memakai wangian, lalu dia melintas tempat perkumpulan (lelaki), maka dia begini dan begini..”

Riwayat Abu Daud (4713)

Dan riwayat yang lain menyebut:

كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ وَالمْرَاْةُ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ بِالْمَجْلِسِ فَهِيَ كَذَا وَكَذَا يَعْنِي زَانِيَةً

Maksudnya: “Setiap mata melakukan zina. Apabila wanita memakai wangian, lalu dia melintasi tempat duduk sekumpulan orang lelaki supaya mereka tercium baunya, maka dia samalah seperti wanita pelacur.”

Riwayat al-Tirmizi (2786)          

Kesimpulannya, kita tahu bahawa islam tidak memaksa kaum wanita supaya duduk di dalam rumah sahaja dan tidak keluar dari rumahnya melainkan kubur, sebagaimana yang didakwakan oleh sesetengah orang.

            Bahkan wanita Islam membenarkan wanita keluar untuk menunaikan solat, mencari ilmu serta memenuhi keperluan dirinya serta kepentingan agama dan dunianya dibolehkan. Sebagaimana contoh, yang dilakukan oleh isteri-isteri para sahabat dan generasi yang akan datang selepas mereka dikira dari sebaik-baik zaman. Di antara mereka, ada yang keluar untuk menyertai kaum lelaki dalam peperangan dalam penaklukan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri berterusan kepada zaman para khalifah yang empat dan pemimpin-pemimpin Islam yang lain. Rasulullah SAW bersabda kepada isterinya Saudah RA:

قَدْ أَذِنَ الله لَكُنَّ أَنْ تَخْرُجْنَ لَحِوَائِجِكُنَّ

Maksudnya: “Sebenarnya Allah telah membenarkan kamu (kaum wanita) keluar untuk memenuhi urusan-urusan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (5237)

Dan sabdanya lagi:

إِذَا اسْتأذَنَتْ اِمْرَأَةُ أَحَدِكُمْ إِلَى المَسْجِدِ فَلاَ يَمْنَعَهَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang isteri kamu meminta izin pergi ke masjid, maka janganlah melarangnya.”

Riwayat al-Bukhari (5238)

Dan sabdanya lagi:

لاَ تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah (iaitu kaum wanitanya) dari pergi ke rumah-rumah Allah (masjid).” Riwayat Muslim (442) Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri 

Mufti Wilayah Persekutuan. 03 Zulkaedah 1436H bersamaan 18 Ogos 2015

PBB sebenanya merancang kahancuran Taliban, ini bukti.. & Denmark.

 

FOTO: AFP

1. Taliban berkas aktivis terkenal perjuang hak gadis dapat akses pendidikan – Misi PBB

MOSCOW : Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) memaklumkan bahawa pergerakan Taliban telah menahan seorang aktivis terkemuka yang memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan mendapat akses pendidikan.

Justeru UNAMA menyeru pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya serta memastikan beliau mendapat akses kepada undang-undang dan keluarga,” menurut UNAMA menerusi ciapan di Twitter.

Selepas Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021, ia mengarahkan semua pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa menggantung perkhidmatan pekerja wanita mereka.

Taliban menghalang wanita dan kanak-kanak perempuan daripada menghadiri sesi persekolahan dan pengajian di peringkat menengah dan universiti.

Keputusan pihak berkuasa Afghanistan telah dikritik keras oleh organisasi antarabangsa dan pemimpin global.

Menurut laporan UNICEF yang dikeluarkan Ogos lalu, hakikat bahawa gadis di Afghanistan dihalang mendapat akses pendidikan telah menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara sekurang-kurangnya AS$500 juta sejak larangan itu diperkenalkan, iaitu bersamaan 2.5 peratus daripada KDNK.  -BERNAMA


2. PBB rancang kurangkan bantuan kepada pentadbiran Taliban  

FOTO: REUTERS

KABUL: Keengganan pentadbiran Taliban bertoleransi berhubung hak asasi wanita bakal memberi kesan kepada Afghanistan apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merancang mengurangkan bantuan dan pembiayaan pembangunan terhadap negara itu selagi tiada langkah positif yang ditunjukkan.

Menurut wakilnya, Roza Otunbayeva, PBB membuat rayuan dana kewangan berjumlah AS$4.6 bilion untuk dihantar ke Afghanistan dalam usaha membantu 28 juta penduduknya.

Ketika ini, kaum wanita di Afghanistan dilarang keluar daripada rumah masing-masing tanpa ditemani saudara lelaki dan perlu menutup muka jika terdapat sebarang urusan.


Selain itu, pentadbiran Taliban turut mengharamkan wanita meneruskan pembelajaran di peringkat sekolah tinggi dan universiti serta bekerja dengan kumpulan bantuan.

Setakat ini, Amerika Syarikat adalah penderma terbesar rancangan bantuan PBB 2022 di Afghanistan dengan menyumbang lebih AS$1 bilion. – REUTERS


3. PAS kecam insiden bakar Al-Quran di Denmark 

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab kumpulan ekstremis anti Islam berhaluan kanan Denmark Patrioterne Gar Live yang membakar naskah suci Al-Quran termasuk mempamerkan sepanduk anti Islam di hadapan bangunan Kedutaan Turkiye di Copanhagen, Denmark Jumaat lalu sebagai amat keterlaluan, ekstrem dan menghina kesucian agama Islam.

Ia adalah satu tindakan yang amat rasis dan Islamofobia yang melampau apatah lagi ia dilakukan di bulan Ramadan yang mulia ini di mana ia sememangnya akan mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia sesudah tindakan ahli politik ekstremis berhaluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan yang melakukan tindakan serupa di Stockholm, Sweden hujung Januari lalu.

Di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh tawaduk dan kesyukuran dan dunia berada di ambang ketidaktentuan berikutan pelbagai konflik yang berlaku, insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara agama yang mampu membawa kepada kesan dan akibat yang amat buruk kepada keamanan sejagat dan dunia.

Kebebasan bersuara yang diamalkan Barat sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama yang lain. Adalah amat tidak wajar kepada mana-mana individu dan kumpulan dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutamanya dalam bentuk provokasi seperti membakar Al Quran mahupun melukis karikatur berupa Nabi Muhammad SAW.

Dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab ini yang telah mencemarkan kesucian agama Islam tambahan lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
6 Ramadan 1444H / 28 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 28/3/2023

Komen Weblog Ibnu HasyimPBB sebenanya merancang kahancuran Taliban, ini bukti sebagai bahan kempen PBB di atas. 

Kegagalan AS menjajah Afghanistan menjadi dendam AS yang tak mampu dibalas. Tak dapat tanduk, telinga dipulas, antara kegagalan AS.

Dan PAS kecam insiden bakar Al-Quran di Denmark. Al-hamdulillah!

Thai Hot Guy, pogram X bermoral, & feyen maksiat.

 

Ahmad Fadhli

1. Thai Hot Guy sesuai dengan Malaysia Madani?

KUALA LUMPUR: Penganjuran program Hot Thai Guy yang dijadualkan berlangsung di sebuah bar di sini menimbulkan persoalan adakah ia bersesuaian dengan konsep kerajaan Malaysia Madani.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, Dasar Malaysia Madani sudah pasti merangkumi semua aspek bukan sekadar ekonomi semata-mata.

“Ia tidak dapat lari daripada perkara tiga dalam Perlembagaan Malaysia berkaitan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Saya ingin merujuk pada satu program yang dinamakan sebagai Thai Hot Guy  yang dijadualkan akan berlangsung pada 30 Mac ini yang dikatakan akan berlaku di Privasi Kelab Tun Razak menampilkan pelayan-pelayan lelaki berpakaian wanita yang diiklankan secara terbuka di internet,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Apa yang beliau kesali adalah program itu  lebih malang program itu diadakan di bulan Ramahan ketika umat Islam di negara ini menjalani ibadah puasa.

“Adakah program sebegini sesuai dengan kerangka Malaysia Madani dan jika tidak (sesuai), saya yakin bahawa ia (sepatutnya) akan diusahakan untuk dibatalkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Dato’ Ugak Anak Kumbong berkata, dasar Malaysia Madani yang dibawa kerajaan merangkumi seluruh rakyat di Malaysia.

“Program sebegini (Hot Thai Guy)  janganlah dibawa masuk (ke Malaysia). Saya mohon kerajaan tidak akan meneruskan program tidak sihat itu kerana rakyat Malaysia ini terdiri dari berbilang kaum dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023


2. PAS kesal penganjuran acara tidak bermoral 


PAS amat kesal dan membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar bernama Privacy Club Tun Razak pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur atas dasar ia adalah keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan.

Menurut makluman mengenainya di akaun Facebook bar berkenaan, acara yang dijadualkan bermula jam 6:00 petang dan terhad kepada 250 pengunjung itu akan menampilkan persembahan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita, dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.  

Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam Bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris itu yang turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.

PAS menggesa pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas sangat berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, apatah lagi diadakan pada Bulan Ramadan.

Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama. 

Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.  

Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini.   

Dalam pada itu PAS juga kesal apabila nama bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar. 

Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.

Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran.

Terima kasih.  

TAKIYUDDIN HASSAN 
Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh: 22 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 22/3/2023


3. Dilabel fesyen 'tak masuk akal' 

Penyanyi antarabangsa, Bjork tampil gaun berbentuk angsa, ketika Academy Awards 2021 dianggap fesyen unik dan pelik. - Foto AP

KEBERANIAN pereka fesyen masa kini bereksperimentasi, misalnya tampil dengan rekaan di luar kotak, unik dan jarang diterokai, kerap berakhir dengan kecaman antaranya dilabelkan sebagai 'tidak masuk akal'.

Cita rasa, perspektif dan pengetahuan terhadap dunia fesyen yang berbeza-beza biasanya mewujudkan jurang terutama dari segi penerimaan terhadap sesebuah rekaan.

Bagi pengkritik dan pengulas fesyen, Zaihani Mohd Zain, sesebuah rekaan itu sifatnya subjektif, ia bergantung kepada si pemakai dan komuniti fesyennya.

"Mengenai fesyen tak masuk akal….pada saya tak semua orang faham mengenainya (fesyen). Contohnya, penyanyi luar negara, Bjork, dia pernah tampil dengan gaun berbentuk angsa. Itu mungkin strateginya… dan dari segi rekaan pun tak salah.

"Begitu juga jika di Malaysia, kita lihat bagaimana Melinda Looi yang banyak hasilkan baju penyanyi Aina Abdul. Aina mungkin perlukan busana yang boleh memberikan tenaga kepada persembahan nyanyiannya.

"Malah, sebagai pereka fesyen, Melinda melakukan kerjanya dengan baik.

"Jika kita lihat, ada sinergi yang baik antara pemakai, iaitu Aina dengan perekanya, Melinda," katanya.

Sentuhan rekaan tersekat jika dikawal

Mengulas lanjut, Zaihani berkata, proses kreatif seseorang pereka itu boleh tersekat jika karya atau sentuhannya terlalu dikawal.

"Kita tidak boleh hentikan proses kreatif, sebaliknya hormat (pembawakan) fesyen dan beri ruang yang sepatutnya.

"Sama ada ia masuk akal atau tak, sangat subjektif, tetapi sebagai sebahagian penggiat industri fesyen, saya amat menyokong rekaan sedemikian," katanya.

Menyentuh mengenai industri fesyen semasa, jelasnya, cabaran bagi pereka pada masa kini jauh lebih besar berbanding era sebelumnya.

"Jika lihat kepada peredaran zaman, era 50 hingga 90-an dengan masa kini jauh berbeza. Situasi fesyen sekarang sangat menarik dalam masam sama, amat mencabar.

"Misalnya trend fesyen kembali ke era 70-an, tetapi ia bukanlah serupa sebagaimana rekaan dahulu, pereka mesti fikir bagaimana nak masukkan unsur 70-an tetapi dengan nilai estetika semasa," katanya.

Idea kreatif, buka minda untuk jadi pereka berjaya

Justeru, katanya, pereka fesyen terutama dalam kalangan bakat baharu perlu mempunyai kefahaman kukuh mengenai proses rekaan.

"Perkara ini amat penting, pertama, pemilihan subjek utama, barulah rekaan dihasilkan, ada keasliannya dan lain daripada yang lain. Jika hendak berada dalam industri kreatif ini, perlu sentiasa buka minda.

"Bayangkan dulu kita nilai sesuatu fesyen itu secara 'direct' (sehala), jika cantik dikatakan cantik. Sekarang tidak, proses rekaan itu termasuk emosi…bagaimana memasukkan emosi dan terjemahkannya dalam bentuk rekaan," katanya.

Tambahnya, pemahaman terhadap keseluruhan proses rekaan fesyen juga penting bagi memastikan keupayaan untuk bertahan dalam industri ini.

"Jika lihat dari sudut pencapaian, prestasi industri fesyen kita baik, cuma yang merisaukan adalah apabila saya lihat 'fashion show', komposisi koleksi itu…katalah ada 30 busana, namun tak ada kesinambungan di antara satu rekaan dengan rekaan lain.

"Daripada situ kita boleh lihat cara (pereka) itu berfikir, sama ada sistematik atau tidak. Jika tak ada kesinambungan, susah untuk seseorang itu bertahan lama," katanya.

Pereka perlu bersedia terima kritikan

Pensyarah Kanan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid, berkata pereka atau individu yang memakai fesyen 'unik' perlu bersedia dengan apa sahaja kritikan.

"Satu mengenai fesyen, ia bukan (semata-mata) trend. Ia mengenai siapa diri anda, bagaimana anda mengekspresikan diri dan memilih busana yang selesa serta digemari. Maksudnya…anda menjadi diri sendiri.

"Pada saya, pakaian kita turut menyampaikan cerita. Tak perlu huraikan kenapa pakai sesuatu pakaian itu, orang akan lihat. Sama ada mereka nak terima atau tidak, itu hak masing-masing," katanya.

Tambahnya, selagi pakaian yang dikenakan tidak melanggar sosio budaya, maka kita perlu terbuka kepada sebarang komen atau kritikan.

"Bila kita berpakaian dan paparkan kepada khalayak, maka (orang awam) ada hak untuk komen. Sebab kita sendiri pilih untuk paparkan. Sama ada suka atau tidak, itu terpulang kepada citarasa masing-masing," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Thai Hot Guy, pogram X bermoral, & feyen maksiat.

Inikah Malaysia Madani PMX? 

Wednesday, March 29, 2023

Mana bukti jaminan kehakiman bebas? Letak jawatan! & NST.

 


1. Kes pemimpin tertinggi kerajaan tiada campur tangan eksekutif?

KUALA LUMPUR: Apa jaminan dan langkah kerajaan untuk memastikan institusi kehakiman diberikan kebebasan sepenuhnya dan tiada campur tangan daripada badan eksekutif khususnya dalam kes yang melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan itu kepada Perdana Menteri pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana di bawah.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Perdana Menteri menyatakan strategi dan solusi Kementerian untuk menangani kos haji dan umrah yang melonjak naik sejak kebelakangan ini.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah tindakan yang telah diambil untuk mewujudkan lebih banyak persaingan dalam industri yang dikaitkan dengan kartel atau monopoli seperti simen, ayam, telur, gula dan lain-lain.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan langkah jangka panjang diambil bagi mengurangkan kadar bankrupsi dalam kalangan usahawan Bumiputera yang baru serta meningkatkan kemampanan golongan terbabit.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kementerian bercadang menambah bilangan anggota Angkatan Tentera Malaysia untuk menampung keperluan pekerjaan anak- anak muda di samping mendisiplinkan dan meningkatkan jati diri mereka kerana bilangan anggota tentera yang besar merupakan aset ketenteraan negara yang paling utama yang menjaga keamanan negara.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan dalam tempoh 3 tahun ini (2020 – 2022) apakah platform media sosial yang banyak digunakan oleh rakyat Malaysia dan nyatakan juga apakah kesan langsung Kod Kandungan 2022 yang dijadikan sebagai panduan siaran di media sosial.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan apakah dasar pendidikan yang dirangka oleh Kerajaan bagi menjamin peluang murid tahfiz dan pondok untuk menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Perdana Menteri menyatakan adakah terdapat cadangan untuk memasang pengacau isyarat (jammer) terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand untuk mengekang jenayah rentas sempadan.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Ekonomi menyatakan pendirian terhadap semua projek mega di negeri Kedah yang telah diluluskan oleh Kerajaan sebelum ini, apakah ianya akan diteruskan atau tidak. Jika diteruskan, apakah statusnya yang terkini.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan berapa jumlah pengedar dari kalangan Bumiputera berbanding pengedar non-bumi bagi perniagaan pengedaran kereta nasional Proton khususnya di kawasan Lembah Klang dan juga di seluruh negara.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sejauh mana ketelusan Kerajaan dalam melaksanakan sekatan terhadap kandungan digital di media sosial terutama yang menjurus kepada fitnah dan berita tidak benar.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah projek-projek utama Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan di Kelantan pada tahun 2020 – 2022 dan adakah Kerajaan akan meneruskan projek-projek tersebut.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) pendirian Kerajaan mengenai duit tahanan peneroka FELDA yang memotong 15-20% gaji bulanan peneroka, namun jumlah penolakan hanyalah kurang daripada 10% secara purata setiap bulan; dan

(b) ke manakah duit tersebut digunakan sebelum pembayaran lebihan duit tahanan dibuat pada bulan seterusnya.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Perdana Menteri menyatakan kesediaan Kerajaan mempertimbang agihan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen secara sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan untuk tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah terutama terhadap kes mahkamah berprofil tinggi.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan memandangkan bahawa Astro satu-satunya syarikat yang membekal perkhidmatan penyiaran tersebut. Adakah Kementerian bercadang untuk meluluskan peraturan baru untuk menyekat monopoli supaya menggalakkan persaingan sihat di antara syarikat-syarikat penyiaran.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan:

(a) peratusan capaian rangkaian jalur lebar 5G di seluruh negara sehingga kini; dan

(b) sasaran tahun capaian rangkaian jalur lebar 5G bagi seluruh Parlimen Kepala Batas.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Perdana Menteri menyatakan bilakah Kerajaan akan melaksanakan pemberian 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan dan langkah Kerajaan untuk memastikan institusi kehakiman diberikan kebebasan sepenuhnya dan tiada campur tangan daripada badan eksekutif khususnya dalam kes yang melibatkan pemimpin tertinggi Kerajaan.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan perkembangan siasatan berhubung dakwaan kempen Perikatan Nasional di dalam PRU15 yang lalu turut dibiayai oleh dana daripada syarikat perjudian.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah usaha-usaha Kementerian untuk mempercepat penyerahan rumah generasi kedua FELDA yang telah siap kepada pembeli.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan penilaian dasar separuh penggal terhadap Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 bagi membentengi penularan gejala perlakuan LGBT yang semakin berkembang dalam negara.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Perdana Menteri menyatakan pelaksanaan sistem TRIS (Tracking Refugees Information System) dan MyRC untuk pelarian dan pemegang kad MyRC diberikan ruang untuk berkerja dan bersekolah secara formal, termasuk di universiti dan kolej swasta.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan meneruskan pembahagian peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen termasuk Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan bilakah Kerajaan akan menubuhkan Majlis Media Malaysia dan adakah ia memerlukan pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. – HARAKAHDAILY 28/3/2023


2. Menteri Pendidikan, timbalan patut letak jawatan 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Lim Hui Ying, meletakkan jawatan masing-masing berikutan kegagalan menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Hui Ying gagal menjawab soalan nombor 16 yang dikemukakan oleh Ahmad Marzuk.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, keadaan itu tidak pernah berlaku sepanjang pengalamannya sebagai Ahli Parlimen, malah kegagalan Hui Ying menjawab soalan ditegur Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.

“Soalan ini dijemput oleh Speaker untuk menteri jawab. Menteri tidak ada di dalam dewan (Dewan Rakyat) tetapi timbalan menteri ada di dalam dewan.

“Sayangnya, timbalan menteri kata, dia tidak menyediakan jawapan, dia tidak bersedia dan dia minta maaf kerana tidak ada jawapan.

“Ini suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Walaupun, saya bangun lagi bertanya, adakah kalau soalan asal tiada jawapan, soalan tambahan boleh tak? Sebab seorang timbalan menteri kena datang dengan persediaan, kalau datang sekadar untuk memenuhi kerusi di sebelah sana, itu bukan tanggungjawab seorang menteri.

“Kalau soalan asal dia tidak boleh jawab, sepatutnya dia boleh jawab soalan tambahan, sebab soalan tambahan memang spontan dan tidak ada jawapan yang disediakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, kegagalan menjawab soalan juga merupakan suatu pembaziran kepada wang kerajaan yang menggaji timbalan menteri, tetapi tidak melaksanakan tugasnya.

“Jadi saya rasa ini suatu pembaziran wang kerajaan menggaji seorang timbalan menteri yang tidak melaksanakan tugas dia, benda yang paling mudah iaitu menjawab soalan.

“Jadi saya hari ini mengusulkan supaya menteri dan timbalan menteri berkenaan supaya berundur dan meletakkan jawatan. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

Lim Hui Ying ditegur gagal berikan jawapan 


KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menegur Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang gagal menyediakan jawapan terhadap soalan dikemukakan bagi pertanyaan jawab lisan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan nombor 16 Ahmad Marzuk adalah mengenai peruntukan dan mekanisme pemantauan makanan Program Rancangan Khas (RMT).

Datuk Ramli Mohd Nor berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi gambaran yang tidak baik kepada kerajaan.

“Yang Berhormat (Timbalan) Menteri, perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Saya berharap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum tentang perkara ini. Ia memberikan satu senario yang tidak baik kepada kerajaan,” katanya.

Hui Ying kemudian meminta maaf dan berjanji perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, sebelum itu bangkit mempersoalkan kenyataan Hui Ying yang berkata beliau tidak menyediakan jawapan kepada soalan yang dikemukakan dan meminta untuk memberikan jawapan bertulis.

“Yang berhormat (Timbalan) Speaker, ini tidak sepatutnya berlaku dalam dewan. Soalan ini sudah lama dikemukakan. (Timbalan) Menteri mesti sediakan jawapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2023


3. PAS Selangor tuntut permohonan maaf dari NST  


PAS Selangor merujuk kepada laporan akhbar New Straits Times bertajuk ‘PAS goes against Selangor Sultan saying Muslims can’t visit churches temples‘ yang dimuatnaik pada 27 Mac 2023 dan menegaskan laporan tersebut adalah suatu fitnah terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pesuruhjaya PAS Selangor.

PAS Selangor di dalam Kenyataan Media Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi bertarikh 26 Mac 2023 menyatakan PAS Selangor menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor yang menegaskan kembali pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah-rumah ibadat bukan-Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.  

PAS Selangor di dalam kenyataan media tersebut sama sekali tidak menyebut larangan terhadap orang Islam untuk melawat gereja atau kuil selain bagi maksud mempelajari agama dan kepercayaan lain.  

Oleh itu PAS Selangor menegaskan laporan akhbar New Straits Times tersebut telah dibuat dengan niat tidak baik dengan tujuan untuk memburukkan imej dan nama baik Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.51 Sijangkang dan Ahli Parlimen P.112 Kuala Langat dan dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan baik beliau dengan pihak Istana.

PAS Selangor mendesak pihak New Straits Times dengan seberapa segera untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang memfitnah PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut. 

PAS Selangor tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi.  

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
Badan Perhubungan PAS 
Negeri Selangor 
Selasa 
28 Mac 2023/ 6 Ramadan 1444 – HARAKAHDAILY 28/3/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mana bukti jaminan kehakiman bebas? Letak jawatan! & NST.

Macam ni punya kerajaan berserabut, elok ditukar atau diturunkan dalam PRU akan datang.