Friday, May 26, 2023

Membangun bersama kasino.. Pili George Town & buli K'tan

 


1. Kasino di Sarawak: Apa pandangan anda?

BARU-baru tok kita dengar daripada pihak Menteri di Sarawak, bahawa sebuah pusat rekreasi akan dimajukan. Dan dimaklumkan juak bakal menjadi Genting Highland yang kedua.

Aokbena ya. Yang dimaksudkan adalah Borneo Highlands, dan isunya dalam perihal tok adalah pembinaan, pembukaan kasino di Sarawak.

Okaylah, camtok… kamek maok kongsikan empat perkara yang menyebabkan kita orang Sarawak perlu berfikir semula, walaupun keputusan ya di tangan Menteri tapi kenak ingat undi dan gaji Menteri adalah dari orang Sarawak.

Pertama sekali, kita nangga Sarawak dari sudut ekonomi, atau lebih tepat lagi eko-pelancongan, seperti yang ditekankan oleh Menteri. Bukan nak madah Sarawak tok sik membangun, ekonomi kita lemah. Sarawak tok kaya. Kaya dengan hasil, kaya dengan tenaga kerja. Bahkan kaya dengan produk-produk masyarakat di beberapa tempat. 

Kamek kedirik pernah ke Belawai, Pusa, dan tempat-tempat yang ‘terpencil’ di Sarawak. Dan banyak alu produk-produk tempatan yang boleh dipasarkan dan dikomersilkan. Tapi sayang, produk dan usaha orang kampung hanya terhenti di kampung ajak

Sik sampey keluar dari kampung. Bayangkan mun ekonomi macam tok digemblengkan, apa jadi dengan masyarakat di tempat ya? Dan apa bakal jadi pada Sarawak? Kamek ambil contoh di tempat kamek kedirik, Miri. Miri tok bandar tepi laut. Tapi eko-pelancongannya sik dimajukan. Sedangkan laut dan pantai Miri tok kacak, bersih dan landai gik. Boleh dibangunkan eko-pelancongan, khususnya perusahaan kecil-kecilan di pantai Miri. 

Keduanya, peluang pekerjaan. Point tok akan berkait dengan point kamek yang ketigag lekak tok. Apabila kita bukak sigek tempat kerja, sudah pastilah kita perlukan kepada pekerja dan ya akan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Sama juak dalam hal kasino tok. Memang akan membuka peluang pekerjaan pada orang Sarawak, cuma dari sudut kebaikan apa yang akan diberikan kepada pekerja dan masyarakat? 

Orang Sarawak masing-masing tauk yang Sarawak tok besar, banyak sumber, banyak ruang dan peluang pekerjaan. Apa jadi dengan anak muda kita yang masih mencari dan menunggu tawaran pekerjaan? Justeru di sitok, kamek mencadangkan agar difokus kepada pembangunan kerjaya anak muda yang boleh membina dan membawa negeri Sarawak ke tahap yang lebih baik dan lebih tinggi daripada zaman hari tok

Peluang seperti teknologi dan maklumat, keperluan kehidupan seperti Foodpanda dan Grab dan lain-lain, boleh dipelopori oleh anak-anak muda sama ada lelaki mahupun perempuan. Menjadikan anak-anak muda Sarawak sebagai pelapis dan peneraju utama Sarawak di masa depan adalah lebih utama berbanding pembukaan kasino di Sarawak. Kenak kamek padah giya? Kamek akan sambung pada point  seterusnya  lekak tok. Jadinya, tumpukanlah peluang pekerjaan orang Sarawak kepada peluang yang lebih baik. IKBN, ILP, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, PPKS, IKM dan yang sewaktu dengannya adalah lubuk untuk kita mengeluarkan tenaga-tenaga kerja yang pure dari Sarawak. Bukan dengan kasino.

Ketiganya, yang berkait dengan point kamek keduak tok tek adalah dari sudut sosialnya. Mudah kata, dengar jak nama kasino, apa yang terlintas di fikiran kita? Roti canai? Nasi goreng kampung? Atau, teh tarik panas, mila tarik, mee jawa? Atau, tempahan futsal, bola sepak? Atau orang bertandak? Atau main layang-layang? Ataukah, sebaliknya yang seratus peratus semua yang kamek sebut di atas ya memang sik wujud dalam dunia kasino. Kamek sik maok pake ayat ‘bayangkan’ kerana ya terlalu tinggi untuk sama-sama kita fikirkan. 

Cuma, perlu kita tangga. Mun benar Sarawak nak buka kasino, apa jadi dengan masyarakat kita? Apa jadi dengan budaya sosial kita? Anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negeri kita? Adakah akan lahir daripada generasi lekak kita tok, generasi yang masih berpegang dengan budaya Timurnya? 

Masih mengekalkan adab dan tatasusilanya? Atau macam ne? Pembukaan kasino tok juak, suatu masa kelak dikhuatiri akan menyebabkan keluarga porak peranda. Kerana ketagihan berkasino dan aktiviti dalam kasino ya kelak. Nak tok la dibingong oleh segelintir netizen Sarawak, khususnya dari generasi yang senior. Tok menjadi kerisauan utama kita semua, bukannya ekonomi Sarawak yang bakal nait hasil dari kasino ya kedirik.

Baiklah, point kamek yang keempat, pandanglah dari sudut agama. Kamek sik menjurus pada agama Islam. Kerana bila sebut agama jak, mesti kita nuju Islam. Alhamdulillah, memang benar Islam ya agama. Cumanya maksud saya tadik, cuba nangga isu kasino  tok dari sudut agama lain di Sarawak. Netizen dan Menteri kata, Islam bukan agama rasmi di Sarawak. Jadi, kamek nak tanyak sebagai penganut agama lain di Sarawak, ada sik agama kita mengajarkan kita untuk membawa diri kita kepada perkara yang sik bait

Kamek bukan nak menyentuh isu sensitif atau mencari ‘crowd’, hanya maok kita semua berfikir dari sudut agama masing-masing. Sikda agama yang mengajar penganutnya polah benda sik bagus, hanya penganutnya ajak yang polah benda sik bagus. Bena sik? Kerana asal semua agama dan kepercayaan adalah untuk membawa seseorang yang ke ara lebih bait

Kasino, dari sudut agama, bukanlah benda yang bait. Kerana banyak lagik benda bait, yang kita belum teroka, belum polah untuk menjadikan kita insan yang lebih bait dalam beragama. Di sine keburukan kasino, kita boleh nilai kedirik. Cuma, kamek menyatakan pandangan kamek pada point terakhir tok dari sudut agama Islam, kerana kamek Muslim. 

Cumanya, kamek sik menyentuh bab hukum, hanya sedikit teguran kepada kesan kasino ya kedirik. Dalam al-Quran dan agama Islam, dah dipadah arak, judi, khinzir ya haram. Bila dipadah giya dalam al-Quran, maka adalah sebabnya dari Allah. Nya lebih tauk segala-galanya. Dan segala yang berkait dengan ketiga-tiga perkara ya tadik, arak, judi, khinzir, juga adalah haram. Ambik contoh, arak kedirik. Bagi orang Islam, bukan sekadar minum arak ya berdosa tapi tukang hantar, tukang tuang, tukang pass botol arak, semuanya akan dapat dosa. Ya diriso kita juak. Kita niat bekerja nak carik duit tapi kita dapat dosa dari-Nya, maka rugilah kita.

Jadi ya-lah empat perkara kamek maok  ketengahkan. Kamek hanya orang biasa yang riso    benda tok dalam Sarawak. Kemajuan kita bukan mengikut landas orang lain. Biarlah orang lain, negeri atau negara lain maju dengan kasino. Sarawak, majulah dengan benda lain. Kamek yakin, Sarawak boleh maju tanpa kasino. 

Dan kepada Menteri-menteri Sarawak, Muslim atau non-Muslim, khususnya kepada YAB Premier Sarawak, nilailah isu tok dari sudut generasi dan kesan kepada masyarakat Sarawak. Mun ada sebahagian masyarakat kita sik selesa dengan cadangan macam tok, bermakna adalah yang sik kenak di sia. Sayangilah anak bangsa kita dengan membuat pilihan untuk membatalkan cadangan buka kasino di Sarawak.

Saya bukan sapa-sapa.

Saya orang Sarawak, anak Sarawak. 
Saya menulis dan bersuara untuk Sarawak kerana saya sayangkan Sarawak dan orang Sarawak.

SAHRUL KHAIR OSMAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak
Miri, Sarawak – HARAKAHDAILY 5/5/2023


2. Apa beza guna pili Bomba di George Town dengan Rantau Panjang? 

RAKYAT membaca laporan berita berkaitan ‘masalah kerosakan komponen tangki air’ yang dihadapi Penduduk Blok D Fasa II Flat UDA Tanjung Tokong, George Town sejak Mac hingga April baru-baru ini.

Mereka terpaksa mencuci peralatan memasak di pili bomba berhampiran berikutan masalah pam air yang rosak setelah pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membuka saluran pili bomba sebagai alternatif bagi kegunaan penduduk.

Seramai 1,200 penduduk di flat berkenaan terjejas bekalan air susulan berlaku kerosakan pada komponen di tangki air sebelumnya, namun kerjasama pihak PBAPP, Uda Holdings dan pihak bomba telah berjaya menyelesaikan masalah rakyat. 

Jadi apa isunya pula di Rantau Panjang apabila YB Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersungguh-sungguh ‘menyiasat’ YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff di atas isu dan permasalahan yang sama di Georgetown? Sikap ‘double standard’ jenis apakah yang mahu pemimpin DAP itu mainkan?

Memang Kelantan sentiasa ‘mengalu-alukan’ apa jua jenis siasatan jika musuh politik kelihatan lapar dan desperado politik. Sejak zaman Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi kita sebutkan mana-mana pintu terbuka 25 jam sehari dan 8 hari seminggu untuk ‘siasatan’ apa pun. Dan terbukti sehingga kini, 33 tahun Kelantan ditadbir dengan Islam, tiada seorang pun pimpinan PAS yang terpalit kes rasuah atau salah laku serta guna kuasa.

Jauh berbeza dengan pimpinan DAP yang memerintah sekejap sahaja di Pulau Pinang, terus terpalit kes pembelian banglo mewah di bawah paras harga pasaran. Kes itu kemudian digugurkan sewaktu PH memerintah 22 bulan dahulu. Apapun pemimpin DAP jangan lupa bahawa ia ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’. Begitu juga isu rasuah terowong bawah tanah dan lain-lain skandal. 

Itu sudah cukup membezakan PAS dengan DAP.

ABDULLAH FARHAN
Darulnaim Research Center – HARAKAHDAILY 8/5/2023 


3. Kor Ming DAP cuba buli Kelantan seperti Umno-BN 

KERAJAAN Pusat zaman Umno-BN dahulu terang-terangan membuli Kelantan dalam aspek pembangunan air negeri. Selama 16 tahun lebih Kelantan hadap ‘lost development years’ akibat federalisma ala Umno-BN yang ke laut.

Selepas itu pun, kewangan Pusat yang turun hanya berbentuk pinjaman, bukannya geran seperti negeri lain diperintah BN. Pinjaman pula sikit demi sikit diberikan, bukan secara ‘lump sum‘ untuk memudahkan proses pemulihan dan pembangunan air negeri. Pendek kata Federal buli Kelantan cukup teruk zaman itu.

Nga Kor Ming dari DAP pula beberapa hari ini dilihat tidak jauh beza dengan BN zaman dahulu. Ya memang tidak bezalah, sebab mereka tidur sebantal, mimpi mungkin lain-lain, tapi perangai sudah jadi sama. Sepadanlah dengan Kerajaan Perpaduan PH-BN saat ini. 

Kenyataan media seakan menekan dan menyiasat di mana dilihat secara jelas membuli Ahli Parlimen yang kuat bekerja untuk rakyat diwakilinya iaitu YB Dato’ Siti Zailah Yusoff atau Kak Lah adalah satu kesilapan besar. Jelas bergambar sebagai bukti nyata dalam media sosial, menyaksikan pihak bomba setempat yang membuka pili untuk dimuat naik air ke dalam lori air kontrak AKSB yang seterusnya diagih kepada rakyat. Jadi, apa isunya Kor Ming?

Merujuk kepada kenyataan Pengarah Bomba Negeri, ramai yang menyarankan agar dirujuk kepada persefahaman lama yang telah wujud antara AKSB, pihak syarikat Lori Air Kontrak dan bomba dalam isu penggunaan air di pili bomba ini. Ia telah lama ‘selesai’, insya-Allah.

Seharusnya dalam kegetiran rakyat memerlukan air untuk pengurusan rumahtangga masing-masing, isu pili bomba di Rantau Panjang ini tidak diperbesarkan. Apa Kor Ming ingat rakyat Kelantan akan menyokong DAP yang dilihat galak membuli YB Kak Lah atau rakyat akan gembira dengan huluran air hasil kerjasama YB dan bomba setempat? Jawapan itu YB Menteri sedia tahu bukan?

Atau Kor Ming mahu mengalihkan pandangan umum kepada perkara-perkara besar yang lain? Antaranya pengumuman Perdana Menteri ke-10 (PMX) akan laba besar yang akan Kerajaan Pulau Pinang perolehi dalam projek LRT? Dan mungkin tidak lama lagi juga projek tambak laut dan terowong bawah tanah? Pukul kepala gosok paha?

Apa sekalipun diharap agar orang awam tidak terkeliru dengan laporan MalaysiaKini berkait ‘penafian Pengarah Bomba Negeri’ iaitu:

i. menurut Seksyen 42(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, AKSB selaku pemegang lesen perkhidmatan air hendaklah membenarkan Jabatan Perkhidmatan Bomba untuk mengambil air untuk memadamkan kebakaran daripada mana-mana sesalur air utama atau paip lainnya yang dipasang dengan pili bomba;

ii. Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1998 membenarkan pihak berkuasa air dan ejennya (AKSB) untuk menggunakan mana-mana pili bomba atau saliran air kepadanya;

iii. Persefahaman dengan Jabatan Bomba & Penyelamat telah dibentuk berkenaan hal ini khususnya dalam menghadapi saat-saat kecemasan dan atas kepentingan awam.

Di dalam Seksyen 42(1) itu, AKSB perlu memberi kebenaran kepada bomba; maknanya jika AKSB tidak beri kebenaran, bomba tidak akan dapat guna air walaupun di dalam pili bomba yang mana di sini rakyat tahu siapa ‘tuan air’ dan siapa ‘tuan pili’. Asas sahaja. 

Manakala Seksyen 23(1) jelas menyatakan pihak berkuasa air (Kerajaan Negeri Kelantan) dan ejennya (AKSB) boleh mengguna mana-mana pili bomba – sekali lagi menjelaskan siapa ‘tuan’ kepada bekalan air. 

Seksyen 23 juga menyatakan adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana pihak menggunakan air di dalam pili bomba tanpa kebenaran pihak bomba (mana-mana pihak itu ialah selain daripada pihak berkuasa air dan ejennya) ~ jelas di sini pihak-pihak lain perlu mendapat kebenaran bomba, tetapi Kerajaan Negeri dan AKSB tidak perlu mendapat kebenaran bomba. 

Isunya di sini adakah YB Kak Lah itu ‘mana-mana pihak’ atau YB itu ‘AKSB’? Kalau lori yang YB Kak Lah guna itu sudah sememangnya lori kontraktor AKSB, maka lori itu tidak lagi termasuk dalam ‘mana-mana pihak’ yang memerlukan kebenaran bomba. Bahkan lori itu ialah ‘AKSB’ yang boleh ambil air dari pili bomba tanpa perlu dapat kebenaran bomba pun.

NAZMAN CHE IBERAHIM

Darulnaim Research Centre -HARAKAHDAILY 8/5/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Membangun bersama kasino.. Pili George Town & buli K'tan

Semuanya ini berlaku, apabila bumiputera dan Islam  tidak berkuasa di bumi sendiri. Oleh itu, kembalilah kepada Islam, berilah kuasa supaya Islam memerintah di bumi sendiri melalui peti undi.

 INI MODEL NEGARA ISLAM MALAYSIA..

Sila lihat model negara Islam Malaysia yang di bawa oleh PAS/PN  



Bersambung..

Wednesday, May 24, 2023

Angkasawan Saudi di bintang. PN mendarat di bumi M'sia. Jatuhkan!


Misi Axiom 2 (Ax-2) di atas kapal angkasa SpaceX Dragon, membawa empat anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, Amerika Syarikat pada 21 Mei 2023. (FOTO: REUTERS/Joe Skipper)

1. Angkasawan Saudi mendarat di antara bintang

RIYADH: Dua angkasawan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni telah berjaya  melakukan pendaratan di antara bintang di ruangan angkasa raya melalui Misi Axiom 2 (Ax-2) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas pelancaran kapal angkasa SpaceX Dragon di atas roket SpaceX dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida. 

Rayyanah Barnawi (kiri) dan Ali Alqarni (kanan) bersama-sama John Shoffner (dua dari kiri) dan Peggy Whitson di dalam roket SpaceX Falcon 9 dalam Misi Axiom 2 (Ax-2) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Ahad, 21 Mei 2023. (FOTO: Tangkapan skrin/Axiom)

Kedua-duanya berada dalam Misi Ax-2, yang dilancarkan pada jam 5:37 petang Ahad (waktu EDT di Amerika Syarikat), yang menyaksikan angkasawan AS, Komander Peggy Whitson dan perintis perniagaan dan juruterbang, John Shoffner juga merupakan sebahagian daripada misi itu, lapor Arab News.

Barnawi, 33, yang merupakan wanita Arab pertama yang mencapai orbit, merupakan lulusan dari Universiti Otago, New Zealand dengan ijazah sarjana muda dalam sains bioperubatan sebelum memperoleh ijazah sarjana dalam sains bioperubatan dari Universiti Alfaisal.

Sebagai pakar makmal penyelidikan, Barnawi mempunyai lebih daripada sembilan tahun pengalaman dalam kejuruteraan semula sel stem dan tisu. 

“Kami sangat bersemangat untuk meluncur ke angkasa lepas dan membawa pencapaian bersejarah kepada negara dan umat manusia,” kata Barnawi sejurus sebelum pelancaran  misi tersebut.

Alqarni, 31, pula merupakan graduan dari Akademi Udara Raja Faisal dengan ijazah sarjana muda dalam bidang sains aeronautik selepas memperoleh diploma  sains aeronautik dari Pangkalan Tentera Udara Vance di AS.

Beliau merupakan kapten dalam Tentera Udara Diraja Saudi dengan pengalaman lebih 12 tahun sebagai juruterbang jet. 

“Kami berasa bangga dan teruja kerana ini adalah kali pertama kami pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” ujarnya. 

Kedua-dua angkasawan Saudi itu dijadualkan  menjalankan 14 eksperimen sepanjang selama lapan bulan berada di ISS; yang mana 11 daripadanya  adalah mengenai mikrograviti, termasuk kesan pada otak dan mata, dan tiga lagi merupakan eksperimen kesedaran pendidikan dengan penglibatan 12,000 pelajar dari seluruh Saudi. 

Empat angkasawan yang kini berada di angkasa (dari kiri) Peggy Whitson, John Shoffner, Ali Alqarni dan Rayyanah Barnawi. (FOTO: Axiom)

Sebelum misi tersebut dilancarkan, kedua-dua Barnawi dan Alqarni telah menjalani latihan intensif selama sembilan bulan di Axiom Space dan SpaceX, NASA Johnson Center, ibu pejabat SpaceX di Hawthrone, California, Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun dan Agensi Angkasa Eropah.

Mereka juga telah menghabiskan 12 hari dalam keadaan ruang simulasi, belajar tentang jisim tanpa berat dan berlatih terapung, kemahiran komunikasi semasa berada di orbit, kemahiran ekspedisi dan kemungkinan kesan sampingan penerbangan angkasa lepas.

Misi mereka adalah yang pertama dalam program Penerbangan Angkasa Manusia (HSF) yang telah dilancarkan oleh Suruhanjaya Angkasa Saudi (SSC) dan akan membuka jalan untuk program yang mampan dengan menghantar angkasawan Saudi masa depan dalam misi untuk tinggal lebih lama di angkasa raya bagi menjalankan lebih banyak penyelidikan dan mengembangkan sumbangan Saudi kepada sains.

Ia adalah sejajar dengan Wawasan 2030 Saudi dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal negara itu, dengan mengembang dan mempelbagaikan sektor ekonomi dan industri.

Bidang tumpuan penyelidikan dalam program HSF akan membolehkan misi masa depan ke bulan dan planet Marikh, selain sains fizikal, kesihatan manusia, biologi, bioteknologi, biofarmasi, sains bumi, pembuatan angkasa lepas dan pembangunan teknologi. 

Peluang penyelidikan akan memupuk kerjasama antarabangsa, meningkatkan lagi peranan Saudi di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan kurang daripada lima tahun lalu pada Disember 2018, SSC mewakili Saudi di forum antarabangsa, bekerjasama dengan agensi kerajaan, mengawal selia aktiviti dan dasar angkasa serta mempromosikan aktiviti penyelidikan dan perindustrian yang berkaitan dengan angkasa.

Kerajaan Saudi kekal komited untuk menyokong penerokaan angkasa lepas dan meningkatkan peranan negara itu dalam ruang dan teknologi melalui program Biasiswa Penjaga Dua Masjid Suci dengan kerjasama SSC.

Program ini menawarkan pelajar Saudi peluang untuk belajar bagi memperoleh ijazah sarjana muda dan siswazah dalam bidang berkaitan angkasa di universiti antarabangsa yang paling berprestij.

Jurusan angkasa lepas teratas termasuk astronomi dan sains angkasa, kejuruteraan aeroangkasa, astrofizik, fizik dan kosmologi relativiti am, reka bentuk dan kejuruteraan kenderaan, kejuruteraan aeronautik dan astronautik, kejuruteraan angkasa lepas, undang-undang dan dasar angkasa 

Krew misi ax-2, di stesen pelancaran Falcon 9, (dari kiri ke kanan) Rayyanah Barnawi, Peggy Whitson, John Shoffner, dan Ali Alqarni. (FOTO: Twitter/saudispace)

“Peluang biasiswa untuk program berkaitan angkasa lepas adalah salah satu strategi Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman Al Saud untuk meningkatkan pasaran buruh dengan kader manusia,” kata Timbalan Menteri Pendidikan untuk Biasiswa, Amal Shuqair.

Minat kerajaan Saudi terhadap industri penerokaan angkasa lepas bermula pada tahun 1977, apabila kerajaan Saudi menubuhkan Pusat Sains dan Teknologi Kebangsaan Arab Saudi, yang menjalankan penyelidikan saintifik gunaan dalam beberapa bidang termasuk ruang angkasa.

Pada 17 Jun 1985, apabila putera raja yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Saudi, Sultan bin Salman Al Saud (ketika berusia 28 tahun) menjadi orang Muslim, Arab dan kerabat diraja Saudi pertama mengembara ke angkasa lepas (dengan kapal angkasa Discovery milik NASA) untuk melancarkan satelit kedua Saudi, nama pusat itu ditukar kepada Pusat Sains dan Teknologi Raja Abdulaziz. Ia kemudiannya berusaha untuk memajukan sektor dan merancang untuk pemindahan dan penyetempatan teknologi satelit.

Setahun selepas itu, negara itu telah menubuhkan Pusat Saudi untuk Penderiaan Jauh, dan ia juga menubuhkan Institut Penyelidikan Angkasa dan Penerbangan di Bandar Raya Raja Abdulaziz untuk Sains dan Teknologi pada 1997.

Sehingga kini, Saudi telah berjaya melancarkan 16 satelit Saudi dari 2000 hingga 2019, yang menyediakan teknologi komunikasi di kawasan separa terpencil.

Pelancaran satelit terakhir negara itu adalah untuk menghantar Saudi Geostationary Satellite 1, yang dibangunkan oleh pasukan dari Bandar Raya Raja Abdulaziz untuk Sains dan Teknologi.

Satelit itu menyediakan keupayaan telekomunikasi, sambungan internet yang lebih kukuh, dan TV serta komunikasi selamat di Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah. – HARAKAHDAILY 22/5/2023  


2. ISS alu-alukan ketibaan angkasawan Saudi 

Kumpulan kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama-sama dua angkasawan Saudi, Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni pada 22 Mei 2023. (FOTO: Tangkapan skrin/Aksiom)

RIYADH: Ketibaan dua angkasawan Arab Saudi,  Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Isnin (22 Mei) telah dialu-alukan kru yang sudah berada di stesen yang berada sejauh 360 kilometer dari permukaan bumi itu.

Barnawi, seorang saintis yang menjadi wanita Arab pertama ke angkasa lepas, dan Alqarni, seorang juruterbang pejuang terlatih, tiba ke ISS dengan menaiki kapal angkasa SpaceX Dragon bersama angkasawan Amerika Syarikat, Peggy Whitson dan perintis perniagaan serta juruterbang, John Shoffner.

Mereka dialu-alukan oleh tujuh angkasawan yang sudah berada di atas kapal (tiga warga Rusia, tiga warga AS, dan seorang warga Emiriyah Arab Bersatu (UAE), lapor Al Ekhbariya pada Isnin.

“Kami kini mencapai impian yang tidak pernah kami jangka akan menjadi kenyataan. Perjalanan ini (dari bumi ke ISS) mewakili Saudi dan seluruh dunia Arab. Ia juga satu peluang untuk menerokai angkasa lepas,” kata Barnawi, sejurus tiba di ISS.

Sementara itu, Alqarni berkata beliau dan Barnawi akan menjalankan ‘eksperimen saintifik yang akan memberi manfaat kepada manusia’ semasa mereka berada di ISS.

Mereka menyasarkan untuk menjalankan 20 projek penyelidikan, antaranya ialah 14 projek yang dibangunkan oleh saintis Saudi meliputi pelbagai bidang seperti fisiologi manusia, biologi sel, dan pembangunan teknologi.

“Ia adalah perjalanan yang indah,” ulas pula Whitson, bekas angkasawan NASA yang telah membuat penerbangan ke angkasa tiga kali pada masa lalu, sambil menambah bahawa penerbangan kali ini adalah yang paling lancar pernah beliau rasai.

Kapal angkasa SpaceX Dragon dilancarkan di atas roket SpaceX pada hari Ahad (21 Mei) alu dalam misi Axiom-2 (Ax-2). – HARAKAHDAILY 23/5/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Angkasawan Saudi di bintang. PN mendarat di bumi M'sia?

Blog ini bersetuju dengan Naib Presiden PAS Malaysia, Datuk Idris Ahmad. Soal mahu menjatuhkan kerajaan mesti dibuat melalui demokrasi, dengan berlunaskan undang-undang.

“Mana ada pembangkang yang sokong kerajaan? Kalau pembangkang yang sokong kerajaan, tu otak tak berapa nak betul. 

“Perlu ingat, cara demokrasi yang betul bukanlah dengan mengajak hadirin memegang senjata, tetapi dengan cara pilihan raya,” tegasnya.

Yang penting jatuhkan kerajaan melalui demokrasi!


Tuesday, May 23, 2023

Ini cakap kosong PMX, ajar dia..

 

Anwar dan Hamzah dalam sidang Parlimen Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada hari ini, 22 Mei 2023.

1.  Tiada dasar ekonomi baharu drastik sejak PMX kemudi negara

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai dasar ekonomi baharu dan drastik yang dilaksanakan sejak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemudi pentadbiran negara di Putrajaya.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, syarikat konglomerat dari dalam dan luar negara keliru terhadap usaha kerajaan bagi melonjakkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pihak tersebut turut meminta langkah kerajaan untuk merancakkan sektor berkenaan dengan mengambil kira kebimbangan terhadap penguncupan ekonomi dunia ketika ini.

“Ini kerana ramai yang mengatakan tidak ada dasar ekonomi yang jelas, jadi mereka tertanya-tanya apakah dasar utama yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi malaysia pada hari ini (sekarang).

“Belanjawan Madani yang diumumkan itu, bukan satu hala tuju sebenarnya kerana tidak mempunyai sasaran keberhasilan yang jelas,”  katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, pagi tadi.

Selain itu Hamzah berkata lagi, kekeliruan itu bertambah parah apabila kerajaan terus berdolak- dalik dalam masalah tender yang pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu, Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan, disebabkan keperluan mendesak projek tebatan banjir yang melibatkan beberapa buah negeri, seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor diluluskan secara tender terbuka.

Tambah Ahli Parlimen Larut itu, tindakan kerajaan mengubah daripada tender terbuka kepada kaedah fast track kemudian tender terhad menyebabkan banyak pihak keliru termasuk agensi pelaksana dan pelabur.

“Ketika keputusan untuk tidak mengadakan tender terbuka, tiba-tiba ada pulak yang mengatakan fast track akhirnya menjadi tender terhad. 

“Ini adalah menjadi sesuatu yang menyebabkan pelaksana sendiri keliru dan ini juga akan menjejaskan kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara sebagai contoh,” katanya.

Sebaliknya Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menafikan wujud kekeliruan tersebut kerana membandingkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, Vietnam dan China pada suku pertama tahun ini.

Malah katanya, ekonomi negara turut berkembang lebih kukuh unjuran Bank Negara serta kadar pengangguran semakin menurun pada suku keempat tahun lalu meskipun ada runggutan.

Selain itu pelaburan diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 60 peratus pada suku pertama tahun lalu termasuk pelaburan Geely, Tesla dan sebagainya.

“Maknanya ada dasar yang jelas yang mereka ketahui, begitu juga disebut umpamanya tentang rungutan biasa kita dengar dan saya boleh terima tiada masalah.

“Penyelesaian bukan muktamad, saya boleh ambil kira dan boleh buat penyesuaian yang perlu kerana yang penting adalah menjana pertumbuhan lebih rancak,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023   


2. PAS tidak tewas di desa, menjalar senyap meroboh tembok kota 


RUPANYA artikel yang ditulis oleh Murray Hunter di bawah ini yang mencuit pimpinan PH seperti P. Ramasamy, sehingga menulis beberapa artikel untuk menumpaskan Gelombang Hijau dan PAS. 

PAS bukan sahaja mengukuhkan tapaknya di kawasan kampung-kampung. 

Kini PAS dan PERIKATAN NASIONAL sedang menjalar dengan penuh ketenangan merempuh dinding-dinding penghalang di kawasan separa-bandar dan bandar. 

Wajah kepimpinan PAS yang pelbagai sama ada ulamak, profesional, pendidik dan aktivis parti telah menarik minat rakyat yang pelbagai jua. 

Kehadiran pimpinan parti lawan ke dalam PAS juga, pastinya menambahkan lagi kepelbagaian watak dan imej PAS. 

PAS dengar akar tarbiahnya perlu bersedia menerima kemasukan insan yang datang dari pelbagai latar, personaliti, penampilan dan juga pemikiran. 

Watak pelbagai itu satu anugerah, yang lebih besar adalah dasar perjuangannya adalah sama yakni Islam. 

Ustaz Mad, Dr Sam, Sanusi dan Cikgu Shukri mereka ini wataknya berbeza-beza, yang mampu menarik segmen rakyat yang berbeza. 

Namun, mereka menirus pada perjuangan yang sama yakni Islam. Ibarat ‘funnel’, muncungnya luas melebar namun dibawa menirus ke dasar yang sama. 

Akar perjuangan yang kukuh, menerima kepelbagaian watak dan pendekatan membuatkan PAS cukup bersedia menjadi parti yang meneduhi kepelbagaian rakyat. 

PRN ini nanti, kita bergerak ke gerbang jasa bukan hanya tidak tertewas di kawasan kampung malah menjalar menawan kawasan separa bandar dan bandar. Insya-Allah. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 22/5/2023   


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini cakap kosong PMX, ajar dia..

Bagaimana mengajar seorang PMX yang kokoknya berderai-derai tapi ekor bergelumang najis?

Mudah saja, tolong kempen rakyat Malaysia supaya UNDI PAS/PN. Naikkan parti kebajikan rakyat bersih rasuah, parti Islam Agama bagi Persekutuan. Tolak pemimpin bernajis, karib perasuah!


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails