Friday, June 02, 2023

Tentang 'barua' komunis China di M'sia.. Ini dia!




Ini lah gambar Lim Kit Siang semasa muda Komunis Bintang Tiga. (bawah)

1. Lim Kit Siang tekan ‘panic button’


PEMIMPIN Veteran DAP Lim Kit Siang pada 15 Mei 2023 telah mencadangkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menghulurkan salam kerjasama kepada PAS.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) jawab dengan jelas PAS sedia jumpa sesiapa sahaja termasuk Anwar Ibrahim. 

Namun Tan Sri TGHH menegaskan keterbukaannya itu mestilah tidak lari dari prinsip, matlamat dan perjuangan PAS. Tan Sri TGHH turut mengesahkan dihubungi beberapa kali dengan tawaran bersama Kerajaan Perpaduan. 

Melihat saranan ini datang daripada manusia yang menganggap PAS sebagai musuh ketat dan sentiasa menjadikan PAS sebagai modal politik, kita perlu ‘Read between the lines’ kenapa tawaran ini dilontarkan. 

Pertamanya, tawaran ini adalah bukti Kerajaan Campuran PH-BN sudah mengesan bakal kehilangan sokongan Melayu Islam secara total dalam PRN. Maka panic button ditekan dan Lim Kit Siang dihantar untuk selamatkan keadaan. Bayangkan PH kehilangan 4 atau 5 negeri dalam PRN termasuk Selangor. Bukankah itu mimpi ngeri pimpinan PH?

Sekiranya dilihat pada PRU15, PKR hanya memiliki 30 kerusi dan hanya 19 kerusi Melayu. Ini menjadikan Kerajaan PH-BN adalah kerajaan majoriti bukan-Islam. 

Pada PRU15 PH dan BN juga mencatatkan kehilangan sokongan pengundi Melayu. Ini merupakan keputusan walaupun Zahid Hamidi berhempas pulas menafikan hubungan sulit dengan Anwar Ibrahim (yang kemudian dikantoikan oleh Saifudin Nasution).

Pada PRN kali ini, Umno akan secara rasmi bertanding sebagai satu koalisi dengan PKR dan DAP. Ini sudah tentu akan menyebabkan sokongan Melayu terus terhakis dari PH-BN dan PN akan mendapat manfaat besar swing undi Melayu ini. 

Terdapat kajian yang menjangkakan Umno akan kalah semua kerusi dan hilang deposit di kebanyakan kerusi ditandingi. PH pula akan hanya ‘survive‘ dengan kerusi Cina.

Pada PRU15 PN mendapat 69 peratus undi Melayu meningkat dari 32 peratus pada PRU14. BERSATU juga meningkat dari 20 peratus pada PRU14 ke 48 peratus pada PRU15. Ini menyebabkan PAS menjadi parti dengan kerusi terbesar dalam Parlimen. 

PRU16 dijangkakan sokongan Melayu akan swing secara total dan dijangkakan mencapai sehingga 70 peratus – 80 peratus kepada PN. Faktor penolakan kepada Umno oleh penyokong dan pengundinya sendiri, faktor kebencian kepada DAP, serta faktor ketiga adalah peralihan sokongan pengundi atas pagar kepada PN. Perlu diingat peralihan ini telahpun berlaku pada PRU15 dan dijangka akan berterusan dalam PRN nanti.  

PH juga berhadapan dengan protes dari pengundi Cina dan India kerana bersama dengan Umno dalam kerajaan. Protes ini akan memberikan keuntungan kepada PN.

Malah terdapat bantahan dari pengundi bukan-Melayu yang tidak mahu mengundi Umno dalam PRN nanti. Mereka rela tidak mengundi. 

Perkara ini turut disahkan oleh Ibrahim Suffian Merdeka Center yang menjangkakan akan ada trend swing undi dari PH-BN ke PN di Negeri Selangor. 

Maka atas sebab di atas, jelaslah kenapa Lim Kit Siang mewakili PH yang sudah menekan panic button dan sanggup menjilat ludah lama bagi mengekalkan kuasa mereka. Tahniah Tan Sri DS TGHH atas ketegasan dalam melayan tawaran dari PH-BN ini.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/5/2023  

2. Nasib Islam di China: Selepas Uighur, kini Hui 
Penduduk Islam dari etnik Hui berhadapan dengan pihak polis China bagi mempertahankan Masjid Najiaying di Nagu, dalam wilayah Yunnan, China pada 27 Mei 2023. (FOTO: AsiaNews)

“Saya mahu dunia tahu apa yang sedang kami alami sekarang, dan apa yang kami takuti akan berlaku seterusnya.”

Itu luahan dan keluhan berbaur penuh kebimbangan dan ketakutan penduduk Islam di Najiaying, daerah Tonghai, dalam wilayah Yunnan, China.

Mereka melaungkan suara mewakili etnik Hui – salah satu daripada 56 kumpulan etnik yang diiktiraf oleh Beijing, yang menetap di wilayah Yunnan menempatkan kira-kira 700,000 daripada 10 juta umat Islam di seluruh China; yang mana merujuk kepada jumlah populasi rakyat China yang sudah mencecah jumlah 1.412 bilion, penganut Islam di negara komunis itu adalah kaum minoriti.

“Ia ekoran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China telah mengalih keluar seni bina Islam di negara itu secara terang-terangan – memusnahkan kubah dan meruntuhkan menara – daripada lebih seribu masjid etnik Hui di seluruh negara itu,” kata sumber saksi kepada CNN sambil menambah bahawa Masjid Najiaying yang terletak di bandar Nagu itu menjadi salah satu kawasan suci Islam terakhir yang akan ‘dimusnahkan’ oleh kerajaan China.

Ia adalah susulan tindakan kerajaan China yang mahu meneruskan rancangan memusnahkan empat menara dan bumbung kubah Masjid Najiaying, lapor AFP

Beribu-ribu penduduk Islam etnik Hui mempertahankan Masjid Najiaying di bandar Nagu demi maruah agama mereka. (FOTO: YouTube Aljazeera English)

Masjid Najiaying yang pada asalnya dibina pada tahun 1370 dan sejak 600 tahun lalu, masjid tersebut telah diperbesarkan sebanyak beberapa kali, yang mana pada 2001, sebuah bangunan masjid baharu telah dibina; dan pada 2019, sebahagian daripada masjid itu telah disenaraikan sebagai peninggalan budaya yang dilindungi.

Bandar Nagu seluas 12 kilometer persegi yang terletak di barat laut daerah Tonghai menghadap Tasik Qilu, 110 kilometer dari bandar Kunming, dengan ketinggian purata 1800 meter, yang mana ia merangkumi Kampung Najiaying, Kampung Gucheng dan Kampung Sanjia.

Kesemua penduduk di bandar etnik itu adalah daripada etnik Hui yang menganut agama Islam, yang mengekalkan tradisi budaya dan adat mereka sendiri. Terdapat tiga buah masjid di bandar Nagu, salah satunya ialah Masjid Najiaying.

Dalam kejadian pada Sabtu (27 Mei) lalu, beribu-ribu etnik Hui telah berkumpul di Masjid Najiaying dalam usaha terakhir bagi menghalang apa yang mereka katakan sebagai percubaan pihak berkuasa negara itu untuk mengalihkan kubah dan menara rumah ibadah mereka, ketika tindakan keras terhadap kebebasan beragama khususnya terhadap penganut agama Islam di China kini semakin meluas 

Foto daripada India TV News yang menyiarkan berita tentang pertempuran antara penduduk etnik Hui dengan pihak polis China dalam mempertahankan Masjid Najiaying di Nagu.

“Berpuluh-puluh penunjuk perasaan dari kaum etnik Hui telah ditangkap oleh polis China di tempat kejadian,” dedah aktivis dan pengasas Yayasan Antarabangsa Hope Umbrella, Ma Ju, kini menetap di Amerika Syarikat dan sentiasa berhubung rapat dengan penduduk Najiaying sambil menambah, kira-kira 30 orang (penunjuk perasaan) telah ditangkap.

Perubahan ketara secara paksaan oleh kerajaan China terhadap masjid milik kumpulan etnik Hui itu berlaku di tengah-tengah kempen besar-besaran yang dilancarkan oleh pemimpin China, Xi Jinping yang dilabelkan sebagai ‘menghina’ agama dan penganut Islam di negara itu.

Pembersihan’ kepercayaan agama

Dasar tersebut menurut laporan CNN lagi adalah bertujuan untuk membersihkan kepercayaan agama daripada pengaruh asing dan menyelaraskannya lebih rapat dengan budaya tradisional China – dan pemerintahan autoritarian Parti Komunis ateis secara rasmi.

Kini, kempen yang dikenali dengan istilah ‘sinicization’ itu nampaknya akhirnya datang menggugat Najiaying – di masjid  bersejarah bagi etnik Hui dan hab penting untuk budaya Islam di Yunnan, sebuah wilayah terletak di sempadan China dengan Asia Tenggara.

Namun desakan kerajaan komunis itu telah menghadapi tindak balas sengit daripada penduduk tempatan. 

Kaum hawa daripada etnik Hui tidak ketinggalan menyertai tunjuk perasaan membantah pencerobohan pihak berkuasa China terhadap Masjid Najiaying di Nagu dalam kejadian pada 27 Mei 2023. (FOTO: The Guardian)

Video yang disiarkan di media sosial dan geolokasi oleh CNN menunjukkan penduduk tempatan bertempur dengan barisan anggota polis yang memakai peralatan rusuhan, yang menghalang pintu masuk ke masjid dan menolak orang ramai dengan perisai dan belantan.

Paparan video itu juga  menunjukkan beberapa penduduk menjerit balas dengan marah, dengan beberapa orang membaling botol air dan batu bata ke arah polis.

“Ini adalah maruah terakhir kami,” kata seorang saksi tempatan kepada CNN. “Ia seperti datang ke rumah kami untuk merobohkan rumah kami. Kami tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku,” tegasnya.

Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang keselamatan diri, berkata beribu-ribu penduduk Hui – termasuk lelaki dan wanita, warga emas dan kanak-kanak – telah berkumpul di sekitar Masjid Najiaying pada Sabtu, di bawah pengawasan rapi lebih 1,000 pegawai polis yang ditempatkan berdekatan.

“Selepas tiba di masjid, kami menyedari bahawa mereka telah memacu kren ke dalam perkarangan dan bersedia untuk perobohan secara paksa,” kata sumber itu sambil menambah bahawa perancah telah pun didirikan di sekeliling masjid berkenaan.

“Ketegangan semakin memuncak sekitar jam 1 tengah hari, dengan jemaah menuntut untuk masuk ke masjid untuk solat zuhur,” kata sumber itu yang menambah bahawa polis telah memukul orang ramai dengan belantan, yang mendorong beberapa penduduk bertempur untuk mempertahankan diri. 

Kaum etnik Hui di Najiaying berikrar mempertahankan kesucian agama mereka sehingga ke titisan darah terakhir. (FOTO: Muslim Mirror)

Mirip kejadian di Palestin, India

Kejadian itu mirip seperti senario penduduk Islam di Palestin yang mempertahankan maruah agama dan  bangsa mereka terhadap penindasan zionis Israel, dan hampir juga menyamai nasib umat Islam di beberapa kawasan di India yang sebelum ini dilaporkan sering ditindas kerajaan negara jiran Pakistan itu.

Cuma bezanya, ia telah menghasilkan kemenangan sementara bagi penunjuk perasaan etnik Hui, yang menyaksikan polis berundur, menurut saksi dan video dalam talian.

“Sepanjang malam Sabtu dan Ahad (28 Mei), penduduk bergilir-gilir menjaga masjid, bimbang pihak berkuasa China akan datang kembali merobohkan kubah hijau besar dan empat menara di tengahnya,” kata sumber itu.

Namun kesannya segera menyusul, lapor CNN, yang mana menjelang petang Ahad, berita mula tersebar bahawa pihak berkuasa sedang menahan lebih ramai penduduk tempatan dari etnik Hui.

Pada petang Ahad itu juga, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang di perbandaran Nagu, mengeluarkan kenyataan yang tegas tetapi samar-samar. 

Tanpa menyebut protes atau masjid, ia berkata polis sedang menyiasat insiden yang berlaku pada Sabtu, yang dilabelkan sebagai ‘serius mengganggu ketenteraman sosial’ dan menyebabkan ‘impak sosial yang keji’.

Bantahan terhadap kerajaan China susulan penindasan terhadap etnik Uighur di Xinjiang pada 8 Julai 2022. (FOTO: REUTERS)

Pihak berkuasa juga menyeru penganjur dan peserta tunjuk perasaan  untuk menyerahkan diri mereka sebelum 6 Jun ini.

“Menjelang Isnin (29 Mei), Najiaying diselubungi ketakutan,” kata sumber itu.

“Internet telah terputus di banyak kawasan kejiranan. Dron berdengung di atas kepala dan mengawasi kampung. 

“Pembesar suara awam mengulangi mesej pihak berkuasa, menggesa penunjuk perasaan untuk menyerahkan diri,” dedah sumber tadi dan juga Ma.

“Mimpi ngeri kami baru bermula sekarang,” kata sumber itu kepada CNN. “Semua orang kini dalam ketakutan…Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”

Seorang pemilik kedai yang dihubungi CNN melalui telefon berkata: “Kamu wartawan harus datang ke sini untuk melaporkan apa yang berlaku kepada kami.” Apabila diminta oleh CNN untuk menjelaskan apa yang berlaku, lelaki  menjawab dia ‘tidak tahu’ dan mematikan telefon.

Sejuta Uighur dipenjara

Kejadian tersebut bukan kali pertama umat Islam Hui terlibat dalam perselisihan tegang dengan pihak berkuasa China untuk melindungi masjid mereka.

Pada 2018, beribu-ribu etnik Hui di Ningxia, di barat laut negara itu, mengadakan protes duduk selama tiga hari untuk menghalang pihak berkuasa daripada merobohkan masjid yang baru dibina di situ.

Sekumpulan lelaki Muslim etnik Hui meninggalkan Masjid Laohuasi selepas solat Jumaat di Linxia, dalam wilayah Gansu pada Mac 2018. (FOTO laporan npr.org bahawa Gansu setakat tarikh tersebut masih dapat mengekalkan sebahagian besar masjidnya manakala kubah dan menara masjid di wilayah lain telah diubah atau dialihkan.)

Kerajaan tempatan menangguhkan perobohan itu, tetapi kemudiannya menggantikan kubah dan menara masjid dengan pagoda gaya Cina tradisional.

Pembaikan seni bina masjid telah datang dengan dakwaan ia bermatlamat mengetatkan kebebasan beragama untuk Hui, sebuah etnik berjumlah 11 juta orang yang tinggal secara berselerak di seluruh China dari barat laut ke bandar pantai di timur, termasuk di wilayah autonomi yang ditetapkan secara rasmi di Ningxia.

Dipercayai merupakan keturunan jauh pedagang Arab dan Parsi, etnik Hui telah diasimilasikan dengan baik ke dalam masyarakat Cina yang lebih luas didominasi oleh majoriti etnik Han (etnik terbesar di China yang terbesar dan di dunia, dengan bilangan melebihi 1.3 bilion).

Kebanyakan etnik Hui berbahasa Mandarin, tinggal bersama-sama etnik Han, dan dalam beberapa dekad kebelakangan ini telah diberi lebih banyak ruang untuk mengamalkan kepercayaan mereka berbanding kumpulan etnik lain.

Namun aktivis Hui berkata kumpulan etnik mereka kini telah menjadi sasaran terbaharu dalam tindakan keras Parti Komunis China terhadap Islam, yang bermula di wilayah barat Xinjiang.

Sejak sekurang-kurangnya 2017, kerajaan China telah dituduh menahan lebih sejuta Uighur, dan minoriti Islam lain di kem tahanan di Xinjiang dan melakukan asimilasi kuat untuk menindas identiti budaya dan agama mereka.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menuduh kerajaan China telah melakukan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap etnik Uighur sabit kesalahan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’.

Kerajaan China bagaimanapun telah berulang kali menafikan tuduhan itu dan menegaskan bahawa kem besar-besaran yang dibina sebagai penempatan etnik Uighur itu adalah ‘pusat latihan vokasional’ sukarela.

Masjid Najiaying di bandar Nagu pada asalnya telah dibina pada tahun 1370. (FOTO: Trip.com)

Pemadaman identiti Hui

Aktivis Hui dan kumpulan hak asasi mendakwa pihak berkuasa telah meningkatkan usaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menyekat amalan agama Muslim etnik itu di seluruh China, termasuk menutup sekolah-sekolaj aliran Islam, kelas-kelas bahasa Arab dan menyekat kanak-kanak daripada belajar dan mengamalkan illmu dan ajaran Islam.

“Pelaksanaan kempen sinicization telah ‘mempunyai kesan menghilangkan hubungan masyarakat etnik Hui dengan budaya, agama, dan antara sesama mereka dengan begitu teliti dan secara halus, sehingga sesetengah pemimpin melihat pemadaman identiti Hui pada masa hadapan sebagai suatu kemungkinan yang besar’,” ujar kenyataan laporan yang dikemukakan kepada badan perjanjian PBB pada Januari 2023 oleh Pembela Hak Asasi Manusia China dan Yayasan Antarabangsa Harapan Umbrella.

Merujuk kepada wikipedia, istilah sinicization (atau ‘pencinaan’) adalah merujuk kepada ‘proses apabila masyarakat atau penduduk yang dilabelkan bukan asal dari China (termasuk etnik minoriti seperti Hui dan Uighur) dijadikan seratus peratus berada di bawah pengaruh budaya China, terutama dari segi budaya, bahasa, identiti, dan norma masyarakat etnik Han’.

Dalam laporan itu, Ma mendedahkan bahawa lebih dua ratus masjid di Yunnan telah kehilangan kubah dan menara asalnya.

“Pada mulanya, orang ramai menganggap ia hanya soal gaya seni bina…tetapi tidak lama-kelamaan ia menjadi jelas bahawa (kerajaan China) bukan sahaja mengalihkan kubah dari masjid, tetapi juga mengalihkan fungsi keagamaan dan sosial kami (untuk mengikut acuan mereka),” kata Ma.

Tambahnya, di bawah sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China, ramai etnik Hui kini takut untuk pergi ke masjid, yang telah lama menjadi pusat kehidupan keagamaan dan sosial bagi masyarakat tersebut.

Beribu-ribu etnik Hui Islam melanjutkan bantahan mereka di Masjid Besar Weizhou di Ningxia pada 10 Ogos 2018 selepas kerajaan tempatan menghentikan rancangannya untuk merobohkan bangunan masjid itu tetapi berkeras untuk mengubah suainya bagi menjadikannya agar kurang menyerupai seni bina masjid di Arab. (FOTO: South China Morning Post)

Berjuang sehingga titisan darah terakhir

Ma mendakwa matlamat akhir parti komunis yang memerintah China adalah untuk melaksanakan dasar ‘pembunuhan beramai-ramai budaya dan agama’,seperti yang dilakukan di Xinjiang, yang bagaimanapun sebelum ini telah dinafikan oleh kerajaan China.

Bagi penduduk di Najiaying, rancangan kerajaan untuk menukar reka bentuk masjid itu hanyalah petanda awal tindakan keras yang akan datang terhadap etnik Hui.

“Ini (insiden di Masjid Najiaying) hanya langkah pertama (kerajaan China). Apa yang kita bimbang selepas itu, (pihak berkuasa) akan melarang anak-anak kita pergi ke kelas (agama), menghalang kanak-kanak di bawah umur daripada memasuki masjid dan melarang kita belajar al-Quran,” kata penduduk Najiaying kepada CNN,  merujuk kepada sekatan yang dikatakan telah dikenakan terhadap komuniti Hui di seluruh China.

“Selepas mereka menginjak-injak maruah kami, mereka akan menindas kami selangkah demi selangkah, dan mengasimilasikan (menyerapkan) etnik Hui sepenuhnya ke dalam etnik Han, generasi demi generasi. Ini kerana kami tahu, itulah yang mereka lakukan di Xinjiang,” kata mereka.

Walaupun budaya ketakutan yang meresap, etnik Hui di Najiaying telah berikrar untuk ‘berjuang sehingga ke titisan darah akhir’ demi kebebasan kepercayaan dan maruah etnik Hui yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

“Kami rakyat biasa tidak meminta banyak. Kami hanya mahu mempunyai kebebasan beragama sendiri. Kami hanya mahu hidup dengan aman,” kata mereka. – HARAKAHDAILY 31/5/2023 


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tentang 'barua' komunis China di M'sia.. Ini dia! 

Sebenarnya umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah komunis, termasuk 'barua-barua'nya yang ada di negara kita. Tolak 'kerajaan Pak Pandir' mereka.  Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. 

Dunia selamat, akhirat selamat, insya Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails