Wednesday, August 16, 2023

Bahasa Melayu: Kembang di China, di M'sia dihina..

 


1. Bahasa Melayu pesat berkembang di negara tembok besar

KUALA LUMPUR: Disapa oleh warga asing dalam bahasa Melayu ketika berada di luar negara sentiasa mengujakan penulis, dan itulah yang dirasai apabila pertanyaan “apa khabar” menerjah pendengaran sebaik penulis menjejakkan kaki di Universiti Minzu, Yunnan, China lewat tahun lepas.

Tinggi lampai dan berkaca mata, yang menyapa adalah seorang lelaki tempatan dan memperkenalkan dirinya – dalam bahasa Melayu yang fasih – sebagai Zhao Ran, 36, seorang daripada pensyarah bahasa Melayu di universiti itu.

Penulis terkejut dan kagum dengan kelancaran Zhao bertutur dalam bahasa Melayu – tidak ubah seperti rakyat Malaysia – kerana tidak dimaklumkan oleh penganjur Program China Asia Pasific Press Centre 2022, bahawa ada warga universiti yang terletak di Kunming, ibu kota Yunnan itu boleh berbahasa Melayu.  

Zhao yang kelihatan teruja menyambut kedatangan kami – peserta program yang rata-rata berasal dari Asia Tenggara – turut memberitahu bahawa pihak universiti telah menyediakan pelbagai acara kebudayaan bagi meraikan lawatan kami pada hari berkenaan.

Barangkali berbangga dapat menunjukkan kemahirannya kepada penulis, Zhao rancak bercerita, terutama tentang pensyarah, pelajar serta senario pembelajaran di Sekolah Pengajian Bahasa-bahasa dan Budaya Asia Tenggara dan Asia Selatan yang disertainya sejak 13 tahun lepas.

“Kebanyakan pensyarah dan pelajar di sekolah ini mempunyai nama Melayu. Nama Melayu saya ialah ‘Bulan’, diterjemahkan daripada nama bahasa Inggeris saya, iaitu Moon,” ujarnya, mencuit hati penulis, serta menambah nama Melayu itu bertujuan menyuntik semangat warga fakulti dalam menguasai bahasa Melayu.

Beliau kemudian memperkenalkan penulis kepada seorang pelajar wanita yang nama Melayunya ialah ‘Humairah’.

Hampir sama

Kami dibawa oleh Zhao ke bangunan utama universiti, dan di sepanjang perjalanan itu kami rancak berbual. Di kiri dan kanan jalan pula lebih 100 pelajar berpakaian tradisional etnik mewakili kesemua 56 suku kaum yang diiktiraf oleh kerajaan China, berdiri sederet, menyambut kedatangan kami.

Sambil menguntum senyuman manis, mereka menari dan menyanyikan lagu “selamat datang”.

Sepintas lalu, pakaian tradisional yang dipakai oleh pelajar terbabit seakan busana suku kaum Kadazandusun di Sabah dan etnik Iban di Sarawak.

Penulis yang berketurunan Bisaya, tidak pernah menyangka ada etnik di luar Malaysia yang mempunyai pakaian tradisional hampir sama dengan satu daripada busana warisan budaya negeri kelahiran, iaitu Sabah, membuatkan penulis berasa begitu dekat dengan mereka.

Lebih-lebih lagi kesemua pelajar terbabit begitu ramah, sekali gus mengubat kerinduan penulis yang telah berada di negara Tembok Besar itu sejak Julai 2022, mengikuti program enam bulan hingga Disember, anjuran China Public Diplomacy Association menerusi China International Press Communication Center.

“Jurusan bahasa Melayu ditubuhkan pada 2010, dan sekarang kita ada lebih kurang 80 pelajar yang mengikuti pengajian selama empat tahun.

“Ada empat orang pensyarah bahasa Melayu, kesemuanya warga China, dan kebanyakan kami adalah lulusan Beijing Foreign Studies University,” ujar Zhao, mengalih perhatian penulis yang tertumpu pada kumpulan pelajar terbabit.  

Universiti etnik terkemuka China

Universiti Minzu yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1951, adalah antara universiti untuk minoriti yang terawal negara itu dan terkenal dengan penekanan terhadap pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan budaya etnik minoriti mereka.

“Sekolah ini bertujuan memupuk bakat profesional berorientasikan bahasa yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa dari rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara. Kami telah membangunkan program pembelajaran 15 bahasa rasmi kesemua 14 negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

“Bahasa-bahasa tersebut ialah Thai, Burma, Vietnam, Lao, Kemboja, Melayu, Indonesia, Hindi, Bengali, Filipina, Tamil, Pashto, Sinhala, Nepal dan Urdu. Penguasaan bahasa-bahasa ini akan menghapuskan halangan bahasa, menggalakkan interaksi budaya dan merapatkan hubungan rakyat dengan rakyat,” kata Presiden universiti Zhang Qiaogui semasa menyambut kedatangan kami.

Institut pengajian tinggi ini mempunyai lebih 15,000 pelajar peringkat sarjana muda dan siswazah. Majoriti pelajar adalah daripada lebih 50 kumpulan etnik yang ada di China selain segelintir pelajar asing, mengikuti pelbagai program pengajian bahasa dan budaya suku kaum minoriti serta kursus-kursus lain di bawah bidang antropologi. 

“Saya sudah belajar bahasa Melayu selama setahun setengah dan saya sangat teringin ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja di sana,” kata Liu Zhi Hui, penuntut tahun dua jurusan bahasa Melayu ketika ditanya tentang faktor dia mempelajari bahasa itu.

Liu atau nama Melayunya Zarif, adalah daripada etnik Va, turut memberitahu yang dia akan mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pada Oktober ini.

Sejarah pengajian Bahasa Melayu di China

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China bermula pada 1960-an dengan Beijing Foreign Studies University (BFSU) menjadi universiti pertama menawarkan kursus bahasa Melayu di negara itu menerusi usaha perintis Prof. Wu Zongyu.  

Sementara itu, menurut Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China BFSU Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan yang dihubungi Bernama di sini, susulan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya pengajaran bahasa Melayu di China, sebuah pusat pengajian ditubuhan di BFSU pada 1997.

Dikenali sebagai Pusat Bahasa Melayu, institusi itu kemudian dinaik taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China pada 2005, dan secara rasmi menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China, kata beliau yang dilantik ke jawatan itu pada April lepas.

Mengulas lebih lanjut, Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, berkata pada masa ini terdapat 13 universiti di China yang menawarkan program pengajian bahasa Melayu peringkat ijazah dan sebuah kolej dengan program diploma.

“Universiti dan kolej terbabit terletak di kota Beijing, Tianjin, Kunming, Guangzhou, Nanning, Xian, Luoyang, Hainan. Pada masa sama, ada beberapa buah universiti lain yang menawarkan bahasa Melayu sebagai kursus elektif seperti di Hebei dan Sichuan,” katanya.

Ujian pengiktirafan Bahasa Cina-Bahasa Melayu

Pada tahun lepas, China melancarkan Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu (CATTI BC-BM), iaitu ujian kelayakan vokasional peringkat negara yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Sekuriti Sosial China menerusi Jabatan Komunikasi Antarabangsa China.

CATTI dilancarkan bagi mengukuhkan pengurusan industri penterjemahan, menyeragamkan pasaran kerja penterjemahan, meningkatkan mutu penterjemah dan jurubahasa, sekali gus menyaksikan pendidikan bahasa Melayu berkembang pesat di China sejak akhir-akhir ini.

Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dilaporkan berkata melalui ujian itu, pendidikan modal insan dalam bidang penterjemahan bahasa akan dipermudah, di samping mendorong persefahaman antara rakyat China dan Malaysia. – BERNAMA

2. Bahasa Melayu dipandang hina  

Minda Presiden PAS
BAHASA MELAYU DIPANDANG HINA

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤

“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, juga memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Ayat di atas menunjukkan bahasa sendiri memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa petunjuk dan ilmu kepada suatu bangsa mengikut ciptaan Allah SWT. Sekalipun Allah SWT mencipta berbagai-bagai bangsa dan bahasanya, sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kalian dan warna kulit kalian. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Allah SWT menetapkan bahasa Arab menjadi bahasa al-Quran, bukan sahaja kerana ketinggian nilai dari segi sastera dan kekayaan bahasanya. Malah, disebabkan kehebatan perkataannya yang tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa yang lain.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW diperintah supaya memulakan dakwah Islam pada akhir zaman dengan memulakan kepada kaum dan bangsanya sendiri terlebih dahulu. Sekalipun Islam itu wajib disampaikan kepada seluruh manusia di seluruh alam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa.

Allah memerintahkan Baginda SAW supaya memulakan dakwah dengan bangsa dan keluarganya melalui firman-Nya:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syu‘ara’: 214)

Apabila Islam tiba di Nusantara, maka bahasa Melayu berperanan menjadi bahasa dakwah, pelajaran dan pendidikan, berserta peranannya dalam membina ketamadunan serantau. Bahasa Melayu berkembang bersama Islam, sehingga ia ditulis dengan huruf al-Quran bersama tambahan beberapa huruf lagi.

Perkembangannya berlaku sehingga beberapa abad sebelum kedatangan era penjajahan yang merosakkan umat termasuk bahasanya sekali.

Ketika awal kedatangan penjajah dan era penjajahannya, mereka juga terpaksa menggunakan bahasa Melayu. Sehinggakan, Perjanjian Pangkor yang termeterai pun ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi. Bahasa Melayu ketika itu menjadi bahasa perantaraan semua kaum yang dibawa masuk oleh penjajah.

Gerakan merosakkan bahasa Melayu dilakukan pada era penjajahan secara halus dengan perubahan yang berlaku pada tulisannya daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi melalui pelajaran dan pendidikan. Termasuklah penulisan cerita-cerita dongeng yang mengkhayalkan, sehingga sejarah Islam dan peranannya dilupakan.

Seterusnya usaha meminggirkan peranan bahasa Melayu disambung selepas kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sehingga generasi baharu majoritinya buta huruf terhadap tulisan Jawi. Hal ini berbeza dengan kaum Cina dan India yang tetap memelihara tulisannya.

Para pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan, sehinggakan ia disebutkan dalam perlembagaan. Seterusnya, ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan dan selanjutnya diikuti dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  

Malangnya, segala usaha tersebut tidak mendapat dukungan yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak. Sehinggakan, bahasa Melayu  hanyut terpinggir dalam masyarakat. Bahkan, ia dibariskan berada paling bawah dan tulisannya kecil.

Dalam pada itu, banyak perkataannya tidak menepati makna asal apabila diubah penggunaan ejaan hurufnya. Contohnya, perkataan ni‘mat (نعمة) ditukar kepada nikmat (نقمة) dengan makna celaka atau bencana.

Saya mengikuti persidangan antarabangsa yang disiarkan khususnya yang diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menunjukkan bahawa semua pemimpin negara-negara besar dan maju berucap dalam bahasa ibunda masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Walaupun ada yang dapat menguasai beberapa bahasa, namun mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Saya berasa bangga apabila Tan Sri Razali Ismail yang pernah dipilih menjadi Presiden Perhimpunan Agung PBB memulakan ucapannya dalam bahasa Melayu pada waktu itu.

Adapun yang berucap dalam bahasa bekas penjajahnya ialah para pemimpin yang diberikan gelaran negara sedang membangun. Hal ini demikian kerana, betapa lemahnya jiwa mereka walaupun dikatakan telah mencapai kemerdekaan dan paling kuat melaungkan perkataan merdeka serta mengibarkan bendera kebangsaannya. Akan tetapi, lemah jiwa bangsanya kerana tidak mempertahankan bahasanya sendiri.

Mereka itu apabila disebutkan slogan bahasa jiwa bangsa, tetapi sikapnya terhadap bahasa ibunda sendiri terlalu lemah atau sudah hilang, maka ia menunjukkan jiwanya masih dijajah. Keadaan ini berlaku sekalipun jasadnya bertempik slogan merdeka dan tangannya mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing. Apa yang paling menarik adanya kalangan mereka yang merasa malu apabila berbahasa kebangsaan dan melecehkan bahasanya sendiri. Walhal, kakinya berpijak di sini, tetapi rohnya tersangkut dengan bekas penjajah yang telah memperhambakannya.

Sehinggakan, mereka berucap dan bermesyuarat dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan melakukan pengumuman di darat dan udara dengan mendahulukan bahasa Inggeris. Bahkan, segala iklan di kedai dan pasar serta nama-nama bandar dan jalan pun dinamakan dengan bahasa Inggeris, walaupun sasarannya secara majoriti besar tidak tahu berbahasa Inggeris.Betapa lemahnya jiwa bangsa mereka, sehingga berbahasa Inggeris kerana hanya seorang yang tidak tahu berbahasa Melayu. Pada masa yang sama, tidak mempedulikan kepada beribu para hadirin daripada rakyat yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris.

Peranan bahasa ibunda dalam kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), menunjukkan kejayaan pendidikan negara yang maju kerana mereka menjadikan bahasa ibunda masing-masing menguasai sistem pendidikan, pelajaran dan media. Contohnya, negara Jerman dan Jepun yang bangkit selepas Perang Dunia Kedua.

Pada hari ini, di negara China, bahasa asing dipelajari bagi mengambil ilmu daripada berbagai-bagai bangsa yang lain.

Adapun bagi memperkasakan ilmu bangsanya pula, mestilah ilmu tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Hal ini penting supaya dapat melahirkan ilmuwan yang ramai dengan mudah dalam tempoh masa yang ringkas.

Semua negara yang menjadikan bahasa asing khususnya bahasa bekas penjajahnya sehinggakan peminta sedekah juga berbahasa Inggeris, tetap berada pada tahap merangkak. Walaupun negaranya tersenarai dalam senarai perkataan negara sedang membangun yang tidak diketahui bila boleh bangun sendiri menjadi bangsanya mencapai kemajuan dalam semua lapangan.

Bahkan, mereka terus bergantung dengan penjajahnya yang mengambil kesempatan memeras bukannya membantu.

Sejarah Tamadun Islam pada zaman keemasan bangkit bersama bahasa Arab dan bahasa ibunda bangsa yang menganut Islam dan mengambil alih kepimpinan daripada bangsa Arab. Pernah suatu ketika dahulu bahasa Urdu dan bahasa Parsi yang berhuruf Arab dijadikan bahasa rasmi oleh Kerajaan Islam Mogul di India.

Begitu juga, Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah dengan bahasa Turki yang berhuruf Arab sebagaimana bahasa Melayu yang bertulisan Jawi di Nusantara. Sehinggakan, keadaan sedemikian mempengaruhi wilayah luas yang dikenali Alam Melayu, dengan huruf yang mencukupi dan istilah yang tepat maknanya.

Mustafa Kamal Ataturk memaksa bahasa Turki ditulis dengan huruf rumi, dengan alasan ingin menjadi negara maju seperti Eropah. Hal ini menjadikan Turki merempat beberapa dekad dan kini sedang dilakukan perubahan untuk kembali ke pangkal jalan.

Apabila berlakunya gerakan meminda tulisannya mengikut agenda penjajah, maka bahasanya rosak dan dilemahkan peranannya pula. Sehinggakan, pengaruhnya juga dirancang supaya dihapuskan, malah menjadikan kita sudah ketinggalan jauh ke belakang.

Kini, sudah ada suara kesedaran yang wajib diikuti dengan tindakan yang bersungguh-sungguh. Jangan pedulikan suara songsang yang mengigau kerana masih tidur dalam lamunan zaman penjajah atau kalangan mereka yang gila mahu memaksa bahasa Melayu ditinggalkan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Zulhijjah 1443 / 2 Julai 2022

 

Komen Weblog Ibnu HasyimBahasa Melayu: Kembang di China, di M'sia dihina..

(i) Maklumat Malaysia: Bahasa Rasmi


Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. 

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996). 

Namun pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

Kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa antarabangsa yang lain khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa. 

Sumber: Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)


(ii) Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. 

Perkara 152Perlembagaan Malaysia  memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walau bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya Perkara 152 hendak dipinda.

Teks[sunting | sunting sumber]

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.


 Kesimpulan:


Jom tinggalkan PMX Malaysia..
Kepada rakyat Malaysia, sebenarnya kebangkitan Islam di negara ini berada di hujung jari anda. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam, yang ada di negara kita. 

Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. Insya Allah!


Untung jadi Cina di M'sia. Kesian penyokong PH..Terengganu.

 


Orang Cina berniaga untung, berpolitik pun untung

UNTUNG jadi Cina. Dahulu, di kampung aku, ada sekeluarga Cina yang membuka perniagaan runcit. Kedainya sentiasa dikunjungi orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian. Hampir semua barang dia jual, termasuklah minuman keras. Akan tetapi jualan minuman keras itu agak berhati-hati, kena letak dalam bungkusan kertas supaya tidak nampak, jika orang Islam yang membelinya.

Oh, sebelum aku lupa, nama keluarga Cina ini Mek Chua. Hampir semua pelanggannya adalah Melayu. Anak-anak Mek Chua sentiasa membantu ibu mereka. Ramai sungguh pelanggan keluar masuk. Duit baki dia akan letakkan dalam satu tin besar yang ditarik ke bawah menggunakan takal bila mahu mengambil wang dan akan naik semula ke atas bila dilepaskan kerana ada pemberat di sebelahnya.

Kata kawan aku, nyawa dengan mak ayah sahaja yang tiada dijual di kedai Mek Chua. Kalau barang tiada sekalipun, dia akan kata sudah habis. Namun menjawab kata tiada barang tersebut, tidak sekali-kali.

Dengan muka yang garang, suara pula menjerkah seperti mahu bertumbuk dengan pelanggan adalah suasana biasa di dalam kedainya. Tetapi pelanggannya tetap bertandang mencari barang. Bukan sahaja dia, malah anaknya juga, dengan suara keras disertai muncung yang sejengkal, boleh digantung penyangkut baju, memeluk tubuh, dengan kerlingan yang tajam, mereka melayan pelanggan.

Sementara itu, ada beberapa buah kedai runcit Melayu berdekatan, tetapi tidak berapa maju kerana kurang pelanggan ke sana. Kemudiannya kedai-kedai runcit itu satu demi satu ditutup. Maka Mek Chua terus memonopoli perniagaan runcit di sekitar kawasan itu, malah ada yang tinggal selang beberapa kampungpun, masih sanggup pergi membeli di kedainya walaupun banyak kali timbangannya tidak mencukupi. 

Dia menimbang barang di belakang kedai yang tidak dapat dilihat pelanggan. Kebiasaannya pada masa dahulu, alat timbangan berat, tidak dimiliki oleh orang ramai. Jadi pelanggan hanya mempercayai timbangannya sahaja. Hal ini hanya diketahui oleh golongan yang mempunyai timbangan untuk menyemak timbangannya itu. Tetapi walaupun tahu timbangan tidak cukup, waktu itu masih tiada kuasa tular seperti sekarang. Jadi ramai yang tidak tahu. 

Masa berlalu, oleh kerana mungkin ada banyak berlaku kehilangan barang, maka Mek Chuapun tidak lagi membenarkan pelanggan masuk sesuka hati ke dalam kedainya. Dia hanya akan melayan pelanggan dari dalam dan pelanggan terpaksa beratur di jeriji kedainya untuk membeli barang. Akan tetapi tetaplah pelanggannya beratur menunggu Mek Chua melayan mereka mengambil barang. Seperti ada sumpahan, mereka tetap datang ke kedai Mek Chua. Mek Chua juga menerima duit Singapura yang ketika itu sudah agak mahal dari Ringgit Malaysia.

Kini, Cina bermain politik pula di kawasan majoriti Melayu dan Melayu pula memberikan kepercayaan kepada calon Cina di kawasan mereka. Akan tetapi, calon Melayu, langsung tidak laku di kawasan majoriti Cina. Hanya aku teringat kes ada Mek Chua dan aku cuba menggantikannya dengan kisah Mamat yang menjalankan perniagaan runcit di Kampung Cina. Tidak perlu beritahu aku akhir kisahnya, aku sudah dapat mengagak bagaimana ia berakhir dan ia akan terjadi dalam masa yang amat pantas.

Untung jadi Cina di kawasan Melayu. Berniaga untung, berpolitik juga untung, kan? Sebab yang tukang buat fitnah nak jatuhkan Melayu, Melayulah juga. 

MOHD NASIR ABDULLAH
16 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 16/8/2023
 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Untung jadi Cina di M'sia. Kesian penyokong PH..Terengganu.


Ini lagi komen rakyat..
(i) Kasihan penyokong PH, tak faham bidang kuasa..  

Konon portfolio kewangan yang dipegang Menteri Besar Terengganu, sama seperti Menteri Kewangan yang dipegang Perdana Menteri ke-10 (PMX). Jadi Menteri Besar Terengganu juga tidak mengamalkan tatakelola yang betul.

Mereka cuba samakan kesalahan PMX dengan Menteri Besar Terengganu. Sedangkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri di semua negeri tidak terkecuali PH atau PN, memegang portfolio Kewangan dan Tanah Negeri, kecuali Ketua Menteri di Sabah. 

(ii) Jom tengok Fakta-fakta PRU ke-15 Negeri Terengganu, suatu pukulan KO kepada PH. 

 PENGGAL ke-15 ini adalah kali kedua Sidang DUN Terengganu akan berlangsung tanpa pembangkang. Pertama kali terjadi ialah pada Penggal ke-5, tahun 1978, di mana BN menyapu bersih semua 28 kerusi DUN tahun itu, termasuk juga tujuh kerusi Parlimen.

● PAS pertama kali pada PRU15, menang di dua DUN kubu kuat Umno, Seberang Takir dan Telemung, setelah sebelum ini, hanya dua DUN ini sahaja yang masih gagal ditawan PAS semenjak keduanya diperkenalkan dalam PRU.

● ADUN Wanita Pertama yang pernah memenangi kerusi DUN Terengganu ialah Teh binti Hassan di DUN Chukai dari Perikatan dalam tahun 1969. Manakala ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menjadi ADUN wanita pertama dari PAS yang menang kerusi DUN. Sementara itu, Khadijah Sidek calon wanita dari PAS yang memenangi kerusi Parlimen iaitu Parlimen Dungun pada PRU-1, 1959.

● Datuk Sabri Alwi calon BN Ladang pula menjadi calon lelaki pertama dari Perikatan dan BN semenjak 1959, kalah kepada calon wanita, Hajjah Zuraida Md Noor di DUN Ladang. 

● Majoriti terbesar yang diperolehi PAS ialah sebanyak 18,637 oleh YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di Wakaf Mempelam. Kedua, YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi di Batu Buruk 17,668 dan Rhu Rendang yang diwakili oleh Dato’ Seri Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar majoritinya 17,295. 

● Tidak pernah sebelum ini majoriti DUN di Terengganu oleh mana-mana parti mencapai lima angka, tetapi kali ini ada 12 DUN yang dimenangi PAS, merekodkan majoriti melebihi 10,000 undi. 

● YB Ustaz Wan Sukairi juga sudah dua kali memegang rekod majoriti terbesar iaitu pertama kali pada tahun 2018 dengan jumlah 7,378 di DUN yang sama. Sementara dari BN yang pernah memegang rekod majoriti tertinggi ialah Dato’ Rozi Mamat mewakili Telemung dalam PRU-13 iaitu sebanyak 6864 undi. 

● Sebanyak separuh atau 16 DUN mengatasi jumlah majoriti yang terbesar 7,378 dalam tahun 2018 dalam sejarah PRU DUN Terengganu semenjak kali pertama diperkenalkan pada tahun 1959. DUN-DUN itu ialah Permaisuri (7525), Tepuh (10,890), Buluh Gading (10,858), Bukit Tunggal (7721), Wakaf Mempelam (18,637), Batu Buruk (17,668), Alur Limbat (12,622), Bukit Payung (10,956), Rhu Rendang (17,295), Pengkalan Berangan (8306), Manir (11,260), Rantau Abang (12,922), Sura (13,848), Paka (11,876), Chukai (8,106) dan Air Putih (10,332). 

● Peratusan kenaikan majoriti tertinggi yang dicatatkan ialah di DUN Ajil dengan 1,571.5 peratus iaitu daripada majoriti empat undi kepada 6,286.

● Semua 22 kerusi yang dimenangi PAS pada tahun 2018, mencatatkan peningkatan majoriti dengan yang terendah ialah DUN Bandar sebanyak 294 undi (PRU14 = 2,091, PRU15 = 2,384). 

● Ini adalah kali pertama PAS Terengganu berjaya menang bagi dua penggal berturut-turut. Sebelum ini hanya separuh penggal 1959-1961, dan sepenggal 1973-1977 (bersama Umno) dan 1999-2004 bersama Barisan Alternatif. 

● DUN yang mencatatkan peningkatan jumlah undi yang tertinggi berbanding 2018 ialah Air Putih dengan kenaikan sebanyak 8,681 undi (PRU14 = 12,985; PRU15 = 21,666).

● DUN Manir dalam PRU15 ini, memperolehi peratusan undi tertinggi iaitu 85.90 peratus bersamaan 13,471 undi daripada keseluruhan undi yang dikira 15,952 undi.

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 014 400 2015.

Demi Islam, bangkit lawan Anwar. Mengapa?

 

Sidang media badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada hari ini, 14 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Demi Islam, kena bangkit lawan Anwar. Mengapa? Kerana perlunya.. 

Kerajaan tanpa DAP: Isu Islam, Melayu perlu bebas politik

BANGI: Isu-isu berkaitan agama Islam dan bangsa Melayu di Malaysia perlu dilindungi tanpa perlu terikat dengan sebarang ideologi parti politik.

Presiden Pertubuhan PERKASA Malaysia, Syed Hassan Syed Ali berkata, seharusnya parti-parti politik perlu bersatu dalam melindungi hak-hak berkaitan bangsa Melayu-Islam.

“Ini termasuklah dengan isu kalimah Allah SWT, isu perumahan, kerakyatan, pembelajaran, dan apa sahaja berkaitan dengan agama Islam dan bangsa Melayu,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa isu LGBT juga perlu diberikan perhatian oleh parti-parti politik Melayu sendiri memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam.

“Seharusnya ahli-ahli politik perlu memberi keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu dan bukannya melebihkan kepentingan politik semata-mata,” katanya dalam sidang media badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor yang diadakan di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) Wan Hairul Anuar; Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa; Timbalan Pengerusi Ummah, Dr. Kamarulzaman Yusuf; Pengerusi Sekreteriat NGO ISLAM Selangor, Datuk Nazilah Idris; dan Pengerusi NGO Ummah Negeri Sembilan, Rosmin Adam. 

Sementara Wan Hairul pula berkata, pelbagai isu berkaitan agama Islam telah ditimbulkan oleh DAP termasuklah Sekolah Islam Persendirian (SIP) yang turut diganggu oleh parti tersebut semenjak mereka memegang jawatan dalam kerajaan.

“Ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya boleh disentuh oleh mana-mana pihak sekalipun kerana dalam perlembagaan negara ini sendiri pun menekankan pemeliharaan agama Islam dalam negara ini,” hujahnya. 

Isu kalimah Allah SWT antara yang memerlukan sokongan parti-parti politik Melayu agar bergabung dalam melindungi melindungi hak-hak berkaitan bangsa Melayu-Islam di Malaysia. (FOTO HIASAN)

Beliau menegaskan bahawa rakyat di negara ini yang majoritinya umat Islam menginginkan penyatuan ummah tanpa mengira sebarang parti politik supaya DAP tidak boleh bertapak di  Selangor dan Negeri Sembilan.

“Maka, mana-mana ahli politik bangsa Melayu beragama Islam perlu ketepikan ideologi-ideologi parti politik dan perlu menekankan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu sebagai perkara pertama yang diberikan keutamaan,” katanya.

Mohd Zai dalam pada itu, menggesa perkara tersebut perlu digerakkan tanpa memberikan sebarang pun alasan. 

“Kami sendiri tiada sebarang masalah apa pun parti politik yang terdiri daripada bangsa Melayu beragama Islam memerintah kerajaan tetapi yang pastinya bukan dalam kalangan DAP. 

Barisan wakil NGO Islam Melayu yang hadir (dari kiri), Wan Hairul, Kamarulzaman, Syed Hassan, Mohd Zai, Nazilah dan Rosmin.

“Ini kerana kita sendiri boleh lihat mereka sendiri dah mula mengganggu  status agama Islam dan bangsa Melayu sendiri maka ianya perkara yang sesekali tidak boleh diterima,” jelas beliau. 

Dr. Kamarulzaman pula menegur sikap sesetengah ahli politik bangsa Melayu yang hanya mementingkan diri sendiri kerana perkara tersebut telah menyumbang kepada isu-isu tersebut yang berlaku pada masa ini. 

“Apa yang berlaku kepada kekalahan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 baru-baru ini boleh jadi sebagai peringatan daripada Allah SWT bahawa kegilaan kuasa tidak menyelesaikan apa pun masalah. 

Parti-parti politik Melayu digesa memberu perhatian terhadap isu LGBT di negara ini memandankan Malaysia merupakan sebuah negara Islam . (FOTO HIASAN)

“Maka, pentingnya ahli-ahli politik berbangsa Melayu perlu mempunyai kesedaran dan persefahaman dengan menolak sebarang kepentingan peribadi supaya kebajikan rakyat umat Islam dapat dijaga dengan baik,” ujarnya. 

Beliau turut menegur mana-mana pengundi berbangsa Melayu untuk memainkan peranan dalam memilih mana-mana pemimpin bangsa Melayu yang berjiwa rakyat.

Hal tersebut disokong oleh Nazilah yang menurut pandangan beliau, perkara sebegini diperlukan bagi melindungi agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu.

“Maka, saya menyeru setiap ahli politik berbangsa Melayu supaya ketepikan ego politik masing-masing kerana perkara sebegini perlu diberikan keutamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2023  

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Demi Islam, bangkit lawan Anwar. Mengapa?

Lihat komen ini...

(i) Adakah DAP berjaya laksanakan strategi kuasai kerusi apabila mencapai kemenangan 97.9% iaitu 46 daripada 47 DUN ditandingi parti itu pada PRN kelmarin?

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

“Semua orang tahu, dalam kerajaan gabungan PH-BN hari ini, DAP mainkan peranan utama, kerana pegang kerusi terbesar 40 Parlimen. Jadi sama ada terbuka atau tertutup, pastinya mereka punyai suara yang banyak, yang kuat kerana ada kerusi majoriti,” Jelas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Ahli Parlimen Jerantut itu juga berkata, DAP menggunakan sepenuhnya rakan gabungan mereka iaitu PKR, PAN dan Umno untuk berhadapan lawan politik Melayu terutama daripada PAS dan BERSATU.

DAP sejak dahulu ujarnya, menggunakan strategi itu dalam berdepan isu dari parti-parti Melayu termasuk juga ketika pilihan raya, agar mereka dapat fokus menangani atau menarik sokongan kaum bukan-Melayu.

“Jadi dalam dalam pilihan raya biasanya pemimpin-pemimpin mereka ni akan ‘shut down’ untuk tidak bagi komen apa-apa. Mereka hanya fokus (menarik sokongan)pengundi bukan-Melayu sahaja.

“Serangan (balas) rakan gabungan DAP kepada PAS dan BERSATU jadikan DAP boleh fokus hanya kepada pengundi bukan-Melayu sahaja. Adapun (dengan serangan itu) dia dapat pengundi Melayu, itu bonus buat mereka. 

“Tetapi matlamat utama mereka adalah memenangi kerusi majoriti Cina. Pendekatan DAP mendepankan calon-calon Melayu hanyalah ‘camouflage’ sahaja untuk menunjukkan mereka itu ‘multiracial’, sedangkan dia tidak sebegitu,” Suntingan dari kenyataan beliau.

(ii) Awas merbahaya, kerana menteri DAP.. 
Kamarulzaman dan Nazilah dalam sidang media NGO Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada hari ini, 14 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

“Kita tidak boleh leka dengan perkara-perkara ini. (Seramai) 40,000 pelajar Islam di Selangor dinafikan (haknya) apabila sekolah mereka ini perlu ditutup dan dipindah. 

“Malah mereka kena saman (walaupun) mereka tidak menyusahkan sesiapa,” kata Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor, Datuk Nazilah Idrisn  dalam sidang media NGO Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada hari ini, 14 Ogos 2023.

“Ini kerana kita membenarkan menteri DAP dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ini sangat membahayakan agama dan bangsa Islam jika kita tidak bertindak sekarang,” Jelas beliau lagi.

(iii) Seru perpaduan dominasi kuasa Melayu -PAS Perak. 

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

PAS Perak mengikuti secara dekat perkembangan ini khusus yang berlaku di Negeri Sembilan. Kedudukan kerusi di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dengan komposisi di Perak. Kedua-dua negeri boleh memposisikan kuasa Melayu-Islam. 

Kedudukan yang sama juga dapat direalisasikan di Negeri Pahang, malah juga di peringkat Nasional jika di terjemahkan kesungguhan itu. Umno kini boleh menjadi ‘king maker’ menentukan kedudukan kuasa Melayu atau sebaliknya.

PAS Perak menyeru kepimpinan Umno di negeri-negeri yang mampu memposisikan kuasa dan kedaulatan Melayu Islam agar menyambut gelombang dan isyarat rakyat ini. 

Suara akar umbi Umno yang menyeru kembali ke landasan asal perjuangan Melayu yang diasaskan pemimpin terdahulu jelas kelihatan hasil keputusan PRN. 

Sekian, harap maklum.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 014 400 2015.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails