Friday, July 12, 2024

Dakwah: Pilihlah pendekatan begini?

 

Perokok akan ditembak

KUALA LUMPUR: “Amaran: Perokok akan ditembak. Jika mereka masih hidup, mereka akan ditembak lagi.”

Seorang pelanggan kedai makan telah berkongsi sebuah video di laman sosial TikTok mengenai isu ‘hukuman’ jika merokok di premis makan dengan meletakkan papan tanda di pintu masuk kedai berkenaan.

Menerusi video yang dimuat naik menunjukkan satu amaran yang berbaur jenaka tetapi tegas tersebut bagi memastikan bahawa semua pelanggan perlu mengambil perhatian kerana ada sesetengah pelanggan yang masih culas akan hal ini.

Walaupun notis larangan merokok yang dipasang di dinding premis makanan, ramai di kalangan kita memandangnya seolah-olah hanya menjadi perhiasan dinding sahaja dan tidak dipedulikan perokok mahupun pemilik premis makanan.

Video tersebut (ketika berita ini ditulis) telah meraih 845.3 ribu tontonan (views), 131.5 ribu tanda suka (likes) dan 1,182 komen di TikTok.

Sementara tinjauan di ruangan komen, ramai netizen yang memuji pendekatan inovatif pemilik restoran untuk mengurangkan merokok di tempat awam.

“Patut semua kedai buat macam ni,” tulis @MMC_MXC.

“Boleh ajukan untuk semua kedai makan kat Malaysia,” kata @-0.

“Amaran yang paling senang,” ulas @imranHARAKAHDAILY 11/7/2024

1. Di atas ini salah satu cara dakwah..

Tapi, PAS (Parti Islam SeMalaysia) sebagai parti politik Islam di negara ini, begini sasarannya: 

2. Sasaran dakwah PAS adalah kepada semua golongan. 

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, setiap sasaran dakwah mempunyai pendekatan dan cara yang berbeza.

“Sasaran dakwah PAS kepada semua golongan. Ada yang didekati melalui kuliah-kuliah ilmu tetapi ada yang di padang bola, stadium serta ruang-ruang di media sosial,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan penutup pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, petang semalam.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Liqa Fikri Peringkat Negeri Kedah diadakan di Kompleks PAS Kedah.Kertas kerja ucapan dasar terbabit dikupas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Hanif Ghazali.

Katanya lagi, sikap menegur pemimpin menunjukkan keprihatinan ahli kepada parti dan budaya yang sangat baik.

Akan tetapi ujar Ahmad, setiap yang berlaku perlu dilihat dari pelbagai sudut, tidak menyalahi syarak serta tidak menimbul fitnah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan serta pertanyaan para peserta program, berkenaan isu yang tular mengaitkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa berkaraoke di TikTok hingga lewat pagi.

Kata Pesuruhjaya PAS Kedah itu lagi, pihak lawan hanya melihat PAS sebagai parti dari sudut agama sahaja sedangkan PAS juga ada tanggungjawab untuk mendekati bukan dari golongan agama.

“Mungkin nampak kurang selesa atau kurang sesuai tetapi yang hebatnya setiap kali MB ‘live’ di TikTok, isterinya akan ada di sebelahnya.

“Tengok di TikTok tu, nampak dua sahaja (MB dan host wanita) tapi isterinya ada bersama.

“Tapi tak apa, PAS akan urus hal ini tetapi dalam masa yang sama pandangan Sanusi sendiri juga ada pertimbangan di pihak kita,” tambahnya.

Sanusi sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan membidas kritikan terhadapnya.

Kata beliau, tiada tegahan dari sudut syarak untuk orang lelaki menyanyi, malah beliau tidak berkaraoke secara berduet dengan mana-mana wanita.

Dalam pada itu katanya perkara itu sengaja ditimbulkan untuk menutup isu ucapan Perdana Menteri berkenaan Pemuda Al-Kahfi. – HARAKAHDAILY 30/12/2023

3. Dari Pejabat Agama Wilayah Persekutuan, Malaysia. 

AL-KAFI #1030: MANAKAH LEBIH UTAMA BERDAKWAH KEPADA ORANG ISLAM ATAU BUKAN ISLAM 

SOALAN

 Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ada beberapa persoalan yang memerlukan pencerahan seperti berikut:

Yang manakah lebih utama berdakwah kepada orang Islam atau berdakwah kepada orang bukan Islam?

Saya pernah mendengar ada yang merujuk kepada satu hadis yang lebih kurang  maksud “mengislamkan seorang Islam adalah lebih baik daripada mengislamkan sepuluh orang bukan Islam. Adakah benar ada hadis tersebut dan jika ada apakah taraf hadis tersebut?”

Itu sahaja soalan saya buat waktu ini dan segala pencerahan daripada tuan mufti saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Dakwah adalah tugas asasi bagi setiap umat Islam untuk menyeru, mengajak, menyampaikan dan memperkenalkan kepada manusia mengenai ajaran agama Islam. Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung”. (Surah Al-Imran: 104)

Begitu juga sabda Nabi SAW: بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: Sampaikan kepadaku walaupun sepotong ayat (Hadis riwayat Bukhari, No. 3461)

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, manakah lebih utama berdakwah kepada orang Islam atau berdakwah kepada orang bukan Islam? Kami menyatakan bahawa jawapan bagi persoalan ini adalah subjektif kerana kedua-duanya mempunyai keutamaannya yang tersendiri pada masa, waktu dan keadaan yang tertentu. Namun begitu, apa yang lebih penting adalah menyampaikan dakwah dengan tatacara dan adab susila yang terbaik sepertimana yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW.

Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik (Surah Al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Pernah pada suatu ketika Nabi SAW menyuruh Saidina Ali untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Ali berkata, kami akan menentang dan melawan musuh sehingga mereka menjadi muslim, lalu Nabi SAW berkata: bersabarlah, sehingga kamu berjumpa dengan mereka dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam maka Allah akan bersama mereka.

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” (Hadis riwayat al-Bukhari, No. 2942)

Sebagai renungan, mari kita mengabil ibrah melalui satu peristiwa yang tercatat di dalam Al-Quran, kisah bagaimana Allah SWT menegur Nabi SAW kerana mengabaikan permintaan sahabat yang meminta untuk diajarkan agama Islam kepadanya. Sahabat tersebut bernama Abdullah bin Umm Maktum yang diuji dengan kedua-dua belah matanya buta. 

Namun begitu, situasi permintaanya telah menyebabkan Rasulullah SAW merasa tidak senang kerana baginda sedang sibuk menyampaikan dakwah kepada pembesar-pembesar kafir Quraisy dengan harapan supaya para pembesar tersebut mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam. Penolakkan permintaanya itu telah menyebabkan Abdullah bin Umm Maktum berasa kecewa dan bersedih lalu beredar dari tempat itu (Rujuk Kitab Siyar A’lam Nubala’, jld. 1, m/s 363). 

Kesedihan itu telah membawa asbab penurunanya ayat Al-Quran yang diturunkan bagi menegur Rasulullah SAW terhadap peristiwa itu:

Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّى (١) أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى (٢) وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى (٣) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى (٤) أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَى )٥) فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّى (٦) وَمَا عَلَيْكَ أَلا يَزَّكَّى (٧) وَأَمَّا مَنْ جَاءَكَ يَسْعَى (٨) وَهُوَ يَخْشَى (٩) فَأَنْتَ عَنْهُ تَلَهَّى (١٠

Maksudnya:“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) kemungkinan dia ingin menyucikan dirinya, atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka engkau (Muhammad) memberi perhatian lebih kepadanya. Padahal tidak ada (cela) atasmu jikalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia takut (kepada Allah), engkau (Muhammad) malah mengabaikannya”. (Surah Abasa,1-10)

Melalui surah ini, Allah SWT menegur sikap Rasulullah SAW yang lebih mengutamakan orang-orang kafir daripada orang yang beriman walaupun orang-orang kafir itu pembesar kaum sedangkan orang beriman itu pula buta dan miskin. Ayat ini memberikan pengajaran agar tidak mengecilkan hati orang-orang beriman kerana mereka lebih baik daripada orang-orang kafir walaupun mereka adalah seorang yang miskin.

Membawa manusia yang berada di dalam kegelapan untuk menerima cahaya kebenaran atau beristiqamah dalam menerima kebenaran adalah satu pekerjaan yang amat berat. Namun begitu, pekerjaan yang mulia inilah merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Sesungguhnya pahala yang amat besar dijanjikan Allah SWT kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)(Surah Al-Fussilat: 33)

Dalam konteks Islam di Malaysia, dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam adalah perlu. Sememangnya orang Islam di Malaysia merupakan purata bagi masyarakat disini. Namun begitu, adakah cara kehidupan Islam sebenar dipraktikkan oleh masyarakatnya? Setiap hari, Allah SWT memperingatkan hambanya 5 kali sekali untuk menunaikan solat, namun statistik menyatakan 70 peratus golongan remaja di Malaysia masih tidak mengerjakan solat (Rujuk Utusan Malaysia, 70 Peratus Golongan Remaja Tidak Solat Lima Waktu, 27 November 2013 dan laman web YADIM, Tak Solat Lebih Serius Dari Isu Dadah, 21 Julai 2016). 

Maka, sebagai seorang muslim yang bersaudara, ia menjadi tanggungjawab untuk memperingatkan muslim yang lain untuk menunaikan suruhan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman”. (Hadis riwayat Muslim, No. 49)

Berkenaan petikan ayat tersebut “mengislamkan seorang Islam adalah lebih baik daripada mengislamkan sepuluh orang bukan Islam. Adakah benar ada hadis tersebut dan jika ada apakah taraf hadis tersebut?” kami meminta maaf daripada kelemahan kami, tidak kami menjumpainya setakat ini yang menyatakan ia merupakan hadis Nabi SAW.

WallahuA’lam.

Sekian.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, kali ini kita berbincang mengenai dakwah Islam. Suruh yang baik cegah mungkar, suatu kewajipan umat. Cara pendekatan yang disebutkan diatas agak lain sikit. Dimulakan dengan 'Perokok akan ditembak'! 

Boleh guna cara ini. Apakah ini pendekatan yang digunakan oleh HAMAS di Palestin? Boleh bincang..

Akhirnya, ini juga pesan dakwah dari saya sebagai penutup..

Dari Imam al-Nawawi (676 H) meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2]

Ertinya,kena elak dari 2 perkara ini, satu jadi syaitan, kedua jadi bisu pula. Kerana 'diam akan sesuatu kebenaran', seolah-olah tak berbuat apa-apa, tapi masih berperanan. Ada buat, masih berbahaya.


Iklan: Lihat juga 'Orang Cina, kembalilah kepada Islam..

Di negara ini, tidak mustahil pemimpin-pemimpin DAP Malaysia boleh menjadi pemimpin rakyat Malaysia, kalau pemimpin Melayu kini masih kekal tebal dengan najis assobiah perkauman sempitnya itu.

....

No comments:

Post a Comment