Tuesday, August 27, 2024

Bencana Lubang jerlus, teguran PAS & Tahniah..

 

Isu lubang benam (sinkhole) terutama di Kuala Lumpur dikaitkan dengan fakta sebanyak 80 peratus kawasan Lembah Klang dilitupi batu kapur berusia ratusan juta tahun, yang semakin merekah dan menghakis akibat pergerakan air, sebelum membentuk rongga di bawah permukaan batu kapur di sesuatu kawasan, menyebabkan bumbung yang menahan permukaan tanah itu runtuh. (GAMBAR HIASAN)

1. Bencana lubang benam di Malaysia: Contohi Singapura 

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah jerlus atau lubang benam di Jalan Masjid India, di sini  boleh dijadikan sebagai peringatan (wake up call) kepada kerajaan persekutuan dan negeri supaya menggunakan bajet yang selayaknya dalam memahami kerencaman geologi negara ini.

Pengarah syarikat Geoventure Solution Sdn. Bhd., Ahmad Zulqurnain Ghazalli berkata, kejadian tersebut telah menimbulkan pelbagai gusaran dalam kalangan rakyat.

“Saya melihat ada sesetengah pihak meminta supaya menukar lokasi ibu kota Malaysia lagi tetapi orang ramai perlu diingatkan supaya tidak bersifat gelabah dalam isu ini.

“Lagipun, belum lagi ada apa-apa pengesahan mengenai faktornya yang menyebabkan perkara tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan akaun media sosial Facebooknya. 

Ahmad Zulqurnain Ghazalli

Menurut beliau, terdapat kemungkinan bahawa gua (cavity) di bawah tanah tidak menyebabkan berlakunya kejadian tanah jerlus tersebut memandangkan terdapat lagi punca lain yang membolehkan kes seperti itu berlaku.

Tambahnya, sudah terlalu banyak kerja kejuruteraan Geoteknikal dilakukan di bawah permukaan (subsurface) kawasan Kuala Lumpur (KL) itu sendiri.

“Sebenarnya subsurface di KL tu dah terlalu banyak kerja kejuruteraan geoteknikal (satu daripada cabang kejuruteraan sivil) yang telah pun dijalankan.

“Barangkali dah berjuta-juta kubik meter simen telah dipam masuk ke bawah tanah mengisi gua-gua yang kita takutkan tu.

“Saya sendiri terlibat dalam projek MRT 1 dahulu pun boleh melihat dengan mata sendiri  betapa banyaknya simen dipam masuk dalam kawasan sebegitu.

“Dengan lain kata yang mudah difahami, keadaan bawah tanah KL tu telah ditambah baik kekuatannya dengan kaedah sepatutnya.

“Pembinaan bangunan pencakar langit itu sendiri pun telah dilakukan kajian dan kerja-kerja kejuruteraan yang teliti yang mana saya boleh menyatakan jangan pandang remeh kepada jurutera dan ahli geologi Malaysia yang terlibat dengan batu kapur.

“Golongan sebegini jauh lebih hebat dari profesional bermata biru (orang-orang putih) kerana cabaran geologi dan iklim tropika negara kita lebih mencabar daripada apa yang disangkakan,” jelasnya.

Nasib mangsa kejadian lubang benam di Masjid India pada Jumaat, 23 Ogos 2024, Vijayaletchumy belum lagi diketahui sehingga kini.

(Selanjutnya sila lihat 'Bencana lubang benam di Malaysia: Contohi Singapura– HARAKAHDAILY 26/8/2024)


2. Sifat mulia menerima teguran -Presiden PAS

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis yang sahih, apabila Rasulullah SAW mengetahui bahawa Abu Zarr al-Ghifari RA telah menghina seorang sahabat lain yang berketurunan hamba abdi, lantas Baginda SAW terus bersabda kepada Abu Zarr: 

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis yang sahih, apabila Rasulullah SAW mengetahui bahawa Abu Zarr al-Ghifari RA telah menghina seorang sahabat lain yang berketurunan hamba abdi, lantas Baginda SAW terus bersabda kepada Abu Zarr: 

إِنَّكَ ‌امْرُؤٌ ‌فِيكَ ‌جَاهِلِيَّةٌ

“Sesungguhnya, kamu ini seorang yang masih bersifat jahiliah.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6050, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aiman, No. 1661, daripada Abu Zarr]  

Hal tersebut menyebabkan Abu Zarr RA bertaubat dan meminta maaf, sehingga beliau melakukan sesuatu yang luar biasa apabila memberikan pakaian yang sama kepada khadamnya. Muhasabah diri dilakukan tanpa marah yang tiada panduan.

Inilah sifat generasi awal yang mendapat keredaan Allah. Perkara ini juga diucapkan oleh Khalifah Abu Bakar RA ketika dilantik menjadi ketua negara, beliau menegaskan keterbukaan dirinya supaya dikritik sekiranya melakukan kesalahan. Kalau tidak berani melakukannya dengan berbohong dan memuji, maka dikira sebagai khianat dan pembohong besar terhadap pemimpin dan masyarakat.

Selain itu, Khalifah ‘Umar RA pula berdiri tegak dengan khusyuk menerima teguran seorang wanita tua. Begitulah sepatutnya sikap seorang pemimpin.

Namun begitu, sebaliknya yang terjadi apabila berlaku sifat Dajjal kepada para pemimpin yang berbohong dan berjanji secara terbuka supaya mendapat undi dalam pilihan raya melalui manifesto atau kenyataan umum dalam semua media tayangan dan cetakan. 

Demikian juga, secara terbuka mereka melakukan rasuah bagi mendapat sokongan, kemudian melakukan ugutan, bahkan mengambil tindakan secara amali terhadap pembangkang atau sesiapa sahaja yang melawan mereka.

Rakyat tidak lupa apabila diperbodohkan dengan janji untuk menurunkan harga petrol dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan, tiba-tiba harga naik melonjak sehingga berlaku inflasi yang membebankan. 

Hal ini menunjukkan amalan pepatah, “Telunjuk lurus, kelingking berkait,” dengan contoh lain seperti pemberian dengan cara menaikkan gaji, tetapi kemudian menaikkan cukai dan harga barangan keperluan.

Malah, mereka juga merampas hak negeri kerana memilih parti pembangkang, menafikan peruntukan terhadap wakil rakyat pembangkang, dan melambatkan peruntukan negeri yang ditetapkan melalui konsep federalisme oleh Perlembagaan Persekutuan, selain melakukan sesuatu terhadap pegawai yang dianggap tidak menyokong kerajaan.

Mereka melakukan perkara yang lebih daripada Dajjal yang hanya tidak memberi jika tidak beriman kepadanya, tetapi tidak mengambil. Sebaliknya, mereka melakukan konsep mengambil, kemudian tidak memberikan hak yang sepatutnya.

Malah mereka mengumpulkan sifat pembohongan, penindasan, dan ugutan yang menjadi konsep Dajjal pada akhir zaman. Kedua-dua perkara yang berlaku secara terbuka laksana pekung besar yang tidak boleh ditutup dengan tapak tangan.

Sepatutnya, mereka melakukan muhasabah diri sendiri sebelum dihisab oleh Allah pada Hari Kiamat kelak. Hanya rakyat yang nyanyuk atau yang tidak sihat akalnya boleh menolak atau menafikan apa-apa yang berlaku dengan nyata.

Para sahabat terdahulu tidak marah, malah jauh sekali melenting tanpa waras apabila dituduh bersifat jahiliah atau munafiq. Sebaliknya, mereka melakukan muhasabah diri; adakah sifat-sifat tersebut berlaku pada diri mereka.

Khalifah ‘Umar RA bertanyakan Huzaifah bin al-Yaman RA apabila mengetahui bahawa Rasulullah SAW memaklumkan kepada Huzaifah senarai nama para munafiq di Madinah; adakah namanya berada dalam senarai, tanpa bertanya akan nama-nama orang lain dalam senarai. Keadaan itu menunjukkan sifat taqwa menjaga diri sendiri dan menghayati firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ١٨

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa-apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah! Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Hashr: 18] 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mentarbiah para pemimpin dan ahlinya agar berdisiplin terhadap diri dan parti sendiri walaupun lambat perjalanannya mencapai kemenangan, laksana kura-kura hijau yang luar biasa.

Lebih baik menjadi kura-kura yang keras kulitnya dan susah dimakan oleh anjing atau serigala, tetapi mudah menyorokkan kepalanya bagi menyelamatkan diri, di samping lambat perjalanan ke destinasi tanpa mengantuk dan berhenti di pertengahan jalan, berbanding dengan arnab yang mudah menjadi selera serigala dan anjing, selain gopoh melompat sehingga masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh pemburu.

(Selanjutnya sila lihat 'Sifat mulia menerima teguran -Presiden PAS Bertarikh: 21 Safar 1446 / 26 Ogos 2024 [Bil: 36 / 2024]  – HARAKAHDAILY 26/8/2024)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah.  Tahniah kepada pasangan beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani atas kejayaan luar biasa memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2024.

Sebelumnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz mengucapkan demikian susulan kemenangan yang diperoleh pasangan beregu negara, menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae. 

Ini adalah hadiah Kemerdekaan terbaik buat Malaysia, mencerminkan semangat perpaduan dan kesukanan negara. Mereka berjaya menewaskan juara dunia, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae dari Korea Selatan. 

Kemenangan 21-19, 21-15 ke atas Min Hyuk dan Seung Jae dalam kejohanan berstatus Super 750 itu secara tidak langsung memadam kekecewaan gandingan ke-12 dunia berkenaan selepas tewas pada final Kejohanan Badminton Asia April lalu. Ini adalah kali ketiga mereka mengatasi pasangan Korea tersebut, memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai antara beregu terbaik di dunia. 

Lebih istimewa Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin merupakan beregu Melayu dan Cina pertama di dunia yang mencapai kejayaan sebegini di peringkat antarabangsa. Hal ini telah mencerminkan keharmonian dan semangat Malaysia yang sebenar. 

Kemenangan di Jepun ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berjuang dan mencapai kejayaan di arena dunia. Anda berdua telah mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Sekian.


Iklan: Lihat juga 'Orang Cina, kembalilah kepada Islam..

Di negara ini, tidak mustahil pemimpin-pemimpin DAP Malaysia boleh menjadi pemimpin rakyat Malaysia, kalau pemimpin Melayu kini masih kekal tebal dengan najis assobiah perkauman sempitnya itu. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails