Friday, August 02, 2024

Gila, solidariti Palestin tapi jual saham pro Israel..

 

1. Rancang himpunan solidariti Palestin, tapi BlackRock, Rimpac?

KUALA LUMPUR: “Penyokong Palestin kini sedang bersedih dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran semalam.”

Itu kenyataan penganalisis politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengenai tragedi menimpa Haniyeh dikaitkan angkara Zionis Israel yang telah menggemparkan satu dunia. 

Menurut beliau, sehubungan itu kerajaan Malaysia dilaporkan telah mengumumkan untuk mengadakan satu himpunan yang dirancang pada hari Ahad (4 Ogos) ini sebagai solidariti kepada Palestin dan kecaman terhadap pembunuhan didalangi Zionis laknatullah. 

Bagaimanapun, Nurul Islam mempersoalkan kenapa pula dalam masa yang sama kerajaan meneruskan hasrat untuk menjual saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) kepada GIP (Global Infrastructure Partner) yang dikuasai syarikat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlackRock). 

“Umum tahu siapa BlackRock dan apa peranan mereka dalam konflik di Semenanjung Gaza,” katanya dalam kenyataan media sosial miliknya. hari ini.

Terbaharu menurutnya, kerajaan juga dilaporkan latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (Rimpac) 2024 yang turut disertai tentera Israel. 

“Sedangkan Mahkamah antarabangsa dah keluarkan waran tangkap ke atas (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu dan mengiktiraf serangan Israel di Gaza adalah genosid. 

“Wahai Perdana Menteri, masih sempat untuk arahkan Khazanah (Berhad) hentikan cadangan jualan saham MAHB dan memanggil semula KD Lekiu yang dalam perjalanan ke Hawaii (bagi sertai Rimpac),” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

(Sila lihat sebelumnya 'Solidariti Ismail Haniyeh: Solat ghaib, hajat 3 Ogos ini'


2. Harga diesel tak berubah: Rakyat dirompak? 

Chegubard menyatakan harga gas minyak ketika ini mencecah AS$99.32 yang mengikut kadar pertukaran RM4.61 RM4.61 bermakna berharga RM457.87 satu tong.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), CheGuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin menyifatkan kerajaan memerintah ketika ini sedang merompak rakyat melalui harga diesel.

Menurutnya, sejak harga diapungkan apabila subsidi dihapuskan pada 10 Jun 2024, harga diesel tidak pernah berubah sepanjang tujuh minggu berturut-turut pada paras RM3.35 satu liter.

“Biarpun Menteri Kewangan II hari itu kata harga akan disemak setiap minggu, biarpun harga diesel dunia ada penurunan dan nilai ringgit naik sedikit, walaupun masih teruk. Maka logiknya harga diesel wajib turun. 

“Namun, kerajaan umum harga bahan api diesel tidak ada perubahan, (termasuk) minggu ini juga,” katanya  dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Menurutnya, harga gas minyak ketika ini adalah AS$99.32 yang mengikut kadar pertukaran RM4.61 bermakna berharga RM457.87 satu tong iaitu setiap tong mengandungi 159 liter.

Tambah beliau dengan harga RM2.88 satu liter iaitu meliputi RM0.954 sen bagi kos operasi dan RM0.225 sen untuk margin syarikat minyak serta RM0.10 sen kepada margin stesen minyak dan RM0.4 sen kadar alpha bagi diesel, maka harga sepatutnya adalah RM3.14 satu liter.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu menyatakan, ia adalah mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM) kerajaan, tetapi harga dijual ketika ini adalah harga pam RM3.35.

“Bermakna kerajaan sedang rompak rakyat 21 sen setiap liter atas diesel sebab harga pam diesel masih RM3.35 satu liter untuk beberapa minggu ini. 

“Kerajaan gagal ini bukan saja gagal bantu rakyat, malah terus rompak rakyat terang-terangan bagi tanggung regim campuran,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah. PAS Wilayah Persekutuan (WP) memilih Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) bagi menyahut seruan solidariti Palestin.

Solidariti tersebut akan bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bermunajat. Solat ajat dan pembacaan Qunut Nazilah pula akan berlangsung selepas solat Isyak.

Solidariti untuk Palestin ini adalah susulan daripada kenyataan media bertarikh 31 Julai 2024 bersamaan 25 Muharram 1446 yang dikeluarkan oleh PAS Pusat untuk menyatakan kebersamaan PAS dalam menentang kezaliman dan keganasan zionis Israel.

Selain itu, dunia telah dikejutkan dengan berita syahidnya tokoh perjuangan ini. Beliau yang dibunuh ketika menghadiri sesi mesyuarat bersama Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, dan Panglima Tertinggi Briged Seraya Al-Quds.

Satu ceramah umum ‘Solidariti Palestin’ akan menyusul sebaik sahaja selesai program Solat Hajat dan Qunut Nazilah tersebut dan butiran mengenai ceramah umum tersebut akan dimaklumkan dan diedarkan sedikit masa lagi.

Sila panjangkan maklumat ini. – HARAKAHDAILY 1/8/2024  

Sekian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails