Sunday, August 18, 2024

PRK N.43 DUN Nenggiri : Muhasabah PN

 


1. Guna jentera k’jaan sewenangnya jamin kemenangan BN

KUALA LUMPUR: Terdapat penggunaan segala bentuk jentera kerajaan yang berlaku secara sewenang-wenangnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 DUN Nenggiri yang memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keputusan tersebut tidak dinafikan merupakan sesuatu yang mengecewakan Perikatan Nasional (PN).

“Apabila dilihat betul-betul dalam PRK Nenggiri, kerajaan jelas menggunakan segala jenteranya dan sudah tentu memudahkan BN untuk memperoleh kemenangan.

“Namun begitu, kita perlu berlapang dada dengan menghormati keputusan PRK ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Menurut beliau, PN telah benar-benar menunjukkan satu usaha dan semangat yang luar biasa dan ia merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan walaupun tidak memperoleh kemenangan yang diinginkan.

“Lagipun, adalah tidak mudah untuk berhadapan dengan pihak lawan lebih-lebih lagi apabila segala jentera kerajaan itu sendiri telah digunakan bagi memastikan kemenangan mereka dapat dicapai.

“Tetapi sekurang-kurangnya PN menunjukkan usaha yang benar-benar tanpa henti untuk melakukan yang terbaik dalam PRK ini. Namun begitu, kita tetap menghormati pihak lawan apabila setiap kali pilihan raya dilakukan dalam negara ini,” jelasnya.

BN memperoleh majoriti besar iaitu 3,372 undi sekali gus membolehkan parti itu merampas kembali DUN Nenggiri yang sebelum ini di bawah BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.

Sehubungan itu, Fayhsal mengucapkan tahniah kepada BN kerana berjaya merampas kembali Nenggiri daripada PN pada kali ini.

Kata beliau lagi, keputusan tersebut perlu diterima secara berlapang dada yang mana sudah tentu banyak pengajaran dapat diperoleh PN dalam PRK ini.

“Bagi saya, PN perlu bermuhasabah juga apabila berlakunya perkara sebegini kerana banyak perkara yang perlu dibaiki.

“Apapun kita perlu semak semula dan berusaha meningkatkan lagi usaha dengan lebih baik sekiranya berlaku mana-mana pilihan raya yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2024

2. Lapang dada, X dendam, Al-hamdulillah. 

GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan menerima keputusan Pilihan Raya Kecil N.43 DUN Nenggiri dengan lapang dada dan menghormati pilihan yang telah dibuat pengundi.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya dalam PRK tersebut, namun kerajaan negeri komited dengan agenda berkebajikan dan tetap akan menyantuni dan menjaga kepentingan penduduk Nenggiri.

Katanya usaha itu melalui program dan skim yang dilaksanakan di bawah Kerajaan Negeri. 

(Lanjut lihat 'Penduduk Nenggiri tetap diberi keutamaan kerajaan negeri' HARAKAHDAILY 17/8/2024)


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, semuanya berjalan lancar. 

Walaupun semasa kempen ada laporan polis dibuat oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Hanifulfuad Hussin terhadap Wan Mahussin Wan Zain di Balai Polis Gua Musang, yang disiarkan pada: Ogos 16, 2024 @ 9:34pm

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Kamal Mohamed berkata, video ucapan Mohd Nassuruddin sudah disunting daripada video asal, didakwa dengan niat untuk memburukkan kerajaan negeri.

"Kita dapati Wan Mahussin memuat naik satu video berkaitan pembalakan dengan menggunakan suara latar Menteri Besar yang sudah disunting.

"Ucapan Menteri Besar yang sebenarnya adalah kerajaan negeri tidak pernah menebang hutan melebihi kuota yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara.

"Bagaimanapun ia disunting menjadi kerajaan negeri pernah menebang hutan melebihi kuota yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara," katanya ketika ditemui. 

Justeru, beliau meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap individu terbabit berhubung fitnah berkenaan.

"Kita yakin tindakannya itu untuk menjatuhkan PAS di akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri," katanya. 

MOHD Kamal bersama Pemuda Pas menunjukkan laporan polis terhadap individu yang didakwa menyunting dan memuat naik klip video ucapan Menteri Besar Kelantan dengan niat untuk memburukkan kerajaan negeri. FOTONikAbdullah Nik Omar.

Soalnya, apakah kempen-kempen kotor seperti ini boleh mempengaruhi pengundi?

Wallahu 'aklam.


Iklan: Lihat juga 'Orang Cina, kembalilah kepada Islam..

Di negara ini, tidak mustahil pemimpin-pemimpin DAP Malaysia boleh menjadi pemimpin rakyat Malaysia, kalau pemimpin Melayu kini masih kekal tebal dengan najis assobiah perkauman sempitnya itu.

...

No comments:

Post a Comment