Saturday, October 05, 2024

Sempat Presiden PAS menulis 'catatan kenagan', al-hamdulillah.

 

1. Al-Syahid Hassan Nasrallah Yang Ku Kenali -Presiden PAS.

SAYA mengenali mazhab Syiah ketika belajar di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pada tahun 1969 hingga 1973. Salah satu daripada pengajian yang saya belajar adalah untuk mengenal mazhab, firqah dalam Islam dan ideologi asing secara terperinci.

Daripada mazhab Syiah, dikenali beberapa pecahan mazhabnya yang dianggap sebagai Ahli al-Qiblah dan adanya para ulama’ bertaraf mujtahid mutlak yang sama dengan para ulama’ Ahli  al-Sunnah dan Ibadi. Dalam kalangan mereka juga, adanya para sahabat, tabiin, salaf dan khalaf. Mereka bermazhab Imamiyyah yang ramai pengikutnya di Iran, negara-negara Teluk, bahagian timur Arab Saudi, Iraq dan bahagian selatan Lubnan.

Adapun mazhab Zaidiyyah mempunyai ramai pengikut di Yaman, manakala pengikut mazhab Nakhawilah pula ramai yang tinggal di Madinah dan menjadi peniaga di pasar Madinah. Mereka berkhilaf dalam perkara furu‘ sahaja, bukan dalam perkara rukun. Masih banyak kitab-kitab muktabar yang meriwayatkan ijtihad mereka, bahkan juga diriwayatkan dalam kitab-kitab Ahli al-Sunnah. Pengikutnya datang mengerjakan haji di Makkah.

Di samping itu, banyak lagi mazhab dan firqah yang tidak boleh dihukum dengan mudah walaupun salah ijtihadnya yang wajib ditashihkan oleh para ulama’, bukannya orang awam.

Dua mazhab Syiah yang terbesar mempunyai kitab-kitab rujukan, dan ada pendapat yang diambil kira dan yang sama dengan beberapa mazhab Ahli al-Sunnah. Bahkan, ada kitab yang dikarang bersama secara bersilang seperti kitab Subul al-Salam (kitab yang diajar di Universiti Islam Madinah) karangan Imam al-San‘ani RH daripada mazhab Syiah Zaidiyyah yang mensyarahkan kitab hadis Bulugh al-Maram karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani, mazhab Syafi‘i daripada Sunni.

Selain itu, kitab Tathir al-I‘tiqad karangan al-San‘ani diajar dalam Masjid al-Nabawi, tafsir Fath al-Qadir dan syarah hadis Nail al-Awtar oleh Imam al-Shawkani RH, mujtahid mazhab Zaidiyyah yang masih menjadi rujukan muktabar.

Kitab-kitab karangan Ayatollah Muhammad Baqir al-Sadr yang bermazhab Imamiyyah juga banyak dipasarkan di Makkah dan Madinah, khususnya kitab Iqtisaduna iaitu sebuah kitab perbandingan antara ekonomi Islam dengan ideologi ciptaan manusia. Kitab ini diberi kata pengantar oleh Prof. Sheikh Muhammad al-Mubarak daripada Universiti Ummu al-Qura di Makkah sehingga dijadikan rujukan dalam muzakarah dan usrah.  

Kitab Maqalat al-Islamiyyin karangan Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari adalah sebuah kitab yang paling jelas dan tepat huraiannya berkenaan semua mazhab kerana penulisnya berada di Iraq. Pada masa itu, Iraq menjadi pusat kerajaan yang bergolak dan banyak melahirkan mazhab aqidah, fiqh dan tasawuf.

Seterusnya, para penjajah berjaya menjadikan khilaf mazhab bagi memecahkan perpaduan umat Islam. Keadaan ini berlaku apabila umat Islam mula meninggalkan adab ikhtilaf di samping ‘asabiyyah perkauman jahiliah yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW.

Tercatat dalam sejarah bagaimana Lawrence of Arabia membantu puak Wahabi menentang Ibn Rashid, wakil Kerajaan ‘Uthmaniyyah, manakala Sharif Hussein pula dibantu oleh Sir Henry Mcmahon menjatuhkan ‘Uthmaniyyah. Banyak negara Arab menjadikan hari kejatuhan ‘Uthmaniyyah sebagai hari kebangsaan negara masing-masing.

Maka, usaha dilakukan oleh ulama’ mujaddid dan islah, Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad ‘Abduh melalui Jami‘ al-Azhar untuk mendekatkan semua mazhab. Sehingga mereka berhasil menerbitkan mawsu‘ah (ensiklopedia) lapan mazhab di bawah Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah.

Diusahakan pula pada zaman Raja Faisal bagi mewujudkan perpaduan umat yang dipecahkan oleh penjajah sehingga jatuhnya Khilafah ‘Uthmaniyyah tersebut. Tanah air umat Islam dibahagi-bahagikan dalam kalangan kuasa besar penjajah sehingga diletakkan pangkalan tentera yang banyak bagi melindungi negara haram Israel yang ditubuhkan, sekali gus untuk menghadapi dan menghalang kebangkitan semula umat Islam.

Pada zaman kebangkitan semula umat Islam, berlakunya kejayaan Revolusi Islam di Iran bagi menjatuhkan Shah pada tahun 1979. Namun kejayaan itu tidak diiktiraf oleh beberapa golongan Sunni dari negara Arab selepas beberapa orang pemimpin Barat seperti Henry Kissinger, Madeleine Albright dan lain-lain, mengeluarkan kenyataan tentang bahaya Syiah terhadap Sunni sehingga Amerika Syarikat dan sekutunya membantu Iraq menyerang Iran dalam Perang Teluk 1. Dan selepas itu mereka menghancurkan Iraq dalam Perang Teluk 2. Ketika itulah munculnya para ulama’ rasmi yang mendukung kerajaan yang telah dicatur oleh penjajah.

Setelah itu, dicetuskan pula slogan “Arab Spring” dan “Reformasi” di Nusantara bagi menjatuhkan kerajaan secara kacau-bilau dengan melaga-lagakan rakyat oleh makhluk asing dan agen-agen mereka. Walau bagaimanapun, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah bertindak menarik diri lalu apinya malap di Malaysia.

Adapun di negara-negara Arab berlakunya perang proksi antara kerajaan dengan rakyat. Isu kelemahan kerajaan, salah laku, perbezaan mazhab, agama dan etnik dijadikan umpan untuk mengadu domba, di samping disebarkan gejala takfir.

Kemudian, diangkut kumpulan pelampau masuk ke dalam negeri lalu dijadikan proksi berlakunya perang saudara di Syria, Yaman, Iraq, Libya dan Sudan dengan kemudahan senjata dan harta oleh negara Barat dan negara yang menjadi buah caturnya. Tujuannya adalah semata-mata untuk mengamankan Israel dan menjaga kepentingan Barat serta menyekat kebangkitan semula umat Islam.

Maka, Republik Islam Iran telah mengaktifkan semula Majma‘ Antarabangsa Taqrib Mazhab daripada semua mazhab muktabar yang pernah dianjurkan oleh Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad ‘Abduh pada awal abad yang lalu. Kemudiannya, usaha itu disambung oleh Hasan al-Banna, Ayatollah Kashani, Ayatollah Khomeini dan Nawwab Safawi, dikuti oleh Sheikh Mahmud Shaltut dan lain-lain. Seterusnya, ditubuhkan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah di Mesir dan Rabitah al-‘Alam al-Islami di Makkah.

Hasil daripada persidangan para ulama’ melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), satu perisytiharan yang dinamakan Perisytiharan Makkah dan Jordan telah diadakan bagi memutuskan lapan mazhab yang termasuk dalam golongan Ahli al-Qiblah. Di samping itu, Ayatollah Khamenei telah mengeluarkan fatwa haram mencela para sahabat RA.

Usaha ini dilakukan bagi mengembalikan semula kekuatan perpaduan dan persaudaraan umat seperti pada zaman awal yang tidak berpecah belah kerana perbezaan mazhab dan suku kaum. Hal ini menyebabkan kemunculan firqah sesat dapat dipadam secara ilmiah dalam kalangan umat, serta berjaya mengalahkan musuh yang datang dari luar.

Pada zaman awal Islam, semua ulama’ mazhab bersatu menentang khalifah yang zalim dan mempunyai salah laku, dengan sifat sabar dan bijaksana tanpa merosakkan negara dan umat. Antaranya Imam Sa‘id bin Jubair yang dibunuh oleh Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi yang zalim kerana berpihak kepada Ahli al-Bait, Imam Abu Hanifah dipenjarakan sehingga mati kerana membela Imam Ja‘far al-Sadiq, Imam Malik bin Anas pula diseksa kerana mengutuk pembunuhan zalim terhadap Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah, salah seorang Imam Ahli al-Bait dan Imam al-Syafi‘i pula dibelenggu kerana telah membela Imam Zaid bin ‘Ali.

Selain itu, ada juga imam mazhab yang berguru antara satu sama lain seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik yang berguru dengan Imam Ja‘far al-Sadiq, manakala Imam al-Syafi‘i pula berguru dengan Imam Malik. Imam al-Hasan al-Syaibani pula ialah murid kepada Abu Hanifah, manakala Imam Ahmad bin Hanbal pula murid kepada Imam Syafi‘i walaupun adanya khilaf mazhab.

Pihak Ittihad al-‘Alami li Ulama’ al-Muslimin (Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia) menugaskan saya mengetuai rombongan untuk mencari penyelesaian secara damai dan mengadakan muzakarah di Yaman. Kemudian, diminta oleh gerakan Islam dalam krisis Syria bersama rakan-rakan dari Turkiye dan Iran, tetapi menemui jalan buntu kerana kerasnya sifat ‘asabiyyah.

Sejak tahun 1931, Mufti Palestin, Almarhum Muhammad Amin al-Husaini, telah menganjurkan Muktamar Islam di Bait al-Maqdis yang dihadiri oleh para ulama’ sedunia daripada semua mazhab iaitu Sunni, Syiah dan Ibadi.

Pada tahun 1948, apabila negara haram Israel diisytiharkan, dibentuk pasukan mujahidin daripada semua mazhab menentang Zionis. Ramai daripada kalangan mereka yang mati syahid. Malangnya, usaha jihad ini diganggu oleh pihak kerajaan yang ditubuhkan oleh negara Barat selepas jatuhnya Khilafah ‘Uthmaniyyah.

Semua negara Arab dan kumpulannya yang meminggirkan Islam gagal menentang Israel dan terperangkap dalam percaturan kuasa besar Barat yang tetap melindungi Zionis. Dilakonkan kononnya penyelesaian dua negara (two-state solution) dan sebagainya yang hakikatnya ditolak oleh Zionis Israel yang bercita-cita menubuhkan Negara Israel Agung (The Greater Israel) dari Mesir hingga Iraq.

Akhirnya, kumpulan Islam muncul semula menunaikan janji Rasulullah SAW:

لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِك
“Akan lahir satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, namun mereka dihimpit dengan tekanan dan berjuang sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW:

يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟
“Di manakah mereka berada, wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW bersabda:

بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
“Di Bait al-Maqdis dan kawasan sekitarnya.” [Riwayat al-Bukhari, no. 3641, Ahmad, no. 22320 dan lain-lain. Lafaz hadis bagi Ahmad dalam Musnadnya]

Kemudian, lahirlah kumpulan Islam iaitu Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) dan Tanzim Jihad di Palestin daripada Sunni, iaitu gabungan kumpulan Islam daripada Sunni. Adapun kumpulan Islam dalam kalangan Syiah pula seperti Hizbullah dan Ansarullah yang disokong oleh Republik Islam Iran dengan bantuan senjata dan harta. Adapun sebahagian besar negara Sunni berada di bawah pengaruh Barat, menjadi buah catur yang diatur bagi menyelamatkan Israel dan menentang kumpulan Islam di negara masing-masing.

Apabila Israel mengalami kekalahan dalam operasi Taufan al-Aqsa oleh gerakan Islam Hamas di Gaza, menyebabkan seluruh bala tentera Amerika Syarikat dan Eropah serta sekutunya dikerahkan bagi menyelamatkan Israel.

Kini, berlakunya peristiwa Ahzab yang disebut dalam al-Quran:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا  ١٢
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9-12]

Maka, umat Islam dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan yang dinyatakan oleh Allah, mengulangi peristiwa dalam surah al-Ahzab.

1. Kumpulan yang beriman

Firman Allah SWT:

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣
“Dan tatkala orang-orang yang beriman melihat tentera Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa-apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.’ Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan ketundukan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22) Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka, antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antara mereka ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (janjinya) sedikit pun. (23)” [Surah al-Ahzab: 22-23]

2. Kumpulan munafiq

Kumpulan ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا  ١٢
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’” [Surah al-Ahzab: 12]

3. Kumpulan yang bercakap, tetapi tidak berjuang

Firman Allah SWT:

قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا ١٨ أَشِحَّةً عَلَيۡكُمۡۖ فَإِذَا جَآءَ ٱلۡخَوۡفُ رَأَيۡتَهُمۡ يَنظُرُونَ إِلَيۡكَ تَدُورُ أَعۡيُنُهُمۡ كَٱلَّذِي يُغۡشَىٰ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡمَوۡتِۖ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلۡخَوۡفُ سَلَقُوكُم بِأَلۡسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلۡخَيۡرِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ لَمۡ يُؤۡمِنُواْ فَأَحۡبَطَ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٗا  ١٩
“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar. (18) Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (19)” [Surah al-Ahzab: 18-19]

Semua kumpulan munafiq dan golongan yang bercakap sahaja tetapi tidak berjihad, berada di negara yang berwala’ kepada kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah yang mempunyai pangkalan tentera masing-masing untuk dikerah membantu Israel.

Apabila saya dijemput hadir ke Muktamar Majma‘ Taqrib di Tehran, saya dipujuk oleh Dr. Abdul Rahman Bairam, seorang pemimpin Sunni berbangsa Kurdi di Iran supaya hadir bagi merapatkan hubungan antara Sunni dengan Syiah. Tiba-tiba, saya menerima bantahan daripada Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi RH, Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia.

Saya bersembahyang istikharah dan mendapat hidayah supaya saya menghadiri muktamar tersebut. Lalu, saya menulis surat peletakan jawatan daripada menjadi Naib Ketua kesatuan itu. Namun, saya dipujuk supaya menarik balik peletakan jawatan tersebut dan saya membuat keputusan untuk tidak menyambung lagi jawatan itu.

Beberapa hari yang lalu, Syeikh Dr. Ahmad al-Raisouni, mantan Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia membuat kenyataan yang sama seperti saya nyatakan.

Saya berkesempatan berjumpa dengan al-Syahid Hassan Nasrallah sebanyak dua kali. Kali pertama, saya diajak menghadiri Muktamar Muassasah al-Quds Antarabangsa di Beirut menemani Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Muhsin al-‘Awaji dan seorang rakan dari Algeria. Dalam perjumpaan itu, ditimbulkan masalah takfir terhadap Syiah.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa beliau juga ditakfirkan oleh puak pelampau. Maka, al-Syahid Hassan Nasrallah berkata:

“Marilah kita perangi Israel dahulu, kemudiannya datanglah bunuh kami yang bermazhab Syiah!”

Selepas beberapa tahun, saya berjumpa beliau buat kali kedua apabila saya dibawa bertemu empat mata di tempat persembunyiannya. Beliau menegaskan kepada saya bahawa peperangan akan berlaku bagi membebaskan Bait al-Maqdis dan Masjid al-Aqsa.

Al-Syahid Hassan Nasrallah dan rakan-rakannya ikut terlibat dalam Perang Bosnia untuk mempertahankan Sunni, bukannya Syiah. Saya mendoakan diterima syahidnya yang ikhlas dengan kematian yang paling mulia di sisi Allah SWT. Akan tetapi, ada pula pendapat yang berpihak kepada bala tentera Ahzab.

Untuk pengetahuan, saya tidak terpengaruh dengan ulama’ mazhab NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan juga Komanwel.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:  29 Rabi‘ al-Awwal 1446 / 3 Oktober 2024
[Bil: 41 / 2024]  – HARAKAHDAILY 3/10/2024


2. TG Hashim kongsi pengalaman temu Hassan Nasrallah 

ARAU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkongsi pengalaman berharga bertemu dengan pemimpin Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dalam satu persidangan di Beirut, Lubnan sebelum ini.

Pertemuan tersebut menurut beliau, turut dihadiri oleh delegasi Malaysia yang diwakili oleh PAS, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.Menurut […] (rujuk HarakahDaily).


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Disebutkan dalam tajuk di atas sebagai 'catatan kenangan'(Sempat Presiden PAS menulis 'catatan kenagan', al-hamdulillah) adalah kerana pentingnya pendirian yang dikemukakan oleh Presiden PAS yang mewakili gerakan Islam pada masa ini.

Antaranya, beliau memaparkan pengalamannya mengenai 'kumpulan yang bercakap, tetapi tidak berjuang'..

"Firman Allah SWT:

قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا ١٨ أَشِحَّةً عَلَيۡكُمۡۖ فَإِذَا جَآءَ ٱلۡخَوۡفُ رَأَيۡتَهُمۡ يَنظُرُونَ إِلَيۡكَ تَدُورُ أَعۡيُنُهُمۡ كَٱلَّذِي يُغۡشَىٰ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡمَوۡتِۖ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلۡخَوۡفُ سَلَقُوكُم بِأَلۡسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلۡخَيۡرِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ لَمۡ يُؤۡمِنُواْ فَأَحۡبَطَ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٗا  ١٩
“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar. (18) Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (19)” [Surah al-Ahzab: 18-19]

Semua kumpulan munafiq dan golongan yang bercakap sahaja tetapi tidak berjihad, berada di negara yang berwala’ kepada kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah yang mempunyai pangkalan tentera masing-masing untuk dikerah membantu Israel.

Apabila saya dijemput hadir ke Muktamar Majma‘ Taqrib di Tehran, saya dipujuk oleh Dr. Abdul Rahman Bairam, seorang pemimpin Sunni berbangsa Kurdi di Iran supaya hadir bagi merapatkan hubungan antara Sunni dengan Syiah. Tiba-tiba, saya menerima bantahan daripada Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi RH, Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia.

Saya bersembahyang istikharah dan mendapat hidayah supaya saya menghadiri muktamar tersebut. Lalu, saya menulis surat peletakan jawatan daripada menjadi Naib Ketua kesatuan itu. Namun, saya dipujuk supaya menarik balik peletakan jawatan tersebut dan saya membuat keputusan untuk tidak menyambung lagi jawatan itu.

Beberapa hari yang lalu, Syeikh Dr. Ahmad al-Raisouni, mantan Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia membuat kenyataan yang sama seperti saya nyatakan.

Saya berkesempatan berjumpa dengan al-Syahid Hassan Nasrallah sebanyak dua kali. Kali pertama, saya diajak menghadiri Muktamar Muassasah al-Quds Antarabangsa di Beirut menemani Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Muhsin al-‘Awaji dan seorang rakan dari Algeria. Dalam perjumpaan itu, ditimbulkan masalah takfir terhadap Syiah.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa beliau juga ditakfirkan oleh puak pelampau. Maka, al-Syahid Hassan Nasrallah berkata:

“Marilah kita perangi Israel dahulu, kemudiannya datanglah bunuh kami yang bermazhab Syiah!”

Selepas beberapa tahun, saya berjumpa beliau buat kali kedua apabila saya dibawa bertemu empat mata di tempat persembunyiannya. Beliau menegaskan kepada saya bahawa peperangan akan berlaku bagi membebaskan Bait al-Maqdis dan Masjid al-Aqsa.

Al-Syahid Hassan Nasrallah dan rakan-rakannya ikut terlibat dalam Perang Bosnia untuk mempertahankan Sunni, bukannya Syiah. Saya mendoakan diterima syahidnya yang ikhlas dengan kematian yang paling mulia di sisi Allah SWT. Akan tetapi, ada pula pendapat yang berpihak kepada bala tentera Ahzab.

Untuk pengetahuan, saya tidak terpengaruh dengan ulama’ mazhab NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan juga Komanwel."

Pada Weblog Ibnu Hasyim, inilah 'catatan kenangan' bersejarah yang tidak boleh diabai dan dilupakan, bahkan akan menentukan corak perjuangan Islam selanjutnya dan masakini. Inilah anugerah Allah SWT kepada gerakan Islam masakini. 

Al-hamdulillah!

....

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails