Friday, November 01, 2024

Projek tebatan banjir S'ngor gagal. Rugi besar!

 

Kejadian banjir terbaharu di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor pada hari ini, 6 Ogos 2023 mengimbau kembali kejadian banjir dahsyat yang melanda lokasi ini dan banyak lagi kawasan di Selangor pada hujung 2021. (FOTO: Facebook Lover Kuala Selangor) 
Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan

Images
Gagal selenggara tebatan banjir punca bencana berulang
Banjir bebankan kewangan negara jika projek tebatan tidak ...
BERNAMA - Banjir Di Malaysia: Pelan Jangka Pendek Dan ...

1. Banjir di Selangor: Kerugian besar, trauma meningkat, projek tebatan gagal 

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) memandang serius isu kegagalan projek Rancangan Tebatan Banjir (RBT) yang telah mengakibatkan kerugian fizikal dan mental yang besar kepada rakyat Selangor.

Ketuanya, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, kekerapan banjir yang berlaku di tempat tertentu berulang kali telah menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk termasuk rumah, kenderaan, dan juga premis perniagaan. 

“Kos yang besar juga diperlukan untuk membaiki infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan, dan sistem perparitan yang mengalami kerosakan selain menjejaskan aktiviti ekonomi rakyat termasuk perniagaan dan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

(Selanjutnya sila lihat 'Banjir di Selangor: Kerugian besar, trauma meningkat, projek tebatan gagal'  –HARAKAHDAILY 30/10/2024)


2. Tindakan tegas kepada kontraktor projek ‘sakit’ – Zurk  

Zurk Ahmad

KUALA LUMPUR: PAS Selangor mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Exco Infrastuktur dan Pertanian Selangor bahawa terdapat sembilan projek tebatan banjir ‘sakit’ di Selangor.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, sehingga hari ini terdapat 41 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berjumlah RM482 juta di Selangor. 

“Semua projek sakit ini tertangguh pelaksanaannya daripada tempoh yang telah ditetapkan. 

“Malah ada sebahagiannya sudah diberi kelulusan lanjutan masa kepada kontraktor. 

“Kesannya, Selangor kerap dilanda banjir kilat dengan kekerapan luar biasa pada tahun ini akibat ban di tebing sungai pecah apabila hujan lebat berlaku walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PAS Selangor. 

(Selanjutnya sila lihat 'Tindakan tegas kepada kontraktor projek ‘sakit’ – Zurk'   – HARAKAHDAILY 28/10/2024)


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Projek tebatan banjir S'ngor gagal. Rugi besar! Bagaimana boleh jadi begini? Mari kita selidiki. 

Lihat pandangan ini..

Gagal selenggara tebatan banjir punca bencana berulang Oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman Mac 14, 2023 @11:18am  bhrencana@bh.com.my

Projek tebatan banjir di Kampung Teresek, Pasir Mas dilaksana bagi mengelak banjir terus berulang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

PERINGATAN Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kepentingan sistem tebatan banjir sangat diperlukan bagi mengelak masalah yang kini melanda negeri itu terus berulang mengingatkan saya kepada teguran Presiden Indonesia, Joko Widodo kepada badan perancangan daerah supaya mengawal pembinaan penempatan dan bangunan di kawasan pinggir sungai sering dilanda banjir.

Jokowi mahu badan itu menyelia, mengawal dan memantau setiap perancangan pembangunan serta mengenal pasti risiko bencana di kawasan masing-masing.

Teguran itu sangat bertepatan dan perlu diberi perhatian serius, terutama semua pemegang taruh terbabit dalam proses perancangan dan pelaksanaan pembangunan di negara ini bagi mengelak kejadian bencana lebih buruk.

Malaysia seperti juga Indonesia, saban tahun dilanda bencana banjir. Terkini kesan luruan sejuk dari Monsun Timur Laut ditambah faktor campur tangan keterlaluan manusia mengubah alam sekitar, terutama di kawasan berisiko tinggi mengalami bencana menyebabkan beberapa negeri dilanda bencana banjir teruk dengan Johor antara paling terkesan.

Penulis adalah Profesor Madya Institut Pengajian Sains Sosial, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia

Pandangan bernas ini disaring dari tulisan Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman  Mac14,2023@11:18am bhrencana@bh.com.my

a. Banjir ketika ini disifatkan paling buruk pernah dihadapi negeri itu selepas 17 tahun menghadapi bah besar pada 2006 yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk terjejas. Apakah kita masih gagal belajar daripada pelbagai bencana melanda sejak sekian lama? Sikap sudah terhantuk baru terngadah masih tebal sebati dalam usaha mengekang bencana semakin meningkat kuantiti dan kadar serius sedangkan tindakan mencegah daripada mengubat sangat dituntut.

b. Paling ketara, alam sekitar dengan pelbagai kapasitinya berperanan sebagai penebat bencana semula jadi terus diasak, diteroka dan dieksploitasi atas nama pembangunan. Pelbagai usaha pembangunan infrastruktur aliran dan tebatan banjir tidak akan berjaya sekiranya faktor pendorong banjir tidak dibendung dengan sistematik dan efisien, terutama aktiviti pembalakan secara tidak terkawal dan haram. Realiti harus diterima, hutan adalah pasak bumi menjadi 'span' terbaik menyerap aliran hujan berlebihan. Secara saintifiknya banjir melanda disebabkan antara lain penggondolan berleluasa kerana apabila itu berlaku, tiada pokok berfungsi sebagai perintang (barrier) sebelum air hujan sampai ke permukaan tanah.

c. Ia menyebabkan hujan bukan sahaja cepat sampai ke permukaan bumi, namun kadar resapan jauh lebih perlahan kerana sebahagian besarnya menjadi air permukaan bertenaga tinggi berpotensi menyebabkan banjir berlaku dengan cepat. Ternyata, penggondolan hutan tetap dilakukan tanpa ada satu sistem boleh dirujuk untuk mengenal pasti kawasan mana sepatutnya dipulihara bagi mengelakkan banjir bertambah buruk atau kawasan mana boleh dibangunkan. Pembangunan tidak terancang boleh menyumbang kepada banjir. Di Asia Tenggara, Bangkok diramalkan akan lenyap, bukan hanya kerana paras laut meningkat, bahkan disebabkan ibu kota Thailand itu dibebani terlalu banyak bangunan menyebabkan tanah mendap kerana bandar raya itu dibina di kawasan tanah paya.

d. Maka, kawasan yang tidak boleh dibangunkan kerana dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar seperti kawasan paya perlu ditetapkan dengan jelas dan pembangunan di sekelilingnya perlu diminimumkan kerana berpotensi mengundang bencana. Malangnya, walaupun sudah jelas ada kawasan berisiko tinggi diketahui mengalami banjir setiap tahun, pembangunan baharu terus rancak didirikan sedangkan infrastruktur sedia ada untuk menebat banjir, iaitu sistem saliran seperti parit dan sungai masih 'gagal' diselenggara dengan baik dan sempurna.

e. Apatah lagi dengan tindakan berterusan memberi kebenaran dan permit untuk pembinaan pelbagai bentuk pembangunan di kawasan kerap dilanda bencana seperti banjir dan tanah runtuh mengundang bencana tidak berkesudahan. Kesan fenomena perubahan iklim menyebabkan kekerapan bencana alam seperti banjir meningkat secara drastik turut perlu diambil kira. Lautan di seluruh dunia menjadi panas lebih cepat pada abad lalu berbanding sepanjang 11,000 tahun lalu. Malah, purata 150 bilion tan ais di Antartika cair setiap tahun, manakala  bongkah ais di Greenland juga mengecil lebih cepat dan kehilangan 270 bilion tan ais setahun. Lantaran itu, bencana banjir kerap melanda negara pasti akan meningkat dengan ketara. Faktor iklim harus diberi perhatian serius kerana ia amat berkait rapat bencana banjir, terutama peningkatan kelembapan, jumlah hujan dan kenaikan aras laut.

f. Laporan saintis di pusat terkemuka untuk pemodelan iklim Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Institut Goddard untuk Kajian Angkasa (GISS), berdasarkan trend pemanasan jangka panjang bumi, suhu global pada tahun lalu merekodkan 0.89 darjah Celsius, melebihi purata tempoh asas NASA bagi 1951-1980. Ini bermakna, bumi pada 2022 lebih panas kira-kira 1.1 darjah Celsius daripada purata akhir abad ke-19. Trend panas ini membimbangkan yang mana iklim pemanasan kita sudah menunjukkan tanda seperti kebakaran hutan semakin meningkat, taufan semakin kuat dan kemarau mencetuskan malapetaka, selain peningkatan paras laut menyumbang kepada bencana banjir.

g. Rentetan itu, ratusan juta penduduk di kawasan tepi pantai, tanah rendah dan negara pulau kecil diramal terjejas akibat banjir ekoran peningkatan paras laut semakin ketara sejak 1900. Jumlah ini menyamai nisbah satu dalam setiap 10 penduduk dunia dan Malaysia sendiri tidak terkecuali. Maka, usaha yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi projek pembinaan Denai Sungai Nasional seluruh negara sebagai tebatan banjir semula jadi perlu lebih dipergiat, terutama di kawasan berisiko tinggi mengalami banjir. Peranan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membina sistem aliran dan pengairan tebatan banjir bagi membendung bencana ini dalam jangka panjang juga amat dialu-alukan.

h. Corak taburan hujan dan kejadian banjir kini semakin sukar diramal hingga memerlukan pelan pembangunan bandar berdaya tahan adalah kritikal memandangkan intensiti hujan masa kini semakin tinggi akibat pemanasan global. Aspek pemetaan turut perlu diberi perhatian, antaranya pemetaan terkini berkaitan kawasan berisiko banjir sebagai langkah penting bukan untuk menilai risiko banjir dan mengenal pasti lokasi potensi tebatan banjir, malah turut menyediakan maklumat penting kepada orang awam untuk bertindak segera dan selamat ketika berlakunya bencana. Agensi berkaitan seharusnya mempunyai sistem pemetaan kawasan sensitif banjir sebelum bertindak melakukan 'pembersihan tanah' dan pembangunan bagi mengelakkan banjir bertambah buruk. 

Penutup

Akhirnya, kawasan hijau harus terus dipelihara dan dipertingkatkan kerana hutan berkeupayaan menyimpan air hujan sebanyak 70 peratus dan ketiadaan kawasan semula jadi itu menyebabkan potensi banjir berlaku adalah besar.

Marilah kita sama-sama berfikir ke arah membangunkan negara. Bagi orang Islam adalah termasuk ibadah ain dan kifayah, ababila mampu berusaha membangan bersama Islam. Bahkan yang bukan Islam pun wajar menikmati naungan di bawah payung Islam.

Dan besok sambung lagi..  

Hala tuju The Greater Kedah menjelang 2050 

KUALA LUMPUR: Gagasan sebuah negeri di utara tanah air mempunyai jiwa dan cita-cita yang besar untuk mengangkat bangsanya menjadi sebahagian daripada kebangkitan sebuah negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana The Greater Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah.

Beliau berkata, The Greater Kedah bukan menceritakan tentang agenda terpencil sebuah negeri di dalam Perikatan […] (Sila rujuk HarakahDaily)

Insya Allah, al-hamdulillah.

...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails