Saturday, October 12, 2024

Ini hero PAS. & Bukti PAS pembela Islam mendunia.

 

1. Hero PAS yang tidak pernah kenal erti penat lelah

KETIKA orang lain sedang nyenyak dan enak tidur, mereka bertungkus-lumus melaksana dan menyempurnakan kerja, malah ketika orang lain bekerja menyara kehidupan, mereka juga masih bekerja yang selalunya dilakukan secara khidmat sukarela.

Itulah tenaga sukarelawan Jabatan Amal Kedah khususnya daripada kawasan Baling yang tiada kenal erti penat dan lelah membantu mangsa-mangsa […] (Sila rujuk HarakahDaily).


2. 32 tahun Jabatan Amal Malaysia: Cetusan sejarah penubuhan 

DICERITAKAN pada tahun 1988, merupakan detik sejarah buat Cikgu Hussin di mana satu peristiwa beliau bersama Allahyarham Ustaz Hassan Shukri telah mengubah beliau sehingga menjadi seorang aktivis kemanusiaan yang hebat dan dikenali seperti sekarang melalui Unit Amal dan Yayasan Amal Malaysia. 

Cikgu Hussin ketika itu memegang portfolio sebagai ketua Lajnah Kebajikan pemuda PAS pusat menziarahi Ustaz Hassan Syukri, yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Agong PAS Malaysia. 

Arwah Ustaz Hassan Shukri pernah berkata kepada Cikgu Hussin, “Zaman aku pemuda dulu, aku ada satu pasukan yang boleh ‘On call’!,” tegas Ustaz Hassan bercerita mengenai zaman mudanya kepada Cikgu Hussin. 

“Aku tabik kamu, kalau kamu dapat, siapkan 30 ke 40 anak muda yang boleh dipanggil bila-bila masa saja bila parti perlu,”  tambah Ustaz Hassan lagi. 

Terdiam seketika Cikgu Hussin, kemudian beliau sambung bicara, “Ustaz, ini cabaran ya Ustaz!!?,” dengan berseloroh dialek banjarnya tetapi terselit nada tegas Ustaz Hassan jawab “Ya Ako cabar kamu!!”. 

Lantaran ketegasan pemimpin itu maka Cikgu Hussin bangun dan genggam tangan Ustaz Hassan sambil kata, “Insya-Allah ustaz! Ana sahut cabaran ustaz, 30 ke 40 pemuda setiap kawasan, akan bersedia menjadi khadam parti dan khadam Islam.”

Begitulah arwah Ust Hassan Shukri, pencetus dan pembakar semangat pertama  dalam penubuhan awal Unit Amal Malaysia, seorang pemikir yang menjadi penasihat Unit Amal Malaysia sehingga ke akhir hayatnya. 

(Selanjutnya sila lihat '32 tahun Jabatan Amal Malaysia: Cetusan sejarah penubuhan' -HARAKAHDAILY 16/2/2023) 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, mari kita lihat bukti-bukti PAS sebagai hero dalam membangun bersama Islam dari Malaysia terus mendunia.

(i) Program Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa yang diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini, hari ini. 

Nadzir ketika hadir dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di Kuala Lumpur pada hari ini, 12 Oktober 2024.(FOTO: HARAKAHDAILY/Srihayanis Abasri)

20,000 sertai Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di KL M'sia. Penyertaan daripada orang ramai yang hadir menunjukkan solidariti buat rakyat Palestin.

(ii) Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri –Tuan Guru Abdul Hadi  

Tuan Guru Abdul Hadi cekal gigih berucap dalam hujan gerimis demi solidariti Palestin dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di Kuala Lumpur pada hari ini, 12 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir).

Di KL, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rejim Zionis Israel merupakan bangsa yang amat kejam dalam dunia ini. Kezaliman sebegitu hanya akan menggali kubur diri mereka sendiri. Beliau berucap dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di hadapan bangunan Alps Ethical Life Science, berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, hari ini.

Turut hadir ialah T/Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; N/Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; SU Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; K/Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya; K/Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; K/Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; dan Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Juga hadir Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; K/Penerangan Pemuda PAS merangkap Ketua Operasi Sekretariat Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, Nadzir Helmi; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua; dan aktivis Palestin, Hishamuddin Rais.

(iii) Negara haram Israel akan dihancurkan Allah SWT -Fadhli 

Ahmad Fadhli kelihatan cukup bersemangat ketika berucap dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di Kuala Lumpur pada hari ini, 12 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee).

Di KL, K/Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sudah terlalu banyak tokoh Palestin yang telah dibunuh oleh rejim Zionis Israel. Seorang darinya ialah Sheikh Ahmad Yasin yang menjadi mangsa pembunuhan rejim (Zionis Israel) tersebut.  Mereka bunuh sahaja seorang Sheikh Ahmad Yasin maka akan wujud 10 lagi Sheikh Ahmad Yasin untuk melawan Israel. Kata beliau.

Adakah di Malaysia sudah wujud 10 lagi Sheikh Ahmad Yasin? Mudah-mudahan.

Akan bersambung lagi.. Insya Allah.

...

Friday, October 11, 2024

T'ganu kreatif, P.Pg lebih keatif. M'sia X kreatif? & Melayu berang.

 

Azman (dua dari kiri) mengiringi Sultan Mizan turun menyelam bagi merasmikan pelabuhan tukun di dasar laut perairan Alur Tuman, Marang, Terengganu, pada hari ini, 10 Oktober 2024.

1. 20 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang

MARANG: Sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda telah dilabuhkan di perairan Alur Tuman, Marang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha melabuhkan 100 unit tukun tiruan di perairan Terengganu sepanjang tahun ini menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu. 

“Sebelum ini, 20 unit tukun telah dilabukan di setiap tapak sekitar perairan Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus dengan jumlah kos projek berjumlah RM3.1 juta menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program melabuh tukun tiruan, kuboib juvenil penghalang pukat tunda Terengganu 2024 yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.

Majlis itu menempa sejarah apabila Baginda turut menyelam bagi merasmikan pelabuhan tukun di dasar laut pada kedalaman 17 meter.

“Saya rasa mungkin kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan merupakan yang pertama di Malaysia atau di dunia yang melakukan seumpama itu.

(Selanjutnya sila lihat '20 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang' -HARAKAHDAILY 10/10/2024)


2. ‘Belum pernah lagi pelajar naik kapal perang’

Kunjungan pelatih-pelatih yang didakwa dari Naval University of China ke Sekolah Menengah Chung Ling, (Persendirian) di Pulau Pinang, Malaysia ini dikatakan adalah atas hubungan pelajar dengan pelajar.

KUALA LUMPUR: Rakyat terutamanya Melayu berang apabila lebih 1,000 orang asing berpakaian Tentera Laut China disambut bak wira negara di Pulau Pinang, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kerajaan Pulau Pinang sebelum ini pernah mengumumkan kunjungan pelatih tersebut datang ke negeri itu dengan menaiki dua buah kapal latihan dan berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu. 

Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan Pulau Pinang melalui Exconya membayangkan kunjungan ini dan dipersetujui oleh Kerajaan Madani.

“Oleh demikian, sudah tentu perkara ini mengundang kebimbangan kerana tentera Laut China sedang galak membuat kontroversi di Laut China Selatan khususnya di kawasan perairan kita di Beting Patinggi Ali. 

“Tindakan kerajaan Pulau Pinang jelas sekali tidak betul, sebab Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tergesa-gesa kata mereka bukan tentera China tetapi pensyarah dan pelajar.

(Selanjutnya sila lihat 'Belum pernah lagi pelajar naik kapal perang–HARAKAHDAILY 11/10/2024)


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah realitinya. T'ganu kreatif, P.Pg lebih keatif. M'sia X kreatif? & Melayu berang. Mengapa Melayu berang?  Rakyat terutamanya Melayu berang apabila lebih 1,000 orang asing berpakaian Tentera Laut China disambut bak wira negara di Pulau Pinang. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan kerajaan Pulau Pinang sebelum ini pernah mengumumkan kunjungan pelatih tersebut datang ke negeri itu dengan menaiki dua buah kapal latihan dan berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu. 

(i).Kenapa kapal perang China disambut luar biasa kerajaan Pulau Pinang?

a. Di KL, Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan sambutan luar biasa yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang terhadap rombongan dua kapal perang latihan bersama pelajar dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang, Sabtu lalu. Perkara itu amat dikesali tatkala sensitiviti rakyat yang masih terkesan isu poster Bulan Kebangsaan tular tempoh hari masih belum reda.

b. Terdahulu, tular di media sosial sebuah poster pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang didakwa menggunakan gambar propaganda tentera China dan telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak. Ditambah pula dengan pencerobohan demi pencerobohan yang dilakukan oleh tentera China ke atas perairan kita khususnya di perairan Sabah dan Sarawak sehingga menimbulkan kebimbangan dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

c. Kerajaan Pulau Pinang sepatutnya lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan semasa melibatkan pertikaian isu Laut China Selatan dan kawasan minyak dan gas oleh Petronas. Apatah lagi memberikan sambutan seperti wira kepada kapal perang China di tengah-tengah kehangatan isu yang disebutkan di atas. Memang amat tidak bertanggungjawab sama sekali.

d. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak boleh memberi hala tuju yang ‘mengelirukan’ kepada negara-negara jiran kita. 

(ii). Amerika Syarikat kecam tindakan China di Laut China Selatan 

Anthony Blinken dalam Sidang kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Viebtiane, Laos pada hari ini, 11 Oktober 2024. (FOTO: Reuters)

Di Viaenttanee, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony Blinken mengecam tindakan Beijing yang dilabelkannya sebagai ‘semakin berbahaya’ di Laut China Selatan ketika mengadakan pertemuan bersama pemimpin blok ASEAN hari ini.

a. Mereka kekal bimbang tentang tindakan China yang semakin berbahaya dan menyalahi undang-undang di Laut China Selatan dan Timur, yang telah mencederakan orang, merosakkan kapal dari negara ASEAN dan bercanggah dengan komitmen untuk menyelesaikan pertikaian secara aman. AS  akan terus menyokong kebebasan pelayaran dan kebebasan penerbangan di Indo-Pasifik, ikrar mereka dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat 2024 itu.

b. AS berharap akan terus bekerjasama dengan pemimpin ASEAN untuk melindungi kestabilan merentasi Selat Taiwan, yang merupakan sumber ketegangan berterusan dengan China, lapor Reuters. Beijing baru-baru ini mengecam kenyataan Presiden Taiwan, Lai Ching-te yang berikrar untuk menentang ‘pengambilan’ oleh negara China, dan menegaskan bahawa negaranya itu merupakan negara demokrasi yang mempunyai hak untuk memerintah sendiri.

c. China dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah mengerahkan kapal tentera dan pengawal pantai dalam usahanya untuk mengeluarkan Filipina daripada kawasan terumbu dan kepulauan yang penting secara strategik di Laut China Selatan.

Negara itu pada Ogos menuduh Filipina sengaja melanggar kapalnya berhampiran Beting Sabina di Laut China Selatan, dalam pertembungan terbaru dua negara itu di perairan yang mempunyai tuntutan bertindih. 

Begitu kira-kira.

...

Thursday, October 10, 2024

Seleweng hutang UTAR RM83juta.. PMX, DAP, MCA?

 

1. Kenapa hutang UTAR RM83 juta dikecualikan cukai?

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani memberikan pengecualian cukai kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang berhutang RM83 juta dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), menimbulkan persoalan mengenai keadilan dalam pengurusan kewangan negara.

Penganalisis politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, senario ‘pelik’ itu berlaku setelah kerajaan menarik pelbagai subsidi dan skim pencen dengan alasan kekurangan dana. 

Beliau mendakwa, tindakan itu menunjukkan sikap tidak konsisten dalam dasar kewangan kerajaan, terutama bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berisiko didakwa.

“Mesti kita masih ingat, baru-baru ini Kerajaan Madani kata akan dakwa di mahkamah peminjam PTPTN yang gagal bayar balik pinjaman. 

“Sejak Kerajaan Madani mentadbir negara, pelbagai subsidi ditarik dengan alasan kerajaan tak ada duit. 

“Kerajaan Madani juga hapuskan skim pencen dengan alasan kerajaan tak ada duit nak tanggung bayaran pencen.

“Tiba-tiba muncul isu Kolej UTAR yang mewah, kaya, kampus besar, pelajar ramai, tapi berhutang dengan LHDN cukai dan denda RM83 juta, eh boleh pula diberi pengecualian cukai. 

“Banyak pula duit kerajaan?” soal beliau.

(Selanjutnya sila lihat 'Kenapa hutang UTAR RM83 juta dikecualikan cukai?'  –HARAKAHDAILY 10/10/2024)




2. Laporan: PM hapus tunggak cukai denda RM83juta UTAR. Diterbitkan:  Oct 8, 2024 9:21 PM Dikemaskini: 9:23 PM   

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan memutuskan untuk melepaskan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) daripada pertikaian cukai dan dendanya.

Laporan Sin Chew Daily memetik sumber yang menyatakan tunggakan cukai dan denda berjumlah RM83 juta yang dituntu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Utar akan dihapus kira.

Menurut laporan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika ditanya berkenaan perkara itu berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican untuk menghantar surat kepada Yayasan Pendidikan Utar (Utaref) untuk memaklumkan perkara itu.

Loke berkata surat itu akan dihantar tidak lama lagi.

Pada minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata menurut LHDN, Utar tidak diberikan status pengecualian cukai, tidak seperti Utaref yang mendapat pengecualian itu pada 1 Julai 2003 mengikut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sehari kemudian, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata Utar dan Utaref sepatutnya diiktiraf sebagai entiti tunggal, dan tidak bersetuju dengan pengkelasannya sebagai badan berasingan pada masa ini.

Yayasan itu bertanggungjawab menguruskan Utar.

Sementara itu, laporan itu memetik sumber sebagai berkata, LHDN baru-baru ini mengaudit semula Utaref untuk enam tahun terakhir, dan secara rasmi menghantar surat pada Jun lalu berkenaan cukai yang tidak dibayar serta denda.

Selepas menerima surat itu, Utaref menghantar surat kepada Anwar. Yayasan itu juga tidak perlu membayar cukai dan denda yang dikenakan. (IH)


Komen Weblog Ibnu Hasyim: 'Seleweng hutang UTAR RM83juta.. PMX, DAP, MCA?' Sedang terbongar lagi. Soalnya, jika kolej swasta lain minta kecuali cukai, adakah PMX akan memberikan kelulusan khas yang sama? Jika 430,000 peminjam PTPTN yang akan didakwa membuat rayuan kepada PMX, adakah mereka akan diberikan pengecualian? 

Sebab apa Anthony Loke pula yang isytihar kerajaan akan hapuskan tunggakan cukai dan denda tu? Seolah-oleh kerajaan takde power ke? Disebutkan juga walaupun MCA menguasai Lembaga Pengarah UTAR, DAP ambil kesempatan menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa mereka mampu selesaikan masalah UTAR. 

Ertinya ada persaingan politik antara MCA dan DAP. Tapi penjaga kunci kementerian kewangan hanya dilihat sebagai pihak yang terpaksa mengikut arahan. Jom kita lihat komen-komen seterusnya.

(i) Cukai UTAR RM83 juta, elok gunakan untuk subsidi pendidikan. 

Di KL, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) meneliti naratif terbaharu media yang memaparkan mengenai subsidi pendidikan yang ditanggung oleh kerajaan turut dinikmati golongan kaya.

a. Naib Ketuanya, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, DMPM khuatir bahawa taktik memainkan sentimen golongan kaya itu hanya justifikasi untuk menarik subsidi pendidikan sepertimana yang telah rakyat hadapi dalam isu penghapusan subsidi diesel. 

b. Universiti Awam adalah institusi pendidikan untuk rakyat kebanyakan dan ‘pelaburan’ jangka masa panjang untuk kerajaan. Apabila ramai rakyat berpendidikan tinggi, maka manfaatnya akan dinikmati oleh negara.

(ii)Kehadiran tentera China: PAS desak siasatan, penjelasan. 

Di KL, PAS memandang serius kehadiran kapal tentera laut China di Pulau Pinang baru-baru ini, terutama dalam konteks kedaulatan dan keselamatan negara.

a. Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan yang wajar dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehadiran ketenteraan asing di perairan negara. 

b. Sebagai negara berdaulat, Malaysia mesti sentiasa memastikan bahawa sebarang bentuk interaksi dengan pihak asing, terutamanya dalam hal ketenteraan, dilakukan dengan telus dan mengikut peraturan serta undang-undang antarabangsa.  Kehadiran armada tentera laut China ini perlu dijelaskan secara menyeluruh kepada rakyat untuk mengelakkan sebarang kekeliruan atau ketidaktentuan mengenai keselamatan negara. 

c. PAS menggesa agar satu siasatan khusus dijalankan secara bersama oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan. Siasatan perlu menjelaskan tujuan kehadiran armada tentera laut China di Pulau Pinang dan sama ada kebenaran rasmi telah diberikan. Ia juga harus menilai impak keselamatan negara dari aktiviti ketenteraan asing di perairan Malaysia. 

d. Penting untuk meneliti bagaimana hal itu mempengaruhi persepsi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia menjaga kedaulatannya dan ia menjadi lebih kritikal dengan ketegangan yang meningkat di rantau Asia Tenggara. PAS menegaskan bahawa keputusan strategik dan keselamatan negara mesti dibuat dengan teliti dan telus demi kepentingan rakyat dan kedaulatan Malaysia. 

e. PAS menyeru pihak kerajaan untuk segera memberikan penjelasan kepada rakyat dan memastikan insiden ini tidak berulang tanpa kawalan yang jelas. PAS akan terus memantau situasi ini dan menantikan hasil siasatan yang bakal dijalankan.  Keselamatan negara dan kedaulatan wilayah adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng, dan kita harus memastikan bahawa Malaysia kekal dihormati di mata dunia.

Insya Allah, al-hamdulillah.

...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails