Showing posts with label http://www.blogger.com/img/gl.photo.gif. Show all posts
Showing posts with label http://www.blogger.com/img/gl.photo.gif. Show all posts

Monday, September 29, 2008

Surah Yusuf Mengubah Superstar Jadi Pendakwah.

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BEGITULAH hebatnya Al-Quran.. memberi nikmat kepada manusia. Telah saya paparkan kisah seorang Jenderal dan Kaisar Perancis Napoleon Bonaparte, kerana membaca Al-Quran beliau memilih Islam dan begitu juga dengan kisah seorang wanita Jepun yang kini sedang berada di Malaysia. Kali ini kita lihat pula bagaimana Al-Quran mampu mengubah seorang superstar menjadi superpendakwah.

Beliau adalah Yusuf Islam yang kini terkenal sebagai pendakwah bukan sahaja di Britain malah di seluruh dunia.

Saya lahir dari sebuah rumah tangga Nasrani yang berpandangan materialis. Saya tumbuh besar seperti mereka. Setelah dewasa, muncul kekaguman saya melihat para artis yang saya saksikan melalui berbagai media massa, sampai saya mengganggap mereka sebagai dewa tertinggi. Lantas saya pun bertekad mengikuti pengalaman mereka. Dan benar, ternyata saya menjadi salah seorang bintang pop terkenal. Pada masa itu saya rasa diri saya lebih besar dari alam ini dan seolah-olah usia saya lebih panjang dari kehidupan dunia dan seolah-olah sayalah orang pertama yang dapat merasakan kehidupan seperti itu.” Kata beliau.

Pada tahun 1970an dulu beliau mendapat julukan ‘superstar’ dengan nama Cat Stevens. Apa menyebabkan beliau berubah? Seperti yang diakuinya sendiri dalam satu wawancara dengan sebuah majalah, beliau mengambil keputusan memeluk agama Islam setelah mengalami dua peristiwa yang begitu berkesan di hatinya di mana akhirnya telah merubah keseluruhan kehidupannya.

Pertama.. Menurut Yusuf Islam, ketika beliau berusia 19 tahun di mana namanya ketika itu sedang popular sebagai penyanyi pujaan ramai, dia terlibat dengan ketagihan arak dan rokok sehingga menyebabkan mengidap penyakit batuk kering.

Pada saat itulah saya mempunyai kesempatan untuk merenung… hingga saya temui di mana diri saya hanya sepotong jasad dan apa yang selama ini saya lakukan hanya untuk memenuhi keperluan jasad. Saya menilai bahawa sakit yang saya deritai merupakan cobaan Ilahi dan kesempatan untuk membuka mata saya. Mengapa saya berada disini? Apa yang saya lakukan dalam kehidupan ini?” Jelas beliau.

Setelah sembuh, “..lantas saya membuat beberapa kesimpulan yang intinya bahawa manusia terdiri dari ruh dan jasad. Alam ini pasti mempunyai Ilah. Selanjutnya saya kembali ke gelanggang music, namun dengan gaya musik yang berbeda. Saya cipta lagu-lagu berisikan cara mengenal Allah. Ide ini malah membuat diri saya semakin terkenal dan keuntungan pun semakin banyak. Saya terus mencari kebenaran dengan ikhlas tetapi tetap berada di dalam lingkungan para artis.”

Kedua: Pada suatu hari semasa beliau berada di Los Angeles, Yusuf Islam hampir mati lemas, di laut. Ketika itu dia berdoa jika Tuhan menyelamatnya dari bencana itu, maka beliau berjanji akan berkerja untuk Tuhan. Dalam sekelip mata ombak datang lalu menolaknya ke pantai. Kisah yang sama pernah berlaku kepada Ikramah bin Abu Jahal, semasa zaman permulaan kebangkitan Islam di Mekah dulu. Apabila kapal yang ditumpangnya hampir karam lalu dia pun berdoa, jikalau selamat dari bencana itu dia akan memeluk Islam. Kisah yang hampir sama.

Selepas peristiwa itu barulah saya yakin bahawa Tuhan itu ada..” kata Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dia mempelajari pelbagai agama seperti Buddha, Hindu dan Kristian namun tidak ada yang memuas serta meyakinkan hatinya.“Pada suatu hari kawan saya yang beragama Nasrani pergi melawat ke masjidil Aqsha. Ketika kembali, ia menceritakan kepada saya ada suatu keanehan yang ia rasakan di saat melawat masjid tersebut. Ia dapat merasakan adanya kehidupan ruhani dan ketenangan jiwa di dalamnya. Hal ini berbeda dengan gereja, walau dipadati orang ramai, namun ia merasa hampa di dalamnya.”

“…Pada suatu hari saya yang sedang mencari haluan hidup ketika itu saya dihadiahkan oleh abang saya David sebuah terjemahan kitab suci Al-Quran..” kata beliau. “..pada mulanya tujuan membaca Al-Quran sekadar hendak mencari kelemahannya seperti yang pernah dilakukannya terhadap agama lain.”

Katanya, apabila dia membuka kitab suci itu surah pertama yang dibacanya ialah surah Yusuf. “Hati saya berbisik apa yang saya baca ialah sebuah kisah yang indah. Semakin lama membacanya semakin mengasyikkan sehingga saya mengalirkan airmata. Saat itu saya yakin Al-Quran bukan ciptaan manusia tetapi adalah wahyu Allah. Inilah cahaya yang saya cari selama ini. Hati saya berasa aman lalu menerima Islam.”

Kata beliau lagi, “Pada hari Jumaat, saya bertekad untuk menyatukan akal dan pikiran saya yang baru tersebut dengan segala perbuatan. Saya perlu menentukan tujuan hidup. Lantas saya melangkah menuju masjid dan mengumumkan pengislaman saya.. Saya mencapai puncak ketenangan di saat saya mengetahui bahawa saya dapat bermunajat langsung dengan Rabb melalui ibadah sholat. Berbeda dengan agama-agama lain yang perlu melalui perantara.”

Demikianlah Yusuf Islam memeluk agama Islam. Setelah masuk Islam beliau tidak hanya duduk di tempat ibadah menyembah Allah yang telah menguasai hatinya dengan kecintaan, namun beliau terus melakukan aktiviti untuk maslahat agama ini. Saya (Ibnu Hasyim) teringat, selepas beliau masuk Islam, beliau datang ke Malaysia. Antara ucapannya yang masih lekat dalam ingatan saya ialah…

Semasa saya (Yusuf Islam) mula mencari kebenaran, setiap album lagu-lagu ketuhanan saya, saya letakkan tulisan-tulisan dan madah Al-Quran dengan tujuan ikhlas memperkenalkan kebenaran. Tetapi saya mendapat tentangan dari banyak pertubuhan-pertubuhan di negara-negara umat Islam. Antaranya ialah dari ABIM Malaysia… Hati saya tertanya-tanya, mengapa? Tetapi sekarang, bila saya masuk Islam barulah saya tahu sebabnya, yang saya tidak faham waktu itu. Itulah antara sebabnya mengapa saya datang berceramah disini!

Beliau turut ikutserta di dalam berbagai lembaga dan yayasan Islam yang bergerak di bidang dakwah dan sosial. Semoga Allah memberinya ganjaran yang baik atas sumbangsih yang telah beliau berikan kepada kita, agama Islam dan kaum Muslimin.

Demikianlah catatan santai di aidufitri kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang… Selamat Hari Raya Aidulfitri!! Maaf zahir batin.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September29, 08. KL.

Wednesday, September 24, 2008

Imbasan Ramadzan: Di Mana Kesan Puasa Dalam Politik Kita?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
FIRMAN Allah SWT bermaksud, ‘Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusu' dalam sembahyangnya'' (Al Mu'minuum: 1). Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda bermaksud “Ramai orang yang mendirikan sembahyang tetapi hasilnya ialah penat dan lelah sahaja''. (Riwayat: Ibn Majah). Manakala dalam ibadat puasa pula, Rasulullah telah memberi peringatan sabdanya bermaksud “Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga saja!''. (Riwayat: Ibn Majah dan Nasai).
Seperti juga ibadat sembahyang, berpuasa pun boleh tak dapat apa-apa. Cuma dapat lapar dan dahaga saja.. Oleh itu, agama menekankan dalam beribadat kepada Allah hendaklah hasil produk ibadat tersebut mempunyai kualiti yang tinggi. Bagaimana mendapatkan puasa yang berkualiti tinggi? Hendaklah ada cop kelulusan dari kerajaan Penciptanya, iaitu ‘memenuhi kehendak Allah’ di mana memberi pulangan lumayan atau pahala yang maksima, kerana ibadat puasa yang dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan.
Sebut saja bermutu tinggi, perlu diketahui bagaimana yang rendahnya? Ulama-ulama menyebutkan, puasa yang berkualiti rendah atau dhaif berlaku adalah kerana…
* Tidak memahami matlamat beribadat kepada Allah;
* Berpuasa sebagai mengambil kesempatan menjaga kesihatan semata-mata;
* Tidak berpegang teguh dengan disiplin puasa kerana ibadat-ibadat yang lain pun dibuat sambil lewa atau lepas batuk di tangga sahaja; dan
* Mempunyai iman yang lemah atau berjiwa kerdil kerana menganggap diri mereka sebagai orang awam sahaja.
Imam Ghazali pada zamannya telah membuat kajiselidik mengenai gred atau mertabat puasa yang diamalkan oleh umat Islam. Menurut beliau ada 3 gred..
* Puasa umum;
* Puasa khusus; dan
* Puasa istimewa.
Puasa Umum adalah merujuk kepada puasa yang dibuat semata-mata menahan makan, minum dan menjauhi hubungan seks di siang hari. Pengamal-pengamalnya kelihatan berpuasa tetapi tidak memperolehi pahala kerana mereka tidak memelihara adab-adab berpuasa yang lain. Cuma dapat lapar dan dahaga sahaja! Imam Ghazali menamakan ‘puasa umum’ kerana puasa gred ini mungkin kebanyakan dilakukan oleh umat Islam yang daif atau miskin iman.
Manakala Puasa Khusus, adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan hubungan seks di siang hari, tetapi juga menjaga adab tertib berpuasa dan menahan seluruh anggota pancaindera daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan atau merosakkan amalan puasa. Puasa khusus adalah amalan puasa orang-orang solih samada mereka itu orang awam atau alim ulama. Secara lebih luas sifat puasa khusus ialah:
* Menahan penglihatan atau mengelakkan pandangan yang boleh mengganggu dan melalaikan hati mengingati Allah dan merosakkan keimanan;
* Mengawal lidah daripada bercakap hal-hal keji dan sia-sia;
* Jauhkan diri dari mendengar perkara keji dan sia-sia;
* Menjauhi makanan syubahat dan haram ketika berbuka puasa;
* Mengelakkan banyak makan ketika berbuka supaya rezeki yang diperolehi itu tidak membazir; dan
* Malu kepada Allah kerana bimbangkan amalan puasa yang tidak dapat memenuhi harapan Allah atau tidak diterima Allah.
Akhirnya kita lihat puasa special atau Puasa Istimewa pula. Merujuk mengenai puasa yang bukan sahaja menahan lapar, hubungan seks siang hari dan menghindari segala pancaindera dari melakukan perkara haram seperti di atas… malah puasa gred ini menggembleng, mengarahkan penumpuan hati, fikiran, perasaan dan tingkah laku berpuasa hanya semata-mata untuk Allah, tanpa sedikit pun memikirkan hal-hal keduniaan. Puasa istimewa ini adalah menjadi amalan para rasul dan nabi-nabi, juga merupakan martabat puasa paling tinggi di sisi Allah. Oleh itu, jangan kita jadi manusia yang tidak berjiwa besar, kerana meng’gred’kan diri kita kepada ‘puasa umum’ sahaja.
Kesimpulannya, program bulan Ramadan merupakan agenda latihan tahunan Allah SWT untuk membersihkan jiwa dan melatih umat Islam dengan harapan pengajaran puasa akan menjadi budaya atau gaya hidup sihat, zahir dan batin… bahkan menjadi amalan sepanjang masa. Program Ramadzan perlu diterjamahkan dalam menghidupi gaya hidup Islam secara keseluruhannya, seperti firman Allah SWT berfirman bermaksud..
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah syaitan.'' (Al-Baqarah: 208).
Mengapa hanya sanggup tahan lapar dahaga ikut sebahagian cara hidup Islam.. sedangkan ada lagi arahan lebih besar, melaksanakan politik, kekhalifahan dan negara Islam untuk menyelamatkan manusia sejagat tidak dipedulikan?
Itulah imbasan sepanjang Ramadzan yang kita lalui. Ya, marilah kita melihat dan menilai diri kita, di tahap mana puasa kita? Apakah kita berpuasa atau ber’puas’an. Kalau kita lulus ujian, gred berapa yang kita dapat? Sejauh mana peranan kita dalam usaha menegakkan hukum dan kerajaan Islam di muka bumi sebagai lanjutan dari kesan berpuasa? Mahukah puasa kita tiada kesan??
Begitulah catatan santai untuk kali ini, as-salamu ‘alaikum?.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September24, 08. KL.

Monday, September 22, 2008

Catatan Perjalanan Ibnu Batutah..



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

SEORANG penulis agak terkenal hantar e-mail pada saya, antara kata-katanya. “Saya tertarik dengan tulisan anda, terutama dalam catatan perjalanan. Sebuah rakaman perjalanan yang agak lain dari yang lain.. ada roh Islam! Bagaimana kalau saya gelar anda Ibnu Batutah Malaysia??”

“Oh, jangan. Tak layak belalang dipanggil helang.” Saya jawab.

“Mengapa?” Dia tanya balik. Saya belum jawab lagi.
Mari kita lihat siapa Ibnu Batutah? Beliau adalah seorang pengembara yang hebat.. Lahir di Tangier 17 Rajab 703 H/ 25 Februari 1304. Nama lengkapnya ialah Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim At-Tanji, bergelar Syamsuddin bin Battutah. Sejak kecil, Ibnu Batutah dibesarkan dalam keluarga Islam yang taat beragama. Ibnu Batutah begitu tertarik untuk mendalami ilmu-ilmu fikih, sastera dan syair Arab. Semasa remajanya, ketika itu dunia Islam terpecah-pecah kepada beberapa kerajaan dan dinasti.

Namun beliau sempat mengalami zaman kejayaan Bani Marrin yang berkuasa di Moroko pada abad ke-13 dan 14 M. Latar belakang Ibnu Batutah begitu jauh berbeza bila dibandingkan Marco Polo seorang peniaga dan Columbus yang juga pengembara. Di samping memiliki sifat-sifat begitu, Ibnu Batutah juga adalah seorang teologis, sasterawan puisi dan cendekiawan, serta humanis, ertinya melebihi kehebatan dua sejarawan tadi. Dikatakan juga hasil pencapaian Ibnu Batutah yang luar biasa itu, konon telah dirampas dan disembunyikan Kerajaan Perancis semasa menjajah benua Afrika dulu.
Kehebatan Ibnu Batutah hanya dapat dibandingkan dengan pelancong terkemuka Eropah, Marcopolo (1254 M -1324 M)..” Demikian ujar sejarawan Brockelmann mengagumi ketangguhan pengembara Muslim itu.

Aku tinggalkan Tangier, kampung halamanku, pada Khamis 2 Rajab 725 H/ 14 Jun 1325 M. Saat itu usiaku baru 21 tahun empat bulan. Tujuanku adalah menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci di Makkah dan berziarah ke makam Rasulullah SAW di Madinah.’ Antara tulisan dalam buku catatannya ‘Rihlah’.

Di situlah mulanya detik perjalanan beliau.

Selama hampir 30 tahun, dia telah mengunjungi tiga benua mulai dari Afrika Utara, Afrika Barat, Eropah Selatan, Eropah Timur, Timur Tengah, India, Asia Tengah, Asia Tenggara, dan Cina. Perjalanan panjang dan pengembaraannya mengelilingi dunia itu mencapai 73 ribu mil atau sejauh 117 ribu kilometer. Tak heran, bila kehebatannya mampu melampaui sejumlah penjelajah Eropah yang diagung-agungkan Barat seperti Christopher Columbus, Vasco de Gama, dan Magellan yang mulai berlayar 125 tahun setelah Ibnu Batutah.

Sejarawan Barat, George Sarton, mencatat jarak perjalanan yang ditempuh Ibnu Batutah melebihi pencapaian Marco Polo. Tak heran, bila Sarton geleng-geleng kepala dan mengkagumi ketangguhan seorang Ibnu Batutah yang mampu mengarungi lautan dan menjelajahi daratan sepanjang 73 ribu mil itu. Sebuah pencapaian yang tak ada duanya di masa itu.’

Lihat Republika oleh Heri Ruslan ‘Ibnu Batutah, Kisah Sang Pengembara’ yang disiarkan semula web. www.Kebun Hikmah.Com. Khamis, Mei15 2008.

Panjang ceritanya. Ringkasnya, mari kita lihat bagaimana beliau membuat liputan ketika terdampar di Samudera Pasai Asia Tenggara, semasa kerajaan Islam pertama di Nusantara pada abad ke-13M, iaitu di bumi Aceh Serambi Mekah selama 15 hari pada tahun 1345.

Ibnu Batutah melukiskan Samudera Pasai dengan begitu indah… Negeri yang hijau dengan kota pelabuhannya yang besar dan indah.

Beliau disambut oleh pemimpin Daulasah, Qadi Syarif Amir Sayyir al-Syirazi, Tajudin al-Ashbahani dan ahli fiqih kesultanan. Menurut Ibnu Batutah, masa itu Samudera Pasai telah menjelma sebagai pusat studi Islam di Asia Tenggara.

Sultan Mahmud Malik Al-Zahir adalah seorang pemimpin yang sangat mengkedepankan hukum Islam. Peribadinya sangat rendah hati. Ia berangkat ke masjid untuk sholat Jumaat dengan berjalan kaki. Selesai sholat, sultan dan rombongan biasa berkeliling kota untuk melihat keadaan rakyatnya.”

Cerita beliau.

Menurut Ibnu Batutah, penguasa Samudera Pasai itu memiliki ghirah belajar yang tinggi untuk menuntut ilmu-ilmu Islam kepada ulama. Dia juga mencatat, pusat studi Islam yang dibangun di lingkungan kerajaan menjadi tempat diskusi antara ulama dan elit kerajaan. Selama berpetualang mengelilingi dunia dan menjejakkan kakinya di 44 negara, dalam kitab yang berjudul ‘Tuhfat al-Nazhar’, Ibnu Batutah telah bertemu dengan tujuh raja yang memiliki kelebihan yang luar biasa.

Ketujuh raja yang dikagumi Ibnu Battuta itu antara lain..

i...Raja Iraq yang dinilainya berbudi bahasa;
ii..Raja Hindustani yang disebutnya sangat ramah;
iii.Raja Yaman yang dianggapnya berakhlak mulia;
iv.Raja Turki dikaguminya kerana gagah perkasa;
v..Raja Romawi yang sangat pemaaf;
vi.Raja Melayu Malik Al-Zahir yang dinilainya berilmu pengetahuan luas dan mendalam.
vii.Raja Turkistan.

Beliau mengakhiri catitan perjalanannya dengan sebuah kalimat, ''Akhirnya aku sampai juga di kota Fez (Moroko).'' Di situ dia menuliskan hasil pengembaraannya, dan meninggal dunia di Maroko pada pada tahun 1377 M. Ibnu Batutah telah memberitahu bahawa pada abad pertengahan, peradaban telah tumbuh dan berkembang di bumi Nusantara, sejajar dengan raja-raja lain di dunia.

Di situlah antara rahsia yang tersirat di sebalik banyak ayat-ayat Al-Quran memerintah umatnya mengembara dan menjelajah mukabumi seperti Ibnu Batutah itu. Antaranya Surah Ar-Rum: ayat 9, An-Nahl: Ayat 36 dan banyak lagi.

Kesimpulannya, pada saya tidaklah layak nama Ibnu Hasyim nak disejajarkan dengan Ibnu Batutah seperti yang dijelaskan awal-awal tadi. Belalang takkan boleh jadi helang… walaupun sama-sama bunyi akhirnya ‘lang’. Atau nama awalnya sama-sama 'Ibnu'.

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, as-salamu ‘alaikum.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September22, 08. KL.

Monday, September 01, 2008

Gadis Rusia: Mengapa Aku Minat Sejarah Islam?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


APABILA rakan-rakan sebayaku mengetahui aku mengenali Islam melalui seorang pemuda Rusia yang baru pulang dari Saudi Arabia, dan memilih Islam sebagai cara hidupnya, mereka mula menjauhi diri dariku. Mereka seolah-olah curiga denganku. Aku jadi hairan, bilaku tanya, mengapa? Kata mereka, jangan dekati ‘pengganas’.

Aku mulai benci dan muak dengan sikap sosial muda-mudi Rusia. Bila ada pemuda-pemuda itu cuba mendekatiku, ku katakan kepada mereka, aku sudah ditunangkan dengan lelaki Islam. Menyebabkan mereka terus menjauhiku, dan menambah lagi curiga mereka. Inilah antara penyebab mengapa aku minat mengkaji sejarah kedatangan Islam di Rusia? Tertanya-tanya aku bagaimana dan mengapa begitu hebat Islam...

Terbaca aku, kisah penemuan harta karun di Rusia... antaranya mengandungi wang syiling Arab abad ke 8. Itu menjadi bukti bahawa pada masa itu Rusia telah menjalin hubungan dagang dengan orang Arab. Dalam catatan seorang ahli geografi masa itu, bernama Ibn Hardadbeh, terdapat pedagang ‘ar-rus’ yang membawa dagangan mereka ke Black dan Caspean Sea. Jadi hubungan pertama penduduk Rusia dengan dunia Islam, sebenarnya telah bermula antara abad ke 8 hingga ke 9.

Ada hubungan yang bersifat penentangan bersenjata, perdagangan, atau budaya, politik dan ekonomi. Bangsa Khazar yang selain agama Yahudi menganut agama Islam juga. Bangsa Cuman dan Bulgars menjadi bangsa-bangsa pertama yang memperkenalkan Islam kepada kepada Rusia zaman kuno. Setelah kejatuhan Khazar Khaganate pada abad ke 10, hampir seluruh kawasan Sungai Volga menjadi kawasan takluk orang Islam dari Khwarezm.

Waktu penaklukan Tartar-Mongol pada tahun 1237, Vladimiro-Suzdel Rus serta sebahagian besar dari Kievan Rus dimasukkan dalam Empire Mongol, dan setelah perpecahannya, dimasukkan ke dalam Golden Horde pula. Pada tahun 1256 (setelah 16 tahun penaklukan Rus) Muslim pertama Khan Barke telah naik tahta di Golden Horde. Namun sepenuhnya, Islam mula dianuti di situ pada tahun 1312 apabila Khan Usbek berjaya mengIslamkan semua penduduk kerajaan itu.

Sejak itu antara Rus yang beragama Kristian dan Horde yang beragama Islam, boleh dikatakan ada hubungan secara simbiosis. Walaupun Rus Kristian ditakluki Horde yang Islam, namun Rus tetap menganut agama Kristian. Malah ramai orang-orang kaya dari kalangan Mongol-Tartar yang enggan menganut Islam berhijrah ke Rusia dan menjadi pengasas keluarga elite di Rusia. Contohnya, dikatakan pada tahun 1329 Tzar Rusia, Ivan Kalita pernah mengupah Murza Cheta. Murza Cheta adalah dipercayai moyang kepada Boris Godunov, iaitu Tzar Rusia antara 1598-1622.

Pada tahun 1480, walaupun kerajaan Golden Horde telah jatuh, namun Rusia kini dikelilingi oleh negara-negara Islam. Penduduk dari bangsa Tartar pula mula menduduki Moscow pada awal abad ke 15. Jumlah mereka semakin meningkat. Mereka mempunyai beberapa kawasan khas di sini, utamanya Zamockvorechye. Kini, di sini terdapat sebuah masjid bersejarah. Pun sudah dibuka semula. Walaupun Rusia pernah menakluki Kazan, Astrakhan dan Siberian Khanates, namun nisbah kuasa mereka telah mula berubah.

Setelah kerajaan mula membabtiskan penduduk Tartar yang menganut Islam, mereka mula pindah dari kawasan Volga ke kawasan Ural dan menambah pengaruh penduduk Islam di situ. Sejak itu hubungan Rusia dengan dunia Islam mencatatkan banyak peperangan. Contohnya, Russo-Turkish War, Russo Iranian War dan Russo Caucases War. Semua ini merupakan tunggak sejarah pembentukan Rusia dan sikapnya terhadap Islam. Apakah tunggak ini menimbulkan masalah? Bagaimana tindakan seterusnya Rusia terhadap Islam?

Tiba-tiba seluruh dunia terkejut, kira-kira 5 tahun lalu Presiden Rusia Vladimir Putin melawat Malaysia pada 17 Oktober 2003, dan hadir pada persidangan ke 10 pertubuhan OIC di Putrajaya. Bahkan Rusia mohon jadi pemerhati dalam pertubuhan tersebut, dan diterima 2 tahun kemudian. Mengapa tiba-tiba Rusia seolah-olah jadi beralih arah begitu? Inilah yang menarik. Mengapa negara bekas Soviet ini ingin menjalin hubungan baik dan ingin berkerjasama erat dengan dunia Islam, dunia yang ramai rakyatnya diasuh dengan anggapan pengganas?!

Apa hubungan 2 agama utama Kristian Katholik dan Islam di Rusia? Bukan sahaja menarik perhatian dunia, bahkan menarikku untuk menelusuri sejarah Islam di Rusia. Dalam tulisan akan datang kita sama-sama mencari jawapannya...


ITULAH e-mail yang dihantarkan kepada saya (Ibnu Hasyim) oleh seorang gadis Katholik Kristian, dari sebuah universiti di Rusia. Maaf, setakat ini beliau tidak mahu namanya disebutkan...

Sekian catatan santai untuk kali ini, wallahu ‘aklam. Insya Allah bersambung.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September1, 08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails