‘MANUSIA Mati Meninggalkan Nama’, ‘Nama Menunjukkan Bangsa’ dan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pepatah petitih Melayu menunjukkan, di mana bangsa itu, jiwanya ialah bahasa dan pertanda kepada sesuatu bangsa ialah nama. Nama atau jasa, itulah yang menjadi sebutan dan bahan sejarah. Mari kita lihat asal-usul Hang Tuah.
(gambar: Masjid tertua di Beijing, China)
Mula-mula kita lihat namanya…
Satu kajian dibuat dalam perbendaharaan Melayu, terutamanya dalam Kesultanan Melayu Melaka, tidak ada nama yang di awalnya sebutan ‘Hang’ pada nama-nama Melayu, seperti Hang Tuah dan 4 sahabatnya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Tetapi ‘Hang’ pada nama-nama bangsa Cina, memang ada. Contohnya, yangbermula dari Hang, Tan dan Lee. Itupun bergantung kepada suku kaum asal mereka dari wilayah-wilayah tertentu dari negeri China. Kalau nak dikatakan, ianya adalah gelaran anugerah dari Raja-raja Melayu, itupun tidak benar juga. (Nama Hang Samrin sekarang ada, tapi bukan di Malaysia).
Kenapa?
Menurut Mohd Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM (dalam kertaskerja bertajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan), gelaran-gelaran yang diberi hanyalah Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Syahbandar dan Mandulika. Tiadapun gelaran ‘Hang’!
Menurut buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G.Shellabear MPH Ltd S’pore), pemergian Tun Perpatih Putih utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China, telah membawa balik Puteri Hang Li Po bersama 500 dayang-dayang. Sultan Mansur Shah telah berkahwin dengan puteri tersebut (kahwin campur) dapat putera, diberi nama Paduka Mamat. Tidak pula diberi nama Paduka ‘Hang’ Mamat.
Biasanya nama-nama dalam loghat Cina mempunyai 3 sukukata. Hang Tuah dikaitkan dengan Hang Too Ah. Hang Jebat dari Hang Jee Fatt. Hang Lekir dari Hang Lee Ker dan Hang Lekiu dari Hang Lee Kiew. Bagaimana pula dengan Hang Kasturi yang mempunyai 4 sukukata?
Terdapat 2 andaian.
Pertama, Hang Kasturi memang berbangsa Melayu, tetapi bergaul rapat dengan anakcucu dari rombongan Puteri Hang Li Po. Kedua, memang nama sebenarnya Kasturi, tetapi ditambah ‘Hang’ oleh 4 rakankaribnya yang Cina itu, hingga menjadi sebutan kekal.
Ada lagi pendapat yang menarik, di mana dalam kertaskerja Ong Hak Ching dari Jabatan Sejarah UKM menyebutkan, Sultan Mansur Shah telah memberi tempat kediaman di Bukit Cina kepada Puteri Hang Li Po dan 500 dayang-dayangnya. Termasuk mereka yang belum Islam atau sudah Islam. Anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ yang bermakna ‘golongan yang dilindungi’.
Pada saya, mungkin dari sinilah lahirnya golongan ‘baba & nyonya Melaka’ yakni golongan Cina yang masih belum beragama Islam tetapi sudah berbudaya (berpakaian, bercakap, makan atau lain-lainnya) seperti orang Melayu, terdapat hingga ke hari ini di Melaka. Kerajaan waktu itu tidak memaksa mereka menganut agama pemerintah, menekan atau menghalau keluar dari negaranya sendiri seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara minoriti orang Islam hari ini.
Golongan seperti ini (yang belum Islam) dalam Negara Islam disebut ‘zimmi’, bermakna ‘yang dijamin’ (yakni dijamin keselamatannya oleh kerajaan Islam). Bagi golongan yang telah menganut agama Islam dan berbudaya Melayu waktu itu, mereka sudah tiada beza dengan orang Melayu dan larut dalam bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, bahkan dalam budaya Melayu pun sudah diresapi pengaruh Cina. Umpamanya istiadat payung kuning di kalangan raja Melayu, gelaran ‘biduanda Cina’, hang, silat kuntau, ukiran pagoda di masjid-masjid Melaka dan sebagainya.
Di situlah perlunya Masjid Cina atau Pusat Kebudayaan Cina, untuk kembalikan balik budaya Cina di kalangan orang Cina yang beragama Islam, atau kepada orang Cina yang baru hendak masuk Islam. Mengikut Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempertahankan pembinaan Masjid Cina,
“… senibina pun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.”
Begitupun, Masjid Cina bukan untuk orang Cina sahaja, seperti juga Masjid Melayu di Pulau Pinang dan Masjid India yang ada hampir di seluruh negara bukan digunakan oleh sesuatu bangsa sahaja. Jadi, ciri-ciri Masjid Cina perlu diluaskan perbincangannya. Konsep pembinaan dan peranaannya perlu diperjelaskan.
Seperti firman Allah SWT; ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.’ (Hujurat: 13)
Tidak timbul soal perkauman seperti yang dicanang oleh golongan yang tidak mahu pembinaan Masjid Cina. Contohnya, di bandaraya Pulau Pinang sendiri pun sudah ada Masjid Melayu, Masjid Capitan Keling, Masjid Benggali dan Masjid Pakistan, takde gaduh-gaduh pun?!
Berbalik kepada kertaskerja Ong Hak Ching lagi, terdapat 3 andaian hipotesis mengenai hal yang disebutkan tadi.
Pertama, tidak semua dari rombongan Puteri Hang Li Po itu memeluk agama Islam. Kedua, Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew adalah keturunan Puteri Hang Li Po. (Semua nama-nama itu bermula dengan ‘Hang’.) Ketiga, keempat-empat sahabat karib ini kemudiannya memeluk agama Islam, tetapi mengekalkan nama Cina mereka mengikut loghat Melayu.
Jadilah nama mereka seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah Melayu sekarang, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. (Kalau perkataan tuah, jebat dan kasturi ada maknanya dalam bahasa Melayu, bagaimana dengan makna lekir dan lekiu? Tandanya nama-nama ini bukan asal dari Melayu..)
Mengenai Hang Kasturi menurutnya terdapat percanggahan pendapat sejak dulu lagi. Siapa pula sebenarnya yang derhaka kepada Sultan Melaka? Pengarang ‘Sejarah Melayu’ mengatakan Hang Kasturi, sedangkan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ menyebutkan Hang Jebat.
Terdapat 3 andaian mengenainya.
Pertama, terdapat sesuatu yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh ini, sehingga tiada kata sepakat dari kedua-dua pengarang tersebut atau pakar sejarah lampau. Kedua, pengarang ‘Sejarah Melayu’ menggunakan bahan dalam penulisannya, hanya secara mengambil pendapat lisan, dan tiada suatu penulisan terperinci, yang luas dan menyeluruh. Ketiga, pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ nampaknya lebih formal, kerana menggunakan semacam bentuk kajian hingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara detail.
Kesimpulannya, Hang Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu. Ianya dijadikan simbol dan kemegahan Bangsa Melayu, walaupun sebenarnya beliau adalah orang Cina yang di ‘Melayu’kan. Begini asal usulnya menurut hipotesis itu…
Hang Tuah, adalah anakcucu kepada keturunan rombongan Puteri Hang Li Po berbangsa Cina, yang datang dari negeri China ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pendapat ini tidak sama dengan apa yang saya pernah sebutkan dalam tulisan pertama (Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu. iaitu “…Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po”).
Nama asalnya ialah Hang Too Ah. Tetapi setelah memeluk Islam dan berkhidmat dengan Sultan Melaka, sebutan namanya ini telah bertukar menjadi Hang Tuah. Pengislaman Hang Tuah telah mempengaruhi rakan karibnya yang 3 lagi, iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew, yang juga akhirnya masuk Islam. Mereka pula bergaul rapat dengan Kasturi, rakan sebaya yang berbangsa Melayu. Sebagai tanda persahabatan yang abadi, Kasturi pun diberi gelaran ‘Hang’, menjadi Hang Kasturi.
Mereka berlima mulai terkenal di kalangan istana apabila mereka berjaya menyelamatkan Bendahara Negeri Melaka dari serangan orang mengamuk. Mereka terkenal dengan nama-nama Melayu, walaupun mereka berempat berasal dari anakcucu Hang Li Po berbangsa Cina. Disebabkan tiada bantahan apa-apa jika dilihat dalam sejarah, maka orang Melayu waktu itu dikatakan boleh menerima orang Cina seperti saudara sebangsa mereka.
Pernah Saudara Kamal Koh, seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan berbangsa Cina bercerita kepada saya, di mana beliau dan kawan-kawannya (semuanya berbangsa Cina yang sertai PAS) pernah berjumpa seorang tokoh pembangkang Cina yang terkenal di Malaysia. Mereka bertanya pendapat mengenai kemasukan mereka dalam PAS. Jawab pemimpin Cina tersebut…
“Maaf saudara! Saya sudah terlambat. Kalau saya masih berumur seperti saudara-saudara, saya juga akan memeluk agama Islam seperti saudara. Saya berseru kepada genarasi muda Cina supaya memeluk agama Islam. Berusahalah saudara-saudara menarik mereka kepada Islam. Kerana amat sukar bagi orang Cina untuk menjadi pemimpin negara yang majoritinya orang Melayu, kecuali kalau ia beragama Islam.”
Seorang Cina Muslim akan mendapat sokongan bukan sahaja dari kalangan orang Cina, bahkan juga dari kalangan orang Melayu. Buktinya, tokoh-tokoh Cina dalam PAS yang masih muda juga boleh diterima sebagai pemimpin di kalangan orang Melayu dalam PAS. Begitu juga dalam parti yang perjuangkan kebangsaan Melayu seperti UMNO, mereka juga boleh menerima orang yang bukan Melayu tulen menjadi pemimpin utama mereka, kerana ia beragama Islam, masakan bagi orang Cina Muslim tidak boleh? Nak tukar agama memang boleh, tetapi nak tukar bangsa mana boleh?!
Pernah akhbar ‘Tras Pembangunan’ bil 1 Nov 1991 (mungkin sekarang dah takde) menyebutkan, dua tokoh sejarah dan pendidik keturunan Cina, Prof Dato’ Khoo Kay Kim dan Dr Tan Ooi Chin sepakat menyatakan di mana perkara ini adalah terlalu unik dan perlu kajian yang mendalam. Menurut mereka, kita sepatutnya menunggu hasil kajian pengkaji-pengkaji di Hong Kong mengenai sejarah kerajaan Melaka berdasarkan sumber-sumber Cina.
Saya nak tanya, nak tunggu sampai bila? Dah 16 tahun dari tarikh kenyataan tu? Apakah ada golongan yang cuba menghalang?
Kini ada pula pandangan dan kajian terbaru menyebutkan nama sebenar Hang Tuah adalah Tun Saaban, iaitu Sultan Iskandar Muda Thani, Sultan Acheh. Gelarannya di Siam (Ayuthia) disebut Narai. Lihat blog, ‘sejarahnagarakedah.blogspot.com.’
Apakah langkah-langkah yang patut diambil untuk mewujudkan sebuah Masjid Cina di Malaysia?
Kalau mereka adalah orang dalam kerajaan, mereka mesti main peranan dari dalam. Pertubuhan-pertubuhan bebas, NGO-NGO, atau pertubuhan-pertubuhan Cina Muslim, pertubuhan-pertubuhan Islam hatta pertubuhan politik pun perlu turut campur. PAS juga patut memain peranan seperti dalam tulisan saya, ‘Pilihanraya Kecil Ijok: Mampukah PAS Perintaah Malaysia? (TranungKite Online April 2007)”
Jadi, tidak semestinya Masjid Cina itu dibina dan diusahakan oleh orang Cina (seperti pertanyaan dalam tulisan ‘Masjid Cina: Hang Too Ah & Misteri Masjid Tak Siap’ yang lepas)… Kalau betul Hang Tuah orang Cina itu boleh di ‘Melayukan’, takkanlah masjid-masjid unsur kecinaan di Melaka itu tidak boleh di ‘Masjid Cina’kan???
(gambar: Masjid Tengkera berbentuk Cina di Melaka).
HANG Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Macam Robin Hood di Eropah atau Sipitung di Indonesia. Kerana itu ada yang menganggap beliau hilang tiada kuburnya. Kini, konon kuburnya sudah dijumpai di Melaka, yang pernahsaya ziarahi, dulunya disebut kubur Tok Guru, dan sekarang sudah menjadi kubur Hang Tuah.
Hang Tuah bukan saja pernah menunjukkan kehandalannya di Tanah Jawa seperti yang disebut dalam buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G. Shellabear terbitan MPH Ltd. S’pore), bahkan pernah sampai ke Venice, Itali, dalam hubungan diplomatik kerajaan Melayu Melaka di bawah Sultan Mansur Shah. (Lihat buku tulisan A.Kadir Ahamad ‘Terangnya Matahari’ terbitan DBP-KL). Hebatnya orang Melayu, sudah ke Eropah sejak abad ke15 lagi!
Saya lihat pula buku-buku di perpustakaan rumah saya. Antaranya, ‘Pengantar Sejarah Patani’ sempena mengenang 40 tahun Haji Sulung oleh Ahmad Fathy Al-Fatani (terbitan Pustaka Darussalam Kedah) ada mencatatkan, terdapat sebuah perigi yang digali oleh Hang Tuah, sewaktu beliau datang ke Patani. Perigi tersebut terletak sebelah selatan lebuhraya, di tepi jalan masuk Kampung Chembar. Pun saya pernah ke sana, tapi tiada apa-apa istimewa pada perigi itu.
Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi…
Setelah berbalas salam dan bertanya khabar, kawan saya itu berkata, “Saya terbaca tulisan Tuan Aji dalam laman web TranungKite mengenai Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu…”
Dia adalah orang Melayu Pattani menjadi setiausaha kepada sebuah persatuan belia Islam seluruh Thailand. Menjadi guru dan pembaca berita di radio bahagian Selatan Thai. Saya panggil dia Ustaz. Dia yang menelefon saya dari Yala.
“Ya. Betul tu! Kenapa??”
“Tuan Aji ingat tak..Waktu aman-aman dulu (waktu sebelum berlaku pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek dan Tak Bai oleh Thaksin yang jadi Perdana Menteri Thai ketika itu), kita berpusing-pusing berkeliling dengan kereta melihat kesan-kesan sejarah perjuangan Islam dan Melayu Pattani…”
“Ya. Betul. Saya ingat.”
“Ingat tak Masjid Kerisek? Adakah masjid itu boleh dikategorikan sebagai Masjid Cina kerana dia dibina oleh seorang yang berbangsa Cina??”
“Oo!” Tak terjawab saya. Kenangan lama menghimbau kembali.
Perjalanan kereta kami melalui lebuhraya Pattani-Narathiwat, sebelah utaranya terdapat sebuah masjid yang nampak tak siap-siap, di mana arah ke barat sikit dari tempat bersejarah ‘Kubur Marhum’ dan ‘Telaga Lama’. Kereta kami membeluk ke kiri dan masuk ke kawasan berhampiran masjid itu.
Antara yang menarik cerita-cerita di Kerisek di samping kisah ‘masjid tak sudah’ ini,
terdapat juga ‘Kubur Wayang Melayu’, iaitu 2 buah kubur lama ditandai dengan 2 pasang batu nisan Acheh yang cantik, terletak di tepi sebatang jalan setapak dalam sebuah ladang nyiur atau kebun kelapa.(ditemui pada 1988, sebuahnya telah patah). Begitu juga mengenai perigi yang digali oleh Hang Tuah seperti disebutkan.
Kereta kami berhenti dan parking dekat simpang masuk ke Bendang Garam, tempat orang-orang Melayu membuat garam.
“Kenapa dengan masjid ini? Mengapa tak siap-siap? Lamakah sudah dibina??” Meloncat pertanyaan dari mulut saya.
“Masjid ini dibina agak kemudian dari Masjid Teluk Manak juga masjid bersejarah yang telah kita lawati semalam. Jika kita lihat buka-buku sejarah Pattani, seperti tulisan Ibrahim Shukri, A. Bangnara dan A.Teeuw & D.K.Wyatt, tiada kata sepakat mengenai tarikhnya dibina.” Jawabnya.
Menurutnya lagi, terdapat 3 sumber dari 3 jarak masa yang berlainan.Menariknya, dia mengutip kenyataan-kenyataan dan cerita tradisi sekitar Kerisek, Tanjung Lulok serta Tanjung Dato’, di mana nama sebenar masjid tersebut ialah Masjid Pintu Gerbang, yang dibina oleh ahli binaan berbangsa Cina. Nama lelaki Cina pembina itu ialah Lim Toh Kian atau Lim Tau Kin. Orang-orang Pattani menyebutnya dengan To’ Kian sahaja.
Mulanya beliau hanya bisnes di negeri Pattani. Tetapi apabila beliau melihat keindahan agama Islam yang dipimpin oleh raja-raja Melayu Pattani, dan rakyatnya yang hidup tenang serta damai, maka beliau memilih untuk memeluk agama Islam, serta terus membuat kesimpulan untuk tinggal tetap di sana. Menurut versi tersebut, hal ini berlaku sekitar zaman Raja Biru (1616-1624) masehi atau beberapa tahun selepasnya.
Walaupun beliau berbangsa Cina, beliau tetap ikut berbakti kepada agama dan negara tempat beliau berhijrah. Beliau ditugaskan untuk mengepalai membuat meriam-meriam kerajaan (Sila lihat buku ‘Sejarah Kerajaan Melayu Patani’ oleh Ibrahim Shukri). Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat serangan pertama Kerajaan Siam ke atas Negeri Pattani pada tahun 1603.
“Maknanya…” Saya memberi komen. “Mungkin kerajaan Pattani pada masa itu telah mempelajari dan menggunakan teknologi senjata dari Negeri China. Mungkin To’ Kian ini jadi perantaranya.. samada To’Kian agen kerajaan Pattani ke Cina atau sebaliknya..”
Kawan saya Ustaz ini bercerita lagi, “Terdapat 3 laras meriam telah disiapkan. 2 laras meriam besar bernama ‘Seri Negara’ dan ‘Seri Patani’ berukuran 3 depa, 1 hasta dan 2 inci panjang. Satu lagi bernama ‘Mahalela’ berukuran kecil 5 hasta dan 1 jengkal sahaja. Tetapi malangnya pada tahun 1785, Patani kalah dalam peperangan dengan kerajaan Siam, meriam-meriam itu dirampas dan di bawa ke Bangkok. Satu darinya jatuh di Kuala Patani sewaktu nak diangkat naik ke kapal, satu lagi hilang entah ke mana.. Dan yang bernama ‘Seri Patani’ itu dipamerkan di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan Thai di Bangkok hingga sekarang.”
“Tempat membuat dan menempa kerja-kerja menuang meriam-meriam itu kini disebut Kampung Tuang Bedil... tepi kampung saya!” Kata kawan ustaz yang sekali datang bersama-sama kami.“Kesan tapak masih boleh dilihat. Tanah sekitarnya menjadi hitam, oleh sisa-sisa tahi besi dan tembaga yang terkumpul mendak atau mendap di situ. Tidak banyak rumput tumbuh. Kalau ada masa, jom kita pergi lihat lepas ni. Nak ke??”
“Insya Allah, kalau sempat!”
Kini, Masjid Kerisek tetap tersergam kukuh di hadapan kami. Walaupun ia terbuat dari batu-batu pejal yang nampak lama dan usang. Tidak berbumbung tetap pula. Macam sengaja dibiarkan tidak siap. Mungkinkah kerajaan yang bukan Islam di sini, tidak minat untuk membantu menyiapnya? Kalaupun begitu takkanlah penduduk Islam di sini tak mampu membuat dan menyiapnya? Sedangkan masjid-masjid lain di sini boleh pula disiapkan? Apakah misteri di balik kisah ini??
Kami masuk ke masjid itu dan bersembahyang sunat. Lepas itu…
“Maaf Ustaz!” Saya masih tak puas hati lagi. “Pertanyaan saya tadi ustaz masih belum jawab-jawab. Mengapa masjid ini masih tidak siap-siap??”
“Oo.. Tadi, masih belum selesai lagi ceritanya!” Katanya. Dia mengajak kami arah ke barat masjid tersebut. Jarinya menunjukkan betul-betul di luar perkarangan masjid. Terdapat ramai pelancung Cina sedang berkerumun melihat kuil mereka. “Tuan Aji lihat tu! Di situ terdapat sebuah kuil bernama ‘Tok Pek Kong Mek’… milik bangsa Cina.”
Membuat saya lagi tercengang. Apa kena mengena kuil itu dengan Masjid Kerisek yang terletak sebelah menyebelah ini??
“To’ Kian pembina masjid ini, mempunyai seorang adik perempuan yang sangat disayanginya, tapi terpaksa ditinggalkan di negeri China. Namanya Lim Kou Niu. Beberapa lama kemudian kerana abangnya tidak pulang-pulang, adiknya merasa terpanggil dan datang ke Pattani dengan harapan yang sungguh besar.Harapan untuk mengajak abangnya pulang ke pangkal jalan, pulang ke negeri China.” Terang Ustaz itu dengan nada yang agak sedih.
Suasana menjadi hening bening seketika..
“Apa hendak dikata, adiknya tentu tidak faham, kalau seseorang itu sudah mendapat kelazatan iman dalam Islam, dan hendak kembali kepada tidak beriman, seolah-olah memaksa beliau meminum racun berbisa yang membunuh... Tak usah pujuklah, orang yang sudah menemui cahaya terang berpetunjuk, tentu tidak akan kembali sesat ke jalan gelap.”
“Kalau bertemu antara dua cinta yang tidak dapat dibelah bahagi, terpaksa pilih satu antara dua, sudah tentu beliau pilih cinta yang kekal iaitu kepada Pencipta rasa cinta itu sendiri!” Saya pula menambah perencah. Macam tambah budu kalau sedang makan nasi..
Begitu kecewa adiknya, harapan yang tinggi menggunung telah jatuh berderai berkecai relai, bagai kaca nipis dihempap batu berat. Dia terus mengambil keputusan gopoh, dengan menggantung diri di pokok ketereh (pokok gajus) di tepi Tasik Tanjung Lulok, kira-kira 2 kilometer dari situ. Kasihan! Jelas Ustaz itu lagi. Macam heroin filem Hindustan, akhirnya dia dihormati dan dimuliakan sebagai tokoh yang sanggup mati mempertahankan keyakinannya, oleh orang-orang Cina Pattani waktu itu.
Kerana terlampau cinta kepadanya, orang-orang Cina mengukir wajah Lim Kou Niu di batang ketereh tersebut untuk dipuja, disembah dan dikuilkan dalam upacara agama mereka. Malangnya, kerana kawasan itu selalu terendam dan terhakis kerana air pasang, kuil itu dipindahkan di sebelah Masjid Kerisek yang dibina oleh abangnya. Jelas Ustaz itu lagi. “Itulah kuilnya sekarang, tidak putus-putus orang-orang Cina mengunjunginya.”
Saya masih berfikir-fikir lagi. Saya masih belum dapat jawapan yang saya tanya tadi.
Ustaz itu mungkin dapat membaca riak fikir saya. Katanya, “Jawapan ini adalah sebuah teka-teki yang saya hadiahkan kepada Tuan Aji sebagai ole-ole dari Pattani… Kalau Tuan Aji masih tak dapat jawab juga, bila sampai di Malaysia sila hubungi saya lagi!!”
Lepas pulang ke Malaysia, saya terus lupa memikirnya.
Beberapa tahun kemudian hingga sebentar tadi, bila saya ingin menulis tentang Hang Tuah, sebagai lanjutan dari tulisan lepas, dan bila Ustaz itu menelefon saya mengorek balik kisah-kisah lama bersamanya, baru saya dapat jawapan tersebut. Apa jawapannya???
Tiba-tiba, telefon saya menjerit lagi.. dari Ustaz itu.
“Ooo, maaf. Talian tadi terputus sebab lama sangat duduk fikir nak jawab soalan Ustaz…”
“Takpe. Tapi sekarang baru saya ingat nak tanya, sudah ke Tuan Aji dapat jawaban teka-teki ole-ole dari Pattani yang saya hadiahkan beberapa tahun dulu? Kalau dah dapat, apa jawabnya?”
“Sudah! Ustaz cuba lihat dalam tulisan ini nanti. Bolehjadi besok akan tersiar. Ataupun lawati blog saya (ibnuhasyim.blogspot.com) terus, banyak lagi tulisan-tulisan lain di situ…”
“Bagaimana pula soalan yang saya tanya tadi mengenai Masjid Cina?”
“Saya akan simpan sebagai membalas ole-ole yang Ustaz beri pada saya dulu. Tapi tak lama sangat. Saya akan jawab dalam siri tulisan selanjutnya, sikit hari lagi!”
Sekarang baru saya terfikir mengapa Ustaz itu tidak menjawab spontan mengenai misteri Masjid Kerisek tak siap-siap yang saya tanya itu? Mungkinkah secara halus dia nak latih saya berfikir, mengikuti perkembangan semasa dan melihat kemelut Islam di sana? Mungkin juga dia tidak mahu dituduh menghasut pelancung kerana jawapan sebenarnya agak negatif?
Apa jawapan negatif itu?
Saya fakir-fikir lagi, mungkin ada golongan tertentu yang mahu pembinaan Masjid Kerisek itu tidak siap-siap, kerana hendak memberi laluan kepada berkembang, membesar dan membangunnya kuil Tok Pek Kong Mek itu.Tok pek kong yang dulunya tiada, kemudiannya ada tetapi terlalu kecil, kini sudah hampir menyamai dan menandingi masjid yang di sebelahnya.
Kisah 2 beradik, yang 1 bangsa tapi menganut 2 fahaman dan bertembung di 1 tempat. Datang 1 golongan menyokong pihak adiknya, yang menjadi lambang kekuatan kerajaan sefahamannya. Bila kekuatan yang satu lagi ingin naik juga, ianya perlu dihadang dan dihalang. Mungkin itukah penyebab berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek tempoh hari??
Kalau di peringkat antarabangsa, seperti golongan-golongan yang memusnahkan, menyekat pembangunan Negara Palestin dan jiran-jirannya, dengan membiarkan, menyokong leluasanya negara haram Israel Yahudi bangsat itu, supaya membangun menjadi kuasa besar atau samseng yang mengacau dunia hari ini.
Mungkinkah jawapan itu juga sama seperti jawapan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu apabila berlaku cubaan membongkar mengenai kecinaan seorang Hang Tuah atau nama asalnya Hang Too Ah seperti yang saya sebutkan mengenai Masjid Cina pada keluaran lepas? Mereka cuba sekat perkembangan kajian tersebut, dengan membiarkan atau membajai perkembangan asabiah kebangsaan mereka, walaupun mereka sedar perbuatan tersebut merugikan agama mereka, yaitu Islam itu sendiri??? Wallahu aklam. Ikuti siri Masjid Cina selanjutnya.
Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.come-mail: ibnuhasyim@gmail.com13 Mei 07
TERTARIK saya dengan kenyataan Mohd Ridhuan Tee Abdullah, sahabat lama saya yang sudah puluhan tahun tidak pernah bertemu, walaupun saya ada juga mengikuti perkembangannya di tv dan media-media masa lainnya. Entah beliau ingat saya lagi atau tidak, tak tahulah.
Kenyataannya dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, membangkitkan soal isu masjid Cina yang menurutnya ‘sengaja tidak mahu difahami dengan jelas’. Saya pun rasa begitu… Menurutnya lagi, mengapa hanya tidak sampai 1% dari orang-orang Cina di Malaysia yang memeluk agama Islam? Sebab cara kita ‘menjual’ Islam itu terlalu bersifat perkauman, kemelayuan atau kearaban. Sehingga Islam tidak dianggap sebagai agama universal yang bersifat sejagat, tetapi hanya berlegar sekitar soal bangsa dan bahasa. Itu kata beliau dari seorang yang berbangsa Cina..
Pada saya, kerana sifat kebangsaan dan asabiah yang tebal itu, orang Melayu seolah-olah lupa di mana banyak jasa-jasa orang Cina dalam menolong dan menyelamatkan orang Melayu tidak diketengahkan dalam catatan sejarah negara ini. Itu pandangan saya dari seorang yang kebetulan berbangsa Melayu, dan tidak pernah pun meminta dilahirkan sebagai bangsa Melayu..
Saya cuba-cuba ingatkan kembali perbualan saya sewaktu mengikuti rombongan kajian mengenai orang Cina Muslim di Pulau Ketam, dekat pelabuhan Kelang puluhan tahun yang lalu…
Bot yang kami tumpangi itu membawa sarat penumpang dalam perjalanan beberapa jam merentasi teluk dan selat. Sesampainya di pelabuhan Pulau Ketam itu, kami turun. Kami lihat seakan-akan tiada orang Melayu seorang pun tinggal di sana, walaupun sebenarnya ada, cuma pekerja-pekerja kerajaan atau agensi-agensi tertentu sahaja.
“As-salamu ‘alaikum?” Suara orang memberi salam.
Sepatutnya kami memberinya salam terlebih dahulu, tapi kami tak sangka beliau yang berpakaian seperti orang Cina biasa belum Islam, rupanya seorang yang telah menganut Islam. Lepas jawab salam, beliau dan isterinya menyambut kami, membawa kami ke surau, yang beliau sendiri sebagai tok siaknya… Dan petang hingga malamnya, beliau juga yang berniaga makanan berhampiran depansurau itu. Pelanggannya tidak ramai yang Muslim.
“Sebenarnya kita tidak perlu terkejut…” Kata seorang ustaz yang ikutserta dalam rombongan kami itu. “Jumlah orang Cina Islam di negeri China lebih ramai dari seluruh penduduk Malaysia termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain dalam negara ini. Keturunan mereka menganut Islam lebih dulu dari kita. Mungkin waktu itu, bangsa kita masih menyembah kayu dan batu lagi (berfaham anamisme atau Hindu). Bangsa mereka lebih dulu memilih cara hidup Islam, atau cara hidup ‘tundukpatuh’, atau cara hidup ‘selamat’ dari bangsa kita yang jauh ketinggalan atau mundur waktu itu ...”
Kami saling berkenalan dan bersalaman. Tidak macam orang Arab berkenalan dan berpelukan. Nama Islam beliau adalah Adam bin Abdullah.
“Nabi Adam AS adalah manusia pertama yang tunduk patuh kepada Allah SWT turun menyambung zuriatnya di muka bumi… Apakah anda juga orang Cina pertama menganut agama tunduk patuh yang juga ingin menyambung zuriat di Pulau Ketam ini??” Saya mengacah.
“Oo. Tidak. Saya bukan orang Cina pertama yang menganut Islam di sini, ramai lagi.” Katanya merendah diri. “Tapi saya yakin, saya menganut cara hidup yang selamat. Kerana Islam itu adalah sejahtera atau selamat, begitu juga ada yang mengertikan tunduk patuh atau menyerah bulat-bulat pada Allah. Saya berazam nak selamatkan bangsa saya, keluarga saya dan generasi saya dari durjana dunia dan neraka Jahannam di akhirat.”
“Sebenarnya datuk nenek anda, telah banyak menyelamatkan bangsa kami, bangsa Melayu, dengan mengislamkan kami …”
Beliau macam terkejut. Kerana waktu itu, selalunya orang Melayu kalau sebut fasal masuk Islam, memang dikaitkan dengan ‘masuk Melayu’. Seolah-olah bangsa Melayu lebih hebat dari bangsa Cina dalam menerima agama Islam. Bila masuk Islam disuruh ‘bin atau binti’kan dengan Abdullah.. Bererti hilanglah kesinambungan keturunan mereka yang sangat-sangat mereka pelihara. Terasa mereka terpaksa meninggal budaya asal mereka. Lebih-lebih lagi bila berkahwin dengan gadis-gadis Melayu dan mendapat taraf ‘bumiputera’.
Kalau mereka masuk Islam, mereka terpaksa meninggalkan tamaddun mereka yang begitu lama, agung dan tinggi, dengan menganut tamaddun Melayu yang amat baru berbanding dengan ketuaan tamaddun asal mereka. Tidak semua mereka yang sanggup begitu. Ramai sudah yang masuk Islam telah hilang nama, keturunan dan budaya mereka ditelan oleh budaya Melayu.
Pada hal Islam tak suruh begitu. Tidak semua budaya mereka tidak baik seperti juga budaya Melayu, tidak semuanya baik. Cuba anda bayangkan, kalau ada orang Melayu hendak masuk Islam (seperti Parameswara raja Melaka dulu), tiba-tiba disuruh peluk sekali dengan budaya Cina yang belum tentu sesuai dengan Islam. Mahukah anda? Ini satu pengkhianatan besar dalam berdakwah.
“Mengapa encik sebut datuk nenek kami berbangsa Cina tolong selamatkan datuk nenek encik orang Melayu??” Adam macam hairan, bolehjadi belum pernah dengar kata-kata macam itu.
“Kalau nak dakwahpun, jangan sampai jatuhkan bangsa sendiri…?” Seorang anggota rombongan yang hadir bersama-sama kami,menyindir perlahan kata-kata saya itu, seolah-olah tidak mahu didengari oleh Adam.
“Islam itu adalah jalan hidup yang selamat. Pembawa atau penyampai agama tersebut kepada kita boleh disebut penyelamat, atau penolong yang beritahu kita supaya selamat. Bangsa apakah yang baik hati pembawa Islam di rantau ini, yang telah menyelamatkan bangsa Melayu dari sesat di dunia dan di akhirat??”
“Ada tiga!” Jawab ustaz itu, sekadar merancakkan perbincangan. “Iaitu bangsa Arab dan Parsi, bangsa India serta yang ketiganya bangsa Cina.”
“Ya, kajian-kajian sejarah melalui batu bersurat dan sebagainya, telah banyak membuktikan di mana orang-orang Cina turut berperanan menyelamatkan bangsa Melayu dari penjajahan aqidah yang kacau berserabut kepada aqidah Islam yang Esa dan Tunggal.” Saya terus menjelaskan. Dan seterusnya…
Bukan itu saja, menurut buku ‘The Muslim in China’, tulisan seorang tokoh dakwah Islam dari Negeri China, Haji Ibrahim Tien Ying Ma telah mencatatkan lapan kali pelayaran Laksamana Muhammad Cheng Ho dari benua China.
Contohnya pelayaran pertama (Jun 1405 hingga September 1407) selama 2 tahun. Dengan sebuah armada besar Muhammad Cheng Ho menyusuri pantai menuju Champa, sebuah pesisir penduduk Islam di Pantai Vietnam. Beliau terus belayar arah timur, menyusuri pesisiran selatan Kalimantan dan pesisiran Jawa (semasa akhir Kerajaan Majapahit). Terus menyusuri pesisiran barat dan timur Sumatera menuju Melaka.
Di Melaka, beliau menempatkan pasukannya di suatu kawasan berbukit, yang akhirnya disebut Bukit Cina atau Chinese Hill. Beliau dan pengikutnya terus menziarahi Raja Melaka, iaitu Parameswara yang masih beragama Hindu. Disampaikan hadiah terdiri dari emas, wang Tiongkok, sutera porsolen dan beberapa payung kuning. (Tradisi payung kuning bagi raja-raja Melayu pun bermula dari sejak itu..)
Melaka waktu itu di bawah takluk Siam dan terpaksa membayar ufti tahunan berupa 40 unit pohon emas. Menurut catatan Ma Huan seorang jurutulis yang ikutserta dalam pelayaran tersebut mengatakan, di mana ‘Parameswara sebelumnya cuma bertaraf kepala suku atau ketua kaum sahaja’. Oleh itu membayar ufti sebegitu banyak adalah suatu penindasan dari sebuah kuasa penjajah (kerajaan Siam) waktu itu.
Berdasarkan ikataan persahabatan dengan pemikiran-pemikiran Islam agama anutannya, Muhammad Cheng Ho telah mengutus surat kepada kerajaan Siam supaya ufti dihentikan. Tandanya Laksamana Muhammad Cheng Ho dengan kekuatan kerajaannya, telah berjaya membebaskan dan menyelamatkan kerajaan Melayu Melaka dari penjajahan kerajaan Siam, dengan tanpa tumpah darah setitik pun.
Bukan itu sahaja, bahkan kunjungan muhibbah Muhammad Cheng Ho itu berjaya membangunkan hubungan politik, diplomatik dan sosial secara damai dengan pemerintah berbagai negeri di Laut Selatan. (Parameswara setelah memeluk Islam dikahwinkan dengan Puteri Hang Li Po dari negeri China.) Ini amat sesuai dengan kehendak Islam yang membawa perdamaian dan keselamatan.
Hal ini mungkin menjadi salah satu sebab mendorongkan ahli-ahli bisnes Cina mengalir secara besar-besaran ke negeri-negeri Asia Tenggara waktu itu. Sehingga dikatakan ramai penduduk-penduduk tertentu di Thailand, Melaka, Indonesia dan Filipina, kerana terlampau sayangkan beliau menyebabkan mereka membangunkan kuil atau shrine bagi menghormati ‘San Pao Kung’ atau ‘Sam Po Bo’ iaitu gelaran kehormat kepada Muhammad Cheng Ho.
Berbeza dengan pengembara-pengembara barat lain seperti Christopher Columbus dan Vasco Da Gama, mereka merompak dan membakar rumah penduduk tempatan yang dikunjunginya. Bagitu juga lanun-lanun barat lain yang menangkap penduduk-penduduk tempatan Afrika untuk dijual sebagai hamba abdi.
“Di situlah hebatnya misi dakwah dan penyelamat yang dibawa oleh peribadi Islam seorang Laksamana dari sebuah kerajaan super power bahagian timur waktu itu.” Kata saya.
“Bukan macam Amerika sekarang..” Ustaz itu menambah dengan geram. “Konon untuk mengawal keamanan dunia sanggup menyerang dan memusnahkan negara-negara kecil seperti Irak, Afghanistan, Somalia dan beberapa lagi…membunuh jutaan penduduk negara-negara tersebut. Cuba menyekatnegara lain membuat pengkayaan uranium untuk pembangunan, sedangkan Amerika dan Israel boleh! Sehingga ada pula negara jiran kita yang bersekongkol dengan tindakan tersebut.”
Menurut Prof Dr Hamka dalam bukunya ‘Sejarah Umat Islam’, di mana Muhammad Shah (nama Islam kepada Parameswara) sendiri pergi mengadap Maharaja Cina bersama anak isterinya berserta 450 orang pengiring. Beliau disambut dengan penuh kebesaran, dihadiahkan dengan emas (100 tahil), wang kertas (40,000), wang perak (2,600), kain cita sutera (200), sutera (1,000 kayu), kain sutera dilekat dengan emas (2 kayu) dan beberapa orang ahli pertukangan beragama Islam.
Tukang-tukang inilah yang turut membantu pembangunan masjid-masjid di negeri Melaka, sehingga boleh dilihat unsur-unsur kecinaan senibina di masjid-masjid tertuanya.
“Ya. Lihat Masjid Kampung Hulu, Masjid Tengkera dan lain-lain, itu sudah Masjid Cina.. Cuma pihak-pihak tertentu perlu me‘makmur’kan masjid tersebut supaya menepati konsep Masjid Cina seperti yang dikehendaki. Itu sekurang-kurangnya, kalau nak buat Masjid Cina… Tapi, jika nak buat Masjid Cina yang baru di KL ke, Ipoh ke, itu lagi baik!!”
“Pelik.. Sepatutnya untuk mengenang jasa-jasa orang Cina menyelamatkan bangsa Melayu, maka hendaklah dibina Masjid Cina.. antara salah satu dari caranya.” Ustaz itu menyampuk. “Ini tidak.. Mereka bangunkan kembali perkampungan dan budaya bekas penjajah Portugis, yang melahirkan bangsa yang tak tentu identiti. Anak-anak kacukan yang dilahirkan oleh ibu-ibu Melayu, tetapi merasakan diri macam Portugis, walaupun kulitnya agak gelap. Tidak suka pula berbahasa dan berbudaya Melayu walaupun tinggal di negara ini. Beragama bukan macam agama orang Melayu masakini. Mereka pilih Kristian. Kita pun tidak tahu bagaimana pernikahan ibu-ibu mereka dengan orang bukan Islam, adakah mereka anak luar nikah? Ataupun mereka adalah anak mangsa-mangsa rogol puak penjajah??….”
Tiba-tiba bahu ustaz itu ditepuk-tepuk oleh sahabat saya yang satu lagi. “Sabar ustaz! Jangan emosi sangat!!” Katanya.
“Tidak, saya tidak emosi. Cuma saya merasa sedih kerana ketelusan melihat sejarah telah dikaburi oleh asap-asap sampah perkauaman. (Mungkin ini maksud ‘sengaja tidak mahu difahami dengan jelas’ oleh Mohd Ridhuan Tee).” Kata ustaz itu. “Pernah pada awal tahun 90an ada usaha-usaha membongkar kesahihan Melayunya bangsa Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu, tapi dihalang oleh pihak-pihak tertentu. Kerana ada hipotesis menyebutkan Hang Tuah dan rakan-rakannya adalah berbangsa Cina.”
“Ya, sayapun ada dengar juga.” Saya menjelaskan. “Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po yang dihadiahkan melalui perkahwinan dengan Sultan Melaka… ”
Ya. Sila lihat kertas kerja Mohd Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM bertajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kamasyarakatan.’ Juga ada dikaitkan dengan tokoh-tokoh sejarah seperti Prof Khoo Kay Kim, Dr Tan Ooi Chin dan pengkaji-pengkaji di Hong Kong mengenai sejarah Kerajaan Melaka berdasarkan sumber-sumber Cina. Terakhir saya lihat tulisan dalam ‘Shahabudeenjalil. Blogspot.com’’.
“….Tapi bagi golongan-golongan yang fanatik asabiah, mereka rasa berita seperti itu patut dihentikan segera dan tak boleh dilanjutkan perbincangan. Kononnya kepahlawanan Hang Tuah sudah sebati dengan orang-orang Melayu, bahkan melibatkan maruah bangsa dan negara. Hang Tuah sebagai lambang orang Melayu yang tidak pernah derhaka pada rajanya.” Ustaz itu menambah. “Bahkan ada sebuah parti Melayu terbesar di negara ini yang memaparkan gambar besar dan kata-kata ‘Tak Melayu Hilang Di dunia’ sebagai slogan perjuangannya.”
“Oo.. Terima kasih semuanya, jom kita minum sikit!” Adam terus mengajak kami minum ringan, setelah kami puas berbincang.
Lepas itu beliau ajak kami berjalan-jalan tinjau sekitar kawasan tersebut. Akhirnya kami pun pulang dengan penuh kenangan dan pengajaran.
Beberapa tahun kemudian ustaz itu pergi lagi ziarah ke tempatnya, tapi Adam kawan kami itu sudah tiada. Rupanya beliau sudah pindah ke kawasan Melayu, bercampur dengan Melayu di Selangor.
Maka tinggallah Pulau Ketam yang kegiatan dakwahnya pun macam perjalanan seekor ketam, di kalangan bangsa yang suka makan ketam.
PADA 23 Ogos 1951, adalah hari perasmian penubuhan Persatuan Ulama Se Malaya di Bangunan Kelab Melayu Bagan, Butterworth. Setelah masing-masing setuju penubuhannya, undang-undang tubuhpun dibahas untuk disahkan.
Seorang perwakilan dari Persatuan Al-Ihya Al-Syarif, Gunung Semanggul Perak, membahas nama yang tertera di rangka undang-undang tubuh tersebut. Beliau adalah Ustaz Uthman Hamzah bekas anggota Hizbul Muslimin dahulu. Beliau mencadangkan nama Persatuan Ulama Se Malaya dipinda kepada Persatuan Islam Se Malaya, atau sebutan ringkasnya PAS.
Alasannya, kerana ahli-ahlinya terbuka kepada umum, yakni orang-orang Islam yang akil baligh (tidak semestinya ulama) dan beberapa alasan lain. Beliau, meragui penyertaan ulama yang kurang memuaskan. Cadangannya tidak diterima oleh jawatankuasa penaja dan Puan Dasimah Dasir yang mewakili Kaum Ibu UMNO, terus menjadi perbahasan. Pengerusi waktu itu adalah Haji Mohd Ghazali Abdullah, yang menghadkan kepada tiga nama sahaja untuk diundi.
Iaitu :
i.Persatuan Islam Se Malaya (PAS) yang mendapat undi sebulat suara.
ii.Persatuan Ulama Se Malaya.
iii.Persatuan Muslimin Tanahair (PERMATA) atau Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA).
Maka PAS ditubuhkan hasil dari muktamar tersebut. Alamat pejabatnya waktu itu: No 721, Kepala Batas, Seberang Prai.
Tujuan-tujuan awalnya ialah:
1.Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
2.Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
3.Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
4.Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
5.
‘Pegawai-pegawai persatuan’ atau pimpinannya terdiri dari;
i.Seorang Yang Di Pertua.
ii.Seorang Timbalan Yang Di Pertua.
iii.3 orang Naib Yang Di Pertua.
iv.Seorang Setiausaha Agung.
v.Seorang Bendahari
vi.12 Ahli Jawatankuasa. Mereka hendaklah dipilih dan dilantik dalam mesyuarat agung, kecuali 1/3 dari ahli jawatankuasa hendaklah dilantik oleh Yang Di Pertua.
Jawatan mereka hanya setahun, iaitu hingga bertemu mesyuarat agung tahun hadapan. Tugas-tugas dan kewajipan juga terdapat dalam undang-undang tubuh Persatuan Islam Se Malaya tersebut.
Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
1.Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
2.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
3.Tuan Haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
4.Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
5.Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan).
6.Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
7.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Bendahari.
8.
Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada:
1.Tuan Haji Yahya Joned
2.Tuan Haji Uthman Talib
3.Tuan Haji Mohammad Nor
4.Tuan Haji Zabidi Ali
5.Tuan Haji Abdul Wahab
6.Tuan Haji Assaiya
7.Muhammad Mahzub
8.Tuan Haji Ahmad Nadur.
Permohonan pendaftarannya dibuat di pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaya, di Pulau Pinang. Apabila hampir pilihan raya kebangsaan 1955, barulah kelulusannya didapati, iaitu pada 31 Mei 1955. Registration no 773 (Penang). Rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.
Perkataan ‘Siasah’ dalam undang-undang tubuh atau dasar PAS yang tercatat pada tujuan-tujuan ia ditubuhkan sudah menjadi perkataan agung dan berkuasa. Berkuasa membebaskan PAS sebagai pertubuhan yang berdiri sendiri dan mempunyai power. Berkuasa memisahkan parti Islam itu dari belenggu pemimpin-pemimpin UMNO yang memisahkan politik dengan agama Islam. Berkuasa tidak tunduk dan berlutut di bawah pimpinan yang berfaham seperti penjajah di negara ini.
Mereka yang berfaham sempit tentang agama, meletakkan atau menendang agama ke sudut ibadat khususiah semata-mata. Beragama hanya di surau-surau, masjid, pondok pengajian tidak di parlimen, atau mercu pemerintahan dan kekuasaan. Di katakana perjuangan PAS adalah kesinambungan dari perjuangan Rasul dan Nabi-nabi, adalah kerana perjuangan itu meletakkan hukum Allah SWT ditempat yang paling tinggi sekali di atas kekuasaan yang lain.
Allah dan hukumNya sahaja yang Maha Besar, yang lain semuanya kecil belaka. Al-Qur’an dan hukumNya saja yang Maha Tinggi, perlembagaan lain yang bercanggah dengannya, secara tersendiri terbatal dan rendah belaka. Rasulullah SAW meletakkan Al-Qur’an di mercu perlembagaan Madinah mengatasi hukum-hukum jahiliah lain, termasuk hukum-hukum Yahudi dan Kristen.
Dikatakan juga ajaran pemisahan agama dengan politik yang ketinggalan zaman sejak 2,000 tahun dahulu, telah dibawa semula oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu adalah berasal dari ajaran Kristen. Ini disebut dalam Injil Mathew 21/22 berbunyi:
“Biarkan hak (urusan) maharaja bagi maharaja, dan hak Allah bagi Allah.”
Bagi agama Kristen, hak atau urusan maharaja dan pemerintah tidak boleh dicampuradukkan, atau disamakan dengan hak Allah atau hukum-hukum agama. Maka hampir seluruh pelusuk dunia, masyarakat umat yang dikatakan Islam telah diracuni dan diresapi oleh wabak sekularisme atau faham ‘agama lain politik lain’ atau ‘agama suku politik suku’ ini. Faham tigasuku (tak lengkap) ini, membuat mereka keliru makna agama yang sebenarnya.
Makna ‘agama’ sebenarnya berasal dari bahasa Arab iaitu ‘ad-deen’. Semata-mata dari segi bahasa ertinya;
“Penyembahan, pengabdian kepada Allah atau kepada kekuasaan yang Agung.” – Jabran Masud, Al-Raaid, Darul malaiien, Beirut, ms 688.
Dari segi istilah pula bermaksud;
“Pegangan yang lengkap sempurana(complete), merangkumi jurusan-jurusan ibadat, panduan hidup, dan lain-lain perkara yang boleh menjamin wujudnya perkara-perkara tersebut.” – Said Hawwa, Al-Islam Juzuk 1 ms 13.
‘Pegangan’ yang dimaksudkan di sini ialah aqidah. Aqidah bermaksud apa yang termasuk di bawahnya; Beriman dengan Allah, malaikat, kitab, rasul, hari kemudian dan percaya kepada qadak dan qadar.
‘Ibadat’ yang disebutkan di atas pula, ialah yang termasuk di bawahnya: Menyebutkan dua kalimah syahadat, sembahyang, puasa, zakat dan tunaikan haji di Makkah.
‘Panduan Hidup’ atau manhaj hayat pula, adalah termasuk di bawahnya: Sistem politik, sistem ekonomi, sistem ketenteraan, sistem pelajaran, sistem pembentukan akhlak dan sistem pergaulan.
‘Lain-lain Perkara’ atau muaidad adalah termasuk di bawahnya; Berjihad, melakukan perkara kebaikan (maaruf), mencegah perkara jahat (mungkar), hukuman dan siksaan.
Jadi, makna agama itu amatlah luas ruang lingkupnya, meliputi seluruh cara dan bidang kehidupan atau way of lifeyang lengkap sempurna, bermula dengan Kalimah Agung Tertinggi ‘La Ilaha Illallah’ yang sebesar-besarnya, hingga sekecil-kecilnya, membuang duri halus bagi memudahkan orang lalulalang di jalan. Apa lagi masalah kepimpinan, kenegaraan, pemerintahan, politik atau siasah??
Mari kita lihat apa makna siasah atau politik…
Menurut Ahmad Atiatullah di dalam ‘Al-Kamus Al-Siasi’ Darul Nahdhat Al-Arabiah, halaman 661. Siasah ertinya;
“Hal ehwal pentadbiran Negara atau usaha kea rah mendapatkan kekuasaan untuk memerintah.”
Dalam kefahaman yang lain, siasah bererti;
“Mengurus pemimpin umat dan mengambil berat (bertanggung jawab) mengenai urusan mereka.” - Jabran Masud, Al-Raaid, Darul Malaiien, Beirut, ms 795.
Jadi, perkataan ‘siasah’ dalam undang-undang tubuh PAS yang diluluskan di dalam muktamar tersebut, bukan sahaja satu siasah untuk berpisah dengan pertubuhan politik UMNO yang tidak Islamik itu, tetapi kesannya adalah sebagai suatu siasah pengumuman dan pengisytiharan kepada rakyat Malaya waktu itu, kepada yang Islam atau bukan Islam, yang faham Islam atau tidak faham Islam, yang sekularisme atau materialisme, bahawa di dalam Islam itu ada politik.
Lebih-lebih lagi apabila PAS menyertai pertandingan dalam pilihan raya umum yang pertama tahun 1955 sebelum merdeka. Sehingga berkatalah penulis-penulis politik.
“Sebuah parti politik bernama Persatuan Islam Se Malaya telah muncul.” - N.J. Funston.
“Ia adalah parti politik Islam yang kedua tertubuh dalam sejarah politik negara.” – Amaluddin Darus.
Malang bagi pemimpin-pemimpin yang buta siasah, menganggap siasah hanya barang lapuk dari agama yang bukan dari politik mereka. Tapi mereka lalai, akhirnya mereka mula dihantui atau ditakuti oleh bayang-bayang siasah yang mula bersiasah…
2.Jabran Masud, Al-Raaid, Darul malaiien, Beirut, ms 688.
3.N.J. Funston -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.
4.Said Hawwa, Al-Islam Juzuk 1 ms 13
5.Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.
Tambahan l:
Sheikh Abdullah Fahim: Ketua Dewan Ulama PAS Pertama.
Dilulus terbit pada Tuesday, July 01 @ 23:30:21 MYT oleh reformis. Artikel Pilihan Oleh hanahumaira. Mohd Fadli Ghani, Jabatan Arkib PAS.
KEPULANGAN Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini. Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an. Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab.
Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921. Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.
Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah . Perkataan al-Wathaniyah atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya. Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami).
Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed. Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.
Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan.
Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan.
Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad.
Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga. Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain.
Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.
Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim.
Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di Arabic School, Kepala Batas iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim.
Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.- tajdid.
Tambahan ll:
Biodata Haji Abdullah Fahim
TUAN Guru Haji Abdullah bin Ibrahim lebih terkenal dengan nama Haji Abdullah Pak Him merupakan seorang tokoh ulama yang banyak memberi jasa kepada pekembangan Islam dan politik di Seberang Perai. Tuan Guru Haji Abdullah telah dilahirkan di Makkah kira-kira 1869. Ayahnya Haji Ibrahim bin Tahir yang berasal di Patani ialah seorang guru al-Quran di Makkah. Haji Ibrahim mempunyai ramai murid di Makkah dari Malaysia, Indonesia dan Patani. Demikian dijelaskan oleh anaknya, Dato' Haji Ahmad Badawi.
Oleh kerana bapanya itu seorang ulama yang lama tinggal di Makkah, iaitu di Shi’b Ali, yang tidak jauh dari kaabah, maka anaknya Dato' Haji Ahmad Badawi telah berminat mendalami pelajaran agama dan al-Quran sejak dari kecilnya lagi. Haji Abdullah adalah ahli UMNO yang pertama di Seberang Perai, yang berdaftar di Johor kepada Dato’ Onn bin Jaafar. Beliau mengambil bahagian cergas dalam perjuangan untuk memerdekakan Malaya dan membuat ramalan bahawa tahun 1957 adalah perlu bagi Malaya mencapai kemerdekaan dan perjuangan yang sesungguhnya perlu dilancarkan. Sekolah Agama Kepala Batas yang ada sekarang telah didirikan oleh Haji Abdullah Pak Him pada tahun 1344 Hijriah dan beliau adalah orang yang pertama mengajar Hadis di situ.
Sekolah ini sekarang mempunyai dua bentuk pengajian iaitu umum (adami) dan berperaturan (nizami). Kini menampung seramai 1,500 orang murid. Sekolah ini berkembang pesat di bawah pengurusan anaknya, Dato' Haji Ahmad Badawi. Haji Abdullah Pak Him bukan sahaja mengembangkan Islam di Seberang Perai, tetapi beliau telah mengajar di Kuala Kangsar ketika pemerintahan Jepun di Malaysia. Semasa di Kuala Kangsar baginda Sultan Iskandar pernah berbincang dengannya dalam masalah Agama kerana baginda sangat berminat dalam hal Agama.
Beliau pernah menolak tawaran menjadi Syeikh al-Islam Kedah kerana bimbang meninggalkan sekolahnya yang sedang berkembang. Walau bagaimanapun setelah desakan yang sangat kuat oleh pihak berkuasa dan demi menjaga kedudukan Islam beliau terpaksa menerima jawatan Mufti yang pertama di Pulau Pinang setelah merdeka. Beliau menjadi Mufti selama 5 tahun. Kebolehan dan kepintaran Haji Abdullah Pak Him memang tidak dapat dinafikan, di samping seorang mufassir (ahli tafsir), ahli falak dan ahli hadis beliau juga seorang yang pintar dalam syair-syair arab. Semangat kemelayuan Haji Abdullah Pak Him sangat kuat.
Beliau membuat tindakan yang keras ke atas orang yang anti-Melayu. Beliau pernah menyerang dan meninggalkan suatu majlis yang cuba mengecil-ngecilkan orang Melayu. Beliau juga mengecam golongan yang cuba memecah-belahkan orang-orang Melayu dengan ajaran-ajaran selain dari Mazhab Syafie. Haji Abdullah Pak Him juga mengharapkan orang Islam tidak berselisih faham antara satu sama lain malah bersatupadu bagi mengukuhkan kedudukan.