Friday, August 24, 2007
Imbauan 3: Orang Harakah Tolong Saya
Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
“APA khabar anda yang hazir ke majlis makan malam ‘20 tahun Harakah’ hari tu??” Saya tanya kepada seorang bekas pengarang lama Harakah, kerana saya baru pulang dari Sarawak, tak dapat hazir ke majlis tersebut.
“Semuanya berjalan baik, Alhamdulillah. Cuma.. orang-orang yang lama betul, termasuk pengasas kerja-kerja awal Harakah masih belum dapat penghargaan lagi seperti Mohd Nakha’ie, Rahim Kassim, Yusuf Jalil, Wan Azman, Cikgu Sahak.. kecuali Haji Subky dan Pak Hussien Yaakob (Ibnu Muslim) antara yang dapat penghargaan pada hari itu.” Jawabnya. “Ya! Jasa orang-orang ini perlu dikenang, walaupun kadang-kadang ada di antara mereka yang mempunyai rekod sedikit titik hitam dalam perjuangan PAS dan Harakah.
“Bagaimana dengan Zulkifli Sulong?? Beliau juga orang lama yang bekerja semasa Nakha’ie jadi ketua Harakah lagi. Sekarang beliau juga termasuk bos di Harakah..” Saya tanya.
“Kenapa anda tanya begitu??”
“Kerana beliau pernah menolong saya. Suatu pertolongan yang amat berharga pada saya, entah beliau tahu atau tidak. Saya belum mengucapkan terima kasih lagi kepada beliau.”
“Tolong apa?”
“Panjang ceritanya..” Kata saya. “Kira-kira dalam tahun 90an, waktu itu kedai buku GG Edar (milik saya) terpaksa pindah dari bawah pejabat Harakah ke belakang lagi di Pekeliling Bussiness Centre, tempat Harakah bahagian iklan sekarang, yang masih di dalam kawasan Islamic City... Waktu itu saya sedang bercakap telefon dengan kawan saya. Antara perbualan saya..
‘Ya. Betul. Pihak FINAS telah merampas video ceramah pemimpin-pemimpin PAS yang saya jual puluhan banyaknya, di kedai bawah pejabat Harakah. Hal ini menyebabkan saya diseret ke mahkamah. Saya cuba berunding di luar mahkamah dengan pihak Finas, tapi ‘ini kes politik’, kata mereka, ‘kami tak boleh campur!’ Saya telah menyatakan dengan tegas di mahkamah, saya tidak bersalah. Saya mengaku tidak bersalah. Kini saya sedang berusaha menjadi peguam sendiri membela diri. Saya dah jumpa banyak pihak. Saya pun sudah membuat kesimpulan untuk sedia dan nekad masuk penjara kalau kalah, di mana kalau dendanya melebihi RM10,000 ke atas. Hanya setakat itu yang mampu saya bayar.’
Rupanya dengan tidak disedari perbualan saya telah didengari oleh seorang lelaki yang datang membeli buku-buku agama di kedai saya, untuk kesatuan kebajikan di jabatannya. Beliau bertanya, ‘benarkan apa yang anda sebutkan di telefon tadi?’ Saya jawab, ya. ‘Benarkah anda tidak mengaku salah?’ Juga saya jawab, ya.
‘Kalau begitu mungkin saya boleh tolong anda.’ Katanya. ‘Anda tulis surat kepada saya (beliau memberi nama dan alamat jabatannya), nyatakan dengan terperinci, detik-detik dan apa sebenarnya berlaku, yang penting motifnya adalah kerana politik parti, dan hantarkan kepada saya dengan segera.’
Saya laksanakan semuanya. Bahkan saya juga beristikharah, sembahyang hajat dan memohon Allah SWT berikan laluan yang baik pada saya. Mungkinkah pertolongan Allah sudah datang?? Tetapi kadang-kadang ada juga rasa ragu-ragu, benarkah orang yang saya tidak kenal ini nak bantu? Apa muslihatnya??
Akhirnya sampailah saya ke tarikh hari pembicaraan seterusnya. Malangnya dengan tidak disangka-sangka, saya sampai lambat kira-kira satu jam di mahkamah. Saya pergi ke bilik pembicaraan, semuanya sudah tiada. Saya bertanya pegawai berkenaan, katanya ‘pihak Finas telah menarik balik kes tersebut!’. Habis.. apa patut saya buat?? ‘Pulanglah.. kes awak sudah selesai, jelasnya.’
Alhamdulillah! Cukup mudah, kalau Allah SWT yang turun tangan.” Jawab saya kepada bekas pengarang Harakah yang di depan saya ini.
“Apa pula kena mengena dengan Zulkifli Sulong?”
“Melalui beliaulah orang itu datang kepada saya dan berlaku seperti yang berlaku.. Itulah jasa beliau pada saya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau.” Saya menjelaskan.
“Sebenarnya ramai yang tidak tahu cerita anda ini, termasuk saya. Mengapa anda tidak beritahu Harakah waktu itu? Kalau Harakah boleh bela keadilan kepada orang lain, kenapa kepada ahli sendiri tidak? Kenapa biarkan anda pertahankan diri bersendirian? Apalagi bila kes ini ada kaitan dengan perjuangan PAS? Apa bedanya kes anda dengan kes ‘Pak Din Hancur’ yang dapat liputan meluas dalam harakah? Mengapa kes anda langsung ramai orang tak tahu?”
“Pertanyaan seperti anda ini telahpun diajukan kepada pimpinan Harakah waktu itu, ada yang menjawab, ..mengenai hal ini, ia adalah special kes!.. ”
“..Special kes.. macam mana??” Lagi kuat dia bertanya.
“Oh.. Hal ini lagi panjang ceritanya. Saya akan jelaskan di waktu yang lain pula, insya Allah.”
Tunggu catatan santai Imbauan 4, berikutnya...
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 24-08-2007.
Sunday, August 19, 2007
Imbauan 2: Sebelum adanya Harakah..
Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI
LEPAS catatan santai ‘Harakah 20 Tahun’ saya tulis pada 15-08-07, kira-kira jam 10.30 malam saya dapat berita mengenai ayah saya sedang sakit telah meninggal dunia di kampung saya di Balik Pulau, Pulau Pinang. Saya terus pulang ke kampung se keluarga, waktu itu juga. Orang tua saya meninggal dalam umur 83 tahun. Nama sebenar ayah saya ialah Ustaz Hashim bin Sulaiman bin Bidin bin Icik bin Hanoi.
Agak lain sikit salsilah keluarga saya. Nama ibu saya adalah Fatimah binti Man bin Taib... setakat itu yang saya tahu. Ibu saya telahpun pergi mendahului beberapa tahun sebelumnya. Ibu saya dikatakan berasal dari Perlis, yang juga berasal dari Thailand. Melihat nama Icik dan Hanoi, ada kemungkinan, ayah saya juga berasal dari Thailand, Kemboja atau Vietnam. Itu sebab rupa anggota keluarga saya 13 beradik (satu meninggal semasa kecil) itu, tiada macam anak mami atau anak mamak, yang juga disebut nana tanjung.
Atau disebut juga Jawi Peranakan, iaitu anak yang lahir dari hasil perkahwinan lelaki berketurunan dari benua India atau Arab berkahwin dengan wanita Melayu tempatan, dikatakan cantik-cantik kerana hidungnya mancung bagaikan seludang kelapa. Ayah saya berpendidikan sekolah ‘pondok’ di Kubang Semang, Seberang Perai, dan jadi guru agama di sekolah agama rakyat Kampung Perlis Balik Pulau. Dia dikatakan terlibat dengan politik PAS, waktu itu menggunakan lambang ‘bulan bintang’, di bawa masuk oleh seorang yang bernama Omar Din di Balik Pulau.
Atas tekanan-tekanan parti pemerintah dia terpaksa berhenti atau diberhentikan mengajar. Dia berpindah pula ke Kampung Keling Teluk Bahang, mengajar di Madrasah Al-Masakin, yang memberi pengajaran agama kepada penduduk-penduduk nelayan miskin, terutamanya kepada golongan majoriti Jawi Peranakan di daerah tersebut. Di situlah saya dan keluarga belajar agama, hingga ada di kalangan kami yang berjaya melanjutkan ke sekolah Menengah Agama Al-Mashhor Pulau Pinang, terus ke Arab Saudi (King Abdul Aziz University), India dan Mesir.
Saya teringat bagaimana ayah saya mengajar murid-muridnya secara tradisional. Saya pernah disebat dengan rotan dari rumah saya (berhampiran madrasah tersebut) hingga ke dalam madrasah. Kanak-kanak nakal yang pernah dihantukkan sesama kepala-kepala mereka. Dan macam-macam hukuman.. seperti pesan ibubapa mereka kepada guru agama yang mengajar itu ‘hukumlah apa saja kepada anak kami, jangan sampai capek dan buta saja!’.
Tetapi, sekolah itu tidak bertahan lama, kerana mengutip yuran bulanan RM0.5 (50sen) pun amat sukar kepada anak-anak nelayan kecil yang hidupnya kais pagi makan pagi. Disebabkan kemiskinan, saya sendiri pernah menjadi penarik beca di bandaraya Pulau Pinang kerana hendak menyambung pelajaran sekolah sewaktu umur masih hujung belasan tahun. Kini di tempat madrasah itu, telah berdirinya Hotel Mutiara berhampiran pekan Teluk Bahang, setelah madrasah tersebut terbakar (mungkin dibakar) beberapa kali.
Mungkin atas asas didikan seperti itulah membuat jiwa saya cinta kepada perjuangan Islam. Pada awal tahun 1980an melalui kawan saya Mohd Shuib Osman, saya diperkenalkan menjadi ahli PAS dan menghantar borang PAS kepada Ustaz Othman Hamzah di pejabat agung PAS, Kuala Lumpur. Saya anggap Ustaz Uthman Hamzah dan isterinya Ustazah Hayati sebagai tempat rujuk bagaikan ibubapa saya sendiri, di perantauan. Kami sama-sama menubuhkan PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar (PAS Kawasan Bukit Bintang sekarang) yang saya dilantik sebagai Ketua Pemuda pertama, dan akhirnya menjadi Bendahari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Tidak ketinggalan juga kuliah pengajian pagi minggu di rumah Pak Yazid di Kampung Baru memainkan peranan penting dalam menarik ahli-ahli baru menyertai PAS. Waktu itu majlis-majlis usrah dan pengajian begitu mendapat sambutan dan bertumbuhan bagai cendawan di musim hujan. Begitu juga dengan perkembangan dakwah Darul Arqam, tetapi ianya kurang membantu perkembangan PAS. Waktu itu saya amat berbangga dapat berkenalan dengan Haji Subky Latif yang baru lepas menjadi calun PAS di Setapak, walaupun saya pernah kenalnya sudah lama melalui tulisan-tulisannya.
Akhirnya kami menjadi kawan, dan saya menerbit buku tulisannya bertajuk ‘PAS Masuk Lubuk Merbau’ yang mededahkan kisah pembunuhan Saudara Osman Talib beberapa bulan sebelum Peristiwa Berdarah di Memali, Kedah. Buku itu kemudiannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama risalah ‘Peristiwa Berdarah di Lubuk Merbau’ tulisan Suhaimi Said, peguam PAS waktu itu. Juga beberapa kaset bertajuk ‘Syahid Di Lubuk Merbau’ oleh …. saya tak ingat penceramhnya. ‘Syahid Di Tanjung Periuk’ dan ‘Syahid II Di Tanjung Periuk, kedua-duanya ceramah Abdul Kadir Jealani Indonesia.
Denda kesalahan memiliki dan menyimpannya adalah RM5,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Hal ini berlaku, sebelum bermulanya penerbitan Harakah walaupun yang berwarna merah atau hijau seperti yang disebut dalam catatan santai terdahulu. Dan banyaklah lagi buku yang telah saya terbitkan atas nama GG Edar, sebelum terbitnya Harakah, seperti ‘PAS 1951-1991 Tercabar dan Mencabar’, ‘ ISA Mengapa Perlu Dihapuskan? Kedua-dua tulisan A K Hidayah.
‘PAS: Tuntutan Kebangkitan Ummah’ Koleksi Ucapan Dasar PAS dari mula tubuh PAS (hasil pemberian koleksi Ustaz Uthman Hamzah). Buku Tulisan Mohd Nakha’ie Hj Ahmad seperti Fiqh Sirah 1 (menjadi teks usarah PAS), dan kira-kira puluhan buku-buku kecil politik Islam, mengenai Fatwa Peristiwa Memali dan sebagainya. Buku kisah penahanan Suhami Said di penjara ISA. Buku terjemahan gerakan-gerakan Islam Asia Barat seperti Ikhwanul Muslimin.. Tulisan Ustaz Abdul Hadi Awang saperti Muqaddimah Aqidah Muslimin (juga menjadi teks usrah PAS), Konsep Negara Islam dan lain-lain.
Penerbit Buku-buku PAS dan gerakan Islam masa itu selain GG Edar ialah seperti Dewan Pustaka Fajar, Gedung Ummah Di Rusila, Pustaka Ikhwan dan sebagainya. Sebab itulah pada muktamar PAS baru lalu di Kelantan saya sempat bersalaman dengan Dato’ Husam Naib Presiden PAS, beliau berbisik kepada saya disamping mengingati Saudara Yusuf Jalil pengarang Harakah yang sedang sakit sekarang, katanya, “anda juga berperanan menjadi orang yang terawal menerbit bahan-bahan media PAS. Syabas!!”
Bersambung lagi, insya Allah!
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) Kuching. 18-08-2007.
Wednesday, August 15, 2007
Imbauan 1: Harakah 20 Tahun..
Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI
SAYA terima masej jemputan ke majlis makan malam ‘20 tahun Harakah’ di Hotel Grand Season KL pada 19 Ogos ini. Saya sungguh gembira, kerana rupanya masih ada orang-orang di Harakah (akhbar PAS) yang mengingati saya, walaupun saya tidak pernah makan gaji hanya berjiran dan bantu membantu bersama Harakah peringkat awalan, atau peringkat baru nak naik. Pernah sekali dulu, waktu Zukifli Yahaya jadi Presiden persatuan kebajikan Harakah, beliau menjemput saya merasmikan mesyuarat agung tahunannya. Lepas itu saya tak pernah dijemput apa-apa lagi.
Tapi maaf kebetulan pada tarikh 19 Ogos itu saya berada di Malaysia Timur, tidak dapat hadir. Walaupun begitu, jemputan ini menghimbau kembali kenangan lama mengusik jiwa bersama harakah. Teringat saya, waktu Harakah mula-mula ditubuhkan. Harakah, tulisan tajuknya berwarna hijau sempat keluar 3 keluaran, kononnya tanpa kelulusan KDN.. keluaran terakhir dirampas penyebarannya di Baling Kedah sekitar tahun-tahun awal 80an, walaupun akhbar tersebut cuma untuk ahli sahaja, hanya disebar dari tangan ke tangan, tidak dijual di kedai-kedai.
Penjual-penjual dan pengedarnya adalah dari ahli atau mujahidin-mujahidin PAS yang sanggup menerima sebarang resiko, tidak cari duit semata-mata. Waktu itu keluarannya (kalau tak salah) di bawah Agensi Media Islam (AMI) bersama Majalah Al-Muslimah (atas nama Syed Muhammad Syed Hassan), yang dikendalikan oleh pimpinan Penerangan PAS (Mohd Nakhaie Hj Ahmad). Malangnya AMI di bawah pengurusan Wan Muhammad bin Wan Saladin (baru pulang dari luar negara terus berkhidmat dengan AMI/PAS) tidak dapat bertahan lama. Tingallah kedai itu kosong di bawah pejabat PAS tingkat 1,2 & 3 waktu itu.
Bangunan itu sebenarnya di miliki penuh oleh Syarikat Muslimah, yang ditubuhkan oleh gabungan isteri-isteri pemimpin-pemimpin PAS sebelum dan waktu itu, supaya ada sebuah pejabat PAS di Wilayah Persekutuan yang bebas milik orang PAS (puluhan tahun selepasnya Syarikat Muslimah dijual kepada Harakah termasuk bangunannya sekali). Pengurusnya syarikat tersebut adalah Ustazah Hayati (Allahyarham), Ketua Muslimat Wilayah, isteri kepada Ustaz Uthman Hamzah yang waktu itu menjadi pegawai pejabat agung PAS.
Saya, yang pernah berkhidmat di beberapa jabatan dalam kerajaan, telah melepaskan jawatan dan menumpukan sepenuh masa dalam penyebaran media Islam termasuk kaset-kaset dan buku-buku PAS, yang amat ketandusan waktu itu. Tidak ramai pula penerbit-penerbit bersendirian yang berani mencetak dan menyebar bahan-bahan media PAS. Saya mengeluarkan kaset-kaset berjenama ‘Ad-Dakwah’ terbitan Gedung Gua KL, mulanya beroperasi di Gombak, Kampung Baru KL dan akhirnya pindah di sebuah kawasan perumahan di Keramat Ulu Klang. Di Jalan Pahang dinamakan GG Edar.
Saya pernah berunding dengan Ustaz Mohd Nakha’ie (Ketua Penerangan PAS) untuk memasukkan perusahaan saya di bawah Jabatan Penerangan PAS waktu itu, tetapi tidak jadi kerana Akta Kaset KDN boleh membabitkan PAS, yang dirasakan tidak sesuai waktu itu. Akhirnya Mohd Nakha’ie dengan AMInya berjalan terus, tetapi akhirnya menemui jalan buntu. AMI terpaksa keluar dari menyewa kedai di bawah pejabat PAS itu kerana tak mampu bayar sewa.
Pada suatu hari, Ustazah Hayati memberitahu saya bahawa Syarikat Muslimah berada di dalam tenat tak mampu bertahan dan kedai bawahnya pun masih kosong tiada penyewa. Maka saya pun menyewanya, hanya kerana hendak menolong PAS walaupun tidak duduk di situ hampir setengah tahun. Terngiang-ngiang di telinga saya kata-katanya, “Hang bayarlah ikut harga semasa dan duduklah berapa lama hang nak duduk, saya takkan minta hang keluar, kecuali kalau hang nak keluar sendiri…” Perjanjian tanpa tulis dan surat menyurat. Maka bermulalah saya bertapak di bawah pejabat agung PAS Jalan Sarikei off Jalang Pahang KL.
Jabatan Penerangan PAS di bawah Mohd Nakha’ie, setelah tidak dapat menerbitkan harakah sudah beralih kepada membuat buku kecil mengulaskan isu semasa, tiap minggu. Antara judulnya yang saya ingat ialah ‘Percikan Darah Syuhada’, ‘Sebat’, ‘Afganistan’, kira-kira puluhannya jumlahnya. Isu surat khabar harakah makin menjadi besar dan bangkit di parlimen, di mana akhirnya telah diberi kelulusan untuk 2 keluaran se minggu. Maka bermulalah akhbar ‘Harakah’ ke haribaan pembaca. Bermula dengan tidak cukup duit.
Pekerja-pekerja dan pengedarnya lebih kepada kerja-kerja sukarela dan tidak penting untung duit sangat. Lahirlah mujahid-mujahid PAS saperti seperti Ishak Surin (Sekarang YDP Batu), Subky Latif (tak payah perkenalkan lagi), Yusuf Jalil, Rahim Kassim, Bakar Haq (saya tak ingat nama sebenarnya), Wan Azman, Ahmad Lutfi, Husam Musa (sekarang Dato’ Naib Presiden), Zin Mahmud (keluar dari Utusan masuk Harakah dan sekarang masuk Utusan semula, naik pangkat pun), Md Noor Baling, Luqman, Muhamad Anang (Allahyarham), Mohd Yusof Sulaiman (Allahyarham), Hj Najib Kedah dan ramai lagi. Maaf, saya yakin banyak lagi nama-nama yang tertinggal, tak ingat…
Nama yang paling saya ingat ialah Cik gu Ishak Surin. Ini kerana beliau adalah seorang pekerja gigih, bila tak cukup wang untuk cetak Harakah dia cari saya. Saya pernah beri pinjam padanya (untuk cetak Harakah) hingga ribuan RM. Waktu itu sangat besarlah nilainya, bagi kami yang tiada duit ini. Pernah pencetak takut nak cetak harakah kerana ugutan pihak-pihak tertentu, saya terpaksa sembunyi-sembunyi cetak di Pulau Pinang. Waktu itu Harakah belum ada kenderaan sendiri lagi, van dan kereta syarikat sayalah (GG Edar) bahkan kadang-kadang dengan pekerja-pekerja sekali terpaksa digunakan. Hatta untuk menghantar pemimpim-pemimpin berceramah sekalipun.
Pernah satu masa beliau mengarahkan saya pergi ke Singapura bersama Rahim Kassim dengan kereta saya sendiri demi kerja-kerja PAS dan Harakah. Saya juga teringat kepada Saudara Yusuf Jalil dan Rahim Kassim, mereka sering bekerja tidak tidur malam kerana menyiapkan mengikut ‘dateline’ yang ditentukan. Saudara Yusuf Jalil memang special fasal memilih tajuk berita atau buku. Kadang-kadang saya merujuk kepadanya dalam memilih judul buku terbitan GG Edar. Lepas itu, barulah masuk kumpulan pekerja dan pentadbir baru ke dalam Harakah.
Oleh itu saya sangat berbesar hati atas jemputan menyambut 20 tahun Harakah. Jika ada kesempatan, saya akan sambung imbauan ini lagi… Isya Allah!
Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 15-08-2007.
Saturday, August 11, 2007
Dari Niaga Depan Masjid Ke Peniaga Global..
Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
LEPAS sembahyang Jumaat di Masjid Negara KL, 3 lelaki Islam dari Negara China menghampiri gerai sekitar masjid tersebut. Gerai menjual seliper dan kasut kanak-kanak, antara banyak gerai-gerai lain di situ.
“As-salamu ‘alaikum?” Salam dari cucunya, berumur kira-kira 15 tahun. Dia bersama ayahnya kira-kira 30 tahun lebih dan neneknya kira-kira 55 tahun.
Salam dijawab oleh tuan punya gerai bernama Syukri. Masing-masing perkenalkan diri, rupanya mereka baru beberapa hari sampai ke Malaysia. Hanya cucu dan ayahnya yang pandai sikit-sikit bahasa Inggeris. Bahasa Malaysia.. langsung mereka tidak tahu! Walaupun begitu kemesraan tetap terjalin atas nama Islam.
“Barangan jualan ini kebanyakannya dari negeri kami..” Kata ayahnya, sambil tangan mereka membelek-belek seliper dan kasut kanak-kanak yang dipamirkan di atas meja jualan.
Mereka tinggal di Guangzhou, sebuah bandar di Negeri China, yang kira-kira 2 jam dari Macau menaiki bas, kerana penerbangan terus antara KL- Guangzhou tambang murah tidak ada, kena singgah di Macau. Dikatakan, orang Islam di daerah itu kini terdapat kira-kira 1 orang dari 1,000 penduduk.
“Itu sebabnya, wanita-wanita kami tidak berani memakai tudung kepala, kerana sering diganggu oleh samseng-samseng Cina yang memang anti Islam, kesan dari penindasan golongan pemerintah komunis.” Kata neneknya dengan rasa terharu, melalui anaknya yang berbahasa Inggeris. “Ayahku (ayah kepada nenek itu) terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai semasa kebangkitan awal revolusi komunis di China dulu, walaupun Islam betapak di China sudah lama sebelum itu lagi, melalui sahabat Nabi Muhammd SAW, iaitu Saad bin Abi Waqas.”
Dikatakan juga, kini orang-orang Islam di China terdiri dari ramai peniaga-peniaga.
“Kalau yang begini, harga pasaran di tempat anda (Negeri China) berapa??” Tanya Encik Syukri sambil memegang sepasang seliper, yang harga pasaran di Malaysia kira-kira RM10.
“Lebih kurang RM2..” Jawab salah seorang dari mereka.
Encik Syukri berkira-kira, patutlah dia boleh dapatkan dari pengedar seliper di KL dengan harga berjumlah RM4 sepasang (harga kepada pengedar). “Ha.. Kalau begitu berapa harga dari kilang agaknya??”
“Kalau pesan banyak, contohnya satu kontena, mungkin harganya tidak lebih dari RM1 sepasang!!” Jelas sahabat baru dari China itu. “Saya boleh tolong tunjukkan cara menguruskan hingga dagangan sampai ke tempat anda. Saya amat berbesar hati jika yang berurusniaga dengan kami di China adalah orang-orang Islam. Moga-moga cahaya kegemilangan Islam akan menerangi alam China kembali dan hubungan keIslaman kita makin akrab.”
Modal RM1, sepasang. Mungkin termasuk pengurusan menjadi RM2. Jual secara borong RM4, dan jualan secara runcit sampai kepada pengguna RM10. Jadi kalau boleh jadi pemborong barangan dari negeri China, main kontena-kontena, mungkin boleh untung bersih RM2 tiap satu unit. Ini satu peluang baik untuk kembangkan perniagaan dari berniaga depan masjid atau pasar malam menuju kepada berniaga import eksport di peringkat global.
“Apakah barang-barang lain pun begitu juga purata untungnya?”
“Kebanyakannya begitu! Contohnya, pakaian, baju, kain selimut, dan lain. Apalagi kalau ubat-ubatan trasional, alatan letrik, komputer dan macam-macam lagi, boleh kita perincikan kalau betul-betul nak!” Jelasnya lagi.
Patutlah kerajaan Kelantan menggalakkan berniaga dengan negara tersebut, membuka pejabatnya di China, memberi peluang bagi sesiapa rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan rakyat China. Hingga ada yang menyebutkan ‘Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China’!
Sebenarnya Nabi Muhammad SAW ada memberi panduan dalam mencari nafkah atau menjadi usahawan. Sila lihat hadith yang dikutip oleh Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam’, berkata Anas RA lebih kurang begini...
Seorang pemuda dari kalangan sahabat Ansar datang kepada beliau meminta-minta. Kata beliau, “Engkau.. takde apa-apakah di rumah?”
“Ada!” Jawab pemuda Ansar itu. “Hanya sehelai tikar dan sebuah takar (tempat air minum) sahaja..”
“Bawa kedua-dua barangan itu ke mari!!” Arah Nabi.
Pemuda itu pun pergi mengambilnya dan membawa kepada Nabi. Nabi terus membuat tawaran, menjual secara lelong barangan tersebut kepada kawan-kawan di situ. Dijual dengan harga paling tinggi, iaitu 2 dirham.
“Nah! Satu dirham engkau beli makanan untuk keluraga engkau, dan bakinya engkau beli sebuah kapak!” Saran Nabi. “.. bawa kapak itu kemari!!”
Pemuda itu terus mempraktikkan idea tersebut, ia kembali dengan sebuah kapak yang baru dibeli. Nabi mengambilnya dan mengikat pada sebatang tongkat (yakni siapkan hulu hingga boleh terus guna), dan menyerah balik. Katanya, “Pergilah cari kayu api dengan kapak ini, dan juallah hasilnya! Jangan sampai aku nampak kamu lagi selama 15 hari (dari sekarang)!!”
Selepas 15 hari berlalu, kembalilah kawan itu, dia berjaya mengumpulkan wang sebanyak 10 dirham. Sebahagian dibeli makanan dan sebahagian lagi pakaian.
“Hal ini adalah lebih baik dari engkau datang di Hari Kiamat dengan wajahmu bernoda, tanda meminta-minta.” Jelas Nabi lagi. (Hadith dirawikan oleh Abu Daud).
Hadith ini menggambarkan pengangguran, kemiskinan dan meminta-minta memang ada, walaupun perlu dihapuskan. Nabi mencetuskan idea kreatif, bagaimana menjadi usahawan, dapatkan modal, memotivasi (contohnya tempoh 15 hari sasaran masa ditetapkan), kecekapan melihat pasaran (waktu itu jual bahan bakar atau kayu api) dan sebagainya. Memang hebat Nabi Muhammad SAW.
Pengalaman masa mudanya pernah jadi usahawan. Pernah jadi gembala kambing sebagai tarbiah kepimpinan (Ingat hadith Nabi, setiap kamu adalah pengembala...). Pernah berkongsi atau usahasama niaga dengan ahli bisnes kecil As-Saa’ib bin Abis Saa’ib. Pernah berniaga import-eksport Mekah-Syam, di mana sumber ‘finance’nya ialah Khadijah sendiri walaupun waktu itu masih belum jadi isterinya (akhirnya taukeh finance itu jadi isteri atau miliknya).
Dikatakan beliaulah pencetus idea-niaga ‘surung makan, tarik pun makan’, pergi ke Syam membawa dagangan dari Mekah, pulang membawa dagangan dari Syam. Di mana amalan sebelum itu cuma pergi membeli dagangan untuk penduduk Mekah dari Syam sahaja. Dengan itu penduduk Mekah dapat menikmati barang keperluan dengan harga yang lebih rendah.(Sila lihat ‘Encyclopedia of Seerah Volume II’ Afzalurrahman- The Muslim School Trust, London).
Begitu juga ramai tokoh-tokoh usahawan yang berjaya, adalah anakdidik beliau, seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan sebagainya yang dijamin syurga. Mereka bukan sahaja berjaya dari sudut usahawan semata-mata, bahkan menjadi tokoh-tokoh politik dan pemimpin perjuangan Islam. Kalau tokoh korperat atau konglomerat masa kini, maka Usama Laden (yang dianggap pengganas oleh Amerika) juga disebut-sebut sebagai usahawan Islam yang berjaya. Betulkah??
Akhirnya pertemuan di Masjid Negara, menjadikan mereka sebagai sahabat se agama, yang lebih tinggi dari sahabat se negara dan se bangsa. Saya pun nak tumpang bersama-sama Encik Syukri, mungkin kami akan ke China kerana di sana sudah ada yang menunggu dan menggamit-gamit kami, Insya Allah!
Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 08-08-2007.
Thursday, August 09, 2007
DR. MOHD HASYIM TEGASKAN PAS BELUM LAMBAT…
DR. MOHD HASYIM TEGASKAN PAS BELUM LAMBAT…
CEPAT DEKATI KAUM CINA!
Oleh M. SHARBI KAMARULZAMAN
Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu, KL
Padang Balang: Penganalisa politik, Dr. Mohd Hasyim menyifatkan belum terlambat lagi untuk PAS mendampingi orang Cina di negara ini bagi memikat mereka mengundi dan menyokong parti itu dalam setiap kali pilihan raya. Dulu, dakwanya, PAS mungkin merasakan sokongan padu orang Melayu sudah cukup untuk parti itu tetapi dengan kesedaran baru pimpinannya, sejak Almarhum Dato’ Fadhil Mohd Noor, telah mengorak langkah menjalinkan hubungan politik dengan masyarakat Cina melalui CCC pada tahun 1986.
Meskipun mendapat reaksi yang pelbagai dari dalam PAS waktu itu, sehingga kekalahan PAS dalam pilihan raya 1986 dikaitkan dengan kerjasama CCC tersebut, namun hari ini, PAS mengakui betapa pentingnya mengadakan hubungan politik dengan masyarakat Cina untuk membebaskan Malaysia dari cengkaman Umno BN.
“Hari ini, PAS sudah menubuhkan Lajnah Perpaduan Nasional yang dulunya tidak ada. Sekarang PAS sudah ada Kelab Penyokong PAS (Cina) dan (India) di setiap negeri,” ujar beliau dalam “Debat Kontemporari Siasah” bertajuk “Mengapa PAS Tidak Dapat Undi Cina?” di PASTI Padang Balang, dekat sini.
Tegas beliau, kemaraan PAS dalam menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat Cina dan India di negara ini menjadi petanda sihat untuk ahli dan pimpinan PAS terus mengenali budaya dan adat resam kedua-dua bangsa itu.
Dr. Mohd Hasyim yakin, tampuk pimpinan PAS suatu hari nanti akan diterajui oleh bangsa Cina yang Islam, moderet dan gigih dalam perjuangannya seperti kentalnya umat Islam di negara China mengamal dan memperjuangkan Islam sekalipun al-Quran diharamkan oleh pemerintah komunis.
“Inilah impian Tok Guru Nik Aziz. Dia berdoa akan ada di Malaysia ini orang Cina Islam yang berupaya menjadi pemimpin PAS suatu masa akan datang,” tegas beliau.
Dr. Mohd Hasyim yang juga pengasas GG Edar dan penerbit kaset-kaset jenama Ad-Dakwah pada era kebangkitan Islam menjadi pendebat undangan Lajnah Penerangan, Dakwah dan ICT PAS Kawasan Batu bersama gandingannya Ann Wan Seng, Setiausaha Agung PERKIM.
Debat tersebut diselenggarakan oleh moderatornya, Tarmizi Mohd Jam yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Haji Azharuddin Haji Husein.
Debat yang menjadi salah satu produk PAS Kawasan Batu itu, telah dilancarkan oleh Pengarah JPN Wilayah Persekutuan, Cikgu Haji Ishak Surin.
Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan.
Sunday, August 05, 2007
Strategi Kristian Menawan Orang Asli?
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
“AKU memang minat nak ajak encik mendaki Bukit Kala kira-kira 45 minit jalan kaki yang tiada jalan motosikal atau kereta, kerana ada orang-orang kita sedang bergotong royong di sana!” Kata seorang Asli bekerja sebagai pegawai RTM. “Tetapi kerana petang ini pukul 4 petang aku ada upacara sembahyang, maka aku sedih tak dapat pergi dengan encik. Lain kali sajalah..”
Hari itu adalah hari Ahad sebagai seorang Kristian dia dan kawan-kawannya dijemput dengan sebuah bas percuma pergi ke gereja di Kepong, dari tempatnya di Gombak, Kuala Lumpur. Dia memang berasal dari perkampungan Asli di Gua Musang, datang berhijrah ke Gombak, puluhan tahun yang lalu.
Kalau dilihat sejarah, sebelum Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditubuhkan, seorang 'Field Ethnographer' telah dilantik zaman penjajahan (Disember 1939), sebagai 'Protector Of Aborigines' bagi pihak Negeri Perak dibuat selepas penguatkuasaan 'Perak Aboriginal Tribes Enacment', No.3 pada 1939. Enakmen yang merupakan undang-undang telah diwujudkan sebelum Perang Dunia Kedua lagi.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia pula ditubuhkan (1953/54) di bawah undang-undang baru yang dinamakan "Aborigional Peoples" Ordinance No. 3, 1954. Ia dikatakan dibentuk bagi melindungi Orang Asli dan cara hidup mereka dari kepesatan perkembangan tamadun dan eksplotasi, di samping menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pendidikan dan pembangunan yang sesuai bagi mereka.
Apabila darurat diistiharkan (1948), MPAJA yang kemudiannya bertukar menjadi Parti Komunis Malaya(PKM) telah mengadakan hubungan baik dengan orang-orang Asli di pedalaman. Maka pihak kerajaan penjajahan mula mengambil perhatian dengan mengadakan polisi penempatan semula orang-orang Asli di kawasan yang jauh dari pengaruh komunis. Dikatakan, langkah ini tidak berjaya, sebaliknya Orang Asli semakin rapat dengan PKM dan mengambil sikap anti-kerajaan.
“Jasa orang Asli dalam menentang penjajahan British di Perak dulu memang jelas.. buktinya, pembunuhan J.W.W. Birch (bagi pihak penjajah) oleh Datuk Maharaja Lela (bagi pihak orang Melayu) dibantu orang Asli di Perak. Sila lihat sejarah Perak.” Kata pemangku Tok Batin Bukit Kala Gombak, Encik Hussein bin Datuk Panglima Ngah Yin. Ayah beliau mendapat gelaran ‘Datuk Panglima’ dari kerajaan Perak. “Ada wakil orang Asli dalam perutusan semasa menyambut kemerdekaan Tanah Melayu. Tetapi malangnya, Datuk Panglima Bukit Gantang orang Melayu yang menjadi wakilnya, bukan orang Asli!!”
Hanya selepas tahun 1961, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dikatakan mula merancang dan melaksanakan program-program pembangunan sosio-ekonomi supaya masyarakat Orang Asli dapat bersama-sama dengan kaum-kaum lain maju dan menikmati taraf hidup yang lebih baik.
“Aku datang ke sini sejak tahun 1969 kira-kira 5 bulan selepas tragedi 13 Mei. Waktu itu kerajaan sedang berhadapan dengan kumpulan PKM yang sedang bergerak di dalam hutan. Orang Asli seperti juga orang Cina dibimbangi membantu pengganas tersebut. Maka di wujudkan perkampungan-perkampungan baru Cina dan orang-orang Asli. Kami pun dikutip dari seluruh negara dan dihimpunkan di sini. Kami dihimpunkan antaranya melalui penubuhan pusat perubatan orang Asli di sini. Beginilah tempat tinggal kami, rumah-rumah kami dibiarkan tidak tersusun dan tidak teratur seperti yang boleh encik lihat sekarang!
Aku sendiri lepas periksa di Sekolah Menengah Sungai Siput [SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 1968], bercadang nak lanjutkan pelajaran, tapi suasana politik waktu itu memaksa aku mewakili kampungku, membantu kerajaan di pusat perubatan orang Asli dan bertugas hingga pencen di sini..” Jelas encik Hussein lagi.
Seorang temannya lagi memberitahu bagaimana orang-orang Asli boleh masuk Kristian di kawasan Gombak ini.. “Pendakyah-pendakyah Kristian bergerak dari rumah ke rumah di kawasan orang Asli Gombak melalui himpunan penduduk yang disebut ‘kumpulan sel’. Kumpulan ini cuba mengambil berat dan menangani masalah penduduk terutamanya di bidang kesihatan…bagaikan sel-sel baik yang berperanan menyelamatkan kesihatan badan seseorang.”
“Apakah kesan kegiatannya kepada masyarakat?”
“Amat memberangsangkan.” Jawabnya. “Contohnya, baru-baru ini ada isteri seorang Tok Batin bersebelahan dengan kampung ini yang sakit telah berjaya disembuhkan melalui pengubatan dengan doa-doa cara Kristian. Mengenangkan jasa baik Kristian ini, dia terus memeluk agama Kristian hingga sekarang, walaupun suaminya masih beragama Islam..Itulah kegiatan mesra rakyat yang diadakan sepanjang masa.”
“Adakah wang dan benda juga memainkan peranan dalam dakyah tersebut??”
“Encik kena siasat sendiri..” Jawabnya.
Kalau dalam masyarakat pergerakan Islam, mungkin ia seperti ‘kegiatan usrah’ dan kuliah-kuliah pengajian. (Sila lihat tulisan sebelum ini, ‘Jangan Me‘Melayu’kan Orang Asli..’ lihat ibnuhasyim. blogspot.com atau Tranungkite.Net 28-07-07, rumusan dan cadangan ringkas kepada pihak bertanggung jawab seperti JAIS dan JAKIM, Draf Cadangan: Bagaimana mempercepatkan orang Asli masuk agama Islam.)
Jabatan Orang Asli sebelum ini pernah diletakkan di bawah pelbagai jabatan seperti Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, Kementerian Tanah dan Galian, Kementerian Pertanian dan Tanah, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dan kini di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat bermula sejak 1995 lagi.
Siapa sebenarnaya bertanggung jawab mengenai pengIslaman mereka? Itu suatu hal yang perlukan perincian lagi, tetapi yang jelas di samping tugas besar berada dibahu pemerintah, tiap orang Islam atau NGO-NGO juga ada peranan masing-masing ke atas agama orang Asli. Jangan sampai jadi macam cerita pihak bomba yang terhegeh-hegeh membincang teknik dan tektik memadam api, sedangkan rumah terbakar yang hendak dipadam sedang hangus dijilat api!!
Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Gombak 03-08-2007.
Sejarah PAS 8: Bermula Dengan Tangan Terbuka
IBNU HASYIM: FOKUS PAS SIRI 8
TANGAN terbuka. Atau tapak tangan, mempunyai lima jari yang sedang terbuka. Itulah lambang atau simbol PAS yang mula-mula digunakan bagi menghadapi pilihanraya persekutuan pertama, pada 27 Jun 1955.
Lawan-lawan PAS menggunakan symbol ini untuk menakut-nakutkan pengundi-pengundi. “PAS mahu potong tangan orang ramai.” Kata mereka. Yakni, kalau PAS berjaya perintah negara ini, ia akan laksanakan hukum ‘hudud’ yang termasuk di dalamnya potong tangan bagi pencuri, penyamun atau perompak. Mereka gambarkan hukum Islam itu begitu ngeri, zalim dan kejam.
Pada hal, ianya hanya secebis dari sistem perundangan Islam, yang bersifat mengubati penyakit masyarakat. Contohnya seperti kerat kaki pada pesakit kencing manis. Begitulah hudud, kerat tangan pencuri, ‘rajam’ atau sebat pada penzina apabila cukup syarat-syarat yang begitu ketat.
Ada juga yang menganggap, lambang ini hampir menyamai tujuan PKMM, yakni mengangkat tangan, menggenggam lima jari, jadi gumpalan penumbuk, yang juga ada unsur-unsur Islam. Juga terdapat unsur-unsur menunjukkan orang Melayu bebas beragama Islam, bebas melaksanakan hukum serta perundangan Islam yang tidak dikongkong oleh penjajah.
Walau apapun tafsirannya, namun makna sebenar adalah simbol kepada amalan rukun Islam yang lima. Bermula dengan pengakuan kesatuan aqidah atau syahadah ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh atau rasul Allah, yang di dalamnya ada enam rukun pula iaitu Rukun Iman. Seterusnya mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa wajib setahun sekali sepanjang Ramadzan, membayar zakat dan fitrah, serta mengerjakan haji sekali seumur hidup, jika mampu. Semuanya ini adalah asas ke arah menjadi seorang Muslim yang sejati.
Setelah itu lambang ini ditukar kepada lambang bulan bintang. Iaitu sebiji bintang lima penjuru, berada di atas hujung tanduk bulan sabit, di mana dua penjuru kakinya berada dalam lingkungan bulan dan tiga penjurunya lagi berada di bahagian atas luar lingkungan bulan sabit tersebut. Lambang ini juga terpaksa ditukar kerana diharamkan oleh pemerintah (zaman pemerintahan Tun Abdul Razak, iaitu pada tahun 1971), yang menuduh ‘menggunakan lambang Islam bagi mengelirukan orang ramai’.
Akhirnya, mengambanglah lambang bulan purnama penuh mengisi langit pilihan raya Malaysia. Ia mula digunakan dalam pilihan raya Tumpat Barat Kelantan hinggalah sekarang. Lambang tersebut ialah bulatan putih seperti bola pingpong yang bererti bulan purnama, dengan latar belakang warna hijau dan dalam keadaan tertentu boleh digunakan warna hitam.
Ukurannya seperti yang tercatat dalam ‘Perlembagaan PAS, pindaan 1987’, hendaklah 3x4 atau 3:4, iaitu 3 lintang dan 4 bujur. Boleh digunakan dalam inci, kaki, cm, meter, atau sistem ukuran-ukuran lain. Boleh juga digunakan apa-apa simbol yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan serta Suruhanjaya Pilihan Raya. Lambang-lambang tersebut adalah khusus bagi kegunaan pilihan raya dan manefestonya sahaja.
Bendera PAS pula berwarna merah putih. Warna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya. Di pangkal sebelah kiri terletak satu bulatan hijau. Pada asalnya di dalam bulatan tersebut, tertera perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ dalam tulisan jawi berwarna putih. Dengan pengharaman seperti dikatakan di atas, ia tidak boleh digunakan lagi dan hanya tinggal bulatan hijau sahaja. Kekallah bendera PAS hampir sama dengan bendera UMNO, yang mana di sudut atas sang saka mereh putih tersebut terdapat bulatan hijau bagi PAS dan UMNO dengan lambang kerisnya.
Ukuran bendera juga adalah sebesar 5x7 atau 5:7, sama dengan ukuran inci, kaki, cm, meter atau selainnya. Bendera PAS digunakan dalam setiap perayaan atau perjumpaan yang dianjurkan dan disertainya. Juga digunakan sebagai latar belakang dalam sesuatu majlis, pada kenderaan, pejabat atau rumah-rumah ahli di semua peringkat, terutamanya semasa kempen-kempen pilihan raya.
PAS dengan lambang ‘tangan terbuka’nya terus menyertai pilihanraya, walaupun pendaftaran pertubuhannya baru diluluskan sehari sebelum penamaan calun, iaitu pada 14 Jun 1955, setelah hampir 4 tahun permohonannya diajukan.
Dari 52 buah kawasan Dewan Perundangan Persekutuan atau Dewan Rakyat yang juga disebut Parlimen, PAS hanya mampu bertanding di sebelas (11) kawasan sahaja. Iaitu 3 di Perak, 2 di Selangor, 3 di Kelantan, 1 di Pahang, 1 di Seberang Prai dan 1 di Kedah. Apakah ini juga satu difinasi ‘tangan terbuka’, yakni terbuka dan kosong dari kemampuan menewaskan lawannya?
Rujukan:
1.Perlembagaan PAS, pindaan 1987
2.Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.
Tambahan:
Pengenalan Am PAS
Dikemaskini terakhir di laman web PAS pada 07 Januari 2007.
PARTI lslam Se-Malaysia atau ringkasnya disebut PAS adalah sebuah parti politik yang diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang). Pada awalnya ia didaftarkan atas nama Persatuan lslam Se-Malaya dengan rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.
Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Bagi mencapai tujuan atau matlamat perjuangan tersebut, usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS termasuklah:
1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasulullah melalui dakwah, sama ada secara lisan, tulisan mahupun amalan.
2. Memperjuangkn lslam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-lslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
3. Memupuk dan memperkuatkan ukhwah lslamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup lslam.
5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan umat lslam dan rakyat seluruhnya.
6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.
8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran lslam.
9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat lslam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu serta badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
11. Melakukan apa-apa juga usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.
Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.
Dengan tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.
Akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat PAS.
Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukkan itu dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukkan dalam hukum tertinggi PAS dan tidak berlawanan pula dengan dasar PAS, maka sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama ditubuhkan.
Majlis Syura Ulama berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang tidak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.
Majlis ini juga berkuasa melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang terdapat pada fasal 75 Perlembagaan parti.
Mengenai ahli PAS, hanya terdapat satu jenis sahaja keahlian di dalam PAS, iaitu dinamakan Ahli PAS. Untuk menjadi ahli PAS, seseorang itu mestilah Warganegara Malaysia, beragama lslam, akil baligh menurut hukum syarak, menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS dan peraturan, arahan-arahan serta keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa.
Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh menjadi ahli PAS tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Naib Canselor universiti berkenaan. Permohonan menjadi ahli PAS hendaklah dibuat melalui Setiausaha Cawangan di mana ia berkehendak masuk menjadi ahli atau jika ada sesuatu sebab yang munasabah, maka permohonan bolehlah dilakukan terus kepada Setiausaha Kawasan ataupun Setiausaha Agung PAS.
Seseorang ahli PAS boleh berhenti atau diberhentikan daripada menjadi ahli apabila memohon atau mengisytiharkan diri keluar daripada PAS, dipecat atau menyertai mana-mana parti politik yang lain.
Semua ahli-ahli PAS hendaklah taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran lslam yang menjadi dasar PAS, taat dan patuh kepada Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti, melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh parti sedaya upaya yang boleh, menjaga dengan cermat segala rahsia-rahsia parti, mengamal akhlak lslam, mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti dan menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan lslam bagi diri di dalam negara ini.
Semua ahli PAS berhak memilih atau dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti, berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti, berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti serta berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.
Antara kewajipan-kewajipan ahli kepada parti selain daripada yang disebutkan tadi termasuklah menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa, melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus, menghadiri mana-mana kursus, tamrin, atau perhimpunan parti sebagaimana yang ditetap dan diarahkan, memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum lslam, memperkuat kedudukan dan menjaga kehormatan parti sama ada di dalam atau di luar negeri. Pada amnya semua ahli hendaklah melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.