Thursday, October 18, 2007

Feri Terbakar: Mangsa Perlu Ganti rugi



Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

“TINDAKAN tegas perlu diambil untuk memastikan perkhidmatan feri di negara ini beroperasi dengan selamat…” Kata PM Pak Lah Badawi (Utusan Malaysia 16 Okt), mengulas tragedi 1 Syawal kebakaran feri Seagull Express dekat perairan Pulau Tioman mengorbankan 4 penumpang dan 103 terpaksa terjun laut lari selamatkan diri. Setakat ini 3 masih tak jumpa lagi.

Berkata pula rencana pengarang akhbar harian nasional itu, mengapa lepas jadi, baru sedar syarikat terbabit tak ikut peraturan, atau ‘segala pelanggaran undang-undang itu ada dalam pengetahuan pihak berkuasa tetapi hanya menunggu masa iaitu selepas berlakunya tragedi baru hendak didedahkan.’ Menurutnya lagi, dalam hal ini ‘syarikat pengendali dan Jabatan Laut ‘mengizinkan’ ia terjadi’.

Lebih menarik lagi, akhbar yang dianggap lidah kerajaan itu mendedahkaan, ‘Hakikatnya, isu pengabaian aspek keselamatan oleh pengendali feri bukan hanya berlaku di Tioman sebaliknya ia menjadi ‘trend’ di mana-mana pelabuhan yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu’.

Saya juga bersetuju dengan pendedahan dalam akhbar yang sama oleh Norizan Sharif, Presiden Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (MACOM) dan Md Ramli Omar, Maritime Security Consultant KL, di mana ‘pihak berkuasa lemah’ menjadi punca tragedi feri tersebut.

Pelek Kerana Tidak Pelek?

Saya juga tertanya-tanya dan merasa pelek mengapa pihak kerajaan begitu lemah, cuai dan tidak bertanggung jawab?? Bahkan ada yang merasa tidak pelek dan sesuatu yang sudah dijangkakan bila dapat tahu feri tersebut tiada permit, bawa penumpang lebih (sepatutnya 75 orang tapi bawa 106 orang), tidak cukup kelengkapan seperti pelampung, crew tak cukup bahkan tak terlatih dan macam-macam lagi. Dikatakan juga sudah menjadi trend (atau sudah sebati dengan sifat lemah, cuai dan tidak bertanggung jawab) di mana-mana pelabuhan..

Saya pelek mengapa mereka kata tidak pelek? Kalau dah tahu begitu, mengapa mereka tak ambil tindakan? Apa dah jadi dengan kerajaan kita ini, dah tiada kuasa ke? Dah teruk sangat ke rasuah sampai wang boleh mengalahkan kuasa?? Ada padi semua jadi, ada beras semua deras dan ada fulus semua lulus, tak perlu peraturan dan undang-undang lagi?

Yang saya tahu kalau di KL atau Selangor, orang Melayu baru nak mula berniaga, buka gerai atau kereta surung tepi jalan terus diangkut pihak berkuasa tempatan atau bandaraya kerana tak ikut peraturan? Kadang-kadang jentolak (ada yang sebut ‘gigi kuning’) datang memamah atau meroboh gerai tersebut. Konon tiada lesen yang bila dimintapun, tak dapat.

Apakah kerana anak-anak Melayu yang baru nak berniaga ini adalah kes kecil yang kena ikut peraturan? Kalau besar lain kira le! Kita bimbang nanti ada yang fikir, kalau nak langgar peraturan, langgar yang besar-besar, baru berbaloi!!

Dalam kes feri di atas, sebenarnya, Pak Lah tak payah sebut ‘tindakan tegas’. Bertindak saja, baru rakyat nilai tegas ke tidak, kerana kuasa ada di tangan. Di Batu Buruk boleh bertegas, fasal apa dalam kes ini tak boleh? Bertegas ke semua pelabuhan dengan segera… Rakyat nak tengok berapa lama kes ini akan selesai.

Bagaimana pula dengan mangsa tragedi? Patutkah mereka dapat gantirugi kerana kelalaian kerajaan? Kerajaan yang menekan rakyat dengan pelbagai cukai konon untuk memajukan negara, takkan tak boleh bantu rakyat? Patutkah mereka mencari khidmat peguam untuk membela nasib mereka, menyaman Jabatan Laut, individu-individu atau syarikat terbabit? Atau ada badan-badan atau NGO yang rela membantu mereka.. Kerajaan perlu diajar kerana kelalaian yang menjadi simbol ketidak profesionalannya..


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-10-07

Tuesday, October 16, 2007

Pulau Pinang: Pi Mai Pi Mai, Tang Tu!


Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

BALIK Pulau, adalah sebuah daerah di baratdaya pulau di mana antaranya terdapat sebuah pekan kecil bernama Kongsi. Pernah dulunya seorang penulis menyebut sebagai ‘pekan cowboy’. Mungkin kerana pada waktu itu pekan yang terletak agak di hujung pulau itu menjadi pekan mati dari pengunjung. Di tengah-tengah pekan Kongsi terdapat sebuah bulatan jalanraya.
Di situ ada satu pancutan air, bekas tempat minum kuda-kuda atau lembu, yakni kenderaan yang digunakan pada waktu itu [La ni saya tak pasti lagi, tak dan (sempat) nak tengok, ada ka, takdak? Tapi beberapa tahun lepas saya tengok masih ada!]. Penduduk tempatan hendak ke Tanjung (George Town) waktu itu merentasi bukit-bukit (sekarang disebut Bukit Baru) dengan menunggang kuda atau berjalan kaki.

Dari pekan Balik Pulau atau Kongsi ini saya bertolak untuk pusing Pulau Pinang dengan kereta.. Naik bukit ke Teluk Bahang. Jalannya berbelit-belit, berlengkar-lengkar macam ular kena palu. Seperti juga jalan nak ke Bukit Frazier dari pekan Kuala Kubu Baru.

Bila sampai di pekan Teluk Bahang kira-kira waktu tengahari, kawan saya mengajak, “Jom pekena nasi kandaq!”.

“Jaga kot-kot tesandaq!” Saya bersetuju. “Sat (kejap) lagi kot tak boleh bawak kereta pulak…”

Lepas makan kami terus melintasi Pekan Batu Feringgi, dan singgah sembahyang di masjidnya.
Mengingatkan kepada cerita kawan saya, kisah dia sembahyang di masjid itu sebelum ada pagar seperti sekarang, puluhan tahun lalu.

Katanya, “Lepas aku bagi salam sembahyang, paling kanan, paling kiri dan ke kanan lagi.. Masya Allah, aku terpaksa tutup muka aku dengan tangan!!”

“Kenapa?”

“Kerana di sebelah aku sembahyang balik sana dinding masjid yang jarang itu, jarak beberapa kaki saja dari aku, ternampak beberapa perempuan pelancung pakai baju mandi lepas mandi, sedang lalu pulang melalui kawasan masjid (yang belum berpagar) dari pantai ke hotel.. hee!”

“Ya la. Hang tutup muka dengan tangan, tapi jari-jarinya; hang renggangkan, mata; hang beliakkan, mesti la nampak!!” Yang lain mencelah bergurau.” Sebut Al-hamdulilah saja la..”

Namun kereta kami terus berlalu melalui pekan Tanjung Bunga dan Tanjung Tokong. Teringat pula kenyataan akhbar Mingguan Wasilah 7 Oktober 2007 yang menyebutkan, Tanjung Tokong adalah ‘Perkampungan Melayu terakhir di George Town’.

Di akhir artikel disebutkan ‘Oleh kerana kawasan asal perkampungan yang masih tinggal mengekalkan ciri rumah kampung yang tidak tersusun dan kian dihimpit pembangunan, inisiatif daripada pemaju untuk menyediakan rumah pangsa seluas 850 kaki persegi kepada 830 penduduk di situ yang jauh lebih selesa, bersih dan terancang.’

“ Inilah contoh kampung Melayu terakhir di George Town. Orang Melayu hanya boleh memiliki tanah tempat tinggalnya tiap seorang cuma dapat satu kaki persegi lebih sikit sahaja.” Kata saya. “Itukah hasil dari perjuangan UMNO yang jadi parti pemerintah di Pulau Pinang tetapi tidak berkuasa membangunkan bangsa Melayu di buminya sendiri? Apakah UMNO Pulau Pinang jadi macam UMNO Singapura dulunya? Pemimpinnya, kokoknya sahaja berderai-derai (berdegar-degar), ekornya bergelumang dengan tahi.”

Apa pula kata PAS Pulau Pinang?

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man berkata di Bukit Mertajam, UMNO sepatutnya merasa bersalah kerana gagal membawa perubahan terhadap bangsanya sendiri berbanding bangsa lain negeri ini. Hal ini terbukti, kedudukan orang Melayu sejak merdeka sehingga kini makin teruk dan terabai..

“Di awal 1990an waktu itu saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS pernah terlibat dengan penganjuran program Persidangan Umat Melayu Pulau Pinang di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar). Di waktu itu wakil PAS ialah Dr Mohamad Hashim, Parti Semangat 46 (S46), Haji Sulaiman Palestin dan Umno di wakili Dato' Seri Dr. Ibrahim Saad (Timbalan Ketua Menteri masa itu). Walaupun banyak desakan namun tiada perhatian sehingga kini," kata Ustaz Saleh kesal.

Selepas sahaja persidangan itu, PAS menghantar resolusi kepada Dr. Ibrahim Saad untuk perhatian atau memperbaiki kelemahan pengtadbiran demi kepentingan Melayu tapi semuanya bagaikan menuang air ke daun keladi (Harakah 6 Julai). Jelas beliau lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak pula menjawab (8 Julai juga di Bukit Mertajam), UMNO sentiasa berpegang kepada politik realiti dengan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang diterajui oleh pemimpin parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN).

“Di Pulau Pinang, kita ada sepakat, kita ada persefahaman, kita ambil kira realiti politik. Ini kontrak sosial yang dituntut oleh Melayu Pulau Pinang..” Kata Dato’ Seri lagi.

Selain dari program yang disebutkan Ustaz Saleh itu, saya juga pernah dijemput berforum mengenai Melayu Pulau Pinang di UKM Bangi sekitar tahun-tahun tersebut, bersama seorang wakil UMNO Pulau Pinang dan Dr Sanusi Osman mewakili ahli akademik.

“Maknanya dah lama kita bercakap fasai ni.. Cuma UMNO saja yang telinga kuali! Nampaknya, pi mai pi mai, tang tu juga.” Ada yang mengeluh.

Tanpa disedari, sesudah beberapa jam berkeliling Pulau Pinang, kami pun sampai di Balik Pulau semula.

“Itupun pi mai pi mai tang tu juga.” Sambut seorang dari kawan kami.

Ada pula yang berpantun,

“Pulau Pinang laut keliling
Pelancung asing bersyurga-loga,
Macam mana Melayu tak runsing
Pi mai pi mai, tang tu juga!”

Catatan santai: Pulau Pinang siri 3
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
14-10-07


Untuk tambahan selanjutnya sila lihat tulisan sebelum ini:

(i)Pulau Pinang: Balik Pulau Bayan Lepas …
(ii)Pulau Pinang: Sekuntum Bunga Seroja..


Thursday, October 11, 2007

Selamat Hari Raya: Jangan Lupa Cat Rumah Baru!


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


SAYA terima kad ucapan Hari Raya di tahun-tahun kebelakangan ini makin sedikit. Tahun ini baru dua keping kad saya terima. Mungkin zaman berhari raya dengan kad akan berakhir, disebabkan teknologi maklumat makin canggih. Boleh pakai e-mail atau apa-apa mail lagi yang seolah-olah tidak perlu duit; walau banyak mana dan ke mana dihantar sekali pun, berbanding kad yang dalam Malaysia saja dah kena upah pos 30 sen sekeping. Belum kadnya lagi, apalagi kalau pos keluar negara. Begitu juga dengan SMS melalui telefon bimbit, fax dan lain-lain, lebih mudah dan menjimatkan.

Istimewanya, bila diteliti salah satu dari kad-kad yang saya terima..

Muka depannya, tertulis ‘SALAM AIDILFITRI 1428 Hijrah’ berlatar belakang warna hijau tua. Terdapat lakar gambar rumah berbumbung warna orange, tetapi bumbung bahagian depannya berwarna biru muda lambang warna Parti Keadilan Rakyat. Tingkap-tingkap dan pintunya berwarna coklat, tapi di atas pintu depan rumah itu ada lambang bulan penuh sedang mengambang. Itulah lambang PAS.

Seluruh dinding rumah itu berwarna hijau, kecuali di sebelah kanan pintu bahagian atas masih tinggal sedikit lagi warna biru tua Barisan Nasional (BN) yang masih belum habis ditutupi dengan cat hijau. Terdapat gambar seseorang sedang mengecat untuk menghabiskan sama sekali warna biru BN itu. Di bawahnya tertulis perkataan ‘CAT RUMAH BARU Syawal ini’.

Muka belakangnya juga berwarna hijau tua, ditengah-tengahnya ada kotak kecil, di dalamnya terdapat lambang PAS yang dibawahnya tertulis ‘UNTUK SEMUA’.

Ertinya, mulai Syawal ini rakyat Malaysia diseru supaya berusaha tukarkan warna rumah atau warna kerajaan mereka dengan PAS, kerana PAS bukan parti suatu bangsa, tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Ingat, tukar cat saja, bukan tukar rumah!

Saya selak ke muka dalam kad itu pula..

Muka 2, tertulis ‘SALAM PERJUANGAN’. Di bawahnya terdapat 2 gambar pemimpin PAS yang sedang tersenyum, iaitu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku MURSYIDUL AM dan YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden berserta tanda tangan mereka. Tertulis perkataan di bawahnya “Berilah Islam Satu Peluang”. Seterusnya tertera AMAN- ADIL-SEJAHTERA-BERAKHLAK.

Di bawahnya ada lambang PAS dengan tanda X (pangkah) dan akhirnya ‘dari kami Parti Islam SeMalaysia (PAS)’.

Bermakna, 2 Tok Guru ini berharap sangat supaya rakyat Malaysia yang menyambut Hari Raya tahun ini memberi peluang kepada Islam untuk melaksanakan slogan ‘aman,adil, sejahtera & berakhlak’ dengan mengundi PAS pada pilihan raya umum yang akan datang.

Akhirnya di muka 3, barulah tertera maksud asal ucapan iaitu ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.’ Dengan tanda logo di bawah sebelah kanan, PAS untuk semua. Kalau PAS untuk semua, bolehkah akan datang PAS keluarkan pula kad Krismas, Tahun Baru Cina dan kad Depavali?

Akhirnya.. Beginilah juga mesej kad ucapan Selamat Hari Raya saya kepada anda semua yang membaca Catatan Santai saya. Juga ucapan Selamat Hari Raya kepada Tranungkite Net, yang tidak jemu-jemu menyiarkan tulisan saya. Cuma kad saya ini berbentuk huraian dan penceritaan, bukan benar-benar kad. Saya juga nak gunakan kecanggihan teknologi maklumat untuk penjimatan tenaga dan wang! Ya, tulisan inilah kad saya…

Kalau ada jarum patah, jangan simpan dalam peti,
Kalau ada silap salah, jangan simpan dalam hati.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 11-10-07

Imbauan 7: Terkenang-kenang Mohd Anang.


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


PAGI tadi sebelum menanti waktu sahur di Restoren Taqwa cawangan Taman Melewar, pelanggan-pelanggannya penuh meja di dalam dan luar kedai.. Ada yang menegur saya, menjemput duduk dan mengajak minum. Antara puluhan orang yang duduk di suatu kelompok meja luar kedai itu terdapat YB Salahuddin Ayub, juga Ketua Pemuda PAS wakil rakyat parlimen Kubang Kerian Kelantan, orang Johor kini berada di Selangor.

“Saya lihat anta, saya teringat kepada satu lagi Mohd iaitu Allahyarham Mohd Anang…” kata YB Salahuddin kepada saya.

Saya kenal Salahuddin sudah lama.. Sejak dalam pilihanraya kecil Tambatan di Johor, beliau masih belum jadi Ketua Pemuda lagi. Waktu itu saya menjadi pengarang majalah UMMAH yang memilih gambar Tengku Razaleith menghiasi kulit majalah. Majalah yang diedarkan menjelang pilihanraya tersebut.

“Dua Mohd yang orang kurang tahu ayah mereka. Satu anta, Mohd Hasyim dan lagi satu Mohd Anang… kerana orang menyebut nama dan ayah mereka serentak.” Jawab Tarmizi Mohd Jam, bekas pengarang Harakah yang kebetulan ada di situ. “Sebenarnya nama ayah mereka ialah Hasyim dan Anang. Jadi Mohamad bin Hasyim dan Mohammad bin Anang.”

Antara sahabat yang agak lama tak jumpa ada di situ, ialah Bakar Hak (Abu Bakar Rashid yang laman webnya ‘Penarik Beca’) antara orang kuat yang membantu Harakah sejak zaman pentadbiran Mohd Nakha’ie dulu, Wan Johari juga pekerja Harakah dulunya, laman webnya ‘Ahli Parlimen PAS’ dan ‘Jiwo Kelate’, Md Zin bekas penjual gigih Harakah di Taman Melewar, Amin yang isterinya bekerja dengan pejabat PAS sejak dulu, ada pekerja Harakah dan kawan-kawan lain yang saya tak ingat nama mereka.

Teguran YB Salahuddin, mengenangkan saya kepada Allahyarham Mohd Anang, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan jalanraya. Beliau selalu ulang-alik Johor-KL termasuk kerana tugas parti. Beliau adalah satu-satunya orang yang bersimpati dengan saya, menderma sebanyak RM500 sewaktu saya disaman dan diseret ke mahkamah oleh FINAS, kerana menjual dan menyebarkan video ceramah-ceramah politik PAS. (lihat Catatan Santai Ibnu Hasyim ‘Imbauan 3: Orang Harakah Tolong Saya’).

Waktu itu beliau antara pembuat dan penyalin video yang sentiasa diburu polis.. Tidak semua peniaga-peniaga sanggup menanggung risiko sepertinya. Beliau termasuk antara orang yang berani menyebarnya demi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Begitu juga semasa hujung tahun 1987 (kalau tak salah, saya ingat waktu itu saya baru pulang dari Mekah kira-kira 6 bulan berada di sana), ramai pemimpin-pemimpin PAS ditahan di bawah ISA.

Mereka, termasuk Mohd Sabu (KL), Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakob (Kelantan), Suhaimi Said (Pahang), Ir Khalid Samad (KL), Kamaruzaman (Kelantan- dikatakan antara pemimpin kecil PAS yang dikatakan terlampau laju akhirnya terkeluar dari PAS. Lambang PAS dimarkasnya ditambah dengan parang bersilang di bawah bulan,), Tuanguru Hj Md Arif (Perak), Mahfuz Omar (Kedah) dan mungkin ada lagi tapi saya tak ingat.

Cikgu Sahak sebagai ketua di Harakah waktu itu mengarahkan saya bersama dua pekerja saya Elias Md Lazim dan L Man Kadir Shamsi (bekas pengarah & pelakon), serta Mohd Anang, mengelilingi lebih dari separuh Malaysia Barat bagi mengutip tandatangan isteri-isteri mangsa ISA, dengan kereta beliau. Dalam tugas itu di Kelantan kami hadapi masalah, sehingga Tok Guru Nik Aziz turun tangan melalui Wan Rahim (sekarang Dato’) dan Ustaz Halim (sekarang Dato’) yang membantu kami.

Akhirnya isteri-isteri mangsa ISA berjaya berhimpun dan membuat tunjuk perasaan membantah penahanan ISA suami-suami mereka di depan rumah Perdana Menteri di Seri Perdana, Kuala Lumpur. Allahyarham Mohd Anang juga pernah dihantar oleh Harakah pergi ke Peshawar dan Afghanistan membuat liputan perjuangan mujahidin Afghanistan melawan Tentera Beruang Merah Rusia waktu itu.

Beliau pergi kira-kira 2 tahun selepas Osama Laden berada di sana. Suatu perjuangan yang sungguh mencabar. Bayangkan bagaimana hendak ke Afghanistan sedangkan pintu masuk ke negara tersebut telah ditutup. Tidak melalui jalan biasa yang kadang-kadang perlu berjalan kaki puluhan batu sehari. Saya rasa begitu, kerana saya juga pernah ke sana beberapa tahun sebelum itu. Saya pergi sebelum kedatangan Osama Laden lagi. Pergi bersendirian sebelum wujudnya Harakah lagi.

Kata YB Salahuddin selanjutnya mengenai Mohd Anang, “Saya teringat selepas beberapa jam bermesyuarat dengan Allahyarham, tiba-tiba saya mendapat telefon dari isterinya sambil menangis memberitakan tentang pemergiannya. Pemergian yang tidak disangka-sangka dalam suatu kemalangan jalanraya… Begitulah mudah perginya seorang mujahid!”

Akhirnya..

“Siapa yang nak bayar ni?” Kata Wan Johari sambil membetulkan gelas-gelas di meja, setelah selesai berbincang dan masing-masing hendak beredar. Mata masing-masing tertumpu kepada YB Salahuddin yang disebut-sebut berjiwa rakyat itu, sudah tentu dia juga seorang yang pemurah… boleh bayar. No problem.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL.
10-10-2007.

Sunday, October 07, 2007

Peluang Berniaga Di China..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“SUDAH 3 siri saya baca kisah mula berniaga dari depan Masjid Negara hingga ke China, saya masih belum nampak peluang-peluang berniaga di sana..” Kata seseorang kepada Syukri melalui telefon dan Syukri memberitahu saya. Boleh encik terangkan lebih lanjut? Dia tanya Syukri lagi.

“Saya pun susah nak jawab pertanyaan itu!” Kata saya pada Syukri. “Apa barangan China yang encik bawa balik ke Malaysia, untuk diniagakan?? Apa pengalaman encik Syukri menyebabkan encik pilih barangan tersebut.. Itulah yang sepatutnya encik terangkan, kalau ianya tidak menjadi rahsia atau strategi perniagaan!”

“Oo. Biar saya terangkan sekarang, supaya pembaca yang bertanya itu tahu..” Kata Syukri. “Sebelum pulang, saya minta kawan saya membawa saya ke tempat membeli kasut dan seliper di Guangzhou. Satu lorong terdapat kedai-kedai dan bangunan tinggi yang dipenuhi jutaan kasut dan seliper. Tiada jual benda lain di situ... Kerana terlampau banyak jenis, saya tak sempat memilih dan membandingkan harga. Dengar pula, ada tempat lain yang lebih murah.. di Yiwu, kira-kira 2 jam perjalanan dengan kereta dari situ pula.

Akhirnya saya tak jadi beli barang niaga tersebut, memandangkan kesuntukan masa dan wang yang tinggal beberapa ribu sahaja. Apalagi, bila penghantarannya memakan masa kira-kira sebulan. Saya fikir lebih baik saya cari barang yang mudah dibawa balik terus dengan penerbangan, dan boleh dijual sebelum menjelang Hari Raya Puasa ini. Kalau langganan laris boleh datang beli lagi sebelum Raya.

Saya masuk pula ke kawasan yang menjual handphone. Hampir ribuan jenis handphone ada. Dari yang berjenama terkenal seperti Nokia, Motorola hingga yang tiada jenama langsung, termasuk yang original dan tiruan.. macam-macam ada. Maka saya beli handphone dan MP4 secukup modal saya, untuk dijual di Malaysia.”

“Tak salah ke??” Saya tanya.

“Tak. Asal bayar cukai.”

“Bagaimana jualan barangan tersebut di Malaysia sekarang?”

“Bagus! Handphone sudah habis, tinggal MP4 saya. Siapa yang nak beli atau jadi ajen jualan untuk akan datang, sila hubungi saya.” Jelasnya dengan bersemangat.

Terfikir-fikir saya tentang peluang berniaga.. Teringat saya puluhan tahun lepas, sebelum China; waktu itu Thailand menjadi tumpuan beli barang murah seperti baju dan lain-lain. Saya pernah berkunjung ke Bangkok menemui kawan saya orang Sudan yang berniaga pakaian dan memasarnya di Dubai. Sebelumnya; dia sentiasa memikirkan apakah bentuk pakaian kanak-kanak yang diminati oleh orang-orang Afrika. Dia buka pejabat di Bangkok dan mengupah penjahit-penjahit di Bangkok membuat pakaian menurut citarasa yang dia kehendaki. Akhirnya dia berjaya memasarnya berkontena-kontena ke Dubai.

Hujung tahun 90an lepas sewaktu saya berada di Phnom Penh, saya bertemu seorang peniaga (orang Melayu Cham) yang sentiasa berulang-alik Malaysia-Kemboja. Dia mengupah kedai-kedai jahit di Phnom Penh membuat baju Melayu dengan harga RM3 sahaja sehelai. Modal kain untuk sehelai baju itu kira-kira RM5 (satu meter kain yang lebar asal China) di bandar tersebut. Upah bawa ke Malaysia lebih kurang RM0.5. Bererti modalnya RM8.50 sehelai, boleh dijual borong RM15 di Malaysia, sekurang-kurangnya.

Itulah perniagaan yang menjadi punca pendapatan hariannya. Apalagi kalau ditempah dengan jumlah banyak dari kilang-kilang terus di negeri China, tentu lebih murah lagi. Dengar khabarnya, dalam pilihan raya umum lepas ada poster-poster BN yang dicetak di negeri China. Begitu juga pakaian-pakaian sekolah negara ini yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat tertentu, dibuat di Negara China.

Seorang lagi kawan menemui saya setahun dua lepas, berhasrat mencari peluang berniaga, dan dia pilih melawat negeri China. Baru-baru ini dia jumpa saya, dan sudah berjaya mengimport pakaian sukan buatan China di Malaysia. Semasa persidangan UMNO di PWTC baru lalu, dia memperkenal pakaian ‘jeket korporat’ buatan China di ruangniaga bangunan tersebut. Bahkan dia menubuhkan sebuah syarikat miliknya di Eropah dan memasarnya ke seluruh dunia. Kini 70% pasarannya sekarang, adalah di luar negara.

“Inilah tok guru saya dalam bisnes..” Kataguraunya, memperkenalkan saya kepada rakannya.

“Kenapa?” Saya tanya dia macam terperanjat.

“Abang ingat tak, abang yang memotivasi saya untuk cari peluang niaga di Negara China? Saya masih ingat abang menceritakan kisah seorang petani Cina di Sarawak yang banyak menghasilkan tanaman pisang memenuhi pasaran, hingga harganya jatuh...” Jelasnya.

“Bila dia sebut nak pasarkan pisang ke China, kawan-kawannya tertawa. Tak mungkin! Sesuatu yang lucu bagi mereka. Hal itu seolah-olah mencabarnya membuat dia berfikir bersungguh-sungguh. Akhirnya dia berjaya membina rangkaian penjual goreng pisang di bandar-bandar di China, menyebabkan harga pisangnya berkali-kali ganda untungnya dari dahulu!” Jelasnya lagi.

“Berniaga goreng pisang boleh jadi kaya, bahkan akan jadi jutawan!” Sambut kawannya pula, membuat yang lain-lainnya pun sama-sama tertawa.

Itu sebabnya, Nabi SAW pernah menyebutkan 90% rezeki adalah dalam perniagaan. Oleh itu mulakan dengan cari peluang berniaga!!

Inilah antara jawapan kepada seseorang yang bertanya Syukri tadi.
Perhatian: Penulis telah menerima beberapa e-mail dari pembaca-pembaca, ramai yang tanya cara-cara dan peluang berniaga di China, ekoran dari tulisan lepas ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Peniaga Global..’, ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Guagzhou’ & ‘Antara Masjid Negara KL & Masjid Huai Sheng China..’ Lihat Tranungkite.net atau blog penulis ini sendiri. Untuk mudahnya anda terus menghubungi: Sdr Syukri Tel: 019 6190145 atau datang ke Gerai Niaga Halaman Masjid Negara pada tiap hari Jumaat sebelum atau selepas sembahyang Jumaat. O ya. maaf kalau penulis tak sempat jawab e-mail anda!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 07-10-07

Friday, October 05, 2007

Peluang Berniaga Di Aceh (2)

Ladang sawit di Aceh 

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan/Santai.
BARU beberapa hari tersiar di laman web Tranungkite.Net (Peluang Berniaga Di Aceh tulisan awal Oktober) saya sudah menerima beberapa e-mail yang bertanyakan mengenai peluang berniaga di Aceh. Antaranya adalah dari sebuah syarikat di Jeddah yang membekal barangan makanan dan kegunaan harian di seluruh Arab Saudi, juga dari Hal Ehwal Pelajar sebuah universiti di Malaysia serta individu-individu yang telahpun mengusahakan industri kecil seperti pembuatan sos, kicap, tiram, cuka, rose atau lain-lainnya.

“Alhamdulillah, terima kasih atas respon anda!” Itu yang saya ucapkan pada mereka.
Kerepek balinjau Aceh.

Antara maklumat yang mereka mahu ialah mengenai:

i.Barangan industri makanan dari Aceh (ke Saudi atau lain-lain negara).
ii.Pengeksportan batu bara atau arang batu keluar dari Aceh.
iii.Modal dan keperluan untuk memulakan perniagaan di Aceh.

Maka saya pun membuat pertemuan dengan satu kumpulan peniaga-peniaga Aceh di Kuala Lumpur, dan perbincangannya berkisar sekitar perkara-perkara di atas.

“Sebelum sampai ke sasaran perbincangan, tuan-tuan kena tahu serba sedikit mengenai perkembangan politik terkini di Aceh.” Kata seorang bekas tentera GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang kini sedang berada luar dari negaranya bagi menerangkan peluang-peluang berniaga dan melabur di Aceh.

“Tuan-tuan kena tahu mengenai perjanjian persefahaman ‘MoU Helsinki’ yang ditandatangani pada 15 Ogos 2005 di luar negara (Helsinkei) antara GAM mewakili rakyat Aceh dengan pemerintah RI (Republik Indonesia). Persetujuan selepas tragedi Tsunami (25 Disember 2004) di mana kedua-dua pihak bersetuju meletak senjata, GAM menggugurkan tuntutan kemerdekaan dari RI dan rakyat akan menentukan nasib mereka melalui pilihan raya umum yang akan diadakan pada tahun 2009.

GAM akan berlawan melalui parti politik, dan jika menang, rakyat Aceh akan ‘menubuhkan kerajaan sendiri’, yakni lebih berkuasa lagi dalam berbagai bidang, termasuk perekonomian, seperti yang akan kita bincangkan..” Jelas beliau lagi.

Untuk lebih jelas lagi, anda boleh lihat MoU Helsinki Perkara 1.2.1 mengenai parti politik tempatan Aceh, Perkara 6.1 sub c mengenai peranan Komite Politik dan Keamanan Kesatuan Eropah atau Perkara 1.1.3 dan 1.2.2 berkait dengan logislatif di Aceh.

Pengurus sebuah syarikat perunding perniagaan dan pelaburan Malaysia-Aceh pula menambah, “Hari itu (tulisan lepas) saya telah sebutkan 10 perkara peluang berniaga di Aceh.. perkara ke 5nya (Import daging halal India-Aceh), telah selesai diMoU dengan seorang Islam pengusaha daging lembu halal dari India. Kini dia sedang menyumbangkan ‘sadaqah jariah’ kepada anak-anak yatim Aceh untuk menyambut puasa dan hari raya tahun ini. Al-hamdulillah!

Kalau dikhususkan kepada barangan industri makanan eksport Aceh keluar negara, maka saya pilih 9 perkara berikut dan yang ke 10 bahan mentah yang bukan makanan.

1.Pisang salai, kerepek pisang, kerepek ubi, dan keropok belinjau (melinjau). Setakat ini kerepek pisang yang dibawa masuk ke Malaysia di bawah harga RM10 sekilo (sampai di Malaysia – tiada jenama) bagi minimum order 1 tan. Ada juga pisang salai bermadu, yakni bersalut madu lebah.
2.Emping. Dibuat dari beras yang ditumbuk dan dikeringkan, dimakan dengan susu atau air panas.
3.Ikan kering. Pelbagai jenis ikan.
4.Madu lebah asli Indonesia.
5.Kopi Aceh.
6.Isi buah kelang-kaleng (buah enau) macam isi kelapa laut. Makanan basah.
7.Bahan mentah seperti kopra (kelapa kering) dan pinang.
8.Makanan laut seperti ikan kayu (basah), sirip ikan yu atau shark fine (dikeringkan untuk dibuat sup bagi restoran-restoren mewah) dan udang karang atau lopster (basah).
9.Sarang burung layang-layang (wallet).
10.Dan yang terakhir ini bukan makanan tetapi bahan mentah seperti batu bara dan minyak nilam atau minyak wangi (macam minyak attar yang belum diproses). Mengenai bahan bakar batubara, saya sedang mencari maklumat lanjut.

Dengan itu bagi menentukan modal dan keperluan berniaga di Aceh terletak kepada jenis barangan yang akan diniagakan. Contohnya kalau nak mula berniaga atau memasarkan kerepek pisang anda perlu beli 1 tan barangan [modal di bawah RM10,000 (RM10x1,000kg] dicampur dengan peralatan pembungkusan.

Bagi yang sudah ada kilang seperti pembuatan sos, kicap dan lain-lain itu, untuk melebarkan perniagaannya di Aceh lebih mudah lagi. Soal kelulusan pihak berkuasa tempatan dan lain-lain, insya Allah, beres! Apa-apa hal sila hubungi saya, Mansurdin: 0193489046 (no telefon KL) atau kawan saya Ibnu Hasyim.”

Demikian saya panjangkan perbincangan mengenai peluang-peluang berniaga di Aceh dalam Catatan Santai untuk kali ini. Bukan di Aceh sahaja, bahkan di mana-mana seperti Saudi Arabia, China, Dubai, Negara-negara bekas Soviet dan lain-lain jika ada peluang. Anda juga dijemput untuk berkongsi pengalaman dengan kami, sekurang-kurangnya sebagai motivasi niaga kita bersama. Insya Allah. 

Ibnu Hasyim.
e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com 
KL. 06-10-07

Lihat..
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'
E-Buku IH-15: Aceh, Sebelum & Selepas Hasan Tiro'

Thursday, October 04, 2007

Rahsia Kueh Bulan Diedar Pada 11 September..


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


BERITA Rakyat Semasa, adalah laman web PAS berbahasa Cina yang dilancarkan berserta pengedaran Kueh Bulan dan DVD. Soalnya mengapa pelancarannya diadakan pada 11 September 2007 baru lalu? Mengapa encik Hu Pang Chaw sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS pilih tarikh yang sama dengan hari ranapnya Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York (11 September 2002)?

Lord Azaab menulis, ‘PAS telah memilih hari tersebut untuk mengambil langkah dengan memberi imej baru kepada parti terutamanya kepada orang-orang bukan Islam mengenai matlamat dan perjuangan mereka.’ (web Tranugkite Net Okto 02)

Ulasan saya..


Pertama. Bila diteliti.. dikatakan penyerang WTC itu adalah satu aliran gerakan Islam yang dianggap sesat, melampau dan disebut-sebut menjadi ancaman kepada dunia, di bawah pimpinan Osama Laden atau Al-Qaeda. Serangan tersebut telah mengorbankan ribuan nyawa orang awam. Kononnya gerakan itu secara keganasan, yang ditampilkan melalui kegiatan Al-Qaeda dan Taliban.

Seterusnya dikaitkan pula dengan Jamaah Islamiah (JI) di Indonesia, Abu Sayyab di Filipina, pengeboman keretapi di Eropah dan lain-lain yang sejenis dengannya. Gerakan yang kononnya menculik, menyembelih sambil bertakbir, dan mengugut orang awam seperti pekerja-pekerja, pemberita dan lain-lain. Apakah rahsia yang tersirat sebenarnya dibalik pemilihan tarikh tersebut? Apakah PAS juga menyahut seruan Al-Qaeda yang memperingati peristiwa tersebut tiap tahun?

Apakah untungnya PAS jika digambarkan seperti gerakan Al-Qaeda dalam suasana sekarang, apalagi terhadap orang yang baru menyokong PAS? Pada pengamatan saya, yang lepas-lepas PAS sentiasa mengelak daripada dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda dan Taliban, kerana PAS memilih perjuangan melalui peti undi bukan melalui senjata dan kekerasan. Apakah PAS yang sudah dikenali perjuangannya melalui demokrasi memilih ‘imej baru’ kepada kekerasan? Haus darah manusia? Atau PAS hanya bersetuju dengan robohnya rangkaian penindas?

Ataupun pemilihan tarikh tersebut boleh dianggap dan ditafsirkan sebaliknya? Supaya jangan berlaku begitu.


Kedua. Kalau mahu ditafsir sebaliknya, lebih baik kita pilih tarikh 13 Mei. Kerana 13 Mei 1969 terkenal dengan peristiwa pergaduhan perkauaman antara Cina dengan Melayu. Kita tidak mahu berlaku seperti itu, yang kita mahu berlaku sebaliknya.

Melihat kepada kenyataan ustaz Mujahid Haji Yusuf Rawa, ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, “Tujuan utama Kelab Penyokong PAS itu ditubuhkan ialah untuk merobohkan tembuk-tembuk pemisah perkauman dan asabiah yang menjadi tabiat politik Malaysia..” , maka pemilihan tarikh tersebut adalah amat sesuai dipilih.

Apalagi bila Ustaz Mujahid menambah. “Supaya ada atau diwujudkan penjelas-penjelas Islam sebenar dari kalangan orang bukan Islam sendiri…”, maka ianya lebih mudah menerangkan Islam sebagai anti perkauman, dari menerangkan Islam melalui apa yang dianggap ‘keganasan’. Tapi tarikh 13 Mei itu sudah lepas agak lama.


Ketiga. Pembagian kueh-kueh bulan kepada orang ramai terutama kepada penyokong-penyokong PAS bukan Islam, walaupun kueh bulan itu pernah dijadikan upacara tradisional tahunan Bon Odori atau pesta hantu di kalangan kaum Cina. Kalau kueh bulan dipilih sempena nama ‘bulan’ sebagai lambang PAS, samakah dengan jalur gemilang sebagai lambang kerajaan Malaysia yang dibuat dalam bentuk kek?

Ada laman-laman web yang memuatkan gambar orang makan dan memamah kek jalur gemilang, sama seperti musuh-musuh negara meratah atau memamah Negara Malaysia.. Apakah hal ini juga berlaku pada PAS yang akan diratah, juga dimamah oleh orang bukan Islam di Malaysia? Bagai menepuk air didulang!


Keempat. Ada yang menganggap pemilihan tarikh 11 September dan pembahagian kueh bulan kepada orang ramai itu adalah sebagai gimik atau kempen politik. Kalau betul begitu, maka tulisan ini juga adalah kesinambungan darinya...

Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 04-10-2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails