Sunday, December 02, 2007
Saya Setuju Ucapan BN Cameron Highland..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
UCAPAN Ahli Parlimen BN Cameron Higland, YB SK Devamany yang persoalkan kegagalan dasar pembangunan kerajaan dalam membangunkan kaum India, pada saya amat bernas bahkan bagai ubat pahit pada badan BN yang banyak penyakit। Beliau cuma mencelah dalam sessi soal-jawab antara Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman dengan Ketua Pembangkang YB Lim Kit Siang.
Hal ini berlaku sehari selepas Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (HINDRAF) mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur। Menurut beliau jumlah 50,000 orang India yang hadir itu menandakan ‘ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem yang berjalan dalam negara ini.’, ‘…ini suatu kegagalan॥’, ‘jadi saya rasa perkara ini perlu dilihat secara serius.’ Begitu pendapatnya.
Begitu juga nadanya bila Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum menjawab soalan mengenai peratusan kaun India dalam PDRM, “Perhimpunan yang diadakan menunjukkan kekecewaan kaum India, walaupun pelbagai janji telah dibuat kerajaan। KDN memberikan peluang yang kecil tetapi janji yang besar.” Jawabnya kepada Johari.
Menurut Devamany, keseluruhan yang menyertai perhimpunan itu adalah dari kalangan muda dan pertengahan। Mereka berdemontrasi kerana peluang yang ada untuk mereka sebagaimana dijanjikan kerajaan melalui Dasar Pembangunan Malaysia 2020 dan Rancangan Malaysia 9 dalam perkhidmatan awam, kemasukan ke IPTA, pelbagai latihan dan bantuan kewangan adalah amat sedikit.
“Apakah tindakan yang dibuat untuk menunjukkan keikhlasan pihak kerajaan bagi mengatasi masalah kemiskinan dan peluang yang terhad kepada kaum India?” Dia seolah-olah mencabar.
Lebih tercabar lagi bila saya baca pula tulisan Penarik Beca (Bakar Haq) mengenai isi tuntutan puak-puak HINDRAF itu mengenai Islam di negara ini… Lagi bukti menunjukkan kegagalan kerajaan BN (kononnya UMNO sebagai tulang belakang) perintah negara ini। Api ciptaan UMNO mulai panaskan buntut UMNO sendiri!
Sang Kelembai pula menulis, “Ada pertanda tindakan Hindraf itu satu konspirasi Kerajaan Tiga Beranak, kerana formula ini sudah pernah digunakan oleh Amerika, yang mana Presiden JF Kennedy menolak cadangan CIA untuk menembak sendiri peluru berpandu ke bandar-bandar besar Amerika untuk provokasi di zaman konflik Cuba dan yang terbaru ialah pengeboman World Trade Center di New York bagi menghalalkan serangan Amerika ke Iraq। Bila melihat cara Abdullah Hj Ahmad bercakap sama seperti Operasi Lalang yang mana UMNO menganjurkan demonstrasi isu Lim Kim Sai dengan MCA.”
Menurut Pemuda Wilayah pula, dikatakan UMNO berjaya memainkan peranannya dengan mengapi-apikan orang Melayu dengan demontrasi Hindraf yang didakwa menghina orang Melayu। Timbul satu persoalan dikepala, Sewaktu himpunan Hindraf, 2 orang pimpinan Hindraf ditahan dan dikawal ketat dirumah dan seorang dilokap. Mereka dipantau 24 jam hinggalah demo habis.
“Isunya disini, siapa yang lead demo tu? Macam mana tuntutan yang dikemukan melalui saman 14 trillion tidak disebut langsung dalam memo। Isi memo yang mendakwa bahawa wujudnya aktiviti Genoside di Taman Medan nampaknya berbeza sekali dengan tuntutan Hindraf. Peliknya kita pun tak tahu siapa yang faks surat tu? Media hanya sebut faks dari wakil Hindraf. Ini menunjukkan seolah-olah ada provokasi dari BN dan kemungkinan surat itu palsu. 3 orang peguam dibebaskan tanpa pertuduhan selepas himpunan. Mereka juga agak senyap dan kurang bahas isu saman 14 trillion. Adakah mereka telah diugut semasa ditahan?” Kata Pemuda Wilayuah.
Banyak betul tanda tanya। Segala-galanya ini membuktikan kegagalan dasar kerajaan. Tak kira samada mengenai orang India, Cina atau Melayu. Masing dalam pakatan BN, bila berdepan kaum sendiri janji macam-macam seolah-olah dia penyelamat bangsanya. Tetapi di belakang lain. Pemimpim-pemimpin UMNO pula dulu kata, ‘negara ini bukan negara Islam’ bila berdepan dengan orang bukan Islam. Bila berdepan dengan orang Islam, mengaku negara Islam pula! Cuba jelir lidah tu, bercabang ke tidak?
Kerana itu, bercelaru habis kaum-kaum di negara ini bertelagah sesama sendiri macam peristiwa perkauman 13 Mei 69। Cuba ikut konsep Negara Islam sebenar, manusia dalam negara Islam hanya ada dua, hak orang Islam dan hak istimewa orang bukan Islam. Ada hak mustad’afin dan ketentuan mustakbirin॥ Tiada diskriminasi lain yang boleh disembunyikan seperti dalam Negara-negara Bangsa di dunia ini termasuk Malaysia.
Di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan beberapa hari lalu, bila pemimpin UMNO jadi pembangkang, dia tak larat lawan bercakap secara lelaki, dia hendak tendang YB dari pihak kerajaan pula। Ai, samseng sangat ke? Dia kira buah dia, tak kira buah orang! Menteri UMNO di Jabatan Perdana Menteri pula bila tidak bersetuju dengan ucapan YB SK Devamany seperti yang disebutkan, dengan lantang menyuruh YB tersebut keluar MIC! Mentang-mentang dia jadi menteri, dia boleh cakap ikut suka sendiri.
Sama dengan YB UMNO di parlimen baru-baru ini juga menyuruh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang keluar dari Malaysia kerana mungkin di anggap tidak bersetuju dengan ‘Islam Hadhari’nya. Baru sebut kerajaan Islam (ala UMNO), dah nak hambat orang bukan Islam keluar dari ‘negara Islam (ala UMNO)’nya. Islam tak suruh macam tu, buat malu Islam saja!
Bila PAS nak ikut hukum Islam UMNO kata tak betul, jangan laksanakan hudud, itu hudud PAS dan Islam cara PAS? Ada orang tanya hudud UMNO mana? UMNO tak jawab। UMNO perkenal pula Islam Hadhari. Sebenarnya hudud itu adalah hukum Allah, kalau kamu UMNO tak mahu kepada perlaksanaan hukum Allah di bumi Allah, mengikut logik kamu wahai UMNO, kamu boleh keluar dari bumi Allah ini!!! Wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 01-12-2007. KL
Friday, November 30, 2007
Orang Melayu Kemboja.
Dari Tebing Sungai Mekong.. (1)
ANGIN sepoi-sepoi bahasa bertiup dari Sungai Mekong sungguh menyegarkan. Sungai yang membelah dan merentasi bumi negara Kemboja, dari Laos mengalir menuju ke Phnom Penh lalu terus ke Laut Teluk Siam. Di pinggir sungai sebelum sampai ke Phnom Penh itu, terdapat antaranya sebuah bandar ibu negeri Kampung Cham, salah sebuah negeri dalam negara Kemboja.
Senja Di Sungai Mekong
Dari atas tebing sungai itu jelas nampak kapal-kapal dagang sedang berlabuh. Beberapa buah bot kecil dan feri sedang hilir mudik mengambi penumpang. Pekerja-pekerja sibuk mengangkut barang. Di daratan, gerai-gerai pacak berderetan di pinggir jalan, walaupun ada kedai-kedai batu yang tetap. Pengunjung-pengunjung bergegas ke distinasi masing-masing.Di antara yang ramai itu, sekali-sekala melintas wanita bertudung sopan, gaya Melayu trasional. Lelakinya berkain sarung, kepala berkupiah lebai, ada yang dibelit dengan serban. Ada juga yang menyangkut di bahunya sahaja. Sudah tentu mereka adalah orang Melayu Cham, walaupun ramai lagi yang tidak berpakaian seperti itu, terutama yang sudah keluar dari kampong tinggal di bandar.
Orang Melayu Kemboja.
Begitulah juga kawan saya orang Cham yang sama-sama kami hendak pergi ke Perik Aji di negeri Kampung Cham. Cham atau Champa adalah nama penduduk negeri itu, satu masa dulu pernah mendirikan kerajaan sepanjang pantai antara gunung-gunung Annam atau sekarang disebut Vietnam. Kerajaan yang pernah terkenal pada kurun ke7 masehi dahulu.Kampung Cham adalah negeri paling ramai penduduk Islamnya di Kemboja. Jumlah semua penduduk,termasuk pelbagai agama di sana ialah kira-kira 10,000 orang. Pada waktu itu (sekitar tahun 2,000 masihi), dikatakan jumlah masjid dianggarkan 300 buah yang sentiasa bertumbuhan bagai cendawan musim hujan sepanjang masa.
Teringat saya sewaktu mula bertemu dengan kawan saya itu depan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh.
“Ustaz orang Malaysia?” Dia tanya dalam bahasa Melayu loghat Kemboja.
Bila saya mengangguk, kami saling berkenalan. Dengan tanpa syak buruk, dia terus mengajak saya ke rumahnya di Perik Aji atau Parit Haji itu. Memang saya minat sangat hendak berziarah ke Kampung Cham. Minat saya timbul baru semalam, selepas solat Jumaat di Masjid Besar Phnom Penh, di mana khutbahnya dalam bahasa Melayu. Imamnya ‘berkhutbah’ bukan ‘baca khutbah’ macam di kebanyakan masjid-masjid di Malaysia.
“Mengapa Tuan Imam beri khutbah dalam bahasa Melayu, sedangkan kebanyakan pendengarnya orang Kemboja, atau lain-lain bangsa seperti India, Pakistan dan Arab yang tidak faham bahasa Melayu?” Tanya saya semasa saya berada di rumahnya lepas solat Jumaat.
Rumahnya di suatu sudut kecil di bawah masjid tersebut. Masa pemerintahan komunis dulu, masjid tersebut dirampas dan dijadikan restoran tempat askar-askarnya minum arak. Bila pemerintahan beralih kepada demokrasi, masjid tersebut dibeli semula oleh dermawan-dermawan dari Kuwait, dan dijadikan masjid semula.
“Islam datang ke sini, antaranya dibawa oleh orang Melayu, terutama dari negeri Kelantan.” Jawab beliau.
“Namun, kita tidak menafikan pandangan pengkaji-pengkaji sejarah yang berpendapat, Islam tersebar ke nusantara pun mula dari arah selatan negara China. Hal ini terbukti hasil penemuan batu bersurat di Phan Rang, Vietnam Selatan bertarikh 416/431 Hijrah. Selain itu, beberapa buah batu bersurat lain turut ditemui di sepanjang jalan laut dari pantai Indo-China ke Terengganu. Itu dulu. Yang saya maksudkan sekitar abad satu dua abad yang lalu.” Sambungnya.
Beliau mendapat didikan agama Islam di Mesir. Semasa pemerintahan komunis beliau pernah dipenjara beberapa tahun.
“Jadi untuk belajar Islam, maka lebih mudah dalam bahasa Melayu... Banyak persamaan dari segi sosio-budaya dan rupa-bangsa, terutamanya bahasa. Contohnya, perkataan ‘kelantan’, dalam bahasa kami (Melayu Cham) maknanya ‘ular besar’ atau ‘ular banyak hingga bertindih-tindih’. ‘Melaka’ ertinya ‘perhentian’. Bagaimana cerita Parameswara berhenti di bawah sepohon pokok … pokok melaka seperti dalam buku Sejarah Melayu.
"Begitu juga perkataan ‘kampung’ yang masih dipakai di sini. Nama tempat Pengkalan ‘Cepa’ di Kelantan menurut loghat Kelantan, sedang asalnya dari perkataan ‘Champa’ atau Cham, dan banyak lagi.… Saya juga masih ingat di peringkat ayah atau nenek saya dulu, bagaimana kegigihan ulama-ulama yang memperjuangkan agama Islam di sini, seperti ayah saya dari Kelantan, Tuan Guru Haji Saleh dari Tanah Melayu, ada dari Pattani, Indonesia dan lain-lain!” Jelas beliau lagi.
“Sehingga sekarang, ada sebuah kampong di Kemboja, yang penduduknya membahasakan diri mereka dengan istilah ‘jawaku’. Ini menunjukkan betapa dekatnya jiwa mereka dengan Orang Jawi atau Orang Melayu dari Tanah Jawa. Tapi sayang…” Katanya agak mengeluh. “Mereka tidak menganut agama Islam.”
“Kenapa boleh jadi begitu?” Saya tanya tidak sabar-sabar lagi.
“Boleh jadi juga mereka datang tidak bersama-sama agama Islam. Hanya atas nama bangsa Jawa sahaja.”
Feri di Sungai Mekang.
Hal-hal beginilah menyebabkan minat saya melonjak-lonjak untuk pergi berziarah ke Kampung Cham, mengikut kawan saya yang baru kenal itu.(Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim ini disalin semula dari makalah SERASI terbitan Planet Hijau Media/2001.)
Blogger: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Ke Kampung Perik Aji (2)
MAKA meluncurkan bot laju di atas air permukaan Sungai Mekong petang itu. Kami bertolak dari pekan Kampung Cham ke Perik Aji memilih bot laju, supaya jangan sampai malam di sana. Dalam perjalanan mengasyikkan itu, kami melintasi kumpulan-kumpulan nelayan kecil di tengah sungai yang arusnya laju. Mereka sedang menjala ikan. Ada juga yang sedang menahan bubu ikan bilis.
Di tengah-tengah sungai kekadang terdapat kumpulan-kumpulan pulau kecil berpenghuni. Terlihat dari jauh beberapa ekor lembu sedang meragut rumput. Beberapa ekor kuda sedang menarik pedati dari ladang biji lenga tanaman popular penduduk. Banyak penempatan-penempatan penduduk di kepulauan tersebut. Terdapat rumah-rumah dan masjid-masjid yang kebanyakannya hampir tidak siap, dan masih dalam pembinaan.
Di bibir sungai, kelumpuk-kelumpuk penduduk tempatan sedang mandi-manda dengan meriahnya. Bagaikan ada pesta air. Ramai wanita-wanita mandi berkemban, walaupun masih ada jarang-jarang wanita yang mandi berpakaian menutup aurat bertudung. Sudah tentu mereka yang bertudung itu adalah muslimah yang kuat memegang teguh ajaran agamanya. Rumah-rumah mereka sekitar pinggiran sungai. Dari jauh nampak rumah-rumah mereka agak tinggi-tinggi. Macam rumah tradisi orang Melayu Kedah. Berbumbung atap. Mungkin atap nipah atau rumbia.
Kira-kira dua tiga jam perjalanan, baru kami sampai di pengkalan berhampiran rumah kawan saya. Baru nampak jelas, tiang rumah itu di ambil dari batang nibung pejal yang bulat-bulat setelah dibuang durinya. Berlantaikan papan atau batang pinang yang dibelah-belah. Di rumah inilah saya menginap pada malamnya.
“Malam ini ustaz dijemput berceramah agama lepas magrib di masjid kampong ini.” Katanya sambil tersenyum, matanya merenung tepat pada mata saya. Tanda ikhlas dan memang begitu pun amalan Nabi Muhammad.
“Tapi..”
“Aah! Tak payah tapi-tapi lagi..” Beliau terus memotong. “Saya imam di masjid ini. Di sini tak perlu minta permit untuk berceramah, macam di negara ustaz..” Bunyinya seperti menyindir saya, tapi memang betul pun.
“Nah! Pakailah serban ini, kerana orang sini lebih sejuk matanya bila melihat penceramahnya berserban atau mengimami solat.” Katanya sambil menghulurkan kain serban dan ketayap lebai pada saya.
Saya berceramah agama dalam bahasa Melayu. Kerana masih ramai orang-orang tua yang boleh cakap Melayu, kecuali kebanyakan anak-anak mudanya. Kerana telah berlaku penghapusan etnik waktu rejim komunis berkuasa. Pol Pot yang anti agama dan golongan intelektual, telah membunuh umat Islam Kemboja terutama guru-guru agama. Umat Islam turut dilarang menunaikan solat di masjid. Pol Pot atau Khmer Rouge juga menghina Islam dengan melepaskan babi ke dalam masjid. Jika ada sesiapa yang membantah akan dibunuh tanpa bicara.
“Pak cik masih ingat, waktu itu sesiapa yang diketahui beragama, ternampak sedang solat dan berdoa, terus sahaja dibunuh. Masjid-masjid di sini dijadikan kandang babi. Kami orang Cham menjadi mangsa kekejaman paling teruk.” Jelas seorang tua dalam sessi soal jawab semasa saya berceramah.
“Muslimat kita dipaksa mengikut cara berpakaian perempuan Khmer. Mereka merobohkan institusi keluarga, dengan menjadikan golongan pemuda Kemboja sebagai penyeksa dan pembunuh yang tidak berhati perut.
Majoriti tentera Khmer Rouge yang teridiri dari golongan remaja belia telah ditugaskan bersama-sama tali barut untuk menangkap, menembak pegawai dan tentera kerajaan sebelumnya, Lon Nol. Sistem pos, kebebasan bergerak, pertukaran maklumat dan perhiasan diri turut disekat. Dari segi pakaian, hanya pakaian hitam yang melambangkan petani miskin sahaja dibenarkan, konon untuk membebas rakyat dari sistem feudal kapitalis sejak 2,000 tahun lalu.
Rakyat hidup dalam ketakutan akibat penindasan dan slogan yang berbunyi ‘Hidupmu tak bagi untung, matimu pun tak rugi apa-apa.’ Mukim ditadbir oleh anak muda robot yang tidak kenal belas kasihan. Pangkat naik jika dapat menghukum ibubapa atau keluarga sendiri!”
Seorang tua lain menambah, “Untuk merenggangkan tali persaudaraan, rakyat dikerah makan beramai-ramai. Mereka tidak dibenarkan mempunyai dapur sendiri. Bercampur antara orang Islam dan bukan Islam, makanan yang disediakan kadangkala mengandungi bahan haram seperti babi. Diwujudkan sistem kerja paksa dan catuan makanan. Ada yang diberi beras sesudu seorang tiap hari. Buat bubur, makan ramai-ramai, hingga ada yang mati kebulur.
Orang Islam juga dihalau ke kawasan pedalaman dan tidak dibenarkan berada dalam satu kelumpuk. Hubungan keluarga dihapuskan. Dipisahkan suami, isteri dan anak-anak. Lelaki dihimpun setempat, begitu juga wanita. Ada anak-anak yang sudah tidak kenal siapa ibubapanya. Ada yang tersalah berkahwin dengan ibu sendiri! Lahaulawala quwata illabillah!!”
Masing-masing geleng kepala dan menitiskan airmata mendengarnya.
Dikatakan juga mertua kepada anak Mufti Kemboja, Ustaz Kamarudin Yusof, turut menjadi mangsa tetak semasa menunaikan solat. Ustaz Kamarudin adalah penduduk Kampung Speu yang asalnya dihuni oleh 1,050 keluarga. Setelah perang tamat, hanya tinggal 50 keluarga sahaja di situ. Beliau tidak berhijrah keluar negara kerana bimbang keluarganya akan menjadi mangsa keganasan komunis.
Tentera Khmer Rouge juga memusnahkan banyak masjid, Al-Quran dan kitab agama. Tamat perang, hanya cebisan al-Quran dan kitab sahaja yang tinggal. Ustaz Kamaruddin pernah menyalin semula keseluruhan Al-Quran, Kamus Marbawi dan kitab-kitab lain, untuk menyelamatkan ilmu Islam. Beliau juga terpaksa mengajar agama tanpa Al-Quran serta kitab lain selama kira-kira 5 tahun, hanya berdasarkan ilmu di dada. Aktiviti ceramah di majlis-majlis kahwin, pembukaan masjid dan sebagainya sentiasa diadakan untuk menghidupkan kembali Islam di Kemboja.
“Masalahnya sekarang, kami kekurangan wang untuk membina masjid dan sekolah agama yang menjadi tunjang kekuatan aqidah. Kami hanya mengharapkan bantuan dari luar.” Kata seorang lagi yang agak bertokoh di kalangan mereka.
Seolah-olah minta simpati. “Setiap tahun banjir melanda kawasan kami, memusnahkan segala tanaman dan ternakan. Apa pendapat ustaz??” Dia mengarahkan soalan pada saya.
“Memang bantuan itu salah satu caranya. Tetapi kita perlu fikirkan supaya ada sumber sendiri. Orang di sini mungkin kaya dengan masa dan tanah. Ada orang Islam dari negeri lain yang ada wang, tapi tiada sumber tenaga manusia dan tanah.” Jawab saya secara spontan.
Lampu dalam masjid itu terus menyala walaupun agak separuh terang, kerana tiada talian letrik. Cuma guna bateri kecil sahaja. Renung untuk melihat bulu roma di tangan sendiri pun tak nampak. Nampak muka ahli-ahli jamaah di depan lampu sahaja. Yang lain nampak samar-samar.
“Jadi, usaha pertemukan dua golongan ini amat perlu untuk wujudkan suatu kekuatan. Barulah boleh difikirkan masalah kewangan, kemahiran pengurusan atau teknologi canggih. Kita boleh mulakan dari yang kecil untuk membuktikan kemampuan kita. Banyak khazanah Sungai Mekong boleh dipasarkan di luar negara.” Itulah teori penyelesaian saya.
Memang teknologi pertanian masih belum canggih dan perlu dipertingkatkan supaya bertambah pengeluaran. Banyak perniagaan perkhidmatan belum selesai seperti teksi, bas atau feri. Saya lihat beratus-ratus bas dari Pulau Pinang Malaysia sedang beroperasi perkhidmatannya di Phnom Penh. Apalagi bila Menteri Pengangkutan Kemboja adalah orang Islam yang perlu sangat kerjasama dari orang Islam lain untuk membangunkan negaranya.
Malam itu lepas solat isyak, kami pun pulang। Tiada makan-makan seperti kebiasaan masjid-masjid di Malaysia. Saya dijamu makan malam di rumah ustaz yang saya tumpangi. Tiada kegiatan apa-apa lagi selepas itu. Maka, kelambu pun digantung sebagai isyarat suruh tidur. Tiada tv, tiada VCD. Cuma radio kecil terngiang-ngiang di telinga menggantikan nyamuk sebelum terlelap.
Besok pagi sebelum subuh, saya telah bangun dan merayap-rayap ke tepian sungai dengan lampu picit untuk mandi serta berwuduk. Lepas makan pagi pula, kami pergi berziarah ke kampong berhampiran. Di perjalanan kami sentiasa berselisih dengan kumpulan wanita-wanita berpurdah. Sesampai di kampong tersebut, kami disambut oleh penduduk kampong yang keluar beramai-ramai terdiri dari lelaki dan kanak-kanak, kerana wanita berkumpul menunggu di dalam rumah.
Ditunjukkan kepada saya, sekolah agama yang baru didirikan dengan serba kekurangan. Gurunya cuma beberapa anak kampong yang tidak bergaji tetap. Akhirnya saya sampai ke sebuah masjid yang sudah agak lama dibina. Tapi bumbungnya hanya menutupi bahagian imam sahaja. Yang lain terbuka nampak langit.
“Bagaimana nak solat? Kalau panas takpe le. Kalau hujan turun masa solat…” Terloncat tanya gurau dari mulut saya।
“Tak apa-apa bagi kita.” Jawab seorang yang mengiringi saya. Jarinya menuding pula kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang mengerumuni kami dengan gembira, “Tapi bagi mereka…”
“Lari!!!” Sambut kanak-kanak itu ramai-ramai, sebelum dia habis bercakap. Ya, bila hujan datang, kalau tidak sanggup tunggu dalam hujan, mereka cabut lari.
(Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim ini disalin semula dari makalah SERASI terbitan Planet Hijau Media/2001.)
Blogger: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
25-11-07.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Wednesday, November 28, 2007
Kahwin Kemboja: ‘Astaghfirullah’ Atau ‘Alhamdulillah’
PUNCAK Hotel, adalah sebuah hotel sederhana yang khabarnya adalah antara beberapa buah hotel milik orang Malaysia di Phnom Penh Combodia। Combodia (Cambodge), mengikut lidah Orang Melayu disebut Kemboja. Hotel ini mungkin dimiliki oleh orang Islam, yang faham dan beramal dengan keindahan agama Islam.
Sebab dikatakan begitu, kerana keadaannya bersih dan menyediakan makanan halal. Bahkan yang lebih penting lagi ialah bersih dari kekotoran maksiat. Tidak ada pelacuran dan perjudian seperti di beberapa hotel mega di tepian Sungai Mekong yang juga antaranya milik syarikat-syarikat Malaysia. Bukan juga seperti hotel-hotel sederhana lain, yang sentiasa diganggu oleh perempuan-perempuan jalang, beralasan untuk khidmat urut, seks, arak dan daging-daging haram.
Mungkin inilah antara sebabnya timbul anggapan di kalangan orang Kemboja, bahawa orang Islam itu orang yang bersih dan sangat pentingkan kebersihan.
“Jom kita turun, kita pergi sana!” Pelawa rakan saya। Mengajak turun dari hotel tersebut, pergi ke sebuah hotel lain yang berhampiran. “Pergi meraikan kawan kita yang kahwin lagi.”
Rakan yang bersama saya ini, seorang Islam Kemboja berasal dari Kampung Cham. Kampung Cham adalah sebuah negeri di Kemboja terdapat paling ramai penduduk Islam. Di situlah beliau dibesarkan dan menghabiskan usia mudanya bersama tentera bagi menuntut kemerdekaan di negaranya. Beliau sering berulang-alik dari negaranya melalui Thailand ke Malaysia berniaga, sambil mendalami ilmu-ilmu agama. Sering juga singgah bermalam di pekan Poipet, sebuah pekan kecil di sempadan Kemboja-Thai dalam negara Kemboja.
Secara kebetulan beliau memilih penginapan di sebuah hotel kecil di pekan itu, kepunyaan seorang wanita muda, janda anak satu. Tanpa disedari segala gerak gerinya sentiasa diperhatikan oleh pemilik hotel itu, wanita Kemboja keturunan Cina yang sudah tidak tahu lagi bahasa asalnya kecuali bahasa Kemboja.
“Kenapa tuan sentiasa berkurung seorang diri di bilik sewa ini, tidak mencari teman tidur seperti orang lain?” Wanita itu mencuri kesempatan bertanya kepadanya pada suatu hari।
Maklumlah, pekan sempadan. Di situlah sarang pelacuran, bagaikan tong-tong sampah tempat membuang najis. Diselangi tegukan air kencing syaitan dan perjudian yang kekadang membabitkan pergaduhan. Sedangkan orang-orang lain keluar masuk hotel dengan perempuan-perempuan muda keliling pinggang, seolah dunia tidak kiamat dan tiada hari pembalasan.
“Saya orang Islam।” Jawab kawan saya tegas. “Tidak boleh tidur dengan perempuan yang bukan isteri sendiri. Tidak boleh main judi. Tidak boleh minum arak.”
Wanita itu nampak terkejut. Selama ini ia tidak pernah kenal orang Islam dari dekat. Ia teringat kepada bekas suaminya pegawai tentera Kemboja. Sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, membuat apa saja yang ia tidak suka.. menampar, menendang bahkan mengugut. Menyebabkan rumah tangganya hancur berderai. Hingga sekarang, bayang-bayangnya masih menghantuinya. Tapi orang Islam ini, mungkin tidak panas baran begitu. Kerana dia tidak minum arak. Sentiasa ke bilik air (berwuduk) dan nampak pembersih. Dia berfikir terus.
“Apakah semua orang Islam begitu?” Dia bertanya lagi।
“Sepatutnya begitu! Kami orang Islam, kami percaya pada Tuhan. Kalau kami buat jahat, walau siapapun tak nampak, tapi Tuhan kami nampak.”
Jawapan itu terus terpahat di kotak fikirannya, menyebabkan ia mula berjinak-jinak mengenali Islam. Akhirnya dia masuk Islam dan ingin berkahwin pula dengan orang Islam. Dialah wanita yang akan dikahwinkan sebentar lagi, di tempat yang kami sedang tuju sekarang.
“Mengapa engkau pilih orang lain tidak engkau sendiri yang menjadi teman hidupnya?”
“Kerana melihat latar belakang mereka berdua, aku rasa cukup sesuai. Apalagi ‘kawan kita’ ini orang Malaysia mempunyai wawasan besar untuk berdakwah. Aku ni, susah sikit.” Katanya sambil geleng-geleng kepala.
“Sebab quota untuk kawin tambah dah dekat nak penuh! Juga di tanganku ini, ramai lagi anak-anak gadis kampungku yang warisnya menyerahkan amanat kepadaku untuk dicarikan jodoh. Mereka suka orang Malaysia kerana agamanya, walaupun terpaksa ikut jauh sesudah berkahwin. Atau menunggu suaminya pulang dari Malaysia sebulan atau dua bulan sekali menggiliri isteri-isterinya.” Perbualan kami terhenti bila sampai di depan hotel yang dituju.
Imam Masjid Besar Phnom Penh bersama dua pengiringnya yang dijemput pun ada di situ. Wanita itu dengan seorang temannya yang juga wanita pun ada sama. Sama-sama dijemput ke bilik melangsungkan majlis aqad nikah. Setelah menilik data-data peribadi pasangan, saksi-saksi dan mas kahwin yang cukup mudah, maka majlis pun berlangsung.
Setelah selesai Tuan Imam berkata, “Bagi kami orang yang mahu berkahwin menurut syariat adalah orang baik-baik. Seperti satu masa dulu awal 90an, tentera-tentera orang Islam Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu yang berkawal di sini dari berbagai bangsa di dunia telah kami kahwinkan berpuluh-puluh pasang sehari dengan wanita-wanita Islam tempatan atau yang baru masuk Islam.”
“Mereka boleh duduk tanpa nikah kalau mereka mahu, kerana tiada undang-undang tangkap khalwat macam di negeri tuan-tuan! Kerajaan ini bukan kerajaan Islam, mereka lagi suka kalau rakyatnya tak ikut cara Islam.” Celah seorang pengiring Imam.
Tiba-tiba kawan kita orang Malaysia yang baru kahwin itu bertanya, “Adakah dikeluarkan apa-apa tanda dan bukti perkahwinan ini, supaya mudah saya membawa isteri saya ke Malaysia tidak kena tangkap basah??”
“Saya boleh bantu untuk dapatkan surat akuan nikah dari persatuan Islam di sini.” Jelas Imam lagi.
“Kalau semua yang kahwin bawa balik isterinya ke negara masing-masing, maka kuranglah benih Islam di sini. Maka lambatlah berkembangnya dakwah?” Giliran saya pula menyampuk.
Isteri baru kawan kita tadi pula menambah, “Bagi kami, mengahwini wanita di sini secara sah adalah amat bertangungjawab. Tak kira samada bawa balik isteri atau tinggal di sini! Bukan seperti askar-askar Amerika yang hanya memuaskan nafsunya sahaja, pulang meninggalkan pembiakan sarang pelacuran dan wabak penyakit, tinggalkan anak tanpa bapa, merayau-rayau di jalanan.”
Hebat juga muslimah ini, seolah-olah dia bukan muallaf. Fikirku.
“Tuan-tuan tahu?” Sambungnya। Nampaknya dia pula yang berkhutbah. “Negara kami baru lepas perang, telah mengorbankan jutaan lelaki kami. Ramai isteri yang kehilangan suami, anak kehilangan ayah, ke mana tempat mereka nak mengadu dalam negara miskin, baru dan rapuh ini?? Kadar nisbah lelaki perempuan di sini lebih 1:10. Bahkan ada yang kata lebih lagi hingga 1:30, kerana tiada statistik rasmi. Mengapa tidak ada badan-badan pembebasan wanita dunia membela secara praktikal dan bersungguh di sini??” Nadanya mulai beremosi.
“Tiada jalan lain kecuali dengan mengimport dan mengembangkan agama Islam di sini. Bawalah lelaki Malaysia ramai-ramai ke sini! Penuhilah quota kahwin empat menurut syariat, kerana tiada agama lain yang sebaik Islam. Sebab saya sendiri bersama rakan-rakan mampu mengumpulkan 50 wanita muda seminggu yang mahu masuk Islam jika ada lelaki Islam mahu kahwin dengan mereka. Tidak kira samada lelaki muda atau tua, kaya ataupun miskin! Termasuk kawan saya yang ada bersama kita di sini…” Katanya sebagai penutup, sambil mengerling kepada saya dan berpaling kepada wanita pengiringnya pula.
Ini membuatkan mata saya terikut memandang kepada wanita itu, yang kebetulan pula sedang mengerling pada saya, menjadikan saya terkejut, tergamam sehingga tergagap nak sebut samada ‘Astaghfirullah’ atau ‘Alhamdulillah’…
( Saya telah paparkan kisah ini pada Majalah Geletek April 2001. Kini dipaparkan semula sekarang sekadar mula menjawab mengenai penjelasan kahwin di Kemboja, seperti yang ditanyai pada tulisan lalu. Insya Allah, akan dipaparkan kisah-kisah selanjutnya.)
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 26-11-2007. KL.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Sunday, November 25, 2007
Kemboja: Bunga Di Atas Pusara
TENTERA-tentera berpakaian hitam dengan kain lilit kepala merempuh masuk ke bandar Phnom Penh, ibu negara Kemboja pada 17 April 1975. Mereka adalah tentera komunis yang digelar Khmer Merah atau Khmer Rouge, oleh Raja Sihanouk Kemboja. Khmer Rouge atau Angkar Padevat (Organisasi Revolusioner) telah menghalau penduduk Phnom Penh dan mengosongkan bandar itu, 3 bulan sebelum Phnom Penh dirampas.
Ketika itu Kemboja di bawah kerajaan Lon Nol. Antara pemimpin Khmer Rouge yang kejam iaitu Pol Pot dan kuncu-kuncunya. Kini antara mereka yang masih hidup, sedang dihadapkan ke mahkamah untuk dapatkan hukuman sewajarnya. Dianggarkan hampir tiga juta rakyat Kemboja mati dibunuh oleh tentera Khmer Rouge. Pol Pot memulakan kempen pembersihan Kemboja dari golongan agama dan intelektual dengan cara menangkap, menembak sami Buddha dan guru agama Islam beserta keluarga mereka.
Rakyat miskin.
Wanita kecil berpakaian hitan, ini juga jentera Khmer Rouge
Larangan menyimpan kitab agama juga berkuatkuasa. Sembahyang, puasa, zakat dan pelaksanaan haji dikatakan turut terhenti antara 1975 hingga 1979. Asalnya terdapat 400,000 penduduk Islam di Kampuchea, tapi telah berkurangan tinggal 350,000 pada tahun 1975 kerana terkorban ketika pemberontakan Khmer Rouge tersebut. Sebahagian yang terselamat sempat berhijrah ke sempadan dan tidak kembali lagi.
“Saya bersama kaum keluarga saya kira-kira 50 orang yang tidak berdaya, telah menyusup lari ke sempadan Thailand untuk mencari perlindungan di luar negara. Ramai antara kami yang kena jerangkap samar, mati atau putus kaki sahaja, ada yang ditangkap dan dibunuh.. Akhirnya kami yang selamat sampai disempadan hanya tinggal 15 orang sahaja. Waktu itu.. rasa macam mati hidup semula..” Kata Mad Li yang turut berhijrah keluar dari tanahairnya sendiri ketika itu.
Saya menemuinya di rumahnya sendiri di Kampung Kemboja di Selangor baru-baru ini.
“Kami berjalan kaki sampai Bangkok. Apabila ada yang mengetahui kami orang Islam, tiba-tiba kami dibantu. Kami disediakan rumah dan diberikan makanan secukupnya tiap hari. Saya nak beri wang pada mereka, tapi mereka menolak!
"Untuk lebih selamat mereka mencadangkan supaya kami menuju ke selatan, kerana di sana ramai orang Islam. Kami bersetuju dan mereka menyediakan tiket bas untuk ke sana. Saya nak bayar balik kerana sudah terlalu banyak mereka berkorban, juga mereka menolak.
“Sesampainya kami di Selatan Thai, kami bertemu ramai orang Islam. Ada yang mencadangkan lagi supaya kami melintasi sempadan ke negara yang ramai lagi orang Islam, iaitu Malaysia. Di sana, golongan-golongan muhajirin ini akan disambut dengan baik, kata mereka.
"Memang betul. Akhirnya kami sampai di Kelantan, antara setesyen tempat kami bertolak ke seluruh negara Malaysia membina perkampungan-perkampungan Islam Kemboja, seperti di Selangor, Perak, Johor dan lain-lain, macam yang ada sekarang. Antara kumpulan awal yang berhijrah macam saya ini ialah Ismail Sasakul orang Kemboja bekas pelakon bintang filem Hong Kong. Khabarnya, dia berada di Kelantan sekarang.” Dia menambah lagi,
Selepas tahun 1979, Kemboja didatangi penasihat Rusia dan Vietnam yang mengambil alih pentadbiran menerusi kepemimpinan Hun Sen, yang ada sekarang. Namun waktu itu, perang masih tidak dapat dihentikan. Senjata api dari China, Rusia dan Amerika dibekalkan kepada rakyat jelata dan berbunuhanlah mereka sesama sendiri. Pertelingkahan hanya dapat dihentikan apabila termetrainya Perjanjian Damai 1991 antara pihak yang bertelingkah.
Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu pula telah mengawasi keselamatan negara Kemboja sehingga pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1993 dan rakyat jelata kembali mendapat kebebasan termasuk masyarakat Islam di sana. Melalui Persatuan Islam Kemboja, kerajaan membuat aktiviti untuk kepentingan Islam Kemboja, di luar negara. Masyarakat Islam juga telah diberi peluang untuk membangunkan Kemboja dengan memberi idea yang bernas.
Pada tahun 1997, ahli parlimen dari kalangan umat Islam berjumlah tiga orang dan terdapat lebih dari 200 buah masjid di Kemboja. Dikatakan penduduk Islam paling ramai di negara itu ialah di kalangan Melayu Champa atau Cham, iaitu sekitar ke 95%. Negeri Kampung Cham adalah antara kawasan terbesar bilangan penduduk Muslim iaitu sebanyak 35% semenjak tahun 1975 dan 30,000 orang Islam boleh didapati di sekitar Phnom Penh. Selain itu kampung yang majoriti penduduk Islamnya ialah seperti Kampung Cheram Chemerai dan Kampung Pok Bahau berhampiran dengan bandar Phnom Penh, Kampung Pok Serah, Pok ‘An dan Pok Cerah.
Saya pernah ke sana sekitar tahun 2,000. Saya dipanggil berceramah dalam bahasa Melayu di Perik Aji (Parit Haji) dalam Kampung Cham. Selepas berceramah saya bertemu orang-orang tua di sana, dan banyaklah cerita-cerita menarik yang saya dapati. Antaranya ialah mengenai keberanian orang Cham, penduduk Kampung Koh Pohl dalam mempertahankan akidah Islam.
Dikatakan kampung tersebut adalah kampung pertama yang bangun berjihad menentang kekejaman rejim Khmer Rouge. Kampung Koh Pohl atau Pulau Koh. Pohl adalah bermaksud ‘pulau yang telah menjadi pulau abu, apabila rumah penduduknya dibakar’.
Penolong imamnya, Muhammad Doth Arif bercerita…
“Petang 12 Ramadhan 1975, sekumpulan 20 askar Khmer Rouge bersama ketuanya memanggil seluruh penduduk kampung berkumpul di masjid. Dalam perjumpaan tersebut mereka dikehendaki mematuhi 5 perkara.
- Pertama mengumpulkan al-Quran untuk dibakar.
- Ke2, wanita diminta memotong rambut panjang yang biasanya disanggul.
- Ke3, hendaklah berkahwin dengan orang Khmer yang bukan beragama Islam.
- Ke4, dilarang berpuasa
- dan yang ke5 disuruh memelihara babi serta memakannya sekali.
Namun tentera Khmer Rouge tidak berdiam diri, akhirnya pada hari ke9 dari periswtiwa itu, mereka telah menyerang dan menembak kampung tersebut, tetapi tiada siapa yang terkena sasaran. Setelah dua hari bertahan, orang kampung membalas serangan. Berlaku serang menyerang dan 48 nyawa penduduk terkorban. Akhirnya ada yang tertawan dan menyusup lari berhijrah ke Vietnam.
Selain kampung itu, Kampung Svay menjadi kampung kedua bangun berjihad terhadap Khmer Rouge. Berikutan itu, tentera Khmer Rouge terus mengambil tindakan lanjut ke atas seluruh umat Islam Kemboja.”
Mereka yang mati mempertahan agama Allah itu adalah Mati Syahid. Mereka bagaikan bunga-bunga yang mekar segar di taman Syurga diakhirat. Begitu juga mereka yang syahid di negara Kemboja. Kemboja asalnya adalah nama bunga. Pohonnya yang sentiasa didapati tumbuh di atas pusara… Kemboja menjadi pusara kepada syuhadak-syuhadak.
Tiba-tiba Mad Li sahabat saya yang sudah saya kenal lama itu bertanya, “Maaf bang, boleh saya tahu sikit??”
“Apa dia??” Jawab saya.
“Bagaimana dengan isteri abang yang di Kemboja dulu??”
Tergamam saya. “Syhht! Nanti ada yang salah faham. Biar saya terangkan lain kali…”
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
25-11-2007. KL.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Friday, November 23, 2007
Bulan.. Pandangan Tradisional Masyarakat Cina
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
KUEH Bulan adalah sejenis kueh tradisonal Cina. Dibuat dari tepung gandum, berintikan kacang atau daging, termasuk ayam, itek dan sebagainya.
Kueh Bulan antara barangan lain seperti lampu tanglong dan buah-buahan (buah lai, limau manis, limau besar, ubi keledek atau kacang tanah) disediakan dalam menyambut tradisi Pesta Bulan. Pesta yang dirayakan pada hari ke15 bulan lapan menurut kalender Cina, pada waktu malam di bawah sinaran bulan mengambang penuh yang terang benderang itu.
Mungkin kita dapat bayangkan, betapa syahdunya suasana hening malam. Pada waktu-waktu sebegitu, pemuda pemudi Cina didalam Pesta Bulan mengambil kesempatan mencari pasangan hidup mereka. Biasanya selepas berlalunya pesta tersebut akan ada pasangan-pasangan remaja Cina berjaya mendirikan mahligai rumahtangganya.
Untuk memeriahkan pesta itu, pada malam tersebut diadakan pula pertunjukan pentas terbuka bagi menarik kunjungan generasi mudanya.
Dalam tulisan lalu dicatatkan Pesta Bulan dari segi sejarah। Kini kita lihat pula dalam cerita-cerita klasik mereka, seperti yang ditulis oleh Tuan Mei Jing dalam bukunya ‘Pesta-pesta Dalam Masyarakat Tionghoa’. Lebih kurang begini kisahnya.
Hou Yi, adalah seorang pemburu muda professional di bidang ilmu pemanahan pada zaman purbakala. Tiap binatang yang dibidek panahnya, tetap mengenai sasaran. Itulah lambang kegagahannya. Hal itu menyebabkan seorang gadis jelita Cina bernama Chang Ge telah jatuh cinta padanya, dan berakhir dengan perkahwinan.
Adalah diceritakan, pada suatu petang di musim panas, tiba-tiba kelihatan 10 buah matahari di langit tinggi. Panasnya mengcengkam hebat dan dahsyat. Tanah-tanah menjadi retak-rekah dan tumbuh-tumbuhan menjadi layu-kuyu, hingga air sungai pun mendideh-dideh.
Penduduk-penduduknya lari lintang-pukang mencari perlindungan di gua.
Pada suatu hari, Chang Ge isterinya yang baik budi itu meminta suaminya memanah dan menggugurkan 9 dari 10 matahari-matahari itu, supaya orang ramai terlepas bebas dari kepanasan dahsyat itu. Akhirnya, walaupun menghadapi pelbagai masalah dan memakan masa lama, namun Hou Yi berjaya menyelesainya, sehingga keadaan menjadi normal, sejahtera seperti biasa.
Kerana jasanya itu, kini Hou Yi disanjung dan dijunjung tinggi sebagai hero oleh penduduk di situ.
Tetapi rupanya orang ramai itu salah sangka. Hou Yi sebenarnya seorang yang tamak dan kejam! Belangnya sudah nampak. Dia bercita-cita hendak jadi kaya dan senang macam seorang raja. Lalu dipaksanya penduduk yang menyanjungnya itu berkerja bersungguh-sungguh untuknya. Hal inilah yang membuat isterinya terasa pilu dan sedih. Berkali-kali dipujuk suaminya supaya menghentikan perbuatan kejam itu, tetapi tidak memberi kesan langsung.
Sehingga orang ramai mulai membenci dan enggan menurut perintahnya lagi.
Kerana tiada jalan lain untuk mengatasinya, Hou Yi terpaksa menemui Datuk Dewi meminta ubat dewa untuknya। Ubat yang jika dimakan akan dapat masuk syurga dan kekal dalam kesenangan selama-lamanya. Permintaan itu dikabulkan juga akhirnya, tetapi dengan syarat mestilah dimakan pada hari ke15 bulan lapan.
Maka dia pun pulang menemui isterinya.
Wah! Terkejut besar isterinya bila dapat tahu hal itu. Padanya, suaminya Hou Yi yang tamak dan kejam memang tidak layak menjadi Dewa Yang Maha Mulia. Bila sampai hari ke15 seperti disebutkan, isterinya lebih dahulu mencuri ubat itu, mematahkan busar panah suaminya dan keluar meninggalkan rumah. Bila tersedar, suaminya cepat-cepat mengejar isterinya. Sesampai didekat isterinya, ubat yang dalam gengaman tangan isterinya itu terus ditelan isterinya…
Tiba-tiba ketika itu juga, diri Chang Ge bertukar menjadi seperti awan, lalu naik menuju ke langit tinggi. Tinggal suaminya Hou Yi terkial-kial hendak memanahnya tetapi gagal kerana busarnya telah dipatahkan awal-awal lagi. Chang Ge terus naik ke langit menuju ke Istana Bulan. Disambut oleh Dewa Bulan dengan melantiknya sebagai salah seorang dari dewi-dewi petugas penyala tanglong hablor di Istana Bulan itu, supaya cahayanya lebih terang lagi indah.
Tinggallah penduduk kampungnya yang sentiasa merindu dan mengenangnya, mengenang kemurahan hatinya dulu. Lalu mereka pun menyembah dan berdoa kepada bulan yang terbit pada malam hari ke15 bulan lapan tiap tahun, iaitu ‘Malam Chang Ge Naik Ke Langit’, ke Istana Bulan… Sekian.
Dalam kisah dongeng Orang Melayu dari mulut ke mulut juga, terdapat cerita-cerita seperti ini. Teringat pula kepada cerita nenek saya, semasa saya kecil-kecil dulu…
Terdapat dua remaja adik beradik, kakaknya perempuan bersama adik lelakinya. Suatu malam sedang mereka berehat-rehat dalam Istana Bulan, sambil memandang ke bumi, Kata adik kepada kakaknya. “Nun, di perdu pokok kelapa yang melambai-lambai di bumi sana, terdapat bunga-bunga putih berhamburan diatasnya. Sungguh cantik. Aku nak pergi ambil!”
“Jangan adikku! Ingat pesan ibu kita. Takut engkau tak dapat naik balik” Larang kakaknya. Tapi rupanya, adiknya sudah pergi turun ke bumi. Tak boleh buat apa-apa lagi.
Sesampai di bumi, dilihatnya diperdu kelapa itu rupanya bukan bunga seperti yang disangkakan. Tetapi hampas kelapa, sisa buangan kegunaan manusia. Betapa hampanya dia, hendak naik ke Istana Bulan semula sudah tidak boleh lagi.
Nasihat orang tua tidak diikuti. Apa hendak dikata, sesal kemudian tidak berguna lagi. Maka pada waktu malam bulan mengambang penuh, dia menjelma menjadi seekor burung pungguk, keluar merayau dari pokok ke pokok, frust kecewa, menyeru, merayu yang dirindui, melihat keindahan bulan, tergambar wajah kakaknya di sana…
Berserulah dia dengan suara sayu merindu dan merintih seperti bunyi burung pungguk,
“Kakak Oooo! Kakak Oooo! Kakak Oooo!! Kakak Oooo!!!”
Hingga wujudlah pepatah ‘Bagai pungguk rindukan bulan’. Dan menjadi adat atau pantang larang orang Melayu dulunya, supaya jangan buang hampas kelapa di perdu pokok kelapa! Sekian.
Melihat kisah Tuan Mei Jing di atas dan tulisan saya yang lalu, terdapat suatu budaya penghormatan orang-orang Cina kepada makhluk atau objek bulan, samada melalui Kueh Bulan, Pesta Bulan atau Istana Bulan... Di kalangan orang-orang Melayu pun hampir sama juga seperti cerita klasik saya di atas. Dikatakan lagu ‘Negaraku’ lagu kebangsaan Malaysia, konon asalnya diambil dari sebuah lagu Melayu bernama ‘Terang Bulan’.
Betul tak betul, saya masih belum pasti lagi.
Kini ada sebuah parti Islam di Malaysia berlambangkan bulan purnama. Sebelumnya berlambangkan bulan sabit, tetapi kerana dituduh oleh lawannya parti pemerintah di zaman Perdana Menteri Malaysia ke 2, ‘menggunakan lambang Islam bagi mengelirukan orang ramai’, maka ditukarkan kepada lambang bulan purnama penuh, seperti yang ada sekarang.
Khabarnya, ada lagi parti-parti luar negara juga menggunakan lambang bulan penuh seperti di Bangladesh dan negara-negara Asia Barat lain. Bendera negara Jepun, bentuknya pun bulat macam bulan atau bola pimpong, tetapi bukan lambang bulan.
Pada saya penukaran dari bulan sabit ke bulan purnama dalam lambang parti Islam di Malaysia adalah baik, kerana dapat menggambarkan peningkatannya yang terus mara ke arah menawan atau menjadi pembangkang berkesan di negara ini. Bulan.. yang tadinya masih sabit, kini sudah penuh purnama!!
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 23-11-2007. KL.
Wednesday, November 21, 2007
Strategi Politik 'Kueh Bulan' Dalam Pilihan Raya
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
PADA hari ke15 bulan lapan dalam kalender Cina (Disebut juga kalender Lunar, kalender Imlek atau kalender Qamariah) macam juga kalender Islam terdapat 12 bulan setahun, orang-orang Cina di mana-mana di seluruh dunia merayakan ‘Pesta Bulan’. Pesta tersebut sudah wujud kira-kira 1,000 tahun dulu, bermula di zaman kerajaan Tang di Negeri China. Kueh Bulan (kueh much), lampu-lampu tanglong dan buah-buahan disediakan pada malam perayaan waktu bulan mengambang penuh itu.
Apa rahsia dan strtegi politik, yang terdapat di dalamnya?
Menurut sejarah pada tahun 1271 Masehi Negeri China jatuh di bawah pemerintahan Kerajaan Yuan dipimpin oleh Hu Pi Lie, seorang berketurunan Mongolia. Orang-orang Cina dari keturunan Han menurut undang-undang di bawah pemerintahannya sentiasa ditindas, dihina dan dizalimi oleh puak keturunan Mongolia. Kaum Han tidak boleh memegang jawatan tinggi, kalau melawan akan dikenakan hukuman berat. Tetapi kalau orang Mongolia membunuh orang Han, hanya didenda dengan nilai se ekor kaldai sahaja.
Setiap 20 keluarga orang Han diletakkan dibawah seorang ketua bangsa Mongolia. Ketua itu perlu dipelihara dan dilayani dengan baik oleh kaum tersebut walaupun mereka dianaiaya. Mereka tidak boleh membantah atau melawan. Kerana takut kebangkitan golongan mustad’afin (tertindas) tersebut, kerajaan mustakbirin (penindas) Monggolia telah melarang orang-orang Han menggunakan alatan buatan dari besi. Contohnya pisau dapur.. Sebilah pisau cuma dihadkan kepada 3 keluarga sahaja menggunanya. Orang-orang Han juga dilarang guna lampu dan keluar waktu malam tak tentu fasal.
Sudah menjadi tabiat alam, tiap yang ditekan, ditindas dan dizalimi itu, akan memberontak atau bangun meletup juga akhirnya. Begitu juga kaum Han, mereka memulakan penentangan dengan gerakan bawah tanah, dipimpin oleh Chu Yuan Chang. Seterusnya, beliau dan tenteranya menyerang kota Chu Chou, tetapi gagal kerana benteng pertahanan Mongolia itu amat kukuh . Kukuh kerana tentera Mongolia ramai dan bekalannya pun cukup.
Chu Yuan Chang bersama penasihatnya Liu Po Wen merancang semula strategi penaklukan kota tersebut. Kini, Liu Po Wen masuk ke kota itu dengan menyamar sebagai ‘seorang ahli bertapa’, dan berjaya mempengaruhi pemimpin kongsi-kongsi gelap supaya menentang kerajaan. Esoknya isu-isu bertiup kencang bahawa:
“… Raja Syurga telah menitahkan Dewa Penular Wabak Penyakit datang menularkan wabak penyakit di Kota Chu Chou. Tetapi mujurlah ada seorang pertapa yang murah hati telah tiba di kota itu berusaha menyelamatkan mereka. Maka berduyun-duyunlah penduduk kota tersebut pergi menemui orang bertapa itu meminta pertolongan.” Demikian ditulis oleh Tuan Mei Jing dalam bukunya ‘Pesta-pesta Dalam Masyarakat Tionghoa’.
Menurut Tuan Mei Jing lagi, Liu Po Wen yang dianggap orang bertapa itu berpura-pura mengadakan upacara sembahyang dan berdoa selama 3 hari 3 malam berturut-turut di kota itu. Orang-orang Han disuruh memasang bendera dan tanglong. Memalu gong dan gendang pada tengah malam hari ke15 bulan lapan.. supaya penularan wabak yang disebutkan dapat ditolak. Selain itu, Liu menghadiahkan sekeping kueh yang disebut ‘Kueh Bulan’ kepada setiap keluarga Han.
Dikatakan dalam kueh itu ada selembar azimat. Kueh itu mesti dipotong dan dimakan pada tengah malam hari ke15 bulan lapan yang akan menjelang tidak lama lagi. Lepas makan hendaklah melakukan sesuatu menurut arahan azimat tadi. Dengan berbuat demikian semua jiwa penduduk kota tersebut akan terselamat. Bila ramai penduduk kota itu percaya segala kata-katanya, Liu pun pulang meninggalkan mereka. Kembali menemui ketuanya Chu Yuan Chang semula untuk melaksanakan gerakan penyerangan.
"Bila tiba hari ke15, orang-orang Han di Kota Chu Chou merayakan Pesta Bulan. Sampai waktu tengah malam mereka pun memasang bendera-bendera, tanglong-tanglong di hadapan rumah masing-masing serta memalu gong dan gendang seperti pesanan Liu. Mereka memotong kueh yang diberi Liu dan jumpa sepucuk surat berbunyi, ‘Bunuhlah orang-orang Tartar (keturunan Mongolia itu) pada hari ke15 bulan lapan!’” Tulis Mei Jing lagi.
Bangsa Han yang selama ini dianiaya merasa amat gembira bila membaca surat tersebut, mereka mengambil pisau dapur dan batang kayu terus membunuh ketua kaum masing-masing, lalu keluar menyerang tentera dan bangsa Mongolia di kota itu dari dalam. Di luar kota pula tentera Chu Yuan Chang sudah merempuh masuk menyebabkan tentera Mongolia tersepit antara dua serangan dan melarikan diri. Kerana strategi yang bijak, kota Chu Chou berjaya ditaklukkan dengan mudah. Itulah sebabnya kaum Cina merayakan Pesta Bulan setiap tahun, menurut Mei Jing lagi.
Apakah strategi begini boleh digunakan oleh PAS bagi menumbangkan lawannya dalam pertarungan melalui peti undi semasa pilihan umum akan datang ini? Siapa golongan mustakbirin dalam kes ini? Di mana peranan Lajnah Perpaduan Kaum dan Kelab Penyokong PAS? Cuba fikir-fikirkan!
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Nov21, 2007.KL.
Friday, November 16, 2007
Kisah Wak Dukun Lintah..
Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
KERETA kami, merempuh hujan lebat disertai kilat sabung menyabung॥ petang itu। Beberapa pokok tumbang merintangi jalan dan ranting-ranting yang patah terpokah. Kami melalui Jalan Hulu Langat arah ke Pansun, untuk mencari tempat ternak lintah. Beberapa syarikat ternakan lintah kami temui papan tandanya di tepi jalan, terpaksa masuk ke dalam hutan dan kampong. Tetapi kerana cuaca terlalu tidak sesuai dan tidak mengizinkan, kami tak jadi masuk.
Kami singgah di sebuah kedai minum berhampiran। Di sini, kami berkenalan dengan seorang lelaki disebut Wak. “Sudah lama Wak kerja mengubat penyakit manusia dengan haiwan lintah॥” Katanya.
“Lintah baik untuk ubati penyakit apa Wak?”
“Begini..” Jawabnya. “Wak gunakan lintah sebagai alat untuk bekam. Bekam ada banyak jenis. Ada bekam guna tanduk, toreh di kepala, dikatakan Nabi Muhammad pernah guna cara ini. Ada yang guna gelas, dikosongkan gelas dengan api supaya tiada udara di dalamnya, ditekup pada badan pesakit. Mungkin juga akupuncur Cina menggunakan tusukan jarum termasuk konsep bekam.”
“Ya! Semasa saya berada di Kemboja beberapa tahun lalu, saya lihat bekam melalui gelas, amat popular di kalangan rakyat, bersaing dengan kelinik perubatan biasa. Hampir semua penyakit mereka gunakan bekam sebagai pengukurnya. Demam panas pun mereka guna bekam. Saya juga pernah mencubanya. Badan saya hampir bertukar ke warna lebam, menurut mereka kerana banyak penyakit. Kalau tiada warna, tandanya kurang atau tiada penyakit.” Saya mencelah.
Sambung Wak lagi, “Wak sering guna lintah jenis Boboy। Lintah besar. Boboy menghisap darah mereka yang menghidap penyakit seperti gout. Setiap kali proses rawatan mengambil masa antara dua hingga tiga jam.”
Dr Zaleha Kassim, Pensyarah Institut Akuakultur Tropika, Universiti Malaysia Terengganu, pernah menyebutkan, penggunaan lintah dalam perubatan bukan perkara baru, kerana antara 1830-1850 haiwan ini digunakan dengan meluas। Antara kelebihan lintah ialah mempunyai hirudin, iaitu bahan antipembeku yang kini dimajukan sebagai bahan anti pembekuan sistemik. “Kajian Profesor K Diakonov pada 1809 mendapati darah manusia yang dihisap dan berada dalam perut lintah tidak membeku, manakala keadaan sel darah merah adalah baik। Penyelidikan Highcraft pada 1884 mendapati ekstrak lintah menghalang darah dalam tabung uji membeku dan ini memulakan penemuan hirudin,” kata Dr Zaleha. Katanya lagi, lintah kini banyak digunakan dalam pembedahan plastik, manakala mengikut laporan, antara kegunaan lintah termasuk merawat mata dan telinga tengah yang bengkak।
“Proses bekam sebenarnya berfungsi untuk melancarkan perjalanan darah। Di zaman Nabi Muhammad dikatakan habbatus saudak (bijirin hitam hasil dari sejenis tumbuh-tumbuhan) yang boleh mengubati semua penyakit, adalah berfungsi seperti tersebut. Kalau di Malaysia, tongkat ali. Bila darah berjalan lancar berbagai penyakit boleh dihindari. Diabetes berlaku hasil peningkatan gula yang tinggi dalam darah, menyebabkan perjalanan darah tersumbat. ‘Mati pucuk’ penyakit yang ditakuti oleh lelaki (juga perempuan) berlaku hasil dari tersumbatnya perjalanan darah yang memberi kesan pada anggota seks. Begitu juga penyakit-penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung dan lain-lain.” Kata Wak macam seorang doktor. Doktor itulah bomoh atau dukun dalam bahasa Melayu klasik.
“Hee! I tengok lintah saja pun naik geli-geleman॥ macam mana nak berubat?” Sampuk seorang yang sedang mendengar celoteh Wak itu।
“Oo। Itu mudah saja. Kalau encik geli melihatnya, Wak tutupi lintah itu dengan tuala kecil, pesakit tak nampak pun, cuma rasa berdenyut-denyut saja॥ kadang-kadang tak sedar, ianya dah selesai.” Jelas Wak.
“Kalau kami nak berbekam lintah dengan Wak bagaimana?”
“Nah! Ini dia kad bisnes Wak। Sila buat temujanji dan datang ke rumah Wak.” Katanya sambil menghulurkan kad bisnesnya. “Sikit hari lagi Wak akan buka premis terapi lintah di AU2, Keramat Permai Kuala Lumpur. Di samping itu Wak tambah dengan pengubatan resdung secara tradisional, urut tradisional untuk seluruh badan, urut kelakian, urut diabetes, darah tinggi dan lain-lain॥”
“Lintah kini sudah dikomersialkan। Macam juga gamat, burung layang-layang (sarangnya dijadikan ubat), lebah dan sebagainya. Lintah dijadikan pelbagai produk kesihatan dan bahan kosmetik (terutama dalam industri kosmetik di luar negara seperti Amerika dan Eropah).” Kata kawan saya itu. “Saya dapat tahu melalui internet di mana perusahaan menternak lintah mula berkembang di Malaysia.
Penternak-penternaknya berpendapatan agak lumayan (belum dapat maklumat lengkap lagi)। Dari 10 kolam yang bersaiz 6 X 18.18 meter (dalam kira-kira 1 meter), hasil tuaiannya menjangkau RM60,000 dalam masa 6 bulan. Itu sebab kami datang nak tinjau-tinjau ni. Nak tahu berapa modalnya. Kalau boleh nak tambahkan pendapatan atau cari peluang perniagaan dan perusahaan, paling kurang untuk anak-anak…”
“Oo। Itu pun mudah juga. Saya tahu syarikat itu, sebuah syarikat bumiputera. Ikuti kursusnya beberapa hari, boleh jadi vendor syarikat tersebut. Boleh buat projek sambilan belakang rumah. Boleh cuba satu kolam dulu. Cara beri makannya mudah sangat. 2 minggu, sekali beri makan.” Jawab Wak.
“Lintah makan apa Wak??”
“Hisab darah le! Beberapa kilogram belut hidup dimasukkan dalam kolam ternakan। Lintah-lintah itu akan mengeronyok belut-belut itu pula. Menghisap darahnya hingga mati. Hal ini berlaku di dalam air, kalau di daratan penghisap darah seperti ini dipanggil ‘lintah darat’. Penghisap darah di daratan adalah penzalim-penzalim, penindas-penindas, atau pemerah keringat manusia॥” Kata Wak dengan gaya lucu.
“Minta dijauhi Allah, jangan kita tergolong menjadi lintah darat, walau di sebalik dukun lintah atau pusat ternak lintah!!” Akhirnya, itulah pesan Wak kepada diri kami masing-masing। Wallahu aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 14-11-2007.
Subscribe to:
Posts (Atom)