Wednesday, December 19, 2007
Saya Cabar Pak Lah, Apa Alasan Biarkan Isteri TakTutup Aurat??
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
KIRA-KIRA 30 ke 40 tahun lalu telah diadakan suatu majlis Maulid Nabi di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau, Pulau Pinang. Dua penceramah dijemput. Penceramah awalnya yang saya ingat ialah seorang ustazah muda lagi cantik. Ceramahnya berjaya menarik minat anak-anak muda yang mendengarnya. Waktu itu jarang terdapat ustazah muda berceramah di pentas, apalagi di depan ustaz-ustaz, cikgu-cikgu dan orang-orang tua kampong.
Antara mesej ucapannya ialah ‘masuklah Islam seluruhnya, jangan sekerat-sekerat…’ Sedang dia berceramah, tiba-tiba datanglah seorang ulama yang dihormati waktu itu, ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang, Allayarham Tuan Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah penceramah undangan yang ditunggu-tunggu. Naik saja ke pentas beliau mengulas tidak secara langsung ucapan ustazah muda tersebut. Beliau macam cabar ustazah itu membetulkan dirinya supaya laksanakan Islam sepenuhnya…
Ramai melihat ustazah itu sebagai memakai pakaian tidak menutup aurat sepenuhnya, walaupun masih bertudung… Saya lihat dengan diam-diam ustazah itu lari keluar majlis.. Ramai yang memuji ketegasan ulama itu berceramah dengan suara lantang diselangi bacaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith. Pada saya pakaian ustazah itu tidaklah teruk sangat, berbanding dengan pakaian pemimpin wanita dan puteri UMNO atau isteri pemimpin kerajaan sekarang yang beragama Islam.
Walaupun ada yang bertudung, tetapi macam tak bertudung. Atau dalam istilah kata-kata Nabi,‘berpakaian tetapi bertelanjang’. Saya heran mengapa anaknya yang dah jadi orang no1 berkuasa di Malaysia masih pertahankan pakaian tidak menutup aurat? Tidak mungkin dia yang belajar agama tinggi menganggap dedah aurat itu tidak salah atau tidak berdosa? Begitu ramai penasihat-penasihat agama keliling-kelalangnya!.
Ada orang kata itu dosa kecil! Dosa kecilpun, lama-lama jadi besar. Seeorang itu takkan jadi jutawan kalau dia tidak pedulikan pendapatan awalmulanya yang kecik-kecil… Dia yang kononnya kuat agama tetapi masih tidak mampu mendisiplinkan isterinya supaya pakai pakaian tutup aurat. Apakah kalau nak jadi pemimpin popular dalam UMNO wanitanya tidak perlu tutup aurat? Bini mesti boleh perintah laki, tanda sayangkan bini? Mungkin tak sejahil itu pemikiran ahli-ahli UMNO!!
Dalam mesyuarat agung UMNO zaman Mahathir, perwakilan pernah mengkritik habis-habisan pakaian isteri pemimpin-pemimpinnya yang tidak bertudung. Baru-baru inipun dalam sidang DUN Kelantan, wakil BN dari Guchil membangkitkan tentang gejala-gejala sosial yang melanda remaja sekarang… mengenai mereka yang berpakaian menjolok mata dan bergaul bebas antara lelaki perempuan. Mengapa PM tidak awasi Menteri Penerangannya yang juga terlibat menggembeling dan membajai gejala-gejala tersebut?
Hingga ada disiarkan anak seorang ulama (yang dah mumaiyiz) memeluk seorang wanita bukan muhrim di kaca tv, walaupun dalam drama. Ingatlah hai Menteri Penerangan, kalau hang tak boleh jadi garam penyelamat ikan dari busuk, janganlah pulak hang jadi langau yang dok hughung pi mai pi mai, tambah busukkan ikan tu lagi!
Jadi, saya cabar Pak Lah supaya meneruskan misi Islam yang dibawa allahyarham ayahnya, melaksanakan Islam secara keseluruhan mulailah dengan diri dan keluarga. Selamatkan anak isteri anda dan kita dari bakaran api neraka di akhirat, dengan berpakaian sopan dan menutup aurat!!
Selamat Hari Raya Haji…Maaf Zahir Batin kepada semua, termasuk kepada PMku Pak Lah!
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 19-12-2007. KL.
Monday, December 17, 2007
Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan
Ibnu Hasyim
CATATAN PERJALANAN:
TERINGAT saya sewaktu terperangkap di Airport Manila pada pertengahan tahun 80an, penerbangan terhenti kerana demontrasi anti Marcos yang menjadi Presiden Filipina pada waktu itu. Bermulalah tunjuk perasaan demi tunjuk perasaan di sana sini, yang akhirnya tersungkur juga pemimpin nombor satu negara tersebut. Itukah sebabnya kerajaan yang berkuasa, takut sangat dengan demontrasi walaupun berlaku secara aman?
Kita juga tidak pernah lupa dalam sejarah Malaya, orang Melayu juga pernah membuat tunjuk perasan anti komunis di Semenyeh dan beberapa tempat lagi. UMNO juga pernah mengadakan beberapa siri himpunan tunjuk perasaan dalam sejarahnya, membantah Malayan Union. Bahkan ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang naik kepimpinannya dengan demontrasi, terutama sewaktu mereka menjadi pemimpin pelajar. Apakah itu bukan budaya kita?
Kira-kira sebelum tahun 80an dulu, terkenal beberapa tuntutan pekerja terhadap majikan melalui kegiatan yang disebut ‘mogok’… Syarikat bas, kilang-kilang dan lain-lain, bahkan ada tindakan murid kepada guru sekolah melalui mogok. Mogok itupun demontrasi atau tunjuk perasaan. Apalagi bila berlaku penghinaan ke atas agama Islam, kebanyakan umat Islam di dunia yang tidak boleh berbuat apa-apa, hanya menentang melalui demontrasi atau ‘unjuk rasa’ (dalam bahasa Indonesia).
Saya paparkan beberapa catatan pengalaman saya (sekitar hujung tahun 80an) dalam beberapa demontrasi…
Demontrasi Umat Islam Yala.
KAMI sampai di simpang tiga belakang pekan Yala. Tidak tahu jalan mana yang hendak dituju. Baru hendak tanya, tapi ditegur lebih dulu oleh seorang lelaki berkupiah putih, “Nak ke mana saudara?”
“Nak ke tempat perhimpunan Islam…”
“Perjumpaan yang mana? Ijtimak tabligh atau berarak ala Iran. Kedua-duanya diadakan serentak di sini!” Dia tanya balas.
“Tunjuk perasaan membantah Salman Rushdie yang menghina Islam.” Aku menegaskan.
Dia terus menunjukkan jalannaya. Kereta kami, kereta luar bernombor daftar Malaysia pun menyusur perlahan-lahan. Dari jauh nampak surau kecil di pinggir sebuah padang. Ramai orang Islam berhimpun. Suara azan bergema berkumandang di udara melalui pembesar suara yang tergantung di tiang tinggi dengan megahnya mengarah ke segenap penjuru. Kami pun solat zohor bersama-sama mereka. Dari cara bersolat dapat ku ketahui golongan Sunni dan Syiah sembahyang bersama-sama.
Orang Syiah meletakkan batu kecil di tempat sujud. Sama-sama bersujud. Tidak bermusuh, tidak bergaduh. Sama-sama mengadap Allah SWT. Membulatkan tekad menyatakan bantahan kepada agen-agen kuffar yang menghina Allah dan NabiNya Muhammad SAW. Itulah ujian kepada pendokong dan penyokong Islam supaya pertahankan maruah agamanya. Lepas sembahyang seorang lelaki naik ke pentas yang mengadap ke surau itu. Beliau berpidato dalam bahasa Thai.
Orang ramai mula berhimpun. Pemberita dan jurugambar sibuk dengan tugasnya. Tiap patah suara ditekankan kuat, disambut oleh hadirin dengan gema takbir seolah-olah mampu menggegarkan pekan Yala atau disebut juga pekan Nibung itu. Lepas satu, satu… Penceramah bertukar ganti. Bekas wakil rakyat di Selatan Thai pun berpidato. Juga ramai tokoh-tokoh muda tempatan berpidato dalam loghat tempatan, hampir-hampir macam loghat Kelantan.
Mereka menghuraikan tiap sudut buku ‘The Setanic Verses’ karya Salman Rushdie yang menghina Islam dan Nabi Muhammad itu. Mereka bersetuju dan mengucapkan syabas kepada Imam Khomeini pemimpin revolusi Islam Iran yang berani menghukum penjenayah. “Bukan Imam Khomeini penjenayah seperti tuduhan kuncu-kuncu barat, tetapi Salman Rushdie!! Salman rush-die mesti dibunuh!!” Kata seorang penceramah bersemangat, sambil mengangkat senjata M16 tiruan mainan kanak-kanak sebagai symbol hukum bunuh.
Disambut hadirin dengan takbir ‘Allahu Akbar!” dan seruan “Bunuh Salman Rushdie!!”
Sampai pula giliranku berceramah. “Cuba lihat saudara-saudara! Seorang tok guru agama yang mengajar di surau dan pondok Malaysia, sanggup turun ke padang berdemontrasi bersama-sama 50,000 rakyat untuk menyatakan kebiadaban Salman Rushdie di Kuala Terengganu beberapa hari lepas!!” Kataku.
“Kalau di zaman pemerintahan Khalifah Islam Al-Muktasim Billah… seorang wanita Islam sedang berniaga di negeri kafir ribuan kilometer jauhnya dari ibunegara, telah dijatuhkan maruahnya di khalayak ramai hingga terbuka auratnya.. Muslimah itu telah menjerit meminta perlindungan kepada Khalifah kerana maruahnya tercemar, maka Khalifah Islam itu sanggup menghantar satu angkatan tentera ke negeri kafir tersebut untuk menghukum penjenayah, hanya kerana aurat seorang Muslimah! Apalagi Nabi kita, Nabi umat Islam, Nabi yang maksum telah dihina dan diperkosa maruahnya!! Apakah kita masih mahu berdiam diri??” Ucapanku disambut gegak gempita dengan gema takbir yang menyeram dan menegakkan bulu roma.
Bila masuk waktu Asar, perserta demontrasi pun bersembahyang beramai-ramai atas pasir dan rumput padang itu. Lepas sembahyang patung Salman keparat itu dibakar. Ramai-ramai keluar berarak ke dalam bandar. Dimulai dengan barisan kanak-kanak, mereka dilatih supaya tidak takut mati kerana Islam. Diikuti dengan muslimat-muslimat, kerana proses tarbiah bukan di bibir mulut atau atas kertas sahaja, bahkan perlu dipraktikkan dan diuji. Disambung oleh kaum lelaki samada tua atau muda.
Antaranya ada yang memakai kain lilit kepala bertulis ‘La Ilaha Illallah’. Bajunya bertulis beberapa tulisan Arab, sambil membawa bendera atau sepanduk tulisan Jawi dan Thai. Penceramah-penceramah terus membakar semangat, berceramah di atas jeep yang sedang bergerak perlahan, dengan corong pembesar suara dihalakan kepada orang ramai. Demontrasi terus berjalan lancar, tiada siapa mengganggu, terus masuk ke pekan Yala. Kerana polis pun turut berkawal dengan baik, tidak bertindak liar dan ganas. Orang ramai pun mendengar dengan tenang. Tiada apa-apa berlaku.
Hal ini mengingatkanku kepada tragedi demontrasi 25 Disember Hari Natal tiga tahun sebelumnya di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Kira-kira 70 aktivis Islam berhimpun di depan pejabat kedutaan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR), membantah secara aman penaklukan beramai-ramai tentera kafir Marxis Rusia di bumi Afghanistan. Aku juga berceramah mengutuk rejim diktatur penjajah Beruang Merah bangsat itu.
Seorang tokoh PAS berceramah, “… 7 tahun lalu bila fajar 25 Disember Hari Natal mulai menyinsing, maka lebih 5,000 tentera Rusia menyerbu masuk ke bumi Afghanistan. Mereka menyerang, membunuh, menyeksa, memperkosa rakyat, merosakkan tanaman, ternakan dan permukaan buminya, menandakan bermulanya penjajahan ke atas umat Islam di negara itu. Mereka terus menambahkan kekuatan dari masa ke masa demi mengekalkan kezaliman dan kekuatan mereka!” Suaranya yang parau semakin jelas dan lantang, “Kami mahu kamu wahai komunis Rusia, keluar dari bumi Afghanistan sekarang juga!!”
Disambut dengan takbir dan teriakan, “Kami tetap bersama mujahidin!” oleh para demontrasi.
Malangnya, pihak berkuasa Malaysia terus merempuh dan menyuraikan tunjuk perasaan itu dengan sewenang-wenangnya, walaupun ianya dilakukan secara aman. Akhirnya 17 orang ditahan. Lebih menyedihkan lagi, besoknya terpampang di dada sebuah akhbar tempatan, tajuk besarnya berbunyi ‘Bayangan Memali di Kuala Lumpur’. Orang ramai cuba dikelirukan, demontrasi yang dibayangkan sebagai ‘keganasan di Memali’.
Walaupun sebenarnya peristiwa di Memali itu sendiri adalah keganasan pembunuhan beramai-ramai pihak kerajaan ke atas rakyat, bukan sebaliknya, seperti yang gambarkan oleh media mereka. Berbeda dengan demontrasi di Tahailand yang ku hadiri kali ini, ianya dibiarkan dan dikawal. Peserta demontrasi boleh pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Aku pun pulang ke tempat singghku di Pattani, boleh tidur dengan tenang hingga pagi.
Besoknya, sedang aku minum pagi di sebuah warung seperti biasa, tiba-tiba datang kawanku anak tempatan yang sama-sama berdemontrasi semalam dengan tergopoh-gapah. Belum sempat duduk dia sudah menyapa, “Mu lihat tv malam tadi??”
“Tidak!” Kataku menggeleng kepala.
“Demo semalam dapat liputan molek di tv Thai Bahagian Selatan. Seterusnya akan diadakan demo di Hadyai, Bangkok dan beberapa bandar lagi..” Jelasnya dengan gembira dan sedikit bangga. “O ya, gambarmu sedang berceramah pun ada tersiar juga!!”
Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan II
PADA tahun 1987 yang lalu semasa aku berada di Makkah, telah berlaku suatu peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas jamaah haji Iran berhampiran dengan rumah Allah atau Kaabah. Berlaku dalam sebuah demontrasi. Aku masih ingat, aku bersama kawanku dan dua orang lain sedang berbual-bual di dekat bangunan pejabat wakil Imam Khomeini, di kota Makkah.
Waktu itu suatu majlis perjumpaan kira-kira 200 orang sedang berlangsung. Terdengar beberapa pemimpin Iran sedang berpidato mengenai haji. Antaranya mereka menuntut beberapa rakyat mereka yang ditahan oleh kerajaan Saudi dibebaskan segera. Sedang kami berbual-bual sesama kami, tiba-tiba seorang pemuda Iran memberi sekeping surat. Aku membelek-belek. “Surat apa itu?” Tanya kawanku.
“Surat jemput hadir ke Perhimpunan dan Perarakan Haji, dari pejabat Imam Khomeini yang jauh di sana berdemontrasi hingga ke sini… besok, lepas Asar.” Jawabku, sambil menunjuk arah bangunan tersebut, beberapa kilometer sahaja dari tempat kami berdiri. Aku tunjukkan surat itu padanya.
Tetapi dirampas segera oleh seseorang dengan kasar. “Imam… Imam Khomeini?? Kau tahu siapa dia?” Sergahnya, sambil tangannya mengoyak-ngoyak surat itu dengan geram. Dia yang berpakaian macam orang Pakistan, bersama dua temannya.
“Khomeini kafir!” Sambung salah seorang mereka, dengan tidak semena-mena. Akhirnya, semua mereka berlalu dengan rungutan berpanjangan. Kami masing-masing tercengang. Hal ini membuat saya berminat dan tertarik untuk hadir di majlis itu besok hari.
Esoknya lepas sembahyang Asar di Masjidil Haram…
Aku cepat-cepat setelah keluar dari Masjidil Haram mencari sudut yang baik bagi meninjau dan melihat suasana demontrasi dari dekat. Aku naik tingkat atas bangunan letak kereta yang 4 tingkat itu. Hampir dengan pejabat pos, bersetentang agak jauh sikit dari pejabat wakil Imam Khomeini. Boleh lihat dari atas, perarakan yang akan melintasi bangunan itu. Dari jauh, kini sudah nampak berduyun-duyun ribuan manusia menuju arah bangunan tempat aku berada, bagaikan banjir sungai yang mengalir perlahan.
Mereka membawa sepanduk beranika ragam. Suara slogan beramai-ramai, sesekali jelas teriakan ‘Allahu Akbar’ berkumandang di udara memecah kebisingan kota Makkah itu. Bunyi bagai lebah mengaum itu makin jelas dan makin dekat. Perhatian dan pendengaranku mula tertumpu untuk mendengar butir-butir perkataan mereka. Tiba-tiba gegendang telingaku terpukul kuat oleh satu suara jarak dekat. Suara menyuruh dan menghambatku dengan kasar tidak bersopan supaya turun, segera berlalu dari situ.
Suara seorang lelaki berjubah tup, pakaian kebangsaan Saudi yang bergerak tergesa-gesa. Rupanya pihak polis Saudi ingin menggunakan bangunan itu. Kereta-kereta polis bergegas meluncur naik. Unit-unit penggambaran segera dipasang. Di bawah pula, di atas jalanraya unit-unit polis rusuhan sedang bersiap sedia, seolah-olah akan menghadapi suatu pertempuran dan perlawanan hebat. Mereka bersiap sedia untuk menyekat dan mengempang aliran arus demontrasi yang sedang mara itu.
Tetapi aku terpaksa mencari tempat lain pula untuk melihatnya. Kakiku melangkah turun, merayau-rayau di deretan kedai satu tingkat seberang jalan sana. Penunjuk-penunjuk perasaan sudah semakin hampir, arus derasnya terus melanda. Membuak-buak bagai sungai pecah empangan. Aku terjebak di dalamnya, tidak lagi dapat melihat demontrasi itu secara keseluruhan. Aku terus meredah di tengah-tengah 50,000 manusia itu. Aku tidak tahu lagi apa yang berlaku di depan, bila mereka disekat oleh empangan polis pencegah rusuhan itu.
Aku terus meredah dan menyongsang tunjuk perasaan itu ke belakang. Merentasi pelbagai sepanduk yang hampir semuanya terdapat gambar dan perkataan bertulis Imam Khomeini. Ada karikatur politik, gambar Presiden Amerika sedang peralatkan benoka-bonekanya, memecahkan perpaduan umat Islam. Gambar Khomeini sebagai penaung dan pembela rakyat tertindas. Sebuah Masjidil Aqsa kertas dipikul bersama-sama sebagai symbol kewajipan merampas kembali dari Yahudi adalah menjadi kewajipan bersama.
Ratusan pembesar suara tergantung di tiang-tiang tinggi yang diusung bersama-sama. Berselisih dengan kumpulan muslimat-muslimat yang telah berumur sedang bertakbir bersemangat, tangannya menggenggam penumbuk. Aku terus juga menyongsang perarakan itu. Agak beberapa lama badanku keletihan, tekakku terasa haus. Telan air liur aku, bila melihat lori-lori sedang menurunkan air batu bawah jejambat, di bulatan tempat cantum kumpulan manusia yang panjang datang dari pelbagai arah.
Air batu dibagi-bagikan. Aku hampiri kumpulan itu dengan harapan dapat basahi tekakku. Tetapi terlalu ramai, mereka macam berebut-rebut walaupun agak beradap. Aku tidak sabar lagi menunggu giliran. Rupanya 2 polis Saudi berunifom sedang perhatikan tingkahku. Mereka membantuku dapatkan minuman. Alhamdulillah! “Apa pandangan encik mengenai demontrasi ini?” Seorang dari peserta demontrasi itu menanyaiku.
“Bagus!” Jawabku ringkas.
Tiba-tiba beberapa pemuda Iran sedang berlari-lari anak dari hadapan menuju kami. Mereka membawa berita cemas. Dari jauh ternampak asap hitam berkepul-kepul di udara tepat di atas penunjuk-penunjuk perasaan di barisan depan. Tanda ada letupan dan kebakaran. Dari bangunan-bangunan tinggi di kiri kanan jalan, nampak benda-benda berat dilontarkan ke atas lautan manusia itu. Termasuk dari bangunan tempat saya berdiri mula-mula tadi yang dikuasai pihak polis Saudi itu.
Kedengaran pula bunyi tembakan berturutan bagaikan satu serangan hendap musuh, beberapa minit lamanya. Pemuda-pemuda Iran tadi mengisyaratkan supaya penunjuk-penunjuk perasaan berpatah balik. Bila berselisih denganku, mereka menuding jari ke arahku supaya keluar dari barisan tunjuk perasaan itu. Sebentar kemudian, arus saf itu sudah bergerak ke belakang, patah balik. Letupan tembakan masih kedengaran jarang-jarang. Tetapi makin dekat.. dan makin membimbangkan.
Helikopter-helikopter Saudi terus berlegar-legar di atas kepala. Ambulan bulan sabit merah bergerak bagaikan bot-bot membelah lautan manusia dengan tenang selesa menjalankan tugasnya. Sesekali motosikal polis Saudi pula meredah dan merentasi gelombang lautan manusia itu dengan tenang. Arus demontrasi itu terus berundur. Antara yang berselisih denganku ialah ramai muslimat-muslimat yang luka. Orang tua yang cedera parah. Dipapah, dirawat oleh teman-temannya, sambil berlari-lari anak.
Tiba-tiba… “Moya! Moya!!” Jerit seorang lelaki tua. Dia tersungkur di hadapan ku meraung-raung meminta air dengan kepala yang berlumuran darah.
Aku nak tolong, tapi tanganku ditarik supaya keluar dari barisan tunjuk perasaan itu. Akhirnya aku menyimpang arah kubur Ma’la, keluar dari barisan yang bertali arus itu dan berlalu dari situ. Malamnya aku datang lagi, terlihat mayat-mayat bergelimpangan. Khabarnya kira-kira 500 nyawa terkorban. Ramainya ialah wanita, warga tua dan ada juga sikit-sikit hujjaj dari negara selain Iran.
Itulah peristiwa demontrasi dan tunjuk perasaan. Mereka dibantai hingga terkorban, namun mereka sanggup menghadapinya. Ada yang tanya bagaimana nak hindarinya? Jawapan saya cukup mudah, polis jangan bertindak ganas! Itu saja, tak kira di Malaysia, Thailand, Filipina atau Saudi. Masing-masing ada agenda perjuangan masing-masing. Maka demontrasilah tempat meluahkan perasaan perjuangan. Inilah yang berlaku walaupun dekat kelambu kaabah seperti yang diceritakan.
Sekarang orang sibuk-sibuk tunaikan ibadat haji di Baitullah. Ibadat haji itupun suatu cara atau demontrasi menunjuk perasaan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT. Lihat perintah dalam ayat 26 & 27 dalam Surah Haji, surah ke 22, dari Al Qur’an. Buat apa datang jauh-jauh ke rumah Allah walaupun ‘berjalan kaki dan tunggang unta kurus’ kalau bukan nak tunjukkan perasaan ikhlas serta cinta kita kepada Allah SWT??
Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 16-12-2007. KL.
Tuesday, December 11, 2007
Strategi Osama Laden Di Zaman Nabi...
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI
Jom kita teliti sejarah di zaman Nabi SAW…
Abu Bashir seorang penduduk Makkah। Dengan diam-diam beliau meninggalkan Makkah, kerana sudah lama beliau masuk Islam secara sembunyi-sembunyi di sana. Bila pemuka-pemuka Quraisy Makkah sedar, mereka menyuruh dua agennya mengintip dan berjumpa Nabi di Madinah. Abu Bashir disuruh cari oleh Nabi sampai jumpa, dan bersemuka di majlis beliau.
“Encik Bashir..” Kata Nabi. “Engkau sendiri dah maklum perjanjian kami dengan Quraisy. Engkau adalah penduduk Makkah, sebab itu jangan terkejut dua utusan ini datang memastikan engkau dibawa pulang ke Makkah, engkau sendiri pun tahu! Kami tidak boleh mengkhianati perjanjian. Ghadar (langgar perjanjian) adalah pantang bagi kita! Oleh itu pulanglah bersama dua orang yang menjemput engkau ini. Saya doakan moga-moga Allah cepat-cepat melepaskan engkau dari kesulitan!”
Perjanjian yang dimaksudkan itu adalah Perjanjian Hudaibiah, antara orang musyrikin Makkah dengan Nabi pimpinan di Madinah. Antara kandungannya ialah, ‘…kalau ada orang Quraisy datang kepada Muhammad tidak se izin pemimpin-pemimpin Quraisy, maka orang Quraisy berhak menuntut supaya orang itu segera dipulangkan ke Makkah. Tetapi sebaliknya, jika ada pengikut Muhammad datang ke Makkah, maka orang Makkah tidak mempunyai kewajipan buat memulangkan mereka kembali ke Madinah.’
Baru selesai sahaja perjanjian itu ditulis, tiba-tiba muncul seorang yang badannya penuh ikatan rantai besi. Dia adalah tawanan Quraisy kerana menjadi pendatang tanpa izin masuk ke kota Makkah. Dia sudah lama mengisytiharkan dirinya seorang Muslim. Dia datang kini, kerana ingin melihat wajah Rasulullah. Rupanya dia terkena dengan isi perjanjian itu dan terpaksa dihantar pulang waktu itu juga. Dia adalah Abu Jundul anak kepada Suhail bin ‘Amer. Suhail adalah penanda tangan perjanjian itu bagi pihak Quraisy
“Mula kita buat perjanjian॥ dah langgar!” Sergah Suhail kepada anaknya, Abu Jundul। Direntap dan dipukul mukanya. Ditolak ke tempat orang-orang Quraisy yang sedang melihatnya.
“Wahai kaum Muslimin! Sanggupkah kamu biarkan aku jatuh ke tangan musyrikin untuk menfitnah aku dalam agamaku??” Jerit Abu Jundul yang sedang diseret ke Makkah। Namun, keresahan orang-orang Islam yang ada di situ masih terkawal.
“Abu Jundul! Kau bersabarlah। Allah pasti akan menolong engkau dan semua orang yang lemah teraniaya. Berat bagi kami melanggar janji yang telah diikat. Kita pantang mungkir janji!!” Kata Nabi.
Umar bin Khattab berdiri dekat Abu Jundul sambil memujuk, “Ikut dulu Abu Jundul dan sabarlah! Mereka adalah musyrikin, darah mereka adalah darah anjing!” Nyaris dia tidak menyerang ayahnya dengan pedang। Kerana setianya pada perintah Rasul, air matanya menitis juga terpaksa menahan marah.
Begitu pula dengan Abu Bashir, bila mendengar ucapan Nabi kepadanya tadi, wajahnya menjadi murung dan muram। Lama dia termenung, katanya, “Ya Rasulullah! Apakah aku pun tuan sanggup kembalikan kepada musyrikin hingga mereka aniaya aku dalam keyakinan agamaku??”
Nabi tidak menjawab apa-apa lagi। Dua Quraisy tersebut dengar sendiri perintah Nabi itu kepada Bashir. Abu Bashir pun diajak pergi. Dalam perjalanan, semasa dua Quraisy itu tidur nyenyak tengah malam, disentaknya pedang yang seorang, lalu dibunuhnya yang seorang lagi itu. Yang sedang tidur itu tersedar ketakutan, lalu diarah Bashir berangkat sendiri ke Makkah. Sedangkan dia pusing balik ke Madinah.
Di Madinah dia mengadap Nabi sekali lagi dan menceritakan apa yang berlaku। “Ya Rasulullah. Perintah tinggalkan Madinah telah ku patuhi. Kesetiaan tuan teguhi janji telah berlaku. Tuan telah serahkan aku ke tangan puak itu॥ Kini aku telah membela diriku dan agamaku jangan sampai teraniaya, atau mereka membuat sesuka hati padaku!”
Nabi tidak menjawab juga। Tanpa minta izin Abu Bashir pun pergi.
Setelah Abu Bashir pergi baru Nabi bersuara, “Kalau dia dapat kawan, dia boleh cetuskan perang terhadap musuhnya!” Bashir pun menyisihkan diri ke suatu tempat di tepi laut bernama ‘Iish। Dihubunginya rakan-rakan sealirannya semula, hingga tersebar luas gerakannya bersama kata-kata Nabi tersebut. Dalam masa paling singkat terkumpul 70 pemuda bersenjata terdiri dari pelarian Makkah, termasuk Abu Jundul.
Kerja mereka ialah mengganggu dan merompak kabilah-kabilah niaga Quraisy yang berulang-alik ke Syam, hingga suasana tidak aman lagi। Hal yang menyebabkan puak Quraisy menghantar utusan kepada Nabi, pohon tarik balik isi perjanjian seperti disebutkan, walaupun pelakunya adalah pemuda-pemuda Makkah sendiri. Setelah berlaku tarik balik perjanjian, barulah kaum Muslimin merasa bebas menziarah sahabat-sahabatnya di Makkah. Hingga datanglah arahan Nabi memanggil Abu Bashir pulang ke Madinah.
“Marahkah Rasulullah kepadaku??” Itu mula-mula dia tanya kepada utusan Nabi yang datang menemuinya। Waktu itu dia dalam keadaan tenat kerana luka-lukanya dalam pertempuran.
“Tidak। Bahkan beliau harap engkau cepat-cepat pulang ke Madinah.” Jawab utusan Nabi.
“Rasulullah tak marah.. barulah rasa lega.”Katanya. “Sampaikan salamku pada beliau!” Diapun wafat di hadapan utusan itu.
(Sila rujuk Tafsir Al-Azhar juzuk 26 Surah ke 48 Al-Fat’h oleh Prof Dr HAMKA dan kitab-kirab sirah lain।)
Persoalannya, samakah strategi perjuangan Abu Bashir ini dengan perjuangan Osama Laden dalam menentang musuh-musuh Allah masa kini? Bolehkah diterapkan strategi politik ini dalam politik pilihan raya di Malaysia? Marilah sama-sama buka minda kita॥
Catatan santai: ibnuhasyim.
blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 08-12-2007. KL.
Sunday, December 02, 2007
Saya Setuju Ucapan BN Cameron Highland..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
UCAPAN Ahli Parlimen BN Cameron Higland, YB SK Devamany yang persoalkan kegagalan dasar pembangunan kerajaan dalam membangunkan kaum India, pada saya amat bernas bahkan bagai ubat pahit pada badan BN yang banyak penyakit। Beliau cuma mencelah dalam sessi soal-jawab antara Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman dengan Ketua Pembangkang YB Lim Kit Siang.
Hal ini berlaku sehari selepas Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (HINDRAF) mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur। Menurut beliau jumlah 50,000 orang India yang hadir itu menandakan ‘ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem yang berjalan dalam negara ini.’, ‘…ini suatu kegagalan॥’, ‘jadi saya rasa perkara ini perlu dilihat secara serius.’ Begitu pendapatnya.
Begitu juga nadanya bila Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum menjawab soalan mengenai peratusan kaun India dalam PDRM, “Perhimpunan yang diadakan menunjukkan kekecewaan kaum India, walaupun pelbagai janji telah dibuat kerajaan। KDN memberikan peluang yang kecil tetapi janji yang besar.” Jawabnya kepada Johari.
Menurut Devamany, keseluruhan yang menyertai perhimpunan itu adalah dari kalangan muda dan pertengahan। Mereka berdemontrasi kerana peluang yang ada untuk mereka sebagaimana dijanjikan kerajaan melalui Dasar Pembangunan Malaysia 2020 dan Rancangan Malaysia 9 dalam perkhidmatan awam, kemasukan ke IPTA, pelbagai latihan dan bantuan kewangan adalah amat sedikit.
“Apakah tindakan yang dibuat untuk menunjukkan keikhlasan pihak kerajaan bagi mengatasi masalah kemiskinan dan peluang yang terhad kepada kaum India?” Dia seolah-olah mencabar.
Lebih tercabar lagi bila saya baca pula tulisan Penarik Beca (Bakar Haq) mengenai isi tuntutan puak-puak HINDRAF itu mengenai Islam di negara ini… Lagi bukti menunjukkan kegagalan kerajaan BN (kononnya UMNO sebagai tulang belakang) perintah negara ini। Api ciptaan UMNO mulai panaskan buntut UMNO sendiri!
Sang Kelembai pula menulis, “Ada pertanda tindakan Hindraf itu satu konspirasi Kerajaan Tiga Beranak, kerana formula ini sudah pernah digunakan oleh Amerika, yang mana Presiden JF Kennedy menolak cadangan CIA untuk menembak sendiri peluru berpandu ke bandar-bandar besar Amerika untuk provokasi di zaman konflik Cuba dan yang terbaru ialah pengeboman World Trade Center di New York bagi menghalalkan serangan Amerika ke Iraq। Bila melihat cara Abdullah Hj Ahmad bercakap sama seperti Operasi Lalang yang mana UMNO menganjurkan demonstrasi isu Lim Kim Sai dengan MCA.”
Menurut Pemuda Wilayah pula, dikatakan UMNO berjaya memainkan peranannya dengan mengapi-apikan orang Melayu dengan demontrasi Hindraf yang didakwa menghina orang Melayu। Timbul satu persoalan dikepala, Sewaktu himpunan Hindraf, 2 orang pimpinan Hindraf ditahan dan dikawal ketat dirumah dan seorang dilokap. Mereka dipantau 24 jam hinggalah demo habis.
“Isunya disini, siapa yang lead demo tu? Macam mana tuntutan yang dikemukan melalui saman 14 trillion tidak disebut langsung dalam memo। Isi memo yang mendakwa bahawa wujudnya aktiviti Genoside di Taman Medan nampaknya berbeza sekali dengan tuntutan Hindraf. Peliknya kita pun tak tahu siapa yang faks surat tu? Media hanya sebut faks dari wakil Hindraf. Ini menunjukkan seolah-olah ada provokasi dari BN dan kemungkinan surat itu palsu. 3 orang peguam dibebaskan tanpa pertuduhan selepas himpunan. Mereka juga agak senyap dan kurang bahas isu saman 14 trillion. Adakah mereka telah diugut semasa ditahan?” Kata Pemuda Wilayuah.
Banyak betul tanda tanya। Segala-galanya ini membuktikan kegagalan dasar kerajaan. Tak kira samada mengenai orang India, Cina atau Melayu. Masing dalam pakatan BN, bila berdepan kaum sendiri janji macam-macam seolah-olah dia penyelamat bangsanya. Tetapi di belakang lain. Pemimpim-pemimpin UMNO pula dulu kata, ‘negara ini bukan negara Islam’ bila berdepan dengan orang bukan Islam. Bila berdepan dengan orang Islam, mengaku negara Islam pula! Cuba jelir lidah tu, bercabang ke tidak?
Kerana itu, bercelaru habis kaum-kaum di negara ini bertelagah sesama sendiri macam peristiwa perkauman 13 Mei 69। Cuba ikut konsep Negara Islam sebenar, manusia dalam negara Islam hanya ada dua, hak orang Islam dan hak istimewa orang bukan Islam. Ada hak mustad’afin dan ketentuan mustakbirin॥ Tiada diskriminasi lain yang boleh disembunyikan seperti dalam Negara-negara Bangsa di dunia ini termasuk Malaysia.
Di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan beberapa hari lalu, bila pemimpin UMNO jadi pembangkang, dia tak larat lawan bercakap secara lelaki, dia hendak tendang YB dari pihak kerajaan pula। Ai, samseng sangat ke? Dia kira buah dia, tak kira buah orang! Menteri UMNO di Jabatan Perdana Menteri pula bila tidak bersetuju dengan ucapan YB SK Devamany seperti yang disebutkan, dengan lantang menyuruh YB tersebut keluar MIC! Mentang-mentang dia jadi menteri, dia boleh cakap ikut suka sendiri.
Sama dengan YB UMNO di parlimen baru-baru ini juga menyuruh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang keluar dari Malaysia kerana mungkin di anggap tidak bersetuju dengan ‘Islam Hadhari’nya. Baru sebut kerajaan Islam (ala UMNO), dah nak hambat orang bukan Islam keluar dari ‘negara Islam (ala UMNO)’nya. Islam tak suruh macam tu, buat malu Islam saja!
Bila PAS nak ikut hukum Islam UMNO kata tak betul, jangan laksanakan hudud, itu hudud PAS dan Islam cara PAS? Ada orang tanya hudud UMNO mana? UMNO tak jawab। UMNO perkenal pula Islam Hadhari. Sebenarnya hudud itu adalah hukum Allah, kalau kamu UMNO tak mahu kepada perlaksanaan hukum Allah di bumi Allah, mengikut logik kamu wahai UMNO, kamu boleh keluar dari bumi Allah ini!!! Wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 01-12-2007. KL
Friday, November 30, 2007
Orang Melayu Kemboja.
Dari Tebing Sungai Mekong.. (1)
ANGIN sepoi-sepoi bahasa bertiup dari Sungai Mekong sungguh menyegarkan. Sungai yang membelah dan merentasi bumi negara Kemboja, dari Laos mengalir menuju ke Phnom Penh lalu terus ke Laut Teluk Siam. Di pinggir sungai sebelum sampai ke Phnom Penh itu, terdapat antaranya sebuah bandar ibu negeri Kampung Cham, salah sebuah negeri dalam negara Kemboja.
Senja Di Sungai Mekong
Dari atas tebing sungai itu jelas nampak kapal-kapal dagang sedang berlabuh. Beberapa buah bot kecil dan feri sedang hilir mudik mengambi penumpang. Pekerja-pekerja sibuk mengangkut barang. Di daratan, gerai-gerai pacak berderetan di pinggir jalan, walaupun ada kedai-kedai batu yang tetap. Pengunjung-pengunjung bergegas ke distinasi masing-masing.Di antara yang ramai itu, sekali-sekala melintas wanita bertudung sopan, gaya Melayu trasional. Lelakinya berkain sarung, kepala berkupiah lebai, ada yang dibelit dengan serban. Ada juga yang menyangkut di bahunya sahaja. Sudah tentu mereka adalah orang Melayu Cham, walaupun ramai lagi yang tidak berpakaian seperti itu, terutama yang sudah keluar dari kampong tinggal di bandar.
Orang Melayu Kemboja.
Begitulah juga kawan saya orang Cham yang sama-sama kami hendak pergi ke Perik Aji di negeri Kampung Cham. Cham atau Champa adalah nama penduduk negeri itu, satu masa dulu pernah mendirikan kerajaan sepanjang pantai antara gunung-gunung Annam atau sekarang disebut Vietnam. Kerajaan yang pernah terkenal pada kurun ke7 masehi dahulu.Kampung Cham adalah negeri paling ramai penduduk Islamnya di Kemboja. Jumlah semua penduduk,termasuk pelbagai agama di sana ialah kira-kira 10,000 orang. Pada waktu itu (sekitar tahun 2,000 masihi), dikatakan jumlah masjid dianggarkan 300 buah yang sentiasa bertumbuhan bagai cendawan musim hujan sepanjang masa.
Teringat saya sewaktu mula bertemu dengan kawan saya itu depan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh.
“Ustaz orang Malaysia?” Dia tanya dalam bahasa Melayu loghat Kemboja.
Bila saya mengangguk, kami saling berkenalan. Dengan tanpa syak buruk, dia terus mengajak saya ke rumahnya di Perik Aji atau Parit Haji itu. Memang saya minat sangat hendak berziarah ke Kampung Cham. Minat saya timbul baru semalam, selepas solat Jumaat di Masjid Besar Phnom Penh, di mana khutbahnya dalam bahasa Melayu. Imamnya ‘berkhutbah’ bukan ‘baca khutbah’ macam di kebanyakan masjid-masjid di Malaysia.
“Mengapa Tuan Imam beri khutbah dalam bahasa Melayu, sedangkan kebanyakan pendengarnya orang Kemboja, atau lain-lain bangsa seperti India, Pakistan dan Arab yang tidak faham bahasa Melayu?” Tanya saya semasa saya berada di rumahnya lepas solat Jumaat.
Rumahnya di suatu sudut kecil di bawah masjid tersebut. Masa pemerintahan komunis dulu, masjid tersebut dirampas dan dijadikan restoran tempat askar-askarnya minum arak. Bila pemerintahan beralih kepada demokrasi, masjid tersebut dibeli semula oleh dermawan-dermawan dari Kuwait, dan dijadikan masjid semula.
“Islam datang ke sini, antaranya dibawa oleh orang Melayu, terutama dari negeri Kelantan.” Jawab beliau.
“Namun, kita tidak menafikan pandangan pengkaji-pengkaji sejarah yang berpendapat, Islam tersebar ke nusantara pun mula dari arah selatan negara China. Hal ini terbukti hasil penemuan batu bersurat di Phan Rang, Vietnam Selatan bertarikh 416/431 Hijrah. Selain itu, beberapa buah batu bersurat lain turut ditemui di sepanjang jalan laut dari pantai Indo-China ke Terengganu. Itu dulu. Yang saya maksudkan sekitar abad satu dua abad yang lalu.” Sambungnya.
Beliau mendapat didikan agama Islam di Mesir. Semasa pemerintahan komunis beliau pernah dipenjara beberapa tahun.
“Jadi untuk belajar Islam, maka lebih mudah dalam bahasa Melayu... Banyak persamaan dari segi sosio-budaya dan rupa-bangsa, terutamanya bahasa. Contohnya, perkataan ‘kelantan’, dalam bahasa kami (Melayu Cham) maknanya ‘ular besar’ atau ‘ular banyak hingga bertindih-tindih’. ‘Melaka’ ertinya ‘perhentian’. Bagaimana cerita Parameswara berhenti di bawah sepohon pokok … pokok melaka seperti dalam buku Sejarah Melayu.
"Begitu juga perkataan ‘kampung’ yang masih dipakai di sini. Nama tempat Pengkalan ‘Cepa’ di Kelantan menurut loghat Kelantan, sedang asalnya dari perkataan ‘Champa’ atau Cham, dan banyak lagi.… Saya juga masih ingat di peringkat ayah atau nenek saya dulu, bagaimana kegigihan ulama-ulama yang memperjuangkan agama Islam di sini, seperti ayah saya dari Kelantan, Tuan Guru Haji Saleh dari Tanah Melayu, ada dari Pattani, Indonesia dan lain-lain!” Jelas beliau lagi.
“Sehingga sekarang, ada sebuah kampong di Kemboja, yang penduduknya membahasakan diri mereka dengan istilah ‘jawaku’. Ini menunjukkan betapa dekatnya jiwa mereka dengan Orang Jawi atau Orang Melayu dari Tanah Jawa. Tapi sayang…” Katanya agak mengeluh. “Mereka tidak menganut agama Islam.”
“Kenapa boleh jadi begitu?” Saya tanya tidak sabar-sabar lagi.
“Boleh jadi juga mereka datang tidak bersama-sama agama Islam. Hanya atas nama bangsa Jawa sahaja.”
Feri di Sungai Mekang.
Hal-hal beginilah menyebabkan minat saya melonjak-lonjak untuk pergi berziarah ke Kampung Cham, mengikut kawan saya yang baru kenal itu.(Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim ini disalin semula dari makalah SERASI terbitan Planet Hijau Media/2001.)
Blogger: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Ke Kampung Perik Aji (2)
MAKA meluncurkan bot laju di atas air permukaan Sungai Mekong petang itu. Kami bertolak dari pekan Kampung Cham ke Perik Aji memilih bot laju, supaya jangan sampai malam di sana. Dalam perjalanan mengasyikkan itu, kami melintasi kumpulan-kumpulan nelayan kecil di tengah sungai yang arusnya laju. Mereka sedang menjala ikan. Ada juga yang sedang menahan bubu ikan bilis.
Di tengah-tengah sungai kekadang terdapat kumpulan-kumpulan pulau kecil berpenghuni. Terlihat dari jauh beberapa ekor lembu sedang meragut rumput. Beberapa ekor kuda sedang menarik pedati dari ladang biji lenga tanaman popular penduduk. Banyak penempatan-penempatan penduduk di kepulauan tersebut. Terdapat rumah-rumah dan masjid-masjid yang kebanyakannya hampir tidak siap, dan masih dalam pembinaan.
Di bibir sungai, kelumpuk-kelumpuk penduduk tempatan sedang mandi-manda dengan meriahnya. Bagaikan ada pesta air. Ramai wanita-wanita mandi berkemban, walaupun masih ada jarang-jarang wanita yang mandi berpakaian menutup aurat bertudung. Sudah tentu mereka yang bertudung itu adalah muslimah yang kuat memegang teguh ajaran agamanya. Rumah-rumah mereka sekitar pinggiran sungai. Dari jauh nampak rumah-rumah mereka agak tinggi-tinggi. Macam rumah tradisi orang Melayu Kedah. Berbumbung atap. Mungkin atap nipah atau rumbia.
Kira-kira dua tiga jam perjalanan, baru kami sampai di pengkalan berhampiran rumah kawan saya. Baru nampak jelas, tiang rumah itu di ambil dari batang nibung pejal yang bulat-bulat setelah dibuang durinya. Berlantaikan papan atau batang pinang yang dibelah-belah. Di rumah inilah saya menginap pada malamnya.
“Malam ini ustaz dijemput berceramah agama lepas magrib di masjid kampong ini.” Katanya sambil tersenyum, matanya merenung tepat pada mata saya. Tanda ikhlas dan memang begitu pun amalan Nabi Muhammad.
“Tapi..”
“Aah! Tak payah tapi-tapi lagi..” Beliau terus memotong. “Saya imam di masjid ini. Di sini tak perlu minta permit untuk berceramah, macam di negara ustaz..” Bunyinya seperti menyindir saya, tapi memang betul pun.
“Nah! Pakailah serban ini, kerana orang sini lebih sejuk matanya bila melihat penceramahnya berserban atau mengimami solat.” Katanya sambil menghulurkan kain serban dan ketayap lebai pada saya.
Saya berceramah agama dalam bahasa Melayu. Kerana masih ramai orang-orang tua yang boleh cakap Melayu, kecuali kebanyakan anak-anak mudanya. Kerana telah berlaku penghapusan etnik waktu rejim komunis berkuasa. Pol Pot yang anti agama dan golongan intelektual, telah membunuh umat Islam Kemboja terutama guru-guru agama. Umat Islam turut dilarang menunaikan solat di masjid. Pol Pot atau Khmer Rouge juga menghina Islam dengan melepaskan babi ke dalam masjid. Jika ada sesiapa yang membantah akan dibunuh tanpa bicara.
“Pak cik masih ingat, waktu itu sesiapa yang diketahui beragama, ternampak sedang solat dan berdoa, terus sahaja dibunuh. Masjid-masjid di sini dijadikan kandang babi. Kami orang Cham menjadi mangsa kekejaman paling teruk.” Jelas seorang tua dalam sessi soal jawab semasa saya berceramah.
“Muslimat kita dipaksa mengikut cara berpakaian perempuan Khmer. Mereka merobohkan institusi keluarga, dengan menjadikan golongan pemuda Kemboja sebagai penyeksa dan pembunuh yang tidak berhati perut.
Majoriti tentera Khmer Rouge yang teridiri dari golongan remaja belia telah ditugaskan bersama-sama tali barut untuk menangkap, menembak pegawai dan tentera kerajaan sebelumnya, Lon Nol. Sistem pos, kebebasan bergerak, pertukaran maklumat dan perhiasan diri turut disekat. Dari segi pakaian, hanya pakaian hitam yang melambangkan petani miskin sahaja dibenarkan, konon untuk membebas rakyat dari sistem feudal kapitalis sejak 2,000 tahun lalu.
Rakyat hidup dalam ketakutan akibat penindasan dan slogan yang berbunyi ‘Hidupmu tak bagi untung, matimu pun tak rugi apa-apa.’ Mukim ditadbir oleh anak muda robot yang tidak kenal belas kasihan. Pangkat naik jika dapat menghukum ibubapa atau keluarga sendiri!”
Seorang tua lain menambah, “Untuk merenggangkan tali persaudaraan, rakyat dikerah makan beramai-ramai. Mereka tidak dibenarkan mempunyai dapur sendiri. Bercampur antara orang Islam dan bukan Islam, makanan yang disediakan kadangkala mengandungi bahan haram seperti babi. Diwujudkan sistem kerja paksa dan catuan makanan. Ada yang diberi beras sesudu seorang tiap hari. Buat bubur, makan ramai-ramai, hingga ada yang mati kebulur.
Orang Islam juga dihalau ke kawasan pedalaman dan tidak dibenarkan berada dalam satu kelumpuk. Hubungan keluarga dihapuskan. Dipisahkan suami, isteri dan anak-anak. Lelaki dihimpun setempat, begitu juga wanita. Ada anak-anak yang sudah tidak kenal siapa ibubapanya. Ada yang tersalah berkahwin dengan ibu sendiri! Lahaulawala quwata illabillah!!”
Masing-masing geleng kepala dan menitiskan airmata mendengarnya.
Dikatakan juga mertua kepada anak Mufti Kemboja, Ustaz Kamarudin Yusof, turut menjadi mangsa tetak semasa menunaikan solat. Ustaz Kamarudin adalah penduduk Kampung Speu yang asalnya dihuni oleh 1,050 keluarga. Setelah perang tamat, hanya tinggal 50 keluarga sahaja di situ. Beliau tidak berhijrah keluar negara kerana bimbang keluarganya akan menjadi mangsa keganasan komunis.
Tentera Khmer Rouge juga memusnahkan banyak masjid, Al-Quran dan kitab agama. Tamat perang, hanya cebisan al-Quran dan kitab sahaja yang tinggal. Ustaz Kamaruddin pernah menyalin semula keseluruhan Al-Quran, Kamus Marbawi dan kitab-kitab lain, untuk menyelamatkan ilmu Islam. Beliau juga terpaksa mengajar agama tanpa Al-Quran serta kitab lain selama kira-kira 5 tahun, hanya berdasarkan ilmu di dada. Aktiviti ceramah di majlis-majlis kahwin, pembukaan masjid dan sebagainya sentiasa diadakan untuk menghidupkan kembali Islam di Kemboja.
“Masalahnya sekarang, kami kekurangan wang untuk membina masjid dan sekolah agama yang menjadi tunjang kekuatan aqidah. Kami hanya mengharapkan bantuan dari luar.” Kata seorang lagi yang agak bertokoh di kalangan mereka.
Seolah-olah minta simpati. “Setiap tahun banjir melanda kawasan kami, memusnahkan segala tanaman dan ternakan. Apa pendapat ustaz??” Dia mengarahkan soalan pada saya.
“Memang bantuan itu salah satu caranya. Tetapi kita perlu fikirkan supaya ada sumber sendiri. Orang di sini mungkin kaya dengan masa dan tanah. Ada orang Islam dari negeri lain yang ada wang, tapi tiada sumber tenaga manusia dan tanah.” Jawab saya secara spontan.
Lampu dalam masjid itu terus menyala walaupun agak separuh terang, kerana tiada talian letrik. Cuma guna bateri kecil sahaja. Renung untuk melihat bulu roma di tangan sendiri pun tak nampak. Nampak muka ahli-ahli jamaah di depan lampu sahaja. Yang lain nampak samar-samar.
“Jadi, usaha pertemukan dua golongan ini amat perlu untuk wujudkan suatu kekuatan. Barulah boleh difikirkan masalah kewangan, kemahiran pengurusan atau teknologi canggih. Kita boleh mulakan dari yang kecil untuk membuktikan kemampuan kita. Banyak khazanah Sungai Mekong boleh dipasarkan di luar negara.” Itulah teori penyelesaian saya.
Memang teknologi pertanian masih belum canggih dan perlu dipertingkatkan supaya bertambah pengeluaran. Banyak perniagaan perkhidmatan belum selesai seperti teksi, bas atau feri. Saya lihat beratus-ratus bas dari Pulau Pinang Malaysia sedang beroperasi perkhidmatannya di Phnom Penh. Apalagi bila Menteri Pengangkutan Kemboja adalah orang Islam yang perlu sangat kerjasama dari orang Islam lain untuk membangunkan negaranya.
Malam itu lepas solat isyak, kami pun pulang। Tiada makan-makan seperti kebiasaan masjid-masjid di Malaysia. Saya dijamu makan malam di rumah ustaz yang saya tumpangi. Tiada kegiatan apa-apa lagi selepas itu. Maka, kelambu pun digantung sebagai isyarat suruh tidur. Tiada tv, tiada VCD. Cuma radio kecil terngiang-ngiang di telinga menggantikan nyamuk sebelum terlelap.
Besok pagi sebelum subuh, saya telah bangun dan merayap-rayap ke tepian sungai dengan lampu picit untuk mandi serta berwuduk. Lepas makan pagi pula, kami pergi berziarah ke kampong berhampiran. Di perjalanan kami sentiasa berselisih dengan kumpulan wanita-wanita berpurdah. Sesampai di kampong tersebut, kami disambut oleh penduduk kampong yang keluar beramai-ramai terdiri dari lelaki dan kanak-kanak, kerana wanita berkumpul menunggu di dalam rumah.
Ditunjukkan kepada saya, sekolah agama yang baru didirikan dengan serba kekurangan. Gurunya cuma beberapa anak kampong yang tidak bergaji tetap. Akhirnya saya sampai ke sebuah masjid yang sudah agak lama dibina. Tapi bumbungnya hanya menutupi bahagian imam sahaja. Yang lain terbuka nampak langit.
“Bagaimana nak solat? Kalau panas takpe le. Kalau hujan turun masa solat…” Terloncat tanya gurau dari mulut saya।
“Tak apa-apa bagi kita.” Jawab seorang yang mengiringi saya. Jarinya menuding pula kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang mengerumuni kami dengan gembira, “Tapi bagi mereka…”
“Lari!!!” Sambut kanak-kanak itu ramai-ramai, sebelum dia habis bercakap. Ya, bila hujan datang, kalau tidak sanggup tunggu dalam hujan, mereka cabut lari.
(Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim ini disalin semula dari makalah SERASI terbitan Planet Hijau Media/2001.)
Blogger: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
25-11-07.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Wednesday, November 28, 2007
Kahwin Kemboja: ‘Astaghfirullah’ Atau ‘Alhamdulillah’
PUNCAK Hotel, adalah sebuah hotel sederhana yang khabarnya adalah antara beberapa buah hotel milik orang Malaysia di Phnom Penh Combodia। Combodia (Cambodge), mengikut lidah Orang Melayu disebut Kemboja. Hotel ini mungkin dimiliki oleh orang Islam, yang faham dan beramal dengan keindahan agama Islam.
Sebab dikatakan begitu, kerana keadaannya bersih dan menyediakan makanan halal. Bahkan yang lebih penting lagi ialah bersih dari kekotoran maksiat. Tidak ada pelacuran dan perjudian seperti di beberapa hotel mega di tepian Sungai Mekong yang juga antaranya milik syarikat-syarikat Malaysia. Bukan juga seperti hotel-hotel sederhana lain, yang sentiasa diganggu oleh perempuan-perempuan jalang, beralasan untuk khidmat urut, seks, arak dan daging-daging haram.
Mungkin inilah antara sebabnya timbul anggapan di kalangan orang Kemboja, bahawa orang Islam itu orang yang bersih dan sangat pentingkan kebersihan.
“Jom kita turun, kita pergi sana!” Pelawa rakan saya। Mengajak turun dari hotel tersebut, pergi ke sebuah hotel lain yang berhampiran. “Pergi meraikan kawan kita yang kahwin lagi.”
Rakan yang bersama saya ini, seorang Islam Kemboja berasal dari Kampung Cham. Kampung Cham adalah sebuah negeri di Kemboja terdapat paling ramai penduduk Islam. Di situlah beliau dibesarkan dan menghabiskan usia mudanya bersama tentera bagi menuntut kemerdekaan di negaranya. Beliau sering berulang-alik dari negaranya melalui Thailand ke Malaysia berniaga, sambil mendalami ilmu-ilmu agama. Sering juga singgah bermalam di pekan Poipet, sebuah pekan kecil di sempadan Kemboja-Thai dalam negara Kemboja.
Secara kebetulan beliau memilih penginapan di sebuah hotel kecil di pekan itu, kepunyaan seorang wanita muda, janda anak satu. Tanpa disedari segala gerak gerinya sentiasa diperhatikan oleh pemilik hotel itu, wanita Kemboja keturunan Cina yang sudah tidak tahu lagi bahasa asalnya kecuali bahasa Kemboja.
“Kenapa tuan sentiasa berkurung seorang diri di bilik sewa ini, tidak mencari teman tidur seperti orang lain?” Wanita itu mencuri kesempatan bertanya kepadanya pada suatu hari।
Maklumlah, pekan sempadan. Di situlah sarang pelacuran, bagaikan tong-tong sampah tempat membuang najis. Diselangi tegukan air kencing syaitan dan perjudian yang kekadang membabitkan pergaduhan. Sedangkan orang-orang lain keluar masuk hotel dengan perempuan-perempuan muda keliling pinggang, seolah dunia tidak kiamat dan tiada hari pembalasan.
“Saya orang Islam।” Jawab kawan saya tegas. “Tidak boleh tidur dengan perempuan yang bukan isteri sendiri. Tidak boleh main judi. Tidak boleh minum arak.”
Wanita itu nampak terkejut. Selama ini ia tidak pernah kenal orang Islam dari dekat. Ia teringat kepada bekas suaminya pegawai tentera Kemboja. Sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, membuat apa saja yang ia tidak suka.. menampar, menendang bahkan mengugut. Menyebabkan rumah tangganya hancur berderai. Hingga sekarang, bayang-bayangnya masih menghantuinya. Tapi orang Islam ini, mungkin tidak panas baran begitu. Kerana dia tidak minum arak. Sentiasa ke bilik air (berwuduk) dan nampak pembersih. Dia berfikir terus.
“Apakah semua orang Islam begitu?” Dia bertanya lagi।
“Sepatutnya begitu! Kami orang Islam, kami percaya pada Tuhan. Kalau kami buat jahat, walau siapapun tak nampak, tapi Tuhan kami nampak.”
Jawapan itu terus terpahat di kotak fikirannya, menyebabkan ia mula berjinak-jinak mengenali Islam. Akhirnya dia masuk Islam dan ingin berkahwin pula dengan orang Islam. Dialah wanita yang akan dikahwinkan sebentar lagi, di tempat yang kami sedang tuju sekarang.
“Mengapa engkau pilih orang lain tidak engkau sendiri yang menjadi teman hidupnya?”
“Kerana melihat latar belakang mereka berdua, aku rasa cukup sesuai. Apalagi ‘kawan kita’ ini orang Malaysia mempunyai wawasan besar untuk berdakwah. Aku ni, susah sikit.” Katanya sambil geleng-geleng kepala.
“Sebab quota untuk kawin tambah dah dekat nak penuh! Juga di tanganku ini, ramai lagi anak-anak gadis kampungku yang warisnya menyerahkan amanat kepadaku untuk dicarikan jodoh. Mereka suka orang Malaysia kerana agamanya, walaupun terpaksa ikut jauh sesudah berkahwin. Atau menunggu suaminya pulang dari Malaysia sebulan atau dua bulan sekali menggiliri isteri-isterinya.” Perbualan kami terhenti bila sampai di depan hotel yang dituju.
Imam Masjid Besar Phnom Penh bersama dua pengiringnya yang dijemput pun ada di situ. Wanita itu dengan seorang temannya yang juga wanita pun ada sama. Sama-sama dijemput ke bilik melangsungkan majlis aqad nikah. Setelah menilik data-data peribadi pasangan, saksi-saksi dan mas kahwin yang cukup mudah, maka majlis pun berlangsung.
Setelah selesai Tuan Imam berkata, “Bagi kami orang yang mahu berkahwin menurut syariat adalah orang baik-baik. Seperti satu masa dulu awal 90an, tentera-tentera orang Islam Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu yang berkawal di sini dari berbagai bangsa di dunia telah kami kahwinkan berpuluh-puluh pasang sehari dengan wanita-wanita Islam tempatan atau yang baru masuk Islam.”
“Mereka boleh duduk tanpa nikah kalau mereka mahu, kerana tiada undang-undang tangkap khalwat macam di negeri tuan-tuan! Kerajaan ini bukan kerajaan Islam, mereka lagi suka kalau rakyatnya tak ikut cara Islam.” Celah seorang pengiring Imam.
Tiba-tiba kawan kita orang Malaysia yang baru kahwin itu bertanya, “Adakah dikeluarkan apa-apa tanda dan bukti perkahwinan ini, supaya mudah saya membawa isteri saya ke Malaysia tidak kena tangkap basah??”
“Saya boleh bantu untuk dapatkan surat akuan nikah dari persatuan Islam di sini.” Jelas Imam lagi.
“Kalau semua yang kahwin bawa balik isterinya ke negara masing-masing, maka kuranglah benih Islam di sini. Maka lambatlah berkembangnya dakwah?” Giliran saya pula menyampuk.
Isteri baru kawan kita tadi pula menambah, “Bagi kami, mengahwini wanita di sini secara sah adalah amat bertangungjawab. Tak kira samada bawa balik isteri atau tinggal di sini! Bukan seperti askar-askar Amerika yang hanya memuaskan nafsunya sahaja, pulang meninggalkan pembiakan sarang pelacuran dan wabak penyakit, tinggalkan anak tanpa bapa, merayau-rayau di jalanan.”
Hebat juga muslimah ini, seolah-olah dia bukan muallaf. Fikirku.
“Tuan-tuan tahu?” Sambungnya। Nampaknya dia pula yang berkhutbah. “Negara kami baru lepas perang, telah mengorbankan jutaan lelaki kami. Ramai isteri yang kehilangan suami, anak kehilangan ayah, ke mana tempat mereka nak mengadu dalam negara miskin, baru dan rapuh ini?? Kadar nisbah lelaki perempuan di sini lebih 1:10. Bahkan ada yang kata lebih lagi hingga 1:30, kerana tiada statistik rasmi. Mengapa tidak ada badan-badan pembebasan wanita dunia membela secara praktikal dan bersungguh di sini??” Nadanya mulai beremosi.
“Tiada jalan lain kecuali dengan mengimport dan mengembangkan agama Islam di sini. Bawalah lelaki Malaysia ramai-ramai ke sini! Penuhilah quota kahwin empat menurut syariat, kerana tiada agama lain yang sebaik Islam. Sebab saya sendiri bersama rakan-rakan mampu mengumpulkan 50 wanita muda seminggu yang mahu masuk Islam jika ada lelaki Islam mahu kahwin dengan mereka. Tidak kira samada lelaki muda atau tua, kaya ataupun miskin! Termasuk kawan saya yang ada bersama kita di sini…” Katanya sebagai penutup, sambil mengerling kepada saya dan berpaling kepada wanita pengiringnya pula.
Ini membuatkan mata saya terikut memandang kepada wanita itu, yang kebetulan pula sedang mengerling pada saya, menjadikan saya terkejut, tergamam sehingga tergagap nak sebut samada ‘Astaghfirullah’ atau ‘Alhamdulillah’…
( Saya telah paparkan kisah ini pada Majalah Geletek April 2001. Kini dipaparkan semula sekarang sekadar mula menjawab mengenai penjelasan kahwin di Kemboja, seperti yang ditanyai pada tulisan lalu. Insya Allah, akan dipaparkan kisah-kisah selanjutnya.)
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 26-11-2007. KL.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Sunday, November 25, 2007
Kemboja: Bunga Di Atas Pusara
TENTERA-tentera berpakaian hitam dengan kain lilit kepala merempuh masuk ke bandar Phnom Penh, ibu negara Kemboja pada 17 April 1975. Mereka adalah tentera komunis yang digelar Khmer Merah atau Khmer Rouge, oleh Raja Sihanouk Kemboja. Khmer Rouge atau Angkar Padevat (Organisasi Revolusioner) telah menghalau penduduk Phnom Penh dan mengosongkan bandar itu, 3 bulan sebelum Phnom Penh dirampas.
Ketika itu Kemboja di bawah kerajaan Lon Nol. Antara pemimpin Khmer Rouge yang kejam iaitu Pol Pot dan kuncu-kuncunya. Kini antara mereka yang masih hidup, sedang dihadapkan ke mahkamah untuk dapatkan hukuman sewajarnya. Dianggarkan hampir tiga juta rakyat Kemboja mati dibunuh oleh tentera Khmer Rouge. Pol Pot memulakan kempen pembersihan Kemboja dari golongan agama dan intelektual dengan cara menangkap, menembak sami Buddha dan guru agama Islam beserta keluarga mereka.
Rakyat miskin.
Wanita kecil berpakaian hitan, ini juga jentera Khmer Rouge
Larangan menyimpan kitab agama juga berkuatkuasa. Sembahyang, puasa, zakat dan pelaksanaan haji dikatakan turut terhenti antara 1975 hingga 1979. Asalnya terdapat 400,000 penduduk Islam di Kampuchea, tapi telah berkurangan tinggal 350,000 pada tahun 1975 kerana terkorban ketika pemberontakan Khmer Rouge tersebut. Sebahagian yang terselamat sempat berhijrah ke sempadan dan tidak kembali lagi.
“Saya bersama kaum keluarga saya kira-kira 50 orang yang tidak berdaya, telah menyusup lari ke sempadan Thailand untuk mencari perlindungan di luar negara. Ramai antara kami yang kena jerangkap samar, mati atau putus kaki sahaja, ada yang ditangkap dan dibunuh.. Akhirnya kami yang selamat sampai disempadan hanya tinggal 15 orang sahaja. Waktu itu.. rasa macam mati hidup semula..” Kata Mad Li yang turut berhijrah keluar dari tanahairnya sendiri ketika itu.
Saya menemuinya di rumahnya sendiri di Kampung Kemboja di Selangor baru-baru ini.
“Kami berjalan kaki sampai Bangkok. Apabila ada yang mengetahui kami orang Islam, tiba-tiba kami dibantu. Kami disediakan rumah dan diberikan makanan secukupnya tiap hari. Saya nak beri wang pada mereka, tapi mereka menolak!
"Untuk lebih selamat mereka mencadangkan supaya kami menuju ke selatan, kerana di sana ramai orang Islam. Kami bersetuju dan mereka menyediakan tiket bas untuk ke sana. Saya nak bayar balik kerana sudah terlalu banyak mereka berkorban, juga mereka menolak.
“Sesampainya kami di Selatan Thai, kami bertemu ramai orang Islam. Ada yang mencadangkan lagi supaya kami melintasi sempadan ke negara yang ramai lagi orang Islam, iaitu Malaysia. Di sana, golongan-golongan muhajirin ini akan disambut dengan baik, kata mereka.
"Memang betul. Akhirnya kami sampai di Kelantan, antara setesyen tempat kami bertolak ke seluruh negara Malaysia membina perkampungan-perkampungan Islam Kemboja, seperti di Selangor, Perak, Johor dan lain-lain, macam yang ada sekarang. Antara kumpulan awal yang berhijrah macam saya ini ialah Ismail Sasakul orang Kemboja bekas pelakon bintang filem Hong Kong. Khabarnya, dia berada di Kelantan sekarang.” Dia menambah lagi,
Selepas tahun 1979, Kemboja didatangi penasihat Rusia dan Vietnam yang mengambil alih pentadbiran menerusi kepemimpinan Hun Sen, yang ada sekarang. Namun waktu itu, perang masih tidak dapat dihentikan. Senjata api dari China, Rusia dan Amerika dibekalkan kepada rakyat jelata dan berbunuhanlah mereka sesama sendiri. Pertelingkahan hanya dapat dihentikan apabila termetrainya Perjanjian Damai 1991 antara pihak yang bertelingkah.
Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu pula telah mengawasi keselamatan negara Kemboja sehingga pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1993 dan rakyat jelata kembali mendapat kebebasan termasuk masyarakat Islam di sana. Melalui Persatuan Islam Kemboja, kerajaan membuat aktiviti untuk kepentingan Islam Kemboja, di luar negara. Masyarakat Islam juga telah diberi peluang untuk membangunkan Kemboja dengan memberi idea yang bernas.
Pada tahun 1997, ahli parlimen dari kalangan umat Islam berjumlah tiga orang dan terdapat lebih dari 200 buah masjid di Kemboja. Dikatakan penduduk Islam paling ramai di negara itu ialah di kalangan Melayu Champa atau Cham, iaitu sekitar ke 95%. Negeri Kampung Cham adalah antara kawasan terbesar bilangan penduduk Muslim iaitu sebanyak 35% semenjak tahun 1975 dan 30,000 orang Islam boleh didapati di sekitar Phnom Penh. Selain itu kampung yang majoriti penduduk Islamnya ialah seperti Kampung Cheram Chemerai dan Kampung Pok Bahau berhampiran dengan bandar Phnom Penh, Kampung Pok Serah, Pok ‘An dan Pok Cerah.
Saya pernah ke sana sekitar tahun 2,000. Saya dipanggil berceramah dalam bahasa Melayu di Perik Aji (Parit Haji) dalam Kampung Cham. Selepas berceramah saya bertemu orang-orang tua di sana, dan banyaklah cerita-cerita menarik yang saya dapati. Antaranya ialah mengenai keberanian orang Cham, penduduk Kampung Koh Pohl dalam mempertahankan akidah Islam.
Dikatakan kampung tersebut adalah kampung pertama yang bangun berjihad menentang kekejaman rejim Khmer Rouge. Kampung Koh Pohl atau Pulau Koh. Pohl adalah bermaksud ‘pulau yang telah menjadi pulau abu, apabila rumah penduduknya dibakar’.
Penolong imamnya, Muhammad Doth Arif bercerita…
“Petang 12 Ramadhan 1975, sekumpulan 20 askar Khmer Rouge bersama ketuanya memanggil seluruh penduduk kampung berkumpul di masjid. Dalam perjumpaan tersebut mereka dikehendaki mematuhi 5 perkara.
- Pertama mengumpulkan al-Quran untuk dibakar.
- Ke2, wanita diminta memotong rambut panjang yang biasanya disanggul.
- Ke3, hendaklah berkahwin dengan orang Khmer yang bukan beragama Islam.
- Ke4, dilarang berpuasa
- dan yang ke5 disuruh memelihara babi serta memakannya sekali.
Namun tentera Khmer Rouge tidak berdiam diri, akhirnya pada hari ke9 dari periswtiwa itu, mereka telah menyerang dan menembak kampung tersebut, tetapi tiada siapa yang terkena sasaran. Setelah dua hari bertahan, orang kampung membalas serangan. Berlaku serang menyerang dan 48 nyawa penduduk terkorban. Akhirnya ada yang tertawan dan menyusup lari berhijrah ke Vietnam.
Selain kampung itu, Kampung Svay menjadi kampung kedua bangun berjihad terhadap Khmer Rouge. Berikutan itu, tentera Khmer Rouge terus mengambil tindakan lanjut ke atas seluruh umat Islam Kemboja.”
Mereka yang mati mempertahan agama Allah itu adalah Mati Syahid. Mereka bagaikan bunga-bunga yang mekar segar di taman Syurga diakhirat. Begitu juga mereka yang syahid di negara Kemboja. Kemboja asalnya adalah nama bunga. Pohonnya yang sentiasa didapati tumbuh di atas pusara… Kemboja menjadi pusara kepada syuhadak-syuhadak.
Tiba-tiba Mad Li sahabat saya yang sudah saya kenal lama itu bertanya, “Maaf bang, boleh saya tahu sikit??”
“Apa dia??” Jawab saya.
“Bagaimana dengan isteri abang yang di Kemboja dulu??”
Tergamam saya. “Syhht! Nanti ada yang salah faham. Biar saya terangkan lain kali…”
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
25-11-2007. KL.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Subscribe to:
Posts (Atom)