Saturday, February 02, 2008

Bukti Sejarah, UMNO Lanjutkan Perjuangan Hapuskan Islam...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

KIRA-KIRA 94 tahun lalu, iaitu pada 3 Rejab 1335, Pejabat Setiausaha Kerajaan Trengganu mengeluarkan surat ‘Isytihar Kerajaan’ dalam tulisan jawi berbunyi:

Ketahuilah oleh sekalian mereka di dalam negeri Trenggau dan jajahan takluknya, maka pada dan kemudian dari isytihar ini, tidak dibenarkan sesiapa memotong dan menebas hutan-hutan di atas tanah kerajaan kerana bertanam-tanaman dan sebagainya melainkan terlebih dahulu mereka yang hendak memperbuat pekerjaan yang tersebut itu mendapat surat kebenaran daripada Pejabat Tanah atau daripada cawangannya dalam daerah itu. Dan bila didapati sesiapa yang memotong dan menebas hutan yang tersebut itu tak dapat, tiadalah menjadi salah akan didenda dari $10.00 hingga $25.00, demikianlah adanya. Dengan titah perintah, Setiausaha Kerajaan.’

Maka dengan alasan itu, kerajaan British yang menjajah negeri Trengganu waktu itu pun menghantar ejen-ejen dan talibarutnya mengintip ulama-ulama Islam di Trengganu seperti Hj Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Sagof dan Tok Janggut (Lebai Deraman), walaupun gerakan Islam tersebut asalnya dimulakan oleh Sultan sendiri.

Contohnya, laporan (boleh jadi juga tuduhan) Tuan Embong ejen kerajaan, mengatakan Haji Musa Abdul Ghani menyebut dalam kitabnya ‘barang siapa membayar pas (surat kebenaran) dan hasil-hasil tanah akan termasuk golongan kafir’.
(satu hari) [sic] lepas orang sembahyang jamaah Magrib dan Isya di Kampung Bukit Gemuroh, Haji Musa berucap, “adakah kamu suka mengikut Hakim Syarak atau suka mengikut hakim kafir.” Tiada jawapan. Kemudian beliau membaca Hadith Perang. Bila orang-orang itu dengar, “Barang siapa yang tak mahu mengikut Hukum Syarak, Nabi tidak mengaku umatnya.” Orang Kampong berkata, “Tak mahu ikut Hakim Kafir.”

(Sila rojok ‘Pemberontakan Tani 1928 Di Trengganu, Satu Kajian Ketokohan Dan Kepimpinan Haji Abdul Rahman Limbong’ Oleh Timah Hamzah, Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia -1981)

Begitu juga di Kelantan, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang mengenai cukai dan hasil. Ia dipimpin Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram dan dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbau di Pasir Puteh. Di Pahang pula, Dato’ Bahaman, To’ Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain telah bangkit meniupkan semangat jihad (disebut juga oleh ulama-ulama tersebut ‘Sabil’) melawan British.

Penentangan Naning (1831-1832) yang dipimpin Dol Said bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Begitu juga berlaku penentangan di Perak. Itulah perjuangan orang-orang Melayu sebelum merdeka, yakni melanjutkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tetapi bila Malaya dihadiahkan kemerdekaan tanpa tumpah darah pada 31 Ogos 1957, undang-undang penjajah ciptaan Lord Ried ‘made in England’ yang ditentang oleh ulama-ulama pejuang berbangsa Melayu itu, tetap dipaksakan jadi Perlembagaan Persekutuan.

Si UMNO yang buta agama inipun terima, walaupun ulama-ulamanya membantah. Inilah bukti jelas, sehingga akhirnya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama, dengan kedudukan Islam yang ditempel sebagai agama rasmi saja. Ini diperjelas lagi oleh Perdana Menteri pertama Malaysia pada tahun 1983, beliau menegaskan:

…Pernah adanya percubaan oleh segelintir orang untuk cuba memperkenalkan undang-undang agama dan undang-undang moral. Ini tidak dibenarkan. Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi”. (ucapan semasa menyambut harijadi beliau yang ke 81 pada 1983.)

Sebenarnya walaupun sudah merdeka zahirnya, tetapi otak-otak mereka masih dijajah lagi. Tiba-tiba TPM Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini pula berkata:

…Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang ditakrif oleh barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara… (UM 18/07/07).

Macam mana ni Najib? Tak tahu sejarah ke, atau saja buat-buat tak tahu nak tipu orang Melayu? Atau dah termalu kerana suku-sakatnya terpaksa melutut ikut penjajah! Rakan komponennya sendiri pula terpaksa betulkan. Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan memetik memorandum yang diserahkan oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada 27/09/1956 yang berbunyi:

“Agama Malaysia adalah Islam. Kepatuhan kepada prinsip ini tidak boleh boleh meminggirkan rakyat bukan Islam yang memeluk dan mengamalkan agama masing-masing dan tidaklah bermakna bahawa Malaysia bukannya Negara Sekular”.

Ong seterusnya memetik satu nota yang disediakan oleh Colonial Office bertarikh 23/03/1957 semasa London Conference Talks yang berbunyi,

“Para anggota delegasi Parti Perikatan menekankan bahawa mereka tidak ada niat untuk mewujudkan (negara) teokrasi Muslim tetapi bahawasanya Malaya akan menjadi Negara Sekular”. “Ini adalah niat asal yang begitu jelas dan nyata oleh ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC”, kata Ong.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee pula menyatakan bahawa sifat semulajadi Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya sekular menjadi asas kepada pembentukan bangsa semenjak 1957 dan diimplementasikan semula pada 1963 (semasa penubuhan Malaysia).

“Kedudukan Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular juga telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 1988 di dalam kes Pendakwaraya –vs- Che Omar”, tegas
Wong lagi. (The Star 19/07/07)

Perlembagaan telah memperuntukkan dengan jelas bahawa ia adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang diluluskan bertentangan dengan Perlembagaan, maka secara otomatik akan terbatal. Dengan itu, peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran di bawah atau lebih rendah dari Perlembagaan. Maka dengan sendirinya, hal ini menafikan kedudukan Al-Quran dan Hadis yang sepatutnya menjadi undang-undang tertinggi dan satu-satunya undang-undang bagi negara.

Kewujudan dua sistem mahkamah (sivil dan syariah) mengukuhkan lagi hakikat yang Malaysia adalah negara sekular (sila rujuk ‘SN117 Konflik Antara Agama’ dan ‘SN125 Sijil Mati Untuk Lina Joy’ untuk penjelasan lanjut).

Dari sudut pemerintahan pula, sistem yang dilaksanakan adalah demokrasi berparlimen, sebuah sistem (sekular) yang dicedok sepenuhnya dari penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat Undang-Undang) hendaklah diketepikan. Jadi, jika majoriti manusia bersetuju untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, maka ini adalah sah menurut amalan demokrasi-sekular.

Pendek kata, undang-undang boleh digubal, dipinda atau dihapuskan sesuka hati oleh manusia hanya dengan undi majoriti. Apakah ini tidak ‘…meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara…’ macam kata Najib tadi?? Itulah sebabnya saya tegaskan, bahawa UMNO melanjutkan perjuangan menghapuskan Islam seperti yang dimahukan penjajah… yang penjajah juga datang ke tanah air kita adalah lanjutan dari perang Salib di Eropah!! Perang Salib bagi mereka dan Perang Sabil bagi ulama-ulama kita.

Allahu akbar!

(Sila rojok juga buku penulis ‘Konflik UMNO-PAS Satu Penyelesaian Menurut Islam’, terbitan GG Edar 1993 & ‘1950-2000 PAS Kuasai Malaysia?” terbitan GG Edar 1993)

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 02-02-08. KL

Friday, February 01, 2008

Negara Jepun Diserang Belut




Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

‘DOYO Ushi No Hi’ adalah hari yang ditetapkan berdasarkan kalender kuno matahari secara tradisional, dianggap hari paling menyengat sepanjang musim panas.

Pernah di negara Jepun suatu waktu dicengkam oleh gelombang panas panjang yang jarang berlaku, menjadikan udara terus naik setiap hari sepanjang bulan. Demikian diceritakan oleh seorang peniaga ‘Belut Sumatera’ yang sentiasa berulang alik dari Tanjung Balai ke Pelabuhan Kelang.


Menurutnya lagi, di tengah suasana panas terik yang menyiksa seperti itu, bangsa Jepun mulai melirik melihat belut untuk dapatkan sedikit keselesaan, iaitu dengan menyantap makanan ‘belut sayur’ atau ‘belut rebus’ sebagai suatu cara efektif untuk melawan hawa panas tersebut.

“Pernah pada suatu hari, hari Rabu yang disebut ‘Hari Belut’ pada tahun itu, para pekerja bangun pagi-pagi lagi untuk merebus masakan belut di restoran-restoran khas mereka, memasak sehingga kira-kira 1,000 ekor sehari. Dihidangkan dalam mangkuk nasi yang disirami kuah sos. Pelanggan-pelanggan terpaksa berbaris panjang di depan restoran itu untuk menjamu selera menyantap makanan ikan yang rupanya macam ular itu.” Kata peniaga itu lagi.

“Dengan memakan belut, saya harap mampu bertahan dari serangan teriknya panas matahari,' kata seorang lelaki Jepun kepada televisyen NHK waktu itu. Kerana sehari sebelumnya, suhu meningkat mencapai 40.1 darjah Celsius di kota Sakuma, sekitar 150 kilometer baratdaya Tokyo, ibukota Jepun. Angka itu paling tinggi di seluruh Jepun, hanya rendah sikit jika dibandingkan angka tertinggi pernah dicapai dalam sejarah negara itu, iaitu 40.8 derajat Celsius pada 25 Julai 1933 di kota Yamagata, timurlaut Jepun.

Begitu juga di Tokyo, sehari sebelumnya, hari Selasa tercatat 38.1 darjah Celsius. Nasib baik datang gelombang ribut petir sekejap membuat suhu turun semula. Tetapi di kota-kota lain, panas tetap tinggi sehingga membuat orang jadi letih dan lesu. Tiga orang dilaporkan terkorban kerana panas terik, terdapat ahli pasukan baseball di sebuah sekolah jatuh pengsan waktu latihan dan kira-kira 467 orang terpaksa dipindahkan ke tempat selamat. Hal ini berlaku dalam beberapa tahun lepas.” Jelas peniaga itu lagi.

“Apa khasiatnya, sampai orang Jepun suka sangat?” Seorang kawan kami bertanya.

“Belut atau nama saintifiknya ‘monopterus albus’ termasuk kategori ikan air tawar. Berbentuk panjang, kepalanya bulat dan berinsang. Mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Khasiatnya setanding ikan tenggiri dan selar, mengandungi 18.6 % protein dan 15% lemak. Ertinya, kaya dengan lemak, kalsium, vitamin B, Vitamin D dan zat besi. Jadi, tak heranlah ramai yang percaya belut boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan.

Jika diamalkan memakannya selalu, dikatakan boleh kuatkan daya tahan tubuh, normalkan tekanan darah, haluskan kulit, cegah penyakit mata, kuatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis. Kerana belut mengandung protein dalam kadar tinggi, maka santap belut adalah salah satu cara untuk tingkatkan energi yang hilang. Maklumlah, tak selera nak makan kerana cuaca terlampau panas.. bolehjadi tu sebab orang Jepun suka…” Katanya lagi.

“Ada peluang ke, eksport belut ke Jepun?” Saya tanya pula.

Kawan peniaga itu orang Indon, dia pula menjawab, “Menurut Sumber Drs Ruslan Roy, MM, Ir R. M. Son Son Sundoro, www.eelstheband.com, seorang pengusaha belut terbesar di Indonesia, dan yang telah diolah dari berbagai sumber, seperti di trubus online dan lain-lain, Jepun adalah negara pengimport belut tertinggi, perlukan 1,000 tan seminggu. Negara kedua adalah Hongkong 350, Cina 300, Malaysia 80, Taiwan 20, Korea 10 dan Singapura 5, semuanya dalam jumlah tan seminggu. Jadi kita boleh cuba terokai pasaran belut dunia. Tapi di Malaysia, nak dapat belut dari mana kalau banyak-banyak?”

Kawan kita peniaga Belut Sumatera itu menambah, “Beberapa tahun lepas aku pernah mengimport belut dari Thailand ke sini. Bukan belut ternak tapi belut liar. Harga belut liar yang ditangkap lebih mahal. Belut liar lebih banyak khasiatnya kerana hidup dalam habitat semulajadi. Harga yang aku jual waktu itu mencecah RM8 hingga RM11 sekilogram dan meningkat hingga ke RM14 sekilogram pada musim hujan. Manakala belut ternak adalah RM6 hingga RM7 sekilogram. Itu harga dulu beberapa tahun lepas, sebelum berlaku pembunuhan beramai-ramai di selatan Thai. Sekarang dah takde lagi, kerana perang masih berlarutan. Nak tangkap belut macam mana, peluru bedil lalu-lintas atas kepala?!”

“Sekarang dah tak berniaga belut Thai lagi ke?”

“Berniaga, kalau ada. Tapi aku bawa banyak belut liar dari Sumatera pula.”
“Harga macam dulu lagi ke?”

“Kalau nak harga dulu pun boleh. Tapi kena beli banyak. Sekurang-kurangnya 1 tan sekali hantar ke tempat.”

“Kalau ada kawan-kawan kita nak, macam mana nak hubungi?”

“Sila hubungi saya, Mansurdin: 019 3489046 atau kawan saya Abu Hafs: 03 41465655. KL.”

Ya. Saya masih ingat, waktu mula-mula Tok Guru Nik Aziz perintah Kelantan dulu, beliau pernah sebut nak jadikan Kelantan sebagai negeri sumber permakanan, bahkan hingga kinipun… Sekarang, Malaysia pimpinan Pak Lah pula tengah menekankan pertanian. Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat, bolehlah kita fikirkan sama-sama untuk mengembangkan perusahaan belut ini.

Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 01-01-08. KL

Jalan Haji Taib Belakang Mati, Jangan Dibiarkan Mati...



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI




(gambar: Yap Ah Loy)

PADA tahun 1876, seorang pedagang dari Sumatera berketurunan Minangkabau, datang berhijrah ke KL (Kuala Lumpur). Beliau mempunyai kilang biji timah, tanah ladang, rumah dan kedai sekitar perkampungan Melayu di sini. Akhirnya kerana gigih dan tekun berusaha, beliau menjadi antara orang Melayu yang terkaya pada masa itu.

Beliau meninggalkan banyak jasa kepada komuniti Melayu KL sekitar awal kurun ke 19, terlibat dengan penubuhan Kampung Baru KL, menjadi tokoh pembangunan, tokoh sejarah pembukaan KL dan kenalan rapat Sultan Abdul Samad serta Yap Ah Loy. Nama beliau sebenar ialah Haji Mohamed Taib. Kini namanya diabadikan kepada nama sebatang jalan, yang terletak disalah satu kawasan paling sibuk di ibunegara, menjadi pusat perniagaan berdaya maju, iaitu Jalan Haji Taib.

Tetapi malangnya, kerana negara ini bukan negara yang berpaksi negara agama (negara sekular bukan negara Islam), maka sebelah malamnya seperti juga di banyak tempat-tempat lain lagi di negara ini kecuali Kelantan, tempat itu bertukar menjadi sarang maksiat. Kerana maksiat di situ bukan saja mudah didapati dan tiada gangguan apa-apa, bahkan dikawal keselamatannya oleh pihak kerajaan.

Saya tidak sebut sarang maksiat itu sebagai ‘lokasi khidmat seks’ seperti yang disebut oleh sesetengah pihak, kerana perkataan ‘khidmat’ itu adalah sesuatu yang baik, sedangkan di situ berlaku pelacuran dan hubungan seks haram (haram dari segi hukum bukan kerana tiada lesen atau kelulusan kerajaan) antara lelaki-wanita dan lelaki dengan lelaki (warisan perbuatan terkutuk kaum Nabi Allah Lut AS).

Menurut sejarawan Profesor Datuk Dr Ramlah Adam (Utusan Malaysia 17.01.08). ‘kegiatan yang berlaku di jalan tersebut nyata tidak bersesuaian dengan kesohoran beliau (Haji Muhamed Taib)’. Menurut Profesor Madya Dr Kamarulzaman Yusuf dari UKM (Utusan Malaysia 17.01.08), nama baik Haji Taib seharusnya dipelihara dengan menukar kawasan itu kepada kegiatan yang berkonsep kekeluargaan.

Kata beliau lagi, “Saya mencadangkan semua pihak berusaha sedaya mungkin menjaga nama baik Jalan Haji Taib, agar masyarakat tahu bahawa tokoh itu adalah membawa banyak kejayaan kepada orang Melayu di Kuala Lumpur.”

Katanya lagi, hanya pihak berkuasa yang mampu mengubah keadaan itu dan apa yang perlu kini ialah ketegasan dalam menjayakan usaha itu. Sementara itu Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup memberitahu (Utusan Malaysia 26-01-08), DBKL berasa terkilan kerana kegiatan maksiat di Jalan Haji Taib bertambah kronik sehinggakan berleluasa di siang hari.

Walaupun begitu beliau memberi jaminan imej di Jalan Haji Taib yang sinonim dengan sarang maksiat akan dibersihkan pada masa akan datang dan berharap orang ramai dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan yang saya temui berkata…

PAS Wilayah sedia beri kerjasama dengan pihak DBKL demi ‘suruh yang baik dan mencegah mungkar’ seperti yang diperintahkan Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Kami sentiasa mengalu-alukan! Apalagi bila ibupejabat PAS sekarang berada di Jalan Raja Laut berhampiran kawasan ini. Tanggungjawab itupun adalah tanggungjawab kami.

Sekarangpun kami beri makanan percuma kepada fakir miskin tak kira bangsa dan agama tiap hari Jumaat petang di situ. Pejabat kami pun sentiasa terbuka bagi orang-orang Islam yang nak tumpang sembahyang atau mendengar kuliah zohor yang sering diadakan.”

Jalan Haji Taib dan Lorong Haji Taib, di situ juga disebut Belakang Mati. Jangan dibiarkan kawasan itu mati dan tandus dari siraman iman dan Islam. Menjadi tugas kita umat Islam pula, untuk melenyapkan kegiatan maksiat pelacuran dan ‘main belakang’ (homosex) supaya musnah atau mati dari Belakang Mati! Nama Haji Taib akan hidup dan bersih kembali…

Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 30-01-08. KL

Tuesday, January 29, 2008

Darah Tinggi & Diabetes: Bagaimana Jadi Doktor Sendiri Berubat Tanpa Kos?



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

“DARAH tinggi, diabetes dan sakit jantung adalah penyakit 3 beradik atau 3 serangkai. Sama-sama kronik dan berkait rapat antara satu sama lain. Mula-mula 1 penyakit, akan tambah berkembar jadi 2 dan seterusnya.” Kata seorang lelaki peniaga kecil, berumur kira-kira 50 tahun. “PRU 12 ni aku bimbang BN menang lagi, kerana ikut laporannya, kerajaan BN sedang merancang untuk swastakan semua hospital kerajaan Ogos ini. Hai... teruklah kita, dah le keadaan ekonomi mulai merudum!”

“Nabi kata, tiap-tiap penyakit ada ubatnya.” Jawab seorang ustaz, yang kira-kira 5 tahun lebih tua dari lelaki tadi. “10 tahun dulu saya terkejut, rupanya saya sudah 5 tahun mengidap kencing manis (diabetes) , tapi saya tak tahu, walaupun masih belum kronik sangat. Saya berubat di kelinik biasa (allopathy), doktor kata, penyakit ni tak boleh baik cuma boleh bertahan saja. Saya fikir-fikir… tak betul pendekatan doktor itu dan bercanggah dengan kata Nabi tadi… ubat memang boleh bagi baik, buat apa bagi pesakit takut?”

“Ustaz tak berubat ke dengan perubatan allopathy itu?”

“5 tahun saya berubat… memang diabetes itu boleh bertahan. Tapi pada suatu pagi saya bangun dari tidur, tangan saya tak boleh angkat sebelah. Hal ini menyebabkan saya beralih berubat dengan perubatan homeopaty pula. Menurut doktor homeopathy itu, mungkin hal tersebut kesan dari guna ubat allopathy. Saya pun belajar perubatan homeopathy. Baru saya tahu, rupanya pernah berlaku pertembungan hebat di awal kebangkitan ilmu perubatan antara perubatan allopaty dengan homeopathy. Banyak pro dan kontranya.

Antara yang saya ingat kata-kata doktor homeopathy seperti group Dr Semuel Henamhann dulu, ‘…perubatan alleopathy hanya mampu menimbus satu lubang penyakit, dengan terpaksa mengorek lobang penyakit lain yang lebih besar lagi’. Dan ‘ubatan alleopathy lebih banyak membunuh pesakit dari mengubatinya’.

Perubatan homeopathy di bawa masuk ke Malaya dulu oleh Yang Di Pertua Agung PAS ke 3, Prof Dr Burhanuddun Al-Helmy. Ada orang kata, kalau yang bawa masuk homeopathy itu bukan pemimpin PAS (PAS waktu itu menjadi musuh parti Perikatan yang memerintah) ada harapan perubatan homeopathy diiktiraf oleh kerajaan (waktu itu), dan berkembang setanding dengan alleopathy, seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah hari ini, termasuk England sendiri.”

“Sekarang ustaz makan ubat apa?” Yang lain menambah.

“Beberapa tahun saya guna ubat homeopathy, tetapi kerana saya terpaksa jimatkan kos saya pilih perubatan herba, yang saya tanam keliling rumah. Kini saya jadi doktor sendiri berubat tanpa kos.” Jelas ustaz itu.

“Okey tu. Kami pun nak jadi doktor sendiri juga, boleh ke ustaz tolong ajarkan untuk penyakit darah tinggi dan diabetes?” Mereka pun nak jadi doktor sendiri juga.

“Mudah saja…” Kata ustaz. “Kamu kenal tak ‘pokok seruntun’?”

Ada yang mengangguk, ada yang geleng kepala.

“Akar seruntun, disebut juga patawali (atau putawali), brotowali, atau batang wali. Nama saintifik atau botaninya disebut ‘tinospora krispa (miers) atau tinosprora tuberculata. Dari jenis (famili) menispermaceae. Selalu dijumpai di pagar-pagar lama atau rumah tinggal. Saya tanam sendiri di tepi rumah. Sejengkal batang patawali saya gantung tepi pagar kira-kira 1 kaki atas tanah. Beberapa hari kemudian, tumbuh akar dan pucuk terus hidup. Amat mudah. Sekarang sudah penuh pagar dan menjalar hingga ke bumbung rumah. Berjurai-jurai, nampak cantik pula, boleh buat tanaman hiasan.”

“Ya. Ya. Saya juga terbaca dalam keterangan dari MARDI..” Tambah kawan yang mengangguk tadi. “Pokok jenis memanjat, berkayu lembut. Batangnya berbintil-bintil (berkerutu), kulit nipis dan mudah terkupas (dipisahkan). Garis pusat batang ialah antara 1.0-1.5 cm, mengeluarkan getah putih dan berlendir. Rasanya pahit. Ya. Aku ingat, isteri jiran aku nak pisahkan bayinya jangan hisap susu ibu lagi, dia sapu sikit di kepala payudaranya, bayinya dah tak mahu hisap lagi terus berhenti. Bayi pun tahu pahitnya!”

Masing-masing tertawa dengar cerita itu.

Dia menyambung lagi, “Daunnya bersifat ringkas, nipis, lembut, berbentuk hati dan tersusun secara berselang. Ukurannya ialah lebih kurang 9-10 cm panjang dan 7-8 cm lebar. Permukaan di bahagian atas dan bawah daun adalah licin. Bahagian hujung daun berkeadaan runcing. Peruratan palmat dengan 7 urat utama, nampak jelas pada permukaan bawah daun. Tangkai daun berukuran 4-5 cm panjang. Itu, antara keterangan yang aku dapat dari MARDI.”

Ustaz itu menyambung lagi, “Batangnya mempunyai kandungan air yang tinggi. Tumbuhan ini dijadikan bahan, dicampur dalam minyak urut oleh tukang urut tradisional. Bunganya berwarna hijau muda, mempunyai 6 mahkota berupa tunas. Bunganya kemudian akan berubah warna menjadi merah dan putih bila matang. Buahnya pula berwarna merah muda, kulit batangnya mengandungi alkaloid dan dammar… Manakala akarnya mengandungi berberin dan kolumbin.”

“Apa khasiatnya dan macam mana nak guna?”

“Batangnya adalah bahagian utama mengandungi khasiat. Digunakan untuk merawat tekanan darah tinngi, kencing manis, penyakit kelamin (gonorea atau sifilis), sakit perut, demam, demam malaria (kerana mengandungi jatrorhizine), turunkan suhu panas (kerana terdapat pikroretin), sakit pinggang, sengal-sengal dan masalah cacing bagi kanak-kanak. Malah diFilipina dibuat tonik yang digunakan untuk mengubat orang sakit jiwa atau tekanan mental.

Caraguna, dengan merebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, membunuh kuman, merawat kudis buta dan menyembuhkan luka (boleh juga dicampur dengan sedikit belerang). Untuk penyakit kelamin juga digunakan daunnya.”

“Ya aku ingat lagi…” Yang tadi mencelah lagi. “Ada orang kampungku yang kerjanya mencari rotan di rimba. Dia membawa bekal pokok seruntun ini selilit pinggang, dalam perjalanannya. Dimakannya begitu saja sehari seinci.”

“Makan begitu saja, tak pahit ke?”

“Pahit le. Sehingga nyamuk pun tak mahu gigit! Itulah khasiatnya, sehingga boleh bermalam berminggu-minggu di hutan tanpa kelambu atau ubat nyamuk!”

“Itulah jalan selesainya, bila kita takde duit nak berubat. Satu lagi jalan selesai ialah…”

“Jangan undi BN!!” Jawab mereka ramai-ramai.

Sekian. Wallahu ‘aklam.


Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
29-01-08. KL.

Monday, January 28, 2008

4 Sebab Pembangkang Tawan Pulau Pinang?


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


GROP Universiti Ulu Klang telah merumuskan antara negeri-negeri yang mampu ditawan pembangkang dalam PRU ke 12 kali ini, antaranya, ialah Pulau Pinang. Antara sebab-sebabnya ialah:


Pertama: Dalam tinjauan awal kami kepada ketua-ketua masyarakat orang Cina di PP (Pulau Pinang), didapati mereka mula ‘beralih angin’ kepada pembangkang.

Mereka akan tolak BN antaranya, atas 2 sebab.

Satu… Mereka sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan BN mampu menaikkan balik ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Mereka risau perniagaan mereka yang mulai mulai merosot akan terus menjunam. Hal ini mungkin melibatkan cara hidup mereka berubah kepada merudum.

Dua… Seperti yang dibangkitkan oleh YB Hamdan Abdul Rahman ADUN Permatang Pasir dalam pembahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2008 (pada 19.11.2007) , kata beliau

Perangkaan jenayah yang disebutkan itu (disenaraikan mengikut tahun bagi negeri PP) 'adalah amat membimbangkan sekali’ … kes-kes itu termasuklah kes bunuh, kes cabul kehormatan, kes samun senjata api, kes curi, kes curi motosikal, kes pecah rumah, kes ragut dan lain-lain …meliputi semua daerah dalam negeri kita P.Pinang ini.’ Ketakutan yang meruncing ini, termasuk penculikan kanak-kanak yang tak mampu diselesai oleh kerajaan menyebabkan rakyat akan menolak BN.

Kaum India juga begitu. Buktinya, dalam himpunan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, walaupun kerajaan terpaksa beri cuti umum bagi Selangor Wilayah untuk meramaikan, namun kehadiran dilaporkan amat tidak memuaskan. Sebuah akhbar melaporkan, untuk pertamakali sejak 40 tahun, sebuah pertubuhan Hindu Divine Life Society (DLS) terpaksa membuang begitu sahaja makanan percuma yang disediakan untuk 20,000 orang, tetapi kehadiran jauh lebih rendah.

Hal ini menolak tafsiran kehadiran yang berjumlah kira-kira 1 juta oleh Presiden MIC. Dikatakan, sebab itu orang India PP sedia membantu pembangkang untuk pilihan raya ke 12 ini.


Kedua: Bagi PAS pula, parti itu seolah-olah dapat suntikan semangat dan kekuatan baru, apabila Pesuruhjaya PAS PP Ustaz Saleh Man dapat regu baru Timbalannya Dr Mujahid Yusof, ADUN Permatang Pasir dan beberapa lagi, terus mengemaskan jentera turun padang membawa gaya politik ‘multiracial approuch’ yang amat sesuai untuk negeri itu.

Menurut Mujahid, "… kita telah bawa banyak isu di PP, isu pembangunan, isu Melayu terpinggir, isu mendapatkan kemudahan dan lain-lain yang telah memberikan nama harum kepada PAS. Saya sendiri bersama YB Hamdan turut mengemukakan pandangan kami kepada Kerajaan Negeri tentang perkara yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat semua kaum. Khusus isu tanah wakaf yang menjadi isu kepada kewujudan tanah Melayu di bandar George Town dan salah tadbir turut dikemukakan di DUN PP dengan pihak berwajib.”

Namun begitu Ustaz Saleh Man dan Dr Mujahid, Ustaz Mozani dan lain-lain tetap dengan ‘base tradisi’ mereka memberi kuliah agama di pusat-pusat pengajian atau masjid. Begitu juga YB Hamdan dengan ‘program kebajikan bersama rakyat’nya.


Ketiga: Mengikut kajian Merdeka Research, pengundi Cina/India mahukan pembangkang yang kuat. Mereka melihat DAP, PKR dan PAS saja yang boleh mengajar BN. Saya sendiri pun nak DAP dan PKR menang besar di PP, biar sampai boleh tubuh kerajaan. PAS mungkin akan bertanding 6 atau 7 kerusi sahaja. Pada tahun PRU 1969 PP menempa sejarah, parti Gerakan sebagai pembangkang mengalahkan parti pemerintah Perikatan pimpinan Dato’ Wong Pau Nee.

PRU 1986 DAP pula cuba buat kejutan. Waktu saya lalui di pekan Tanjung Bunga, gambar Lim Kit Siang besar terpampang megah di sebuah bangunan dalam ‘Projek Tanjung 1’nya itu. Saya juga turut bertanding atas tiket PAS di DUN Teluk Bahang pada tahun itu. Keputusannya, cuma satu dua kerusi saja lagi BN akan ditumbangkan oleh DAP di PP. Di situlah perlunya kerjasama pembangkang-pembangkang, yang dikatakan amat intim seperti di PP sekarang ini, dalam menumbangkan BN di negeri asal Perdana Menteri (PM) negara ini.


Keempat: BN dikatakan sudah amat terdesak untuk pertahankan keseluruhan kerusi-kerusinya. Berlaku perebutan kerusi secara tersirat di kalangan dalaman parti, samada team, individu atau parti-parti gabungan. Pak Lah dikatakan tidak berwibawa bagi menyelesainya, bukan macam PM-PM sebelumnya. Ubat stroid ‘Mr Clean’nya kini sudah tidak mujarab lagi. Apa lagi kalau Gerakan yang kini sedang ‘main-main mata’ dengan pembangkang, join di saat-saat hampir pilihanraya, akan cepatlah tumbangnya BN di Pulau Mutiara itu.

La ni, BN tengah dok kelupok, macam ayam kena sembeleh.. nak pertahankan PP!” kata seorang anak jati PP.


Lagi, sembang-sembang PRU 12 … Sekian. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 28-01-08. KL
.

Saturday, January 26, 2008

Menternak: Tak Perlu Beri Makan, Dia Beri Penternak Makan...





CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

"NAK tahu apa ternakan yang boleh kita pelihara, tak perlu kita beri dia makan, tetapi dia cari untuk kita dapat makan?” Saya tanya dalam satu majlis ceramah ekonomi kepada guru-guru pesantren (pusat pengajian Islam cara tradisional, kalau di Malaysia disebut ‘pondok’) di Pekan Kisaran, dalam kawasan Medan, Indonesia, kira-kira 10 tahun lalu.

Soalan ini saya lontarkan setelah berceramah kira-kira setengah jam mengenai pembangunan ekonomi di pesantren tersebut.

"Ha. Bagus tu Pak! Memang kami perlu tahu sangat. Pesantren kami pun butuhkan (perlukan) wang untuk biayai pengajian.” Jawab salah seorang dari mereka.

“Pesantren kami memiliki 20 hektar tanah perkebunan nyiur diselangi tanaman kopi yang kini sedang menampung pembiayaan pembelanjaran. Apa pendapat bapak yang boleh kami buat untuk tambah lagi pendapatan?”

"Ooo…” Saya jelaskan…


"Pertama… Jika ustaz naik kereta dari Kisaran ini menuju ke kota Medan, kira-kira beberapa kilometer di sebelah kiri jalan, ustaz akan jumpa suatu papan tanda tertulis di situ ‘bibit-bibit lebah untuk dijual’.

Di situlah ustaz boleh rundingkan untuk dapatkan bibit-bibit atau benih-benih, cara-cara menternak dan harga permulaan modal. Saya telah pun ke situ semalam, saya lihat tidak banyak sangat modalnya, boleh diternak secara sampingan di ladang nyiur pesantren dan hasilnya pun boleh tahan…

Untuk penerangan lanjut ustaz boleh beli buku cara menternak lebah, antara ratusan buku-buku pertanian di Pustaka Gramedia, tingkat 2, Medan (kalau tak salah ingatan saya).

Itulah antara ternakan yang kita tidak perlu beri dia makan, dia cari sendiri, tetapi madunya kita ambil sebagai sumber pendapatan kita.”

"Oo… Bapak lebih tahu dari kami anak tempatan sini!” Sampuk salah seorang dari mereka memuji.

"Kalau saya duduk sini macam ustaz pun, boleh jadi saya tak tahu juga!” Gurauan saya cuba mencuit hati mereka.


"Kedua… Telah saya terangkan di penerangan awal tadi bagaimana politik di Asia Barat, ulama-ulama Islam termasuk Syeikh Aminul Husaini waktu itu menfatwakan ‘haram’ menjual tanah pada orang Yahudi. Kerana orang Yahudi terus menindas umat Islam, bahkan kini mereka terus-menerus merampas tanah-tanah orang Islam dengan kekerasan. Rupanya setelah saya tinjau beberapa hari di sini, ‘perampasan tanah’ seperti ini juga berlaku terhadap orang Islam di sekitar pekan Kisaran di sini. Orang-orang Islam mula dihambat keluar dari pekan ini…”

Mereka nampak terkejut. “Bagaimana dan apanya?? Kami masih belum nampak…”

Teringat saya beberapa hari sebelum itu, saya naik beca berhampiran pasar di Kisaran kira-kira masa lepas waktu asar.

Terdengar bunyi bising dengungan kumpulan-kumpulan burung masuk sarang nak tidur. Saya lihat tak banyak pun, berbanding dengan bunyinya yang kuat macam banyak.

"Maaf Pak! Itu bukan bunyi burung langsung (terus dari burung)… Itu bunyi burung yang di 'tape’kan. Burung pun bisa ditipu Pak. Bunyi rakaman burung ramai-ramai itu, untuk panggil kawan-kawannya tidur di sarang rumah buatan manusia...” Jelas tukang beca yang membawa saya itu.

Rumah itu berbentuk rumah kedai batu 4 tingkat. Terdapat lobang-lobang untuk burung masuk tidur. Suatu yang agak ganjil, di pekan agak pendalaman tetapi terdapat banyak bangunan tinggi 4 tingkat. Rupanya, itulah rumah perusahaan sarang burung.

"Burung apa? Apa hasil dari burung itu?” Saya tanya.

"Burung walet (burung layang-layang). Dia buat sarang dengan campuran air liurnya.. Sarangnya dijual terlalu mahal, dieksport keluar negara. Buat ubat kononnya… ubat kuat tenaga batin, macam tongkat ali di Malaysia. Dulu ada hotel di stesyen keretapi Kisaran. Tetapi kerana banyak si walet buat sarang, dan harga sarang walet lebih lumayan dari bisnes hotel, maka hotel itupun ditutup. Itu sebab bapak lihat banyak sarang-sarang walet bertaburan di bekas bangunan yang masih bertulis hotel itu. ”

Kerana hal-hal begini, saya mula membuat tinjauan mengenainya. Hampir semua pengusaha-pengusaha walet adalah orang bukan Islam, yakni orang-orang Cina dan orang Melayu Indonesia yang beragama Kristian.

Kedudukan pekan Kisaran yang strategik untuk ternakan tersebut, menyebabkan tanah-tanah di situ menjadi mahal berkali-kali ganda. Akhirnya banyak tanah-tanah orang Islam terjual dan terlepas ke tangan orang bukan Islam.

Saya meneruskan ucapan saya kepada ustaz-ustaz dari pesantren itu, “Perampasan tanah di sini berlaku tidak dengan kekerasan, tetapi melalui jualbeli secara rela kepada orang bukan Islam.

Mereka membeli dengan harga yang mahal untuk ternakan burung walet. Sehingga orang Islam menjualnya dan terpaksa berpindah dari sini ke pendalaman lagi. Bank-bank pula sanggup memberi pinjaman kepada mereka.

Di Medan contohnya, ada syarikat-syarikat pembinaan menjual bangunan-bangunan yang dibuat khas untuk ternak walet dan boleh dibeli melalui pinjaman bank.

Kerana perusahaan ini amat menguntungkan. Apa tidaknya? Bukan penternak yang memberi makan padanya.. burung itu sendiri yang keluar pagi dan pulang petang dengan perut penuh berisi mencari makan di sungai dan laut, tapi akhirnya memberi pendapatan lumayan kepada penternak melalui sarangnya. Maka berlakulah perampasan tanah besar-besaran ke atas orang Islam.”

"Nampaknya berternak ini juga sebahagian dari jihad. Kita mulakan dengan ternak lebah dulu, mengikut kemampuan kita.” Cadangan salah seorang dari mereka. Masing-masing pun bersetuju.


Beberapa bulan selepas itu saya datang lagi. Apa yang mereka kata, rupanya mereka kotakan. Selepas mereka bawa saya melawat tempat-tempat ternakan lebah mereka, “Nah bapak! Inilah hasil diskusi kita dulu, nanti waktu mahu pulang bawalah madu-madu (berisi dalam botol) ini sebagai ole ole dari Kisaran.” Kata salah seorang dari mereka.

“Oh ya, lepas ini kalau ada kesempatan, kita bincang pula pasal pasaran. Kalau boleh kita nak tembusi pasaran Malaysia!”.

“Al-hamdulillah!” Saya jawab..

Catatan Santai:
http://www.ibnuhasyim.blogspot.com/
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
26-01-08. KL

Friday, January 25, 2008

Datuk A.Samad Said Sebenarnya Mula Menentang Kerajaan...

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

DATUK A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara yang tidak mahu lagi guna gelaran itu, kini mengambil sikap ‘tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Kompenan Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas)’ kecuali atas nama peribadi.

Penentangan ini terpaksa dilakukan ‘…demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir.’

Difahamkan, baru-baru ini Kementerian Pelajaran telah mengumumkan untuk menukarkan teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar dan Sharifah Abu Salem.

Antara alasan yang dikemukakan ialah sebahagian teks yang sedia ada ‘terlalu berat dan tidak sesuai’ di peringkat pelajar sekolah menengah. Sebaliknya karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan 'tekanan dan kebosanan’ pelajar.

Beliau yang lebih 4 dekat bergelumang dengan dunia kreatif menyebutkan, pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka… Seorang pengarang tidak hanya tahu menulis, tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa dan negara, samada melalui karya kreatif atau sebaliknya.

Beliau meluahkan perkara tersebut di majlis bacaan puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau seolah-olah memberi amaran, pemilihan ‘karya-karya picisan’ sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru. Contohnya, seperti penggunaan bahasa Melayu ‘bersifat rojak’ (diselang seli bahasa Inggeris) dan bahasa pasar. Begitu juga mengenai 'mesej remaja’ dalam karya-karya tersebut boleh membawa kepada impak negatif.

Ada yang menyebutkan beliau cuma ‘merajuk’ saja. Tetapi pada saya tidak. Apabila beliau mula melihat mesej remaja yang boleh membawa kepada kesan-kesan negative, maknanya beliau mula memperluaskan perjuangannya kepada membela kebenaran dan menentang kemungkaran.

Bererti beliau akan menolak dasar negatif dan mungkar seperti yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan BN hari ini.

Bolehkah jadi begitu? Kalau kepada Prof Shahnon Ahmad boleh, kenapa kepada orang lain tidak. Akhirnya A.Samad Said menutup majlis tersebut dengan bacaan puisi ‘Suara Dari Dinding Madrasah’ yang mengangkat tema mengenai isu sekolah-sekolah agama di negara ini.

Wabillahi taufik wal hidayah, assalamu ‘alaikum!


Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 24-01-08. KL

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails