Thursday, May 15, 2008

Dr Mujahid: Formula Perkasakan Perpaduan Nasional.



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


KALI ini saya pilih ucapan Ustaz Dr Mujahid Yusof Rawa ahli parlimen Parit Buntar dari PAS di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada 9.14 malam.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong dengan memulakan satu statistik yang mengisyaratkan tentang perlunya negara kita ini maju ke hadapan untuk memastikan perpaduan kaum, perpaduan nasional berlaku dalam negara ini. Statistik yang telah dijalankan oleh salah satu daripada badan yang membuat kajian telah menunjukkan bahawa 42% daripada rakyat Malaysia, mereka lebih suka untuk mengecam diri mereka mengikut masing-masing iaitu seramai 42%. Manakala yang mengecam diri mereka sebagai rakyat Malaysia pula ialah sebanyak 45%.

Saya menganggap bahawa peratus ini menuntut kita supaya membuat satu penilaian semula kepada usaha-usaha perpaduan kerana mengikut statistik juga, Ahli Yang Berhormat sekalian, Tuan Yang di-Pertua, bahawa tanggapan kepada usaha-usaha perpaduan ini bagi orang Melayu yang menganggap usaha-usaha perpaduan ini ikhlas ialah sebanyak 62%, kaum Cina menganggap perpaduan ini ikhlas 35%, orang India yang menganggap perpaduan ini ikhlas ialah 75%.

Tanggapan ini sudah tentulah merupakan satu yang menuntut kita sebagai pembuat dasar di dalam Dewan Parlimen yang mulia ini untuk kita mencari formula dan jalan keluar bagi kita memperkasakan dan memantapkan perpaduan nasional di dalam negara ini.

Saya mencadangkan tiga langkah yang boleh diambil sebagai usaha-usaha memurnikan perpaduan dalam negara ini, iaitu:


Pertama, mentakrifkan dan men‘tajdid’kan semula makna perpaduan kerana sudah 50 tahun kita merdeka dan kalau kita berlegar di sekitar cara yang sama, saya khuatir keputusan yang kita dapat juga adalah keputusan yang sama. Oleh itu kita harus keluar daripada daerah ini dan mencipta apa yang saya namakan sebagai ‘third graph social reengineering’, iaitu penstrukturan semula kemasyarakatan graf ketiga untuk kita keluar daripada daerah kongkongan yang selama ini kita terima pakai dan kita harus mencipta satu graf yang baru untuk memastikan perpaduan nasional di negara kita ini tercapai.

Untuk melaksanakan sedemikian, saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan ini untuk memikirkan dan melibatkan tak kiralah kita daripada pembangkang atau daripada kerajaan, apa cara yang baik untuk kita duduk dan kita bincang dan kita bersepakat. Kita buanglah kepentingan parti kita, kita buangkanlah apa sahaja kepentingan yang selama ini kita perjuangkan, kita meletakkan prioriti negara kita ini untuk mencapai kata sepakat bagi kita membina dan memperkasakan perpaduan nasional.


Yang kedua, ialah menilai semula doktrin patriotisme yang selama ini diamalkan, yang saya anggap pada satu tahap terlalu sempit dan dangkal. Contohnya; apabila Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional menyebut menyokong pembangkang itu seolah-olah terpengaruh dengan putar-belit dan fitnah, ada yang sampai tahap berani menyatakan kalau tidak menerima pengorbanan yang dilakukan oleh Barisan Nasional ini maka seolah-olah kita tidak beriman.

Bagi saya ini satu nilai fahaman yang sempit, kerana bagi kami apa yang kita faham dalam konteks patriotisme itu ialah menyanggah pandangan, menyanggah pendapat itu sendiri bukanlah merupakan satu bentuk penentangan, tetapi ia adalah di atas dasar kasih dan cinta kita kepada negara ini dan tiada siapa yang berhak di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita mempertikaikan patriotisme dan kasih sayang kita terhadap Raja dan negara ini.


Yang ketiganya ialah, membuang fahaman politik yang sempit yang diamalkan. Iaitu menganggap bahawa ada hak cipta terpelihara bagi kumpulan tertentu sahaja di dalam negara ini yang mampu mentadbir negara dan oleh kerana itu walaupun tarikhnya sudah expired, tapi mereka masih lagi merasakan mereka ada stamina sehingga perbuatan mereka ini boleh memberi kesan kepada pengurusan dan pentadbiran negara itu sendiri.


Oleh itu, kami menganggap bahawasanya umur UMNO yang baru-baru ini telah diraikan setelah sampai kepada 62 tahun kita menganggap bahawa tunjuklah contoh yang baik kepada anak-anak, kepada cucu-cucu supaya bermuafakatlah, berbincang dengan baik, tapi janganlah menunjukkan ataupun menceritakan rumah tangga itu di hadapan khalayak ramai sehingga ia memalukan bukan sahaja orang UMNO, tapi seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu saya mengharapkan supaya selesailah masalah dengan anak-beranak, dengan anak isteri elok-elok dan janganlah dedahkan masalah itu kepada pengetahuan umum. Ini kerana saya khuatir kalau mereka sibuk dengan ini dan didedahkan kepada rakyat akan hilang perhatian untuk mereka ini mentadbir negara. Jikalau mereka rasa mereka sudah tidak mahu tadbir negara, hendak sibuk dengan parti, bagi orang lain pula yang tadbir negara ini.

Yang keduanya pula, saya hendak menyebut sedikit tentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan menterinya pun ada di sini bahagian agama Islam. Saya harap dapat mengambil nota-nota supaya dapat dikemaskinikan kedudukan Islam dalam negara kita ini dengan kita mengambil kira bahawa agama lain itu bebas untuk diamalkan tetapi Islam itu sendiri dalam konteks kenegaraan seperti mana yang disalah anggap oleh ramai wakil-wakil Yang Berhormat terhadap perjuangan kami daripada parti PAS.

Kami menganggap bahawasanya kemuncak kepada suatu sistem pemerintahan ialah apa yang disebutkan... [Membaca sepotong hadis] Atau menegakkan keadilan dan menjalankan consensus ataupun, syura. Itulah substance yang dikatakan sebuah negara yang menuju kepada keredaan Allah SWT. Dalam konteks kontemporari hari ini.... [Membaca sepotong hadis] Ataupun menegakkan keadilan dan syura itu diterjemahkan di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita menggubal dasar-dasar, apa sahaja yang memastikan bahawa matlamat tertingginya dan nilai tertingginya ialah menegakkan keadilan.

Inilah yang kita perjuangkan dalam konteks bahawa Islam itu lebih substantif daripada formatif seperti mana yang difahami oleh ahli-ahli yang tidak memahami perjuangan Islam ini. Seterusnya, saya ingin mencadangkan kepada beberapa langkah untuk kita memperkasakan apa yang dinamakan sebagai kedudukan Islam dalam pentadbiran negara ini.


Pertama ialah pengukuhan institusi agama Islam dalam pentadbiran setanding dengan institusi-institusi yang lain. Saya difahamkan Tuan Yang di-Pertua, bahawa pengarah-pengarah daripada Jabatan Agama Islam ini kebanyakan malah hampir mungkin kesemuanya tidak ada latar belakang daripada Pengajian Islam. Kalau kita tengok untuk menjadi Pengarah Haiwan Veterinar, pengarah hospital contohnya mereka mesti datang dari latar belakang yang mereka wakili.

Kalau begitu, sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam, kita tuntut juga kalau boleh biarlah pengarah-pengarah ini datang daripada latar Islam yang layak dari sudut jawatan dan sebagainya. Ini kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di Jabatan Agama Islam Perak iaitu pengarahnya yang ada hari ini bukan daripada kalangan yang ada latar belakang Islam dan yang lebih buruk daripada itu, grednya itu pula tidak sesuai dan tidak cocok dengan kedudukannya sebagai pengarah...

(Timbalan Yang di-Pertua Dewan Datuk Ronald Kiandee menegur, “Ya, gulung Yang Berhormat.)

Jadi, saya mengharapkan. Saya hendak ambil satu lagi, yang ini saya rasa saya potong yang lain saya ambil yang itu. Iaitu mengukuhkan institusi fatwa melalui pembentukan pemikiran fatwa, acuan fiqh Malaysia. Saya rasa ini telah dibincangkan oleh para ahli akademik bahawa kita tidak mahu terkongkong dengan fiqh yang datang daripada suasana ataupun negara lain. Kita mahukan fiqh yang dinamakan sebagai acuan Malaysia selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan perkara-perkara yang prinsip.

Oleh itu, sebuah jawatankuasa perlu diwujudkan bagi kita mentransformasikan fiqh ala Malaysia ini, supaya dokumentasi pengkaedahan fiqh yang bersifat lokal ini dapat menyumbang kepada perkembangan fiqh di peringkat antarabangsa...

Saya dengan itu mohon untuk menyokong… Sekian, terima kasih.”

Mungkin ucapan ini terpaksa diberhentikan sebelum tiba masanya, namun banyak manfaat boleh diambil darinya, apalagi bila ia diucapkan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat sendiri. Sekian, wallahu aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 14-05-08. KL.

Berniaga Barangan China, Bagaimana Nak Elak Penipuan?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


“PERGI berniaga di China, kalau tak kena tipu seolah-olah tak sah kamu berniaga dengan mereka?” Kata seorang peniaga yang pernah bertahun-tahun berniaga dengan negeri China. “Apa tidaknya? Mula-mula sampai ke China saja sudah kena tipu… kalau tak tahu.”

Katanya lagi, “Sampai di airport naik teksi, teksi bawa jalan jauh ke alamat tempat di tuju. Itu satu, penipuan biasa saja. Kadang-kadang masa kita nak bayar wang… pemandu teksi akan buat sesuatu supaya kita alih pandangan ke lain, dia tukar cepat-cepat wang yang kita beri itu dengan wang palsu. Dia pulangkan balik wang itu, minta ganti baru! Itu penipuan kedua. Kita kena tahu mana wang palsu atau yang tidak palsu. Ketiga, nak minum pun boleh tertipu dengan minuman tiruan!”

“Apa, minuman tiruan??” Kami terkejut mendengar ceritanya.

“Ya. Minuman dalam tin pun banyak tiruan. Makanan dalam bungkusan seperti mi segera, dan lain-lain makanan ringan pun tiruan. McDonald, KFC dan yang sejenis dengannya, semuanya masih tidak halal, tidak diproses cara Islam. Apa lagi barangan yang kita nak niagakan. Ada yang asli. Ada yang tiruan. Yang tiruan pun banyak grednya. Contohnya seperti telefon bimbit, letrik, perkomputeran, hingga pakaian, barangan kulit dan lain-lain. Kalau nak cerita semua satu hari pun tak boleh habis.”

“Bagaimana alternatifnya?”

“Kami peniaga-peniaga barangan China ini telah berbincang dan menyusun sebuah buku panduan mengenai peluang berniaga barangan China samada dengan melalui pergi sendiri ke China atau melalui duduk di rumah saja, tak payah pergi mana-mana. Kami sertakan gambar, peta atau contoh duit dan barangan palsu. Kalau dalam kursus kami bawa dan tunjukkan bendanya sekali.”

Menurutnya lagi, buku itu di bahagi kepada beberapa bahagian… Antaranya

Bab 1: Sejarah & perniagaan, pilihan barangan murah, distinasi seperti Macau, Hongkong, Shenzhen, Guangzhou, mengenal mata wang, cuaca & hari yang patut pergi, dan sebagainya.

Bab 2: Urusan pasport dan visa.

Bab 3: Proses pergi, tiket penerbangan dan jenis-jenis pengangkutan, kenderaan harga, Metro map (LRT) dan lain-lain.

Bab 4: Hari bertolak dan ketibaan di China, isyarat-isyarat melepasi imigresen, kastam dan sebagainya.

Sesampai di China disiapkan nama dan alamat bertulis dalam tulisan China yang perlu ditunjukkan saja kepada pemandu-pemandu teksi atau pekedai-pekedai.

Ada bab persediaan akaun bank, ATM dan kad SIM telefon di China.

Penginapan hotel atau hostel yang dekat restoran halal. Ada bab mengenai panduan beli-belah dan tempat-tempat memborong supaya jangan kena tipu dengan barangan tiruan. Begitu juga tempat-tempat lawatan.

Bagaimana menghantar balik dari China ke Malaysia samada udara atau laut dan panduan masalah keselamatan bungkusan.

Panduan mengenai pameran-pameran perniagaan di China. Begitu juga panduan membeli & memborong melalui website Alibaba.com, kalau kita cuma berada di Malaysia. Semuanya ada 13 bab dan akan diterangkan dalam kursus dengan lebih lanjut lagi.

Kursus Cara Borong Barang Di China.


Pembentang:
Dr Mohd Hasyim (Ibnu Hasyim)
Sdr Shahabudeen Jalil

Tarikh: Ahad - 18 Mei 2008
Masa: 9 pagi hingga 4 petang.

Tempat: Rumah Api, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Jalan Keramat Hujung, Keramat, Kuala Lumpur.
Peserta dikenakan bayaran sebanyak RM400 seorang.

Sijil dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan makan minum disediakan. Terbuka kepada warga Malaysia atau bukan warga Malaysia. Jika berminat sila hubungi : 017 2517515 (Din) atau email di aucklandwise@gmail.com

Begitulah catatan santai berbentuk panduan untuk kali ini. Sekian, terima kasih.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 14-05-08. KL.

Tuesday, May 13, 2008

Hang Tuah, Keturunan Melayu Atau Cina?




Dilulus terbit pada Tuesday, May 13 @ 14:38:18 MYT oleh SongkokPutih

Oleh AMKNS

"Melihatkan banyak masjid-masjid lama di Melaka bercirikan keunikan senibina China , terdetik dalam hati ini, adakah orang-orang Cina dari Tanah Besar China yang telah mengembangkan syiar Islam di Melaka ? Cerita lanjut di http://ibnuhasyim.blogspot.com/2007/05/masjid-cina-pembongkaran-kecinaan.html

Tulisan Ibnu Hasyim tahun lepas 16 Mei 2007.

Ulama Wahabi, Mengapa Ditangkap & Digari?



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai

DALAM Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 7, Khamis 8 Mei 2008, dalam kamdungan jawapan-jawapan lisan bagi pertanyaan-pertanyaan, perkara 6…


{ Tuan Zulkifli bin Noordin [ Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu] minta Perdana Menteri menyatakan:

a..Nama-nama mereka yang dikenal pasti sebagai golongan Wahabi dan di bawah akta atau undang-undang mana Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai golongan wahabi; dan..

b..Alasan menyesatkan golongan Wahabi dan pernahkah diadakan muzakarah atau perbincangan dengan mereka ini. Jika ya, bila?


Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi] menjawab: Tuan Yang di-Pertua (TYDP) di antara nama-nama mereka yang telah dikenal pasti sebagai golongan Wahabi mengikut siasatan JAKIM terdiri daripada beberapa orang pendakwah antaranya Dr. Abdullah Yassin, Ustaz Hussein Yee, Safuan Badri, Kiraman Abdul Muin dan beberapa orang yang lain. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam merupakan badan pengeluar fatwa di peringkat kebangsaan atas apaapa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-raja.

Penubuhan Majlis Fatwa diperuntukkan oleh perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia atau MKI. Fahaman wahabi tidak pernah diputuskan sebagai ajaran sesat atau ‘dholalah’ sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat (YB) dalam soalan. Ianya merupakan ‘khilafiah’, ‘fakiyah’ ataupun pertikaian tentang soal ‘fakih’ di mana timbul persoalan dari segi takwil ataupun memberikan tafsiran pada makna. Dalam hal ini Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia telah mengadakan beberapa kali muzakarah atau perbincangan berhubung dengan perkara ini.

Daripada tahun 1985 hingga 1998 telah diadakan sekurang-kurangnya enam kali muzakarah yang membincangkan isu ini. Kalau YB bertanya tentang soal bilakah perbincangan yang mutakhir dengan pemuka-pemuka pegangan Wahabi saya ingin menyebutkan bahawa ianya telah diadakan pada 30 Ogos 2007 di Hotel Putra Palace Kangar dengan Sahibul Samaah Dr. Mohd Azri Zainal Abidin, Mufti Perlis, terima kasih.


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Terima kasih YB Menteri. Sahabat saya sebelah bilik tahanan ISA tahun 1998. YB Menteri ada beberapa soalan yang saya hendak kemukakan TYDP, pertamanya bahawa ini hari saya mendengar daripada mulut sahabat saya YB Menteri pengesahan bahawa yang dikatakan sebagai golongan Wahabi itu tidak pernah difatwakan sebagai sesat. Tetapi perkara yang saya perlu sebut YB Menteri sahabat saya walaupun mereka tidak pernah disabitkan sebagai sesat tetapi mereka dihalang, mereka ditegah, mereka dicegah, mereka ditangkap malahan mereka diheret ke mahkamah.

Nama-nama YB sahabat saya sebut tadi Dr. Abdullah Yasin, Ustaz Husein Yee dan lain-lain mereka ini adalah golongan yang dikenali sebagai ulama. Ulama Muhadisin, contohnya Dr. Abdullah Yasin yang dihormati di peringkat dunia. Soalan saya YB Menteri sahabat saya atas alasan apa mereka ini ditegah, dicegah, ditangkap dan diheret ke mahkamah? Contohnya...


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak payah bagi contoh. Soalannya?


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: YB Menteri tahu atau tidak bahawa Sahibul Fadhilah Dr Abdullah Yasin pernah digari depan orang ramai dan diheret? Dia pernah menghadiri satu kenduri atas jemputan di rumah private, dikepung oleh pasukan Jabatan Agama Islam. Dia pernah ditangkap sedang memberi kuliah!


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Cukup YB, cukup YB!


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Bharu]: Soalan YB Menteri, mereka ditangkap, alasan yang biasa diberi antaranya mereka ini konon tidak diberi tauliah dan alasan yang mereka tidak...


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: YB, soalan? YB, kita dalam sesi soal jawab.


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: TYDP, kalau YB tidak tahu background dia macam mana dia hendak jawab?


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak boleh, dalam sesi soal jawab. YB boleh bawa dalam perbahasan nanti, dalam sesi soal jawab kita hendak ringkas dan tepat untuk soalan.


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Baik TYDP, jadi sekarang ini mengikut surat daripada Jabatan Agama Islam ini menyatakan bahawa mereka ini tidak dibenarkan berceramah kerana fahaman Wahabi dan sebab itu mereka ditangkap, ditahan.


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Cukuplah YB!


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Soalannya YB Menteri, atas alasan apa mereka ini masih lagi ditegah, dicegah, ditangkap, diheret ke mahkamah dalam keadaan mereka tidak pernah disesatkan? YB Menteri saya hendak memperbetulkan fakta.


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Cukuplah YB.


Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya difahamkan bahawa muzakarah yang diadakan tidak pernah dipanggil mereka ini. Ianya muzakarah sesama dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan contohnya Dr Abdullah Yassin, Ustaz Hussein Yee, mereka tidak pernah dipanggil. Jadi minta penjelasan daripada YB Menteri, soalan pokok saya itu kenapa mereka masih lagi dikenakan tindakan seperti itu? Terima kasih.


Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: TYDP, kemajmukan masyarakat di negara kita bukan suatu premis untuk mengizinkan intra-religion difficulties berlaku. Dewan yang mulia ini bukan forum yang sesuai kita membincangkan soal khilafiah yang begini, elok kalau dapat diperbincangkan dalam bentuk muzakarah yang lain. Walau bagaimanapun kalau dapat YB rujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-40 tahun 1996 pada 9 Ogos menyebutkan ‘bahawa mana-mana golongan yang mengisytiharkan dirinya tidak bermazhab dan menganggap

bahawa dialah orang lebih baik di samping mencerca dan menghina golongan yang bermazhab, sedangkan mereka ini berada di dalam kelompok yang sama…’

Maka pendekatan dengan cara perbincangan adalah lebih baik supaya tidak timbul perpecahan di kalangan umat Islam. Ini adalah soal-soal bidaah, yang menjadi perkara yang ‘furuk’, bidaah mahmudah atau mazmumah, yang menjadi polemic daripada soal kumpulan Al-Khawarij yang berlaku satu ketika dalam sejarah Islam berlaku di kalangan golongan Mutazilah dan pada hemat saya perkara-perkara yang begini tidak patut dipolemikkan di dalam situasi di mana perpecahan umat Islam di negara ini sedang berlaku. Maka pendekatan yang harus dilakukan ialah bersatulah yang di sana dan di sini demi kepentingan agama bukan membincangkannya lagi.


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: YB Baling.


Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih TYDP dan terima kasih sahabat saya YB Menteri dan tahniah dapat jadi menteri jaga JAKIM. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berulang kali bermuzakarah tentang persoalan ini. Beberapa ketika dulu pun, persoalan timbul bukan masalah sesat atau tidak sesat cuma apa yang diputuskan ialah Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan Ahlu Sunah Wal Jamaah dalam Mazhab Shafie. Jadi masing-masing bertanggungjawab untuk mengelak apa juga bentuk pergeseran dan pertelingkahan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak tenang di kalangan masyarakat terutama penganut Islam.

Keputusan ini telah lama dibuat, cuma mungkin persoalan saya pada pagi ini ialah, sejauh mana usaha-usaha untuk mempertingkatkan lagi penguatkuasaan ataupun enforcement bukan maksud untuk menangkap, tapi maksudnya supaya suasana ini reda. Dan pihak kerajaan negeri yang bertanggungjawab, nak ambil mufti pun, dia kena check juga latar belakang sama ada kedudukan ilmu dan sebagainya menepati dengan kehendak keputusan fatwa. (Beberapa Ahli: Sokong). Itu bagaimana mufti, wallahualam. Saya tak tahulah sana ke sini, tak tahulah. Duduk pun tengah-tengah ni. (Beberapa Ahli: [Ketawa]) Kerusilah, kerusi.


Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: TYDP, saya rasa bersyukur kerana masih ada yang mengaku sahabat, Baling dan Kulim Bandar Baharu. Dalam perkara ‘dholalah’ seperti yang diperbincangkan itu, pendekatan yang terbaik ialah pendekatan yang menggunakan pendekatan yang tidak bertelagah. Walaupun ada perbezaan pendapat, dalam Tasawuf disebut ada ‘Addabul Ihtilaf’ yang harus kita gunakan. Dalam keadaan ini saya rasa YB Baling telah berbeza sedikit pendapat dengan YB Kulim Bandar Baharu, eloklah diadakan perbincangan di luar agar Dewan yang mulia ini tidak digunakan sebagai satu premis untuk kita perbincangkan perkara-perkara yang di luar...


Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: YB Baling contoh yang terbaik.


Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: ...Kesesuaian di sini kerana kita tahu, saya sebut tadi kemajmukan kita menyebabkan kita harus dihormati bukan dihina oleh pihak lain. }


Perbahasan ini agak tenang, Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib, YB Baling dari PAS mendapat kepujian dari Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz YB Sri Gading dari BN, mengapa?

Sekian catatan santai kali ini. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 13-05-08. KL.

Monday, May 12, 2008

Beras: Pemimpin Bodoh Atau Tak Faham Derita Rakyat?



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


LAGI saya terima e-mail dari seseorang...

{ skip to main | skip to sidebar Apakah reaksi anda apabila membaca tajuk berikut, bagai yang dilaporkan oleh Malaysiakini?

’Gabem: 30% Saham Bernas Dikuasai Negara Luar’ Bagi saya yang belum mahir dalam dunia korporat, sudah dapat melihat betapa lemahnya kerajaan Malaysia menguruskan bekalan komoditi utama negara dan tidak mampu melihat dan memberi jaminan terbaik bagi bekalan masa depan beras di Malaysia. Bukankah suatu yang tidak masuk akal apabila urusan pembelian beras luar ke Malaysia hanya dikuasai (jika tidak dimonopoli) oleh sebuah syarikat sahaja, dan syarikat itu pula disenaraikan di bursa saham yang membuka risiko pemilikan orang asing.

Pertama, bijakkah Bernas sahaja menguasai pembelian beras luar? Kedua, wajarkah pemilikian dan penguasaan syarikat yang menguruskan makan minum rakyat ini, didedahkan kepada sesiapa sahaja? Itu yang saya tahu daripada kedudukan Bernas ini. Jika tersilap, sila harap ada yang membetulkan. Apakah kerajaan langsung tidak dapat berfikir dengan teliti, dan berfikir dalam jarak jangkauan lebih jauh sedikit dalam hal seperti ini?

Lihat sahaja hujah Pak Lah apabila membatal atau menangguhkan pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Alasan lemahnya, harga barang naik menyebabkan kosnya meningkat dan reka bentuk tidak sesuai. Terfikirkah kita, projek besar sebegini ditamatkan dengan hujah tersebut?

Lihat lagi apa laporan Malaysiakini:

"Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mendakwa 30 peratus saham Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dikuasai oleh sebuah negara luar. Bernas merupakan sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"Saham Bernas telah dibeli secara konsisten oleh pihak tertentu sehingga mereka kini menguasai 30 peratus sahamnya," kata pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Ekoran itu, Bernama memetik beliau sebagai meminta kerajaan menyediakan dana untuk membeli semula semua saham yang dimiliki oleh syarikat luar itu dan Bernas kembali dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan.

"Ini juga untuk mengurangkan permasalahan beras selain lesen pengagihan beras diberikan secara saksama kepada bumiputera," katanya kepada pemberita di Melaka malam semalam.

Rahim berkata, kerajaan diminta menguasai kembali 100 peratus saham Bernas atau memastikan ia dijadikan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) demi menjaga kepentingan nasional ketika krisis makanan kini."

Setahu saya, hanya Singapore yang sangat berminat untuk memiliki syarikat-syarikat strategik di Malaysia ini. Saya tak tahulah 3o peratus itu milik siapa. Jika dikaji di bursa, tentu mudah menemuinya, atau bertanya dengan pimpinan di parlimen. Apakah ini semua berpunca daripada sikap mengejar keuntungan tanpa batasan? Dan apakah syarikat ini sahaja telah dimiliki sebahagian sahamnya oleh negara asing? Apa khabar dengan syarikat-syarikat yang menguruskan bekalan barangan komoditi lain?

Juga keperluan kesihatan dan perubatan negara serta syarikat persenjataan di Malaysia. Manalah tahu, kalau-kalau ia juga terbabit. Menurut menteri berkaitan, bekalan beras negara masih lagi mencukupi, belum ditambah dengan stok penimbal yang disimpan oleh Bernas. Masalah yang rakyat deritai hari ini bukanlah stok ada atau tiada. Tetapi apa yang sedang ditanggung ialah harga beras telah meningkat terlampau tinggi. Sekampit beras yang biasa saya beli pada harga kurang lebih RM21 telah meningkat kepada RM29. Bukankah itu melambung namanya?

Entah lah, bijakkah menteri-menteri kita menguruskan kepentingan umum yang sangat berkaitan dengan warga marhaen dan miskin Malaysia ini, ketika mereka sedikitpun tidak menderita atas apa yang berlaku?}

Rupanya tulisan ini diangkat dari Blog Omar el-baritii di bawah tajuk ’Beras Oh Bernas’. Pada saya kalau betul maklumat ini, pandangan beliau memang bernas. Sehingga tertanya-tanya di fikiran saya, adakah negara kita ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang bodoh dan dungu tidak berpandangan jauh? Atau tidak prihatin atas penderitaan rakyat? Atau sudah korap berkurap?

Tak tahukah peringatan orang tua-tua Melayu, ’Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras?’ Maaf catatan santai kali agak sikit terderas... kerana terasa derita rakyat miskin sudah kian tertekan dan tertindas!! Dan kalau mereka pula takut terima kritikan, elok letak jawatan saja le..

Wassalam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 12-05-08. KL.

Saturday, May 10, 2008

DS Anwar Antara 100 Tokoh Dunia, Tapi...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


SAYA terima e-mail berbunyi…


{ INI BARU BOLEH DI KATAKAN INSAN CEMERLANG GEMILANG & TERBILANG - TOWERING MALAY - TOWERING MALAYSIAN. Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh di dunia oleh sebuah majalah terkenal The TIME.


The TIME 100 Complete List LEADERS & REVOLUTIONARIES


Dalai Lama
, Vladimir Putin, Barack Obama, Hillary Clinton, John McCain, Hu Jintao, George W. Bush, Jacob Zuma…. Anwar Ibrahim - the only Malaysian (in the TOP TEN) and overall 100. Kevin Rudd, Bartholomew I , Ben Bernanke , Muqtada al-Sadr , Robert Gates, Michelle, Bachelet, Sonia Gandhi, Baitullah Mehsud, Evo Morales, Ma Ying-jeou, Ashfaq Kayani.
Heroes & Pioneers:
Brad Pitt & Angelina Jolie , Oprah Winfrey , Oscar Pistorius , Mia Farrow , Andre Agassi , Lance Armstrong , Bob and Suzanne Wright , Peter Gabriel , Kaká , Sheik Mohammed al-Maktoum , Yoani Sánchez , Madeeha Hasan Odhaib , Randy Pausch , Lorena Ochoa , Tony Blair , Alexis Sinduhije , Aung San Suu Kyi , George Mitchell.

Scientists & Thinkers: Michael Bloomberg , Craig Venter , Jill Bolte Taylor , Larry, Brilliant , Jeff Han , Mehmet Oz , Nancy Brinker , Harold McGee , Peter Pronovost , Eric Chivian & Richard Cizik , Mary Lou Jepsen , Paul Allen , Nicholas Schiff , Mark, Zuckerberg , Wendy Kopp , Shinya Yamanaka & James Thomson , Michael Griffin , Susan Solomon , Isaac Berzin.

Artists & Entertainers: Lorne Michaels , Miley Cyrus , Robert Downey Jr. , Herbie, Hancock , Joel & Ethan Coen , Bruce Springsteen , Peter Gelb , Mariah Carey , Khaled Hosseini , Elizabeth Gilbert , Rem Koolhaas , Judd Apatow , Alex Rigopulos & Eran Egozy, George Clooney , Tim Russert , Suze Orman , Stephenie Meyer , Tyler Perry , Tom Stoppard , Chris Rock , Takashi Murakami

Builders & Titans: Indra Nooyi , Ali al-Naimi , Rupert Murdoch , Steve Jobs , Radiohead , John Chambers , Jeff Bezos , Jay Adelson , Steve Ballmer , Jamie Dimon, Prince Alwaleed bin Talal , Lou Jiwei , Neelie Kroes , Jeffrey Immelt , Karl Lagerfeld , Lloyd Blankfein , Carlos Slim , Mo Ibrahim , Ratan Tata , Cynthia Carroll , Carine Roitfeld , Michael Arrington

Kesian manusia bernama Abdullah Badawi tidak tersenarai. Kesian manusia bernama Najib Razak juga tidak tersenarai. Kesian haiwan, choop silap manusia bernama Din yang minat dok relax di Havana Club memang tidak tersenarai. Dia akan disenaraikan dalam list kategori lain.


The 2008 TIME 100 Leaders & Revolutionaries, Heroes & Pioneers, Scientists & Thinkers, Artists & Entertainers, Builders & Titans, Leaders & Revolutionaries - 9 of 101 - YM YIK / EPA / Corbis Anwar Ibrahim By Paul Wolfowitz


During the 1990s, Malaysian Deputy Prime Minister Anwar Ibrahim and a group of U.S. Senators organized a forum to exchange views among East Asians and Americans. Asked at one session about the role of Islam in politics, Anwar replied, "I have no use for governments which call themselves Islamic and then deny basic rights to half their population."

This devout Muslim leader was an impressive and eloquent advocate of tolerance, democracy and human rights. So we were shocked by his arrest and trial in 1998 on charges of corruption and sodomy. I felt his real "crime" had been to challenge Prime Minister Mahathir Mohamad, whose impressive record will be forever stained by his treatment of Anwar. I joined Senator Sam Nunn and others to speak out in Anwar's defense. When he was finally released from prison in 2004, U.S. policy on Iraq was unpopular in Malaysia, and Anwar was harshly critical. It would have been easy for him to disown our friendship, but he is not that kind of person. He kept the channels of dialogue open, even while making clear our disagreements.

Anwar, 60, is back in the center of Malaysian politics. The coalition led by his wife Wan Azizah has become the main opposition bloc. His future role can be determined only by Malaysians. One can hope that they will embrace his brand of tolerance, valuing dialogue across political differences, and that this courageous leader will continue to play a leading role on the world stage.

Wolfowitz is a former U.S. Deputy Secretary of Defense

BERITA SEPERTI INI MAMPUS AKAN TERBIT MELALUI MEDIA ARUS PERDANA. JANGAN HARAP LA! KALAU PASAI PUAK-PUAK, JUAK-JUAK & KRONI DEPA SUDAH PASTI TERPAMPANG DI MUKA DEPAN, TENGAH (CENTERFOLD) SEMUA LENGKAP LA .... NAMUN APA PUN - SEMUA ORANG BOLEH DAPAT TAHU JUGA.

SEKURANG-KURANGNYA RAKYAT MALAYSIA (YG BUKAN PENGAMPU UMNO TOTOK) BOLEH TUMPANG GEMBIRA (BUKAN NAK BERMEGAH-MEGAH HINGGA MENDABEK DADA MCM KEBANYAKAN PUAK-PUAK - JUAK-JUAK UMNO(BARUA) TUH). SYABAS SDR ANWAR. YOU MAKE WE MALAYSIANS REALLY FEEL PROUD OF YOU. }


Saya baca hingga selesai… Saya tidak sedar kawan disebelah saya sedang merenung saya. Dia tanya, “Kenapa kau geleng-geleng kepala? Hebat sangat ke Anwar??

Saya mengangguk. “Ya! Tapi…”

“Tapi apa?” Dia macam terkejut.

“Hebat lagi musuh-musuh Islam. Termasuk The TIME..”

Sekian catatan santai kali ini. Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 10-05-08. KL.

Friday, May 09, 2008

Kisah Lompat-lompat Di Parlimen, Ada Lompatan Ke PR?



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


DALAM membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong Persidangan Penggal Pertama Parlimen Ke 12, Datuk Anifah bin Aman YB dari Kimanis, Sabah berucap panjang lebar pada 07 Mei 08. Antaranya menyebutkan tentang lompat-melompat dari BN ke pembangkang sebaliknya. Apa benarkah andaian beliaupun akan turut melompat sama?? Maka di sini perturunkan sebahagian perbahasan tersebut…

‘Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ada lagi isu YB yang saya hendak YB beri penjelasan. Isu ini begitu menggores perasaan dan seolah-olah memberi penghinaan iaitu konon-kononnya wakil-wakil rakyat daripada Sabah ini melompat ataupun cross over untuk menyertai parti pembangkang. Adakah YB mempunyai maklumat ataupun boleh memberikan penjelasan tentang isu-isu yang sebegini?

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: YB Kinabatangan, terima kasih YB. Apa nasib malang Ahli-ahli Parlimen daripada negeri Sabah sudah pun dianaktirikan dituduh pula untuk melompat. Sebenarnya Yang Berhormat saya tidak ada pengalaman melompat, barangkali ada di antara Ahli-ahli Parlimen yang mempunyai pengalaman, saya mintalah Ahli YB supaya merujuk kepada pakar-pakar yang lompat. Walau bagaimanapun, demi untuk kepentingan rakyat... (ada yang minta laluan)

Ya, izinkan saya jawab dulu dan baru saya beri peluang. Walau bagaimanapun, demi untuk kepentingan rakyat YB dan Tuan Yang di-Pertua bahawa ada apa pada nama? Apa ada pada nama, sekiranya rakyat negeri Sabah dan juga rakyat di negara kita itu, masa hadapan mereka dan generasi yang akan datang tidak terjamin, maka selaku wakil rakyat kita sanggup berbuat apa sahaja untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara... [Tepuk]

Perkara lompat saya ingat tidak begitu serius. Apa yang penting sekali yang serius, bahawa pada hemah saya beratus-ribu, berjuta rakyat di Semenanjung Malaysia dalam lima buah negeri telah pun melompat. Kenapa hendak dipersoalkan tentang beberapa pemimpin di negeri Sabah yang hendak melompat. Kalaupun ia benar, kalau ia ialah sebab untuk memperjuangkan rakyat di negeri Sabah pada hemat saya tidak ada salahnya... [Tepuk] Sebelum pihak pembangkang ghairah, saya pun tidak ada niat untuk melompat... [Tepuk] Silakan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi]: Saya mohon penjelasan, adakah usaha lompat melompat ini dilakukan oleh kumpulan desperado yang beria-beria tidak mengakui hakikat bahawa 140 itu sebenarnya duduk di rumah banglo, yang kumpulan itu adalah duduk dalam rumah teres paling besar pun semi-d. Kenapa yang daripada rumah besar hendak masuk rumah kecil? Rumah kecillah yang patut masuk dalam rumah besar? Adakah YB setuju? Beberapa Ahli: [Ketawa]

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: YB sebenarnya, saya setuju dengan YB. Apa gunanya rumah besar itu melompat ke rumah yang kecil tetapi kalau rumah yang besar itu tidak ada ruang bagi kita, apa salahnya. [Ketawa] Kalau rumah yang sebesar itu, banglo yang sebesar itu tidak ada ruang bagi kita, apa salahnya... [Disorak] Jadi haruslah pada orang-orang yang tertentu, haruslah mengambil kira semua rakyat tanpa mengira suku kaum, bangsa dan agama... Di negeri Sabah Tuan Yang di-Pertua, kita mempunyai berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya. Janganlah setelah kita menyumbang beberapa kerusi yang begitu banyak...

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah I [Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya menyentuh semula yang disentuhkan oleh YB daripada Kimanis awal-awal lagi di mana beliau berkata bahawa ramai rakyat di Sabah ini tidak berapa senang hati oleh sebab, pemberian kontrak itu bukan diberi kepada kontraktor-kontraktor tempatan tetapi ia diberikan kepada orang-orang luar. Bagi kita untuk mengambil tindakan, supaya kita boleh menjustifikasikan statement itu bolehkah Ahli YB daripada Kimanis memberikan satu senarai yang lengkap, siapakah kontraktor dari luar itu dan apakah jenis kerja-kerja yang diberi kepada mereka itu?

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Saya ingat YB Timbalan Menteri, bahawa itu bukan adalah alasan oleh kerana kita tidak diberi kontrak bukanlah alasan untuk kita melompat. Walau bagaimanapun, saya ingat mintalah kepada menteri-menteri yang berkenaan senarai-senarai kontrak yang telah pun diberikan kepada mereka...

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apakah YB sedar apabila timbul isu lompat melompat menjadi perhatian di Sabah kerana di Sabahlah paling banyak parti politik di mana ramai parti politik di Sabah bertukar parti. Manakala di Semenanjung, ada juga termasuk saya... [Ketawa] Dan bertukar parti bukan bertukar agama. Dalam parti Keadilan pun dulu UMNO, sekarang parti Keadilan, lompat juga. Dalam PAS pun ada tetapi selalunya orang tuju pada saya. Yang sebenarnya di Sabah sendiri bermula dengan UPKO, USNO, ada AKAR ada BERJAYA kemudian UMNO. Lima, enam parti tukar tetapi kenapa saya pula dituju sebagai katak. Ramai katak dalam Dewan Rakyat ini... [Ketawa]

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Tuan Yang di-Pertua, saya kurang pasti adakah itu satu perkara yang malang bagi YB ataupun satu penghormatan bahawa YB ini fleksibel, boleh dua cuaca atau dua alam... (ada yang minta laluan) Nanti saya habiskan ini dahulu. Tuan Yang di-Pertua bahawa di Sabah ini, kita sudah bertukar empat kerajaan sejak merdeka. Saya ingat, bertukar satu lagi tidak ada susahnya, tetapi kita sebenarnya yang ajar kita melompat ini bukan daripada Sabah. Ajar kita melompat daripada orang daripada sini juga, dan guru yang ajar kita melompat masih ada dalam pihak pembangkang.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: YB, tukar parti dengan melompat berbeza. Yang Sabah dua orang itu melompat, tapi tukar parti itu mungkin ramai. Jadi dia dua kategori yang berbeza Yang Berhormat ya!

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Saya ingat matlamat akhir-akhirnya Tuan Yang di-Pertua, matlamat sama juga. Macam YB daripada Pasir Mas, dia kata YB itu bebas tapi dalam hakikinya dia sudah melompat. Jadi sama ada parti atau dari segi individu, saya ingat matlamat yang akhir-akhirnya sama juga, bahawa ia berhijrah daripada satu parti ke parti yang lain. Sila YB Kuala Krau.

Tuan Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. YB Kimanis, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada YB. Dari sudut manakah sama ada pembangunan atau taburan, yang perlu orang Sabah dapat yang anggapan daripada orang Sabah, Sabah dianaktirikan kerana kalau tengok dari segi pembangunan, pembangunan wilayah ini juga meliputi negeri Sabah dan negeri-negeri yang berada diSemenanjung.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Terima kasih YB, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak tanya dengan YB, ada berapa kali YB datang ke negeri Sabah?

Tuan Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Dua tiga kali.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Dua tiga kali tidak mencukupi YB untuk menilai rasa hati orang-orang Sabah. Jadi kalau YB seperti Ahli-ahli YB daripada Sabah yang sering menyuarakan tentang... (ada yang minta laluan) ...Tunggu sekejap, tentang perasaan rakyat Sabah. Barangkali inilah daripada satu punca masalah bahawa apabila ada pemimpin-pemimpin datang dua tiga kali sudah membuat satu rumusan, bahawa Sabah itu apabila mereka datang cuma sampai ke Kota Kinabalu sahaja YB. Tidak pergi kawasan-kawasan seperti Kinabatangan, Beluran dan kawasan Kalabakan. Jadi inilah satu fenomena yang kita sama sekali kita menolak oleh kerana datang ke Sabah dua kali, tiga kali sudah membuat andaian. Sedangkan kita yang selaku Ahli YB yang turun ke kawasan pada tiap minggu maka pandangan kita selalu diketepikan. Ini daripada satu masalah, masalah pemimpin-pemimpin kita termasuklah YB dari Kuala Krau. (minta laluan) Ya, YB Kota Belud.

Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Terima kasih YB Kimanis. Tadi YB Bagan Datok mengatakan apa gunanya berpindah daripada banglo masuk ke rumah teres. Saya ingin bertanya dan minta penjelasan daripada YB Kimanis, apakah kalau banglo ini ditambah rumahnya, ditambah biliknya dicantikkan, bilik airnya besar, tamannya besar, saya rasa YB Kimanis mungkin tidak mahu mencadangkan supaya ada perpindahan ke rumah teres. Saya percaya sebelum saya tengok tadi ada juga pihak-pihak pembangkang yang tersenyum sinis, mendengar penjelasan dari YB Kimanis tetapi saya rasa secara peribadi, saya telah mengetahui perasaan dan cara YB Kimanis bercakap tadi hanyalah mengusik dan meminta supaya hanya banglo ini ditambah. Pertanyaan saya ialah, apakah YB Kimanis mahu meletakkan tarikh atau masa yang tertentu untuk menambah bilik dalam banglo ini? Terima kasih.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Tuan Yang di-Pertua, Ahli YB daripada Kota Belud, bahawa bukan kita yang menetapkan tarikhnya. Itu adalah satu-satu isu yang kita mempertikaikan bahawa, biar pun kita dalam satu rumah banglo yang besar, tapi kita tidak merasa nikmat. Nikmat yang dirasai oleh kumpulankumpulan dan orang-orang yang tertentu. Jadi apabila kita bersuara YB, apabila kita mengutarakan perasaan rakyat, mereka menganggap kita hendak melompat. Sudahlah kita dianaktirikan, dihina pula. Jadi kalau sudah dianaktirikan dan di hina pula, ke mana kita nak pergi? Rumah teres pun, tereslah YB. [Ketawa] Apa gunanya banglo kalau sekumpulan sahaja yang merasai nikmat. Kita mahu biarpun teres sama-sama kita kongsi. Kalau pun banglo, sama-samalah kita menikmatinya. (laluan) Jangan separuh banglo separuh teres. Kita dalam banglo pun tidur di tepi tandas, apa gunanya.

Datuk Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi ada persoalan mengenai sebab mengapa rakyat Sabah ini merasakan dianaktirikan. Selain daripada mungkin pengagihan-pengagihan projek dari segi peluang-peluang projek dan sebagainya. Adakah YB dari Kimanis bersetuju bahawa, ungkapan-ungkapan yang selalu kita dengar bukan sahaja daripada pemimpin biasa atau pun menteri-menteri yang selalu mengatakan “seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak”. Adakah TB bersetuju bahawa ungkapan seperti itu, selalu mengingatkan kepada kita bahawa kita ini seolah-olah sebagai penggenap sahaja. Terima kasih.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Tuan Yang di-Pertua, YB daripada Tuaran. Itu yang susah hendak kita cerminkan pada rakan-rakan kita daripada Semenanjung. Sudah lebih 40 tahun, empat dekad kita merdeka, masih lagi isu seumpama ini timbul Dewan yang mulia ini. Kita telah pun, apabila kita bersuara, apabila mengutarakan, apabila kita cuba melalui saluran-saluran yang tertentu, tapi ianya sampai hari ini masih lagi isu seumpama itu wujud. Kenapa dia masih wujud? Sama juga dengan masalah-masalah yang lain. Bukankah bererti apabila kita menyuarakan hasrat, inspirasi rakyat kita menentang kerajaan. Bukan erti kalau kita mengeluarkan satu-satu kata-kata yang kemungkinan keras bukan erti kata kita hendak melompat, tetapi sebenarnya saya sering katakan apa yang kita usahakan pada hari ini, apa yang kita suarakan pada hari ini di Dewan yang mulia ini ialah supaya rakyat negeri Sabah jangan melompat seperti apa yang berlaku pada lima buah negeri di Semenanjung Malaysia ini. Itu yang kita hendak pertahankan, bukan kita hendak melompat. [Tepuk]

Datuk Eric Enchin Majimbun [Sepanggar]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih YB dari Kimanis. Agaknya YB Kimanis ini agak sedih sikit. Di mana kita tahu bahawa perjalanan politik khasnya daripada pemimpin-pemimpin pusat ini tidak begitu mengambil berat atas keluhan kita di Sabah, khasnya di kawasan-kawasan luar bandar. Adakah YB Kimanis setuju sekiranya kita minta supaya satu kementerian khas bagi Sabah dan Sarawak ini, supaya kita dapat betul-betul meninjau dan juga mengambil berat tentang hal-hal mengenai affair di Sabah dan Sarawak ini.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Tuan Yang di-Pertua, YB daripada Sepanggar, saya setuju. Saya setuju, tapi apabila kita meminta sesuatu kadangkalanya janji, dan janji tidak pernah ditunaikan. Jadi apa yang ada di hadapan kita itu, kalaulah kita dijanjikan macam kita berjanji dengan rakyat, tolonglah tunaikan pada pihak-pihak yang tertentu, supaya kita juga boleh menunaikan janji kita pada rakyat kita sekalian.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. YB Kimanis, saya mendengar hujah-hujah YB tadi, yang menyebut tentang daripada rakyat nanti yang melompat, maka lebih baiklah apa YB bangkitkan itu diberikan perhatian, bukannya wakil rakyat yang akan melompat, tapi bimbang rakyat yang akan melompat. Jadi berasaskan kepada perkara tersebut, saya ingin bertanya kepada YB. Saya dengar YB menyebut tentang soal perasaan dan sebagainya, tersinggung, kecil hati. Jadi apakah perkara ini YB rasa tidak boleh diperbetulkan kerana yang kita pentingkan ialah kepentingan rakyat, rakyat memilih kita. Jadi pandanganYB ialah kalau wakil rakyat itu melompat, apakah ini juga tidak sebenarnya, tidak adil kepada rakyat yang memilih kita dan atas asas itu apakah YB bersetuju bahawa Akta Anti Lompat ini dibawa ke Parlimen ini supaya jangan ada wakil rakyat yang melompat parti, apa pandangan YB?

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Ya, saya tidak setuju. Tuan Yang di-Pertua, saya tidak setuju kalau Anti Hop Law dibawa ke Dewan ini. Adakah kita mahu ia menjadi satu police state yang kita tidak mempunyai satu kebebasan untuk memilih. Biarpun kita bertanding pada misalnya tiket sesebuah parti atau sesebuah organisasi, tapi kalau pemimpinnya menyeleweng daripada matlamat asal, adakah kita harus akur, adakah kita harus bertahan dan memperjuangkan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau parti-parti yang keluar daripada matlamatnya, at the expense of the people, dengan rakyat.

Tapi cuma apa yang saya katakan di sini, barangkali saya setuju dengan YB daripada Batu Pahat bahawa apa yang penting bukan soal pemimpin melompat, apa yang penting kita kaji kenapa rakyat sudah melompat. Itu yang harus kita pertikai dulu. Itu yang harus kita lihat dan kaji kenapakah rakyat-rakyat sudah melompat dan apa gunanya yang tinggal pemimpin saja. Apa gunanya pemimpin tanpa rakyat. [Tepuk] ...hendak saya suarakan supaya pemimpin faham bahawa supaya rakyat kita tidak melompat di pilihan raya akan datang. Itu yang kita sarankan.’

Datuk Anifah Hj Aman khabarnya telah ditawarkan jawatan Timbalan Menteri kerajaan Pusat, tapi beliau menolak. Apakah beliau sudah tidak mahu berpihak kepada BN lagi, atau suatu isyarat yang beliau akan menyeberang atau melompat sokongan?

Sekian catatan santai kali ini. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 08-05-08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails