"AKU masuk ke Indonesia tanpa apa-apa surat pengenalan diri dari Pelabuhan Kelang... Tiada paspot, kad pengenalan (ktp) dan lain-lain.." kata seorang yang saya temui di Tanjung Balai Asahan Sumatera Utara.
Menurutnya, dia berasal dari Kalimantan.. masuk ke Malaysia Timur beberapa tahun lalu, tanpa apa-apa dokumen pun. Dia datang bekerja di KL, tetapi kini tekanan agak kuat kepada pendatang tanpa izin oleh pemerintah Malaysia, maka dia terpaksa balik ke Indonesia, buat permit kerja. Dia pilih pulang ke negaranya ke Tanjung Balai (bukan Kalimantan) untuk buat permit kerja kerana dekat dengan Pelabuhan Kelang.
"Tentu banyak halangannya, bagaimana boleh tak kena tangkap pihak imingrasi??" Saya tanya.
'Ya!" Katanya. "Aku tumpang kapal sayur. Tongkang itu bertolak petang, sampai sana sebelum subuh pagi.. Susahnya masa kapal nak keluar dari pelabuhan. Aku bersama 5 lagi yang macam aku juga tiada apa-apa dokumen disumbat masuk dalam suatu ruang isi barang dekat enjin, hanya muat untuk duduk dan tidur sahaja.. dalam gelap dan panas. Ramai-ramai, berhimpit-himpit.. Aku bayangkan macam dalam liang kubur, rasa dah mati!"
"Campur lelaki perempuan ke?"
"Ya. Bersama kami tu ada seorang anak gadis.. Tapi tak lama kira-kira 2 jam berlepas dari laut Malaysia, kami boleh keluar di dalam bot, baru boleh lihat laut. Kami diberi makan bersama anak kapal.. nasi dan sedikit sayur bersama ikan kering. Kerana lapar, ku baham jugak!" Jawabnya. "Kami diberi tahu pihak polis laut telah naik ke tongkang sayur itu dan menggeledah mencari 'kambing' (manusia seludupan seperti kami ini disebut kambing) tapi tak jumpa."
Katanya, lebih teruk lagi, bila sampai ke Tanjung Balai dalam Sungai Asahan di kawasan Indonesia, "..Secepat kilat kami dihumban keluar masuk ke perahu kecil, disorokkan tidur terlentang dalam perut perahu ditutupi dengan papan supaya nampak seperti nelayan yang cuma dua orang sahaja di dalamnya. Apa lagi hujan turun mencurah-curah, cukup sejuk. Perahu kecil itu memasuki anak-anak sungai, dihantar ke pinggir hutan yang berlumpur, merentasi semak-semak ke tempat beca sedang menunggu. Dari situlah kami dihantar ke distinasi masing-masing."
"Barapa tambangnya?"
"Kami sudah bayar di Pelabuhan Kelang sebanya RM400 tiap orang dengan janji tiada apa-apa bayaran lagi setelah itu. Tetapi bila di tengah laut, kami diminta lagi oleh tekong bot sebanyak Rp100,000 (kira-kira RM40) per orang untuk upah perahu yang membawa ke darat. Aku lihat hampir terjadi pergaduhan kerana ada yang tidak cukup duit."
"Ya. Aku juga pernah dengar sebelum ini, seorang pelarian Bangla ditelanjangkan di dalam kapal kerana memeriksa wang di badan." Saya menambah. "Nak buat macam mana, di laut mereka berkuasa! Bagaimana dengan solat, apakah boleh dan dibenarkan?"
"Walaupun tekong itu orang Kristen, nampaknya dia menghormati saya nak sembahyang." Jelasnya.
Hal ini mengingatkan saya di Malaysia kita-kira pertengahan tahun 70an dulu... Ramai orang yang nak balik kampung atau pergi kerja di musim perayaan di KL terpaksa tumpang lori surat khabar, kerana menjimatkan atau tidak cukup pengangkutan masa itu. Mereka juga duduk bersesak-sesak dalam lori yang ditutupi surat khabar... mereka juga disebut 'kambing'. Begitu juga beberapa tahun lalu, saya mengenali seseorang yang kerjanya membawa orang yang tanpa apa-apa dokumen dari seberang Sungai Kolok Thailand sampai ke Phnom Penh Kemboja di dalam van.
Nampaknya, masalah sekatan dan peraturan di sempadan menjadi masalah antarabangsa yang sukar dihapuskan, walaupun di Amerika sendiri. Yang penting, kemasukan pendatang-pendatang luar perlu diarahkan ke arah yang menguntungkan agama.. Apakah persempadanan negara dapat membantu atau menghalang perkembangan agama Islam??
Sekian.
Ibnu Hasyim,
Tanjung Balai,
12 Jun 2008
Lihat juga..
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'