Saturday, July 19, 2008

Ibnu Hasyim: Bahasa Cina Perlu Jadi Bahasa Kedua..


Ibnu Hasyim: Catatan Santai

“BARU-BARU ini dikatakan ada usaha-usaha untuk meletakkan bahasa Cina di papan-papan tanda Selangor di samping lain-lain bahasa… Ramai yang marah!” Kata kawan saya. “Apa pendapat saudara?”

Beliau adalah penganjur Kursus Borong China yang menjemput saya memberi ceramah besok pagi 20 Julai 2008 di Hotel Quality KL. Tapi saya baru pulang dari Indonesia, banyak kerja yang belum disiapkan, kerana pemergian kali ini berlaku banyak perkara-perkara di luar dugaan dan perancangan. Walaupun begitu saya sempat menemuinya malam ini.

“Pada saya, isu ini perlu dibawa oleh PAS sebagai parti Islam, bukan untuk menghalang tetapi menyokongnya. PAS perlu buktikan PAS bukan parti perkauman. Soal bahasa bukan soal pokok, bahkan ada seruan-seruan supaya ‘menuntut ilmu sampai ke negeri China’. Apa yang saudara buat Kursus Borong Di China adalah suatu usaha yang baik.” Kata saya.

Yang saya nak, kalau boleh di Malaysia ini diletakkan Bahasa Malaysia bahasa utama, bahasa Cina bahasa kedua dan meletakkan bahasa Inggeris di bawahnya.”

Mengapa saya berpandangan begitu?

Pertama:

Kerana penduduk berbangsa Cina adalah bangsa kedua ramainya di Malaysia, sesudah bangsa Melayu. Bangsa Eropah yang menggunakan bahasa Inggeris tidak termasuk bangsa yang ramai bahkan bangsa penjajah yang telah mengekalkan penjajahannya dari berbagai sudut sejak dulu hingga sekarang. Kini kita sudah merdeka, mengapa masih mengekalkan bahasa mereka terutama dalam pentadbiran negara? Menganggap tiada menggunakan bahasa itu sebagai menghalang kemajuan adalah bukan reality dan boleh dibahaskan lagi.

Kedua:

Bahasa Cina adalah bahasa yang digunakan oleh penggunanya bangsa yang teramai di dunia, bahkan bertebaran di serata negara. Ianya dapat membantu orang Malaysia di luar negara seperti juga penggunaan bahasa Inggeris yang sudah lama didaulatkan di negara ini.

Ketiga:

Mengseimbangkan pengetahuan bahasa di kalangan bangsa-bangsa di Malaysia terutamanya orang Melayu. Kalau orang Cina wajib tahu bahasa Melayu, maka adalah lebih baik juga orang Melayu tahu bahasa Cina. Kalau ada yang menganggap tidak tahu bahasa Cina antara penyebab kelemahan orang Melayu dalam perniagaan, maka hal ini dapat diatasi.

Keempat:

Suatu kejayaan dan keuntungan dalam politik Islam, apabila dapat menarik orang Cina menyokong Islam, walaupun mereka tidak perlu masuk Islam. Yang penting sekali ialah agama, bukan sahaja bahasa dan bangsa.

Itulah pandangan ringkas dan sepintas lalu dari saya. Wallahu ‘aklam.

Ibnu Hasyim
Kuala Lumpur
Julai 08.
ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)

Sejarah PAS 15: Persiapan Kepimpinan: Ahmad Badawi Ketua Pemuda PAS Pertama?


IBNU HASYIM:
Fokus Sejarah PAS Siri 15


(Kartun ini diambil dari akhbar 'Majlis' 27 Okt 1947, seminggu selepas mogok Hartal Se-Malaya. Meriam buluh yang diletupkan berlabel 'Hartal'. diiringi serangkap pantun sindiran berbunyi:
'Di sana sini berdempang dempung,
Putera dan rakannya membedilkan betung,
Tegak serentak bersama Ah Chong,
Tetapi hartal tak bererti langsung.'

Itulah antara isu-isu popular sebelum merdeka.)



DEWAN Pemuda PAS telah ditubuhkan dalam Muktamar PAS Ke 2, yang diadakan di Madrasatul Ulum, Bagan Datuk, Hilir Perak, pada 26 Ogos 1953. Saudara Uthman Abdullah dilantik sebagai Ketua Pemuda yang pertama. Ada pendapat yang menyebutkan Ketua Pemuda PAS pertama ialah Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah, ayah kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5.


Masa itu Ahmad Badawi yang juga ahli jawatankuasa penaja penubuhan PAS telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Ketua Pemuda pertama (Sila lihat tambahan I dalam Fokus Sejarah PAS Siri 12). Dalam mesyuarat itu (Muktamar PAS Ke 2) juga dibuat satu keputusan, iaitu sesuatu persoalan mengenai kepentingan nasional tidak boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Agung PAS, tetapi hendaklah dibawa kepada suatu Mesyuarat Agung Khas untuk diputuskan.


Hal ini berkait dengan persoalan National Convention dan National Conference yang akhirnya menyebabkan Tuan Haji Ahmad Fuad keluar meninggalkan PAS. Suatu proses penapisan kepimpinan dan tarbiah daripada Allah SWT untuk melicinkan perjalanan gerakan Islam tersebut. Selepas Saudara Uthman Abdullah, jawatan Ketua Pemuda dipegang pula oleh Haji Hasan Adli.


Tetapi suatu peristiwa menarik telah berlaku dalam Muktamar Agung PAS Ke 6 yang diadakan pada 25 Disember 1958. Peristiwa di mana jawatan Ketua Pemudanya telah bertukar dari Haji Hasan Adli kepada Saudara Abu Bakar Hamzah. Pertukaran ini berlaku disebabkan tindakan tegas AJK Agung PAS yang mahu semua Dewan-dewan bermesyuarat termasuk Dewan Pemuda, sebelum mesyuarat Agung PAS Pusat seperti yang tercatat dalam undang-undang tubuh PAS.


Tetapi Dewan Pemuda telah membuat penangguhan. AJK Agung PAS telah memerintahkan supaya mesyuarat Dewan Pemuda diadakan serentak dengan Dewan Ulama dan Dewan Muslimat. Reaksinya, Haji Hasan Adli telah memulau dan kemudiannya bertindakbalas menyerang AJK Agung dalam Mesyuarat Agung PAS. Gelombang ‘ribut sementara’ yang bagaikan gelombang kopi dalam cawan itu menyebabkan Haji Hasan Adli diberi gelaran ‘Panglima Jihad’ PAS.


Maka tenteram kembalilah seluruhnya. Akhirnya, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS. Walaupun ‘ribut’, tapi ianya berlaku dalam suasana persaudaraan dan ukhuwah Islamiah, suatu penyelesaian yang amat bijaksana. Saudara Abu Bakar Hamzah yang dipilih sebagai Ketua Pemuda Ke 3 dalam PAS, kemudiannya telah berangkat ke Kaherah, Mesir, menghadiri persidangan Pemuda Afro-Asia.


Dewan Muslimat PAS telah bersedia menurut peraturan tersebut. Mesyuarat Dewan Muslimat telah berjalan dengan lancar, dan bersetuju melantik Puan Khadijah Sidek dari Johor yang baru menyertai PAS sebagai Ketua Dewan Muslimat. (Keterangan ini agak bertentangan dengan keterangan ‘Mutiarabp’ dalam laman web Dewan Muslimat PAS Pusat keluaran Monday, 17 Disember 2007. Sila Lihat Tambahan 1 di bawah..).


Banyak kisah-kisah menarik tentang Puan Khadijah Sidek ini. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Johor ke 3 dari tahun 1966 hingga 1969 menggantikan Haji Husin Besar (dari tahun 1964 hingga 1966). Setiausaha Perhubungan Negeri semasa pentadbiran beliau ialah Saudara Hasyim Asrakal dan Haji Muhamad Mansur @ Mansur Abdullah. Mungkin beliau adalah Pesuruhjaya PAS Negeri yang pertama sejak penubuhan PAS di Tanah Melayu, terdiri dari seorang muslimat.


Beliau berasal dari Indonesia, merupakan pejuang yang gigih. Walaupun beliau seorang perempuan, namun kelantangan bersuara dan bergerak menyebabkan beliau ditahan oleh kerajaan Singapura semasa sedang mengandung hingga melahirkan anak pertamanya di dalam penjara. Hajjah Khadijah telah menyertai PAS pada tahun 1958 setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1956.


Dalam pilihan raya umum 1959, beliau mengalahkan calon UMNO-Perikatan di kawasan parlimen Dungun, Terengganu menjadikan wakil rakyat PAS yang pertama dari kalangan wanita. Dalam pilihan raya umum 1964, beliau bertanding di kawasan parlimen Johor Bahru menentang Tun Dr Ismail Datuk Abdul Rahman tetapi tewas. Menjelang pilihan raya umum 1969, beliau bertindak keluar dari PAS.


Dalam pilihan raya 1969 tersebut, beliau bertanding melawan Datuk Haji Mohd Asri Yang Dipertua Agung PAS di Kelantan, tetapi kalah hilang wang pertaruhan. Tiada kesudahan, akhirnya beliau kembali ke pangkuan UMNO, memegang jawatan Pegawai Wanita Felda dan cergas dalam PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) hingga tahun 1974. Beliau diserang penyakit lumpuh hingga ke akhir hayat di Kuala Lumpur.


Mesyuarat Agung PAS yang ke 7 pula mengambil keputusan meminda nama PAS dari Persatuan Islam Se Malaya atau PMIP (Pan-Malayan Islamic Party) kepada Persatuan Islam Se Tanah Melayu. Hanya ‘Se Malaya’ ditukar kepada ‘Se Tanah Melayu’, namun nama ringkasnya tetap PAS juga. Mesyuarat Agung PAS ke 7 ini juga telah memilih barisan kepimpinan yang bersiap sedia menghadapi pilihan raya kebangsaan 1959.


Regu 2 Professor atau 2 doktor itu, iaitu Burhanuddin-Zulkifli telah dipilih terus memegang pimpinan. Haji Hasan Adli, Panglima Jihad PAS itu juga dipilih Naib Yang Dipertua Agung PAS. Pegawai-pegawai pejabat agung pun disusun oleh AJK Agung menjadi satu barisan penggempur dan penggerak untuk menghadapi pilihan raya negeri-negeri dan Persekutuan. Saudara Amaluddin Darus dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat.


Pesuruhjaya negeri-negeri pun dilantik.

1. Perlis - Haji Ahmad Long
Kedah – Syeikh Othman Al-Yunusi.
Pulau Pinang – Ustaz Abdul Wahab Nor sebagai Pemangku Pesuruhjaya, dan
Perak – Ustaz Abdul Wahab Nor (Pesuruhjaya)
Selangor – Hamidon Husain.
Negeri Sembilan – Muhammad Haji Yaakub.
Melaka – Haji Abdul Karim.
Pahang – Tengku Abdul Hamid.
Terengganu – Ustaz Ahmad Azam (Menjadi Pesuruhjaya pertama Pulau Pinang tetapi diarahkan meneroka ke Terengganu).
Kelantan – Haji Mohd Asri Haji Muda.
Selangor – Haji Ariffin Alias, Pesuruhjaya pertama sejak 1954 hingga 1963.
Singapura – Saudara Abdullah Zawawi Hamzah. Walaupun Singapura waktu itu masih di bawah jajahan Inggeris, belum merdeka lagi.


Inilah barisan kepimpinan yang terpilih untuk mengharungi Pilihan Raya Umum 1959. Inilah juga ujian bagi membuktikan bahawa fajar kebangkitan PAS terus menyinsing menyinari alam maya Tanah Melayu ini.


Tambahan I:


Sejarah Dewan Muslimat PAS

Written by Mutiarabp Monday, 17 December 2007


1.0 Sejarah Penubuhan

Penubuhan Dewan Muslimat PAS dicadangkan oleh Ustaz Zabidi Hj Ali yang ketika itu merupakan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, berasal dari Seberang Perai. Cadangan penubuhan dibuat dalam Mesyuarat Agung PAS dan dipersetujui pada 3 April 1952.

Walau bagaimanapun, Dewan Muslimat ditubuhkan secara rasmi pada 3 Januari 1953 serentak dengan penubuhan Dewan Ulama', Dewan Pemuda dan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas Seberang Perai. Ketika itu, Dewan Muslimat diterajui oleh Puan Sharifah Rahmah dan ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Dewan Muslimat seramai tujuh orang. Bagi membolehkan Dewan Muslimat bergiat secara sah dan teratur, satu peruntukan di bawah "Aturan dan Peraturan Kecil Dewan Muslimat PAS" dirangka dan disahkan oleh Jawatankuasa Agung PAS.


2.0 Visi

"Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia Menerusi Tenaga Muslimat"


3.0 Misi

i. Membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam sebenar; dan

ii. Melahirkan Muslimat Mujahidah Berilmu, Beriman, Beramal, Bertaqwa berperanan sebagai Da'ei kepada masyarakat.


4.0 Objektif Penubuhan Dewan Muslimat

Beradasarkan cadangan asal penubuhan Dewan Muslimat yang dibuat oleh Ustaz Zabidi Hj Ali, penubuhan ini adalah untuk:

" Mengelola dan memimpin ahli-ahli wanita supaya dapat mengambil bahagian tertentu bersama ahli lelaki PAS bagi mencapai tujuan-tujuan Persatuan Islam SeMalaya (PAS) dan berusaha meninggikan taraf kehormatan serta memelihara maruah kaum wanita. Di samping, berikhtiar menjayakan rancangan-rancangan kebajikan, pelajaran, didikan, kebersihan, kesihatan dan iktisad."

Naskhah asal Peraturan Dewan Muslimat yang telah disahkan oleh Setiausaha Agung PAS pada tahun 1966 bersamaan 1386 H menggariskan bahawa tujuan penubuhan Dewan Muslimat adalah:

i. Menyatupadukan wanita-wanita Islam ke arah pembentukan perjuangan yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya;

ii. Menanam dan menghidupkan jiwa dan semangat keIslaman sebenar agar segenap ajaran dan petunjuk Islam menjadi amalan dalam penghidupan wanita seharian;

iii. Berusaha memperbaiki nasib dan darjat penghidupan wanita-wanita Islam; dan

iv. Bekerjasama dengan ahli-ahli PAS lain untuk melaksanakan segala cita-cita dan tujuan PAS.


Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1973 menyaksikan bagaimana segala urusan Dewan Muslimat telah disatukan dalam Perlembagaan PAS. Justeru itu juga maka objektif kewujudan Dewan Muslimat turut dipinda menjadi tugas-tugas am yang disebutkan dalam Fasal 28 ceraian 3, pecahan ke (7). Fasal tersebut menyatakan bahawa tujuan Dewan Muslimat ialah:

"Untuk menyatukan tenaga Muslimat-Muslimat dalam negara ini bagi meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan Muslimat sambil membentuk keperibadian mereka supaya menjadi Muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta meyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS."


5.0 Struktur Organisasi (1953-2005)

Semenjak Dewan Muslimat PAS ditubuhkan pada tahun 1953, seramai 10 orang Muslimat telah dipilih untuk mengetuai saf kepimpinan Dewan tersebut. Mereka ialah:

Tahun

Nama

Negeri Asal

1953

Puan Sharifah Rahmah

?

1956-1960

Ustazah Siti Zubaidah Hj. Ali

Seberang Prai

1958

Ustazah Zaharah Othman

Selangor

1959-1962

Ustazah Salmah Sheikh Hussin

Pulau Pinang

1963-1964

Ustazah Sakinah Hj Junid

Perak

1965-1981

Puan Sri Sakinah Hj Junid

Perak

1981-1983

Puan Sri Sakinah Hj Junid

Perak

1983-1992

Ustazah Wan Asma' Wan Abdul Kadir

Kelantan

1992-2001

YB. Senator Hajjah Jamilah Ibrahim

Kedah

2001- 2003

Ustazah Fatimah Ibrahim

Terengganu

2003-2005

Ustazah Kalthom Othman

Kelantan

2005-2007

Ustazah Azizah Khatib Mat

Pahang

2007 Hingga kini.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Pahang


6.0 Keahlian Dewan Muslimat

Asalnya, ahli-ahli Dewan Muslimat ialah seluruh wanita Islam yang akil baligh dengan syarat telah terpilih dahulu menjadi ahli PAS. Namun, selepas Pindaan Perlembagaan PAS pada bulan Jun 1977, seseorang ahli Muslimat PAS belum boleh dikatakan ahli kepada Dewan Muslimat melainkan seseorang itu mendaftarkan dirinya menjadi ahli Dewan Muslimat mengikut kaedah dan peraturan yang ditetapkan oleh jawatankuasa Kerja DMP.

Keahlian DMP mula direkodkan pada tahun 1966 dan pada tahun tersebut seramai 8,182 orang ahli telah didaftarkan. Kini DMPP melalui unit IT, Lajnah Penyelidikan & Pembangunan DMPP telahpun berjaya membina Pangkalan Data Ahli DMPP serta sedang dalam proses pengemaskinian menyeluruh.

Friday, July 18, 2008

Kota Medan Siapa Punya?




Ibnu Hasyim: Catatan Perjalanan

SAYA dibawa berjalan di Kota Medan. Antara tempat-tempat yang saya tak minat dibawa melawat tapi dibawa juga, ialah melihat monument Guru Patimpus.

“Siapa Guru Patimpus itu?” Saya tanya.

“Beliau adalah pembuka kota Medan ini!” Jawab teman saya itu.

Bila dlihat dari Wikipedia Indonesia, ensiklopedia bebas..

Kota Medan berkembang dari sebuah kampung bernama Kampung Medan Putri, yang didirikan oleh Guru Patimpus sekitar tahun 1590an. Guru Patimpus adalah seorang putera Batak Karo bermarga Sembiring Pelawi dan beristerikan seorang puteri Datuk Pulo Brayan. 

Dalam bahasa Batak Karo, kata ‘Guru’ bererti ‘Tabib’ ataupun ‘Orang Pintar’, kemudian kata ‘Pa’ merupakan sebutan untuk seorang Bapak berdasarkan sifat atau keadaan seseorang, sedangkan kata ‘Timpus’ bererti bundelan, bungkus, atau balut. Dengan demikian, maka nama Guru Patimpus bermakna sebagai seorang Tabib yang memiliki kebiasaan membungkus sesuatu dalam kain yang diselempangkan di badan untuk membawa barang bawaannya. Hal ini dapat diperhatikan pada Monumen Guru Patimpus yang didirikan di sekitar Balai Kota Medan.’

Apa makna ‘medan’?

Menurut salah satu ‘Kamus Batak Karo-Indonesia’ oleh Darwin Prinst SH: 2002, ‘medan’ bererti ‘menjadi sehat’ ataupun ‘lebih baik’, berdasarkan Guru Patimpus adalah seorang tabib yang memiliki keahlian dalam pengobatan tradisional Batak Karo pada masanya. Penulis-penulis Portugis abad ke 16 menyebutkan asalnya dari nama ‘Medina’, atau dari bahasa India ‘Meiden’, dan sebutan saudagar Arab ‘median’ ertinya ‘datar’ atau ‘rata’ yang memang tanah itu begitu.

Menurut Harian Global Indonesia, 9 Julai 2006..

'Dalam ‘Riwayat Hamparan Perak’ yang dokumen aslinya ditulis dalam huruf Karo pada rangkaian bilah bambu, tercatat Guru Patimpus, tokoh masyarakat Karo, sebagai yang pertama kali membuka ‘desa’ yang diberi nama Medan. Namun, naskah asli Riwayat Hamparan Perak yang tersimpan di rumah Datuk Hamparan Perak terakhir telah hangus terbakar ketika terjadi ‘kerusuhan’ sosial, tepatnya tanggal 4 Maret 1946.

Patimpus adalah anak Tuan Si Raja Hita, pemimpin Karo yang tinggal di Kampung Pekan (Pakan). Ia menolak menggantikan ayahnya dan lebih tertarik pada ilmu pengetahuan dan mistik, sehingga akhirnya dikenal sebagai Guru Patimpus. Antara tahun 1614-1630 Masehi, ia belajar agama Islam dan diislamkan oleh Datuk Kota Bangun, setelah kalah dalam adu kesaktian. Selanjutnya Guru Patimpus menikah dengan adik Tarigan, pemimpin daerah yang sekarang bernama Pulau Brayan dan membuka Desa Medan yang terletak di antara Sungai Babura dan Sungai Deli.

Dia pun lalu memimpin desa tersebut. Oleh karena itu, nama Guru Patimpus saat ini diabadikan sebagai nama salah satu jalan utama di Kota Medan. Versi lain sejarah Kota Medan ini hanya melahirkan ketokohan Guru Patimpus dalam berdirinya Kota Medan. Versi ini tidak menghasilkan sebuah tanggal atau tahun.'

Dalam buku ‘The History of Medan’ tulisan Tengku Luckman Sinar (1991), dituliskan bahawa menurut ‘Hikayat Aceh’, Medan sebagai pelabuhan telah ada pada tahun 1590, dan sempat dihancurkan selama serangan Sultan Aceh Alauddin Saidi Mukammil kepada Raja Haru yang berkuasa di situ. Serangan serupa dilakukan Sultan Iskandar Muda tahun 1613, terhadap Kesultanan Deli.

Sejak akhir abad ke 16, nama Haru berubah menjadi Ghuri, dan akhirnya pada awal abad ke 17 menjadi Deli. Pertempuran terus-menerus antara Haru dengan Aceh mengakibatkan penduduk Haru jauh berkurang. Sebagai daerah taklukan, banyak warganya yang dipindahkan ke Aceh untuk dijadikan pekerja kasar. Selain dengan Aceh, Kerajaan Haru yang makmur ini juga tercatat sering terlibat pertempuran dengan Kerajaan Melayu di Semenanjung Malaka. Juga dengan kerajaan dari Jawa. Serangan dari Pulau Jawa ini antara lain tercatat dalam kitab Pararaton yang dikenal dengan ‘Ekspedisi Pamalayu’.

Dalam ‘Negarakertagama’, Mpu Prapanca juga menuliskan bahawa selain Pane (Panai), Majapahit juga menaklukkan Kampe (Kampai) dan Harw (Haru). Berkurangnya penduduk daerah pantai timur Sumatera akibat berbagai perang ini, lalu diikuti dengan mulai mengalirnya suku-suku dari dataran tinggi pedalaman Sumatera. Suku Karo yang bermigrasi ke daerah pantai Langkat, Serdang, dan Deli. Suku Simalungun ke daerah pantai Batubara dan Asahan, serta suku Mandailing ke daerah pantai Kualuh, Kota Pinang, Panai, dan Bilah.

Ini adalah versi pertama sejarah Medan. Ertinya, tahun 1590 dianggap sebagai salah satu tonggak kelahiran kota ini. Menurut ‘Hikayat Deli’ pula, seorang anak raja satu kerajaan di India yang bernama Muhammad Dalik, perahunya tenggelam di dekat Kuala Pasai sehingga ia terdampar di Pasai, daerah Aceh sekarang. Tidak lama sesudah di Aceh itu, ketika Sultan Aceh mengalami kesulitan untuk menaklukkan 7 lelaki dari Kaisar Romawi Timur yang membuat kacau, Dalik berjaya membunuh pengacau tersebut satu persatu.

Sebagai penghargaannya, Sultan memberinya gelar Laksamana ‘Kud Bintan’ dan menunjuknya sebagai Laksamana Aceh. Atas berbagai kejayaan dalam pertempuran akhirnya ia diangkat sebagai ‘Gocah Pahlawan’, pemimpin para pemuka Aceh dan raja-raja taklukan Aceh. Beberapa tahun kemudian, Dalik meninggalkan Aceh dan membuka negeri baru di Sungai Lalang-Percut. Posisinya di daerah baru adalah sebagai wakil Sultan Aceh di wilayah bekas Kerajaan Haru (dari batas Tamiang sampai Sungai Rokan Pasir Ayam Denak) dengan misi, menghancurkan sisa-sisa pemberontak Haru yang didukung Portugis, menyebarkan Islam hingga ke dataran tinggi, serta mengorganisir administrasi sebagai bahagian dari Kesultanan Aceh.

Untuk memperkuat posisinya ia menikahi adik Raja Sunggal (Datuk Itam Surbakti) yang bernama Puteri Nang Baluan Beru Surbakti, sekitar 1632 M. Pengganti Gocah, anaknya yang bernama Tuanku Panglima Perunggit pada tahun 1669 M, memproklamasikan berdirinya Kesultanan Deli yang terpisah dari Aceh, serta mulai membangun relasi dengan Belanda di Malaka. Berdirinya Kesultanan Deli ini juga salah satu cikal berdirinya Kota Medan.

Nama Deli sesungguhnya muncul dalam ‘Daghregister’ VOC di Malaka sejak April 1641, yang dituliskan sebagai Dilley, Dilly, Delli, atau Delhi. Mengingat asal Gocah Pahlawan dari India, ada kemungkinan nama Deli itu berasal dari Delhi, nama kota di India. Belanda tercatat pertama kali masuk di Deli tahun 1641, ketika sebuah kapal yang dipimpin Arent Patter merapat untuk mengambil hamba. Selanjutnya, hubungan Deli dengan Belanda semakin mulus.

Tahun 1863 Kapal Josephine yang membawa orang perkebunan tembakau dari Jawa Timur, salah satunya Jacobus Nienhuijs, dari Firma Van Den Arend Surabaya mendarat di Kesultanan Deli. Oleh Sultan Deli, ia diberi tanah 4,000 bau untuk kebun tembakau, dan mendapat konsesi 20 tahun. Begitulah awal cerita, yang berlanjut dengan masuknya ribuan tenaga kerja Cina, India, dan akhirnya Jawa untuk menggarap perkebunan-perkebunan Belanda.

Menurut bahasa Melayu, ‘medan’ bererti tempat berkumpul, kerana sejak zaman kuno di situ sudah merupakan tempat bertemunya masyarakat dari hamparan Perak, Sukapiring, dan lainnya untuk berdagang, berjudi, dan sebagainya. Desa Medan dikelilingi berbagai desa lain seperti Kesawan, Binuang, Tebing Tinggi, dan Merbau. Melihat sekilas sejarah Kota Medan, jelas bahawa sejak zaman kuno, zaman Kerajaan Haru, Medan sudah menjadi tempat pertemuan berbagai kultur bahkan ras seperti Karo, Melayu (Islam), India, Mandailing, dan Simalungun.

Sebagaimana terlihat dalam paparan di atas, proses itu bukannya berkurang, bahkan semakin kompleks sejak dibukanya perkebunan-perkebunan di Sumatera Utara yang menghadirkan kuli kontrak baik dari India, Cina, mahupun Jawa. Hingga kini, Medan yang bererti ‘tempat berkumpul’ tersebut, masih menjadi tempat berkumpul berbagai ras dan kultur yang berbeda-beda.

Oleh itu siapa sebenarnya yang memiliki kota Medan ini? Pada saya, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian:

Pertama:

Medan adalah kota seluas 265.10 km persegi, dalam 21 kecamataan dengan penduduknya berjumlah 2,036,016 jiwa (kepadatan 7.681/km per) mengikut banci 2005, terdiri dari suku Melayu Medan, Batak, Jawa dan berbangsa Cina, India juga Minang, yang beragama Islam, Kristen, Buddha atau Hindu. Dikatakan, majoriti penduduk kota Medan sekarang adalah suku Jawa dan Batak, terdapat ramai juga orang keturunan India juga Cina (kaum Cina sekitar 25%). Secara historis, pada tahun 1918 tercatat Medan dihuni 43,826 jiwa.

Dari jumlah tersebut, 409 orang berketurunan Eropah, 35,009 berketurunan Indonesia, 8,269 berketurunan Cina, dan 139 berasal dari ras Timur lainnya. Ke anekaragaman etnik dan jumlahnya itu boleh dilihat dari jumlah masjid, gereja dan vihara Cina seluruh kota, umpamanya di daerah sekitar Jalan Zainul Arifin bahkan dikenal sebagai Kampung Keling (Kampung India). Bahkan melihat kepada jumlah penduduk Islam di Indonesia (dari berbagai versi) adalah antara 60-90%, jelas bahawa majoriti penduduk Medan juga adalah beragama Islam yang terdiri dari berbagai kaum dan suku.

Kedua:

Melihat kepada nama-nama 14 nama Walikota Medan bermula dari 3 Oktober 1945 hingga kini, iaitu Luat Seriger, M.Yusuf, Djaidin Purba, AM Jalaludin, Muda Siregar, Madja Purba, Basyrah Lubis, PR Telaumbanua, Aminurrasyid, Sjoerkani, AM Saleh Arifin, HAS Rangkuti, Bachtiar Djafar dan yang terakhir Abdillah, yang hampir semuanya baragama Islam, maka kekuasaan melantik dengan kehendak rakyat adalah dimiliki oleh umat Islam. Bahkan Gabernor Sumatera Utara dan wakilnya, (kota Medan berada di dalamnya) yang baru dilantik kini pun beragama Islam, ada yang dari parti Islam atau didokong oleh parti Islam.

Ketiga:

Melihat kepada Guru Patimpus sendiri, kini sudah didedahkan sebagai seorang Islam, menambahkan kuatnya lagi bukti bahawa Kota Medan yang dikenali sebagai kota kaum Batak adalah kota milik umat Islam. Tokoh-tokoh yang diangkat sebagai 8 tokoh terkenal berasal dari Kota Medan antara lain, pujangga Chairil Anwar & Tengku Amir Hamzah, Amir Sjarifuddin Perdana Menteri Indonesia ke 2, Burhanuddin Harahab Perdana Menteri Indonesia ke 9, Soegirto Menteri Negara BUMN di Kabinet Indonesia Bersatu, Guru Patimpus Sembiring Pelawi pendiri kota Medan, Let Jend Djamin Ginting mantan Panglima Kodam I/BB dan Djaga Sembiring Depari komponis Karo, adalah hampir semuanya juga beragama Islam.

“Maka, sudah jelas, kota Medan adalah milik umat Islam.”

“Tapi kenapa kau macam tak nak saja menziarah monument Guru Patimpus ini?” Kawanku tak puas hati dengan sikap saya itu.

“Memang elok kita mengingatinya, tapi bukan dengan cara menziarahi dan menghormati patungnya, walaupun beliau orang Islam. Kalau boleh, tentu Nabi Muhammad SAW sendiri lebih layak dipatungkan…”

Ibnu Hasyim
Masjid Raya, Medan.
Julai 08.
ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)

Lihat.. 
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'

Saturday, July 12, 2008

Tok Guru! Jenguklah Kami.. Anak Turunan Kelantan di Sumut.



 Lihat Pengkalam Brandan, bandar atas sekali di situ terdapat Pulau Desa Perlis dan Desa Kelantan.


Ibnu Hasyim: Catatan Perjalanan

“AS SALAMU ‘ALAIKUM!!” Dia memberi salam.. sepatutnya kami beri salam dulu, kerana kami yang datang ke rumahnya. Aku dan Encik Hamdan tukang kayuh sampan itu masih di dalam perahu, belum naik lagi ke rumahnya yang separuh darinya berada dalam sungai itu.

Dia itu adalah Burhan Johar, Kepala Desa Kelantan atau pengulu bertauliah dari Kabupaten Langkat, Kecamatan Berandan Barat, Sumatera Utara (Sumut). Setelah dijemput naik ke jeti dan masuk ke rumahnya, masing-masing perkenalkan diri.

“Sekarang suasana di sini agak sibuk sikit kerana akan berlaku pemilihan Bupati seluruh Sumatera Utara.. dan sebelum ini telah selesai pemilihan Gubernor.” Kata beliau. Kalau di Malaysia Gubernor itu se akan-akan Menteri Besar.

“Ya. Patutlah dalam perjalanan ke sini tadi ternampak banyak gambar-gambar calun terpampang besar di merata-merata, termasuk dari berbagai partai politik. Saya lihat ada dua calun perempuan.” Jawabku.

Dulu pada tahun 1965-1966 jabatan Bupati Kdh. Tingkat II Langkat itu (Asalnya 3, tapi pada tahun 1963 dihapuskan) dipegang oleh seorang Care Taher (Pak Wongso) dan selanjutnya oleh Sutikno yang pada waktu itu sebagai Dan Dim 0202 Langkat.

Seterusnya secara berturut-turut jabatan Bupati Kdh. Tingkat II Langkat dijabat oleh T. Ismail Aswhin 1967–1974, HM. Iscad Idris 1974–1979, R. Mulyadi 1979–1984, H. Marzuki Erman 1984–1989, H. Zulfirman Siregar 1989–1994, Drs. H.Zulkifli Harahap 1994–1998, H.Abdul Wahab Dalimunthe, SH 3-9-1998 s/d 20-2-1999 dan yang terakhir H.Syamsul Arifin, SE 1999 hingga sekarang.

“Baru-baru ini H.Syamsul Arifin, kawan aku sejak kecil anak tempatan sini terpilih sebagai Gubernor.. lebih tinggi lagi pangkatnya. Kerana dia adalah orang terpelajar yang berjiwa rakyat.. tiap tahun buat kenduri beri bantuan makanan kepada fakir miskin.. dan jawatan Bupati itulah yang menjadi rebutan.”

“Beliau juga kawan aku bermain-main masa kecik dulu!” Kata pengayuh sampan itu pula.

Kepala Desa itu turut mengngguk juga.

“Baiklah. Boleh saya tanya sikit? Bagaimana sejarah Desa Kelantan pula.. dan pasai apa orang di Desa Perlis hampir semuanya bercakap bahasa Perlis, sedangkan di Desa Kelantan tak macam tu, kecuali bercakap sesama keluarga saja??” Tanyaku.

“Desa Kelantan yang ada di Pulau Perlis ini, dibuka oleh datuk saya. Dia datang dari Kelantan Malaysia mengharung lautan luas dengan sebuah perahu kecil 2’x20’ bersama seorang isteri dan 2 anaknya hingga ke sini.Di sini dia beroleh anak lagi seramai 16 orang. Dari keluarga inilah berkembangnya penghuni-penghuni Desa Kelantan atau disebut juga Pulau Kelantan. Pasal bahasa tu, aku pun tak tahu sangat .. apa sebab loghat Kelantan tidak kekal macam loghat Perlis aku pun tak tahu.” Jelas beliau.

“Masih ada ka anak-anak datuk tu itu lagi sekarang?”

“Ya. Antaranya bernama Hafsah, tinggal di desa lain di tanah besar Berandan. Umurnya kira-kira 90 tahun sekarang, boleh kalau nak pergi jumpa, tetapi ingatannya dah tak berapa kuat lagi.” Jawab beliau.

“Adakah bapak tahu perkembangan yang berlaku di negeri asal bapak sekarang, negeri yang dipimpin oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz, seorang ulama zuhud, lebih kurang macam wali, memperjuang perlaksanaan Islam di sana?”

“Ada juga dengar sikit-sikit. Tengok dalam berita tv. Dia pakai serban, orang panggil dia Tok Guru. Kami memang ingin sangat nak ke sana, tapi apakan daya keadaan yang tidak mengizinkan. Kalau boleh, tolong sampai berita kami di sini kepada Tok Guru Bapak Gubernor itu dan orang-orang Kelantan di Malaysia. Datanglah jenguk-jenguk kami, kami anak Pulau Kelantan sentiasa ingatkan dan menunggu-nunggu ziarah mereka. Kalau mereka datang, bolehlah kita bincangkan banyak hal... Penyaluran informasi Kelantan ke sini, penghantaran anak kami belajar di sana dan macam-macam lagi.”

“Bagaimana bisa menghubungi bapak?”

“Bisa hubungi:
Burhan J,
Kantur Kepala Desa Kelantan,
Kecamatan Berandan Barat,
Pemerintah Kabupaten Langkat,
Alamat Kantur: Dusun III Desa Kelantan’
Hp: 08196036757.

Boleh hubungi melalui telefon. Aku sering berada di kantur, cuma hari ini kerja kantur ku bawa ke rumah. Tenguk, bertaburan fail-fail di lantai.” Sambil jari menunjuk-nunjuk ke arah kesan kerja-kerjanya itu.

Tiba-tiba di depan rumah ada orang memberi salam. Ku lihat ada 4 orang, salah seorang darinya berbangsa Cina. Datang nak jumpa Kepala Desa.

"Mereka hendak rundingkan pembangunan desa yang sudah diluluskan. Hendak siapkan tempat niaga di desa ini sebelum Ramadzan menjelang." Bisik Burhan kepadaku.

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim lanjutan dari Bercakap Loghat Perlis M'sia, Di Pulau Perlis, In...

Ibnu Hasyim
Pengkalan Berandan,

Kebupaten Langkat,

Sumut.
Julai 08.

ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)

Lihat..
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'

E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'

Bercakap Loghat Perlis M'sia, Di Pulau Perlis, Indonesia.


 Ibnu Hasyim: Catatan Perjalanan

BERANDAN atau Pandan adalah sejenis tumbuhan, dari situlah dipanggil Pengkalan Berandan, yang terletak di Kecamatan Berandan Barat dalam pemerintahan Kebupaten Langkat. 

Daerah Kabupaten Langkat terletak pada 3014’ dan; 4013’ lintang utara, serta 93051’ dan 98045’ bujur Timur dengan batas-batas sebelah utara dengan selat Melaka dan Propinsi D.I.Aceh. 

Selatan berbatas dengan Dati II karo, timur dengan Dati II Deli Serdang, juga barat dengan Dati D.I Aceh (Aceh Tengah). Pengkalan di pinggir Sungai Bebalan yang mengalir ke Laut Selat Melaka, dipenuhi rumah-rumah nelayan yang tidak teratur, menambah seri dan indahnya panorarama di situ. Laut yang bergelombang tenang, bayu yang menyapu muka, bersih, sejuk dan menyegarkan.

Di situ aku melangkah turun dari pengkalan ke dalam sebuah perahu kayu tambang tiada berenjin, yang pemandunya cuma berdayung dengan tenaga manusia sahaja.

“Encik nak pi mana?” Tanya pendayung itu dalam bahasa loghat utara Semenanjung Malaysia, walaupun berada di Indonesia. “Nak pi Pulau Perlis ke, Pulau Kelantan?” 

Namanya Hamdan. Ayahnya berketurunan Jawa + ibunya kerketurunan Minang.. maka lahirlah dia. Tetapi kerana tinggal di kampung yang ramai berbahasa longat begitu, menjadikan dia pandai berbahasa begitu. Itulah cakap Perlis, loghat Perlis atau loghat utara Semenanjung Malaysia.

“Berapa tambangnya?”

“Ke Pulau Kelantan Rp2,000 sahaja, Dari Desa Kelantan ke Desa Kedah pun Rp2,000, dan pulang ke sini pun Rp2,000 juga!” Jawabnya. Tukaran wang Rp1,000 = RM0.40 masa ini. Maklum, pulau itu jelas nampak dari daratan. “Sebenarnya, Desa Kelantan dan Desa Perlis bersebelahan dalam satu pulau iaitu Pulau Perlis. Penduduk Desa Kelantan 1/3 dari penduduk Desa Perlis yang menjangkau ribuan penduduk itu.

“Jom kita pi ke Desa Perlis dulu!” Kataku. Dia berdayung terus…

Menurut sejarah, pada masa pemerintahan Belanda dan Jepun, Kabupaten Langkat masih berstatus keresidenan dan kesultanan (kerajaan). Pimpinan pemerintahan disebut Residen dan berkedudukan di Binjai dengan Residennya Morry Agesten. Residen mempunyai wewenang mendampingi Sultan Langkat di bidang orang-orang asing saja, sedangkan bagi orang-orang asal atau pribumi, berada ditangan pemerintahan kesultanan Langkat.

Kesultanan Langkat berturut-turut dijabat oleh Sultan Haji Musa Almahadamsyah 1865-1892, Sultan Tengku Abdul Aziz Abdul Jalik Rakhmatsyah 1893-1927 dan Sultan Mahmud 1927-1945/46. Dibawah pemerintahan Kesultanan dan Assisten Residen, struktur pemerintahan disebut ‘luhak’ Di bawah luhak disebut Kejuruan (Raja kecil) dan Distrik, secara berjenjang disebut Penghulu Balai (Raja kecil Karo) yang berada didesa.

Pemerintahan luhak dipimpin secara Pangeran, pemerintahan kejuruan dipimpin seorang Datuk. Pemerintahan distrik dipimpin seorang Kepala Distrik. Untuk jabatan kepala kejuruan dan Datuk hendaklah dipegang oleh penduduk asal yang pernah menjadi raja didaerahnya. Pemerintahan Kesultanan di Langkat telah dibahagi atas 3 kepala Luhak.

Pada awal 1942, kekuasaan pemerintah kolonial Belanda beralih ke pemerintahan Jepun, namun sistem pemerintahan tidak mengalami perubahan, hanya sebutan Keresidenan berubah menjadi SYU, yang dipimpin oleh Syucokan. Afdeling diganti dengan Bunsyu dipimpin oleh Bunsyuco. Kekuasaan Jepun ini berakhir pada saat kemerdekaan Indonesia diproklamasikan pada 17-08-1945.

Pada awal kemerdekaan Republik Indonesia, Sumatera dipimpin oleh seorang Gubernur iaitu Mr.T.M.Hasan, sedangkan Kabupaten Langkat tetap dengan status keresidenan dengan asisten residennya atau kepala pemerintahannya dijabat oleh Tengku Amir Hamzah, yang kemudian diganti oleh Adnan Nur Lubis dengan sebutan Bupati. Pada tahun 1947-1949, terjadi agresi militer Belanda I, dan II, dan Kabupaten Langkat terbagi dua.

Iaitu pemerintahan Negara Sumatera Timur (NST) yang berkedudukan di Binjai dengan kepala Pemerintahannya Wan Umaruddin dan Negara Kesatuan Republik Indonesia yang berkedudukan di Pangkalan Berandan, dipimpin oleh Tengku Ubaidulah. Berdasarkan PP No.7 Tahun 1956 secara administratif Kabupaten Langkat menjadi daerah otonomi yang berhak mengatur rumah tangganya sendiri dengan kepala daerahnya (Bupati) Netap Bukit.

“Kira-kira dalam tahun sebelum merdeka itulah, kaum keluarga dan kawan-kawan ayah kepada Kepala Desa Perlis sekarang, iaitu Arifin Ahmad dikatakan mai sini, buka pulau ni.. Ada lagi nama-nama lain yang terlibat seperti Mohd Taib, Haji Hanafiah… dan Syed… lupa pulak namanya …datang dari Perlis termasuk dari Kuala Perlis!” Jelas Hamdan lagi sambil menambat perahunya bila sampai ke pulau itu.

Kami pun naik ke pengkalan itu, di sebuah warung minuman yang sebahagiannya berada dalam air.

“Kedai ni kepunyaan anak Kepala Desa.” Sambil memperkenalkannya kepada ku. Aku nak jumpa Kepala Desa itu tetapi iberitahu beliau baru keluar.

Ramai lagi anak-anak muda yang datang bersalam denganku dengan mesra dan hormat. “Saudara berasal dari mana?”

“O… Saya dari Malaysia, berasal dari Kampung Perlis Balik Pulau, Pulau Pinang…” Jawabku.

“Ha. Di Pulau Pinang pun ada desa Perlis??” Kata salah seorang dari mereka dengan gembira.

“Ya. Ada 3 Kampung Perlis, di Balk Pulau, Bayan lepas dan Seberang Perai.”

“Di sini pun ramai orang yang dari Pulau Pinang!” Kata seorang dari mereka. Setelah berbual panjang… “Macam ni la. Kalau hang balik ke Malayisa hang bagi tau orang Perlis, bahawa di Medan ni pun ada orang keturunan Perlis. Mai la ziarah kami.. Kami teringin sangat nak rapatkan hubungan balik, kerana asai-usui kita sama.”

Namanya Jol, dia adalah anak muda lulusan Universitas Asahan tapi masih tiada kerja. “Tolong cari jalan bagaimana kami boleh bekerja di Perlis. Masalah besar kami adalah pengangguran dan kemiskinan.” Dia juga adalah pemimpin koperasi di pulau itu.

“Aku ni ada kebolehan kerja tukang urut. Berapa la sangat pendapatannya” Kata Mat Sidik. “Ada ka kerja tukang urut di Malaysia? Boleh ka encik tengok-tengok?”

Insya Allah. Aku mengangguk.

“Encik nak urut ka??”

“Boleh. Tapi terpaksa pergi ke Desa Kelantan pula. Kalau sempat baru boleh!” Minuman aku yang membayar, walaupun mereka tidak meminta. Kami bersalam-salaman, rupanya makin bertambah ramai, kira-kira 40 orang. Alhamdulillah! Kami pun berpisah.

Ibnu Hasyim
ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Pengkalan Berandan.
Julai 08.

Lihat..
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'

Monday, July 07, 2008

PKS: Bolehkah Perintah Indon?


Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan:
Interviau Khas Bersama Pemimpin PKS Sumatera Utara.


SAYA sempat meluangkan masa bertemu dengan seorang pemimpin PKS atau Partai Keadilan Sejahtera. Parti yang ditubuhkan pada 20 April 2002 di Jakarta merupakan pelanjut perjuangan Partai Keadilan (PK ditubuhkan pada 20 Julai 1998), di mana dalam pemilu 1999 telah meraih 1.4 juta suara (7 kursi DPR, 26 kursi DPRD Propinsi dan 163 kursi DPRD Kota/Kabupaten).

PK-Sejahtera kini percaya bahawa jawaban untuk melahirkan Indonesia yang lebih baik di masa depan adalah dengan mempersiapkan kader-kader yang berkualiti baik secara moral, intelektual, dan profesional. Kerana itu, PK-Sejahtera sangat mengambil berat ke arah wujudnya Indonesia yang adil dan sejahtera.

Pemimpin yang saya temui itu ialah Ustaz Afrizal Zulkarnain, Bidang Pembinaan Kader, DPD PKS Kota Tanjungbalai, Propinsi Sumatera Utara.

Soalan 1: Menangani isu semasa dan tempatan.

Baru-baru ini Kota Tanjungbalai mendapat penghargaan Adipura Kota Terbesih di Sumut (Sumatera Utara), apa pandangan parti anda?

Jawapan 1:

Lambang kota bersih baru-baru ini telah doperoleh kota Tanjungbalai. Setelah 3 abad lebih usia kota, baru di tahun 2008 ini kita memperoleh penghargaan Adipura. Semburat kebahagiaan terpancar dari para pejabat kota. Setelah begitu lama diharapkan, akhirnya kota ini diakui sebagai kota lama yang terbersih. Terserah apakah spirit dari upaya membersihkan kota ini mematuhi perintah atasan atau dorongan iman.

Kita berharap akan menjadi peningkatan motivasi hingga akhirnya kebersihan dilakukan kerana iman. Ini akan dapat kita lihat dari kelanjutan kebersihan kota ini, apakah selalu baik atau sementara sahaja. Islam sebagai agama yang paripurna, adalah agama yang menhubungkan antara kebersihan dengan ciri bahawa seseorang itu beriman atau tidak, kerana bukankah kita pernah membaca sebuah hadis iaitu,
  • "kebersihan sebahaian dari iman." 
Seharusnya tidak ada seorangpun yang mengaku Islam tetapi lingkungannya kotor, kotanya kotor, atau yang lebih parah 'akhlaknya kotor'. Mari kita baca surah Al-Muddassir (74) ayat 1-4:
  • "Hai orang-orang yang berselimut, bangunlah lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah, dan pakaianmu bersihkanlah!"
Sacara literlik, kalau kita membaca ayat tersebut, mengisyaratkan akan pentingnya kebersihan dalam Islam, sehingga pakaian yang kita pakai, Islam juga menyuruh harus (perlu) dibersihkan. Lihat lanjutnya ayat 5, Allah berfirman:
  • "Dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji."
Bukankah ayat ini juga menyuruh orang yang telah membersihkan pakaian itu tadi, diharapkan juga telah meninggalkan perbuatan-perbuatan keji. Nah, inilah yang menjadi perhatian kita kali ini. Terhadap persoalan Adipura yang dimaksudkan ialah, kebersihan kota memang kita perlukan tetapi kebersihan moral dari anak bangsa lebih utama.

Alangkah baik disamping kota bersih, moral dari masyarakat juga semakin bersih. Kota ini bersih diiringi juga dengan upaya menjauhkan diri dari perbuatan-perbuatan keji. Kota perlu bersih, lebih nikmat kalau seluruh kita mampu berakhlak yang bersih pula. Kota perlu bersih, lebih bahagia kalau perlayanan aparatur (pegawai kerajaan) juga semakin bersih. Kota perlu bersih, lebih indah kalau korupsi semakin tipis dan perlahan-lahan perilaku itu menjadi sesuatu barang yang langka.

Akan sangat tidak menarik jika pembicaraan kita hanya sekedar kulit-kulit sahaja. Maksudnya hanya membahas tentang bersih kota secara fizik saja. Sungguh sesuatu yang sangat tidak menarik! Predikat kota bersih akan semakin cantik apabila diiringi dengan aparatur yang bersih. Kebersihan kota hanya akan memuaskan mata sahaja, apa guna mata berduri hati miris melihat perilaku aparatur yang juga tidak bersih. Cuma sayangnya, perilaku ini seperti 'kentut' (maaf) terasa tetapi sulit membuktikannya.

Tetapi bukankah mata kita semakin pedih, melihat para aparatur yang bisa jadi.. kita bisa terka berapa besar gajinya, tapi rumahnya tidak satu, tanahnya bertambah, mobilnya berkilat, anak-anak kuliah di luar kota, Bandung, Palembang, Jakarta, Jogja, Medan, pengeluaran mereka seperti lebih besar pasak dari tiang, tetapi hal ini terus kita tonton di sekitar kita.

Apakah tidak bahagia bila kebersihan kota diiringi dengan bersihnya moral para aparat kita? Islam mengisyaratkan, bahawa orang yang termulia di antara kita bukan orang yang kaya dengan cara yang tidak halal, bukan para koruptor, bukan para pejabat tapi orang-orang yang bertakwa.
  • "Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah, ialah orang yang paling takwa.." Quran Surah 49:13.
Memang tingkat korupsi di negara ini sudah melampaui batas-batas kewajaran, jauh sebelum lembaga (Non Government Organization) dari Jerman melakukan servey yang hasilnya diterbitkan oleh sebuah majalah Jerman terkenal 'der Spiegel' mengumumkan bahawa Indonesia adalah negara paling korup di Asia.

Hal ini juga kita rasakan di Tanjungbalai ini, mau mengurus KTR, KK, Akte Kelahiran, SIM, paspor, IMB dan sebagainya di kantur-kantur pemerintah, biaya resmi dari pengurusn sebuah surat, akhirnya menjadi berlipat-lipat, kerana setiap aparat meminta jatah dan imbalan. Kalau tidak dikasi, urusan dipersulit. Jadi korupsi itu sudah menjadi budaya dan melembaga dalam segala rezim hari ini.

Bahkan di era pemerintahan reformasi inipun budaya itu masih ada terasa kental. dalam kaitan ini, Allah SWT berfirman dalaam Al-Quran:
  • "Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang batil.." (Surah 2:188 & Surah 4:29)
Kami tidak dalam posisi oposisi pada persoalan Adipura ini. Yang terkadang makna oposisi ertinya hanya melihat dari segi negatif saja. Kami hanya berharap kita tidak parkir disekitar tampilan-tampilan fizik saja, tapi kehilangan inti persoalan. Membersihkan kota tidak sesulit membersihkan moral anak bangsa dari menjauhi perbuatan-perbuatan keji yang termasuk didalamnya perbuatan korupsi.

Kami sentiasa mengajak, mari kita membersihkan kota ini dengan menjadikan momen Adipura sebagai titik awal kita untuk hidup bertambah bersih. Mari kita bersihkan kota ini dari praktik korupsi. Tidak ada yang tidak mungkin, jangan kehilangan harapan. Tergantung dari keberanian kita mencoba untuk mencari pemimpin yang lebih berani berkata tidak pada korupsi dan yang terutama hidupnya juga jauh dari budaya itu. Beranikah kita mencoba hidup bersih?

Soalan 2: Menang?
 

Hal itu mengenai isu semasa dan setempat, saya ingin bertanya pula mengenai Islam dan politik di negara ini... Adakah PKS, parti yang saudara sertai itu boleh menang dalam Pemilu atau pilihanraya umum yang akan diadakan tahun depan? Menang dalam ertikata memerintah negara? Apa beda parti anda dengan parti Islam yang lain? Apakah di sekitar pemilu akan datang, parti-parti Islam perlu bergabung lagi memerintah negara? 

Jawapan 2:

Melihat realiti setakat ini dan masa ini, untuk memerintah negara secara keseluruhan agak sulit dan susah. Sebelum ini PK (sebelum ditambah nama kepada PKS) yang menapaki setiap jejak langkah dan aktiviti parti, dari sebuah entiti yang belum dikenal hingga dikenal dan menduduki peringkat 7 dalam pemilu 1999. Pada pemilu 2004 pula PKS memperolehi jumlah undi sebanyak 8,325,020, iaitu 7.34% dan 45 kerusi.

Walaupun begitu kemenangan sebenarnya ialah berjaya meletakkan asas perjuangan Islam di arena politik negara dan melaluinya mampu melatih ramai kader-kader ke arah kemenangan perjuangan tersebut. Kita perlu membentuk manusia-manusia yang seluruh cara hidup dan firqah, termasuk politiknya adalah Islam. ...Dan bila sampai masanya akan mampu pula memimpin negara seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri, bukan seperti sekarang.

Di situlah bedanya antara parti kami dengan parti-parti lain, walaupun ada di antaranya adalah sama-sama berasaskan Islam. Kerana itu, PKS atau PK-Sejahtera sangat menambil berat ke arah wujudnya Indonesia yang adil dan sejahtera. PK pernah menolak pemberlakuan asas tunggal dalam kehidupan berorganisasi. Hal itu dinyatakan Presiden PK Dr Ir Nurmahmudi Ismail dalam pidato politik peresmian DPW PK DIY.

Pada Pemilu (Pilihan Raya Umum Indonesia) 19 Februari 1999 KH Didien Hafidhudin ditetapkan sebagai Calon Presiden RI (Republik Indonesia) dari Partai Keadilan. Pada 30 Mei 1999 lapan partai politik berasaskan Islam menyatakan bersatu dan menyepakati penggabungan sisa suara (stembus accord) hasil Pemilu 1999. Lapan parti itu adalah PPP, Partai Keadilan, Partai Kebangkitan Ummat, Partai Ummat Islam, PPII Masyumi, PNU, PBB dan PSII.

Pada 20 Oktober 1999, PK menerima tawaran kursi Kementerian Kehutanan dan Perkebunan (Hutbun) dalam kabinet pemerintahan KH Abdurrahman Wahid. Waktu itulah dikatakan rakyat Indonesia memberi mandat kepada parti-parti Islam untuk memerintah negara, berbanding dengan pemilu-pemilu sebelumnya sejak kemerdekaan tahun 1945, iaitu di tahun-tahun 1955, 1971, dan Pemilu 1977-1997.

Untuk gabung kembali sesama partai Islam seperti dulu agak sulit, kerana penyakit-penyakit yang perlu diobati amat banyak. Walaupun begitu, usaha-usaha untuk kerjasama amat dialu-alukan.

Sekian. Assalamu 'alaikum.

Coretan dari Ibnu Hasyim
Tanjunbalai Asahan

Indonesia.
7 Julai 2008

Lihat.. 
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'

Wednesday, July 02, 2008

Pengajaran Dari Pulau Simardan


Ibnu Hasyim: Catatan Perjalanan

"SIAPA yang menjaminmu hidup sampai waktu zohor?" Terlontar pertanyaan itu dari mulut seorang pemuda kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz, tokoh pemimpin bergelar 'Khulafa Ur-Rasyidin Ke 5' itu? 

Tersentak khalifah yang terkenal keadilan itu seketika, kerana sebelum itu beliau baru hendak merebahkan diri berihat setelah selesai menguburkan jenazah khalifah sebelumnya, iaitu Sulaiman bin Malik. Baru beliau hendak berihat, tiba-tiba seorang pemuda berumur 17 tahun menghampirinya dan bertanya,,

"Apa yang engkau nak buat ya Amirul Mukminin?"

"Biarlah aku tidur sekejap. Aku sangat penat dan letih, hampir tak ada tenaga yang tinggal lagi!" Jawab Umar Abdul Aziz.

"Engkau nak tidur sebelum kembalikan barang yang diambil secara paksa dari pemiliknya wahai Amirul Mukminin??" Pemuda itu tidak puas hati.

"Nanti sampai waktu zohor, aku dan yang lain-lain akan kembalikan barangan tersebut kepada pemiliknya!" Balas Umar.

Jawapan inilah yang menimbulkan pertanyaan pemuda itu seperti di atas. Pemuda itu bernama Abdul Malik, adalah anak beliau sendiri.

Cerita itu dipetik dari risalah berjodol 'Hizbul Adalah' yang tersebar pada hari Jumaat lepas di masjid Tanjung Balai terbitan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia. Antara komen risalah tersebut...

{ Kalau saja hari ini sejarah itu terulang, betapa bahagianya kita menjadi rakyat dari pemimpin seperti mereka. Kita mendapati isteri dan anak-anak sang pemimpin menjadi pembantunya untuk taat kepada Allah. Isteri dan anak-anaknya menjadi pengawas melekat dari harta, dari mana datangnya. Anak-anak akan berkata, 

"Ayah, kami lebih tahan lapar di dunia daripada panasnya api neraka. Jangan kita makan, jangan kita simpan yang bukan dari hak kita!"

Adakah (ada) anak yang seperti ini? Jawapan kita mustahil, dan kalaupun ada paling satu dua. Hari ini, berapa banyak anak-anak yang mencelakakan orang tua. Tidak bisa disalahkan salah satu pihak sahaja. Karena kata Rasul, " anak itu lahir dalam keadaan fitrah (seperti kain putih), orangtuanyalah yang menjadikan mereka Yahudi atau Majusi."

Jangan salahkan anak, karena mereka mencuri, karena ayahnya ajarkan cara untuk korupsi. Jangan salahkan anak ketika mempergunakan jabatan orangtua untuk memperkaya dirinya sendiri, karena ayahnya mengajarkan hal itu semenjak kecilnya. Jangan salahkan anak, karena dia hanya peniru dari orangtuanya. Jangan salahkan anak tidak punya perasaan persaudaraan, karena kalian sering ajarkan cara bermusuhan. Apakah catatan sejarah indah ini akan terulang lagi? }

Demikian sedutannya.

Di Tanjung Balai, ada sebuah kisah dan cerita tentang legenda anak derhaka. Seperti juga cerita Malin Kundang di Sumatera Barat yang disumpah menjadi batu. Sampuraga di Mandailing Natal Sumatera Utara yang konon katanya, berubah menjadi sebuah sumur berisi air panas. Di Thailand ada cerita Pulau Jelapi, juga hasil sumpahan anak derhaka dari orang tuanya, yang pernah dikasetkan oleh penyanyi dikir barat Mat Yeh anak Pattani. Seperti juga cerita Si Tanggang di Malaysia yang telah dibuku dan difilemkan.

Kisah di kota Tanjung Balai ini, akibat derhaka terhadap ibunya, seorang pemuda dikutuk menjadi sebuah daratan yang dikelilingi perairan, yakni Pulau Simardan. Berbagai cerita masyarakat mengenainya, Simardan adalah anak wanita miskin dan yatim. Pada suatu hari, dia pergi merantau ke negeri seberang, mengadu nasib dan mencari peruntungan. 

Setelah beberapa tahun merantau dan tidak diketahui khabarnya, maka pada suatu hari ibunya yang tua renta itu mendengar berita dari masyarakatnya tentang berlabuhnya sebuah kapal layar dari Malaysia. Menurut keterangan masyarakat kepadanya, pemilik kapal itu bernama Simardan yang tidak lain adalah anaknya. Anak yang sudah bertahun-tahun tidak bertemu. 

Betapa bahagia bila anaknya telah kembali. Ibu Simardan lalu pergi menyusur ke pelabuhan. Di pelabuhan, wanita tua itu mejumpai Simardan sedang berjalan bersama seorang wanita cantik dan kaya raya. Dia terus memeluk erat tubuh anaknya dengan gembira, dan mengakui, Simardan itu adalah anaknya. Tidak diduga, pelukan kasih dan sayang seorang ibu, rupanya telah ditepis oleh Simardan. 

Bahkan, dengan tanpa belas kasihan Simardan menolak tubuh ibunya hingga terjatuh. Walaupun isterinya meminta Simardan untuk mengakui wanita tua itu sebagai ibunya, namun pendiriannya tetap tidak berubah. Simardan mengusir ibunya dengan mengatakan pengemis.

"Sebelum terjadinya peristiwa tersebut, Pulau Simardan masih sebuah perairan tempat kapal berlabuh. Lokasi berlabuhnya kapal tersebut, di Jalan Sentosa Kelurahan Pulau Simardan Lingkungan IV Kota Tanjung Balai..." kata tokoh masyarakat di Pulau Simardan, H.Daem, 80, warga Jalan Mesjid P. Simardan Kota Tanjung Balai.

Tanjung Balai, terletak di 20.58 LU (Lintang Utara) dan 0.3 meter dari permukaan laut. Sedangkan luasnya sekitar 6,05,90 ha dengan jumlah penduduk kurang lebih 144,979 jiwa (sensus 2003). Walaupun peristiwa tersebut terjadi di daerah Tanjung Balai, Daem mengatakan, Simardan sebenarnya berasal dari hulu Tanjung Balai atau sekitar daerah Tapanuli.

Hal itu juga dikatakan tokoh masyarakat lainnya, Abdul Hamid Marpaung, 75, warga Jalan Binjai Semula Jadi Kota Tanjung Balai. 

“Daerah asal Simardan bukan Tanjung Balai, melainkan di hulu Tanjungbalai, iaitu daerah Porsea Tapanuli,” jelasnya.

Ada lagi yang menarik dari berbagai cerita atau kisah tentang legenda anak derhaka itu. Biasanya anak yang derhaka dikatakan pergi merantau untuk mencari pekerjaan, dengan tujuan merubah nasib keluarga. Berbeza dengan Simardan, dia merantau ke Malaysia untuk menjual harta karun yang ditemukannya di sekitar rumahnya, kata Abdul Hamid Marpaung.

“Simardan bermimpi lokasi harta karun. Esoknya, dia pergi ke tempat yang tergambar dalam mimpinya, dan menemui berbagai macam perhiasan yang banyak,” tutur Marpaung lagi. 

Kemudian, Simardan merancang menjual harta karun yang ditemui itu, dan Tanjung Balai merupakan daerah yang ditujunya. Kerana, jelas Marpaung, di situ berdirinya sebuah kerajaan yang besar dan kaya. Tetapi setibanya di Tanjung Balai, kerajaan tersebut tidak mampu membayar harta karun temuan Simardan itu, sehingga dia terpaksa pergi ke Malaysia.

“Salah satu kerajaan itu, di Pulau Pinang Malaysialah yang membeli harta karun tersebut. Bahkan, Simardan juga mempersunting puteri kerajaan itu,” ungkap Marpaung lagi. 

Tetapi menurut H.Daem, tujuan Simardan pergi merantau ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Setelah beberapa tahun di Malaysia, Simardan akhirnya berhasil menjadi orang kaya dan menyunting puteri bangsawan sebagai isterinya. Setelah berpuluh tahun merantau, Simardan akhirnya kembali ke Tanjung Balai bersama isterinya. Kedatangannya ke Tanjung Balai, menurut Daem, untuk berdagang sekaligus mencari bahan-bahan keperluan. 

Menurut Marpaung lagi, Simardan datang ke Tanjung Balai kerana tidak memiliki keturunan. Jadi atas saran orang tua di Malaysia, pasangan suami isteri itu pergi ke Tanjung Balai. Lebih lanjut dikatakan Marpaung, berita kedatangan Simardan di Tanjung Balai disampaikan masyarakat kepada ibunya.

"Gembira anak semata wayangnya kembali ke tanah air, sang ibu lalu mempersiapkan berbagai hidangan, berupa makanan khas keyakinan mereka yang belum mengenal agama. Hidangan yang disiapkan ibunya adalah makanan yang diharamkan dalam agama Islam." tutur Marpaung.

Dengan sukacita, ibu Simardan kemudian berangkat menuju Tanjung Balai bersama beberapa kerabat dekatnya. Sesampainya di Tanjung Balai, ternyata sikap dan perlakuan Simardan tidak seperti yang dibayangkannya. Simardan membantah atau tidak mengakui bahawa orang tua tersebut adalah wanita yang telah melahirnya. Hal itu dilakukan Simardan, jelas Marpaung, kerana dia malu kepada isterinya takut diketahui ibunya belum mengenal agama (Sebenarnya perlakuan begitu bukanlan dari ajaran Islam yan betul). 

“Makanan yang dibawa ibunya adalah bukti bahawa keyakinan mereka berbeda.”

Sementara menurut H. Daem, perlakuan kasar Simardan adalah kerana malu melihat ibunya yang miskin. “Karena miskin, ibunya memakai pakaian compang-comping. Akibatnya, Simardan tidak mengakui sebagai orangtuanya.”

Setelah diperlakukan kasar oleh Simardan, wanita tua itu lalu berdoa sambil memegang payudaranya. “Kalau dia adalah anakku, tunjukkanlah kebesaran-Mu,” begitulah kira-kira yang diucapkan ibu Simardan. 

Selesai berdoa, turun angin kencang disertai ombak yang mengarah ke kapal layar, sehingga kapal tersebut hancur berantakan. Sedangkan tubuh Simardan, menurut cerita Marpaung dan Daem, tenggelam dan berubah menjadi sebuah pulau bernama Simardan.

Para pelayan dan isterinya berubah menjadi kera putih, kata Daem dan Marpaung. Hal ini disebabkan para pelayan dan isterinya tidak ada kaitan dengan sikap derhaka Simardan kepada ibunya. Mereka diberikan tempat hidup di hutan Pulau Simardan. 

“Sekitar 40 tahun lalu, masih ditemukan kera putih yang diduga jelmaan para pelayan dan isteri Simardan,” jelas Marpaung. "Namun, akibat bertambahnya populasi manusia di Tanjung Balai khususnya di Pulau Simardan, kera putih itu tidak pernah terlihat lagi."

Di samping itu, sekitar tahun 50an masyarakat menemukan tali kapal berukuran besar di daerah Jalan Utama Pulau Simardan. Penemuan terjadi, ketika masyarakat menggali perigi (sumur). Selain tali kapal ditemukan juga rantai dan jangkar, yang diduga berasal dari kapal Simardan, kata Marpaung.

“Benar tidaknya legenda Simardan, tergantung persepsi kita. Tapi dengan ditemukannya tali, rantai dan jangkar kapal membuktikan bahawa dulu Pulau Simardan adalah perairan.”

Dari dua cerita di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa derhaka kepada dua ibubapa adalah dilarang oleh agama dan kemanusiaan... Kalau berlaku penderhakaan kepada ibubapa dan Allah SWT juga Rasul SAW, maka siasatlah!! 

Di situlah perlu bimbingan tarbiah dari jamaah atau parti Islam yang juga melibatkan ibubapa kepada anak-anak itu sendiri. Itu tugas yang wajib disertai atau diharungi sebagai manusia dan Muslimin..

Sekian Wallahu 'aklam.

...dari
Ibnu Hasyim
Pulau Simardan Tanjung Balai.

Lihat ..
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'
E-Buku IH-8: 'Medan-Tanjung Balai'

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails