Thursday, October 22, 2009

Flat Hijau Putrajaya Sarang Maksiat, Kenali Puncanya..


PUTRAJAYA: Gahnya nama Flet Hijau di sini dengan kegiatan maksiat sukar dinafikan apabila lebih 50 pasangan bukan mahram yang dipercayai sedang bersiap atau berniat melakukan ‘projek’ ditahan di penempatan itu sejak beberapa bulan lalu. Demikian dilaporkan MyMetro hari ini.

Lebih memalukan, flet 11 tingkat yang mempunyai lebih empat blok itu menjadi markas golongan remaja dan pasangan kemaruk seks melampiaskan nafsu serakah di rumah sewa sama ada milik pasangan lelaki atau wanita tak kira siang atau malam. Keadaan menjadi lebih ‘meriah’ waktu malam dengan gelagat remaja perempuan menggunakan taktik berpakaian sopan termasuk bertudung litup memasuki rumah terlebih dulu sebelum diekori pasangan lelaki yang kemudian memulakan adegan mereka.

Kegiatan tidak bermoral di rumah pangsa berkenaan kebanyakannya dipercayai membabitkan pekerja swasta dan kakitangan kerajaan berusia 20 dan 25 tahun yang menyewa di flet berkenaan. Flet Hijau satu-satunya kediaman disewakan kepada orang ramai di bandar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini. Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan sumber agensi kerajaan kepada Harian Metro yang mendakwa perbuatan maksiat di kalangan penghuni Islam di flet yang terkenal dengan panggilan Flet Hijau itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, laporan mengenai kegiatan maksiat dan khalwat di flet berkenaan memang sukar ditangani kerana premis berkenaan turut disewa kepada pekerja swasta selain kakitangan awam. Sumber itu berkata, lebih 50 tangkapan dilakukan terhadap pasangan yang dipercayai melakukan maksiat di flet berkenaan dan ia jumlah yang mengejutkan.

“Kami percaya mereka menggunakan rumah sewa itu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral dengan pasangan tanpa menghiraukan teguran penghuni lain.

“Pelaku maksiat memang bijak menggunakan taktik bagi mengaburi mata penghuni lain dengan hanya membenarkan pasangan memasuki rumah selepas beberapa minit mereka masuk.

“Taktik ini yang kami kesan sepanjang pemantauan sebelum menahan beberapa pasangan yang dikenal pasti,” katanya.

Malah, katanya, ada antara gadis yang sengaja bertudung litup dan berperawakan bersopan sehingga tidak disangka mereka turut melakukan perbuatan terkutuk itu. Menurutnya, berdasarkan laporan serbuan pihak berkuasa, kebanyakan penghuni rumah yang diserbu mengambil masa sehingga lebih 10 minit untuk membuka pintu dan ia menguatkan lagi anggapan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral di kediaman itu.

“Bila kami sampai, mereka dipercayai dah selesai ‘projek’, malah sempat berpakaian lengkap sebelum membuka pintu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku selain memberikan pelbagai alasan ‘bodoh’,” katanya.

Menurutnya, gejala maksiat di penempatan terbabit sebenarnya menimbulkan rasa tidak senang penghuni lain yang hampir setiap hari melihat perlakuan tidak bermoral dilakukan di depan mata. Sumber itu berkata, berdasarkan jumlah blok di penempatan berkenaaan, dia tidak menolak kemungkinan kewujudan kegiatan seks bebas membabitkan remaja di flet berkenaan. “Malah, ada yang ditahan pihak berkuasa dan sudah dikenakan denda, masih tidak serik apabila ditahan semula bersama pasangan sama selepas itu.

“Berdasarkan siasatan, kebanyakan remaja terbabit bermasalah dan tidak pernah serik dengan denda yang boleh dibayar pada bila-bila masa,” katanya. Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya pihak berkuasa menggempur penempatan terbabit supaya kegiatan maksiat dapat ditangani secara menyeluruh.

“Buat masa ini, kami belum mendengar kes pembuangan bayi atau hamil di luar nikah di flet itu, tetapi kegiatan maksiat di kawasan berkenaan perlu ditangani segera sebelum gejala lebih buruk berlaku,” katanya.

Blog Ibnu Hasyim: Kalau ditanya kenapa jadi begitu, di mana puncanya? Antara sebabnya, tidak dapat dinafikan kerajaan juga bertanggung jawab mencorakkan suasana masyarakat. Rakyat perlu kepada kerajaan beragama yang mementingkan nilai akhlak dan perundangan yang berkesan. Pendidikan, persekolahan, media massa termasuk tv, suasana kedamaian semuanya perlu di ambil kira. Fikir-fikirlah untuk memilih kerajaan yang memperjuangkan ke arah itu, bukan ekonomi semata-mata. (2MA)

Doktor Pening Kepala, Manusia Berbulu Kucing.

UNGKAP RAHSIA YANG MAHA AGUNG

XIAOYUAN digelar budak kucing akibat bulu yang tumbuh lebat di tubuhnya.

FENGKAI (China): Keadaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang digelar budak kucing menyebabkan doktor pening kepala selepas bulu yang tebal tumbuh di seluruh tubuhnya.

Lebih pelik, Li Xiaoyuan hanya memiliki tanda lahir seperti tahi lalat di belakang tubuhnya beberapa bulan lalu.

Namun, rambut mula tumbuh daripada tanda lahirnya itu dan kemudian merebak ke seluruh belakang badannya dan kini mula tumbuh di lengan dan mukanya.

Bapa Xiaoyuan, Li Yan berkata, doktor pada mulanya memberitahunya ia hanya tanda lahir, termasuk ketika pertumbuhan bulu mula merebak ke bahagian lain tubuh anaknya. "Kini bulu itu tumbuh di separuh daripada tubuh Xiaoyuan.

"Kanak-kanak lain kini tidak lagi mahu bermain dengannya dan menggelarnya budak kucing. Mereka juga membencinya,” katanya.

Ibu Xiaoyuan, Li Jiang yang kini menetap di Fengkai, selatan China sedih dengan nasib anaknya.

“Kami sekeluarga sedih kerana beliau terpaksa menderita dan tertekan akibat keadaan fizikalnya,” katanya.

Pakar bedah Hospital Dermatologi Zhaoqing, Dr Lou Zhongquan percaya, Xiaoyuan mungkin menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan tahi lalat mengeluarkan bulu tanpa had.

“Kami boleh menggunakan laser untuk merawatnya ketika ia kecil.

“Namun, jika kami mampu buang melalui pembedahan sekalipun pada masa ini, kemungkinan besar pendarahan berterusan berlaku,” katanya. - Agensi.

Rugi RM1.5 Bilion (37%) Setahun Kerana Bocor -S.Piarapakaran

PENGGUNA

Hampir 37 peratus air yang dirawat tidak jana perolehan

PETALING JAYA- Hampir 37 peratus daripada air yang dirawat di Malaysia tidak menjana sebarang perolehan disebabkan kebocoran dalam sistem saluran paip dan kerosakan meter bekalan air.

"Ini membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun," kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), S. Piarapakaran.

Bercakap kepada Bernama di sini beliau berkata kehilangan air ini sebenarnya tetap dibayar oleh pengguna kerana jumlahnya dimasukkan dalam tarif air.

"Oleh itu adalah penting bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan satu kajian menyeluruh dan mengarahkan semua syarikat pengendali bekalan air meminimakan kehilangan air," katanya.

Beliau berkata dengan meminimakan kehilangan air, Malaysia boleh memenuhi lebih banyak permintaan terhadap bekalan air tanpa memerlukan pelaburan-pelaburan baru dalam membangunkan infrastruktur tambahan.

Piarapakaran seterusnya mencadangkan supaya SPAN merumuskan satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi syarikat pengendali bekalan air berdasarkan kepada keupayaan mereka menangani perkara itu.- BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pihak bertanggung jawab perlu ambil perhatian, apalagi bila hal tersebut berkaitan dengan maslahat masyarakat awam. Itu sebabnya Islam melarang hak-hak dan keperluan awam diindividukan.. contohnya tanah (hanya yang tertentu), air, api, angin (udara) dll.

Pinda Artikel 3, Hukum Syarak Terbatal Kerana... -MP Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR - Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memastikan fakta mengenai kedudukan agama Islam tidak lagi diputar belit golongan tertentu untuk menggambarkan Malaysia kononnya negara sekular.

Desakan itu adalah antara 24 senarai rang undang-undang persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Noordin yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang kini, seperti yang dilaporkan Bernama.

Kerajaan digesa meminda segera beberapa Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperjelaskan beberapa isu termasuk soal status negara yang mengamalkan dwi-sistem (sistem perundangan hybrid) dan bukannya sebuah negara sekular seperti yang didakwa beberapa pihak. Pindaan ke atas Perlembagaan juga perlu dibuat bagi mewujudkan garis perbezaan antara Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan dengan pelaksanaan undang-undang dan syariat Islam.

YB Zulkifli menyarankan supaya perkataan 'Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya' ditambah bagi menepis keraguan mengenai kedudukan status negara. “Hakikatnya, Malaysia bukan negara sekular tetapi negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, maka dengan pindaan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dicadangkan akan memperjelaskan perihal kedudukan status negara ini tanpa sebarang keraguan lagi,” katanya.

Beliau berkata Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan pula perlu dipinda bagi menambah perkataan 'Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan dan kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengannya hendaklah terbatal setakat ia berlawanan itu'.

“Dewan perlu mengambil maklum bahawa banyak keadaan di mana hukum syarak’ syariat Islam telah terbatal atau tidak dapat dilaksanakan kerana Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan ini meletakkan undang-undang negara mengatasi semua undang-undang dan peraturan lain.

“Ini termasuk undang-undang dan syariat Islam seperti pengharaman pemakaian serban di sekolah kebangsaan, pemakaian purdah dan jilbab di jabatan kerajaan, pelaksanaan Undang-undang Syarak seperti khalwat, zina, qazaf yang bercanggah dengan hukum syarak dan lain-lain,” katanya.

Turut dicadang untuk dipinda ialah Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai soal pertukaran agama bagi orang Islam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Itulah kesan undang-undang penjajah 'made ini England' ciptaan Lord Ried yang diagung-agungkan selama ini. Bertentangan antara satu sama lain, hanya sesuai jika dipandang dari sudut sekularisme. Islam diletakkan di bawah tapak kaki kuasa politik yang tidak Islamik, hingga boleh ditendang ke sana sini dan ditakrifkan bermacam-macam.

Agama dan hukum Allah tidak diletakkan di tempat yang 'hak' dan wajar untuknya. Kerana itu Perlembagaan Malaysia perlu dipinda, kalau tidak mahu ditukar terus! (IH)

Wednesday, October 21, 2009

Antara Arak/ Wine Di Gaza & Malaysia, Masa Kini..








OKTOBER 2009. ABU Muhammad bukan nama sebenar, kena bersusah payah untuk minum wine di Gaza. Nahas teruk jika diketahui Hamas yang menguasai wilayah itu. Dia menyelinap ke atap sebuah rumah kosong untuk buat wine sendiri. Di sini, di tempat persembunyian rahsianya. Abu Muhammad dengan hati-hati membuat buah anggur, diracik kemudian akan dijadikan minuman wine dan meminum di rumah sendiri, jauh dari pengawasan polis Hamas dan masyarakat Gaza.

"Saya mula membuat wine saya sendiri setelah Hamas mendapat kuasa di jalur Gaza," kata seorang pegawai kerajaan (40 tahun), seperti semua pembuat minuman keras lainnya di Gaza yang diwawancara oleh AFP. Mereka tidak mahu guna nama asli mereka.

"Saya minta kawan-kawan ajarkan bagaimana membuatnya dan juga mempelajari di internet," katanya. Gaza setelah diperintah oleh Hamas, sedikit demi sedikit menerapkan aturan Islam dan minuman alkohol dilarang di sana. Sebelum Hamas menang pilihan raya parlimen Januari 2006 lalu, siapa pun boleh bawa alkohol dari Israel dan Mesir bahkan ada restoran atau bar yang menyediakan minuman beralkohol.

Namun hal tersebut terhenti, setelah Hamas 'mengusir' faksi Fatah yang sekuler dari wilayah itu pada Jun 2007 setelah seminggu terjadi perlawanan mengorbankan kedua belah pihak. Sejak itu, penjualan alkohol dilarang di Gaza, walaupun masih ada yang menyeludup atau membuat sendiri.

Seorang lagi yang dipanggil Hussein (56 tahun) telah membuat wine dalam tong kayu kecil. Dia bukan sahaja takut diketahui oleh polis Hamas, tetapi juga takut kepada masyarakat sekelilingnya. Begitu juga Ziad (30 tahun) menurut AFP lagi. Jurucakap Hamas Taher Al-Nunu mengatakan, "Pegawai kerajaan Islam Gaza bertindak berdasarkan kes demi kes sesuai dengan perundangan Palestin. Kita hormati undang-undang."

Komen Blog Ibnu Hasyim: Dalam suasana perangpun undang-undang Islam perlu dilaksanakan, apa lagi di masa damai seperti di Malaysia! Kalau nak laksanakan hukum Islam kena pilih parti Islam seperti HAMAS di Gaza atau PAS di Malaysia dan kumpulannya. Bukan parti Asobiah sempit. (AK)

Naikkan Taraf L/Terbang, Pelabuhan & Pertanian -Pmk R/Kelantan




KOTA BHARU, 21 Okt: Kerajaan Pusat sekali lagi diingatkan pihak istana Kelantan supaya menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kerana ia boleh menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri ini.

Sebelum ini gesaan serupa sudah berkali-kali kali dititahkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. Namun sehingga kini cadangan itu seolah-olah kurang mendapat perhatian kerajaan pusat kecuali mengubah wajah terminal lapangan terbang beberapa tahun lalu. Dan semalam gesaan serupa disuara pula Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Titah baginda lapangan terbang di Pengkalan Chepa wajar dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa memandangkan kemudahan tersebut dapat membantu perkembangan ekonomi dan sosial di Kelantan.

"Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perlu dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa kerana ia boleh memberi perkhidmatan penerbangan terus ke negara-negara luar terutama di Asia dan Timur Tengah.. Beta dimaklumkan syarikat penerbangan Firefly bercadang memperluaskan perkhidmatan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura," titah baginda.

Pada masa yang sama baginda bertitah Kelantan juga memerlukan sebuah pelabuhan komersial yang boleh menjadi pemangkin ekonomi di negeri ini. Menurut baginda, ketiadaan kemudahan pelabuhan membantutkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Beta berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula kelulusan projek pelabuhan di negeri ini sebagaimana yang telah diluluskan dalam RMK-5.

"Beta juga menyarankan kerajaan Persekutuan mempercepatkan perlaksanaan projek pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai," titahnya. Titah baginda pelaksanaan projek itu perlu disegerakan kerana ia dapat merangsangkan pembangunan di sepanjang koridor laluan itu di samping mempercepatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Baginda juga turut memuji langkah kerajaan negeri memajukan sektor pertanian bagi menjayakan hasrat Kelantan sebagai jelapang makanan negara. Bagaimanapun baginda menyarankan sektor itu perlu difokuskan kepada penggunaan teknologi moden berskala besar dan berorentasikan eksport.

Tambah baginda, penekanan bioteknologi dalam pertanian juga perlu untuk menjadikan sektor berkenaan lebih berdaya maju. "Beta juga berharap petani, penternak, nelayan serta meraka yang terlibat dalam sektor pertanian mendapat kefahaman dengan pelancaran konsep �Bertani Satu Ibadat," titah baginda. (Sumber Harakah/AK)

Reformasi Paling Waras Bagi UMNO... -Nik Aziz

Najib bersama 2 PM sebelumnya.

KOTA BARU, Okt. Menurut The Malaysian Insider hari ini, beberapa pindaan dibuat terhadap perlembagaan parti di dalam Umno telah digambarkan ia sebagai satu perubahan secara tuntas dan signifikan dalam usaha barisan kepimpinan parti tersebut ingin menjadikan Umno sebagai sebuah parti inklusif dan demokratik mendapat pelbagai reaksi ahli politik.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika mengulas perkara itu berkata, transformasi politik seharusnya dibentuk secara komprehensif mengikut aspirasi seluruh rakyat tanpa mengira apa jua bangsa. Sebab itu penterjemahan sebenar anjakan transformasi mestilah melibatkan dasar.

“Kalau setakat perubahan luaran tapi dasarnya masih tetap sama, itu orang panggil perubahan kosmetik. Tidak konkrit” katanya semasa ditemui selepas majlis perasmian sambutan Hari Keluarga Halaqat Negeri Kelantan di Gelora Beach Resort, Bachok, dekat sini petang semalam.

Umno dilapor sekaligus telah melakukan perubahan apabila membuat tujuh pindaan terhadap perlembagaan parti yang diluluskan dengan sebulat suara dari para perwakilan setelah dibentang Naib Presidennya, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein, di Perhimpunan Agungnya 2009 yang berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober.

Antara pindaan tersebut ialah meningkatkan bilangan perwakilan bagi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti termasuk peringkat bahagian daripada 2,500 kepada 146,500 perwakilan. Dan dalam usaha merealisasikan Umno sebagai sebuah parti berdemokratik, sistem kuota juga turut dihapuskan bagi membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli bertanding.

Semasa menjawab kemungkinan perubahan itu hanya retorik Umno dalam usaha menawan hati rakyat selepas menyedari hampir seluruh rakyat menolak kepimpinannya Nik Aziz menegaskan, transformasi ke arah memperjuangkan dasar Islam itu sesungguhnya satu ciri reformasi yang paling waras. Sebaliknya adalah retorik semata-mata.

Sementara itu bagi veteran Umno, Tengku Razaliegh Hamzah, yang pernah mencadangkan pindaan perlembagaan dilakukan sejak tiga tahun lalu berkata perubahan dalam parti bukan setakat membabitkan pindaan perlembagaan tetapi menuntut kepada perubahan personaliti, sikap dan kelakuan pemimpin.

Katanya, tahap ketamadunan rakyat yang cukup tinggi sekarang ini memerlukan kepada pemimpin yang juga cukup bertamadun, yakni pemimpin yang bersih, bebas daripada amalan rasuah serta peka terhadap aspirasi semua kaum.

Sehubungan itu beliau turut menggesa ruang kebebasan bersuara dibuka secara adil dan saksama dengan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan sekali gus memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana senario itu adalah satu gambaran besar ke mata dunia tentang kekuatan prinsip demokrasi negara yang terdiri daripada berbilang parti politik.

Dalam pada itu Naib Presiden PKR, Azmin Ali, ketika mengulas agenda perubahan Umno itu dilaporkan berkata, transformasi mestilah didorong oleh wadah dan pemimpin yang percaya dengan perubahan boleh memberi kesan kepada rakyat sejagat. (sumber The Malaysian Insider/AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails