Wednesday, December 16, 2009

Mana Bajet RM12 Juta Rumah Bekas PM? -Mahfuz Omar


KUALA LUMPUR, 15 Dis: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, Kerajaan telah membina rumah bernilai RM12 juta untuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam perbahasan hari ini mempersoalkan, dari manakah bajet itu diperolehi. Ini kerana, ia tidak pernah dibentang dalam Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan.

Rujukan, sila klik tulisan lalu...

Vientiane: Cheng Chu Sian Peroleh Pingat Emas..

SUKAN
PANAHAN EMAS... Pemanah negara Cheng Chu Sian ketika beraksi pada acara Recurve 70m individu lelaki akhir sempena Sukan SEA ke-25 di Lapang Sasar, Kompleks Sukan Nasional di Vientiane, hari ini. Pada acara itu, Cheng memperoleh pingat emas. Beliau berjaya mengumpul 113 mata bagi meraih emas untuk mengatasi saingan dari pemanah Myanmar, Zaw Win Htike yang mendapat perak dengan mengumpul 105 mata. --fotoBERNAMA

BAGAIMANA sukan atau hiburan memanah menurut Islam?

Di antara sukan atau hiburan yang dibenarkan oleh syarak ialah bermain memanah dan perang-perangan.

Pertama: Sebab pada suatu masa Nabi pernah berjalan-jalan menjumpai sekelompok sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah, maka waktu itu Rasulullah SAW. memberikan dorongan kepada mereka dengan sabdanya:
"Lemparkanlah panahmu itu, saya bersama kamu." (Riwayat Bukhari)

Kedua: Pertandingan lempar panah itu bukan sekedar hobby atau sekedar bermain-main saja, tetapi salah satu bentuk daripada mempersiapkan kekuatan sebagai yang diperintah Allah dalam firmanNya "Dan bersiap-siaplah kamu untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan yang kamu sanggup." Dalam menafsirkan ayat ini Rasulullah bersabda: "Ketahuilah! Bahawa yang dimaksud 'kekuatan' itu ialah memanah - beliau ucapkan kata-kata itu tiga kali." (Riwayat Muslim)

Ketiga: Sabdanya pula: "Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)

Keempat: Namun begitu, Rasulullah SAW. memperingatkan para pemain agar tidak menjadikan binatang-binatang jinak dan sebagainya sebagai sasaran latihannya, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh orang-orang Arab jahiliah. Abdullah bin Umar pernah melihat sekelompok manusia yang sedang berbuat demikian, kemudian Ibnu Umar mengatakan: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melaknat orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran memanah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dilarangnya permainan seperti itu kerana terdapat unsur-unsur penyiksaan terhadap binatang dan merenggut jiwa binatang serta memungkinkan untuk membuang-buang harta. Tidak benar kalau permainan manusia itu dengan mengorbankan makhluk hidup yang lain.

Kelima: Justru itu pula Rasulullah SAW. melarang mengadu binatang seperti yang dilakukan orang-orang Arab dahulu, iaitu mereka membawa dua ekor domba atau sapi kemudian diadu sampai mati atau hampir mati. Lantas mereka senang dan tertawa. Para ulama berkata: "Bahawa prinsip dilarangnya mengadu binatang, kerana terdapatnya unsur menyakiti dan melumpuhkan binatang tanpa faedah, tetapi hanya sekedar bermain-main."

Jadi sukan seperti laga kerbau, ayam, pertandingan lumba kura-kura (yang pernah dipertandingkan oleh tokoh-tokoh masyarakat di Kedah sebelum pemerintahan Pakatan Rakyat dulu dengan membakar ekornya supaya sakit dan kuat lari) atau lain-lainnya demi hak asasi binatang, adalah dilarang oleh agama Islam. (IH)

Lihat sebelum ini...


Aku Ingin Jadi Penembak Tepat..

Buang Susu, Rugi Lebih RM20,000, Lebih Minat Ambil Produk Luar?


Buang 13,500 liter susu lembu ke lubang. Mengapa? -fotoBERNAMA

MUADZAM SHAH: Pengarah Urusan syarikat tenusu, First Dairy Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Muhammad Alwi Abdullah tidak terdaya membendung air matanya selepas melihat produk keluarannya terpaksa dibuang begitu saja.

Muhammad Alwi berkata, beliau terpaksa berbuat demikian selepas susu segar keluaran 380 ekor lembu di ladangnya tidak diterima oleh dua syarikat pengeluar produk tenusu terkenal di negara ini atas alasan rosak dan dicemari bakteria.

"Selepas produk kami ditolak, kami melakukan beberapa ujian dan mendapati susu ini masih elok," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dakwanya, sejak dua bulan lepas, sebanyak 91,500 liter susu lembu segar dengan nilai RM228,750 terpaksa dibuang. Katanya, kira-kira 19,000 liter susu yang masih berada dalam tangki simpanan di ladangnya di KM 81, Jalan KuantanSegamat juga mungkin mengalami nasib yang sama sekiranya ditolak syarikat pengeluar tersebut.

Muhammad Alwi berkata, sejak ladang ternakan itu dibuka satu setengah tahun lepas, ini pertama kali produk keluarannya ditolak.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan mereka (syarikat pengeluar), tetapi mereka mahu kita menurunkan harga. Namun kita tidak berupaya berbuat demikian kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi selain membayar upah pekerja dan pelatih usahawan," katanya.

Justeru dakwanya, syarikat pengeluar terbabit kini lebih berminat untuk mengambil produk susu dari luar negara terutama Australia dan New Zealand.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggubal dasar menghadkan import produk tenusu luar negara bagi membantu industri tenusu tempatan. - BERNAMA

Tuesday, December 15, 2009

Sokong, Mansuh Saja RM10 Konvensyen Blogger PAS



SEBAGAI tanda penghargaan kepada bloger-bloger PAS dan penyokong PAS, mansuh saja bayaran RM10 bagi menyertai konvensyen tersebut. Apa ruginya kalau buat kenduri minum sikit? Blog Ibnu Hasyim sokong tulisan dan pandangan 'Nan Binjai' (Adnan Ibrahim) itu...
Lanjut klik di sini..
Dimana setitik penghargaan PAS kepada blogger, mansuh sahaja RM10

Konvensyen Blogger PAS 2009

Tarikh : 20 Disember 2009 (Ahad)
Tempat : Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar
Masa : 8.00 pagi-2.00 petang
Pendaftaran:RM10.00

Peserta
1. Blogger PAS dan Blogger penyokong PAS (atas jemputan dan daftar melalui email).
2. Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Pusat
3. Ketua dan Setiausaha Penerangan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat Pas Pusat
4. Pengerusi IT Dewan Ulamak, Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat.
5. Ketua Penerangan dan Setiausah Penerangan negeri-negeri.
6. Pengerusi IT Negeri-negeri.
7.Ketua Penerangan dan Setiausaha Pas Kawasan-Kawasan
8. Ketua/Setiausaha Lajnah Penerangan Dewan Ulamak,Dewan Pemuda, Dewan Muslimat Negeri-Negeri
9.Ketua/Setiausaha Lajnah Penerangan Kawasan-Kawasan.

Harap maklum. Terima kasih.

Sila lihat... Blogger Sokong PR Bagai Melukut Di Tepi Gantang.

Pertamakali Bajet 2010 Lulus Dgn Majoriti 3 Undi

KUALA LUMPUR, Dis 15,09: Bajet 2010, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tadi.

Ia berlaku apabila bajet 2010 itu dibuat bacaan untuk kali ketiga dan diluluskan lewat malam tadi. Ia menjadi ujian besar kepada kredibeliti Najib kerana ini adalah bajet pertama yang beliau bentangkan.

Peristiwa ini juga adalah yang pertama kali berlaku apabila satu bajet diluluskan dengan perbezaan undi yang sangat tipis. Jika ditolak, ia membawa implikasi besar terhadap kerajaan pimpinan Umno itu.

Semasa undian dibuat peringkat Jawatankuasa untuk Kementerian Dalam Negeri, iaitu kementerian yang terakhir yang dibahaskan, ia hanya diluluskan dengan majoriti satu undi sahaja.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan beberapa menteri kebinet bergegas ke Parlimen malam tadi bagi mengundi untuk bajet keseluruhan.

Najib bergegas ke Parlimen selepas berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini malam tadi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga bergegas ke Parlimen dari lokasi majlis tersebut.

Kini, BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat manakala PR 82 manakala tiga yang lain adalah Bebas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usulnya mencadangkan agar bajet itu dikaji balik kerana ia sudah tidak realistik lagi setelah pendapatan Petronas merudum sebanyak RM58 bilion iaitu 37.5 peratus berbanding tahun lalu.

Sedangkan, katanya, bajet 2010 terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas iaitu sebanyak 40 peratus. Oleh itu bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri itu perlu ditarik balik kerana ia sudah tidak relevan lagi.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad (gambar di atas), perbahasan bajet tersebut sebagai suatu perbahasan yang tidak sempurna serta gagal menggamit keyakinan para Ahli Parlimen yang hadir.

"Perbahasan itu selesai dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakyakinan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelasnya, 66 sokongan berpihak pada kerajaan dan 63 sokongan berpihak pada pembangkang tersebut bukanlah perkara pokok untuk menilai 'Bajet Sulung Najib'.

"Pokoknya, ia bukan persoalan undi itu terbelah (dengan) 63 (menyokong pembangkang) lawan 66 (menyokong kerajaan) walaupun ianya nampak agak sengit," katanya.

"Ianya terlalu bergantung pada mereka yang hadir dan tidak ke parlimen, kalau (Ahli Parlimen) pembangkang yang lebih banyak sertai Parlimen, tentunya sokongan berpihak pada pembangkang."

Sebaliknya, beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP) mengajak semua pihak melihat inti kelemahan dalam 'Bajet Sulong Najib' itu.

Katanya, kelemahan yang dimaksudkan pada perbentangan Najib yang juga Menteri Kewangan adalah soal pengurangan RM58 bilion wang Petronas yang sepatutnya diterima dalam suku akhir tahun ini.

"Yang lebih penting, lihat pada kelemahan Bajet (seperti) kerajaan kehilangan RM58 bilion hasil Petronas...menggambarkan Najib lemah untuk menjadi Menteri Kewangan," ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan dan rakyat sepatutnya mengambil perhatian dengan Usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Bajet 2010 dinilai semula.

Beliau turut berpandangan bahawa 'Bajet Sulung Najib' akan menemukan kegagalan disebabkan kelemahan kerajaan dalam menghitung pendapatan dan perbelanjaan yang sewajarnya.

"Bajet adalah soal pendapatan dan perbelanjaan...tentunya bajet (yang) defesit akan terus melebar kerana jangkaan awal (Bajet 2010) pun sudah memperlihatkan tidak tepat," katanya. (Harakahdaily.net/AK)

Hudud, Negara Islam & Karpal Singh -Nik Aziz

DIS 15, 09. PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud kerana ia sebahagian tuntutan agama, tegas menteri besar Kelantan.

"Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat.

"Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja," kata Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga mursyidul am PAS, ketika diwawancara Malaysiakini Khamis lalu.

Beliau diminta mengulas pendirian PAS berhubung cita-cita besar parti itu apabila ia secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apabila gabungan didaftarkan.

PAS dan DAP sering bergeser berhubung isu negara Islam dan hudud sehingga memaksa DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu berpayung bawah Pakatan Rakyat bersama PKR selepas kemenangan besar mereka pada pilihan raya umum 2008.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz bagaimanapun positif bahawa perbincangan berterusan berhubung perkara itu antara tiga parti utama tersebut boleh menjernihkan keadaan.

"Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah.

"Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain," katanya.

Diminta mengulas sikap beberapa pemimpin kanan DAP yang agak lantang dengan dua agenda PAS tersebut, seperti pengerusi DAP Karparl Singh, Nik Aziz secara sinis berkata:

"Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

"Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama."


Berikut petikan wawancara berhubung isu tersebut:

Hubungan dalam parti-parti Pakatan, selalu muncul isu hudud, kerajaan Islam. Setakat mana PAS sebagai parti yang perjuangkan Islam boleh berkompromi dalam perkara ini, yang selalu menyebabkan perselisihan faham dengan DAP?

Mana ada manusia boleh hidup senang dari muda sampai ke tua. Kadang-kadang kena kudis, doktor pun berkudis juga. Jadi, lumrah alam dan dunia memang begitu. Ada syaitan-malaikat, baik-jahat, syurga-neraka.

Tidak usahlah perkara ini. Hendak sebut, (sila) sebut. Tetapi kena dengar jawapan (kami). Kalau kamu seorang sebut, (tetapi) tidak hendak dengar jawapan, mana boleh.

Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah. Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain.

Cumanya, kita masih berpegang dan tidak akan berkompromi dengan idea negara Islam, dengan hudud?

Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat. Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja. Sembahyang pun kalau tidak betul cara ibadatnya, ditolak Allah.

Bagi kami (sebagai) pejuang Islam, semua kerja itu ibadat. Hatta ceramah pun ibadat. Orang hendak bagi duit minyak, bagi. Tidak beri, maka cicah roti denga budu. Biasalah dalam PAS ini, kerana kami dapat pahala.

Orang tolak Islam dapat pahala apa? Kita doa, itu (juga) ibadat. Orang Umno berdoa juga, doa dengan allah, Allah mana hendak terima (doa, sebab) kamu tolak Islam.

Bagaimana hasrat ini hendak jadi kenyataan sebab dalam DAP misalnya, orang mudanya agak OK tetapi orang lama macam pengerusinya Karpal Singh itu nampak keras sikit.

Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama.

Apa boleh buat? Nabi Muhammad dulu, bapa saudaranya Abu Talib membela baginda, tetapi dia tidak turut Islam. Apa boleh buat?

(Membaca hadis) Nabi kata, baginda ajar bapa saudaranya mengucap (dua kali syahadah), tetapi dia (Abu Talib) kata: 'kalau aku mengucap, aku malu.'

Malu (sebab) bapa saudara turut (ajaran) anak saudara. Biasanya anak saudara yang ikut bapa saudara. (Abu Talib kata,) 'tidak mengapalah, biar aku masuk neraka daripada tanggung malu.' Ada juga orang sebut macam itu.

Habis itu, kita akan terus beri nasihat? Berbincang?

Ya, nasihat, sebut, bincang. Saya suka sangat kalau orang tanya saya. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Tidak boleh jawab, saya kata tanya orang lainlah, saya tidak berapa faham. (Sumber: Malaysiakini/AK)

Nik Aziz Sudi Dilantik 'Pemimpin Rohani' Pakatan


MENTERI Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.

Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

"Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

"Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya. (Sumber: Malaysiakini/AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails