Thursday, December 24, 2009

Baling Batu Di Poster Sultan Abdul Hamid Turki

CATATAN PERJALANAN TURKI (1)

ikincihamid1.jpg

SULTAN ABDUL HAMID II (Memerintah 1876-1909)

yildiz.jpg

Istana Yildiz

titah.gif


diariabdulhamid.jpg


sirkeci.jpg

Stesyen Keretapi Sirkeci

SULTAN ABDUL HAMID II:Dari Istana Yildiz ke Pembuangan di Salonika

“BETULKAH cikgu, Sultan Abdul Hamid ni jahat dan Ataturk ni baik?”, saya bertanya kepada guru mata pelajaran Sejarah semasa di Darjah 6.

“Kenapa?”, cikgu bertanya balik kepada saya.

“Saya tengok, muka Sultan ni baik. Muka Ataturk yang pelik sikit”, saya cuba mengungkapkan apa yang saya lihat di buku teks kami itu.

“Entahlah, cikgu mengajar apa yang ada di dalam buku”, cikgu saya mengalah. Dia tidak mahu saya memanjangkan persoalan itu. Ia kekal tidak berjawab sehinggalah hampir sedekad selepas itu, saya tiba di Turki.

Saya agak terkejut semasa melalui kawasan Pendik untuk ke rumah Adnan Bey. Sekumpulan lelaki pertengahan umur membaling batu ke poster yang terlekat di tembok jalan.

Ia adalah poster Sultan Abdul Hamid. Wajah yang saya saya lihat di buku teks dahulu. Kini wajah itu dibaling batu. Kenapa mereka bertindak begitu? Hati saya begitu tersentuh. Sultan Abdul Hamid dibenci oleh ramai orang sejak di zaman hidupnya, sampailah ke hari jasa dan baktinya mahu dikenang di dalam sebuah seminar yang diposterkan. Walhal, setiap kali saya membaca mengenai beliau, saya semakin sebak dan kecewa kepada suatu fitnah besar-besaran, bahawa Sultan Abdul Hamid itu digelar sebagai Sultan Merah, Pemerintah Kuku Besi dan pembazir wang negara untuk kelas piano anaknya, dan 1001 lagi tohmahan dunia kepadanya.

Mengapa engkau dibenci begitu sekali oleh manusia dunia ini?

Sesungguhnya perbuatan lelaki itu yang membaling batu kepada poster Sultan Abdul Hamid II, menghilangkan ceria saya ketika tiba di rumah Adnan Bey, guru sejarah saya di Turki.

“Hasrizal, Sultan Abdul Hamid telah membayar harga yang mahal untuk Islam dan Ummah. Saya yakin negara kamu juga ada kesan dakwah Sultan Abdul Hamid. Seruan Pan-Islamism baginda, tersebar ke seluruh ceruk rantau alam. Malaysia juga tidak terkecuali”, Adnan Bey cuba mententeramkan saya sambil menuang cay panas ke cawan.

Ya, memang dakwah Sultan Abdul Hamid sampai ke Tanah Melayu. Namanya disebut di dalam khutbah Jumaat. Datuk nenekku mendoakannya ketika Khilafah retak menanti belah. Baginda menghantar Muhammad Kamil Bey sebagai duta Pan-Islamism ke Kepulauan Melayu. Tetapi nasib Muhammad Kamil Bey tidak baik. Hayatnya tamat di tali gantung di Burma atas alasan mengadakan perancangan untuk mengancam kuasa Koloni British.

Bukan sahaja di Tanah Melayu, seruan Pan Islamism sampai ke Jepun. Maharaja Jepun, Mutsuhito Meiji (1867-1912) telah menghantar jemputan kepada Sultan Abdul Hamid agar mengutuskan mubaligh Islam ke Jepun.

“Kita berdua adalah maharaja empayar Timur. Adalah menjadi kemahuan dan keperluan masyarakat kita untuk saling mengenal dan berhubung baik. Aku melihat kuasa koloni Barat menghantar pendakwah-pendakwah mereka ke tanah airku, tetapi aku tidak bertemu dengan mubaligh agamamu, Islam. Hantarlah mereka ke tanah air ini agar pelajaran agamamu dapat membina hubungan moral antara engkau dan aku”, begitulah surat Mutsuhito kepada Sultan Abdul Hamid.

Seruannya melata dari Ghana hingga ke Korea, melangkau ke Jepun, di tangga istana maharaja. Demi perpaduan umat Islam sedunia, Sultan Abdul Hamid gigih menjalankan tanggungjawab baginda.

Saya minta izin untuk pulang awal. Saya mahu ke Beyazid, melawat makam Sultan Abdul Hamid. Adnan Bey melepaskan saya dengan senyuman.

“Jangan emosi sangat”, katanya sambil melambai kepada saya yang melangkah masuk ke dolmus.

Ketika di Uskudar, mata saya sayup memandang ke Istana Caragan di seberang Bosphorus.

“Baik aku ke Besiktas terlebih dahulu”, saya menukar plan.

Ketika kapal beransur lesu meninggalkan Uskudar, hati saya semakin resah. Kabus musim sejuk yang mengundang mendung di Selat Bosphorus menambahkan lagi perasaan sedih saya yang entah di mana hujung pangkalnya.

Tiba di Besiktas, saya mengambil bas untuk ke Istana Yildiz. Selalunya saya ke sana kerana mahu membaca buku. Tetapi kali ini saya bagai kebingungan terpukau untuk ke sana meredah sejuk tengah hari itu. Semata-mata kerana jiwa saya yang luka ketika melihat poster Sultan Abdul Hamid dibaling batu. Saya menapak laju ke Istana Yildiz, seperti mahu memberitahu kepada Sultan betapa jahil dan zalimnya rakyat baginda bertindak sedemikian rupa.

“Beritahu mereka Tuanku, bahawa mereka sudah tersilap. Penghinaan mereka kepadamu adalah suatu kesilapan yang besar”, saya terkumat kamit sendirian.

Akhirnya saya tiba di Masjid Hamidiye Yildiz. Ia terletak tidak jauh daripada pintu masuk istana.

“Ayahanda lihat, orang ramai sudah mula memuji kecantikan rupa parasmu. Mulai hari ini ayahanda mahu anakanda memakai hijab yang sempurna kerana anakanda sudah menjadi wanita dewasa”, saya bagai terngiang mendengar suara Sultan Abdul Hamid kepada anaknya Aishah semasa mereka melintas di hadapan Masjid Yildiz ini.

Saya tunduk.

Di hadapan masjid ini, terlalu banyak yang telah berlaku. Baginda Sultan Abdul Hamid pernah cuba dibunuh ketika bom diletakkan di kereta kuda baginda. Pengeboman itu berlaku sejurus selepas solat Jumaat. Allah masih mahu Sultan Abdul Hamid bertakhta memimpin umat.

Di hadapan istana ini, baginda sering mengerjakan solat dan keluar menyapa rakyat yang dekat di hati baginda. Di situ juga, baginda yang menunggang kereta kuda bersama anaknya Aishah, menitahkan agar anaknya bertudung sempurna kerana usik-usik mereka di jalanan adalah petanda kedewasaan puteri baginda Aishah Osmanoglu.

Saya mengerjakan solat Tahiyyatul Masjid di tengah-tengah dewan. Masjid sepi. Hanya ada beberapa orang tua yang bongkok menatap mushaf usang di tingkap masjid mencari sedikit cahaya.

“Ya Allah, apakah yang telah berlaku kepada umat ini?”, saya menadah tangan memohon jawapan dari Allah.

Dari pintu masjid, saya merenung sayup-sayup istana kayu Yildiz. Ia adalah kediaman baginda Sultan Abdul Hamid, selepas berpindah meninggalkan kemewahan kaum keluarganya yang sebelum ini bermastautin di Istana Dolmabahce. Engkau benar-benar pemimpin yang terpuji…

“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Aku boleh lari ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul”, saya membaca kembali diari Sultan Abdul Hamid yang tergenggam di tangan.

Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.

Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.

“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.

Tiada simpati di wajah mereka.

“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.

Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.

“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.

“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.

Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.

“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu.

“Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.

“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.

Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.

Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”, azan berkumandang di puncak menara Masjid Hamidiye di Istana Yildiz itu.

Saya tersentak dari lamunan. Lengan baju saya basah mengusap air mata yang semacam tidak mahu berhenti. Pahit sungguh kenangan peristiwa malam itu.

Diari Sultan Abdul Hamid yang diterjemahkan oleh ahli sejarah Mesir yang saya anggap sebagai guru, Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, dikepit di bawah lengan. Saya melangkah lesu ke saf di depan masjid. Dua rakaat Rawatib saya dirikan dengan penuh lemah, menahan kesedihan dan kekecewaan yang sukar saya ungkapkan dengan bicara.

Angin lesu bertiup bersama gerimis salji di petang itu. Pohon-pohon yang tinggal rangka, semacam turut sedih mengiringi perjalanan saya menjejak tragedi penggulingan Sultan Abdul Hamid. Saya berjalan menuju ke Barbaros Bulvari untuk mengambil bas ke Eminonu.

Di Eminonu, saya berdiri sendirian memandang lepas ke Galata di seberang teluk. Bukit itu pernah menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang telah menarik 70 kapal menyeberang bukit dalam tempoh satu malam. Semuanya gara-gara teluk di hadapan saya ini, yang telah dirantai pintu masuknya oleh Maharaja Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Ia mengundang bangga dan syukur.

Tetapi bukan itu yang mahu saya kenangkan.

Saya melangkah menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci, tempat Sultan Abdul Hamid beserta sekalian isteri dan anaknya dihantar pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana buruk milik Yahudi di Salonika, pembuangan negara sebelum seluruh khilafah dimusnahkan di tangan musuh Allah; si Yahudi dan konco-konco Ittihad ve Terakki.

Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan”, kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.

“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.

Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.

Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata.

Saya seperti terpaku melambai baginda pergi.

Saya tinggalkan Sirkeci dan melangkah membawa diri ke stesyen tram. Saya mahu ke Beyazid.

Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.

Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.

“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asthma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa.

Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.

“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudah hilang upaya.

Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.

Selepas turun di Beyazid, akhirnya saya tiba di hadapan makam Sultan Abdul Hamid

“Akhirnya di sini tubuhmu bersemadi. Maafkan saya Tuanku kerana tidak segagahmu untuk mempertahankan Ummah ini”, saya berdiri sepi di dinding makam.

Akhirnya, petang itu saya coretkan kenangan melalui sebuah nasyid yang saya cipta di sisi makam Sultan Abdul Hamid:

catatandibumikhilafah.jpg

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Sebuah taman bernama Daulah
Retak seribu oleh kesombongan bangsa
Seorang khalifah yang gigih memerintah
Mengekang rekah dari terbelah
Bagai terdengar bisikan di pusaramu
“Ya Muslimi al-Aalam, Ittahidu!”
(Wahai Muslimin sekalian alam, bersatulah kamu)

Di sisi persemadianmu
Kuterkenang semalam
Hari-hari indah bahagia
Islam pernah gemilang

Tiada penderitaan
Keimanan pun dirasa
Islam yang gagah bertakhta
Rahmat alam semesta

Langit tidak akan cerah selamanya
Mendung datang bersama gerimis kedukaan
Rebahlah ummah bersama catatan sejarah yang hitam
Kekallah dunia dalam hina selamanya

Bumi Turki menyaksikan pengkhiatan agama
Mahkota negara jatuh gugur berkecai tidak tersisa
Lemaslah ummah dalam pelukan kemajuan yang berdusta
Islam dan al-Quran diperhina terpenjara

Seorang iblis yang durjana
Bertopengkan manusia
Membutakan mata rakyatnya
Dengan janji dunia

Bagai tak punya agama
Hidup membina harta
‘Islam Baru’ yang dicipta
Jauh dari Tuhannya

Manusia yang mulia di bumi yang bahagia
Kau hancurkan sejarah warisan perjuangan mereka
Namun lupakah engkau Islam itu di tangan Tuhannya
Langit tidak akan mendung selamanya

Bumi Turki menyaksikan kebangkitan kali kedua
Menjejaki perjalanan hari-hari semalam yang dilupa
Bersemadilah kau dalam kemurkaan Tuhan yang Esa
Islam akan dikembalikan ke takhtanya

Lagu / Lirik / Nyanyian: Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Dunia Ini (1996)

“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku”, Sultan Abdul Hamid menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.

“Hamba di sini Tuanku”, saya menadah tangan memohon taufik dari-Nya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
15 Oktober 2006 / 22 Ramadhan 1427

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

Wednesday, December 23, 2009

Siapa T/Jawab Bazir Dakwat RM 2.5 Juta? -Dr Hatta Ramli

Dr Hatta ditankap sewaktu demontrasi.

KUALA LUMPUR, 23 Dis09: Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan isu pelupusan dakwat kekal bernilai RM2.4 juta yang tidak digunakan pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu daripada pengetahuan umum.

Dr. Hatta yang merupakan salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, tindakan kerajaan itu jelas berniat untuk menyembunyikan pembaziran yang dilakukan apabila ianya hanya diketahui umum setelah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

"Dalam hal ini kita pun tidak sedar bahawa dakwat ini telah dilupuskan begitu sahaja sehinggalah ia ditimbulkan di Dewan Negara baru-baru ini. Jadi ertinya kerajaan cuba menyembunyikan isu ini. Mereka seboleh mungkin mahu menyorokkan isu ini,"

"Jelas ini satu pembaziran akibat perancangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak bijak dalam merancang perbelanjaan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoal keberkesanan tindakan tersebut sedangkan katanya ianya boleh dijual semula bagi mengelakkan pembaziran.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab di atas kehilangan wang kerajaan sebanyak RM2.4 juta ini dan kenapakah dakwat itu tidak boleh dikembalikan dan tidak dijual semula untuk mengelakkan pembaziran,"katanya.

Perkara ini juga tegasnya menunjukkan Kementerian berkenaaan gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik.

Ini melibatkan KPI Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPR.Kalau dalam kes biasa dalam mana-mana jabatan kerajaan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal dalam merencanakan penggunaan wang kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun dakwat itu telah dilupuskan, BERSIH akan tetap menuntut penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-13 nanti.

"Untuk pilihanraya akan datang, BERSIH akan terus menuntut penggunaan dakwat kekal ini. Kita akan mendesak agar SPR membeli dakwat yang baru dan membenarkan penggunaannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingg tarikh luputnya telah berlalu.

Pada PRU ke-12 yang lalu, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal setelah dituntut BRSIH, namun membatalkannya di saat akhir menjelang hari pengundian atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Namun sehingga sekarang, kerajaan masih gagal membuktikan kebenaran akwaan tersebut malah tida tangkapan spesifik dibuat terhadap individu yang didakwa melakukan kesalahan itu. (Harakahdaily net/AK)

Akhbar AS Merudum, Bukan Kerana Internet -Michael Moore

Dis 23, 09. MEDIA massa cetak AS (Amerika Syarikat) kini sedang hancur merudum dan gulung tikar.. Seperti yang kita ketahui, satu persatu akhbar di sana ditutup. Sebabnya? Jawaban yang paling populer adalah kerana kemunculan internet.

Tetapi bagi Michael Moore (gambar atas), penulis buku dan sutradara filem AS, berpendapat lain. Moore yang selalu membuat filemnya bertemakan kritik terhadap George W. Bush, perang di Irak, kekerasan dengan senjata api, sistem kesehatan, dan lain-lain, menyatakan bahawa matinya surat khabar AS adalah kerana keserakahan dan selalu memberitakan hal yang tidak terjadi (fitnah & bohong).

“Bukan Internet yang telah membunuh surat khabar,” tulisnya, “sebaliknya, surat khabar AS telah membelit leher mereka sendiri."

Moore mengatakan, surat khabar hanya mengejar keuntungan dengan mengorbankan (mengabaikan) pencarian berita. Dengan mendasarkan semata-mata pada bisnis iklan, pemilik surat khabar telah mengabaikan mereka yang sebenarnya merupakan base ekonomi.

Kenyataan Moore menyemarakkan berbagai reaksi, selama ini dipegang oleh media massa AS, yang kebanyakan merupakan orang-orang Yahudi. (Era Muslim/AK)

Hibur Hibur Sikit.. 27 - Jenaka Dari Nottingham.


Kota Melaka lambang penjajahan barat Kristian di alam Melayu & Islam..

Mengapa Portugis Tak serang Utara Semenanjung?

Alkisahnya....
1508
: Afonso de Albuquerque menyampaikan hasratnya kepada Raja portugis King Manuel I untuk meluaskan pegaruhnya ke Asia Tenggara (Melaka pusat perdagangan asia tenggara ketika itu) dan juga laluan penting perdagangan timur barat. Raja Portugis bersetuju untuk menyediakan kemudahan bala tentera 158 buah kapal, 15300 (anggaran) bala tentera


1509
: Portugis menghantar perisik ke Melaka untuk megetahui keadaan kekuatan pertahanan di sana


Oct 1511
: Alfonso berjaya menawan Melaka setelah berhempas pulas melawan 5 pahlawan Melayu terhandal (Hang Tuah, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Jebat dan Hang Kasturi) Ini menjadi mimpi ngeri bagi pihak Alfonso, untuk menawan Melaka serta berlawan dengan 5 Hang bersaudara, mereka perlu mendapat askar tambahan setelah hampir 15,000 orang askarnya terkorban dalam pertempuran selama 6 hari itu dengan 5 Hang bersudara..akhirnya dapat juga menawan Melaka setelah hampir kecewa dan putus asa...

1512: Setahun 12 bulan kemudian Alfonso ingin meluaskan kekuasaannya ke Perlis, Kedah dan P.Pinang, yang pada ketika itu adalah pusat pegeluaran tebu untuk gula rantau ini,... Feb 1512: Alfonso menghantar perisik ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang untuk mengetahui kekuatan bala tentera di sana. Menurut riwayat, perisiknya telah ke kedai kopi sekitar untuk mendapat segala maklumat yang diperlukan.

Selepas seminggu...


Feb 1512
: perisik balik ke Melaka untuk memberitakan hasil risikan kepada Alfonso
Di bawah adalah perbualan percakapan antara perisik dengan Al fonso yang selama ini cuba disembunyikan dalam buku sejarah

Perisik 1,2,3
: Selamat pagi tuan (sambil bertabik)

Alfonso
: Selamat pagi

Perisik 1
: Begini lah tuan, lupakan saja niat tuan untuk menawa Perlis, Kedah dan Pulau Pinang

Alfonso: Kenapa kuat sangat kah mereka itu..? ( dengan nada marah dan bongkak)
Perisik 2
: Untuk menawan melaka yang mempunyai 5 pahlawan terhandal Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu pun kita kehilangan hampir 15 ribu bala tentera, inikan pula kita nak menawan Perlis, Kedah dan P.Pinang yang mempunyai beribu ribu hang..

Perisik 3
: Betoi tu tuan...antaranya
hang sihat ka, hang buat apa, hang apa habaq, hang lagu mana, hang pi mana, hang tidoq ka, hang singgah dulu, bapak hang, mak hang, adik hang, tok hang, ....macam macam lagi hang ada kat sana..... Mendengar hasil risikan itu Alfonso pun tak jadi nak pi serang disebabkan pengalamannya sebelum ini bersama 5 pahlawan melayu Melaka amat ngeri......ini kan pula nak berhadapan beribu ribu hang kat situ.

(muahahahahas)

Sekadar jenaka.

Yang bukan jenaka ialah..

kewujudan Kesultanan Aceh di utara Sumatra telah menyelamatkan bumi Semenanjung. Serangan kerajaan Aceh pada ketika itu telah meyibukkan 'Benggali Putih' ini, dan ini secara tidak langsung menghalang Portugis daripada terus menjajah Semenanjung Tanah Melayu. Kesultanan Aceh telah terus menegakkan kerajaan Islam dengan nilai2 murninya, hingga menjadikannya pusat tumpuan pedagang selepas jatuhnya kesultanan Melayu Melaka. Kerajaan Aceh menggabungkan dirinya dengan Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda, Aceh gagah sebagai pusat ilmu di rantau Nusantara. Ramai ulama2 pada zaman ni terus berusaha nak sebarkan ajaran Islam yang adil dan saksama itu kepada seluruh bangsa manusia. Islamnya Muslim di kawasan Nusantara pada hari ini berkat kesungguhan ulama2 ini menyampaikan Islam untuk semua.

Namun, kini segala-galanya telah berubah.


Menangis, kalau tidak bersama Islam & khianati perjuangan Islam sebelumnya..

Aceh masih lagi menangis. Aceh masih lagi derita. Aceh terus sengsara. Kesian kat orang Aceh sekarang. Mengapa sampai begitu sekali ujian Allah menimpa? Walaupun sudah lebih dua tahun tsunami 2004 berlalu, jangan kita senang-senang melupakan peristiwa tu. Masih banyak yang boleh kita fikirkan, ambil iktibar dan lakukan sesuatu untuk membantu. Jangan tunggu tarikh 26 Disember baru nak mengenang kembali kisah tsunami sebagai iktibar kepada kita. Bila sudah 27 Disember, dah tak rasa apa2...

Enjin Hilang: Mengapa PM Cuba Rahsiakan Sebelum Ini? -Idris Ahmad


Oleh Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakan Jawatan serta merta berhubung kes kehilangan enjin pesawat pemintas F5E. PAS memandang serius kes yang berlaku pada tahun 2007 iaitu ketika Najib masih lagi Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Selaku Menteri beliau bertanggungjawab penuh diatas kecuaian terbesar yang berlaku dalam sejarah pentadbiran Kementerian Pertahanan. Sewajarnya beliau meletakan jawatan pada tahun 2008 iaitu ketika kehilangan enjin berkenaan disedari hilang bagi memberikan laluan kepada siasatan menyeluruh kes ini.

Jelas beliau cuba merahsiakan perkara ini dari rakyat bagi memastikan laluan mudah agar dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kelicikan politik beliau dalam menyembunyikan kes ini jelas memperlihatkan agenda beliau itu.

Kes kehilangan ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah simbolik disebalik kegagalan sistem pertahanan negara dibawah pentadbiran Najib.

Dibawah pentadbiran Najib, kita sudah lali mendengar kisah ruang udara negara diceroboh, helikopter nuri terhempas, kapal terbang terhempas, dan juga kisah-kisah perbelanjaan Kementerian Pertahanan yang dihalang untuk di Audit oleh Jabatan Audit negara.

Keselamatan negara merupakan tanggungjawab terpenting sesebuah kerajaan. Bagaimana rakyat dapat hidup dengan aman bila mana sistem keselamatan negara dilihat terlalu rapuh ekoran wujudnya pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan masa depan politik peribadinya.

Zaman Najib menjadi menteri pertahanan juga menyaksikan munculnya projek Angkawan Negara yang berakhir dengan kisah Pelancong Angkasa. Program Latihan Khidmat Negara juga dicipta dengan begitu banyak tragedi sedangkan manfaat yang diterima kurang dari 10 peratus dan masalah sosial generasi muda hari ini kian membarah. Zaman beliau begitu banyak kecuaian, kerugian, penipuan dan pembaziran.

Oleh itu PAS tegas, agar Najib meletakan jawatan. Jika 2 unit enjin pesawat yang besar boleh hilang dari kawalan pasukan keselamatan negara, esok lusa apa pula yang hilang jika Najib masih kekal menjadi Perdana Menteri

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Komen Blog Ibnu Hasyim: Lain kali kalau nak naik kapal terbang kena cek injin dulu.. Bahaya ooi!!

Malam Ini, Penentuan Dr Hasan Ali -Tuan Ibrahim Tuan Man



PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang akan bermesyuarat malam ini bakal menentukan nasib Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, beliau berharap isu berhubung siasatan berkenaan tidak diperbesarkan bagi menjaga maruah dan kepentingan parti.

"Insya-Allah kami akan bermesyuarat malam ini bagi meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan dalam siasatan ini.

"Kami akan sama-sama mengkaji semua butiran yang ada dengan teliti bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak," katanya ketika ditemui mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya ke atas beberapa pemimpin PAS Selangor.

Menurut beliau jawatankuasanya akan mengadakan mesyuarat pada pukul 9 malam ini di Ibu Pejabat PAS Pusat.

Jawatankuasa disiplin berkenaan dianggotai lima orang ahli.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus bagi memastikan keadilan untuk semua pihak.

Malah jelasnya, siasatan yang adil juga akan mencerminkan imej dan maruah parti.

"Saya harap semua pihak bersabar, jangan buat sebarang andaian kerana kami berjanji akan menjalankan siasatan dengan adil dan telus.

"Kita harus ingat, apa jua tindakan dan keputusan badan disiplin ini akan mencerminkan maruah parti," katanya.

Menurutnya jika Hassan dan beberapa pemimpin lain yang disiasat itu didapati bersalah, mereka masih mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan dan membela diri.

"Terpulang kepada hasil siasatan nanti, setakat ini hanya diperingkat pertuduhan, kalau benar-benar ada kes nanti baru kita akan panggil Datuk Hassan dan yang lain-lain itu untuk memberikan keterangan," katanya. (mSrar Online))

Pembunuhan Kejam, Siapa Hilang Anak Hubungi Polis


Seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney pagi semalam. – Gambar Ehsan pembaca Utusan

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Belum pun kematian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin dua tahun lalu luput daripada ingatan masyarakat – hari ini seorang lagi kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pembunuhan kejam. Menurut beberapa akhbar tempatan hari ini.

Mayatnya dengan kesan leher dijerut ditemui di ibu negara kira-kira pukul 11.30 pagi ini. Lebih sadis lagi, mayat kanak-kanak malang tersebut ditemui terapung dipercayai dicampak dalam kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney di Jalan Semarak di sini.

Mangsa berumur dalam lingkungan 11 hingga 13 tahun dipercayai dirogol. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kanak-kanak itu yang berkulit gelap mempunyai ketinggian kira-kira 1.2 meter.

Ketika ditemui, kata beliau, mangsa hanya memakai baju tidur tanpa seluar dalam. Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati, leher mangsa telah dijerut ketat dengan sehelai kain. “Mayat kanak-kanak itu dipercayai dicampak ke kolam tersebut dalam tempoh 24 jam lalu. Selain kain itu, kita tidak menemui objek lain yang boleh dikaitkan dengan pembunuhannya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak malang itu yang ditemui oleh tiga pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikeluarkan dengan bantuan skuad penyelamat pihak berkuasa tempatan itu. Menurut Zakaria, identiti mangsa masih belum diketahui dan polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis akan memperincikan siasatan selepas laporan bedah siasat diterima. Sehubungan itu, pihak polis meminta sesiapa yang kehilangan anak perempuan supaya menghubungi polis Sentul di talian 03-26102222 atau balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.(AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails