Wednesday, December 30, 2009

Erma Fatima, Lrg Hj Taib & PAS

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Sebut sahaja Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur, pasti terbayang suasana kehidupan gelap penghuninya yang terdiri daripada golongan gelandangan serta marhaen, anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan mak nyah.

Melihat sendiri realiti kehidupan komuniti di Lorong Haji Taib, pelakon dan pengarah terkenal tanah air, Erma Fatima mendapat inspirasi untuk mengangkat permasalahan sosial yang telah sekian lama bersarang di lorong berkenaan ke dalam drama 'Tersasar Di Jalanmu'.

Kekuatan drama yang terletak pada nilai kemanusiaan, kekeluargaan dan paparan kasih sayang yang ditonjolkan itu akhirnya melayakkan ianya diangkat sebagai karya terbaik di Anugerah Skrin 2009 (ASK 2009), baru-baru ini.

Kemenangan itu didedikasikan khas kepada komuniti yang tinggal di lorong berkenaan yang merupakan golongan yang tidak seharusnya disisihkan, sebaliknya perlu didekati dan diselami perasaan dan naluri mereka.

Sebagai menghargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh warganya sepanjang pembikinan drama berkenaan, satu majlis jamuan penghargaan diadakan khas untuk mereka di Lorong haji Taib malam tadi.

Harakahdaily merupakan salah satu media yang diundang untuk sama-sama meraikan golongan yang kurang berasib baik itu. Biarpun dalam keadaan yang sederhana, namun majlis berkenaan tetap meriah dengan kehadiran warga lorong Haji Taib termasuk kira-kira seratus anak-anak dari Rumah Nur Salam, iaitu sebuah pusat aktiviti dan rumah perlindungan untuk kanak-kanak di Chow Kit.

Dihadiri barisan pelakon yang menjayakan drama berkenaan, majlis malam tadi diisi dengan persembahan berbentuk Islamik seperti nasyid dari kumpulan Brothers dan penasyid solo yang sedang mencipta nama, Muaz yang juga anak kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor dari PAS, Dr. Dzulkifli Ahmad.

Majlis turut diserikan dengan selawat dari anak-anak Rumah Nur Salam selain acara tayangan drama berkenaan yang sebahagian besar lokasi penggambarannya dibuat di Lorong Haji Taib. Erma ketika ditemui harakahdaily semasa majlis berkenaan,mengakui bahawa perubahan terhadap komuniti di lorong berkenaan tidak akan berlaku dalam sekelip mata namun beliau yakin dengan bantuan pemimpin-pemimpin yang mahu melihat perubahan positif terhadap komuniti ini, lorong yang sudah sebati dengan segala macam gejala sosial itu dapat dibersihkan.

"Perubahan tidak boleh dibuat dengan mendadak, tapi harus dibuat perlahan-lahan dan setiap perubahan itu kena betul caranya.Tidak boleh ada paksaan sebab mereka yang tinggal di sini pun bukan mereka yang baru tinggal sehari dua.

"Saya percaya pemimpin-pemimpin tahu caranya untuk secara perlahan-lahan membersihkan tempat ini menjadi tempat yang biasa, bukan lagi lorong gelap," katanya yang telah banyak mengarahkan drama, filem dan teater yang memberikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat.

Ditanya samaada beliau sedia berkerjasama dengan PAS dalam manjalankan program kemasyarakatan, Erma berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan.

"Sebenarnya kita perlukan sokongan daripada mana-mana pihak.kita tidak ada masalah dalam usaha itu dan saya tidak meletakkan politik itu sebagai halangan atau politik itu sebagai satu keharusan kerana dalam hal membantu masyarakat ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

"Cuma kalau ia dilakukan secara berkumpulan, sudah tentu kita lebih kuat dan lebih mudah.Soal nak bekerjasama dengan ahli politik,dengan NGO atau nak bergerak sendiri, ia agak subjektif asalkan ada usaha," katanya mengakhiri perbualan.

Drama "Tersasar Di Jalanmu' berkisar kepada permasalahan sosial yang bermaharajalela di kawasan Lorong Haji Taib terutamanya di kalangan orang Melayu. Drama itu turut mempamerkan watak seorang kanak-kanak perempuan, Ayu yang mempunyai semangat dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang Menteri demi mengubah kehidupan penghuni Lorong Haji Taib.

Turut hadir pada majjlis berkenaan, Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusuf. Sementara itu, Ahli Parlimen PAS, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang pada awalnya merancang untuk bersama-sama pada malam tadi tidak dapat berbuat demikian akibat faktor kesihatan.

PAS dan Lorong Haji Taib

Lorong Haji Taib sudah menjadi sebahagian daripada tangungjawab PAS memandangkan Pejabat parti itu terletak di kawasan berkenaan. Sejak mula operasi berpindah dari Markaz Taman Melewar ke Lorong Haji Taib, PAS seolah-olah sudah sebati dengan kehidupan penghuninya malah usaha mendekati mereka dilaksanakan dari awal lagi.

Pelbagai program direncanakan sebagai langkah membantu golongan ini. Usaha kebajikan yang popular di kalangan gelandangan di kwasan sekitar dan menjadi rutin wajib bagi kakitangan pajabat PAS ialah pemberian nasi percuma pada setiap Jumaat. Sudah hampir dua tahun rutin itu berjalan malah sudah menjadi sesuatu yang mesti kepada golongan ini untuk menjengah pejabat PAS setiap jam enam petang Jumaat untuk mendapatkan sebungkus nasi tanpa perlu bersusah payah mencari sumber lain untuk hari itu.

Selain rutin wajib itu, beberapa program lain turut diadakan diadakan di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS. Terbaru, pada Ramadhan lalu, hampir sehari lajnah ini menyantuni penghuni Lorong Haji Taib. Bermula jam 2 petang dengan membuka kaunter pemeriksaaan kesihatan dan nasihat guaman dan beberapa kaunter lagi sehinggalah kepada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan raya kepada mereka.

Usaha-usaha murni ini walaupun tidak seratus peratus membawa perubahan kepada penghuninya, namun sedikit sebanyak ianya memberi kesan kepada kehidupan mereka. Para pimpinan dan petugas PAS pula sudah semestinya tidak pernah berputus asa dalam menyantuni golongan ini malah akan meningkatkan usaha untuk membuat perubahan kepada persekitarannya. (Harakah/AK)

Ada kaitan...

Cari Salah Ulama Atau Menasihat... Dr Yusuf Al-Qardhawi


by abuhura1rah in Syubhat dan Jawapan.

Antara Mencari Kesalahan Ulama Dan Memberi Nasihat

Daripada Tamim ad-Dari radiyallahu ‘anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

Agama itu adalah nasihat. (beliau mengulangnya 3 kali) kami berkata, kepada siapa ya Rasulullah? Beliau menjawab, ‘Bagi Allah, kitab-kitabnya, Rasul-Nya, imam-imam kaum muslimin dan seluruhnya.” (HR Muslim no. 7 Jami’ul ‘Ulum Wal HIkam)

Nasihat memiliki beberapa ragam dan bentuk. Ada yang berupa kata-kata berhikmah dan lembut, ada pula yang berbentuk kata-kata keras yang dianggap pedas. Memberi nasihat adalah tugas para ulama, du’at (pendakwah-pendakwah) dan orang-orang yang mampu untuk menyampaikan nasihat apabila terjadi perkara kemungkaran dalam rangka amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Perlukan Peringatan Diberikan Dengan Menggunakan Bahasa Yang Kasar?

Sebahagian orang menyangka bahawa memberi nasihat adalah menggunakan bahasa yang sopan dan lembut, diibaratkan seperti apabila memijak semut tidak akan mati dek kerana kelembutannya!!! Jelas ini pemikiran yang salah. Tidakkah mereka melihat sunnah Nabi apabila melihat kemungkaran atau kesalahan di depannya, beliau memberikan nasihat mengikut kadar yang diperlukan apakah perlu dengan lemah lembut atau tegas (dengan bahasa yang lain bahasa yang keras).

Contoh pertama: Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menasihati orang arab badwi yang kencing di masjid, nabi menyampaikan dengan cara yang lembut sedangkan para sahabat yang berada di sekeliling beliau menahan kemarahan terhadap lelaki itu.

Contoh kedua: Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam memarahi Muadz bin Jabal kerana mengimami solat dengan lama sehinggakan hal tersebut diadukan kepada Nabi.

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, ‘Seorang mukmin terhadap mukmin lainnya bagaikan kedua tangan, salah satunya mencuci tangan yang lain namun boleh saja kotoran (yang melekat di tangan) tidak dapat hilang kecuali dengan cara (pembersihan) yang kasar/keras. Namun (cara keras) seperti itu benar-benar mendatangkan kebersihan dan kehalusan pada tangan yang membuat kita memuji cara yang kasar tersebut.’ (Majmu’ al-Fatawa, dinukil dari Obyektifitas Dalam Mengkritik, Syaikh Rabee’ al-Madkhali )

Perumpamaan yang dibawakan oleh Syaikhul Islam di atas menunjukkan perlunya memberi nasihat dengan bahasa yang keras dalam rangka memperbaiki keadaan orang yang dinasihati dan umat sekeliling.

Daripada Aisyah radiyallahu ‘anha, ‘Seorang lelaki meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka beliau berkata,

Izinkanlah lelaki tersebut masuk, kerana dia termasuk seburuk-buruk sanak saudara.” (HR Bukhari no. 6032)

Al-Imam Bukhari berhujah dengan hadits ini bahawa dibolehkan mengumpat ke atas orang yang membawa kerosakan dan syubhat sebagaimana di dalam bab di kitab Shahih nya, ‘Ma Yajuzu Min Ightiyabi Ahlil Fasadi War Rihab’ –Bentuk Ghibah yang diperbolehkan terhadap orang-orang yang membawa kerosakan dan peyimpangan-.

Al-Imam Ibnu Hajar berkata, ‘Para ulama berkata, ghibah dibenarkan pada setiap tujuan yang benar dalam syariat...begitu juga apbila seorang pelajar mendatangi seorang mubtadi’, atau seorang yang fasiq dan ditakuti si pelajar tadi mengkuti jejak langkah si mubatdi’ atau orang yang fasiq tadi. Di antara yang boleh dilakukan ghibah terhadap mereka adalah pihak-pihak yang melakukan kefasikan atau kezaliman atau kebid’ahan secara terang-terangan.’ (Fathul Bari Kitabul Adab)

Penulis bukanlah orang yang bebas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan dan tidak pula menjadikan tulisan ini sebagai rujukan muktamad. Semuanya perlu dikembalikan kepada al-Quran dan Sunnah serta dibimbing oleh para ulama ahlu sunnah wal jamaah. Sedangkan mereka telah menyebutkan kesalahan dan penyimpangan al-Qardhawi antaranya:

  1. Sikap meremehkan masalah aqidah (terutama dalam masalah asma’ wa sifat)
  2. Menolak hadits dengan ra’yunya
  3. Meninggalkan sikap wala’ wal bara’
  4. Menghalalkan muzik
  5. Mendahulukan aqal daripada naql

Apabila para ulama memberi nasihat dan tahdzir ke atas Dr Yusuf al-Qardhawi di atas kesalahannya di dalam pelbagai subjek agama baik dari segi aqidah, manhaj, hadits, tafsir dan lainnya, apa yang kita dapat lihat pada hari ini berbeza dengan generasi terbaik umat ini di kurun terawal. Apabila para ulama mutaakhirin memberi nasihat dan tahdzir, ramai golongan baik dari orang awam maupun ustaz dan da’i yang menolak dan bermati-matian membela kesalahan yang telah dilakukan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi sehingga muncullah tuduhan, cercaan ke atas para ulama secara senyap-senyap dan tikaman keras ke atas para du’at salafiyin yang menyampaikan amanah agama kepada umat oleh para antek-antek al-Qardhawi baik golongan hizibiyun dan orang-orang yang mengaku salafi.

Mereka membela al-Qardhawi dengan mengatakan bahawa orang-orang yang men-jarh al-Qardhawi sebagai orang yang berlagak alim berbanding dengan Syaikh al-Qardhawi. Ada pula yang berkata, perbuatan jarh sebagai fitnah, tuduhan, umpatan, mencela dan sebagainya yang mereka rasakan perlu dicopkan ke atas orang yang menjarh atau yang membawakan tulisan-tulisan yang berbau jarh.

Semua ini dilakukan dalam upaya untuk mengesankan (mempengaruhi) umat agar menjauhi jarh ke atas al-Qardhawi dan yang sering mereka bangkitkan adalah semua ini adalah masalah khilafiyah. Juga tidak lari segala cemuhan mereka kepada ustaz atau da’i (yang mengedepankan masalah ini) dengan tujuan untuk mementahkan fatwa-fatwa ulama ke atas al-Qardhawi.

Seterusnya, untuk kita menghadapi isu ini dengan lebih adil dan bersikap terbuka, beberapa perkara yang perlu kita kenal antaranya:

  1. Manhaj ahlu sunnah dalam mengkritik
  2. Kesepakatan ulama ahlu sunnah dalam satu-satu masalah contohnya asma’ wa sifat
  3. Meneliti hujjah kedua-dua belah pihak
  4. Mengembalikan masalah ini kepada ahlinya.

Dengan itu barulah kita selamat dari terjatuh ke dalam perangkap syaitan yang terdiri dari manusia yang menyeru kepada hawa nafsu dan kesesatan sehingga meninggalkan al-Quran dan Sunnah.

Apa yang menduka citakan adalah sikap sebahagian orang yang mengambil fatwa dan ilmu dari Dr al-Qardhawi, mereka mencela orang-orang yang mengkritik beliau baik dari kalangan ulama atau da’i. Lihat saja apabila mereka menuduh ulama-ulama yang mengkritik dengan tuduhan ‘Ulama yang keras’, ‘ghuluw’, tidak bersikap muwazanah, menfitnah dan lain-lain. Ada pula yang menganggap tindakan mengkritik dengan bahasa yang kasar sebagai tindakan yang biadap dan kurang ajar. (Akan ada sedikit catatan mengenai mereka-mereka ini dipembahasan di belakang –InsyaAllah-)

Tuduhan mereka yang berdiri di atas tunjang yang rapuh ini mereka tujukan ke atas pengkritik secara tidak langsung mengena kepada para ulama ahlu sunnah wal jamaah. Sedangkan para ulama tersebut merupakan orang yang menjaga agama ini dari penyelewengan dan penyimpangan sebagaimana di dalam hadits dari Ibrahim bin Abdurrahman al-‘Udzri radiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين

Agama ini akan dipikul oleh setiap orang-orang yang adil pada setiap generasi. Mereka akan menbantah tahrif orang-orang yang menyimpang, penipuan orang-orang yang melakukan kebatilan dan ta’wil orang-orang yang jahil”. (Hadits Shahih riwayat al-Baihaqi, no. 248 Misykatul Mashabih)

Para ulama bangkit membantah penyelewengan al-Qardhawi baik dari segi tulisan dan fatwa-fatwa. Tidak sedikit dari mereka yang membantah al-Qardhawi antaranya:

1. Syaikh Abdulllah Bin Abdullah Bin Baaz (Fatwa mengenai Ikhtilath dan kerjasama bersama dengan Yahudi)
2. Syaikh Muhammad bin Sholeh al-Utsaimin (Fatwa mengenai ucapan al-Qardhawi –Allah menjelmakan rupanya-)
3. Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (Kitab dan Fatwa bantahan terhadap Muzik dan bab riba)
4. Syaikh Muqbil al-Wadi’i (Kitab al-Radd ‘ala al-Qardhawi, al-Radd al-Kawi Fi Iskat al-Kalb al-‘awi Yusuf bin Abdullah al-Qardhawi –Mendiamkan anjing yang menggongong Yusuf bin Abdullah al-Qardhawi)
5. Syaikh Rabee’ al-Madkhali (Banyak fatwa-fatwa Syaikh yang menasihati agar menjauhi karangan-karangan Syed Quthb, al-Ghazali dan termasuk juga al-Qardhawi)
6. Syaikh Yahya Ali al-Hajuri ( Kitab Syar’iyyatud Du’a)
7. Syaikh ‘Ubaid al-Jabiri (Fatwa Syaikh dalam membantah al-Qaidah al-Dzahabiyah)
8. Syaikh Sulaiman al-Kharasyi (Kitab al-Qardhawi Fil Mizan –Pemikiran al-Qardhawi di dalam pertimbangan-)
9. Syaikh Ahmad bin Manshur al-‘Udaini (Kitab Raf’ul Litsam –Membongkar kedok Qardhawi-)
10. Syaikh Sholeh Fauzan al-Fauzan (Kitab al-I’lam binaqdi al-Kitab al-Halal wal Haram)
11. Syaikh Ahmad bin Yahya an-Najmi (Fatwa dan Syaikh banyak memberi sokongan dan dorongan ke atas para ulama dan du’at yang membantah al-Qardhawi dan lain-lain, hal ini kita dapat lihat di dalam muqaddimah buku Raf’ul Litsam)
12. Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Imam (Ta’liq ke atas kitab Raf’ul Litsam)
13. Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab al-Washabi (Ta’liq Kitab Raf’ul Litsam)
14. Syaikh Zaid Bin Muhammad al-Madkhali (Di muqaddimah al-Irhab wa atsarihi ‘ala al-Ifradi Wal Mujtami’)
15. Syaikh Muhammad bin Hadi al-Madkhali (Fatwa Syaikh membantah al-Qardhawi mengenai sikap seorang muslim terhadap orang kafir)
16. Syaikh Shalih bin Sa’ad as-Suhaimi (Fatwa Syaikh terhadap Yusuf al-Qardawi mengenai bukunya Wujudullah)
17. Syaikh Faishol al-Hasyidi (Limadza Taraktu Da’watal Ikhwanul Muslimin)
18. Syaikh an-Naqid Falih bin Nafi’ al-Harabi (Ta’liq ke atas kitab Raf’ul Litsam)
19. Syaikh Nashr bin Fahd (Khulashatu Ba’dho afkar)
20. Syaikh Ali Hasan al-Halabi (Kitab Aqlaniyun)

Semuanya masih di dalam kerangka memberi nasihat dan peringatan supaya orang yang diingatkan (tahdzir), yang dibantah (radd) ingin kembali kepada kebenaran.

Oleh kerana terlalu banyak kesalahan dan penyimpangan Dr al-Qardhawi, maka semakin jelas dan tersebar fatwa-fatwa ulama dalam upaya menjauhkan umat daripada penyimpangan Dr al-Qardhawi. Semua ini dapat kita melihat melalui tulisan-tulisan, fatwa (baik tulisan dan suara) al-Qardhawi dan bantahan ulama tersebut bukannya sekadar mencari kesalahannya seperti yang didakwa oleh sebahagian orang.

Jika ada yang berfikiran bahawa para ulama mengkritik al-Qardhawi dan yang seangkatan dengannya (seperti Ikhwanul Muslimin) sebagai mencari-cari kesalahan, maka ini sikap kebodohan dan kesombongan yang besar. Bahkan menuduh para ulama Ahlu Sunnah bersikap dengki terhadap orang-orang tersebut. Orang yang melakukan hal sebegini tidak lain adalah pengikut hawa nafsu yang bercakap tidak berlandaskan dalil dan hujah.

Lihat saja, apabila mereka menuduh para ulama menfitnah Dr al-Qardhawi, apakah mereka mempunyai bukti? Dan apa yang ingin mereka katakan dengan tulisan dan fatwa al-Qardhawi yang menyalahi ijma’ dan manhaj salaf contohnya dalam masalah asma’ wa sifat?

Mereka mempunyai sikap ta’shub yang sangat tebal sehinggakan sanggup menuduh para ulama dengan tuduhan keji seperti ini. Jika hendak dibandingkan dari sudut ilmu mereka dengan para ulama, mereka jauh ketinggalan tapi kerana kesombongan dan keta’shuban mereka, mereka bertindak melebihi orang yang alim. Mereka memekakkan telinga dan membutakan mata mereka dengan mendiamkan kesalahan al-Qardhawi, dan mereka juga berjuang bermati-matian untuk menutup kesalahan tersebut.

Bagaimana mungkin kemungkaran dan penyelewengan (samada secara sedar atau tidak) di dalam tulisan dan fatwa al-Qardhawi boleh didiamkan? Apakah kita rela membiarkan kemungkaran tersebar sehinggakan manusia terpesong dari manhaj ahlu sunnah wal jamaah?

Orang-orang yang mendiamkan dan menutup serta menyembunyikan kesalahan tersebut adalah orang-orang yang jahil terhadap sunnah Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam. Di mana natijah yang timbul dari fatwa yang salah oleh al-Qardhawi, menyeru kepada bid’ah dan kesesatan, maka hal ini membuatkan para ulama tidak mendiamkan kesalahan tersebut malah mereka menerangkan kesalahannya dan menasihati umat untuk menjauhi berdasarkan kepada kaedah-kaedah syarie.

InsyaAllah akan datang keterangan-keterangan para ulama mengenai Dr Yusuf al-Qardhawi.

Allahu Ta’ala a’lam

Artikel ini saya tujukan khas buat sahabat-sahabat yang berada di dalam laman sesawang al-Fikrah.Net

Maraji’ website

  1. Sahab.net
  2. Al-Ajurry.net
  3. Ibnusarijan.blogspot
  4. Salafy.or.id
  5. Darussalaf.or.id

Maraji’ Kitab

  1. الإعلام بنقد كتاب الحلال والحرام في الإسلا
  2. تعزيز الرد الكاوي لإسكات الكلب العاوي يوسف بن عبد الله القرضاوي
  3. خلاصة بعض أفكار الشيخ يوسف القرضاوي عفا الله عنا وعنه
  4. شرعية الدعاء على الكافرين
  5. القرضاوي في الميزان(Telah ada edisi terjemahan, Pemikiran Al-Qardawi Dalam Timbangan)
  6. رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الإسلام (Telah ada edisi terjemahan, Membongkar Kedok Qardhawi)
  7. Fathul Bari -Syamilah-
  8. Misykatul Mashabih -Syamilah-
  9. Jami’ul ‘Ulum wal Hikam -Syamilah-
  10. Obyektifitas Dalam Mengkritik, Syaikh Rabee’ al-Madkhali
  11. Menebar Dusta Membela terroris Khawarij, Ust Luqman Ba’abduh
Di angkat dari: abuhura1rah in Syubhat dan Jawapan.
Tags: , , , , , ,

Saman Balas RM100 Juta: Silakan Saman - Dr Mohd. Asri



Dis 29, 09. PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini 'mempersilakan' Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, mengemukakan notis saman balas RM100 juta terhadapnya. mStar Online melaporkan hari ini.

"Persilakan saman.... tapi sebelum itu eloklah pastikan sumber yang didengar itu sahih dan quote secara betul. Selepas itu, biar mahkamah tentukan," katanya ketika menghubungi mStar Online berhubung isu saman balas Zamihan seperti yang dilaporkan sebuah tabloid hari ini.

Tambah Dr. Mohd. Asri: "Itu cerita lekeh daripada seorang yang tidak ada agenda dalam negara tapi memunculkan diri dengan dakwaan palsu kononnya sijil saya palsu."

Bagi pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu, rakyat sendiri boleh menilai siapa Zamihan.

"Sebenarnya saya tidak ada masa nak fikirkan orang seperti beliau. Saya serahkan perkara ini kepada peguam saya," kata beliau.

Menurut laporan akhbar berkenaan hari ini, Zamihan mengambil tindakan saman balas ekoran beliau menerima notis saman RM10 juta daripada bekas Mufti Perlis itu baru-baru ini.

Zamihan sebelum ini dikatakan menerima notis saman daripada Dr Mohd. Asri melalui firma Mohamed Abdullah & Co yang memberikannya tempoh 48 jam untuk menjawab balik notis berkenaan.

Saman yang dikemukakan itu berikutan kenyataan Zamihan dalam sebuah akhbar arus perdana bulan lalu yang bertajuk Jakim: Asri Palsukan Kelulusan Syariah.

Melalui notis saman dikemukakan itu, Zamihan dituntut supaya menarik balik tuduhan terhadap Dr Mohd. Asri dan memohon maaf atas kenyataan dalam laporan akhbar terbabit, yang mengaitkan beliau dengan pemalsuan kelayakan di bidang syariah dari Universiti Jordan dan banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi.

Disebabkan laporan berkenaan, Zamihan dituntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teladan dan khas yang berjumlah RM10 juta.

Ekoran itu Zamihan mendakwa tidak pernah mengeluarkan kenyataan pemalsuan ijazah seperti disiarkan akhbar terbabit, sebaliknya ia akibat salah faham penulis berkenaan.

Berikutan itu pegawai kanan ILIM itu turut dipanggil pihak atasan Jakim untuk memberikan penjelasan dan menasihatkannya supaya menarik balik kenyataan terbabit.

Namun Zamihan menjelaskan ia adalah kenyataan peribadi dan bukannya mewakili jabatan.

Untuk rekod, Zamihan pernah disaman oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira Abdul Aziz kerana membuat dakwaan berunsur fitnah dan kes itu masih dalam perbicaraan.

Berhubung saman balas terhadap Dr Mohd. Asri, Zamihan menuntut bekas Mufti Perlis itu memberi penjelasan kenapa beliau didakwa berfahaman Syiah serta mengkafirkan ulama Arab Saudi dan penduduk Makkah sebelum ini.

“Saman balas itu dibuat pada bulan ini juga dan saya bagi tempoh untuk beliau jawab dalam masa tujuh hari, tapi selepas habis tempoh dia tidak jawab,” Zamihan, dipetik sebagai berkata.

Berikutan itu, beliau kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan susulan memfailkan kes terbabit di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam beberapa hari lagi.

Kes ini akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam beberapa hari lagi,” katanya, yang melantik firma guaman Abdul Kadir & Co untuk mewakilinya.

Zamihan mendakwa, kes saman menyaman ini berlarutan rentetan daripada kisah lama sejak 2001 iaitu selepas penerbitan dua buku tulisannya bertajuk Salafi Satu Penilaian dan Menjawab Kritikan Fahaman Wahabi di Malaysia.

Datuk Ibrahim Yahaya Perlu Letak Jawatan

Datuk Ibrahim, kanan..
Kerajaan Pulau Pinang Buat Laporan Polis Terhadap Ketua Pengarah RTM

Dis 29 09: PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya kerana didakwa menerbitkan satu artikel berunsur fitnah dalam blognya baru-baru ini.

Ng Wei Aik, setiausaha politik Ketua Menteri Lim Guan Eng, berkata beliau telah diarah oleh Lim membuat laporan polis berhubung artikel Ibrahim dalam laman blognya http://duniatiger.blogspot.com, yang bertajuk 'Ada Orang Nak Penjarakan Saya' pada Sabtu lalu.

"Ibrahim mendakwa terdapat seorang pekerja di pejabat Ketua Menteri telah mengugutnya, akan tetapi, kami telah mengadakan siasatan dan tidak ada seorang pun yang bekerja di pejabat Ketua Menteri mengenali beliau," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Ng berkata, jika benar individu itu wujud, Ketua Menteri akan mengambil tindakan, tetapi jika palsu, Ibrahim perlu meletak jawatan kerana kesalahannya itu. - BERNAMA

Rabbani Contoh Hiburan Sihat Untuk Bangunkan Negara

HALAMAN HIBURAN

DI kawasan pergunungan Wadi Ram ketika merakamkan klip video album terbaru Rabbani.


TEMUBUAL untuk program TV Shada di Jordan.


KUMPULAN Rabbani kini pasti akan tetap mengenang tunggak kekuatan mereka iaitu Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang terlebih dulu menyahut seruan Ilahi pada 13 Ogos lalu. Sehingga kini, perjuangannya masih tetap diteruskan. Kisahnya dengan kembara ilmu hujung pada November lalu yang membabitkan kumpulan yang memegang rekod lapan tahun berturut-turut menerusi kategori Penyanyi/Kumpulan Nasyid Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Jurucakap anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, program Kembara Ilmu bersama Rabbani anjuran Al Bayan Corporation sejak 26 November hingga 7 Disember lalu sebenarnya antara projek yang ditinggalkan Ustaz Asri sebelum pemergiannya ke rahmatullah.

"Allahyarham antara yang teruja dengan projek kembara ini biarpun tidak kesampaian. Peluang kembara ini sebenarnya turut membuka peluang kepada kami termasuk Allahyarham untuk memperkukuhkan sebutan Bahasa Arab..

“Apatah lagi, bahasa terbabit tidak dapat dipisahkan dalam dunia muzik nasyid,” katanya yang hadir ke Balai Berita baru-baru ini.

Jelas Azadan, kembara ilmu yang dikelolakan Datuk Mahmud Abdul, penterjemah Bahasa Arab bagi pertandingan Tilawah al-Quran itu turut menyelit kursus belajar Bahasa Arab sambil bercuti ke Jordan, Syria dan Lubnan. Katanya lagi, sesi ilmiah ini berjalan secara santai dan praktikal.

“Sepatutnya kami balik pada 3 Disember tetapi kerana meneruskan penggambaran klip video album terbaru, kembara ini dilanjutkan hingga 7 Disember. Sesi lawatan ke bangunan dan tempat bersejarah turut diadakan. Malah, Rabbani turut membuat persembahan di Universiti Jordan dan Yarmok.

“Selain itu, kami juga diundang membuat persembahan di kedutaan Jordan, Syria dan Lubnan. Orang kata sambil menyelam, meminum air, kami mencuri peluang merakamkan penggambaran program Jelajah Rabbani. Ketika ini, kami masih dalam peringkat perbincangan mencari stesen TV untuk menyiarkannya.

“Di sana kami berpeluang menemui penyanyi nasyid terkenal di Timur Tengah, Abu Judd. Suaranya memang luar biasa dan kami sempat bergambar kenangan dengannya. Kami juga berjumpa dengan tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf Malaysia di sana. Insya-Allah kembara ilmu ini akan menjadi acara tahunan” kata Azadan lagi.

Dalam pada itu, dua minggu sebelum pemergian Rabbani mengikuti kembara itu, mereka sempat melunaskan rakaman album terbaru berjudul Mahabbah. Album ini juga menjadi pertaruhan sulung Zulkiflee Azman yang dilantik sebagai penyanyi utama selepas ketiadaan Allahyarham.

“Kami menyelitkan lagu Kejora Sinar Zaman yang didedikasikan buat Allahyarham dan kepada mereka yang mengenalinya. Lagu tema program Syahadah di RTM itu turut dirakamkan kembali dalam versi lebih panjang.

“Lagu Nurul Iman pula dijadikan single pertama dan insya-Allah akan dijadikan lagu tema sebuah drama di RTM terbitan Layar Consult. Album ini ditaja PRM Global dan diedarkan Warner Music,” katanya sambil memberitahu album itu sudah pun berada di pasaran

Pada tahun 2010, sekali lagi Rabbani akan menganjurkan konsert Malam Sinar Maulidur Rasul. Syarikat telekomunikasi utama negara, TM bakal menaja konsert yang dijangka diadakan pada Februari nanti.

“Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi akan jadi penyanyi utama dan tarikan untuk konsert ini seperti yang terdahulu. Selain konsert itu, Rabbani masih akan menganjurkan aktiviti menarik termasuk pakej umrah.

“Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di talian 019-2110300 atau 03-62721225 untuk keterangan lanjut,” katanya seraya mengakhiri perbualan dengan menjelaskan sebarang aktiviti dan produk terkini Rabbani boleh diketahui dengan melayari laman sesawang,www.rabbani.com.my. (Sunber Berita Harian)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Konsep hiburan beginilah yang sepatutnya dipupuk oleh Kementeran Penerangan melalui kuasa media yang ada pada mereka, bukan dengan menyogok atau memaksakan penonton dengan hiburan maksiat dan melalaikan. Inilah contoh hiburan yang sihat untuk membangunkan negara. Bangunkan ruhani dan material jasadi.(AK)

Berkaitan.. klik..

Tuesday, December 29, 2009

PJ S'ngor Diminta Adakan Himpunan Jelaskan Hubungan Dg PR


Oleh Asyok Kumar

KL. 29 Dis 09: DATO' Dr Hj Hasan Ali Pesuruhjaya PAS Selangor diminta supaya mengadakan himpunan pengumuman menegaskan bahawa PAS Selangor tidak akan keluar dari Pakatan Rakyat. Demikian dinyatakan oleh Dr Hj Mohd Hasyim, Presiden Grup Universiti Ulu Klang, semasa memberi taklimat kepada ahli-ahlinya di Putrajaya malam tadi.

Hal ini berbangkit apabila ada beberapa ahli kelab tersebut yang masih tidak yakin dengan penerusan kerjasama PAS Selangor dengan PR, menjelang bakal tindakan pengerusi tatatertib PAS terhadap beliau.

"Hal ini tidak mungkin, kerana PAS bukan miliknya (Hasan Ali) seorang." Kata Hj Mohd semasa ditunjukkan SMS yang tersebar di kalangan orang ramai, antaranya berbunyi 'Hasan Ali sedang merangka Himpunan Rakyat Selangor mengheret PAS Selangor keluar PR'.

Sedangkan pagi ini dilaporkan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin meminta Umno keluar dari BN dan bersama-sama PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya jujur dan benar-benar mahu memperjuangkan hak rakyat. Tok Guru Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas aksi sekumpulan pemuda mendesak PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat negeri Ahad lalu.

Jelas Tok Guru, mereka yang terbabit dipercayai sebagai ahli atau penyokong Umno. Menurutnya, kalau Umno boleh minta PAS keluar daripada Pakatan (Rakyat), maka beliau juga minta daripada Umno (supaya) keluar dari BN untuk bersama dengan PAS," jelas Nik Aziz seperti yang dilaporkan suatu akhbar tempatan.

Tok Guru MB berkata, teknik menjadi dalang mengganggu PAS tersebut merupakan amalan kebiasaan Umno sejak PAS mula memerintah Kelantan dua dekad lalu lagi. Tok Guru juga meminta UMNO menggugurkan dasar kebangsaan dan bersedia menerima Islam sebagai dasar parti, sekiranya jujur mahu bersama-sama perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Tambahnya lagi, Umno juga seharusnya bersedia menerima parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain kerana PAS sekarang komited bersama-sama Pakatan Rakyat demi menumbangkan kerajaan yang zalim secara demokratik. Dan Pakatan Rakyat lebih memenuhi semangat 1Malaysia, berbanding BN.

Oleh itu kata Hj Mohd, "Adalah wajar Dato' Hasan mengadakan himpunan pengumuman menegaskan semula bahawa PAS Selangor tidak akan keluar Pakatan Rakyat.' katanya sewaktu dihubungi semula melalui telefon sebentar tadi. (AK)

Futsal Adalah Medan Eratkan Ukhuwwah -PJ PAS Perak

SUKAN

IPOH 29 Dis 09: PROGRAM sukan futsal amat penting kerana ianya merupakan medan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan pemuda-pemuda PAS bagi mencapai persefahaman dalam melaksanakan kerja dakwah. Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang telah berjaya mengadakan Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak.

"Semasa bertemu,ahli-ahli boleh saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan organisasi. Ini penting untuk mengeratkan lagi ukhuwwah dan kesatuan organisasi bagi melancarkan agenda dakwah," katanya.

Beliau juga berpandangan, program yang diadakan itu boleh dijadikan sebagai medan untuk menarik dan mengumpul golongan muda agar mencintai cara hidup Islam. "Program ini boleh menjadi medan mengumpul mad'u (sasaran dakwah) yang baru. Riadah boleh dijadikan masa untuk bertemu dan saling berkenalan. Dengan berkenalan akan timbul kesefahaman dan kasih sayang yang merupakan asas dalam dakwah," katanya lagi.

Selain itu ujarnya, program riadah juga juga dapat membentuk akhlak Muslim. Ini kerana jelasnya, ketika bersukan pastinya akan berlaku kekasaran. Kadangkala juga seorang itu akan diuji sejauh mana dia jujur dengan kesalahan yang dilakukannya ketika bersukan. Oleh itu dari kekasaran akan terbentuknya sifat kemaafan dan kejujuran menanamkan sifat sering merasai pemerhatian oleh Allah (ma’iyatullah).

"Sehubungan itu, penghayatan terhadap kepentingan riadah pula adalah sebahagian daripada fikrah Islam yang syumul. Sebuah organisasi yang membawa fikrah yang syumul harus merialisasikan apa yang didokongnya," katanya.

Pasukan futsal dari Lumut muncul juara keseluruhan kejohanan futsal piala Pesuruhjaya PAS Perak dan membawa pulang hadiah berupa sebuah piala dan juga wang tunai RM1,500.

Tempat kedua pula diraih pasukan dari Ipoh Timur dan menerima wang tunai sebanyak RM700, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dari Tanjung Malim dan Kampar membawa pulang hadiah saguhati.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang telah berjaya mengadakan Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails