Wednesday, January 13, 2010

Refleksologi Pusat Maksiat. Lari Berseluar Dalam..

Wanita warga asing yang ditahan dalam gerakan, semalam. Malaysia negara Islam?

KUALA LUMPUR Jan 13, 2010: Sekumpulan wanita nekad melarikan diri dengan hanya berseluar dalam bagi mengelak ditahan selepas sebuah pusat refleksologi di Jalan Pudu Ulu di sini yang menjadi tempat mereka 'cari makan' diserbu polis awal pagi semalam. Harian Metro melaporkan.

Ketika serbuan kira-kira jam 1.40 pagi itu, semua mereka yang dipercayai warga China sibuk melayan pelanggan apabila tiba-tiba keadaan menjadi kecoh sebaik polis melancarkan serbuan. Biarpun bahagian atas tubuh mereka terdedah, ia tidak menghalang mereka dari cuba meloloskan diri namun tindakan mereka gagal berikutan premis berkenaan sudah dikepung.

Dalam operasi yang dilakukan Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu, 11 wanita warga China berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan. Jurucakap polis berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat wujudnya kegiatan tidak bermoral dilakukan wanita warga asing yang turut menawarkan seks bagi mencari wang tambahan selain melakukan tugasan urut refleksologi di pusat berkenaan.

"Sembilan anggota termasuk pegawai polis bertindak mengepung laluan keluar masuk pusat refleksologi itu.

"Ketika serbuan ada di kalangan wanita terbabit sedang sibuk melayan pelanggan," katanya.

Difahamkan, ketika serbuan terdapat beberapa pelanggan sedang menunggu giliran untuk menerima layanan. Katanya, semua wanita warga asing berkenaan diletakkan dalam sebuah bilik khas yang dilengkapi dengan alat pembesar suara dan sekiranya pelanggan mahukan perkhidmatan dari mereka, nama mereka akan dipanggil sebelum keluar untuk dipilih pelanggan.

Malah, pelanggan yang ingin mendapatkan pakej perkhidmatan istimewa dikenakan caj sehingga RM150 bagi satu sesi. Hasil pemeriksaan awal, lima daripada mereka didapati tidak memiliki pasport yang sah dan semua mereka kemudian ditahan bagi proses dokumentasi.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Mengapa pusat maksiat berleluasa? Semata-mata maksiat tidak salah kerana 'maksiat' tidak ditakrif menurut agama. Yang salah ialah menurut akta lain seperti premis rumah urut, imigresyen dan lain-lain. Inikah negara Islam contoh?

Analisis Politik K'tan: Prof Dr Mohd Agus & Dr Abu Hassan


WALAUPUN diasak hebat dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan nepotisme, tanggapan rakyat terhadap PAS Kelantan dan menteri besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat tetap tidak berubah, kata penganalisis politik. Demikian Analisis dibuat oleh Malaysiakini.com hari ini.

"Biar dalam PAS sendiri berpecah, tetapi imej kerajaan Kelantan tidak terjejas. Rakyat (negeri itu) takut bahawa ini semua mainan media. Rakyat tidak berasa beliau (Nik Aziz) bersalah," kata Prof Dr Mohd Agus Yusoff, seorang pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Ia tidak memberikan kesan besar jika hendak dibandingkan dengan penyelewengan lain (dalam negara) yang lebih besar. Dakwaan seperti Nik Aziz menerima kek bernilai RM500 ini akhirnya jadi bahan lawak sahaja."

Sementara ahli akademik di Universiti Malaya Dr Abu Hassan Hasbullah pula berkata, asakan demi asakan terhadap kerajaan Kelantan memberikan kesan yang luar biasa terhadap kepercayaan politik orang ramai kepada Nik Aziz.

Penceramah popular itu berkata, data terkini menunjukkan, sokongan terhadap kerajaan Kelantan meningkat sebanyak 8 hingga 12 peratus (kepada 73.6 peratus) pada November lalu berbanding hanya 5 hingga 8 peratus (63 peratus) sebelum pilihan raya umum dua tahun lalu.

"Sesetengah media tidak mempunyai data ini dan menunjukkan bahawa sokongan terhadap kerajaan Kelantan merosot.

"Mereka lupa, krisis adalah bisnes, bisnes adalah (tentang) tumpuan (masyarakat)," katanya, seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Media.

Dr Mohd Agus dan Dr Abu Hassan diminta mengulas asakan konsisten terhadap kepemimpinan Nik Aziz, terbaru apabila beliau didakwa menerima hadiah kek bernilai RM500 daripada menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sejak beberapa bulan lalu, Nik Aziz dihimpit dengan pelbagai isu, antaranya melibatkan isu tajaan hajinya daripada seorang ahli perniagaan, pengaruh ahli keluarganya dalam pertadbiran kerajaan negeri dan desakan agar beliau menyediakan pelan peralihan jawatannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, kedua-dua ahli akademik tersebut berpendapat, sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, Nik Aziz dan PAS dapat mengekalkan penguasaan mereka di negeri yang telah ditadbir selama 20 tahun itu.

"Kalau buat pilihan raya sekarang pun PAS menang lagi. Sukar untuk Umno menang biarpun Nik Aziz dibebani dengan pelbagai isu.

"Semua ini akhirnya akan mati sendiri. Tunggu masa sahaja," kata Dr Mohd Agus. (AK)

'Islam 4UK' & Organisasi Islam Dituduh Pengganas?

Anjem Choudary

Anjem Choudary dikenal sebagai aktivis senior Islam4UK

BBC London 12 Jan 10: PERTUBUHAN atau kumpulan Islam di UK yang merancang himpunan anti-perang Afghanistan akan dilarang berdasarkan kepada undang-undang anti teroris atau pengganas di negara itu. Pemerintah UK sudah lama menimbang dan memikirkan untuk melarang 'Pertubuhan Islam4UK' yang juga dikenal dengan nama 'Al-Muhajiroun'.

Jurucakap Islam4UK mengatakan kepada BBC, pertubuhan mereka adalah "organisasi ideologi dan politik" dan bukan kumpulan yang menggunakan aksi kekerasan.

Menteri Dalam Negeri Alan Johnson mengatakan: "Saya hari ini telah mengeluar perintah melarang Al-Muhajiroun, Islam4UK, dan beberapa nama lain yang digunakan oleh organisasi tadi."

"Kumpulan ini dilarang walau dengan nama lain (seperti) 'Al-Ghurabaa' dan 'The Saved Sect'," tambah Johnson.

"Larangan ini adalah gunakuasa yang luarbiasa, tetapi perlu untuk mengatasi masalah terorisme dan ini bukan langkah yang kami pandang mudah," ujarnya.

"Kami tegaskan bahawa organisasi ini tidak akan dapat melepasi larangan ini hanya dengan mengubah namanya," tambahnya.

Berdasarkan Undang-undang Terorisme tahun 2000, sesuatu kumpulan di UK boleh dilarang jika "melakukan atau ikut serta dalam tindakan terorisme, mempersiapkan, menyeru atau mendorong terorisme atau berkaitan dengan cara lain dalam terorisme".

Jurucakap Islam4UK Anjem Choudary mengatakan kepada BBC Radio 4: "Yang akan dilihat orang adalah, jika anda tidak sependapat dengan pemerintah dan anda ingin mempamirkan politik luar negara, kebebasan, kemudian dengan cepat menghilang dan menjelma menjadi diktator."

Choudary membantah tuduhan bahawa ahli Islam4UK terlibat dalam tindakan kekerasan. "Saya cabar sesiapa saja untuk membuktikan bahawa ahli kami terlibat dalam tindakan kekerasan atau menyeru ke arah kegiatan tindakan kekerasan, atau ada meminta bantuan mana-mana pihak bagi melakukan apa-apa operasi ketenteraan," katanya,

"Kami selalu habis-habisan menekankan bahawa kami adalah organisasi ideologi dan politik," tambahnya.

Bercakap dari Lubnan, Omar Bakri Muhammad, pengasas Al-Muhajiroun (sebuah lagi pertubuhan Islam lain), mengatakan kepada BBC bahawa keputusan untuk melarang pertubuhan tersebut boleh "meningkatkan populariti Al-Muhajiroun" dan "memaksa mereka bergerak di bawah tanah".

Pada hari minggu, Islam4UK telah membatalkan rancangan mengadakan himpunan di Wootton Bassett, sebuah kota kecil di kawasan Wiltshire di Barat Daya England. Kumpulan tersebut masa itu mengatakan mereka telah "berjaya memantau penderitaan warga Muslim di Afghanistan".

Pertubuhan Islam4UK juga melarang ahlinya merancang untuk mengusung lebih dari 500 peti mayat kosong melintasi jalan utama kota kecil tersebut. Kota tersebut terkenal kerana mengadakan acara awam untuk memberikan penghormatan kepada tentara Inggeris yang gugur di Afghanistan dan Irak.

Perintah larangan akan mulai dikuatkuasakan pada hari Khamis dan mulai hari itu menjadi ahli pertubuhan itu adalah suatu pelanggaran pidana dengan ancaman hukuman maksimum 10 tahun penjara. (BBC/AK)

Kuil Sikh Sentul Pula Dilempar Batu, 13 Mei 69 Terbayang?

Balai polis Sentul

Bernama pula melaporkan, Kuil Sikh di Sentul dilempar batu

Kaca di sebelah pintu masuk Kuil Sikh Gurdwara di Jalan Haji Salleh, Sentul didapati pecah akibat dilempar dengan batu pada kira-kira pukul 6.45 petang tadi.

Ketika insiden itu berlaku, beberapa sukarelawan yang sedang membersihkan kuil berkenaan, ternampak batu dilempar ke pintu masuk bilik sembahyang kuil tersebut.

Dipercayai, 15 biji batu dilemparkan ke kawasan kuil itu.

Sukarelawan tersebut kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman mengesahkan insiden tersebut.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil sampel batu yang dilemparkan dan siasatan dijalankan.

- Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Mereka, pelempar itu hendak mencabar polis pula? Terbayang tragedi 13 Mei 1969. Minta dijauhkan Allah..

Tuesday, January 12, 2010

'Bakar Gereja!' Seru Penceramah Di gambar Ini, Anda Kenal Dia?


LELAKI dalam gambar di atas dilapor melaungkan "bakar gereja", muncul sejurus sebelum protes itu bermula apabila selesai solat Jumaat. Demikian diberitahu oleh Pengerusi Anak-anak Muda Islam Selangor (Amis), SD Mohd Johari Yasin seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini.com.

Walaupun begitu, SD Mohd Johari berkata, beliau tidak mengenali individu itu yang berucap semasa protes anjuran Amis di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu. Menurutnya, sewaktu sidang akhbar Amis selepas itu pun, lelaki berkenaan turut hadir dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Suhaimi Shafie'.

Sebelum berucap di protes tersebut, Suhaimi (foto di atas) yang memakai jubah putih, dilaporkan melaungkan "bakar gereja," tetapi laungannya itu tidak diendahkan orang ramai yang beredar dari masjid itu selepas selesai solat Jumaat.

"Saya tidak ada di situ ketika dia berucap. Saya cuma ada semasa sidang media bersama (bekas exco Selangor) Datuk Mokhtar Dahlan," katanya sambil menambah, Suhaimi turut memberi kenyataan dalam sidang media tersebut.

"Saya tidak tahu bagaimana dia tiba-tiba muncul dalam sidang media itu.

"Kami cuma tahu namanya bila beliau ditanya wartawan dalam sidang media tersebut," katanya sambil menegaskan lelaki itu tidak ada kaitan dengan penganjuran demonstrasi itu, yang disertai kira-kira 30 orang.

"Kami ingin tegaskan, dia tidak mewakili kita. Kami tidak tahu dia (mewakili) kumpulan mana. Dia cuma beritahu, dia adalah orang awam yang marah dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Dia juga beritahu kami, dia tinggal di kawasan berdekatan dan merupakan ahli kariah masjid negeri," kata SD Mohd Johari.

Katanya, sebelum demonstrasi itu bermula, lelaki berkenaan meminta untuk berucap.

"Tapi kami nampak dia agresif sangat dan terlalu beria-ria. Kami dapati kenyataannya (dalam ucapan dan sidang akhbar) terlalu agresif dan tidak selari dengan pendirian Amis. Sebab itu kami cepat-cepat hentikan sidang media selepas itu," katanya lagi.

Selepas demonstrasi itu tamat, kata SD Mohd Johari mereka beralih menyertai perhimpunan yang lebih besar di ruang solat utama di dalam masjid negeri itu. Bagaimanapun, beliau mengaku membawa kain rentang yang bertulis "Khalid Samad Peliwat Agama" semasa demonstrasi tersebut.

"Ya, kami yang bawa kain rentang itu," katanya sambil menambah, ia merupakan bantahan kepada ahli parlimen Shah Alam itu yang didakwanya bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. Dalam ulasan di blognnya, Khalid menyatakan pendiriannya bahawa penggunaan kalimah itu di kalangan orang bukan Islam merupakan sesuatu yang "diharuskan."

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pihak berkuasa perlu menyiasat penceramah itu, siapa di belakangnya. Sesiapa yang kenal penceramah itu boleh membantu polis. Tidak perlu guna ISA, walaupun Menteri Dalam Negeri sedia guna akta tersebut, sedangkan PM pula telah memberi jaminan keadaan keselamatan negara terkawal. Sehingga kini penceramah itu dikatakan masih bebas.

Apakah Menteri KDN masih melambat-lambatkan penyelesaian masalah ini walaupun beliau mendakwa sudah mengenalpasti suspek yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati? Rakyat kini tertanya-tanya tentang tindakan lanjut polis terhadap suspek-suspek yang didakwa Hishamudin sudah dikenal pasti itu. Bilakah mereka akan ditangkap dan didakwa dimahkamah? Atau berlaku sama seperti kes perarakan 'kepala lembu berdarah' di Shah Alam tempuh hari?

Allah: Saya Tak Faham Islam Ala Melayu -Khalid Samad



KUALA LUMPUR, 12 Jan 10: "Saya tak faham Islam ala Melayu." Demikian jawapan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ekoran dari pandangan seorang hadirin yang mendakwa bahawa Khalid tidak memahami realiti kedudukan kaum Melayu di Malaysia.

Soalan itu timbul bila beliau turut menyalahkan kepemimpinan Umno kerana dilihat seolah-olah menggunakan media arus perdana untuk memanipulasi isu tersebut, demi meraih sokongan politik di kalangan masyarakat Melayu.

Beliau turut mendakwa tindakan Umno tersebut tidak sejajar dengan tuntutan dakwah sebagaimana dalam ayat 64 dan 65 dari Surah al-Imran.

Sebelum itu beliau Khalid menegaskan bahawa bukan isu kalimah Allah yang sepatutnya menjadi perebutan antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya semua pihak diseru mendalami pengertian sebenar Allah itu sendiri. "Bukan isunya kalimah (Allah), tapi maksud (sebenar) pada (kalimah) 'Allah' itu sendiri yang berbeza-beza," jelas beliau dalam Forum 'Allah: Siapa Yang Punya?' semalam.

Jelas beliau lagi, Rasulullah SAW menggunakan nama Allah dalam surat-suratnya kepada pemerintah bukan Islam di sekitar kerajaan Madinah al-Munawwarah. "Kalau Nabi melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah, mengapa Nabi menulis nama Allah di setiap surat Baginda SAW (yang diutuskan) kepada raja-raja bukan Islam," jelasnya.

Mengambil pengajaran dari dakwah Islamiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, beliau yang juga Ahli Lajnah Politik PAS Pusat mengajak hadirin yang hadir supaya melihat isu menggunakan nama Allah di kalangan bukan Islam secara mudah. "Isu ini hanya mudah, kita sembah Tuhan yang sama, Tuhan hanya satu, mana Tuhan ada banyak... (dan) orang Islam wajar menjelaskan bagaimana Allah yang Esa patut disembah," jelasnya.

Forum yang dianjurkan oleh Free Public Forum (FPF) tersebut turut membariskan seorang budayawan Eddin Khoo, Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Mohd Farid Mohd Shaharan, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Azwira A. Aziz, Filosof ISTAC Dr. Khalif Muammar, Pakar Dakwah Perbandingan Agama Shah Kirit Kakulal Govinji serta wartawan bebas Hasmi Hashim selaku panelis.

Forum yang bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tersebut dihadiri lebih 1000 hadirin dari pelbagai bangsa dan ideologi. (Sumber/AK)


Kanak-kanak 8 Tahun Selamatkan Orang Dewasa.


peta australia

Gold Coast, Queensland. DUA kanak-kanak berusia lapan tahun berjaya menyelamatkan seorang dewasa dari laut di kawasan Gold Coast, Queensland. Jake Satherley dan Spencer Jeams melihat lelaki separuh umur terjebak dalam arus yang menggila. Mereka lalu menarik papan luncur berjaya mengangkat dan menyelamatkan lelaki tersebut.

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang menjadi anggota kelab penyelamat junior mengatakan mereka tidak gentar menghadapi keadaan sukar begitu. Kalangan petugas penyelamat di Queensland mengatakan penyelamatan dua kana-kanak tersebut amat mengagumkan.

Sewaktu bercakap kepada ABC News, ketua Northcliffe Life Saving Club David Shields mengatakan belum pernah melihat begitu. "Saya sudah terlibat dalam kes penyelamatan papan luncur selama 30 tahun, dan saya tidak pernah melihat kanak-kanak sekecil mereka datang menolong orang yang umurnya begitu dewasa," kata Shields.

Dia mengatakan, mereka akan diberi penghargaan atas tindakan kepahlawanan mereka dengan "medal dan pengakuan yang layak". Perairan di dekat Queensland digambarkan sangat berbahaya sepanjang akhir minggu, dan lebih dari 40 orang diselamatkan semasa beraksi luncur dan tujuh perenang masuk hospital.(BBC hari ini/AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails