Thursday, January 28, 2010

10 Ditahan ISA. Termasuk 1 Rakyat Tempatan, Siapa?


27 Jan 10. PUTRAJAYA: Menurut mStar Online, sepuluh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempunyai kaitan dengan pengganas antarabangsa. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sembilan daripada mereka ialah warga asing dan seorang lagi merupakan rakyat tempatan.

"Kesemua mereka terlibat dengan pengganas yang mempunyai hubungan kait di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan pihaknya telah menahan seramai 50 orang di bawah akta berkenaan. Sebelum ini peguam hak asasi manusia, Edmund Bon melalui laman twitter miliknya mendakwa terdapat seramai 50 orang rakyat pelbagai negara termasuk pelajar universiti tempatan telah ditahan di bawah ISA pada Khamis minggu lalu.

"Jumlah itu (50 orang) tidak betul, saya hanya sahkan seramai sepuluh orang sahaja ditahan baru-baru ini," katanya. Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata majoriti ahli kumpulan yang ditahan itu baru memasuki ke negara ini.

Sebelum ini, menurut Malaysiakini.com, peguam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pejuang hak asasi, Edmund Bon mendedahkan lima puluh orang, termasuk rakyat asing dan pelajar universiti tempatan ditahan Khamis lalu. Menurut Edmund, mereka yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman.

Katnya, 38 orang daripada mereka dibebaskan sehari selepas itu, manakala yang lainnya masih ditahan. Edmund juga berkata, beliau telah bercakap dengan beberapa mereka yang telah dibebaskan dan sedang berusaha menemui mereka yang masih ditahan. ISA membenarkan penahanan tanpa bicara.

Komen blog Ibnu Hasyim: Siapa agaknya rakyat tempatan yang satu itu..

Ada Maklumat UMNO Terlibat Bakar Gereja -Azmin Ali

PETALING JAYA, 27 Jan 10: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali akan mendedahkan satu maklumat yang diperolehinya yang mendakwa sebahagian yang dituduh berhubung kes serangan gereja di Desa Melawati tempoh hari adalah dari ahli pemuda Umno.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata sedang mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan nama-nama tersebut kepada umum. Selain nama, beliau juga sedang dalam usaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno kesemua mereka yang didakwa terlibat.

"Berdasarkan senarai nama tertuduh yang telah didakwa di mahkamah, sebahagian daripada mereka pemuda Umno bahagian Gombak dan bahagian Ampang.

"Maklumat awal yang saya dapat, sekurang kurangnya empat atau lima orang ahli Umno, malah cawangan mana pun saya sudah perolehi," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Pada 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, terbakar diserang dengan bom api. Pada masa sama, beliau mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjawab segera dakwaan penglibatan ahli Umno dalam kes terbabit.

"Saya lihat trend hari ini, survival Umno itu hanya boleh diperolehi melalui permainan isu kaum dan agama.

"Saya harap Umno hentikan sentimen seperti ini kerana ia cukup bahaya kepada rakyat Malaysia," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu melawat tempat kepala babi yang dilontar di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya awal pagi ini. Berhubung hal itu, PKR jelasnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut. Islam tegasnya tidak menganjurkan perbuatan khianat seperti itu apatah lagi yang boleh mencetuskan keadaan tidak tenteram dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk.

"Pihak polis harus kerah seluruh kekuatan yang ada untuk menjaga ketenteraman awam dan bukan menjaga keselamatan dan ketenteraman pemimpin Umno dan Barisan Nasional sahaja," katanya. (Harakah/AK)

Wednesday, January 27, 2010

Minyak K'tan: Berhak RM20J Bukan RM11B Tapi.. -Mustapa

KOTA BHARU, 27 Jan 2010: Harakah melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed menjelaskan Kelantan berhak mendapat bayaran hasil pengeluaran petroleum di kawasan PM301 bermula 2008 dan 2009.

Jumlah keseluruahan yang perlu dibayar kepada Kelantan adalah RM20 juta dan akan dibayar Mac ini oleh PETRONAS melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Mustapha berkata demikian pada satu majlis forum Royalti Minyak ”Antara Retorik Politik Dan Keperluan Rakyat” di salah sebuah hotel malam tadi.

“Kerajaan Pusat dan Petronas telah bermesyuarat dan Petronas telah memaklumkan bahawa Kelantan layak untuk mendapat wang Ihsan sebanyak RM20juta dan ini adalah bersamaan lima peratus daripada hasil gas di kawasan PM301 dan PM301 ini adalah dalam perairan Malaysia dan Kerajaan Pusat boleh memberi wang Ihsan kepada Kelantan,” ujar beliau.

Turut menjadi panel pada forum tersebut, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan dan Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali. Bagaimanapun mereka langsung tidak menyentuh Akta Kemajuan Petroleum(PDA) sedangkan Akta Perlombongan Petroleum sebelum ini tidak lagi berfungsi apabila Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) diluluskan oleh Parlimen dan berkuatkuasa.

Ahli panel juga tidak mengupas hal yang berkaitan dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan ini telah menimbulkan persoalan mengapakah mereka menyembunyikan fakta ini. Beliau juga menegaskan bahawa Kelantan tidak mempunyai hak terhadap minyak yang dikeluarkan di kawasan bertindih di antara Malaysia dan Thailand yang diusahakan bersama iaitu (MTJDA) dan menurut beliau lagi Petronas hanyalah sebagai kontraktor yang dilantik oleh Malaysia untuk bersama-sama kerajaan Thailand dalam mendapatkan hasil tersebut. Forum itu bagaimanapun tidak dibuka kepada sesi soal jawab.

Bernama pula melaporkan antara lain kenyataan Mustapa, di mana tuntutan kerajaan Kelantan sebanyak RM11 bilion dalam bentuk royalti adalah sangat melampau sedangkan pengeluaran minyak tidak setinggi itu. Mustapa juga mencabar kerajaan Kelantan untuk membawa kes tuntutan itu ke mahkamah jika mereka merasakan tindakan mereka itu betul.

Beliau juga menjelaskan kerajaan Pusat tidak dapat menyerahkan sepenuhnya RM20 juta itu untuk ditadbir sendiri oleh kerajaan Kelantan kerana khuatir wang ehsan itu akan disalah guna bagi tujuan lain. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan Pusat akan memberikan wang ehsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu. (AK)

Lihat sebelum ini...

Lagi Hina Sultan, Polis Perlu Siasat -HermanSamsudeen

by HermanSamsudeen

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengesa Polis membuat siasatan menyeluruh terhadap kes menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

DPPWP berharap bukan Aduka Taruna sahaja yang disiasat dan didakwa, sedangkan orang lain dilepaskan. Rakyat akan melihat Aduka Taruna sebagai kambing hitam dan Polis akan dianggap berat sebelah jika siasatan menyeluruh tidak dibuat.

Semalam, DPPWP juga menerima beberapa maklumat lain yang turut melibatkan beberapa blogger lain termasuk cybertrooper Umno yang turut menyebarkan berita palsu serta menghina Almarhum Sultan.

Cybertrooper Umno, yang mengunakan nama Papa Gomo dalam Facebook telah menyebarkan berita palsu mengenai kemangkatan Sultan, walhal Baginda hanya disahkan meninggal dunia lewat petang 22 Januari lalu.

“Takziah buat seluruh kaum kerabat Sultan Johor atas kemangkatan Baginda Sultan pagi tadi”

Begitulah berita yang disebarkan oleh Papa Gomo pada hari berkenaan sedangkan pada waktu itu belum ada pengumuman rasmi dari Istana. Kata-kata beliau itu pastinya menguris perasaan rakyat yang mana Sultan belum mangkat tetapi telah dihebohkan berita kemangkatannya oleh Cybertrooper Umno yang tidak bertanggungjawab.

Selain beliau, seorang lagi pengguna lama Facebook, Pierre Lim telah mengunakan gambar Almarhum Sultan dan disyaki mewujudkan satu akaun Facebook atas nama Baginda dengan meletakan nota;

“This pr**k was known to be abusive to his subjects. He linked to r****s, murder and torture. His son, Tuanku Ibrahim Ismail continues his legacy”

Seorang blogger lain yang mengunakan nama samaran “Gutter Malaysia” di url: guttermalaysia.blogspot.com/ telah membuat satu artikel biadap dengan tajuk “Sultan of Johor is Dead ! Bravo!”. Artikel ini bukan sahaja menghina Almarhum Sultan tetapi turut menghina penganti baginda dan, Sultan Ibrahim dan Allah.

Beberapa komen biadap juga terdapat dalam artikel berkenaan.

DPPWP mengesa agar Pemuda PAS Negeri Johor segera membuat laporan Polis terhadap kebiadapan ini kerana dikhuatiri perbuatan ini akan menjadi lebih buruk jika didiamkan.

DPPWP menyeru agar Umno Johor membuat laporan yang sama seperti 25 laporan Polis yang dibuat ke atas Aduka Taruna sebagai membuktikan bahawa mereka benar-benar sayangkan Sultan dan akan menghukum penderhaka Istana walaupun ianya Cybertrooper mereka.

Diharapkan Pasukan Siasatan Khas Polis membuat siasatan serius terhadap isu ini kerana diyakini, lebih ramai lagi yang menghina Almarhum Sultan tetapi belum disiasat.

DPPWP juga menolak penggunaan akta ISA dalam isu ini dan mahu ianya diselesaikan mengikut saluran perundangan di Mahkamah.

Herman Samsudeen
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Buku SIS: JAKIM Tiada Kuasa & Hilang Maruah?

Datuk Wan Mohamad

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan pengharaman buku "Wanita Islam dan Cabaran Terhadap Fahaman Islam Yang Melampau" tetapi menegaskan ia juga bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai kesalahan dalam mana-mana buku yang diedarkan di pasaran.

Ketua pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata buku tersebut boleh menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam.

Menurutnya, kandungan buku itu didapati bercanggah dengan Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan jabatan itu pada tahun 1996.

"Beberapa kesalahan yang jelas telah ditemui," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, antara kesalahan yang jelas termasuklah mengatakan Undang-undang Keluarga Islam dan Jenayah Syariah bersifat menghukum dan mendiskriminasi wanita dan Pindaan Undang-undang Keluarga Islam dikatakan berat sebelah.

Buku itu turut mempertikaikan Institusi Fatwa dan larangan berbicara soal agama di kalangan mereka yang bukan ahli agama, serta mengutarakan idea pentafsiran semula ayat Al Quran khususnya yang "gender bias", katanya.

Wan Mohamad berkata buku itu telah diteliti, disemak dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dipengerusikan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

"Sehubungan itu, saya menasihati semua umat Islam di negara ini agar berhati-hati terhadap sebarang bacaan yang mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam," tegasnya.

Beliau berkata sekiranya terdapat keraguan dalam bahan-bahan penerbitan berunsur Islam, penulis, penerbit dan umat Islam serta masyarakat awam juga perlu merujuk buku-buku garis panduan yang diterbitkan oleh Jakim.

Ia termasuk merujuk kepada Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-unsur Yang Bercanggah Dengan Akidah Dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. - Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Menurut berita ini, kesalahan buku tersebut, antara lain ialah..

1. Mengatakan Undang-undang Keluarga Islam dan Jenayah Syariah bersifat menghukum dan mendiskriminasi wanita.

2. Pindaan Undang-undang Keluarga Islam dikatakan berat sebelah.

3. Turut mempertikaikan Institusi Fatwa.

4. Mempertikaikan larangan berbicara soal agama di kalangan mereka yang bukan ahli agama.

5. Mengutarakan idea pentafsiran semula ayat Al Quran khususnya yang "gender bias".

Kalaulah benar seperti yang disebutkan, maka ini adalah suatu kesalahan berat dari sudut agama Islam. Seolah-olah menolak dan mengkritik agama Islam itu sendiri, yang biasanya dilakukan oleh golongan anti Islam atau bukan Islam. Mencabar kewibawaan Intitusi Fatwa melalui keputusan Mahkamah Tinggi?

Di mana maruah Jakim sekarang? Mana lebih berkuasa antara Keputusan Mahkamah Tinggi dengan agama dan hukum Islam? Beginikah nasib Islam dalam negara yang memartabatkan agama (yang kononnya rasmi) bagi Persekutuan? Jakim hanya mampu menyuruh orang Islam waspada terhadap bacaan yang bercanggah dengan syariat Islam? Malu kita, negara Islam apa macam ni! (IH)


Sila lihat juga...

1. SIS Menang, KDN Tarik Balik Pengharaman Buku SIS.....
2. http://www.drkhir.com/2009/06/sis-tukar-nama-lebih-baik-dari-haramkan.html

Tuesday, January 26, 2010

Isu Kalimah Allah: Qardhawi Sokong Pakatan Rakyat


KUALA LUMPUR, 26 Jan: Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Quradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”

“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Quradhawi, http://qaradawi.net.

http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=7483&version=1&template_id=104&parent_id=15

Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.

"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.

"Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.

Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.

Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.

Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia. (AK)

Klip Vedio Ini Pula Dilaporkan Hina Sultan.

Wartawan Buat Laporan Polis Berhubung Hina Sultan

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan radio membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung klip video dalam "Youtube" yang memaparkan penghinaan terhadap Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Laporan itu dibuat oleh Ibnu Khusairi Ibnu Aris, wartawan Radio Bernama 24 di Balai Polis Hulu Kelang, dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam semalam.

Dalam laporan itu, katanya beliau melihat klip video bertajuk "Sultan Johor Remix" ketika berada di rumahnya di Keramat di sini kira-kira pukul 1.30 petang Sabtu lepas.

"(Saya) Tertonton satu video klip yang papar Almarhum semasa hayatnya berada dalam majlis perasmian Wilayah Pembangunan Iskandar dan suara Almarhum telah dialih suara kepada satu suara yang tidak dikenali."

"Suara itu telah mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan seolah-olah Almarhum yang bercakap begitu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Ibnu Khushairi berkata laporan dibuat kerana rasa tanggungjawab sebagai rakyat dan mahukan video yang bertarikh 5 November 2009 itu dihentikan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu jurucakap Balai Polis Hulu Kelang ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan segera bagi mencari dalang di sebalik paparan video klip itu. - BERNAMA

Lihat sebelum ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails