Wednesday, September 08, 2010

Pelik, Mengapa Pegawai Bank Iringi Sosilawati?

Isteri kepada pegawai bank yang hilang, Suzana Radim Pangat, 38, bersama anak-anaknya menunjukkan kad ucapan hari raya yang dikarang oleh anak-anaknya kepada ayah mereka selepas sidang media eksklusif di kediamannya di Kuala Lumpur, Selasa.

Turut sama anaknya (dari kiri) Mohamad Azri Shahzan,14, Mohamad Faiz Ridzmi, 5, dan Nur Aneesa Salbiah, 11. Suami beliau Norhisham Mohamad sehingga kini hilang bersama tiga lagi iaitu jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, peguam Ahmad Kamil Abd Karim dan pemandu peribadi Kamarudin Shansudin. Foto BERNAMA

KL, 7 Sept 10: “Tolong faham, abang tak balik rumah tiga hari dan abang minta maaf."

“Nanti balik abang akan cerita,” itulah kata-kata terakhir Noorhisham Mohammad kepada isterinya Suzana Radim Pangat menerusi telefon sebelum beliau dilaporkan hilang.

Noorhisham, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru dilaporkan hilang bersama-sama juwatan kosmetik Sosilawati Lawiya, 44, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak Isnin lepas semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah. Suzana, 38, berkata kali terakhir beliau bercakap dengan Noorhisham ialah melalui panggilan telefon kira-kira 8.15 malam Isnin minggu lalu dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya rasa sangat pelik. Apabila saya tanya kenapa, dia cuma jawab yang dia suruh saya faham, nanti balik dia akan cerita semuanya, dan ketika itu dia hanya sehelai sepinggang.

“Jadi, saya tak buat apa-apa tindakan kepada polis walaupun saya rasa apa yang berlaku ini pelik sebab bila suami cakap dia akan balik tiga hari lagi, fahaman saya dia akan balik," katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Seria, Ampang hari ini.

Beliau berkata pada hari kejadian, suaminya ada memberitahu bahawa beliau akan ke Banting atas urusan kerja bersama-sama Sosilawati, Kamaruddin dan Ahmad Kamil.

“Dan apa yang saya tahu pada masa itu, suami saya menaiki kereta dengan (Ahmad) Kamil sebab sebelum bertolak ke Banting dia ada telefon bagi tahu yang dia nak bertolak,” katanya.

Suzana yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Noorhisham, berkata sejak 31 Ogos hingga kini beliau tidak dapat menghubungi suaminya. “Pada hari berikutnya itu, saya risau kenapa dia tak hubungi. Petang saya hubungi dan SMS suami saya guna telefon saya dan anak, tetapi tak dapat,” katanya.

Menurutnya beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 5 petang pada Khamis lepas selepas tiga hari suaminya tidak pulang ke rumah.

“Saya risau sebab dah tiga hari dia tak balik, sebelum ini dia tak pernah buat macam ni. Kalau pergi out station pun dia akan balik,” katanya sambil menambah Sosilawati merupakan pelanggan Noorhisham sejak dua tahun lalu.

Menurut Suzana, hari ini beliau dapat mengenal pasti kereta suaminya yang berada di Seksyen 7, Shah Alam.

“Anak Datuk Sosilawati beritahu kereta (Proton Perdana) Noorhisham ada di Seksyen 7. Nasib baik kunci spare ada dan saya terus ke sana untuk bawa kereta itu balik ke rumah,” katanya.

Mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi, Suzana berdoa agar suaminya dapat pulang untuk meraikannya bersama mereka sekeluarga.

“Kali ini saya tak ada apa-apa persiapan. Hanya saya harap suami saya balik sebelum hari raya. Sebelum suami saya hilang dia dah belikan baju raya untuk anak-anak kami.

“Yang paling menyedihkan ialah 13 Sept ini adalah ulang tahun kelahiran suami saya," katanya.

Keluarga Sosilawati pula berkata mereka tidak menerima sebarang surat amaran termasuk ugutan berhubung kehilangan jutawan itu. Adiknya Masturi, 42, berkata sebarang surat atau panggilan telefon termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diterima keluarganya dari mana-mana pihak berhubung misteri kehilangan kakaknya itu.

Anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 24, pula berharap kerjasama berterusan daripada masyarakat akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar lagi selepas ini seterusnya merungkaikan segala permasalahan berhubungan kehilangan ibunya.

“Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu mengenai ibu kami sehingga membawa kepada penemuan kenderaan ibu kami semalam.

“Penemuan terbaru ini menunjukkan kerjasama, keprihatinan yang tidak berbelah bahagi seluruh rakyat masyarakat Malaysia terhadap dugaan yang sedang kami sekeluarga hadapi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Sabtu Osman berkata masih belum ada perkembangan terbaru mengenai kes kehilangan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa keterangan dari keluarga dan rakan-rakannya.

"Siasatan ini juga merangkumi pemeriksaan terhadap dua buah kereta yang ditemui semalam termasuk cap jari yang terdapat pada kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Semalam, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. Laporan Bernama

Sementara itu di Shah Alam menurut Kosmo! Online, pihak Polis percaya Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua buah kereta yang dijumpai di Subang Jaya dekat sini malam kelmarin tidak menemui sebarang unsur mencurigakan. (AK)

Lihat sebelum ini..

Tuesday, September 07, 2010

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Presiden PAS

AS-SALAMU'ALAIKUM. Selamat menyambut hari raya Eidilfitri. Hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa Ramadhan.

Menjadi kelaziman, selepas menunaikan ibadah-ibadah yang besar Allah taala mengurniakan hadiah besar. Sembahyang lima waktu dikurniakan Hari Jumaat, Puasa Ramadhan dikurniakan Hari Raya Eidilfitri. Ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban.

Hari raya Eidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiah dengan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, supaya menjadi org-org bertakwa kepada Allah SWT.

Adalah menjadi hikmah yang besar Allah swt memilih bulan Ramadhan berlakunya peristiwa al-Quran diturunkan dan peristiwa peperangan Badar, peristiwa pembukaan Mekah. Diikuti dengan bulan Syawal peristiwa Ahzab.

Menunjukkan bahawa kemuncak takwa yang ditarbiahkan melalui puasa ramadhan orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quranul karim satu-satunya petunjuk yang benar, yang Esa daripada Allah SWT.

Setelah Allah swt menyatakan tujuan ibadat puasa itu supaya kamu bertakwa kepada Allah SWT. Allah SWT juga menegaskan kitab ini tidak syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

Hanya orang-orang bertakwa menjadikan al-Quran sebagai petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quranul karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Selamat Menyambut Eidul Fitri. Dari Presiden PAS

Selamat Menyambut Eidul Fitri.


Selamat Tinggal Ramadhan, Sedih atau Gembira?

CATATAN SANTAI

SELAMAT Tinggal Ramadhan, manuju hari raya. Apa rasa kita? Saya.. anda.. Gembira atau sedih berpisah dengan Ramadhan tahun ini? Kalau umur panjang boleh jumpa Ramadhan lagi..

Dalam Islam, sebuah amal bahkan hidup kita akan ditentukan bagaimana kita mengakhirinya. Kita mengenal istilah khusnul khatimah dan juga su’ul khatimah. Rosulullah SAW pernah menegaskan, bahawa setiap amal itu sangat tergantung bagaimana kita mengakhirinya.

(i) “Sesungguhnya seorang hamba benar-benar telah beramal dengan amalan ahli neraka padahal sesungguhnya ia termasuk ahli syurga, dan beramal dengan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Dan sesungguhnya amal-amal itu tergantung pada penutupannya.” (HR. Al-Bukhari dari Sahl bin Muadz)

(ii) Ibnu Hajar berkata dalam syarhnya, Ibnu Bathal berkata, “Bahwa tidak diketahinya akhir suatu amal dari seorang hamba memiliki hikmah yang luar biasa dan didikan yang halus, kerana sekiranya seseorang tahu bahawa ia selamat, niscaya ia akan berbangga diri dan bermalas-malasan. Namun bila ia termasuk orang yang binasa (kerana adzab), akan bertambah kedurhakaannya. Sehingga tidak diketahuinya akhir sebuah amal, agar orang selalu berada dalam keadaan khauf dan raja’ (berharap) (Fathul Bari Juz II hal 330).

(iii) Lihatlah kisah khusnul khatimah (akhir amal yang baik) pada seseorang yang telah membunuh 100 orang dan Allah memberi taubat atasnya, sehingga bumi dilipat untuknya.

(iv) Juga kisah seorang musyrik di masa Nabi SAW. Ketika itu, salah seorang dari orang-orang musyrik yang bernama Mukhayrit datang kepada Rasulullah SAW, dia menempuh perjalanan dan ketika sampai di Madinah dia tidak jumpa siapapun. Mereka semua bersama Nabi berada di Uhud, lalu dia pergi ke Nabi dan memeluk Islam dengan benar di Medan Perang, dan dia terbunuh di Medan Perang itu. Abu Hurairah RA menunjuk kepadanya sebagai seseorang yang melakukan hal yang sangat sedikit akan tetapi memperoleh pahala yang besar. Nabi SAW berkata bahawa Mukhayrit adalah orang yahudi yang terbaik kerana dia berperang dan menjadi syahid (khusnul khatimah)

(v) Perhatikan pula kisah suul khatimah (akhir amal yang buruk) setelah melalui amal shalih yang menimpa kaum yang berjihad bersama Nabi dan dikhabarkan, mereka masuk neraka. ”Dari Abdullah bin Umar, ”Ada seorang lelaki masih termasuk kerabat Nabi yang dikenal dengan nama Kirkirah. Ketika ia meninggal, Nabi bersabda, ”Dia di neraka.”

Orang ramai pun pergi menemuinya dan mendapati ia bersama mantel yang ia curi.” (HR Bukhari).

(vi) Rosulullah SAW dalam hadits lain menasihati para sahabat agar takut atau hati-hati terhadap seluruh amal mereka. Hal ini kerana tidak ada seorang pun yang akan ‘selamat’ atau lepas dari amal perbuatannya, bahkan Nabi SAW. sendiri.

“ Tidak seorang pun diantara kamu yang akan selamat (bebaslepas dari) kerana amalnya.” kata Nabi. (HR. Muslim dan Abu Hurairah)

(vii) “ Berlaku luruslah kamu, berkatalah yang halus, dan tebarkan khabar gembira, sesungguhnya tidaklah seseorang akan masuk Jannah (kecuali) kerana amalnya. “

Mereka berkata, “Tidak juga Engkau wahai Rasulullah?

Nabi berkata, “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan ampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (HR. Al-Bukhari dari Aisyah)

(viii) Ibnu hajar berkata, “Dan sesungguhnya syurga tidak dimasuki seseorang kerana amalannya tetapi dengan rahmat Allah.

(ix) Ketakutan dan kekhuatiran terhadap amal-amal kita kerana dua sebab:

a). Kerana amal-amal itu tergantung penutupnya (khatimah), sedangkan kita tidak tahu dengan apa amalan kita akan ditutup (su’ul khatimah atau khusnul khatimah)

b). Jika amal penutupnya adalah kebaikan, maka kita tetap khuatir diterimakah amal kita? Kerana amal itu terkadang dhahirnya kelihatan baik dan sempurna, tetapi sebenarnya ada cacat tersembunyi, menjadikan tertolaknya amal di sisi Allah. Contohnya seperti riya, ujub, masna (mengungkit-ungkit pemberian), makan harta haram dan lain-lain.

Bagaimana kita mengakhiri Ramadhan?

Ini adalah penting dan menjadi indikasi bagaimana kualiti Ramadhan kita kali ini. Barangsiapa telah berbuat baik di bulan Ramadhan hendaklah menyempurnakan kebaikannya, dan barangsiapa berbuat jahat hendaklah ia bertaubat dan menjalankan kebaikan pada sisa-sisa umurnya. Barangkali kita tidak jumpai lagi hari-hari Ramadhan setelah tahun ini.

Maka hendaklah diakhiri dengan kebaikan dan senantiasa melanjutkan perbuatan baik yang telah dilakukan di bulan Ramadhan lain. Kerana Rabb yang memiliki bulan-bulan itu hanyalah satu, dan Dia mengawasi kita dan menyaksikan kita. Dia memerintahkan kita untuk taat sepanjang hayat.

Ada salahfaham pada umat yang ‘menyembah’ Ramadhan, bukan menyembah Allah SWT. Ertinya, di bulan Ramadhan dia begitu ta’at dan memenuhi seluruh perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Tetapi, selepas Ramadhan, sudah tidak lagi.

"Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal Allah kecuali di bulan Ramadhan," kata sebahagian ulama salaf mengenaikaum itu.

Jadi, sesiapa yang menyembah Ramadhan, Ramadhan ini akan habis dan pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup, tidak mati. Maka teruskanlah beribadah setiap waktu dan seluruh bulan, tidak hanya Ramadhan.

Orang mukmin bergembira dengan selesainya Ramadhan kerana telah memanfaatkan bulan itu untuk ibadah, taat, mengharap pahala dan keutamaannya. Sedang orang munafik bergembira bila selesai bulan itu, kerana akan berangkat untuk bermaksiat dan mengikuti syahwat yang selama Ramadhan itu telah terkongkong.

Jadi, orang mukmin melanjutkan kegiatan setelah bulan Ramadhan dengan istighfar, takbir dan ibadah, namun orang munafik melanjutknya dengan maksiat-maksiat, hura-hura, pesta-pesta muzik dan nyanyian, kerana gembira dengan berpisahnya Ramadhan dari mereka. Ramadhan, setelah berpuasa sebulan, kini ditutupi dengan sholat hari raya Aidilfiri dan bayar zakat fitrah. Sebagaimana Allah mensyari’atkan sholat ‘iedul Adha sebagai tanda syukur kepadaNya atas penunaian kewajiban ibadah haji.

Keduanya adalah Hari Raya Islam. Telah diriwayatkan secara shahih dari Nabi SAW, bahawa beliau ketika datang di Madinah penduduknya mempunyai dua hari yang mereka itu bermain-main di hari itu, beliau bersabda, “Sungguh Allah telah mengganti untuk kamu dua hari tersebut dengan yang lebih baik dari keduanya, (yaitu) hari (raya) kurban dan hari (raya) fitri.”

Maka tidak boleh menambahi dua hari raya ini dengan mengadakan hari-hari raya baru yang lain. Hari raya dalam Islam itu disebut ‘ied, ertinya 'kembali'. Dia itu kembali dan berulang-ulang lagi setiap tahun membawa kegembiraan dan kesenangan. Kurnia yang telah Allah mudahkan berupa pelaksanaan ibadah puasa dan haji, yang keduanya itu, ibadah puasa dan haji, adalah termasuk rukun Islam.

Bukan sahaja lelaki, bahkan Nabi SAW juga telah memerintahkan muslimah-muslimah agar keluar untuk shalat ‘ied atau hari raya. Kaum wanita disunnahkan hadir tanpa pakai wewangian, tidak berpakaian dengan pakaian hias atau menarik perhatian, dan tidak bercampur aduk dengan lelaki. Begitu juga bagi wanita yang sedang haidh, mengikut syaratnya.

Keluar sholat, menampakkan syiar Islam usahakan supaya betul-betul khusyu’, ghaddhul bashar (menjaga pandangan dari yang haram), menjaga lisan dari cakap kosong, porno, dan bohong. Juga jagalah, jangan dengar cakap-cakap mengarut, nyanyian lara, muzik yang melalaikan otak, pesta raya yang hura-hura, dan permainan orang bodoh, walaupun ianya dari media pemerintah, swasta atau lain-lainnya.

Kerana itu Nabi SAW mensyari’atkan ummatnya untuk menyambung puasa Ramadhan dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan (puasa sunnah) enam hari di bulan Syawwal maka seakan-akan ia berpuasa setahun.” (HR. Muslim).

Yakni dalam hal pahala dan lipat gandanya. Kerana 1 kebaikan dibalas 10 kaliganda, maka satu bulan Ramadhan dibalas 10 bulan, sedang 6 hari (6x10) di Bulan Syawwal dibalas dua bulan. Jadi seluruh bulan dalam setahun itu seakan-akan dipuasai oleh orang Muslim, apabila ia telah puasa Ramadhan dan kemudian diteruskan dengan 6 hari dari bulan Syawwal (setelah ‘ied). Insya Allah. Wallahu’alam bis showab!

Selamat meninggalkan Ramadan dengan penutup yang baik dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin kepada pengunjung-pengunjung blog ini.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL 7 Sept 2010

Ramadhan, Gadis Redah Laut Untuk Sesuap Makanan

Selasa 7Sept 10: Setiap kali Subuh, seorang gadis berusia 16 tahun, Madeline Kalab akan meninggalkan rumahnya dan belayar ke laut Mediterranean dengan menggunakan sebuah bot kecil milik keluarganya.

Madeline mempunyai 2 orang adik lelaki dan keluarganya tinggal di Bandar Al-Sudanyiah, utara Genting Gaza. Gadis remaja itu mewarisi pekerjaan bapanya, Abu Kayed yang telah didiagnos mempunyai penyakit yang memaksanya berhenti kerja. Madeline terpaksa bekerja menggantikan bapanya bagi menyara keluarganya.

Ibu Madeline, Um Kayed turut bekerja sebagai tukang jahit untuk membantu anak gadisnya. Madeline bukan sahaja mecahkan tradisi penduduk Gaza, malah turut melanggar kebiasaan semulajadi serta sekatan rejim Zionis yang dikenakan sejak 4 tahun lalu.

(sumber: Palestine News Network/penterjemah: salwa/AK)

Tengku Abdullah Pahang: Tolak Cara Hidup Berpuak.

Tengku Abdullah di tengah-tengah

KL, 7 Sept 10: PAS menyokong dan menjunjung kasih ke atas titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan umat Islam menolak cara hidup berpuak-puak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, parti itu dapat merasakan betapa besarnya harapan pihak istana untuk rakyat dan parti-parti politik di negara ini bersatu atas nama Islam dan bukannya berpuak-puak mengikut bangsa dan kaum masing-masing.

"Hanya Islam yang mampu memberikan keharmonian dan keamanan serta menyatukan rakyat sedangkan politik mengikut bangsa dan kaum tertentu hanya memecahkan lagi masyarakat.

"Orang Melayu tidak seharusnya duduk dalam parti Melayu sahaja, orang Cina juga tidak boleh duduk parti Cina sahaja, orang India pun begitu," katanya. (AK)

Misteri Kehilangan Sosilawati Mula Dibongkar

Kereta Sosilawati yang ditemui di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya.
Dua kereta mewah dipercayai milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan seorang peguamnya, yang dipercayai hilang sejak 30 Ogos lalu, ditemui oleh di dua lokasi berbeza di Subang Jaya dekat sini malam tadi.

Difahamkan kereta BMW M5 dengan nombor pendaftaran WTL 11, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana di Persiaran Subang Mewah manakala BMW 5series, bernombor pendaftaran AAJ 5, dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan dengan sebuah rumah teres berdekatan Pusat Perubatan Subang dan hotel berhampiran. Kedua-dua kenderaan itu ditemui sekitar 10 malam tadi.

Polis Teliti Senarai Panggilan Telefon Sosilawati - Musa

KUALA LUMPUR: Senarai panggilan telefon terakhir pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka sejak 30 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya sedang menunggu datatersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

"Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

"Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa 12 Sept ini, di sini, Isnin.

Musa berkata setakat ini hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut, iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak seminggu lepas.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

Polis kini menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kehilangan jutawan itu yang juga merupakan bekas isteri kepada penyanyi, Nash.

Musa berkata pihaknya juga belum mendapat maklumbalas daripada Jabatan Imigresen sama ada mereka telah ke luar negara atau tidak.

Mengulas perkembangan lain, Musa berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah diarahkan untuk menyiasat wujudnya sebuah akaun menggunakan nama beliau dalam laman sosial Facebook.

"Saya memang tiada Facebook. Saya dapat tahu ada orang menyamar jadi saya dua bulan lepas dan saya telah arahkan JSJK untuk siasat," katanya.

Mengenai perkembangan kes Michael Soosai, 47, beliau berkata polis perlu menunggu suspek selesai menjalani perbicaraan di India dan menjalani hukuman sebelum dia boleh dibawa balik ke Malaysia.

"Ini kerana kes bunuh yang dihadapinya (di India) mungkin boleh dihukum penjara. Kita tidak tahu lagi...perlu tunggu maklumat lanjut dari India," katanya.

Soosai dilaporkan ditahan reman dua minggu lagi di negara itu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kegiatan jenayahnya termasuk kes bunuh pada 2004 di India. -BERNAMA

Tips Mencari Suami Islamik -Ahlam Mosteghanemi

Novelis Aljazair, Ahlam Mosteghanemi

DUBAI 7SEPT 10: Novelis kenamaan Aljazair, Ahlam Mosteghanemi memanfaatkan facebook miliknya, membuat halaman khusus tentang 'cara memilih suami yang baik'. Bahkan sejak Ramadhan, Mosteghanemi aktif menulis dan memberikan nasihat kepada perempuan yang tengah berusaha mencari suami yang sesuai dengan prinsip-prinsip Islam.

"Jangan pernah percaya pada lelaki yang tidak menaati perintah Tuhan. Jika ia tidak bersyukur kepada Allah, dia tidak akan berterima kasih kepada anda. Jika ia bersalah maka ia akan mendurhakai Allah, jika ia tidak merasa bersalah maka ia akan selalu menyakiti anda," demikian penggalan nasihat Monteghanemi seperti dikutip dari Alarabiya, Ahad, 5 September.

Mosteghanemi juga memperingatkan kepada Muslimah untuk tidak memilih pasangan yang tinggalkan shalat dan berpuasa. Menurut dia, pasangan yang meninggalkan kewajibannya maka ia akan meninggalkan pula pasangannya. Pasangan yang tidak berfikir tentang akhirat tidak akan berkomitmen terhadap pernikahan kerana dia masih berfikir tentang dunia dan sekarang. Akibatnya dia tidak memikirkan masa depan.

"Jika ia lupa Tuhan melihat dia, dia akan lupa melihat air mata anda, jika ia tidak meminta ampun kepada Tuhan kerana berbuat dosa maka ia tidak akan meminta maaf ketika menyakiti anda," paparnya.

Apa yang dituliskan Mostagenemi banyak mendapat respons dari penggemar ataupun pembaca setianya. Sejak perkenalkan halamannya, Mostagnemi memilki 60 ribu penggemar. Cara dia mengemas antara cinta dan agama menjadikan tulisannya begitu menarik.

"Tutur katanya sangat berharga," demikian komentar salah satu pembaca Mostagnemi. Dia menilai apa yang dikatakan Mostagnemi, membuktikan bahawa Allah mengatur hubungan dan perilaku manusia. "Ahlam, anda membuat kami terpesona. Memang benar bahawa orang yang mengasihi Tuhan akan dibalas dengan kasihnya yang paling indah. Bahkan Nabi SAW memperlakukan perempuan dengan lembut. Sudah semestinya setiap Muslim mengikuti saranan ini," papar pengemar Mostagnemi yang lain.

Ahlam Mostagnemi merupakan salah satu penulis terkemuka di Aljazair. Dia merupakan penulis perempuan arab pertama yang karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Salah satu karyanya yang terkenal adalah Memory of the Flesh. Novel ini dicetak publikan tahun 1993 dan sukses terjual lebih dari satu juta salinan. Selain itu, karyanya dianggap satu dari 100 novel Arab ternama, diterbitkan di abad ke-20. Majalah Forbes mendaulat dirinya sebagai penulis Arab pertama yang berjaya menjual karyanya hingga 2 jutanaskah.

Cuma sayang, gambarnya yang terpapar di atas ini tidak bertudung sebagai lambang wanita yang mulia dan taat beragama. (2MA)

Ada kaitan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails