Friday, September 23, 2011

Rela DAP Keluar PAKATAN Jika Tolak Hudud -N/Aziz

Pertemuan Nik Aziz dengan Lee Kuan Yew bukan penghalang untuk menegakkan negara Islam dan undang-undang hudud.
KOTA BARU, 22 Sept 11: The Malaysian Insider melaporkan, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

“Saya tetap dengan Islam kerana benda (perkara) ini wujud pada tahun 1950-an lagi dan bukannya benda baru. Berdialog beberapa kali berdialog dah,” kata beliau.

“Nak jumpa beberapa kali jumpa dah. DAP dah (pernah) keluar sekali dah, pada masa (gabungan pembangkang dalam) Angkatan Perpaduan Ummah (APU), saya kata ‘bye-bye’ tak apa.

“Sekarang dia (DAP) masuk balik ... itu dia (DAP) punya pasallah (jika DAP mahu keluar),” kata beliau selepas Majlis Himpunan Kursus Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Awal hari ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Semalam, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu. Mengulas lanjut, beliau berkata tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

“Kalau tidak mahu (laksana hukum Islam) buat bumi sendiri. Selagi tumpang bumi Allah, agama rasmi adalah Islam. Kalau tidak buat udara sendiri, jangan tumpang udara Allah. Di Kelantan kita jemput semua pemimpin bukan Islam datang dan kita berdialog.

“Kalau DAP berkeras tidak usah, sebelum keras kita berdialog dulu. Kenapa keras tidak mahu berlembut. Tak kena di mana,” katanya.

Justeru Nik Abdul Aziz mempersoalkan rasionalnya untuk bertemu DAP lagi semata-mata mahu menjelaskan perkara itu sedangkan parti itu mengetahui PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam. (IH)

Lihat sebelum ini..

Kenyataan TPM Jelas UMNO Tolak Hudud


KL, 23 Sept 11: Jelas UMNO tidak mahu laksanakan hukum hudud, bila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno bersetuju dengan hukum hudud pada dasarnya tetapi Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang sedemikian buat masa sekarang, walaupun ia sebahagian daripada Islam. Begitu pandangan Weblog Ibnu Hasyim mengenai kenyataan beliau itu.

Kata TPM itu lagi, ada keperluan untuk mengembangkan maklumat mengenai undang-undang hudud agar orang ramai memahami sebelum parti yang memerintah boleh berfikir untuk melaksanakannya.

“Ini adalah pendirian kami sejak dari dahulu lagi,” kata beliau (gambar) kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai harga barang dan bekalan di sini.

“Lebih-lebih lagi, dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama, kita harus mengembangkan pengetahuan secara meluas sebelum kita boleh sampai ke satu tahap di mana kita merasakan bahawa sudah sesuai masanya (untuk melaksanakan), tetapi saya tidak fikir kita sudah sampai (di situ),” kata Timbalan Presiden Umno.

Muhyiddin menjelaskan bahawa Muslim tidak boleh menolak realiti bahawa undang-undang hudud adalah sebahagian daripada prinsip Islam tetapi pihaknya tidak bersetuju dengan PAS dan PKR bahawa kini adalah masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

“Isu di sini bukan soal hukum, tetapi persoalannya mengenai pelaksanaan hudud,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini.

Kata Muhyiddin, jika Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasakan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai bagi melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu, terserah kepada beliau.

Dalam ulasannya pagi tadi, Nik Aziz menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.

Menurut Weblog Ibnu Hasyim, "Alasan TPM itulah yang diberikan UMNO sejak merdeka lebih setengan abad lalu, semasa zaman Allahyarman Tengku Abdul Rahman lagi. Tetapi sebenarnya ialah kerana parti UMNO ialah parti yang memperjuangkan cita-cita kebangsaan (Fasal 3 Perlembagaan) bukan macam parti PAS yang memperjuangkan dasar Islam (Fasal 3 Perlembagaan PAS). Tak usah temberang UMNO, itu sudah jelas!" (IH

Lihat sebelum ini..

Thursday, September 22, 2011

Lelaki Tak Boleh Jual Pakaian Dalam Wanita Di Saudi

Ai, sampai begini nak mmbeli pakaian dalam wanita..
Jeddah: Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, mengeluarkan arahan mewajibkan kedai menjual pakaian dalam wanita hanya boleh menggaji wanita tempatan. Langkah itu dibuat bagi menangani isu pengangguran yang tinggi di kalangan wanita negara itu.

Agensi berita SPA melaporkan, kerajaan turut mengenakan syarat sama di syarikat pengeluar ubat-ubatan. Sejak lama dulu, wanita Arab Saudi memang merungut mengenai kesukaran mereka membeli pakaian dalam di kedai yang dijaga pekerja lelaki.
Aktivis hak asasi wanita, Fatima Garub, menyambut baik keputusan Abdullah dan berpendapat ia mampu membuka kira-kira 6,000 ruang pekerjaan untuk wanita Arab Saudi. “Mulai hari ini (beberapa bulan lepas), wanita tidak lagi dimalukan.“Terima kasih kepada kerajaan yang mengambil keputusan dinanti-nantikan ini,” katanya.

(IH)

Isu IC: Nafi WikiLeaks, Perlu Panel Khas Siasat


KL, 22 Sept 11: Bekas pengerusi Mafrel Abdul Malek Hussin menafikan laporan WikiLeaks mendakwa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ada mengatakan lebih 60,000 rakyat asing di Sabah telah diberikan kad pengenalan palsu dan menjadi pengundi bagi membolehkan Umno-BN menguasai negeri itu.

“Itu tidak betul. Bagaimana SPR boleh mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing. Tetapi, isunya ialah ada pihak yang mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing untuk menjadi rakyat negara ini... dan menjadi pengundi,” kata Malek.

Justeru kata beliau, isunya bukan WikiLeaks ataupun Rashid, tetapi masalah yang dibangkitkan iaitu pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing dari Indonesia dan selatan Filipina di Sabah sejak dahulu lagi tetapi keperluan mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat isu ini.

“Walaupun ini isu lama, tetapi masih diperkatakan. Jadi, kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini... isunya bukan sama ada WikiLeaks atau Tan Sri Rashid,” kata beliau.

Malek menegaskan, tugas SPR hanyalah mendaftar mereka yang layak dengan memiliki status kewarganegaraan Malaysia sebagai pengundi.

“Siapa yang mengeluarkan kad pengenalan... KDN, dan agensinya ialah JPN, bukan SPR,” kata Malek.

“Apabila mereka memegang kad pengenalan bertaraf rakyat Malaysia, mereka boleh didaftarkan sebagai pengundi, di SPR,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. (IH)

Hukum Hudud Perlu Ganti ISA -Balasubramaniam.


JERANTUT, 22 Sept 11: 'Hukun Hudud' perlu diganti dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), kata Timbalan Ketua DHPP Pusat (Dewan Himpunan Penyokong PAS) , N. Balasubramaniam.
Beliau menyambut baik pemansuhan ISA yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, dan mahu akta yang baru diganti dengan hudud. Menerutnya, pemansuhan tersebut menampakkan kerajaan telah insaf dengan kesalahan menggunakan hukum yang zalim itu jadi sewajarnya digantikan dengan undang-undang yang adil.
“Secara peribadinya, saya melihat penggantian dua akta baru kepada ISA seperti yang diumumkan itu tidak perlu diwujudkan sebaliknya digantikan dengan pelaksanaan hukum hudud.
“Hukum hudud itu lebih dekat dengan keadilan kerana penggubalannya tidak terikat dengan politik atau kepentingan kelompok tertentu, sedangkan akta baru dikhuatiri jelmaan roh ISA yang asal juga,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan undang-undang peninggalan penjajah ISA dalam Perutusan Khas Hari Malaysia minggu lalu. Sebaliknya Najib memaklumkan dua undang-undang baru akan digubal (sebagai ganti) bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Dalam perutusan itu juga, Najib turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 27 Akta Polis 1967.
Tambah Bala, oleh kerana kerajaan sudah sedar bahawa selama ini negara menggunakan undang-undang yang salah dan zalim beliau sependapat dengan kenyataan Mohamad Sabu yang mahukan kerajaan memohon maaf secara terbuka kepada mangsa tahanan ISA terdahulu.
“Adab orang yang sudah membuat salah, mestilah meminta maaf. Bahkan ganti rugi kepada mangsa juga perlu memandangkan sebahagiannya telah dipandang serong oleh masyarakat sedangkan kesalahan mereka tidak pernah dibuktikan di mahkamah.
“Selain daripada kerjaya mereka musnah sehingga pendapatan mereka terjejas. Apa lagi terpaksa meninggalkan anak-anak yang terpaksa berhadapan dengan tohmahan umum dan sentiasa hidup dalam ketakutan.
“Mangsa telah menanggung kerugian yang teruk dan dijatuhkan maruah, jadi mengapakah kerajaan tidak boleh memohon maaf dan memberi ganti rugi,” soalnya.
Sementara itu, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau secara peribadi menyokong usaha kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia tidak melanggar hak-hak orang bukan Islam dan pentadbiran yang adil adalah dijamin. (IH)

Lihat sebelum ini..

Calon Pakaan S'ngor: PKR 21, PAS 20, DAP 15

NONE

KL 22 Sept 11: Rundingan pembahagian kerusi antara parti gabungan Pakatan Rakyat di Selangor telah selesai dengan keputusan mengekalkan
status quo dalam pilihan raya umum lalu. Dengan itu, PKR akan kekal bertanding di 21 DUN, PAS di 20 kerusi dan DAP pula sebanyak 15 kerusi, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad.

"Pembahagian kerusi di Selangor sudah selesai... PAS masih beranggapan (untuk) berperanan (memenangi) undi orang Melayu," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid (gambar, kiri sekali) berkata, sebarang cadangan pertukaran tempat bertanding antara parti bergabung perlu dibawa kepada rundingan pimpinan tertinggi mereka.

Dengan pembahagian itu, Khalid yang juga ahli jawatankuasa PAS berharap parti Islam itu akan menang di semua kerusi yang ditandingi. "Sekurang-kurangnya kalau dahulu lapan (kerusi), kita (mesti) menang 12 atau 13 kerusi untuk memastikan kedudukan PAS lebih kukuh," katanya.

Manakala di kerusi parlimen pula, Khalid mendedahkan, terdapat cadangan supaya PAS bertanding lebih di kerusi negeri itu, bagaimanapun ia perlu diputuskan PAS Pusat. Sementara itu, mengulas pemilihan calon pilihan raya, Khalid berkata nama yang dicalonkan kawasan dan sayap parti sebelum tarikh akhir 31 Ogos lalu akan diserahkan kepada PAS Pusat hujung bulan ini.

"Kita akan majukan kepada Pusat untuk membuat penapisan dan pengesahan," katanya yang juga anggota parlimen Shah Alam. (IH)

Dr Asri Akui Kejujuran Nik Aziz Laksana Hudud

NONE
KL 22 Sept 11: Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengakui kejujuran Nik Aziz dalam melaksanakan hukum Hudud di Kelantan seperti yang diamanahkan oleh rakyat dalam pilihanraya sejal sejak beliau menjadi menteri besarnya.

Mengulas dakwaan bahawa hasrat Kelantan itu sekadar mainan politik, Dr Asri menafikannya dengan berkata "tuduhan itulah mainan politik". Katanya, walaupun hanya orang luar dan bukan anak Kelantan, beliau - yang sering diberi peluang melihat pentadbiran negeri itu dari dekat - yakin hasrat itu "bukan main-main".

azlan"Ia adalah hasrat yang terbit dari perasaan tanggungjawab perintah muslim terhadap ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan nas-nas Rasulullah SAW, dalam sunnah baginda," katanya.

Katanya, beliau pernah mendengar sendiri Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditanya tentang hudud dan menjawab:

“Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya”.

Dr Asri berkata, daripada riak wajah Nik Aziz itu, beliau merasai kejujuran dan kebimbangan beliau yang diamanahkan pemerintahan mengenai hukum Allah itu.

Bekas mufti Perlis itu berkata, bukan menjadi kesalahan Kelantan ekoran hukum hudud masih tidak dapat dilaksanakan di negeri itu disebabkan keterbatasannya. Suasana kondusif untuk melaksanakan hukum itu terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran kerajaan pusat.

"Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan.

"Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan," kata Dr Asri.

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri berkata, Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan.

"Namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan," katanya. (IH)

Lihat sebelum ini..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails