Rumah perlindung, gambar hiasan sahaja..
Penghuni sebuah rumah perlindungan di Melaka diliwat
MELAKA - Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) mendakwa berlaku penderaan seksual dan liwat ke atas penghuni sebuah rumah perlindungan di negeri ini. Presidennya, Muhammad Khairul Hafiz mendakwa kejadian liwat dan penderaan seksual itu bukan sahaja dilakukan penghuni rumah itu malah oleh staf rumah perlindungan itu termasuk pengawal keselamatan dan atendan.
"Dipercayai berlaku lebih 100 kes sejak 2004 sehingga Jun tahun ini. Saya juga difahamkan, tahun ini saja, tujuh laporan polis berhubung kes liwat di rumah perlindungan berkenaan dibuat," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Sambil menyatakan Perbak mempunyai kenyataan pengakuan seorang kakitangan di rumah perlindungan itu yang mengesahkan kejadian liwat dan penderaan seksual itu, Muhammad Khairul berkata, pihaknya telah membuat dua laporan polis di Putrajaya berhubung perkara itu baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pemuda yang mendakwa pernah menjadi mangsa liwat dan penderaan seksual di rumah perlindungan itu turut hadir pada sidang akhbar itu. Pemuda itu yang kini berumur 19 tahun mendakwa perbuatan terbabit dilakukan secara paksa terhadapnya oleh penghuni dan kakitangan di rumah perlindungan itu ketika dia ditempatkan di situ pada 2006.
"Kira-kira dua bulan selepas saya dimasukkan ke rumah perlindungan tersebut, seorang pegawai melakukan liwat ke atas saya dan sejak itu beberapa penghuni serta pegawai mengulangi perbuatan itu.
"Saya diperlakukan sebegitu dalam tempoh setahun. Masa itu saya masih budak, menyebabkan saya tidak tahu perbuatan terbabit salah di sisi agama selain terpaksa berdiam diri kerana takut dikenakan tindakan," dakwanya.
Katanya, sebelum dihantar ke rumah perlindungan di negeri ini, dia ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Kuantan, Pahang sejak dilahirkan pada 1993.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye ketika dihubungi Bernama berkata, polis tidak menerima apa-apa laporan berkaitan penderaan seksual di rumah perlindungan tersebut. Bernama
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Teruknya di pentadbiran di bawah Barisan Nasiona (BN)?