Pelan RTB Batu 18 yang menunjukkan sudah ada nombor lot.
PEKAN: Bayangkan, selepas 50 tahun meneroka dan
mengusahakan tanah yang dijanjikan, sehingga kini 60 peneroka asal yang
lebih separuh daripadanya sudah meninggal dunia itu masih gagal
mendapatkan status tanah milik mereka.
Mereka ialah sanak saudara Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dari
Kampung Pahang Tua, Lamir, dan Langgar yang digalakkan oleh Perdana
Menteri Malaysia kedua itu mengusahakan sebidang tanah di Batu 18 Jalan
Kuantan-Pekan.
Seorang
peneroka asal tanah berkenaan Isa Mohd Nor, 76, yang ditemui di Pahang
Tua kelmarin merupakan antara 20 orang yang terawal mengusaha dan
meneroka tanah Rancangan Tanah Berkawal (RTB) Batu 18 iaitu sekitar
tahun 1961.
Katanya, Allahyarham Tun Razak dan Menteri Besar Pahang ke-9
Allahyarham Datuk Seri Mohamad Jusoh yang juga berasal dari kampungnya
yang suruh peneroka memohon tanah yang diusahakan itu.
“Dengan galakan tersebutlah yang menguatkan kami berulang dengan
berbasikal sejauh lebih kurang 30 kilometer selama sejam lebih dengan
membawa benih kelapa untuk ditanam di sana.
“Malangnya setelah memohon beberapa kali tapi tak dapat geran hak
milik sehingga ke hari ini. Sekarang tinggal boleh bilang dengan jari
sahaja lagi yang hidup, yang lain dah meninggal dunia.
“Walaupun sudah tiada kudrat tetapi dalam hati harap sokmo nak
dapatkan tanah yang pernah kita usahakan dengan susah payah jerih penat
itu, selagi ada sisa-sisa hayat nak juga tengok tanah itu jadi hak
milik,” keluhnya sayu ketika ditemui kelmarin.
Isa yang kini sudah agak uzur, melahirkan rasa terkilan dan kecewa
kerana orang luar boleh dapat tanah sedangkan beliau bersama orang-orang
kampung sendiri telah menghamburkan titik peluh tetapi masih gagal
mendapat geran hak milik tanah yang dijanjikan.
RTB Batu 18 seluas 64 hektar mula diteroka pada 1961 sebagai kawasan
pertanian tetapi dipendamkan oleh pihak berkuasa daripada membuat
keputusan mengenai status tanah itu.
Menurut maklumat, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamad Jusoh
ketika itu bersetuju memberikan 0.8 hektar kepada 60 penama awal dan
peringkat kedua yang memohon secara berkelompok selepas tanaman mereka
berjaya mengeluarkan hasil sejak 1970.
Bagaimanapun, RTB berkenaan masih tidak memiliki geran hak milik tetap hingga ke hari ini.
Keadaan itu menyebabkan peneroka-peneroka tanah berkenaan bimbang
kerana kerajaan negeri boleh mengambil alih tanah berkenaan pada
bila-bila masa tanpa sebarang pampasan kerana tiada sebarang dokumen
mengesahkan tanah itu mempunyi pemilik sah.
Akhirnya tanah tersebut ditinggalkan sehingga dipenuhi belukar dan hutan.
Seorang lagi yang pernah mengusahakan tanah tersebut peringkat awal,
Ramlah Ibrahim, 68, berkata pada tahun 1961 beliau yang baru berkahwin
telah mengikut arwah suaminya Razali Ismail mengusahakan tanah Batu 18.
Beliau yang tinggal di rumah PPRT Pahang Tua berkata, beliau masih
ingat ketika itu berulang-alik bersama suaminya (yang telah meninggal
pada tahun 2001) berbasikal pagi-pagi hari membawa benih kelapa, membawa
bekal makanan dan pulang pada sebelah petang.
“Bayangkan pada masa itu pagar tidak ada, biasanya akan dimakan oleh
binatang kerana musuh kuat sangat. Itu belum lagi cerita bagaimana
terpaksa menghadapi ular, lipan, jengking dan pacat. Tetapi mengenangkan
arwah Tun (Razak) suruh jayakan, ulang jugalah.
“Sebab itulah kami nak sangat jadi tanah Batu 18 jadi hak milik
selagi masih hidup ini kerana masih tiada tanah sendiri, yang duduk ini
tanah arwah pak mertua,” tegasnya.
Tambahnya lagi, beliau pernah berjanji dengan 8 orang anak-anak jika
tanah itu lulus esok (nanti) masing-masing berhasrat untuk membina rumah
di sana.
Muhamad Ibrahim, 47, yang terlibat menuntut hak ayahnya (Ibrahim
Kasim) berkata wakil rakyat pernah berjanji dan beri jaminan untuk
selesaikan isu geran tanah sebelum pilihan raya umum (PRU) 13.
“Saya hadir dalam satu mesyuarat di kampung Ubai 13 Januari tahun
lalu dihadiri Adun Inderapura yang juga exco kerajaan negeri. Masa
mesyuarat macam geran dah nak lulus hari esok dengan serah borang 5 A.
“Sekarang dah setahun... tidak ada pun, jadi nampak macam gimik saja
nak harap-harapkan 60 peserta. Sebenarnya ada ayah dan anak yang memohon
dulu, sekarang dua-dua dah meninggal dunia. Sekarang sebab banyak kali
mohon, akhirnya bila tak dapat geran penduduk terpaksa tinggalkan kerana
kecewa,” ujarnya.
Justeru Muhamad meminta pihak berkuasa menyelesaikannya segera.
Katanya, cuba bayangkan jika isu ini berlaku di Kedah, Kelantan atau
Selangor, sudah tentu siang malam akan dimainkan dalam televisyen dan
akhbar.
Mohd Nazri Samad, 55, yang menuntut hak ayahnya (Samad Kasim) berkata
sudah berapa kali wakil rakyat bertukar dan mereka berjanji terutama
menjelang PRU tapi masalah penduduk tidak juga selesai.
Katanya, sebenarnya RTB Batu 18 itu sudah ada pancang batu, dah ada
nombor lot, maknanya sudah sedia untuk diluluskan, tetapi rakyat kena
tunggu sehingga setengah abad bahkan sudah ada berita mengatakan lot-lot
tersebut ada yang dilapis oleh orang-orang politik atas nama peneroka
awal.
“Kami dah hantar memorandum kepada orang nombor satu, Najib Tun Razak
dengan serah tangan, dia dah tahu tapi tiada tindakan juga. Jadi
seolah-olah orang kampung dah tiada tempat untuk mengadu.
“Yang mengusahakan itu semuanya puak sedara mara Tun Razak juga bukannya orang lain,” tegasnya.
Nazri yang pernah merasai kesusahan mengikut ayahnya berulang ke
tanah itu berbasikal berkata, kini ayahnya berumur 88 tahun dan hampir
nyanyuk, tetapi geran tanah masih belum dapat.
Fadzir Bidin, 45, yang menuntuk bagi pihak datuknya, percaya
kemungkinan ada campur tangan politik menyebabkan geran tidak diperolehi
peneroka awal.
Katanya, ada kemungkinan kawasan kebun itu duduk dalam Dun lain
sedangkan pemohon bermastautin dan mengundi dalam Dun lain jadi
seolah-olah tiada ‘desakan politik’ untuk menyegerakannya.
“Kami kesal bagaimana arwah tokki saya mengusahakan tanah itu tahun
lalu tak boleh selesai, sedangkan orang luar boleh dijemput ke Pekan dan
diberi penempatan, anak tempatan tidak ada apa yang dapat,” keluhnya
kesal.
(Hrkh)