Oleh KHALID sAMAD
Khalid Samad
Yang paling kerap diulangi ialah bahawa saya mendiamkan diri dan tidak menyerang Anwar ‘sepertimana saya (kononnya) serang DS Presiden Pas’ apabila cadangan yang sama dikemukakan oleh DS Presiden.
Saya juga dituduh ‘mencemuh’ DS Presiden atas isu UG ini tetapi tidak berani menyentuh walaupun sedikit apabila Anwar sebut perkara yang sama.
Amatlah jelas bahawa mereka yang membuat tuduhan ini tidak tahu hujung pangkal. Selain dari maklumat yang didengari yang diulangi, seperti burung kakak tua, mereka tidak tahu apa-apa.
Untuk respon kepada tohmahan ini, yang datang siap dengan poster tersendiri yang disebar-luas melalui Facebook kumpulan tertentu, saya bawa kembali artikel asal saya yang saya tulis sekitar Mac 2009 berhubung cadangan DS Presiden tersebut.
Kalau ada didapati terdapat cemuhan atau serangan terhadap DS Presiden di dalam artikel tersebut, saya harap boleh ditunjukkan pada perenggan berapa dan ayat yang mana. Kalau tidak ada, harap diam serta jangan panjangkan lagi fitnah dan tohmahan anda dan mungkin saya akan maafkan.
Kerajaan Perpaduan
Kita baru-baru ini dikejutkan oleh cadangan DS Presiden PAS supaya difikirkan penyelesaian melalui ‘Unity Government’ atau Kerajaan Perpaduan. Oleh kerana konsep kerajaan Perpaduan ini adalah satu konsep yang baru, maka ramai yang tidak begitu jelas dengan apa yang dimaksudkan.
Ada yang menganggap ianya sebagai pergabungan di antara Pas dan Umno atau Pas dan BN.
Walaubagaimanapun, apa yang saya faham sebagai maksud DS Presiden ialah kerajaan gabungan di antara BN dan PR. Gabungan ini akan menjadikan semua pihak sebahagian dari kerajaan yang memerintah dan tiada pembangkang buat seketika.
Dengan itu persengketaan dapat dielak dan semua boleh tumpu kepada persoalan menghadapi dan mengatasi kegawatan ekonomi yang sedang menimpa.
Cadangan ini dikemukakan hasil dari suasana politik yang semakin tegang dan kegawatan ekonomi yang sedang menimpa. DS Presiden khuatir persengketaan politik yang sedang dialami sekarang ini, disebabkan persaingan yang begitu sengit di antara PR dan BN akan menyebabkan ketegangan semakin meruncing sehingga menjerumuskan negara ini ke dalam suatu suasana yang tidak terkawal.
Politik perkauman berserta pendekatan pihak berkuasa secara kuku besi akan menyebabkan pertelagahan yang tiada kesudahan sehingga masalah kegawatan ekonomi tidak terurus. Ini akan menyebabkan semua pihak, bukan sekadar parti-parti politik tetapi juga rakyat jelata mengalami kerugian yang amat besar.
Konsep ‘kerajaan Perpaduan’ ini menuntut supaya BN berkongsi kuasa dengan PR di peringkat pusat, khususnya. Setiap kementerian mesti dikuasai bersama dan dasar-dasar perlu ditentukan secara konsensus.
Ianya bukan satu keadaan di mana PR duduk di bawah penguasaan BN tetapi setaraf dengannya sebagai rakan kongsi. Parti-parti komponen PR tidak menyertai BN tetapi kekal dalam PR; dan PR yang ‘bergabung’ dengan BN.
Untuk cadangan ini berjaya, semua pihak yang terlibat mesti sanggup mementingkan negara lebih dari kepentingan parti atau diri sendiri.
Secara umumnya ia satu cadangan yang baik, sekiranya syarat-syarat ini dapat dipenuhi. Malangnya BN masih lagi istiqamah dengan budaya politik pengautan kekayaannya dan adalah amat sukar untuk saya membayangkan BN akan bersetuju.
Mereka tidak mungkin sanggup berkongsi kuasa dengan PR sedangkan mereka masih menganggap mereka mampu kekal berkuasa sepenuhnya secara bersendirian.
Kedua, mereka tidak pernah mampu meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan diri dan parti mereka. Lihat sahaja rompakan kuasa yang mereka lakukan di Perak.
Ketiga, mereka juga menyedari bahawa sekiranya mereka membenarkan PR memerintah bersama, PR akan tambah berpengaruh dan semakin diterima rakyat.
Pendedahan rakyat kepada kemampuan PR akan menyebabkan kuasa akan hilang dari genggaman mereka sedikit demi sedikit.
Walaupun idea ini merupakan penyelesaian yang paling ‘ideal’ untuk negara kita buat ketika ini, di mana kita boleh elak daripada satu suasana persengketaan yang mampu memusnahkan segala-galanya, tetapi pepatah Melayu ada berkata ‘Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Namun, kita boleh mencadangkan dan kita lihat bersama.
Mana tahu, mungkin mereka juga sudah serik dengan suasana ini dan akan membuang jenis pemimpin yang mementingkan diri. Tanpa pemimpin yang sebegini mereka akan mula menyedari betapa baiknya cadangan ini.
Sehingga keadaan itu berlaku dan hari bertuah itu tiba, kita tingkatkan azam kita bersama, sengsingkan lengan dan terus berusaha kearah kejatuhan kerajaan BN. Bermula di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, menuju ke Batang Ai.
Dari artikel ini amat jelas bahawa:
1. UG yang saya faham dicadangkan oleh DS Presiden adalah antara PR dan BN. Bukan Paa dan Umno/BN. Kalau Pas dan Umno/BN, memang saya tolak dan saya akan sebut ianya pengkhianatan. Kenapa? Kerana setelah menang dengan bantuan PR, tiba-tiba Pas ingin tinggalkan PR untuk berUG dengan Umno/BN. Sedangkan yang undi Pas dan memenangkan Pas menyokong PR dan ingin menjatuhkan Umno/BN!
Maka kalau Pas tinggalkan PR untuk bersama Umno/BN maka ianya adalah jelas satu pengkhianatan.
2. UG di antara PR dan BN pula, dengan syarat kongsi-kuasa sebenar, saya sebut sebagai ‘penyelesaian ideal’. Tetapi saya tidak yakin Umno/BN ikhlas dalam soal ini kerana mereka pasti sedar akhirnya mereka yang rugi dan PR akan semakin mantap. Oleh itu tiada sebab mereka akan inginkan ianya berlaku.
3. Dengan itu saya rumuskan bahawa setelah dibuat cadangan, kita lihat sahaja sama ada Umno/BN ikhlas atau sebaliknya. Saya yakin ianya hanya isu yang bertujuan untuk memecah-belahkan PR.
Dalam kes Anwar, setakat ini yang sebut UG adalah hanya Utusan Malaysia. Walaupun kebelakangan ini ada yang semakin meyakini Utusan, sehingga meng‘whatsapp’kan berita darinya, minta maaf, saya tetap tidak percaya pada Utusan.
Setakat yang saya baca dan dengar, Anwar hanya meminta supaya PR dan BN bertemu untuk berbincang penyelesaian masalah negara, khususnya dalam persoalan ekonomi negara.
Dalam soal bertemu untuk berbincang isu negara, ianya tiada masalah. Pas sendiri pernah hadir dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara atau MAPEN pada 1992 kalau tidak silap saya. Saya sendiri salah seorang wakil Pas pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, kalau Anwar ingin tubuh UG antara PKR dan Umno/BN sudah pasti akan saya serang.
Tapi bodohlah saya untuk menyerang sedangkan beliau menafikannya dan tiada bukti untuk menolak penafiannya itu kecuali Utusan yang sudah kita semua sedia maklum akan kredibilitinya.
Maaf untuk yang kesekian kalinya, tetapi saya tidak percaya Utusan dan memang kerja Utusan adalah untuk melaga-lagakan PR.
Wallahu 'Alam
KHALID SAMAD
Artikel ini dipetik dari blog Khalid Samad, http://www.khalidsamad.com/2013/09/persoalan-kerajaan-perpaduan giliran.html#more
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013