Friday, March 07, 2014

Tiada Peguam PM Jadi Pendakwa Dlm Komanwel, -N Surendran


 

PUTRAJAYA: Peguam N Surendran menegaskan tiada sebab yang membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah dalam tuduhan liwat.

Jelas beliau, mahkamah mesti membebaskan Anwar dan menolak rayuan pihak pendakwa yang diketuai oleh peguam peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Dalam sejarah Komanwel tidak pernah ada peguam peribadi Perdana Menteri yang terlibat di dalam kes digunakan sebagai pendakwa seperti mana berlaku sekarang.
"Ini telah memalukan negara apabila Shafie dibenarkan menjadi pendakwa dan mendakwa dalam kes ini.
"Imej kehakiman dan mahkamah negara terjejas kerana membenarkan peguam peribadi Perdana Menteri itu mengetuai pihak pendakwaan walaupun beberapa bantahan dibuat untuk menghalang beliau," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai kepada media, semalam.

Beliau turut memberitahu keterangan yang berlangsung semalam tidak mempunyai asas yang kukuh untuk kerajaan membuat rayuan terhadap Anwar. Menurutnya lagi, persoalan turut timbul apabila hakim cuba mempercepatkan kes itu.

"Kita tidak bersetuju bila hakim cuba mempercepatkan kes ini, kita harap peluang sepenuhnya diberikan kepada peguam bela untuk berhujah dengan lebih rapi.
"Apa yang penting sekali, sekiranya kalau kerajaan serta Peguam Negara mempunyai integriti mereka perlu menarik balik rayuan tersebut dan mengembalikan imej kehakiman negara.
"Hari ini (semalam) yang dibicara bukan Anwar tetapi yang dibicara adalah sistem kehakiman negara," sambung beliau.

Naib Presiden PKR itu juga tidak menolak jika Anwar disabitkan kesalahan, beliau akan hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

"Keputusan kita tidak tahu bila sama ada esok (hari ini) atau Isnin, jika beliau (Anwar) disabitkan bersalah, maka dia akan hilang kelayakan untuk bertanding," jelas beliau.

Rayuan bagi kes liwat II pada hari pertama yang selesai pada jam 6 petang semalam akan bersambung pagi ini. Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Balia Yusof Wahi bersama Aziah Ali dan Mohd Zawawi Salleh. (HD)

Kenapa Pula Rafizi Ganti Anwar Di Kajang?

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga arkitek 'Langkah Kajang' dikatakan bakal menjadi pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim di PRK Kajang jika Anwar disabitkan bersalah kes liwat di Mahkamah Rayuan. Gambar fail.



PKR mempunyai senarai calon yang bakal mengambil tempat sebagai calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat yang membolehkan ketua pembangkang itu dikenakan hukuman penjara, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa barisan kepimpinan PKR mengenal pasti seorang calon – pengarah strateginya, Rafizi Ramli yang juga arkitek ‘Langkah Kajang’ – sebagai kemungkinan besar pilihan untuk menggantikan Anwar.

Rafizi enggan mengulas berhubung kemungkinan menjadi calon gantian, dengan berkata ia terpulang kepada Anwar untuk mengumumkannya jika keadaan itu berlaku. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut menafikan ada rancangan luar jangkaan jika Anwar didapati bersalah. Seorang lagi sumber dalaman parti mengakui mereka mempunyai calon siap sedia tetapi enggan mengulas lanjut.

“Kita juga melihat ahli parti lain yang berpotensi dan boleh dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu,” seorang lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan dan mengundi pada 23 Mac.
Rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Anwar kini sedang didengar di Mahkamah Rayuan.
Keputusan dijangka diketahui seawal hari ini atau selewat-lewatnya pada Isnin, sehari sebelum hari penamaan calon.

Apa yang boleh Anwar harapkan ialah mahkamah menunda penghakiman itu pada tarikh akan datang bagi membolehkan panel hakim meneliti hujahan kedua-dua pihak daripada pendakwaan dan pembelaan. Sepanjang tempoh dua minggu lalu, Anwar berperang di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, terutama untuk mengenepikan peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada menjadi pendakwa dalam kes liwatnya, tetapi tidak berjaya.

Peluang terakhirnya untuk menghentikan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes liwatnya ialah dengan memfailkan permohonan penangguhan interim di Mahkamah Persekutuan pada Rabu lalu, dan itu juga ditolak. Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh kelihatan tenang sepanjang prosiding di mahkamah dan sempat berlawak dengan beberapa wartawan yang membuat liputan kesnya.

Bagaimanapun, penyokongnya yang datang ke mahkamah untuk memberi sokongan moral bimbang dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Pada 9 Januari, 2012, Anwar, 66, dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara pada 2008.

Jika Anwar disabitkan sebelum tarikh penamaan calon, beliau tidak layak bertanding di PRK Kajang.
Kesalahan liwat membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Mengikut undang-undang, seorang ahli Parlimen atau Adun, yang disabitkan hukuman penjara untuk setahun atau lebih dan dikenakan denda RM2,000 atau lebih, akan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat dan pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan mereka.

Peguam jenayah berkata, liwat adalah kesalahan serius dan pihak pendakwa raya akan memohon hukuman berat iaitu penjara antara lima hingga 10 tahun. Anwar boleh memperolehi penangguhan hukuman untuk memohon rayuan di Mahkamah Persekutuan.

PRK Kajang tercetus dengan peletakan jawatan oleh Adunnya daripada PKR, Lee Chin Cheh. Ia dilakukan bagi membolehkan Pakatan Rakyat menjadikan Selangor sebagai ‘gerbang ke Putrajaya’.
‘Langkah Kajang’ diilhamkan oleh Rafizi dalam penjelasannya mengenai keputusan parti meletakkan Anwar dalam kerusi yang dikosongkan itu.

Barisan Nasional mencalonkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sementara bekas ahli PKR, Datuk Zaid Ibrahim dijangka menyertai perebutan kerusi itu menerusi tiket calon bebas. – 7 Mac, 2014. (TMI)

Leman Raja Lawak Ajak Rakyat Ke Demo Orang Kampung Di Baling..


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Maaysia hari ini melancarkan Gerakan Suara Orang Kampung bagi memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan di seluruh negara. Pelancaran gerakan tersebut dibuat dalam piket di hadapan bangunan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Jalan Ampang, dekat sini tengah hari tadi.

Kira-kira 50 wakil petani, penternak dan nelayan bersama Pemuda PAS Malaysia berkumpul di hadapan Wisma Central sebelum berarak ke bangunan LGM. Mereka berpakaian petani dan membawa basikal sambil memgang plakad bertulis 'Naik Harga Padi' 'Harga Padi Murah, Harga Beras Mahal', 'Orang Tengah Untung Atas Angin' dan beberapa sepanduk lain lagi.

Pengerusi Gerakan Suara Orang kampung, Sulaiman Ibrahim atau Leman Raja Lawak dalam piket tersebut mengajak rakyat Malaysia turun ke Demonstrasi Baling 2.0 yang akan diadakan di Baling pada 5 April depan.

"Tujuan demonstrasi ini untuk membela nasib penoreh-penoreh getah yang sedang menghadapi kejatuhan harga getah.
"Penurunan harga getah beku di bawah paras harga kos pengeluaran RM3.21 sekilogram menyebabkan ramai penoreh menderita," katanya.

Selain isu harga getah, turut menjadi kebimbangan mereka adalah mengenai pesawah padi yang berada di bawah paras kemiskinan. Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, ketiadaan sistem pengurusan bendang yang baik menyebabkan sebahagian daripada 172,230 pesawah padi berada di bawah paras kemiskinan.

"Pengeluaran padi negara masih rendah dengan purata 4.2 tan semusim, penggunaan tanah bendang untuk tujuan komersial dan pelbagai masalah tanaman padi menyebabkan beras sebagai food security negara berada dalam keadaan terancam," katanya.

Bagi penternak pula, mereka mengalami masalah kecurian banyak binatang ternakan akibat ketiadaaan sistem pengenalan binatang ternakan. Penternak secara komersial menghadapi masalah tempat untuk membina ladang ternakan kerana tempat yang diluluskan kerajaan terhad. Kos pengeluaran racun, baja, makanan ternakan, diesel, sewa jentera dan pula semakin meningkat.

Sementara itu, isu-isu bagi nelayan pula melibatkan pemberian subsidi diesel yang tidak mencukupi menyebabkan nelayan tidak mampu turun ke laut. Penggunaan pukat hanyut daripada nelayan negara jiran menyebabkan ikan berkurangan serta masalah ruang penempatan bot nelayan di jeti yang tidak mencukupi.

Perkara-perkara ini disebabkan kelemahan agensi kerajaan yang berkaitan dengan petani, penternak dan nelayan. Jesteru, Pemuda PAS Malaysia sedia menerima sebarang aduan rakyat di talian 019-3940959.

Pemuda PAS juga akan melancarkan Gerakan Suara Orang Kampung ke seluruh negara mengikut jadual berikut:

1. Selangor - 11 Mac 2014
2. Perak - 19 Mac 2014
3. Pulau Pinang - 20 Mac 2014
4. Negeri Sembilan - 21 Mac 2014
5. Pahang - 22 Mac 2014
6. Melaka - 23 Mac 2014
7. Kelantan - 28 Mac 2014
8. Johor - 29 Mac 2014
9. Terengganu - 30 Mac 2014
10. Kedah dan Perlis - 5 April 2014
(HD)

Kerana Serbu K/Malam J/Imigresen Dikepung. Lagi Sialnya P/Hiburan.


DUA anggota GTK Imigresen mengawal GRO yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka kelmarin.
MELAKA – Berang kelab malam bawah jagaan mereka diserbu Jabatan Imigresen, kira-kira 100 tonto bertindak ganas dengan mengepung sepasukan anggota penguat kuasa jabatan berkenaan selama dua jam di Taman Melaka Raya di sini kelmarin.

Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata, dalam kejadian pukul 6 petang itu, sejumlah 23 anggota Grup Taktikal Khas (GTK) dan tujuh anggota penguat kuasa jabatan itu cuba membawa keluar 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 34 gadis pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan, namun dihalang tonto terbabit yang mengepung pusat hiburan tersebut. (Kosmo)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lagi sialnya pusat hiburan. Angkara siapa?

Kereta Tanpa Pemandu, Kreatif. Tapi Modelnya..


SEORANG model duduk di dalam kereta elektrik tanpa pemandu, Rinspeed Xchange yang bakal dipamerkan pada Pameran Automobil Geneva di Geneva minggu ini. 

JOM KREATIF
GENEVA - Sebuah firma Switzerland, Rinspeed memperkenalkan kereta konsep tanpa pemandu, Xchange sebagai kenderaan pada masa hadapan. Tampil di Pameran Automobil Geneva di sini minggu ini, kenderaan canggih itu diubah suai daripada kereta elektrik Tesla Model S.

Tempat duduk Xchange boleh diubah kepada lebih 20 kedudukan dengan para penumpang boleh duduk secara berdepan. Ia dilengkapi pelbagai ciri mewah seperti skrin besar 81 sentimeter dan sistem hiburan serta mesin pembancuh kopi.

"Apabila kereta saya boleh memandu sendiri, saya mahu melakukan perkara lain seperti makan, tidur, bekerja atau apa sahaja yang anda dapat bayangkan," kata pengasas Rin speed, Frank Rinderknecht.
Menurutnya, teknologi tersebut akan berada dalam pasaran sedikit masa lagi.- AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kereta tanpa pemandu memang kreatif. Tapi modelnya masih cara lama, menjadikan taraf wanita rendah sebagai alat iklan ..

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)

Negara Islam: Industri Seni M'sia Ada Identiti Sendiri -Wardina







HALAMAN HIBURAN

Wardina tidak kesal keluar daripada dunia hiburan.

PETALING JAYA: TAHNIAH kepada Wardina kerana berani menjelaskan, bahawa industri seni di Malaysia seharusnya tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan perkembangan Hollywood. Malaysia ada identiti sendiri sebagai negara Islam.

Katanya,
"Industri seni di sini seharusnya tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan perkembangan Hollywood.
"Kita ada identiti kita sebagai negara Islam, kalau tidak seksi sekalipun kita tetap akan disukai melalui bakat yang ada,"

Kini Wardina, biarpun sudah hampir tiga tahun tidak aktif dalam industri seni, namun dia masih mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Pelakon dan pengacara ini, tetap tidak berasa kesal atau rindu untuk kembali ke bidang lakonan seperti dahulu. Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, berkata, dia senang dengan kehidupannya sekarang tanpa perlu berasa tertekan untuk bersaing apabila berada dalam dunia hiburan.

"Saya tiada hati untuk berlakon, malah tidak rasa kesal atau rindu sedikit pun terhadap bidang itu.
"Bagi saya industri hiburan sangat memberi tekanan apabila semuanya ingin menjadi lebih baik dan bersaing untuk mendapatkan sesuatu tawaran," katanya kepada mStar Online hari ini.

Kali terakhir Wardina tampil dalam drama bersiri Impian Ilyana pada tahun 2008. Sementara itu, Wardina yang bakal menyambung pengajian ke Australia pada Jun ini di Brisbane, Australia dalam bidang psikologi berharap dapat menghasilkan dua buah buku yang hampir dua tahun tertangguh.

"Alhamdulillah, buku pertama saya Mama, Saya Nak Makan untuk kanak-kanak berjaya menjadi jualan buku terlaris di kedai buku MPH.
"Sekarang saya ingin menyiapkan dua buah buku lagi sebelum pergi ke Australia iaitu bertajuk Mama, Saya Nak Solat dan sebuah lagi buku kanak-kanak lain," ujarnya.

Katanya, kelewatannya menghasilkan buku-buku tersebut adalah berikutan sibuk melayan orang ramai yang ingin meminta nasihat daripadanya melalui laman sosial Facebook.

Jelas Wardina, keputusannya untuk menyambung pengajian dalam bidang psikologi adalah disebabkan rasa tanggungjawab terhadap masalah dalam masyarakat.

"Saya tidak tahu mengapa orang sering berkongsi masalah mereka dengan saya melalui Facebook.
"Masalah mereka kebanyakannya sangat rumit, namun saya hanya bantu mereka mencari laluan yang betul untuk menyelesaikan masalah itu.
"Tidak dinafikan ada juga di kalangan artis yang secara peribadinya berjumpa saya untuk meminta nasihat dan menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Al-hamdulillah. Jazakallahu Khairan Kathira..

Lihat sebelum ini..

Memo Tuntut Harga Lantai Getah RM4 Sekilo.. -PAS & NGO


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia bersama beberapa NGO hari ini menyerahkan memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mendesak harga getah di Malaysia dinaikkan.

Memorandum tersebut ekoran penurunan harga getah beku yang pernah mencatat harga RM2 sekilo pada Februari lalu. Memorandum yang mengandungi lapan tuntutan itu diterima Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Salmiah Ahmad selepas sesi dialog bersama.

Lapan tuntutan tersebut adalah menuntut penggubalan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), penetapan harga lantai getah beku, penetapan harga kos proses atau kos kilang, penggunaan alat penyukat Dry Rubber Content (DRC), penyelidikan produk berasaskan getah asli, penerokaan pasaran berasaskan getah asli, peranan aktif dalam International Tripartrate Rubber Council (ITRC), dan kebajikan pekebun kecil getah.

Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, pendapatan pekebun-pekeun kecil getah tidak seimbang dengan kenaikan harga barang pada waktu ini.

"Getah asli Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia tetapi malangnya pengusaha getah berada di bawah paras kemiskinan.
"Pihak kerajaan sewajarnya mengambil peranan untuk membantu mereka. Justeru kami kemukakan lapan tuntutan ini bagi perhatian pihak kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), Suhaizan berkata, mekanisma penentu FOB  yang lebih mantap perlu digubal serta merta bagi menggantikan sistem penetapan harga yang sedia ada sekarang.

"Operasi panel penetapan harga di bawah LGM mestilah dijalankan secara telus dan perlu melibatkan NGO pekebun kecil yang berpengaruh bagi mewakili mereka yang menerima akibat penurunan harga getah di pasaran dan penentuan FOB harus didedahkan keapda rakyat," katanya.

Tambah beliau juga, harga lantai getah beku perlu ditetapkan pada RM4 sekilogram  dan kerajaan perlu menyediakan subsidi kepada pekebun-pekebun kecil yang telah membantu negara mengeluarkan getah asli.

"Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Persatuan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nyalas, Melaka, anggaran kos operasi sekilogram getah beku adalah RM3.21.
"Justeru kami mendesak LGM mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan harga lantai pada harga RM4 sekilogram," katanya.

Turut hadir pada penyerahan memorandum tersebut ialah Pengerusi Gerakan Suara Orang Kampung, Sulaiman Ibrahim, Pengerusi Gerakan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nylas, Melaka, Abdul Halim Majid, Pengerusi Jaringan Anak Petani Semalaysia (Anak Tani), Mohd Idris Mohd yussof, Timbalan Presiden Panglima Malaysia, Fadhil Mohd Noor Sahani, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Abdul Malik Ab Razak dan Pengerusi Gerakan Turun Harga barang (Turun), Azan Safar. (HD)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails