Friday, April 04, 2014

HP Jatuh Dalam Parit, Panggil Bomba...

Foto
ELLA-Anne ketika diselamatkan anggota bomba.

London: Seorang remaja perempuan berdepan situasi mencemaskan apabila cuba menyelamatkan telefon bimbitnya yang terjatuh ke dalam parit besar.

Telefon bimbit Ella-Anne Birchenough, 16, tercicir dalam parit berhampiran rumahnya di Dover, Kent. Dia kemudian cuba mengambil alat itu, namun tersangkut dan menghubungi ibunya Joanne Birchenough, untuk mendapatkan bantuan.

Joanne yang bergegas ke tempat kejadian kemudian menghubungi bomba yang mengambil masa hanya kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan Ella-Anne. Menceritakan kejadian itu, Ella-Anne berkata, telefon itu terjatuh ketika dia sedang berbual dengan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Saya terfikir ‘tidak mungkin saya akan membiarkannya di situ’ sebelum terus terjun mengambilnya,” katanya. (myMetro)

Semporna: Penculik Hanya Mahu 'telefon bimbit kami'

Gao Huayun
Gao Huayun.



PETALING JAYA: Pelancong warga China, Gao Huayun yang diculik dari sebuah resort di Semporna, Sabah pada malam Rabu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibunya mengatakan dia baru saja selesai mandi, beberapa minit sebelum dia diculik.

Bapa Gao memberitahu stesen radio, Shanghai People bahawa anak perempuannya itu menghantar SMS tersebut kira-kira pukul 10 malam.

"Tidak lama lepas itu, rakannya menghantar mesej menerusi aplikasi WeChat mengatakan anak perempuan saya telah diculik. Ramai orang mula menelefon kami untuk mendapatkan pengesahan.
"Kami amat bimbang dan tidak tidur sepanjang malam," kata bapa Gao kepada stesen radio itu sambil merayu bantuan untuk mengesan anaknya.

Menurut laman media sosial China, Kaixinwang milik Gao, wanita berusia 29 tahun itu gemar melancong bersendirian dan pernah melancong ke Tibet, Filipina, Korea Selatan dan sekeliling negaranya. Gao, yang baharu saja menerima kemasukan untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Britian, berlepas ke Malaysia pada Selasa bersama seorang rakannya.


Rakan Gao, yang hanya dikenali sebagai Su, memberitahu Dragon Television dalam temu bual menerusi telefon bahawa mereka pergi ke Semporna untuk belajar menyelam. Su berkata, dia dan Gao meninggalkan bilik mereka kira-kira pukul 10 malam Rabu untuk mandi di bilik air yang terletak di bahagian luar.

"Gao selesai mandi lebih awal. Apabila saya kembali ke bilik kami, saya lihat pintu terbuka dan Gao tiada di situ," katanya.

Dia kemudiannya menunggu Gao di dalam bilik dan kira-kira 30 minit kemudian, dia menyedari beberapa anggota polis sedang melakukan rondaan di resort tersebut.

"Tidak lama kemudian, ada seseorang mengetuk bilik kami dan meminta saya supaya pergi ke lobi.
"Mereka berkata seorang wanita yang memakai gaun berjalur hitam dan putih telah diculik," katanya.
 
Su berkata selepas mendapat pengesahan maklumat tersebut daripada beberapa pihak, dia menyedari Gao telah diculik. Katanya, sekumpulan penculik itu tidak menggeledah bilik dan tidak mengambil pasport mereka.

"Hanya satu benda yang mereka ambil adalah telefon bimbit kami," katanya. (IH)
 

Batal Tunang, Dia Upah Gengster Potong Kemaluan Bekas Tunang..


Dr Myriam Priscilla Castro

JUIZ DE FORA (Brazil): Seorang doktor wanita, Myriam Priscilla Castro, 34, yang melarikan diri selepas mengarahkan sekumpulan gangster memotong kemaluan bekas tunangnya akhirnya berjaya ditangkap di sebuah pekan kecil di sini - beberapa tahun selepas kes tersebut dibicarakan dan dia dihukum penjara enam tahun tanpa kehadirannya, demikian lapor akhbar United Kingdom, The Mirror pada Khamis.

Kejadian tersebut berlaku pada tahun 2002. Tunangnya itu, Wendel Souza telah memutuskan untuk membatalkan perkahwinan mereka tiga hari sebelum berlangsungnya majlis tersebut. Dr Myriam Castro, adalah seorang doktor yang dihormati ramai yang datang dari sebuah keluarga kaya raya turut mengupah gangster berkenaan membakar rumah dan memusnahkan kereta milik bekas tunangnya itu.

Mahkamah yang membicarakan kesnya pada tahun 2002 mendengar bagaimana tiga lelaki, yang mendakwa mereka hanya menjalankan arahan yang diberikan kepada mereka oleh doktor wanita berkenaan, telah menculik Souza dan kemudian memotong kemaluannya. Bapa Dr Myriam Castro yang berusia 76 tahun turut didakwa bersubahat dengan anak perempuannya itu dalam menjalankan konspirasi ini.

Kesemua anggota gangster yang dituduh menjalankan arahan tersebut adalah bekas pesalah.
Saudara kepada Souza, yang turut berada bersamanya ketika dia diculik dan disiksa pengsan sebaik sahaja melihat tiga lelaki itu bertindak memotong kemaluan abangnya.

Selepas selesai mengupah gangster berkenaan melakukan jenayah tersebut, Dr Myriam Castro telah menghilangkan diri dan berpindah ke sebuah pekan kecil bernama Pirassununga, di negeri Sao Paulo. Di sana dia meneruskan kerjayanya sebagai seorang doktor. Malah dia melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012, aktif dalam kegiatan gereja di pekan tersebut dan pada waktu yang sama melancong ke luar negara.

Beliau hanya berjaya ditahan pada Selasa pagi baru-baru ini ketika sedang keluar dari apartmen mewahnya untuk ke tempat kerja. Doktor tersebut kini telah dipindahkan ke Penjara Wanita Estevao Pinto di Belo Horizonte, di mana dia akan menjalani hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya bertahun dahulu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya Marcelo Chaves, Dr Myriam mengaku tidak bersalah dan akan membuat rayuan terhadap kesnya itu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Kembalilah ke jalan yang benar, untuk apa sesebuah perkahwinan itu?

Mangsa Culik Sihat, Dipercayai Dibawa Ke Selatan Filipina.

 

Bahagian risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sudah mengenal pasti lokasi dua wanita yang diculik dari Singamata Resort pada malam Rabu lalu.

Menurut Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek dua wanita tersebut - seorang pelancong rakyat China dan pekerja pusat peranginan tersebut - berada dalam keadaan sihat dan dipercayai telah dibawa ke Selatan Filipina.
          
"Salah seorang daripada kumpulan penculik itu dipercayai terlibat dengan kes penculikan di Pulau Pom-Pom, Semporna tahun lepas manakala selebihnya terlibat dengan insiden penculikan di Pulau Sipadan pada tahun 2000.
              
"Kumpulan penculikan untuk wang tebusan ini dipercayai aktif dan agresif di selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
              
Mohammad berkata ESSCOM juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang tempatan berasal dari Filipina yang memberikan maklumat kepada anggota kumpulan penculik tersebut.
              
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik sebagai berkata seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik dari sebuah resort atas air, Singamata Adventures Reef and Resort, oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata, pada kira-kira 10.30 malam Rabu.
              
Wanita China, yang juga seorang pelajar, dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai manakala pekerja wanita Filipina berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi.    Resort 60-bilik itu, yang beroperasi selama lebih 10 tahun itu, terletak kira-kira dua batu nautika dari Pekan Semporna.
              
Mohammad berkata pada 26 Mac lepas, pasukan keselamatan ESSCOM mengesan lima bot yang cuba memasuki perairan Semporna dipercayai bagi melakukan penculikan.
              
"Namun, di atas kesiapsiagaan dan rondaan yang dilancarkan oleh ESSCOM, kita berjaya menghalang empat bot daripada meneruskan niat mereka untuk melakukan penculikan," katanya.       

Sementara itu, beliau berkata 15 pekerja asing di Singgahmata Adventures Reef and Resort ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Mohammad juga meminta Jabatan Imigresen untuk memanggil dan menyiasat pengusaha resort itu yang dikatakan menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.        

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tindakan tegas, termasuk mendakwa mereka di Mahkamah, akan diambil terhadap mana-mana majikan atau pengusaha resort yang mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
               
"Di sebalik peringatan berulang kali yang diberikan termasuk semasa pertemuan dengan pengusaha resort atau pusat pelancongan Sabah baru-baru ini tetapi masih ramai yang enggan mematuhinya.  Jadi kita tidak akan berkompromi dalam hal ini lagi," katanya.(MK)


Lihat sebelum ini..

Memali: Kabinet '85 T/jawab, Termasuk Dr M & Anwar -Dr Aziz Bari.



 

Seluruh kabinet pada tahun 1985 perlu bertanggungjawab terhadap peristiwa Memali, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.
Dr Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, dalam sistem kerajaan berparlimen ala Westminster seperti diamalkan Malaysia, setiap keputusan yang dibuat oleh anggota kabinet adalah tanggungjawab bersama seluruh kabinet.

Jelasnya, ia juga termaktub dalam Artikel 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 43(3) menyatakan: "Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen."

"Maka seluruh kabinet pada masa itu - termasuklah Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim - perlu mengambil tanggungjawab.

"Secara teknikalnya, timbalan menteri dan setiausaha parlimen tidak bertanggungjawab kerana mereka bukan anggota kabinet (kerana mereka hanya membantu menteri penuh)," kata bekas pensyarah undang-undang itu dalam kenyataannya.

Menurutnya, tanggungjawab bersendirian menteri pula adalah terhadap portfolio yang dijaga menteri berkenaan.

"Untuk menteri dalam negeri misalnya beliau perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan yang berlaku dalam kementeriannya.

"Namun ini adalah aspek perlembagaan dan ia tidak meliputi aspek jenayah," katanya.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri pada masa itu manakala Anwar pula merupakan menteri pertanian ketika peristiwa berdarah pada 19 November 1985.

Anwar kemudian mendaki hierarki politik dan menjadi timbalan Mahathir pada tahun 1993.

Peristiwa Memali kembali hangat diperkatakan apabila timbalan Mahathir pada masa itu, Tun Musa Hitam (kiri) mendakwa Mahathir berada dalam negara sepanjang peristiwa hitam itu berlaku.

Kenyataan itu bercanggah dengan versi rasmi selama ini yang menyatakan Mahathir melakukan lawatan rasmi ke China pada masa itu. (MK)


Lihat balik kisah lama..
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.

Buat Kajian Sebelum Laksana Cukai Baharu -Khutbah JAKIM

Umat Islam perlu diingatkan lari daripada membayar hutang adalah perbuatan yang berdosa. 

 Di tengah-tengah kempen pembangkang mendesak kerajaan tidak melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengingatkan sebarang langkah memperkenal dasar percukaian baharu mesti dibuat berdasarkan kajian teliti supaya tidak membebankan.

Khatib berkata, berdasarkan pandangan Imam Abu Yusuf, seorang ulama dalam bidang percukaian Islam, sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat.
“Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan daif dan miskin,” kata khutbah Jumaat, hari ini.

Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pembangkang menentang keras tindakan kerajaan itu dan merancang mengadakan kempen secara besar-besaran.

Khutbah yang disediakan untuk semua masjid di Wilayah Persekutuan berjudul “Memakmurkan Ekonomi Tanggungjawab Bersama” itu turut menyentuh tentang hutang.

Khutbah meminta semua rakyat agar membayar cukai yang dikenakan ke atas mereka dan mengaitkan kegagalan melakukannya sama seperti lari daripada membayar hutang, perkara yang sangat ditakuti oleh umat Islam khasnya di luar bandar yang tidak biasa berhutang.

“Rakyat akan mengalami kesulitan dan negara akan berdepan kelembapan ekonomi disebabkan ada golongan yang cuai membayar hutang.
“Takutlah kepada Allah kerana mereka yang berhutang tidak diampuni dosanya oleh.
“Cuba bayangkan berapa banyak kerugian terpaksa kerajaan tanggung akibat budaya hidup sebegini, berapa banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” kata khutbah itu. – 4 April, 2014. (TMI)

Memali: Lagi, Tun Musa Hitam Jelas Panjang. Ini..

 Oleh Tun Musa Hitam


Pada jam 9.00 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa adalah dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”. Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa
juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di negara China dan saya adalah pemangku perdana menteri.

2. Saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur moderator dengan mengatakan sebagai seorang profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (iaitu 19 November 1985) Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya pemangku perdana menteri.

Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan “my god” yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai menteri dalam negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi.
(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah.

Namun saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku. Pada hari kejadian, saya bersama pemangku ketua polis negara (KPN) telah menemui perdana menteri di pejabat beliau dan pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke Negara China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri perdana menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke Negara China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap. Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya
mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. Isu utama dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan pemangku perdana menteri kerana Tun Dr Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Tun Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di Mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Tun Dr Mahathir masih perdana menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan perdana menteri. Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya. Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah ilahi memakbulkan doa saya. Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya. Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada-Nya saya memohon petunjuk dan keadilan.(MK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails