Wednesday, June 04, 2014

Tazkirah N/Aziiz: Artis Bersukan & Dakwah..



Bergambar bersama Tok Guru.

SUKAN
KOTA BHARU: Seramai 18 artis yang akan menyertai perlawanan persahabatan bola sepak dengan pasukan Pejabat Menteri Besar mengikuti tazkirah disampaikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tazkirah ringkas itu diadakan tengah hari tadi ketika mereka mengunjungi Mursyidul Am PAS di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darulnaim.

Kumpulan artis terbabit diketuai Syed Aiman mewakili Kelab Sukan Artis Malaysia. Hadir sama Sabri Yunus, Fizo Omar, Danny X Factor, Syed Aiman dan Yantzen.

Malam ini pasukan artis akan bertembung dengan pasukan Pejabat Menteri Besar yang akan membariskan beberapa bekas pemain Kelantan termasuk Hashim Mustafa, Salim Mahmood.

Selain itu turut disertai Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemain The Red Warriors.



Perlawanan itu akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Pada tazkirah terbabit, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penglibatan artis dalam medan dakwah menarik perhatian orang ramai terutamanya anak-anak muda.

“Artis memiliki banyak kelebihan termasuk suara baik, rupa paras lawa dan sebagainya seharusnya juga memiliki akhlak yang baik kerana ia akan menjadi ikutan orang ramai.
"Tuan-tuan merupakan tumpuan masyarakat dan perkara yang dilakukan akan menjadi ikutan ramai.
“Dan perlu ingat semua tindak tanduk akan dipersoal di akhirat nanti. Buat perkara baik apabila orang ikut akan mendapat pahala dan begitu sebaliknya," ujar beliau. 

Sementara itu Syed Omar berkata, kunjungan itu dibuat bagi memenuhi  hasrat semua artis yang datang ke Kelantan dan mereka amat teruja dapat bertemu Tok Guru. (IH)

Sokong Pengganas Di Facebook, Suri Rumah 'Tak Bersalah'.



Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas melalui laman sosial April lalu. Azizah Md Yusof, 54, yang memakai jubah hitam dan bertudung corak coklat, mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Kamardin Hashim.

Pada 23 Mei lepas, Azizah dihadapkan ke Mahkamah Majistret berhubung pertuduhan sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada tertuduh yang diwakili peguam KC Suzalena Salleh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di laman sosial Facebook 'Wan Jah' di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira 2 petang 24 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, ibu kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan serupa melalui akaun Facebook 'Azizah Yusof' di tempat, tarikh dan waktu sama. Azizah didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang diguna atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kamardin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad agar kes Muhammad Armie Fatihah Mohd Hashim dan Mohammad Hafiz Zahri Suparyatnoh, yang didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana membabitkan kesalahan sama.

Mahkamah menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Muhamad Iskandar juga memaklumkan mahkamah bahawa pada tarikh itu, pihaknya akan memohon agar kesemua kes dibicarakan bersama.

Suzalena pula berkata pembelaan akan mengemukakan beberapa permohonan, antaranya, berhubung jaminan, bantahan agar kesemua kes dibicarakan bersama dan isu perundangan. Azizah, yang kini ditempatkan di Penjara Kajang, tidak dibenarkan ikat jamin kerana ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sementara itu, di Port Dickson, Mahkamah Majistret memindahkan kes seorang penganggur Mohd Khairil Mi, 27, yang berdepan pertuduhan menggalakkan perbuatan keganasan di Syria, ke Mahkamah Tinggi. Majistret M Mageshwary membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin hari ini.

Khairil didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah inap desa di Taman Intan Perdana, Kuala Lumpur antara pukul 10 malam, 1 November hingga 3 petang 3 November tahun lepas mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Mageshwary menetapkan 20 Jun ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Bernama, 4 Jun, 2014.

Sebelum ini..

PAS Dedahkan Anugerah Projek 4A , Terus Untuk Kroni.



 

KL: PAS menyelar tindakan kerajaan yang menganugerahkan Projek 4A, penjanaan berskala besar melalui rundingan terus kepada pengeluar tenaga bebas (IPP).

Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Projek 4A  yang  menggunakan kombinasi melalui gas dengan bermula 1,100 mega watt juga akan diberi secara runding terus tidak lama lagi.

"Kaedah ini sangat menjengkelkan pemain-pemain IPP dalam sektor penjana bebas ini.
"Apabila kita mempersoalkan mengapa rundingan terus, alasan kerajaan adalah keperluan mendesak," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Bagaimanapun, Dzukefly menyangkal kononnya rundingan terus dibuat bagi mengelakkan berlakunya 'outages', ini kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai simpanan margin yang cukup selain mempunyai janakuasa tenaga yang lain.

Malah katanya, Perdana Menteri Najib Tun Razak masih gagal memberi komitmen untuk mengamalkan tender terbuka khususnya dalam industri berkala besar ini. Misalnya kata beliau, Projek 3B oleh Suruhanjaya Tenaga yang menjana arang batu sebesar 2,000 mega watt yang kononnya diberi secara tender terbuka akhirnya menimbulkan kontroversi.

"Di mana projek itu diberikan kepada 1MDB walaupun membida dengan harga yang paling rendah, tetapi diberi kelebihan dari sudut teknikal," katanya.

Tegasnya, amalan rundingan terus ini telah melanggar komitmen tender terbuka yang kononnya ia sebagai satu transformasi oleh Najib Tun Razak.

"Walaupun Suruhanjaya Tenaga sering menerima teguran dan kritikan tetapi dengan tiba-tiba Projek 4A ini badan itu mendapat tekanan daripada Putrajaya supaya melakukan rundingan terus kepada IPP akhirnya memberi kesan kepada TNB. IPP yang paling berdaya saing adalah YTL," katanya.

Justeru katanya, sikap kerajaan yang berterusan memberi projek kepada kroni tertentu secara terus akan menghalang berlakunya kekayaan secara sama rata.

"Kita tidak mahu rakyat melihat orang yang sama mendapat projek sekali gus kekayaan akan dibolot oleh pihak tertentu sahaja, ianya sangat mustahak untuk Najib melihat senario ini. Kerajaan yang telus tidak akan membebankan rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY 3/6/2014

PKR Pecat Ahli Ketua Pengawas Pemilihan


KL: PKR memecat keahlian seorang Ketua Pengawas Pemilihan parti itu kerana didakwa menyalahguna kuasanya semasa proses pengundian.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, Azrai Abdullah dari cabang Hulu Langat dipecat selepas didakwa menyalahgunakan kedudukan sewaktu proses pengundian di Cabang Batang Sadong pada 26 April lalu.

Melalui satu kenyataan, beliau juga memaklumkan tiga lagi turut digangtung keahlian atas kesalahan masing-masing.

Jol Jolhi Bee dari cabang Batang Sadong diberi surat tunjuk sebab dan digangtung keahlian sehingga siasatan selesai.

Beliau didakwa memenangi jawatan Ketua Cabang Batang Sadong tanpa bertanding, dan didakwa terlibat menanda kertas-kertas undi lain sewaktu proses pengundian di Cabang Batang Sadong pada 26 April 2014.

Dua lagi digangtung keahlian selama setahun iaitu Shanmuganathan a/l Velu dan Patmanathan a/l Nadarajah dari cabang Selayang.

Kedua -dua mereka didapati terlibat merempuh masuk ke dalam dewan dan mengganggu proses pengundian di Cabang Selayang pada 11 Mei 2014.

Keputusan itu dibuat selepas diteliti lembaga disiplin PKR dan dibentangkan kepada mesyuarat Biro Politik parti itu semalam yang dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu penggantungan terhadap dua anggotanya Norizan Omar dan Azman Yaakob dari cabang Selayang ditarik balik dan hanya diberi amaran keras.

Keputusan itu dibuat selepas sesi pendengaran yang diadakan pada 31 Mei lalu. - HARAKAHDAILY 4/6/2014

Coklat Cadbury: Menteri JPM Kata Halal, 94.2% Rakyat Tolak..





KL:  Tindakan tergesa-gesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan status halal dua produk coklat Cadbury tetap menimbulkan keraguan kepada pengguna.

Kajian undian Harakahdaily yang dilakukan mulai 2 Jun lalu mendapati 94.2 peratus tidak akan membeli produk tersebut walaupun ia telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, 5.8 peratus pula akan membelinya berhubung kajian secara undian dengan soalan 'JAKIM sahkan tiada DNA Babi dalam coklat Cadbury. Adakah anda akan membelinya seperti biasa' membabitkan 1,828 pengunjung.

Jamil Khir yang mengumumkan status dua produk coklat Cadbury yang sebelum ini dikatakan tercemar DNA babi sangat mengejutkan kerana sebelumnya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan maklumat mengenai kandungan DNA itu.

Jakim sebelum ini mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan Kimia, tidak mengandungi DNA babi.

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku pencemaran terhadap kedua-dua sampel coklat Cadbury yang diambil di pasaran untuk dianalisis di makmal sebelum ini.

Dr Noor Hisham berkata kedua-dua sampel coklat yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) itu memang diambil di pasaran, bukan dari kilang dan kemungkinan berlaku pencemaran. - HARAKAHDAILY 4/6/2014

Lihat, 2 Gadis India Ini Dirogol & Digantung Di Pokok Mangga..

Dua gadis India diperkosa dan digantung di pohon
Sekelompok lelaki , termasuk sekurang-kurangnya seorang polis , didakwa merogol dan membunuh dua perempuan remaja bersaudara di sebuah kawasan luar bandar di India, kemudian menggantung tubuh mereka di sebuah pohon . Ini seperti dilaporkan pihak berkuasa Negeri Sungai Gangga itu semalam .

Penduduk kampung mencari kedua gadis berusia 14 tahun dan 15 tahun itu , terjumpa tergantung di sebuah pohon mangga beberapa jam selepas mereka menghilang dari dekat rumah mereka di Desa Katra di Negara Bahagian Uttar Pradesh. Ianya berlaku semasa mereka hendak pergi ke ladang sebab tidak ada tandas di rumah mereka , seperti yang dilaporkan oleh akhbar the Daily Mail , Jumaat ( 30 / 5 ) .


Ratusan penduduk kampung yang marah kemudian berkerumun di sekitar pokok itu seharian , melakukan protes diam atas dugaan ketiadaan polis dalam menanggapi kes ini . India telah mengetatkan undang - undang anti rogol pada tahun lalu dengan membuat para pelaku pemerkosaan terancam hukuman mati , walaupun dalam kes di mana mangsa selamat .


Undang - undang baru itu muncul selepas insiden rogol fatal pada 2012 lalu terhadap seorang wanita 23 tahun di sebuah bas dalam keadaan bergerak di Ibu Kota New Delhi hingga mencetuskan protes secara nasional . 


Dalam insiden rogol terbaru kali ini , sebuah tayangan dari televisyen India memperlihatkan bagaimana penduduk kampung duduk - duduk di bawah tubuh kedua gadis itu yang terayun akibat diterpa angin , dan mencegah pihak berkuasa mengambil tubuh keduanya turun sampai para suspek ditangkap .

Di tengah laporan yang saling bertentangan , polis dipercayai telah menangkap empat lelaki dan sedang mencari tiga suspek lain . Beberapa laporan mengatakan seorang pegawai polis termasuk di antara mereka yang ditahan . Laporan mengatakan dua orang lain ditahan. Sedangkan laporan lain menyebut baru satu orang berjaya ditangkap .


Katra terletak kira-kira 300 kilometer sebelah barat daya dari ibu kota Negara Bahagian Uttar Pradesh , Lucknow .


" Dari hasil autopsi mengesahkan kedua gadis itu telah dirogol oleh sekumpulan lelaki dan dicekik sebelum digantung , " kata Inspektor Polis Atul Saxena .


Penduduk kampung menuduh kepala dari pejabat polis tempatan mengabaikan aduan dari ayah kedua gadis itu pada Selasa malam waktu tempatan ketika mereka diketahui telah menghilang . Tiga polis dikhabarkan telah dipecat sebab tidak mendaftarkan kes itu ketika kedua gadis tersebut dilaporkan hilang .


Keluarga mangsa diketahui berasal dari komuniti Dalit , yang dikatakan sebagai komuniti ' tak tersentuh ' , dan dianggap sebagai yang paling rendah dalam sistem kasta India kuno . Data menunjukkan tindak rogol berlaku saban 22 minit di India , sebuah bangsa dengan populasi penduduk mencapai 1.2 bilion jiwa .


Para ahli mengatakan kaum perempuan sering ditekan oleh keluarga atau polis untuk tetap diam tentang kekerasan seksual , dan mereka yang melaporkan kes itu sering mengalami ejekan awam atau stigma sosial . (IH)


Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-64: Rogol Di India
E-Buku IH-64: Rogol Di India

Tuesday, June 03, 2014

P/Mortem T/Intan Perlu Komprehensif & Intensif -PAS





KL: Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, adalah terlalu awal untuk membuat persepsi kekalahan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan tanpa sebarang kajian atau 'post mortem'.

Bagi PAS katanya, post mortem perlu dilakukan secara komprehensif dan intensif segala mungkin yang berlaku di P076 itu.

Namun katanya, pilihan raya kecil Teluk Intan telah melakarkan satu sejarah tersendiri apabila calon DAP dari generasi Y ditampilkan untuk melawan calon veteran.

"Faktor kekalahan atau kejayaan hendaklah disebut secara berpengetahuan bukan hanya lontaran semata-mata atau tembak begitu sahaja," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, Pakatan Rakyat wajar terus memperkukuhkan perpaduan di kalangan mereka dengan mengambil semangat daripada penglibatan anak muda di dalam arena politik seperti Dyana Sofya.

"Apa yang kita dapat banggakan, kita telah berjaya mengetengahkan calon di kalangan anak muda yang mendapat sokongan luar biasa," katanya.

Dyana Sofya yang mewakili DAP dalam PRK Teluk Intan pada 31 Mei baru-baru ini dikalahkan calon BN dengan majoriti 238 undi. Dyana mendapat 19,919 undi manakala Datuk Mah Siew Keong mendapat 20,157 undi. - HARAKAHDAILY 3/6/2014

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails