BIASALAH… apa nak hairan. Cekup dan heret saja mana-mana pemimpin pembangkang ke mahkamah maka bergemalah jerit pekik lagu lama yang rasanya semua orang pernah dengar sebelum ini.
Kalau dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kes liwatnya…terbaru Lim Guan Eng yang dihadapkan ke mahkamah di Pulau Pinang Khamis kerana kes salahguna kuasa dan rasuah terus hendak ‘disucikan tanpa bicara’.
Hebat sungguh ayat Ketua Menteri Pulau Pinang selaku empunya diri berdegar memekak angkat bakul sendiri.Antaranya kata, “I will not submit to such dirty and vicious political plays to destroy my reputation or Penang’s image as the cleanest and best-run state in Malaysia.”
Sang bapa,Lim Kit Siang pula senang lenang mendakwa,”The BN twin by-election victories have given Prime Minster Najib Abdul Razak the confidence to go on an all-out political offensive, believing that he has the licence to do whatever he likes…”
Tanpa menunggu kes bos mereka dibicarakan di mahkamah DAP Pulau Pinang awal-awal sudah putuskan tuduhan terhadap Guan Eng tidak berasas dan bermotifkan politik.
Maka beliau tidak perlu letak jawatan atau bercuti sementara. Senada seirama dari anak,bapa dan seluruh parti bangkit mengaum. Memang senang hidup kalau ikut falsafah syok sendiri yang cuba dibawa DAP ini. Disebalik segala drama ini fakta kes terhadap Guan Eng dan penjual banglonya,Phang Li Khoon telah meyakinkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk mengheret mereka ke mahkamah.
Bukan setakat itu,tidak kurang menarik Apandi sendiri mengetuai pasukan pendakwa. Salah atau tidak salah...itu urusan mahkamah yang akan menentukan. Apa yang terbentang di depan mata sekarang dan bukan satu cerita dongeng ialah Guan Eng menghadapi dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama beliau didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.
Setiausaha Agung DAP itu didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua,Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.
Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Guan Eng). Ketua Menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015.
Bagi pertuduhan kedua itu beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Phang pula berdepan pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng bagi mendapatkan untuk diri Ketua Menteri itu lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kita boleh faham kenapa Guan Eng,bapanya dan juga DAP melompat sakan. Bukankah DAP selama ini menjual dirinya sebagai parti yang maha bersih dan kononya cukup anti-rasuah. Dari sudut politik...imej DAP kini berada dihujung tanduk.
Ingat tidak… sepanjang kes liwat kedua Anwar selama enam tahun perkataan ‘ konspirasi politik’ menjadi bahan yang dijaja ke seluruh negara. Mahkamah dan sistem penghakiman dicerca dan dihina dengan segala macam cara. Akhirnya dengan bukti dan fakta kes yang dibentang di mahkamah beliau didapati bersalah dan dihukum penjara lima tahun.
Salah tetap salah.
Dalam usaha untuk menutup malu pada kemungkaran jijik meliwat,puak pembangkang dan keluarga Anwar terus cuba gambarkan beliau sebagai dewa kayangan anugerah Tuhan yang tidak berdosa.
Rasanya rakyat Malaysia secara keseluruhan belum nyanyuk dan mudah lupa bagaimana bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo melalui proses mahkamah kerana kes rumahnya hingga dihukum penjara setahun. Segalanya berjalan aman.Tiada demonstrasi,tiada ptotes dan tiada drama air mata.
Ramai yang melihat semacam ada persamaan antara kes Dr Khir dengan Guan Eng. Kalau UMNO boleh menghormati mahkamah apakah DAP merasa mereka terlalu istimewa tidak boleh disentuh oleh undang-undang. Apa yang dikatakan membuatkan ramai tertawa melihat gelagat parti roket ini ialah cakapnya yang tidak serupa bikin.
Putar balik sikit saja ke belakang kita akan terkenang pada lagak pimpinan parti itu yang nak tunjuk mereka cukup perihatin pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan isu IMDB tidak lama dulu.
Bagai panglima Kit Siang,Datuk Seri Wan Azizah,Mat Sabu dan lain-lain tampil depan ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk tunjuk kononnya solidariti mereka kepada SPRM. Ini bagi memastikan tiada campurtangan dan gangguan keatas para pegawainya dalam urusan siasatan.
Hari itu desak kepercayaan penuh diberi kepada SPRM dan bila kena batang hidung sendiri tiba-tiba sudha jadi lain cerita. Hasil siasatan SPRM keatas kes Guan Eng dikira cacamarba. Semua orang tahu kes Guan Eng bukan diputuskan sekelip mata.
SPRM mengambil masa yang panjang dalam usaha menyiasatnya dengan teliti. Malah tempoh masa yang diambil SPRM telah mencetus keresahan dikalangan ramai pihak. Tunggu punya tunggu.Tiga kali Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipanggil beri keterangan.
Kata orang kalau gentleman…sepatutnya mahkamah medan paling cantik untuk Guan Eng bersihkan diri jika benar beliau tidak bersalah. Apa nak takut. Bukankah DAP pasang 10 peguam bela yang hebat-hebat diketuai Gobind anak Karpal untuk lawan pasukan pendakwa yang diketuai Apandi.
Perbicaraan nanti bukan diadakan nun di dalam hutan rimba. Komplek mahkamah Pulau Pinang yang terletak dekat Padang Kota Lama adalah tempat terbuka kepada sesiapa saja yang berminat untuk ikuti peguambela dan pendakwa berentap hujah kes itu nanti.
Kalau setakat awal-awal nak jadi hakim sendiri…moga Guan Eng mereka mereka yang sewaktu dengannya terus dibuai mimpi yang indah-indah sepanjang naik turun mahkamah nanti.- 1/7/2016 (AD)