Friday, June 01, 2018

JAM Laksana Operasi CnC Di Pmtg Pauh.


PERMATANG PAUH: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Permatang Pauh telah mengadakan khidmat masyarakat melalui Operasi 'Clean and Clear' (CnC) di Kampung Tun Sardon, di sini kelmarin.


Operasi tersebut berikutan kejadian hujan lebat malam sebelumnya yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah, selain aliran air perparitan tersumbat hingga menyebabkan air cepat melimpah.
Usaha khidmat tersebut diketuai sendiri Komandan JAM Permatang Pauh, Ahmad Anuar dengan kekuatan anggota terlibat seramai 20 ahli bagi membantu tugas-tugas tersebut.
Selain kerja-kerja pencucian, mereka juga turut membantu membuang sampah sarap serta barangan rumah yang rosak akibat banjir kilat.
Turut serta membantu adalah Ketua Pemuda PAS Permatang Pauh, Ir Ahmad Rafaie Dato' A Rashid dan Pengarah JAM Negeri Pulau Pinang, Mohd Baharin Ahmad serta penduduk setempat. -HARAKAHDAILY 1/6/2018

Keyakinan Pelabur Di M'sia Amat Rendah.

Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia Kini Amat Rendah

MERUDUM… MIDF Research menjangkakan keyakinan perniagaan terhadap prospek ekonomi Malaysia untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah kekal di paras cukup rendah.

Ia memang sudah diramal pelbagai pihak di tengah-tengah perubahan dasar dan rancangan pembaharuan yang dibuat rejim baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah menang Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei lalu.
Dalam nota kajiannya hari ini, firma penganalisis ekonomi itu berkata, kajian semula terhadap projek infrastruktur mega dan pembatalan drastik projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan ada kesan signifikan.
“Ini melibatkan keyakinan perniagaan secara keseluruhan dan juga aliran pelaburan masuk. Kami meramalkan keyakinan perniagaan akan kembali kukuh pada suku ketiga 2018 apabila Bajet 2019 dibentangkan pada 18 Oktober.
“Juga diikuti dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11: Arah Baharu 2018-2020 menjelang akhir tahun seperti mana yang pernah disebut sendiri oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
“Beliau ada berkata bahawa hala tuju ekonomi baharu akan memberi tumpuan kepada pasaran bebas dan mesra pelabur serta memastikan ekonomi kemanusiaan(humanitarian economy), kata­ kenyataan MIDF Research.
Firma itu berkata, pres­tasi perniagaan keseluruhan dijangka terus berada dalam kadar sederhana memandangkan keyakinan perniagaan berada pada paras 7.8 peratus, paling perlahan dalam tempoh tiga suku berturut-turut.
Menurut Kaji Selidik Kecen­de­rungan Perniagaan, situasi tersebut adalah disebabkan faktor PRU ke-14 yang disifatkan sebagai paling kontroversi sehingga menyaksikan indeks Bursa Malaysia jatuh selama dua minggu.
Ketidaktentuan politik itu diburukkan lagi dengan isu kos sara hidup semakin meningkat dan dakwaan kerajaan PH kononnya ada skandal rasuah membabitkan pemimpin politik terdahulu dari pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Keyakinan perniagaan dalam sektor pembinaan jatuh ke paras negatif 24.8 peratus pasca PRU ke-14. Ia sangat berhubung kait dengan situasi politik kerana melibatkan pelaburan besar kerajaan dalam projek infrastruktur mega.
“Kita boleh jangkakan sektor ini kekal lembap susulan peng­umuman pihak kerajaan PH yang secara tiba-tiba sahaja bertindak membatalkan projek HSR dan Transit Aliran Massa (MRT) laluan 3,” kata kenyataan firma tersebut.
Dalam pada itu, pihak MIDF Research berkata bahawa keyakinan komuniti perniagaan dalam sektor pembuatan pula diramal menca­tatkan rekod paling tinggi ketika suku ke­dua 2018 berakhir Jun iaitu pada kadar 19.7 peratus.
Ujarnya, di sebalik faktor perang perdagangan global, permintaan antarabangsa yang mantap dan harga komoditi semakin meningkat mungkin dapat menambah sokongan bagi sektor ini untuk terus mencatatkan peningkatan.
“Di samping itu, peningkatan dalam aktiviti eksport semula kemungkinan boleh meningkatkan kembali prestasi perdagangan luar dan kegiatan pembuatan di Malaysia,” ujarnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
*Video bawah sekadar hiasan…

Anggota UMNO Dipelawa Sertai PAS – Tuan Ibrahim

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS mempelawa anggota UMNO menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu sentiasa buka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan bentuk kerjasama dengan UMNO.

“Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Apabila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.
“Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran PAS kepada Pakatan Harapan untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN pada PRU14, menyamai jumlah 18 kerusi yang dimiliki PAS dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi. – BERNAMA

Belum Apa-apa, Kroni Si M Raih Projek RM30 Bilion

Kisah Hebat Kroni Si Mahathir Raih Projek RM30 Bilion
KECOH… Ketika seluruh dunia gempar konon Malaysia tanggung hutang cecah RM1 trilion diwarisi Barisan Nasional (BN), kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) pula kantoi dengan skandal kroni!


Belum pun sampai sebulan berkuasa, PH akhirnya membuktikan kerajaan masih ada lagi banyak duit dan bukannya RM100 juta atau RM1 bilion tetapi RM30 bilion untuk kos projek mewah di Langkawi, Kedah yang entah apa-apa.
Diusahakan Tan Sri Ting Pek Khiing yang ‘mendiamkan diri’ selama 16 tahun selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur pada 2003, pemaju hartanah bertaraf bilionaire itu bakal membangunkan Projek Langkawi New City.
Dengan tiru konsep pembangunan hartanah elit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), anak kelahiran Bintagor, sebuah pekan kecil dekat Sibu, Sarawak, beliau pernah terpalit kontroversi projek empangan Bakun di negeri itu.
Media tempatan pernah melaporkan Pek Khiing didakwa gagal menyiapkan empangan hidroelektrik terbesar di Malaysia tersebut tetapi diberi pula pampasan RM950 juta oleh pentadbiran ketika itu yang diterajui Mahathir.
Hasilnya Ekran Berhad masih bernyawa lagi apabila projek infra-rakyat itu kemudian diselamatkan zaman Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun BN teruk dikutuk pembangkang (kini kerajaan PH) sebagai pembaziran untuk kroni.
Ironinya, hari ini Pek Khiing dilaporkan bakal memajukan projek mega di Langkawi dan kebetulan Mahathir pula kini merupakan Ahli Parlimennya serta ia dijangka dirasmikan perdana menteri dengan usia tertua di dunia itu.
Projek seluas 81 hektar tanah tebus guna di barat pulau legenda Mahsuri itu melibatkan 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta pelbagai fasiliti lain.
Menurut Pek Khiing, projek berkenaan akan merangsang pelaburan asing di Langkawi dan bakal menjadi paling besar yang pernah dilaksanakannya sejak beliau memulakan aktiviti perniagaannya di pulau tersebut pada 1991.
Untuk rekod, Pel Khiing pernah terkenal dalam pembinaan sebuah hotel di pulau itu hanya tempoh 100 hari sebagai persediaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) hasil ilham Mahathir pada 1991.
Usahawan itu berkata, beliau telah menghabiskan lebih daripada 20 tahun dalam rancangan pembangunan tersebut serta mendakwa kononnya mendapat pengiktirafan banyak pemaju ternama dari Perancis, Rusia dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, bukan itu yang menjadi bahan berita, sebaliknya cerita tersirat bagaimana ketika Mahathir sibuk batal pelbagai projek legasi Najib, tiba-tiba beliau melancarkan projek puluhan bilion ringgit dengan kroni sendiri!
Anehnya, ketika kita gempar dengan Tabung Harapan untuk kutip derma rakyat marhaen selamatkan Malaysia yang berjaya raih cuma RM7 juta dalam masa 24 jam, Mahathir membuktikan ada projek mega boleh pula dilaksanakan.
Persoalan cepumas timbul apabila ramai netizen anti-PH membangkitkan isu bagaimana Pek Khiing yang pernah dakwa konon dirinya sudah muflis, tiba-tiba boleh jadi kaya semula pada zaman Mahathir perintah kali kedua ini.
Justeru ada pengguna media sosial tempatan mendedahkan Pek Khiing sebenarnya tidak pernah pun jatuh miskin sehingga tiada duit di bank, malah masih lagi selesa kaya-raya hasil aktiviti perniagaan balaknya di hutan Sarawak.
Ia sebenarnya hasil kebijaksanaan beliau menjalin hubungan baik secara peribadi dengan Tun Abdul Taib Mahmud ketika era sebagai ketua menteri paling lama memerintah Sarawak sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri.
Hakikatnya, Malaysia kini seolah-olah kembali kepada zaman Mahathir sebagai perdana menteri keempat selama 22 tahun yang menyaksikan pelbagai projek mega berjaya dibolot kroni kononnya untuk kemudahan rakyat sendiri.
Fikir-fikirkanlah bagaimana manifesto kerajaan PH terpaksa mengambil masa 100 hari untuk dilaksanakan, tetapi manifesto peribadi cuma 22 hari boleh rasmikan sendiri untuk dilaksanakan. Pelik! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar hiasan…

Isu Rogol Gadis Bawah Umur Di Bongkar Di Bawah PH, Mengapa?


Tuduhan Rogol - Rencana ‘politik pelesit’ menjatuhkan Rahim & Lim Guan Eng?

Tan Sri Rahim Tamby Chik mendakwa ditekan dalam satu konspirasi menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994. Sebagai ketua menteri Melaka waktu itu, beliau berdepan tohmahan merogol gadis bawah umur yang menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan.

Tan Sri Rahim Tamby Chik mendakwa ditekan dalam satu konspirasi menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994. Sebagai ketua menteri Melaka waktu itu, beliau berdepan tohmahan merogol gadis bawah umur yang menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan.

Beliau menganggap cerita itu direncana “pelesit politik”yang mahu mencantaskan masa depan politiknya apabila beliau makin berpengaruh.

Menulis di Facebook hari ini (31 Mei 2018), bekas ketua Pemuda Umno itu berkata tindakan itu “konspirasi politik paling kotor” dalam politik di negara ini.

Tambahnya, usaha mencantasnya “akibat kecemburuan politik dan usaha terancang untuk menyingkir perdana menteri lebih awal daripada sepatutnya.”

Rahim bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menang dalam satu gabungan untuk pemilihan Umno 1993.

Gabungan itu yang dikenali Team Wawasan turut disertai Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman.

Rahim menyenaraikan empat program Pemuda Umno yang disifatkannya mengharumkan nama negara sehingga beliau dianggap kesayangan Dr Mahathir.

“[...] bila ada kejayaan dan kehebatan berlaku pasti wujud kecemburuan negatif dan destruktif yang cuba meranapkan kecapaian positif ini,” katanya.

Susulan itu, beliau mendakwa ditohmah melakukan rasuah dan skandal seks sehingga menjadi tumpuan media selama 52 hari bagi memalukan dirinya.

Demi parti dan kerajaan, katanya lagi, beliau menyatakan hasrat kepada Dr Mahathir untuk melepaskan semua jawatan sementara siasatan dijalankan.

“Keganasan media menyerang saya walaupun saya tidak bersalah adalah di luar sempadan kemanusiaan, dimotivasi oleh konspirasi ciptaan pemimpin-pemimpin pelesit tadi,” katanya.

Walau memegang semula jawatan ketua Pemuda Umno, beliau gagal memegang kembali ketua menteri Melaka selepas tohmahan dibersihkan.

“Saya menuruti kehendaknya [pemimpin itu] tanpa merujuk kepada perdana menteri sendiri. Saya ditipu lagi,” katanya, tanpa menyebut pemimpin itu.

Tidak jelas sebab bekas tokoh Umno itu membangkitkan isu tersebut saat ini. Namun ia dipercayai merujuk ahli politik Pakatan Harapan yang masih aktif.

Gadis Melaka tersebut kemudian dilaporkan menafikan tohmahan tersebut dan Lim Guan Eng pula dipenjara atas tuduhan menyebar maklumat palsu pada 1998.

Kertas cadangan pertuduhan rasuah terhadap Rahim pula disebar meluas pada 1999 tetapi tindakan tidak dikenakan terhadapnya. 

Sebaliknya Ezam Mohd Noor, ketua Pemuda PKR waktu itu, dipenjara pada 2002 atas tuduhan menyebarkan dokumen rahsia Jabatan Peguam Negara lapor MMO

Berikut disiarkan semula kenyataan Sabri bin Mohamed Yasin bagi pihak ibunya Pendek binti Ahmad, nenek kepada Noryati binti Mohamad Yusop, mangsa rogol yang terlibat dengan kekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di Hotel Belmount, Melaka ada 3hb November 1999 yang dipetik dari Keadilan Daily. 

Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim. 

Cucu saya, telah membuat satu kenyataan pada 2hb November 1999 menafikan keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29hb Oktober 1999 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada tahun 1994. 

Saya amat terkejut dengan kenyataan cucu saya ini kerana sepanjang 5 tahun ini, cucu saya telah mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim semasa cucu saya masih berumur 15 tahun. 

Cucu saya juga memberitahu ahli keluarga dan saya bahawa Tan Sri Rahim merupakan orang lelaki pertama yang melakukan hubungan sulit dengannya. 

Oleh kerana cucu terlibat dengan Tan Sri Rahim, dia ditahan oleh pihak polis pada akhir bulan Ogos 1994 sehingga saya sebagai nenek yang membesarkannya tidak dapat berjumpa dengannya. 

Saya hairan mengapa pihak polis dan kerajaan BN boleh membenarkan seorang mangsa rogol ditahan sedangkan mereka yang merogolnya bebas tanpa dipenjarakan. 

Ini boleh dilihat selepas 14 lelaki, kecuali Tan Sri Rahim, mengakui merogol gadis bawah umur di mahkamah tetapi tidak dipenjarakan sebaliknya dibebaskan. Akibat peristiwa hitam itu, cucu saya telah melahirkan seorang anak perempuan pada 1995. 
Oleh kerana tidak dapat menjumpai cucu saya, saya telah meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Kawasan Kota Melaka YB Lim Guan Eng yang berjaya memaksa pihak polis membenarkan saya melawat cucu saya. 

Saya amat kesal dan sedih bahawa YB Lim dalam usaha membantu mendapat keadilan untuk cucu saya telahpun dipenjarakan di Penjara Kajang pada 25hb Ogos 1998 dan kehilangan statusnya sebagai Ahli Parlimen. 

Dalam kes mahkamah Lim Guan Eng yang mulai pada 20hb Jun 1995, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Mok Siew Hoong menyatakan bahawa cucu saya telah mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim. 

Pada 27hb Februari 1997, cucu saya pula memberikan keterangan sebagai seorang saksi kepada hakim Mahkamah Tinggi dalam kes YB Lim Guan Eng bahawa Tan Sri Rahim mempunyai hubungan sulit dengannya.

Selepas itu cucu saya, semasa berjumpa dengan saya, masih mengakui bahawa Tan Sri Rahim ada hubungan sulit dengannya. Malah, cucu saya telah membuat satu ucapan di depan kami di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 27hb Januari 1999 menyokong YB Lim Guan Eng yang dipenjarakan seperti berikut:- 

“Saya merasa sungguh kesal atas apa yang telah berlaku di masa lampau, dan merasa sungguh sedih sekali kerana YB Lim Guan Eng kini telah dipenjarakan. Apa yang beliau cuba lakukan hanyalah untuk membantu saya. 

Tetapi beliau sendiri pula menjadi mangsa. Semua ini sungguh tidak adil. Saya berdoa semoga keadilan akan dikembalikan kepada YB. 

Malam ini, saya telah membawa dua surat rayuan, satu kepada Yang Di Pertuan Agong dan satu lagi kepada Yang Di Pertua Negeri Melaka, meminta supaya YB Lim Guan Eng diampunkan dan dibebaskan segera supaya meneruskan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen sejati Malaysia. 

Saya meminta supaya YB Lim Kit Siang selaku Ketua Pembangkang Parlimen boleh membantu sampaikan surat-surat rayuan saya ini kepada kedua-dua pihak itu.”

Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim. 

Saya berasa hampa, malu dan marah atas kejadian rogol yang menimpa cucu saya. Tetapi saya berasa lebih hampa, malu dan marah bila cucu saya boleh membelakangkan kebenaran dan keadilan dengan melupai jasa baik YB Lim sehingga bersedia bohong dengan menafikan dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim. 

Nyata sekali, ini adalah satu lagi konspirasi kerajaan BN menutup kebenaran demi kepentingan politik. Saya masih mengingati cucu saya begitu tersiksa semasa ditahan di Pusat Pemulihan Rembau sehingga cuba melarikan diri banyak kali. 

Dia memberikan keterangan di mahkamah bahawa dia berjaya melarikan diri daripada tahanan sekali sebelum ditangkap balik. Jelas, kasih sayang keluarga kami kepadanya tidak dibalas. 

Lim Guan Eng ditangkap kerana membantu mangsa yang dirogol oleh Rahim Thamby Chik. 

Apa yang dilakukan oleh cucu saya adalah tidak adil kepada YB Lim Guan Eng yang telah kehilangan begitu banyak, termasuk dipenjarakan kerana cuba mempertahankan hak cucu saya ini.

Kenapa agaknya selepas 24 tahun berlalu Rahim tiba-tiba membangkitkan isu ini semula?- Anak Sungai Derhaka.

MR : Siapa pemimpin PELESIT berkenaan. Sudah pasti mereka kini akan menguasai PAKATAN HARAPAN. Sekali lagi rakyat ter'kencing' dengan politik kotor dengan manusia yang berwajah lebai.

MINDARAKYAT 

Soros Bilionair 'Penyangak' Mata Wang &'Demokrasi Liberal'. Tun M Tergiur Lagi?



PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengkritik hebat George Soros semasa krisis kewangan melanda negara pada 1997 dulu.

Mahathir yang juga perdana menteri pada masa itu mengutuk tindakan Soros terlibat dalam spekulasi mata wang sebagai “penyangak” dan tidak bermoral.
Hari ini, Soros masih menjadi sasaran kemarahan kerajaan di seluruh dunia, yang menganggapnya sebagai bilionair, pejuang hak asasi Barat yang juga pemanipulasi demokrasi.
Hartawan berusia 87 tahun ini lahir pada 1930 di Budapest, Hungary, daripada bapa yang berketurunan Yahudi.
Beliau dan keluarga berjaya melarikan diri dari Nazi dengan memalsukan pengenalan diri, menyembunyikan identiti agama.
Soros berpindah ke England semasa berusia 17 tahun dan mendapat pendidikan tinggi hinga PhD dari London School of Economics (LSE) sambil bekerja sebagai pengangkat beg di stesen keretapi dan pelayan di kelab malam.
Di sinilah beliau diperkenalkan dengan demokrasi liberal Barat dan kemudian membina konsep masyarakat terbuka (open society).
Selepas bekerja di bank pelaburan di London, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1956, bekerja di New York dan kemudian menubuhkan syarikat pelaburan pada 1970.
Cara pelaburan Soros yang agresif dan spekulatif akhirnya membina imejnya sebagai seorang pelabur disegani dan salah seorang terkaya di dunia.
Beliau dikenali sebagai seorang yang membankrapkan Bank of England pada September 1992 apabila pelaburan beliau menyebabkan bank tersebut kehilangan berbilion pound rizab.
Selepas itu, beliau mula menumpukan pada kerja-kerja lain seperti pemberian dana kepada program-program hak asasi, demokrasi dan pasaran bebas.
Soros juga menggerakkan kerjasama kebudayaan di Eropah Timur selepas kejatuhan komunisme.
Open Society Foundation yang ditubuhkannya kini menjalankan program di lebih 100 buah negara, dan mempunyai 37 pejabat serantau.
Program-program ini bermatlamat menyebarkan nilai-nilai demokrasi liberal, melatih aktivis-aktivis muda.
Soros disenaraikan sebagai manusia ke-29 terkaya di dunia oleh majalah Forbes, dan pada masa itu beliau memindahkan AS$18 bilion atau 80 peratus kekayaannya ke pertubuhannya.
Pertubuhan beliau terus aktif menyebarkan fahaman liberal ke seluruh dunia, termasuk kempen menyokong golongan LGBT.
Beliau terus terlibat dalam mempengaruhi politik di seluruh dunia, daripada di Amerika Syarikat hingga ke Eropah Timur dan Rusia.
Pertubuhan beliau diharamkan di Rusia pada 2015 kerana program yang dianggap menggugat keselamatan dan bertindak sebagai agen asing.
Di negeri kelahirannya, Soros dimusuhi oleh pemimpin sayap kanan, Viktor Orban yang menang sekali lagi dalam pilihan raya terbaru.
Soros memberi dana kepada kumpulan anti-Brexit, Best of Britain berjumlah puluhan ribu pound untuk cuba menghalang United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah.
Soros menyokong Barack Obama dan Hillary Clinton dan mengecam kuat Presiden Donald Trump.
Selepas aktiviti mendana kegiatan liberal, Soros juga terlibat dalam pelaburan dalam kelab-kelab sukan di serata dunia.
Pada 2012, dilaporkan beliau telah membeli saham minoriti dalam pasukan bola sepal Manchester United. – BBC
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah Tun M tergiur dengan Soros lagi, kerana namanya mula disebut-sebut?  Atau mahu 'Demokrasi Liberal mengiringi Islam Liberal (sebenarnya Islam yang sesat)?

3 Pelajar M'sia Juara Pertandingan Nuklear Dunia


Pencapaian membanggakan oleh tiga orang anak tempatan apabila berjaya menjuarai pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear peringkat antarabangsa.

Pertandingan tersebut yang melibatkan pelbagai negara telah dianjuran oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan, kelmarin.

Lapor akhbar tempatan, pelajar terbabit ialah Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17; Muhammad Anuar Abd Ghani, 17; dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16; dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Jertih, Terengganu.
Mereka telah menubuhkan pasukan yang dengan nama ‘Kubest Innovation Team’ pada Disember 2017 dan telah melalui tiga peringkat awal mengatasi 188 pasukan daripada 30 negara anggota IAEA.
Pasukan di bawah pengawasan Projek Unit Inovasi SMK Kuala Besut diketuai Faizul Abd Rahman, Ketua Bidang Sains Matematik SMK Kuala Besut, turut dibantu oleh Wan Zul Azri Wan Mod Shatar selaku Guru Penyelaras Projek, dan Rohaya Husin yang juga guru di sekolah berkenaan.
Dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan dorongan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Tengku Zaihan Bin Che Ku Abd Rahman yang juga ADUN Kuala Besut, pasukan ini telah berjaya melangkah jauh.
Bagi mencungkil ilmu berkenaan nulear, tiga orang pelajar ini telah berkunjung ke jabatan jabatan kerajaan, sekolah berprestasi tinggi serta bantuan dari PIBG dan pembabitan komuniti setempat.
Pengetuanya, Che Soh Che Mat berkata, menerusi pertandingan itu, pelajar menggunakan tema mengenai kebaikan kuasa nuklear dengan projek bertajuk, 100 Things About Nuclear Science And Life.
Mereka telah membeli tapak di Google Apps dengan memasang aplikasi NBEST untuk penyebaran maklumat yang mana seluruh dunia dapat memuat turun aplikasi berkenaan sebagai kesedaran tentang keperluan tenaga nuklear kepada masyarakat.
Berkonsepkan “i-clear about nuclear”, masyarakat lebih memahami apa itu tenaga nuklear dan keperluan tenaga terbabit kepada kehidupan.
Kerja keras yang dilakukan dengan kesungguhan oleh ketiga-tiga pelajar tersebut ternyata membuahkan hasil apabila menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa.
 SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Menerusi pertandingan itu, Malaysia adalah antara lima negara yang layak ke peringkat akhir selain daripada Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, beliau amat berbangga dengan kemampuan ketiga-tiga pelajar yang mewakili negara ke pertandingan berkenaan.
“Mereka sememangnya berminat dalam bidang nuklear dan menyertai pertandingan berkenaan selepas mendapat tahu Agensi Nuklear Malaysia membuka penyertaan kepada sekolah-sekolah seluruh negara pada pertengahan tahun lalu,” katanya.
Kepulangan pelajar terbabit ke Malaysia yang dijangka tiba esok jam 3.30 petang akan disambut oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.(IH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails