Friday, June 15, 2018
Agong Solat Sunat Aidilfitri Di Masjid Muhammadi
KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi di sini, bersama kira-kira 5,000 jemaah bersempena sambutan 1 Syawal.
Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat Diraja Kelantan serta pembesar negeri Kelantan.
Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah manakala Mufti Negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, bertindak sebagai khatib.
Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan kemudiannya beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda serta Tengku Muhammad Faiz sebaik selesai khutbah Aidilfitri.
Mohamad Shukri ketika menyampaikan khutbah bertajuk 'Berhari raya mengikut kaca mata Islam', berkata umat Islam berhimpun untuk menunaikan solat Aidilfitri secara berjemaah, memperlihatkan wujudnya persatuan dan kesatuan umat, kerapian dan kekukuhan barisan saf.
"Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak memecahbelahkan jemaah umat Islam, menimbulkan kerosakan pada hubungan baik sesama Islam. Perpaduan, persatuan dan kerukunan hidup adalah hasil daripada akidah keimanan," katanya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersalaman dengan para jemaah selepas menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi hari ini.Turut hadir Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra. - BERNAMA
Beliau berkata Ramadan adalah madrasah yang banyak menyajikan pengajaran untuk umat Islam, yang telah dan untuk dipelajari.
"Ramadan mengajar kita agar ada wawasan jauh ke hadapan agar tidak mendapat untung sesaat tetapi rugi jangka masa panjang iaitu kehidupan di akhirat nanti. Aidilfitri pula banyak mengajar umat Islam supaya mampu melihat persoalan hidup dan kehidupan," katanya.
Beliau turut menasihati umat Islam supaya berwaspada dengan musuh Islam yang cuba menghancurkan nilai iman, akidah dan keyakinan dengan mereka membanjirkan bermacam-macam fahaman dan aliran.
"Dipasarkan kepada umat Islam terutama anak-anak muda generasi baharu berupa fahaman tidak bertuhan seperti fahaman komunis, ateis, fahaman materialisme serta fahaman Islam liberal kononnya Islam yang dianuti sekian lama itu Islam jumud," katanya.
Mohamad Shukri berkata kedudukan agama Islam cuba disamaratakan dengan agama lain, agama Islam dianggap menghambat dan menyekat kemajuan, bahkan agama itu candu dan dadah masyarakat.
Sepanjang sejarah kehidupan manusia, golongan anti tuhan, anti Islam dan kuncu-kuncunya dihancurkan oleh pembawa panji-panji tauhid, katanya.
Beliau mengajak umat Islam sama-sama berfikir bagaimana untuk mewariskan generasi akan datang dengan nilai-nilai akidah keimanan dan keyakinan tauhid.
"Tauhidlah yang memerdekakan manusia daripada belenggu hawa nafsu berupa keangkuhan, kesombongan, keserakahan dan sebagainya. Tauhid akan membebaskan manusia daripada syirik dan sistem yang tidak adil," katanya.
Dalam pada itu Mohamad Shukri berkata perbezaan pendapat seharusnya menjadi pemangkin yang merangsang umat Islam untuk memperkukuhkan ukhuwwah islamiyah dan menjana perpaduan kerana itulah yang dituntut oleh Ramadan dan amalan puasa.
Selesai mengerjakan solat sunat, Seri Paduka bersama adinda baginda, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke majlis penghadapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Balai Besar yang terletak berhampiran masjid berkenaan. -- Bernama
Hari Raya Aidilfitri, Selamat!! Terimalah Hadiah Dari Ibnu Hasyim.
Selamat Hari Raya Puasa...
Maaf Zahir Batin,
Selamat Jiwa raga..
Selamat Aqidah.
Untuk pembersihan aqidah ku hadiahkan 2 syarahan ini..
Video: Lebih Baik Pemimpin KAFIR tapi JUJUR...!!!!
Hati-hati pendakalan Aqidah
Video: Pemimpin Kafir Yang Adil vs Pemimpin Islam Yang Zalim - Ustaz Azhar Idrus
Dari Ibnu Hasyim..
Rumah Terbuka PM Bongkar PH ‘Auta’ Hutang Negara
BAZIR… Ketika rakyat marhaen diseru agar berjimat cermat dan bantulah negara dengan derma kepada Tabung Harapan Malaysia, lain pula halnya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Perdana Menteri dengan usia paling tua di dunia itu selamba sahaja menganjurkan majlis rumah terbukanya di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya pada 1 Syawal ini yang tentunya memakan kos besar melibatkan ‘duit rakyat’.
Ironi, ketika Unit Komunikasi Jabatan Perdana Menteri memaklumkan mengenai perkara itu pada 11 Jun lalu, tarikh yang sama menyaksikan Istana Negara mengumumkan pembatalan rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong.
Malah Seri Paduka Baginda dilaporkan bertindak demikian kerana prihatin dengan kedudukan kewangan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) konon terpaksa menanggung hutang RM1 trilion diwarisi daripada pentadbiran lama.
Bagi yang tidak faham maksud tersirat, sebenarnya ia ayat sindiran secara beradab pihak Istana Negara terhadap Mahathir dengan beri alasan kos rumah terbuka itu sewajarnya diguna untuk bantu golongan lebih memerlukan.
Malangnya, Pengerusi PH itu bukan sahaja tidak menjunjung kasih sikap keprihatinan Sultan Muhammad V yang sanggup korban majlis tahunan tersebut, bahkan tiada inisiatif untuk batal rumah terbuka anjuran beliau sendiri.
Ini mencetuskan persoalan cepumas apakah si Mahathir itu lebih hebat darjatnya daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga mengutamakan rumah terbuka di kediaman rasmi perdana menteri itu berbanding nasib rakyat miskin.
Untuk rekod, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah membatalkan majlis rumah terbuka di Seri Perdana pada 2014 sebagai tanda sedih kerajaan demi menghormati waris tragedi pesawat MH370 dan MH17.
Bukan itu, sahaja mantan presiden UMNO ketujuh itu pernah mengarahkan seluruh negara berkabung dengan batal sambutan Tahun Baharu 2015 susulan banjir besar dan insiden pesawat AirAsia terhempas di perairan Indonesia.
Begitulah tanda kepedulian Najib lebih mendahulukan rakyat meskipun ketika itu kedudukan ekonomi negara amat baik dengan kadar hutang relatif stabil sekitar 50 peratus daripada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Hakikatnya, penganjuran rumah terbuka oleh Mahathir pada 1 Syawal ini bukan sahaja biadab kerana diadakan dari jam 10 pagi hingga 4 petang tanpa rehat untuk solat fardu Jumaat, malah membuktikan hutang negara masih baik.
Jika betul Malaysia ketika ini ambang muflis seperti mana pernah menimpa Greece dan Venezuela, mana mungkin kerajaan sanggup berbelanja besar untuk jamu 50,000 pengunjung ke majlis khas sempena Hari Raya Puasa itu.
Bayangkanlah sekiranya kos makan untuk setiap pengunjung ialah RM10, ini bermakna bajet RM500,000 terpaksa dibazirkan kerajaan walhal jumlah itu boleh digunakan untuk bantu golongan daif tegar di bandar atau pedalaman.
Bagaimanapun, realitinya majlis rumah terbuka perdana menteri menyerlahkan kerajaan PH sebenarnya berjaya memanipulasi jumlah hutang negara sebagai usaha menakutkan rakyat dan benci kepada Barisan Nasional (BN).
Ini kerana bajet program tersebut yang melibatkan elaun keraian Mahathir sendiri jelas menunjukkan kerajaan PH sebetulnya masih lagi berkemampuan berbelanja mewah ketika Seri Paduka Baginda pula tidak menganjurkannya.
Lainlah jika rumah terbuka di Seri Perdana itu sekadar menyajikan menu air kosong dan nasi lemak biasa kepada rakyat demi membuktikan pentadbiran PH berjimat-cermat dan tiada lagi duit simpanan! – Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar sindiran…
Lihat ini..
Video: Lebih Baik Pemimpin KAFIR tapi JUJUR...!!!!
Hati-hati pendakalan Aqidah
Video: Pemimpin Kafir Yang Adil vs Pemimpin Islam Yang Zalim - Ustaz Azhar Idrus
Tiba Masanya Anwar Jadi Presiden PKR..
Tiba masanya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai presiden PKR, kata Naib Presiden Shamsul Iskandar Md Akin.
“Saya harap pemilihan parti kali ini Anwar akan bertanding sebagai presiden.
“Tidak patut ada lagi ketua umum. Jawatan ketua umum ini direka oleh kongres parti untuk Anwar,” kata Shamsul.
“Sekarang saya rasa dia kembali, jadi saya harap Anwar dapat dengar suara kami, suara majoriti.
“Marilah kita mansuhkan jawatan ketua umum supaya beliau boleh kembali memimpin parti sebagai presiden,” katanya.
Anwar telah menjadi ketua umum sejak 2004, selepas pembebasan pertamanya daripada penjara. Beliau ketika itu dilarang aktif dalam politik kerana disabitkan atas kesalahan rasuah. Bagaimanapun, untuk pemenjaraan kali kedua, beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agung yang membolehkannya kembali berpolitik dan mengambil alih kepimpinan daripada Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.
Pemilihan parti dijangka dilangsungkan Ogos ini. Dalam pemilihan 2014, keadaan tegang antara kem bertanding sehingga menyaksikan kerusi terbang dalam pemilihan bahagian. Kali ini Shamsul berharap insiden sama tidak berulang.
-malaysiakini
Negara Muslim Tanpa Islam? -Presiden, DPIM.
Saya mula menulis artikel ini dalam penerbangan pulang ke tanah air setelah 16 hari berada di New Zealand. Saya berkesempatan bukan sahaja melawat ibu negara Auckland, berceramah dan bertemu komuniti Islam di sana, malah juga berkereta ke sebahagian pulau utara, iaitu ke Rotorua dan Semenanjung Coromandel, diikuti ke timur utara, melancong ke Paihia dan Bay of Islands.
Ini adalah lawatan kelima saya dan setiap kali ke New Zealand, tidak dapat mengelak daripada membandingkan kehidupan di sana, iaitu sebuah negara kecil berlandaskan tamadun Barat, dengan negara Islam lebih besar seperti Arab Saudi dan Mesir, (yang secara kebetulan baru juga lepas saya lawati), mahu pun dengan kehidupan di tanah air sendiri.
Negara Islam tanpa Muslim!
Bagi saya, paling mengagumkan ialah kesungguhan dan kegigihan warga New Zealand menjaga kebersihan dan memelihara keindahan seluruh negara pulau ini. Kejayaan hebat mereka secara langsung menjadi identiti New Zeaaland, menzahirkan kemakmuran dan kesejahteraan hidup berlandaskan tamadun Barat.
Pasti ramai berpendapat iklim dan keindahan alam semula jadi faktor utama membuatkan New Zealand indah permai. Namun, perhatikan keadaan di beberapa negara berlandaskan tamadun Islam.
Sekalipun tidak kurang dengan keunikan dan keindahan alam semula jadi pantai, sungai, hutan dan padang pasir, bukit dan gunung, malangnya kebanyakannya tidak dijaga dan dipelihara.
Hal ini berlaku di Mesir, termasuk di sekitar kesergaman ciptaan sejarah manusia seperti Piramid. Namun ingatan saya dalam melawat ke Piramid dicemari kenangan bau busuk najis kuda dan unta, selain debu pasir dan sampah sarap merata mencemar indera. Bukan sahaja di Mesir, malah dapat dilihat di tanah air.
Ia merosakkan keindahan dan keunikan pembangunan di Malaysia, seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser. Demikian juga kita saksikan di negara Islam kaya seperti di Arab Saudi dan lainnya.
Kebanyakan keindahan semula jadi dan tempat bersejarah terbiar, kotor, dan jika dibangunkan, dengan kaedah mencemar pandangan, tidak teratur dan rendah nilai kecantikan estetika.
Jika semua ini berlaku di dunia Islam, sesungguhnya ia satu tragedi besar sejarah dan satu “penderhakaan” terhadap falsafah hidup sebagai Muslim. Kerana umat Islam adalah umat sepatutnya lebih sedar dan peka terhadap peranan mereka sebagai khalifah melindungi alam semesta kejadian Tuhan.
Sekitaran hidup umat rata-rata kotor dan banyak yang jijik lagi tercemar setelah dirosakkan “perbuatan tangan manusia” tanpa batasan dan kepedulian. Sebahagian kerosakan berlaku berpunca kemiskinan melata berpanjangan tanpa pembelaan; sementara kepimpinan umat pula dirasuk pembolotan dan penyalahgunaan kuasa melampau mengutamakan kepentingan sempit dan serong peribadi hingga abaikan amanah khalifah kepemimpinan.
Semua ini buat saya teringat kenyataan seorang ulama besar Islam pada akhir abad ke-19, Muhammad Abduh, yang sangat tajam dan mendesak umat Islam perbaharui kehidupan.
Sekembali daripada melawat Eropah Muhammad Abduh pernah menyatakan: “Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam.” Perasaan sama seperti ini tersentuh di hati sanubari dan menusuk ke minda saya seluruh perjalanan di New Zealand.
Budaya bersih, kehidupan jernih
Hari ini ramai Muslim cepat mengkritik dan mencemuh Barat; ada yang langsung menuduh menyalahkan Barat atas segala kelemahan umat Islam. Memang Barat banyak melakukan dosa dalam sejarah manusia, dan menerusi dominasinya terhadap umat bukan Barat, banyak melakukan penganiayaan dan kezaliman.
Namun bukan tangan Barat sahaja merosakkan dunia, kerana tangan pemimpin Islam juga banyak mencemarkan kehidupan umat Islam sendiri. Perhatikan sahaja kekejaman pemerintahan Arab pra-revolusi 2011 di bawah rejim Zainalabidin Ali di Tunisia, Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya.
Perhatikan juga bagaimana negara berlandaskan tamadun Barat, sekalipun kecil seperti New Zealand, bebas daripada kerosakan dan pencemaran kehidupan bermasyarakat, juga sangat bersih dan penduduknya sangat prihatin tentang kebersihan.
Semua bandar kecil dan besar di New Zealand; sepanjang lebuh raya, jalan, juga lorong; sampai ke seluruh pelosok desa, pantai, sungai, pulau, bukit dan gunung; semuanya terjaga bersih dan indah dilihat.
Bandingkan keadaan ini dengan negara Islam di mana-mana. Gambaran sebaliknya akan kita dapati, sekalipun kebersihan satu anjuran asasi Islam yang juga nikmat hidup yang sewajarnya dimanfaatkan dan dibudayakan sebelum kita boleh menjernih dan memurnikan kehidupan sebagai umat terbaik atau “khaira ummah”.
Paling menarik perhatian, saya perhatikan di New Zealand tidak ramai pekerja pembersihan penguasa tempatan berbanding Malaysia. Sekalipun sampah-sarap di rumah rata-rata dipungut seminggu sekali, sekitaran masih terjaga bersih.
Kerja pembersihan berimpak besar turut dilakukan pasukan pembersih sukarela awam, termasuk kanak-kanak, yang bekerja terus menerus membersih dengan serius, dedikasi dan dengan cara tersusun dan berorganisasi.
Ia juga dijadikan tanggungjawab peribadi amalan setiap penduduk, dilengkapi undang-undang dan peraturan yang tegas dikuatkuasakan. Jelas sekali, penjagaan kebersihan berkesan dan berjaya diintegrasi setelah dibudayakan masyarakat New Zealand.
Paling ketara, tandas awam hampir semuanya sangat bersih, sehingga seolah-olah dapat dirasai kebersihannya. Malangnya ini jarang sekali didapati di negara Islam. Setiap kali kita gunakan air dari sumber kemudahan awam di New Zealand, terutama untuk berwuduk atau bersuci, kita pasti merasa lebih yakin kebersihannya berbanding keadaan di majoriti negara Islam.
Keselesaan dan keselamatan kehidupan di New Zealand juga nyata lebih terjamin. Pasti terdapat insiden jenayah pecah rumah, rompakan, dan lainnya; namun tidak sampai tahap membimbangkan dan mengancam kehidupan masyarakat. Antara buktinya: Tingkap dan pintu rumah di New Zealand banyak menggunakan kaca, tanpa dicacatkan jaring besi keselamatan.
Tidak seperti di Malaysia di mana majoriti penduduknya terpaksa tinggal dalam rumah umpama banduan dalam penjara: Rumah terpaksa dipagar; pintu dan tingkap dirantai dan dimangga; seluruh rumah digrill dan dikawal penggera. Itupun, penghuninya masih tidak dapat tidur lena!
Binatang dan haiwan juga terlindung dan lebih selamat di New Zealand. Saya pernah bertemu anggota pasukan penyelamat haiwan, lengkap peralatan dan kereta menyelamat, termasuk ambulan khas untuk haiwan! Langsung teringat membaca mengenai kehidupan umat Islam di puncak kegemilangan tamadun Islam lebih lima abad dahulu.
Terdapat catatan dalam sejarah pembangunan wakaf untuk manfaat masyarakat di mana sebuah wakaf pernah ditubuhkan oleh orang kaya Islam khas untuk melindungi dan memberi makan serigala di hutan di luar kota Islam. Tujuannya ialah supaya serigala tidak perlu datang ke kota mencari makanan, mengelakkannya diancam atau dibunuh penduduk kota.
Penting pembaharuan gaya hidup
Kesimpulannya, haruskah kita biarkan negara Islam berpanjangan dicemari gaya hidup bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam?
Dalam kesempatan pembaharuan cetusan Revolusi 2011 di dunia Arab, juga kesempatan memperbaharui kehidupan di Malaysia menjelang PRU13, sewajarnya kita manfaatkan proses demokrasi menuntut agenda pembaharuan gaya hidup menterjemah nilai tinggi Islam terhadap kebersihan dan kejernihan, kemakmuran dan kesejahteraan, menjadikannya salah satu agenda utama transformasi.
Masih belum terlewat untuk kita bertindak memperbaharui dan mentransformasi berlandaskan nilai hidup “Khalifah” anjuran Islam berteraskan prinsip kebersihan dan kesucian sebahagian daripada iman, selain amar makruf, nahi mungkar.
Pembaharuan dan pembersihan perlu dalam semua bidang kehidupan moden relevan buat abad ke-21 dan alaf baru, iaitu dalam politik dan ekonomi, sosial dan budaya serta pegangan dan gaya hidup yang diamalkan.
Dalam konteks sistem ekonomi, yang diperlukan ialah membersih dan mensucikan amalan bisnes dan korporat daripada kerakusan dan nafsu serakah mencemar dan merosakkan. Pembaharuan dan pembersihan bisnes dan korporat wajar digerakkan berlandaskan falsafah Islam yang mengiktiraf manusia sebagai khalifah.
Kerana konsep khalifah menurut Islam mentakrif harta kekayaan sebagai amanah ALLAH SWT untuk dimanfaatkan ke arah memakmur dan mensejahterakan kehidupan, bukan untuk diswasta dan diperibadikan hingga menjadikan manusia rakus, serakah dan nafsu-nafsi, merendahkan martabat insan.
Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Presiden,
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
ali.bizjihad@yahoo.com
Thursday, June 14, 2018
Jangan Salahkan K'jaan PH Tidak Tunai Janji..
JANGAN salahkan Kerajaan Pakatan Harapan, tidak tunai janji, tidak menghormati janji, tangguh janji manifesto.
Mereka sudah menjumpai alasan untuk tidak melaksanakan janji, kerana negara mempunyai hutang yang diberikan tafsiran/definisi baru, sehinggakan hutang rasmi negara yang menggunakan tafsiran antarabangsa berjumlah RM686bilion menjadi RM1,087bilion.
Ketika hutang RM686bilion, ianya merupakan 50.8% KDNK (KDNK negara pada 31 Disember,2017 berjumlah RM1,354bilion), kini kerana tafsiran baru, kadar hutang negara menjadi 80.3%.
Kerana tafsiran hutang negara yang baru, kemudiannya negara kehilangan pendapatan RM21bilion, kerana GST menjadi sifar peratus bermula hari ini (1 Jun,2018), maka kerajaan PH tiada pilihan, melainkan menangguhkan janji-janji mereka, menunggu, hutang negara berkurangan. Tidak tahu limit atau had mana jumlah hutang itu menurut tafsiran kerajaan. Kalau lah menunggu, sehingga 50%, nampaknya memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun atau dua penggal pemerintahan.
Para penyokong PH di 121 kawasan Parlimen diyakni dapat menunggu tempoh masa itu, kerana penyokong DAP boleh menunggu lebih 50 tahun untuk memerintah, penyokong PKR dapat menunggu 20 tahun untuk merealisasikan impian mereka menawan Putrajaya dan seterusnya menjadikan Dato Seri Anwar Perdana Menteri.
Bagi penyokong bekas kerajaan, iaitu Parti barisan Nasional, yang tersibar di 78 kawasan Parlimen, tidak kesahpun berkaitan janji-janji PH, kerana memang tahu, bahawa janji-janji tidak bakal dilaksanakan, kerana akan mempengaruhi kedudukan kewangan negara.
Namun, apabila kerajaan PH menangguhkan atau tidak melaksanakan janji-janji, maka yang terkesan adalah penyokong mereka, sehingga kini, terpaksa menelan kahak sendiri, dan terpaksa menyokong tindakan kerajaan pilihan mereka. Mereka tidak lagi boleh berbuat apa, terpaksa menyokong, kerana terlajur perahu boleh diundur, terlajak undi, terima lah padahnya.
Syabas kepada penyokong PH kerana memberi derma/sumbangan kepada Tabung Harapan (bukan tabung kerajaan, kerana ianya bukan diwujudkan menerusi Akta Parlimen). Semoga tabung itu dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM500bilion dalam tempoh 5 tahun.
Jika tabung itu dapat mengumpul sejumlah itu, Petronas dan GLC lain seperti Khazanah Nasional tidak menjadi sapi perahan, apa tah lagi digunakan untuk bill-out syarikat-syarikat kroni. Kecenderungan untuk bill-out sudah ON THE WAY, kerana pengelaman Malaysia semasa Pasaran Saham terjejas teruk pada tahun 1997-2000, banyak syarikat kroni jatuh muflis, sehingga diwujudkan Danaharta untuk mengurus hutang tidak berbayar (NPL).
Kini, kerajaan terperangkap dengan permainan sendiri, apabila pasaran saham negara merundum sejak PH mengambil alih Putrajaya. Kepada syarikat kroni, jangan bimbang, harga minyak sedang menanjak naik, dan seterusnya Petronas akan mengaut keuntungan. Guna sahaja duit syarikat itu untuk mengurangi hutang, dan bail-out.
Kepada peminjam PTPTN, yang perlu juga membayar, hutang perlu dibayar. Ambillah iktibar, gunakan ilmu yang dipelajari sebelum terjebak dengan janji-janji bulan bintang. Demikian juga pengguna kenderaan yang berkapasiti 1300cc ke bawah dan penunggang motorsikal yang mengharapkan subsidi tersasar, beli lah pada harga tetap RON95, RM2.20/liter. Harga itu, hanya mahal 70 sen berbanding janji PH RM1.50 seliter.
Kempen DAP, PH Jahanamkan Nama Melayu
PEMIMPIN DAP Lim Guan Eng baru-baru ini berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) umpama runtuhnya Tembok Berlin yang dibina komunis untuk memisahkannya dari Jerman Barat.
Guan Eng menjadikan simbol Tembok Berlin yang mewakili penindasan, kezaliman dan pemerintahan autoritarian itu untuk merujuk kepada pemerintahan UMNO, yang merupakan parti Melayu terbesar.
Kita mungkin tidak boleh membaca niat sebenar Guan Eng mengungkapkan perkara ini, tetapi sebenarnya beliau dan beberapa pemimpin DAP dan golongan liberal sudah biasa menggunakan simbol-simbol kejahatan ini untuk mengaitkannya dengan UMNO dan orang Melayu Islam.
Bagi mereka, ketuanan Melayu di Malaysia ini ialah sesuatu yang amat negatif, bersifat autoritarian malah fasis, hingga kedudukan istimewa Melayu selalu diungkapkan dengan cara sangat buruk.
Kita sudah melihat yang kaitan dengan Tembok Berlin ini tidak mencetuskan kegemparan dan kejutan di kalangan penyokong-penyokong PH kerana mereka juga melihat kepimpinan Melayu dengan cara negatif.
Sebelum ini, mereka mengaitkan menteri propaganda zaman Nazi, Joseph Goebbels dengan kempen penerangan UMNO semasa masih menjadi pemerintah beberapa tahun lepas.
Ini dilakukan sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan mereka yang mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “Goebbels kecil.”
Mereka juga mengaitkan ucapan Najib dengan ucapan Hitler, memberikan tafsiran yang menunjukkan yang Najib mahu pemerintahan yang lama seperti yang diidamkan Hitler.
Mesej mereka ini semua sampai pada telinga-telinga penyokong mereka dan menguatkan lagi kebencian terhadap UMNO dan semua yang berkaitan Melayu termasuk agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.
Mereka memberi imej paling buruk pada pemimpin politik Melayu supaya mereka sendiri akan kelihatan baik atau sebagai pilihan yang lebih baik terutama pada bukan Melayu.
Kempen berterusan ini memburukkan nama Melayu hingga semakin ramai melihat Melayu sebagai satu yang jijik dan keji.
Apa yang mereka lakukan ini menunjukkan sikap rasis mereka kerana sangat mudah mengaitkan yang buruk dengan Melayu dan penyokong mereka pula dengan mudah menerimanya.
Setelah beberapa tahun kempen ini ditujukan kepada kepimpinan Melayu, sejak dua atau tiga pilihan raya umum terdahulu, mesej ini sudah tertanam dalam fikiran ramai kerana sudah disebut berulang kali.
Malangnya sesetengah orang Melayu sendiri sudah mempercayainya dan turut sama menyebarkannya di media sosial.
Inilah satu kempen jahat yang sudah merosakkan negara, membina persepsi dan pemahaman yang salah di kalangan rakyat hingga menggugat keharmonian negara. – Mynewshub.cc
Subscribe to:
Posts (Atom)