Friday, July 12, 2019

Bantah Projek Tambakan Selatan PP, I/Hasyim Sokong CAP.



Suara rakyat bantah projek PSR bergema di Parlimen

KL:Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menyeru masyarakat menyedari kesan jangka masa panjang projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang hanya akan menguntungkan pihak tertentu.

Katanya, impak daripada kelangsungan PSR, hak-hak nelayan selaku majoriti penduduk persisir pantai akan tergadai dan hanya akan menguntungkan sesetengah pihak yang tamak.

Justeru itu, beliau menyeru masyarakat agar turut serta menolak PSR dan meminta kerajaan membatalkan hasrat meneruskan projek itu yang pastinya mengakibatkan kerugian kepada masa depan nelayan.

"Ini kita mesti sedar, hak nelayan dikorbankan supaya satu golongan kecil boleh mengaut keuntungan daripada projek-projek ini, ini harus kita tolak," ujarnya ketika menyerahkan memorandum bantahan PSR dikelolai gabungan Penang Tolak Tambak, di pintu masuk Parlimen, semalam.

Tambah beliau, kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) PSR merupakan satu proses tertutup di mana pakar dilantik oleh pemaju kerajaan sendiri yang sudah pun komited terhadap projek tersebut.

Katanya, Pulau Pinang telahpun mempunyai beberapa projek tambakan di Gurney Drive dan Tanjung Tokong berkeluasan 700 ekar, selain mempunyai lambakan bangunan tidak terjual yang berlebihan.

"Ini akan mengakibatkan satu krisis ekonomi dalam Malaysia kalau kita menambahkan lagi bangunan-bangunan, sebab itu tidak ada logik, mengapa kerajaan meluluskan projek ini," ujarnya lagi.

Selain itu kemukanya, kesan daripada projek tersebut akan mengakibatkan kerosakan kepada pembiakan hidupan laut kerana PSR memerlukan 189 juta meter padu pasir untuk disedut demi menampung tambakan itu.

"Ini akan mengakibatkan kerugian kepada masa depan kepada nelayan, dan kita semua makan ikan, udang, ketam dan harga itu akan meningkat bila kita tidak cukup ikan, kita kena import daripada lain-lain negara," ujarnya lagi.

Mengambil contoh perkara yang berlaku terhadap nelayan Tanjung Adang, penempatan mereka dipindahkan tiga kali akibat daripada projek Forest City di Johor yang melibatkan tambakan seluas 4,000 ekar.

Selain CAP, bantahan itu turut disertai Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Sahabat Alam Sekitar (SAM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan aktivis-aktivis bebas.

Pelbagai kain rentang dikibarkan dengan bermacam slogan bantahan seperti 'Jangan Gadai Pintu Rezeki Kami', 'Nelayan Tolak Tambak' dan 'Jangan Tuang Pasir Dalam Periuk Nasi Kami'. - HARAKAHDAILY 12/7/2019

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sokong CAP! Jahannam PH/DAP!!


Demo Nelayan bantah tambakan 3 pulau di Pulau Pinang


Lagi Kaitan Gusti Gadis Berhijab. -Fatwa Mufti...

logo malay3


Lagi Kaitan Gusti Gadis Berhijab.  Lihat Fatwa Mufti ini..

IRSYAD FATWA #247: HUKUM MENONTON ACARA SUKAN YANG MENDEDAHKAN AURAT

HUKUM MENONTON ACARA SUKAN YANG MENDEDAHKAN AURAT
Soalan:
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum menonton acara sukan yang mendedahkan aurat seperti bola sepak, badminton dan hoki, di mana pemain-pemainnya tidak menutup aurat secara sempurna, tetapi tidaklah terlalu mendedahkan seperti acara gimnastik dan renang?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an al-Karim:
إنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا
MaksudnyaSesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.
(Surah Al-Isra’: 36)
Segala apa yang kita dengar, lihat dan fikirkan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak, samada sekecil-kecil perkara kepada yang sebesar-besar urusan. Allah SWT juga mengarahkan kaum Muslimin dan Muslimat agar memelihara pandangan mereka dan tidak mendedahkan aurat aurat:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ
MaksudnyaDan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;
(Surah an-Nur: 30-31)
Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Saidina Ali r.a:
يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ
MaksudnyaWahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.
(Sunan Abi Dawud: 2149)
لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
MaksudnyaJanganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain.
Riwayat Muslim (338)
Menurut Imam Nawawi pula, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 4/30)
Jarir ibn Abdillah r.a meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang memandang wanita secara tidak sengaja, Baginda SAW menjawab:
اصْرِفْ بَصَرَكَ
MaksudnyaPalingkan penglihatanmu.
Sunan Abi Daud (2148)

Keharusan Menonton Acara Permainan / Sukan
Hukum asal menonton acara sukan dan permainan secara umumnya ialah harus. Hukum keharusan ini tsabit melalui hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha:
جَاءَ حَبَشٌ يَزْفِنُونَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي الْمَسْجِدِ فَدَعَانِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَوَضَعْتُ رَأْسِي عَلَى مَنْكِبِهِ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ حَتَّى كُنْتُ أَنَا الَّتِي أَنْصَرِفُ عَنِ النَّظَرِ إِلَيْهِمْ
Maksudnya: Beberapa orang Habsyah telah datang ke masjid (Nabawi) pada hari raya ‘Eid dan bermain acara lawan pedang, dan Rasulullah SAW telah memanggilku untuk menontonnya. Aku telah meletakkan kepalaku di atas bahu Baginda SAW dan menyaksikannya, hinggalah aku bosan dan berpaling darinya.
Sahih Muslim (892)
Begitu juga dengan hadith berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Hanzalah yang merasa takut dirinya telah menjadi munafiq, kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga beliau, setelah sebelumnya bermuhasabah dalam majlis bersama Nabi SAW. Baginda SAW bersabda:
 يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ ‏"‏ 
MaksudnyaWahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.
Sahih Muslim (2750)
Imam Nawawi sewaktu mentafsirkan hadith ini yang turut diriwayatkan dengan lafaz berbeza dalam Sahih Muslim, beliau menjelaskan bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Kerana itu apabila Hanzalah merasa risau dirinya telah munafiq kerana ‘lalai’ daripada mengingati Allah SWT, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 17/66)
Terdapat juga athar daripada Ibn Shihab yang berkata:
رَوِّحُوا الْقُلُوبَ سَاعَةً وَسَاعَةً
MaksudnyaRehatkan hati-hati kalian, ada masa untuk urusan dunia, ada masa untuk urusan akhirat.
  (Lihat Ibn ‘Abdil Barr, Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlihi, 1/434 dan Al-Maqasid al-Hasanah fima Isytahara ‘alal Alsinah, hal. 372)       

Hukum Menonton Sukan Yang Mendedahkan Aurat?
Setakat ini, kita telah menetapkan tiga premis awal, iaitu:
  1. Hukum menutup aurat ialah wajib secara nas dan ijmak
  2. Melihat kepada aurat secara sengaja tanpa keperluan ialah haram
  3. Hukum asal menonton sukan dan permainan ialah harus.

Maka timbul persoalan: apakah hukum menonton acara sukan yang mendedahkan aurat seperti bola sepak, badminton dan hoki, di mana pemain-pemainnya tidak menutup aurat secara sempurna, tetapi tidaklah terlalu mendedahkan seperti acara gimnastik dan renang? Apakah ada kelonggaran padanya, selagi mana tujuan menontonnya ialah semata-mata untuk hiburan ringan dan bukan untuk tujuan syahwat?
Kami bawakan fatwa-fatwa  dan pandangan para ulama’ berkenaan isu ini:
Fatwa-Fatwa dan Pandangan Ulama Berkenaan Menonton Bola Sepak dan Acara Sukan
  1. Fatwa Lajnah ad-Da’imah menfatwakan keharusan menonton acara sukan selagi mana ia tidak melibatkan sebarang unsur yang haram seperti mengabaikan solat, mendedahkan aurat, percampuran lelaki dan perempuan atau perjudian. (Lihat Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 15/238)
  2. Syeikh Ziyab bin Sa’ad Aali Hamdan al-Ghamidi: Hukum sukan bola sepak ialah haram tanpa syak, bahkan keharamannya lebih berat berbanding arak dan judi. (Rujuk Haqiqat Kurratil Qadam, Cetakan Pertama, 2008, hal. 441)
  3. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia memberikan rukhsah kepada atlet yang terpaksa menepati piawai pemakaian yang tidak menutup aurat secara sempurna. Rukhsah ini juga terpakai kepada penonton acara sukan tersebut, sekalipun kaum Muslimin mestilah berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan tuntutan agama supaya menutup aurat. (Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/3867 )
  4. Syeikh Faysal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah menyatakan bahawa tiada nas syarak yang mengharamkannya. Dakwaan bahawa menonton acara sukan ialah haram secara mutlak dengan alasan ia merupakan satu pembaziran masa tertolak kerana Baginda SAW sendiri menggalakkan kita menghiburkan diri dengan perkara-perkara yang diharuskan.
Menonton sukan menjadi haram sekiranya ia melibatkan perkara haram seperti melihat pemain-pemain yang berpakaian tidak sopan, menghabiskan terlalu banyak masa dan mengabaikan kewajipan agama. (Lihathttps://archive.islamonline.net/?p=1414 )
  1. Dr. Jamaluddin ‘Athiyyah, ahli Akademi Fiqh Islamiy di bawah Organization of the Islamic Conference (OIC) yang menyatakan tiada halangan menonton acara sukan, dengan syarat tidak terlalu banyak masa dihabiskan untuk tujuan tersebut. Hasil pendapatan atlet sukan juga harus selagimana mereka menerimanya sebagai balasan atas usaha dan tenaga mereka. (Lihat (Lihat https://archive.islamonline.net/?p=1414 )
  2. Syeikh Muhammad bin al-Hasan ad-Diddu, anggota Kesatuan Ulama’ Sedunia menyatakan bahawa menonton acara sukan dan permainan ialah harus selagimana ia tidak melibatkan perkara haram.
Adapun dalam isu pemain yang mendedahkan lutut atau peha, beliau menyatakan bahawa aurat terbahagi kepada dua, iaitu aurat mughallazah (berat) yang wajib ditutup dan aurat mukhaffafah (ringan) yang tidak wajib ditutup.
  1. Dr. Majdi ‘Asyour, penasihat kepada Mufti Besar Mesir menegaskan bahawa menonton bola sepak ialah halal dari sudut syarak, selagi ia tidak menyebabkan pengabaian kewajipan agama dan tanggungjawab kerja. Adapun dosa itu ialah pada meninggalkan kewajipan agama dan kerja, bukan pada menonton bola sepak itu sendiri. Tambahan pula, kaum Muslimin di seluruh dunia menonton sukan terutamanya bola sepak, apakah kita ingin mengharamkannya, sedangkan tiada dalil jelas yang menyatakan ia haram? (Lihat https://www.elwatannews.com/news/details/2473962)
  2. Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim, Rektor Universiti al-Azhar juga menyatakan bahawa menonton bola sepak adalah harus dengan syarat ia tidak memberi kesan kepada ibadat dan tanggungjawab pekerjaan. (Lihathttps://fatwa.islamonline.net/5861 )

Perbahasan Fatwa dan Dalil Pentarjihan
Daripada fatwa-fatwa yang kami kemukakan, kita dapati para ulama’ amnya terbahagi kepada tiga pendapat, iaitu yang mengharamkannya secara mutlak, mengharamkannya jika ada unsur maksiat dan yang mengharuskan dengan sedikit kelonggaran.
Berdasarkan fatwa-fatwa yang diberikan para ulama, kami mentarjihkan pandangan yang menyatakan keharusan menonton sukan yang tidak menutup aurat, dengan syarat pakaian yang dipakai pemain-pemain masih lagi dalam batasan tatasusila dan kesopanan yang dapat diterima. Ini merangkumi sukan seperti bola sepak, hoki, badminton, ping-pong, silat, sepak takraw dan bola baling.
Adapun sukan-sukan seperti gimnastik, terjun dan renang, maka hukumnya haram kerana pakaian yang dikenakan adalah terlalu menjolok mata, ketat dan mendedahkan sebahagian besar bahagian badan.
Alasan-alasan pentarjihan kami adalah seperti berikut:
  1. Menurut satu kaedah fiqh, suatu hukum itu ditinjau dari sudut keumumannya:
الحُكْمُ عَلَى الغَالِبِ
MaksudnyaHukum itu ditinjau dari sudut keumuman dan kelazimannya.
Secara umum dan kebiasaannya, acara sukan ditonton dengan tujuan hiburan dari sudut kerancakan permainan, kebijaksanaan strategi, dan menzahirkan semangat kenegaraan / kenegerian / sokongan kepada kelab. Amatlah janggal dan aneh jika ada yang menonton acara sukan seperti bola sepak, hoki dan badminton dengan tujuan untuk melihat kepada aurat pemain dan untuk memenuhi nafsu syahwat.
  1. Memudahkan urusan manusia. Terdapat satu hadith dimana Nabi SAW memilih perkara yang ringan antara dua benda, selagi ianya tidak berdosa:
مَا خُيِّرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ أَمْرَيْنِ إِلاَّ اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَأْثَمْ، فَإِذَا كَانَ الإِثْمُ كَانَ أَبْعَدَهُمَا مِنْهُ
MaksudnyaTidak Baginda Nabi SAW apabila diberi pilihan antara dua perkara, melainkan Bgainda akan memilih yang lebih mudah dan ringan antara keduanya, selagimana ia bukan perkara dosa. Jika ia melibatkan dosa, Baginda lah yang paling jauh daripadanya.
Sahih al-Bukhari (8786)
Menonton sukan merupakan antara medium paling popular bagi masyarakat dalam berhibur menurut batas-batas yang dibenarkan syarak. Mengharamkannya secara total hanya akan memberi kesusahan ke atas mereka kerana kebanyakan sukan melibatkan pendedahan aurat.
Dalam kes ini, memilih pandangan yang mengharuskan menonton acara sukan yang mendedahkan aurat selagimana ia masih sopan dan bertatasusila merupakan manifestasi kepada prinsip memudahkan urusan manusia yang amat dituntut dalam Islam.
  1. Memberi keluasan dalam perkara yang sempit sepertimana kaedah fiqh:
إِذا ضَاقَ الْأَمر اتَّسَع
MaksudnyaSesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.
Mengharamkan menonton acara sukan yang mendedahkan aurat secara mutlak akan memberikan kesan besar kepada para pemain, jurulatih, pengurus serta mereka yang terlibat menyiarkan acara sukan dalam kalangan pengamal media akan terkesan jika pengharaman secara mutlak dikenakan, kerana kehidupan dan pendapatan mereka bergantung kepada sukan. Apabila tiada penonton, sumber pendapatan mereka akan terjejas.
Maka dalam hal ini, fiqh yang lebih luas perlu digunakan dalam keadaan yang diperlukan, bagi mengelakkan kemudaratan terhadap satu industri yang ramai orang Islam terlibat di dalamnya.
  1. Meraikan hajat setakat keperluan. Menurut kaedah fiqh:
الْحَاجة تنزل منزلَة الضَّرُورَة
MaksudnyaSesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.
Dalam hal ini, para pemain dan penonton boleh bertaqlid kepada mazhab yang menyatakan bahawa peha bukan aurat sama sekali seperti pendapat Imam Malik dan Ibn Jarir at-Thabari, atau mazhab yang menyatakan lutut dan peha termasuk di bawah aurat mukhaffafah yang tidak wajib ditutup, seperti Imam Bukhari dan Imam Ibnul Qayyim.
Namun demikian, para pemain adalah amat dituntut untuk seboleh-bolehnya berusaha agar menutup aurat secara sempurna menurut pandangan majoriti ulama’ yang berpandangan lutut dan peha merupakan aurat dan mesti ditutup.

Kesimpulan
Satu hal yang wajib kita perhalusi ialah Islam merupakan agama untuk semua tanpa mengira kaum, sempadan negara, latar belakang dan tahap pemikiran. Islam datang untuk memberi kemudahan dan mengangkat kesusahan daripada manusia, bukannya untuk memberi beban ke atas mereka. Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا
Maksudnya: Sesungguhnya agama ini mudah; dan sesiapa yang melampau-lampau dalam beragama tidak akan mampu meneruskannya. Bersederhanalah, berusaha ke arah kesempurnaan dan gembirakanlah...
Riwayat al-Bukhari (39)
Baginda SAW juga bersabda:
يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا، وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا
MaksudnyaPermudahkan dan jangan menyusahkan; berilah khabar gembira dan jangan menjauhkan orang daripada Islam.
Sahih Bukhari (69)
Menjadi tanggungjawab ke atas setiap dari kita untuk melaksanakan dakwah yang inklusif dan merangkul segenap lapisan masyarakat. Dalam zaman globalisasi yang kita hadapi sekarang, sebarang anasir dan elemen luar mestilah ditangani secara berhikmah dan berhemah. Sikap mengharamkan setiap perkara tanpa memberikan bersikap anjal akan menjauhkan masyarakat daripada Islam.
Allahyarham Muhammad Ali (lagenda tinju dunia) dan Mohamad Salah (bintang bola sepak Mesir / Liverpool) merupakan antara nama besar yang menjadi ikon dunia sukan yang berjaya membawa nama Islam di dunia Barat. Mereka menunjukkan bahawa umat Islam juga mampu bersaing di peringkat tertinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.
Kesimpulannya, meskipun kami mengharuskan menonton acara sukan yang tidak menutup aurat (namun masih sopan) seperti bola sepak dan badminton, namun sikap bersederhana wajib diamalkan. Segala perkara yang halal akan berubah menjadi haram apabila adanya elemen berlebihan dan melampau, hatta dalam ibadat sekalipun.
Selain itu, Nabi SAW juga ada berpesan supaya kita meninggalkan perkara yang tidak berfaedah padanya:
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ
Maksudnya: “Di antara kebagusan keislaman seseorang adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat padanya.”
Riwayat Tirmizi (2317)
Antara contoh perkara yang tidak bermanfaat ialah menonton acara sukan secara berlebih-lebihan, sehingga mengabaikan tuntutan kerja, kewajipan menuntut ilmu, memperbanyakkan amalan ibadah dan melakukan kerja-kerja kebajikan bagi membantu masyarakat sekitar.
Pada kesempatan ini juga, kami mengambil kesempatan untuk menyeru sahabat-sahabat atlet kami yang beragama Islam supaya berusaha semampu mungkin untuk menutup aurat secara sempurna. Kewajipan menutup aurat tetap terpakai kepada setiap Muslim walau dalam apa jua keadaan dan di mana saja mereka berada.
Wallahu a’lam.
Lihat sebelum ini..

Arak Dijual Depan Masjid Bilal KL, Di Pasaraya Milik DAP? -Ulas Subky Latif.

Hasil carian imej untuk arak di pasaraya
Oleh
Subky Latif

ORANG bukan sekadar mengadu kepada polis. Kepada penulis pun mereka mengadu.

Telah mengadu pengguna kepada saya, pasar raya yang baru seminggu beroperasi di depan Masjid Bilal bin Rabah, Taman Koperasi Polis Fasa Satu, Kuala Lumpur dikatakan menjual arak.

Saya sampaikan kesangsian itu kepada wakil masjid supaya ia disiasat.

Jamaah yang mendengar berkongsi kesangsian dan berkata, syarikat pasar itu dikatakan milik DAP yang banyak rangkaiannya di Kuala Lumpur.

Jamaah itu mungkin ada maklumat tentang penjualan arak itu. Saya tidak ada maklumat dan saya kurang upaya untuk membuat penyiasatan.

Pasar kepunyaan orang Cina itu menggaji kebanyakannya orang Melayu.

Perniagaan itu memberi peluang pekerjaan kepada orang Islam. Ada baiknya perhubungan kaum yang amat ditekankan oleh negara. Dari satu segi syarikat bukan Islam, Cina berbudi dengan orang di kawasan penduduk Islam dan di depan masjid pula. Boleh makmur Islam olehnya.

Tetapi penjualan arak haram di sisi Islam. Ia adalah produk yang Allah laknat. Yang dilaknat bukan sekadar yang mencekiknya, semua yang terlibat dilaknat belaka – dari menyediakan bahan arak, mengilang, menjual, membekal botol, pengedar, pelayan dan juru jual pikul dosa laknat.

Amat sayang gadis-gadis Melayu yang tidak berdosa, dapat pekerjaan di kedai menjual arak pula, menjadi orang berdosa.

Wajarlah masyarakat seluruhnya, Rukun Tetanga, masjid dan lain-lain peka dan mengingatkan supaya arak jangan dijual. Rukun Tetangga dan masjid mesti menyiasat betulkah yang disangsikan itu? Ia adalah bagi membebaskan penduduk Islam Taman Koperasi Polis selamat dari laknat dan dosa. Jika betul ada arak dijual, semuanya membiarkan saja, juru jual kena dosa laknat, penduduk kena dosa laknat dan ahli masjid, imam dan bilal terpalit laknat sama.

Maka setiap masyarakat pengguna kena siasat kebimbangan itu supaya peniaga tidak jadi mangsa fitnah. Ia telah mengeluarkan modal besar. Tidak selesalah hubungan peniaga dan pengguna tidak harmoni.

Tiada yang dapat dibuat jika betul arak dijual dekat masjid itu. Tiada larangan di luar Kelantan dan Terengganu premis perniagaan bukan Islam menjual arak. Yang dikatakan Negara Islam Malaysia tidak melarang arak dijual dan diedar asalkan jangan memandu.

Apa orang masjid boleh buat, jika arak dijual, minta peniaga cari untung dari perniagaan lain, jangan cari untung dari arak. Rayu ia keluarkan arak, kalau tidak ia dicampakkan ke laut Selat Melaka, lambakkan semua di rumah peniaga untuk mereka minum hingga pecah perut.

Penjulan arak tidak salah dari undang-undang. Ia tiada peduli Islam, tiada menjaga harmoni kaum dan boleh dikira bebal orang Islam.

Jika boleh pasar itu timbangkan rayuan mengeluarkan arak dari raknya.

Jika ia tidak dengar, apa hendak buat? Tiada apa yang boleh dibuat melainkan berdoa moga-moga Allah tutup perniagaannya. Adakah Allah redha sekadar membantah dalam hati?

Yang kata ia perniagaan DAP, tiada larangan bagi siapa berniaga termasuk DAP. Jika ia taja perbankan Islam, takaful dan buka travel agensi mengendali umrah tiada larangan. Tiada salah DAP Perak buka pasar raya depan masjid dan DAP Selangor anjur korban murah/umrah murah.

Yang pengguna Koperasi Polis mahu jangan jual arak tepi masjid! Jika DAP boleh bida MAS tanpa penerbangan arak, orang Melayu nescaya kasih pada DAP. Pasar tanpa arak kecil bagi DAP. Tapi Malaysia tanpa arak, tanpa rasuah? – HARAKAHDAILY 12/7/2019

Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)

Hukum Sukan Gusti Bagi Wanita , Apa Kata Ustaz Azhar Idrus.

Hasil carian imej untuk siapa Ustaz.Azhar.Idrus.

UNTUK maklumat lanjut mengenai hukum wanita bergusti dalam Islam, sila lihat ini...



Hukum Bersukan Dalam Islam
oleh Syeikh`Atiyyah Saqr
Ketua Lujnah Fatwa Universiti Al-Azhar Mesir :


Pertamanya, kami ingin memaklumkan bahawa Islam membenarkan apa-apa yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Islam menggalakkan Muslim menjadi kuat dan mencari jalan untuk kuat. Dalam Hadith, Rasulullah (SAW), memerintahkan kita dengan bersabda: “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.” 

Ini ialah seruan jelas untuk bersukan yang menunjukkan Islam letakkan kepentingan bersukan dalam melatih umat Muslim dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Tidak hairanlah apabila pepatah menyebut: “Minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.”

“Sejak zaman silam, manusia telah mencipta pelbagai jenis latihan fizikal dan mencipta pelbagai jenis sukan untuk menjadikan badan mereka kuat, dengan setiap jenisnya mempunyai cara-cara dan matlamat tertentu. Satu bangsa yang sebati dengan pergaduhan dan perperangan, sukan seperti angkat berat, memanah dan beladiri menjadi kelaziman, sedangkan berenang menjadi sukan utama bagi orang yang tinggal di tepi pantai laut. Di semenanjung Arab, manusia sukan berburu dan menunggang kuda disebabkan keadaan mereka yang selalu mengembara dan berpindah-randah.

Bagaimana Islam Memandang Sukan?

Islam tidak melarang memiliki badan yang kuat dengan bersukan. Muslim di arahkan supaya memiliki badan yang kuat dan minda yang cerdas disamping memiliki akhlak mulia. 

Dalam Hadith, kita dapati: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada yang lemah.” (Riwayat Muslim) Badan yang kuat mampu menunaikan kedua-dua tugas agama dan dunia. Islam tidak menerima apa-apa yang mendorong kepada pengabaian tugas itu, kecuali dalam beberapa kes yang beberapa kelonggaran di berikan supaya memudahkan penganutnya.

Kesan Sukan Kepada Badan :

Di dalam kitabnya yang terkenal ‘Zad-Al-Ma`aad’, Imam Ibnul-Qayyem menyatakan pergerakkan ialah asas kepada sukan. Ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. 

Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan immuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit. Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengannya. Bagi menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba-lari, merupakan sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan.

Sukan Yang Ada dalam Ibadah Islam :

Dalam Islam, kita melihat banyak ibadah Islam mengandungi sukan yang menolong badan mengekalkan kekuatan fizikal apabila ia di amalkan dengan sempurna. Amalan ibadah Haji, melawat saudara Muslim , melawat yang sakit, pergi dan balik ke masjid dan terlibat dalam aktiviti sosial merupakan aktiviti bersukan.

Adab Bersukan Dalam Islam :

Fakta Islam menggalakkan bersukan menjadikan seseorang sedar betapa besar, fleksibel dan lengkap agama ini yang Allah berikan kepada manusia. Dalam hal ini, Islam menekankan kepentingan latihan spiritual dan moral yang sepatutnya seiringan dengan latihan fizikal supaya mencapai matlamat yang dihajati.

Dalam menyokong pasukan, keganasan wajib dielakkan. Bermegah-megah juga mesti hindari. Menang dalam pertandingan tidak bermakna halal menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan untuk meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia, bukan jalan melukakan perasaan. Inilah sebab si pemenang tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan kegembiraan sampai menghina lawan, dan yang kalah tidak boleh dihantui oleh cemburu terhadap kelebihan pihak lawan. 

Mereka mesti ingat yang kekalahan hari ini akan membuka jalan untuk kemenangan pada masa depan, jika mereka bersabar dan cuba menambah-baik diri mereka.

Ini mengingatkan kita akan peristiwa apabila seekor unta milik seorang badwi mengalahkan unta betina Rasulullah yang sentiasa menang dalam perlumbaan, Muslim berduka-cita. Mengulas hal itu, Rasulullah (SAW) bersabda: “Allah SWT telah menetapkan tiada apa-apa yang kekal menang (bermaksud setiap situasi ada naik dan turun dan tiada keadaan yang kekal).” 

Rasulullah (SAW), membuat kenyataan ini untuk mententeramkan perasaan mereka yang rasa kekalahan untanya satu hakikat yang sukar diterima.
Dalam pertandingan, seorang Muslim sejati tidak lupa adab memberikan pihak lawab layanan baik. 

Mengenepikan adab dalam pertandingan dan perlawanan ialah satu sifat munafik yang Rasulullah (SAW) rujuk apabila bersabda: “Terdapat empat sifat jika ditemui pada seseorang, dia seorang yang betul-betul munafik. Jika salah satunya ditemui pada seseorang, ia memberikan dia satu sifat munafik sampai dia meninggalkannya: jika diamanahkan dengan sesuatu, dia pecah amanah, jika bercakap, dia berbohong, jika berjanji, dia tidak tunaikan dan jika dia bertengkar dengan seseorang, dia melampau-lampau (menggunakan kata-kata kesat dan perbuatan buruk.)”

Panduan untuk Seseorang Muslim Dalam Bersukan:

  1. Seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga sampai mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain.
  2. Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersikap tidak peduli dalam bersukan dengan cara menimbulkan kecederaan kepada yang lain. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan jalan, ini bukan cara Islam.
  3. Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang satu pasukan adalah tiada kaitan dengan Islam, kerana ini benar-benar becanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.
  4. Tidak dibenarkan kata-kata kesat, perbuatan buruk dan fitnah semasa bersukan.
  5. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.
  6. Islam menolak semua permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral seperti wanita berlatih menari dan ditontoni oleh orang ramai.
Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka dan sebaliknya. Didalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita mengamalkan sukan yang khas untuk lelaki.

Kesimpulannya, sudah jelas yang semasa membenarkan sesuatu sebagai halal, Islam meletakkan beberapa syarat yang bertujuan mengekalkan akhlak dan sesuai dengan matlamat peraturan umum. 

Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Shari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang. Al-Qur’an mengisytiharkan: 

“Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87)”

Lihat juga..

Gadis Berhijab Gegarkan Dunia, Tawan Gelanggang Gusti




BERBEKALKAN berat 43 kilogram dan ketinggian 155 sentimeter, siapa sangka gadis kecil molek ini mampu menggegarkan dunia apabila menjadi ahli gusti wanita pertama dunia dengan penampilan berhijab.
Syaradeeba Khamarulzaman atau mahu dikenali dengan nama Nor ‘Phoenix’ Diana baru berusia 19 tahun menjadi perhatian dunia apabila berjaya menjuarai pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini dengan menumbangkan beberapa ahli gusti lelaki negara.
Kemenangan Phoenix tular di laman sosial sehingga menarik perhatian media antarabangsa apabila aksi terbang dari penjuru gelanggang mengagumkan orang ramai, sekali gus menonjolkan penampilan berhijab.
Bagi gadis kelahiran Keramat, Kuala Lumpur ini, walaupun pada luarannya dia sangat pemalu, tetapi di dalam gelanggang dia mengubah 100 peratus dirinya menjadi watak Phoenix.
“Saya mula meminati gusti ketika berusia 14 tahun disebabkan adik dan bapa yang gemar menonton rancangan ini di televisyen.
“Selain itu, saya banyak bermain permainan video gusti bersama adik, bermula saat itu saya tidak akan melepaskan peluang menonton rancangan gusti di televisyen hingga larut malam walaupun tahu keesokannya saya perlu bersekolah,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Katanya, dia mula terdetik untuk menjadi ahli gusti profesional ketika tamat tingkatan empat, tatkala rakan baiknya sudah memasang angan-angan karier bakal diceburi selepas meningkat dewasa.
“Ada rakan memberitahu mahu menjadi pelukis, ahli muzik dan pelbagai lagi kerjaya lain, sedangkan saya pula masih belum menetapkan pendirian dan hanya tahu gusti sehinggakan saya sering datang lewat ke sekolah kerana menonton rancangan itu sehingga lewat malam.
“Satu ketika terdetik di hati saya hendak menjadi ahli gusti profesional kerana terlalu obses dengan sukan berbentuk hiburan ini.
“Selama dua tahun saya cuba mencari maklumat mengenai persatuan ini di laman sosial sehingga terjumpa dengan Persatuan Gusti Malaysia.
“Ketika itu Malaysia Pro Wrestling (MYPW) masih belum ditubuhkan lagi. Pertarungan pertama dipertontonkan kepada umum belum ada lagi ahli gusti wanita, tapi saya sudah tidak sabar untuk menyertai mereka," katanya yang menjadikan Sasha Banks sebagi idola.
Menurutnya, pada persembahan kedua barulah seorang ahli gusti wanita diperkenalkan dan ketika itu dia sudah menguntum senyuman kerana dia mampu mengikut jejak langkah berkenaan.
Katanya, selepas seminggu persembahan itu, barulah dia menyertai mereka pada November 2015 dengan melihat bagaimana ahli gusti ini berlatih di Kampung Baru.
“Bagaimanapun, saya masih belum memberanikan diri dan ayah menemani saya untuk hantar serta jemput ke tempat latihan,” katanya yang terkenal dengan gerakan penyudah, 'Tilt-a-Whirl Cutter', 'Crossbody' dan 'Suicide Dive'.
Phoenix yang bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital di Lembah Klang mengakui dia sangat pemalu dan kurang bercakap sejak di bangku sekolah lagi.
Katanya, dia sukar berinteraksi dengan orang, tidak bersosial namun sejak menyertai MYPW, 100 peratus perubahan berlaku apabila menjadi orang lebih banyak berbual dan berkeyakinan tinggi.
“Selepas penampilan pertama saya iaitu selang beberapa bulan ketika bersama MYPW, ramai terkejut dengan persembahan saya kerana ketika dalam gelanggang saya seperti mendapat aura lain.
“Jadi gusti profesional ini membantu saya daripada segi itu," katanya yang memulakan karier dengan penampilan bertopeng dan berhijab.
Ditanya mengenai apa reaksi rakan-rakannya ketika dia berazam untuk menjadi ahli gusti profesional, Phoenix mengakui niatnya itu seakan tidak dipeduli serta dipandang remeh.
“Memang mereka tahu saya minat gusti tapi mereka seakan tidak peduli apabila saya menyatakan hasrat untuk menceburi bidang ini.
“Mereka boleh bertanyakan kepada saya mengenai kewujudan gusti di Malaysia dan memperlekehkan kemahuan saya," katanya yang setakat ini sudah mengharungi 10 perlawanan.
Phoenix yang sudah mendapat jemputan untuk beraksi di luar negara turut berharap dia dan pasukan mampu mengharumkan nama negara dan lebih banyak wanita tampil menceburi bidang ini, tatkala dia berazam menjadikan sukan ini sebagai satu kerjaya tetap.
“Sebaik video saya beraksi tular, ramai wanita mula menghantar mesej peribadi di Instagram bertanyakan bagaimana untuk menjadi seorang ahli gusti, saya kira ini permulaan yang baik untuk negara melahirkan lebih ramai ahli gusti wanita,” katanya.
PROFIL
Nama gelaran: Nor 'Phoenix' Diana
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Tarikh lahir: 14 Disember 1999
Berat: 43kg
Tinggi: 155sm
Idola: Sasha Banks
Tahun aktif: 2015 hingga sekarang
Bilangan adik-beradik: Anak keempat daripada lima beradik
Gerakan penyudah: Tilt-a-Whirl Cutter', 'Crossbody' dan 'Suicide Dive'.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 10:52 PM (Mymetro)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails