Thursday, November 26, 2020

Iktiraf Israel, burukkan Ikhwanul Muslimin

 

US, negara paling berpengaruh di dunia adalah sekutu paling rapat Israel. Negara ini juga amat memusuhi Ikhwanul Muslimin (IM).

The Israel Lobby (2006), buku John Mearsheimer mendedahkan bagaimana berpengaruhnya Zionis dalam pentadbiran US. Tidak hairanlah, semua Presiden US akan menyokong perjuangan Zionis.

The Society of Muslim Brothers (1969), karya orientalis Richard P. Mitchell menjadi asas dalam membentuk dasar US terhadap IM. Buku inilah yang dijadikan bahan dalam Rang Undang-undang Muslim Brotherhood Terrorist Designation Act 2015 semasa pentadbiran Obama.

HAMAS Palestin, parti al-Islah Yaman dan beberapa gerakan yang lahir dari rahim IM dilabel sebagai pengganas oleh US sejak zaman Clinton dan Bush.

Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain berkongsi fikrah yang sama dengan US mengenai IM. Wikileaks mendedahkan Putera Mahkota UAE memberitahu wartawan US bahawa mereka telah memerangi pemikiran IM sejak tahun 2000 lagi. 2014, Saudi mengeluarkan senarai pengganas di mana IM termasuk salah satu organisasi. Ia disambut oleh UAE dan Bahrain. 

UAE bahkan menubuhkan Majlis Hukama’ Muslimin dan melantik Syeikhul Azhar Muhammad Toyyib sebagai pengerusi tahun yang sama bagi menyokong dasar mereka. 2019, giliran Al-Azhar Mesir pula menuduh IM sebagai pengganas. Minggu lepas, Majlis Ulamak Saudi mengeluarkan kenyataan bahawa IM adalah pengganas. Ia disambut baik oleh Majlis Fatwa UAE.

Fikrah US mengenai Israel kini disambut baik oleh Negara Arab. Perjanjian Camp David 1978 antara Mesir dan Israel menjadi pencetus normalisasi Israel di kalangan Arab. UAE menjadi negara pertama memeterai hubungan diplomatik dengan Israel September tahun ini. Ia kemudian diikuti oleh Bahrain dan Sudan. 

Semalam, Arab Saudi menyatakan kesediaan mereka untuk mengikut jejak UAE. Kemungkinan Mesir juga akan menyertai selepas ini.

Sejak Putera Mahkota Saudi Muhammad bin Salman menjadi pemimpin de facto Saudi, hubungan intim Israel-Saudi semakin jelas. Kedua wakil negara ini saling berbalas kunjungan. Pendirian Majlis Ulamak Saudi tentang IM juga disokong oleh Israel secara terbuka.

Ringkasnya, mengiktiraf (normalization) Israel dan memburukkan (demonization) IM adalah pendirian yang dikongsi bersama oleh pemimpin Arab dan Barat. Adakah ianya kebetulan? Ke manakah pendirian-pendirian ini ingin dibawa? Adakah pendirian-pendirian ini menguntungkan umat Islam?

IM adalah gerakan memperjuangkan ajaran Islam ditegakkan di bumi Allah. Zionis pula adalah gerakan menegakkan Kerajaan Israel Raya yang dipercayai bakal menguasai dunia. Semestinya matlamat dua gerakan ini bertembung sesama sendiri. Maka tidak hairanlah yang menerima Israel pasti akan memusuhi IM.

IM telah terlibat memerangi Israel sejak Perang Arab-Israel 1948. Juga perang enam hari 1967. Termasuk Perang Yom Kippur 1973 untuk menawan kembali Sinai daripada Israel. IM Palestin (HAMAS) adalah musuh ketat Israel sejak penubuhannya 1987. Dengan lobi Zionis yang sangat kuat di US, kita boleh faham sendiri mengapa IM dianggap buruk oleh US.

7Soalnya, dengan mengikut fatwa US satu persatu, adakah pemimpin Islam; umarak dan ulamaknya berada di atas landasan yang benar sekarang? Memperjuangkan agama Allah atau berjuang bersama musuh Allah?

Semoga kita masih tergolong di kalangan umat Islam yang mampu berfikir.

ALANG IBN SHUKRIMUN
9 Rabiul Akhir 1442
24 November 2020 – HARAKAHDAILY 24/11/2020

PTPN perkenal pelan baharu berasas perubahan semasa..

 

Pemimpin yang adil faktor perpaduan rakyat berbilang kaum terus kukuh sepanjang masa.- Foto hiasan

PARLIMEN: Pelan Tindakan Perpaduan Negara diolah dengan acuan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan dalam peringkat akhir menyiapkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 yang diolah dengan 'acuan' Malaysia bagi memelihara, mengukuh dan meningkat perpaduan masyarakat di negara ini.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata program yang sedang dirangka itu bersifat khusus dan konkrit supaya dapat meneruskan agenda perpaduan negara.

"PTPN menggariskan program dan aktiviti khusus disusun secara jelas dan kohesi merentasi agensi kerajaan untuk dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang bagi tempoh lima tahun bermula Januari 2021 hingga 2025.

"PTPN ini memperkenalkan pelan baharu berasaskan perubahan semasa masyarakat sebagai teras PTPN; menerapkan Rukun Negara; strategi tindakan konkrit dan khusus dirancang dan dilaksanakan dalam tempoh tertentu bagi memudahkan pemantauan berkala dilakukan.

"PTPN juga menjadi panduan dan rujukan bagi setiap individu serta agensi mengenai sebuah pelan tindakan bagi merealisasikan usaha ke arah perpaduan negara dan terakhir ialah memudahkan tindakan intervensi dilakukan bagi maksud penambahbaikan berterusan," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hibur Hibur Sikit: Album 2

Saari Sungib akan masuk PKR? -Ust Mokhtar Senik

 

Saya tak pelik Saari Sungib ‘melompat’ – UMS

KETIKA dalam tahanan ISA, Saari Sungib (Pak Abu) selalu berpasangan dengan Ustaz Badrul Amin. Manakala saya berpasangan dengan Dato’ Lokman Noor Adam. Permainan badminton adalah riadah utama kami setiap pagi. Kadang-kadang sampai 6 set kami berentap.

Bebas dari tahanan saya terkejut bila bertemu Pak Abu di Muktamar PAS di Kelantan. Beliau perwakilan Gombak waktu itu. Saya terperanjat kerana saya tidak sangka Pak Abu boleh menyertai PAS. Pertama kerana beliau orang penting dalam JIM dan kritikan-kritikan pedas JIM kepada PAS seperti memustahilkan kemasukan Pak Abu ke dalam PAS. 

Hati saya sedikit curiga dengan niat dan tujuan Pak Abu menyertai PAS. Namun sebagai ahli jamaah Islam saya cuba hapuskan keraguan itu. Lebih-lebih lagi beliau inmate saya dalam tahanan. Selang tidak berapa lama Pak Abu melompat keluar PAS ketika beliau masih ADUN Ulu Kelang atas tiket PAS. Singkat katanya Pak Abu khianati PAS. 

Ketika itu saya tidak terperanjat. Kerana sejak awal saya sudah jangka Pak Abu akan berbuat demikian. Lebih-lebih lagi bila menyemak balik kerja-kerja JIM di luar negara dan dalam negara sebelum itu. Kini ura-ura beliau akan masuk pula PKR lebih tidak memeranjatkan saya. Bahkan ‘kalau beliau tak melompat ke mana-mana’, itu yang memeranjatkan saya. 

Pak Abu seorang yang gagal beramal dengan buku tulisan beliau sendiri iaitu Risalah Usrah. Walau bagaimanapun selayaknyalah bagi orang-orang yang berkepentingan duniawi dalam kehidupan ini terus melompat selagi nyawa masih degil untuk meninggalkan jasad.

Tahniah Pak Abu dan terima kasih atas pertolonganmu terhadapku dan keluargaku. Moga Allah membalasimu dengan balasan yang sewajarnya.

USTAZ MOKHTAR SENIK (UMS)
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/11/2020

Hibur Hibur Sikit: Album 2

Pusat pemindahan tampung 200,000 mangsa banjir

 

KOTA BHARU: Kelantan menerima sebanyak RM150,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selain peruntukan kerajaan negeri RM50,000 bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar tahun ini.

Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sudah melakukan persiapan rapi untuk berhadapan bencana tahunan tersebut.

Bagi tujuan itu katanya, sebanyak 539 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diwujudkan bagi menampung sehingga 200,000 mangsa banjir seluruh jajahan di Kelantan.

“Kita pun sudah buat beberapa kali mesyuarat dan sekarang kita mengarahkan supaya semua PPS bersiap sedia untuk menerima mangsa banjir ketika ini.

“Beberapa penambahbaikan dilakukan bagi hadapi kemungkinan banjir di sekolah yang dijadikan PPS,” katanya.pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim hari ini. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

Australia lucut kerakyatan ulama Islam

 

Abdul Nacer Benbrika.

SYDNEY: Kerakyatan Australia seorang ulama Islam kelahiran Algeria dilucutkan selepas didapati bersalah mengetuai kumpulan pengganas yang merancang pengeboman di Melbourne pada 2005.

Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton, ketika mengumumkan perkara itu, berkata ia selari pendirian Australia untuk mengutamakan aspek keselamatan negara dan rakyatnya.

"Jika seseorang individu menjadi ancaman keganasan terhadap negara kami, maka kami akan melakukan sedaya upaya mengikut lunas undang-undang untuk melindungi warga Australia," katanya.

Abdul Nacer Benbrika ialah individu pertama yang dilucutkan kerakyatannya ketika masih berada di Australia.

Dia didapati bersalah dalam tiga pertuduhan keganasan yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun kerana mengetuai kumpulan pengganas, menjadi ahli gerakan itu dan memiliki bahan dikaitkan dengan merancang keganasan.

Ulama kelahiran Algeria itu diperintahkan untuk kekal berada di penjara Australia sehingga habis menjalani tempoh hukuman.

Berdasarkan perundangan Australia, Canberra dibenarkan menahan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan berhubung kegiatan pengganas untuk tempoh tiga tahun lagi selepas menjalani hukuman.

Peguam Benbrika mengemukakan rayuan terhadap penahanannya dan mempunyai tempoh 90 hari supaya pembatalan visa anak guamnya dipertimbangkan dan kembali ke Algeria.

Mengikut perundangan Australia, seseorang individu hanya boleh dilucutkan kerakyatan sekiranya mempunyai dua kerakyatan, sekali gus mengelakkan mereka berstatus tanpa negara.

Australia sebelum ini menggunakan kuasa perundangannya untuk melucutkan kerakyatan Neil Prakash pada 2019, selepas dituduh merekrut anggota menyertai kumpulan Daesh dan dia kini ditempatkan di penjara di Turki.

Pertikaian timbul apabila Australia menyatakan Neil mempunyai dua kerakyatan, iaitu Fiji dan Australia, walaupun Fiji menafikan dakwaan itu, yang turut mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara berkenaan. - AGENSI

Wednesday, November 25, 2020

Industri perkayuan, penyumbang eksport ke 3 terpenting selepas sawit &getah.

 

Industri kayu catat unjuran eksport baik

KUALA LUMPUR: Pasaran eksport perkayuan Malaysia bagi tempoh Januari-September 2020 menunjukkan prestasi baik walaupun di dalam suasana pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi , Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, prestasi eksport bagi tempoh ini telah mencatatkan nilai RM15.7 bilion berbanding RM16.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Peratus penurunan ini adalah rendah, iaitu sekitar empat peratus dan pasaran kini berada pada fasa pemulihan.

“Dari segi negara pasaran eksport, pasaran utama kayu dan produk kayu Malaysia yang menunjukan peningkatan positif ialah Amerika Syarikat (AS) dan China dengan kedua-dua negara ini mewakili 43 peratus pasaran eksport Malaysia.

“Bagi tempoh Januari-September 2020, pasaran AS telah meningkatkan pembelian sebanyak 53 peratus kepada RM5.1 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata Khairuddin, perang perdagangan antara AS dan China memberi kesan dengan peningkatan permintaan daripada AS terhadap produk perabot negara.

Manakala China mencatatkan kenaikan nilai eksport sebanyak 31 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019 disebabkan China telah memasuki fasa pemulihan yang disebabkan oleh Covid-19, ujarnya.

Bagaimanapun menurut Khairuddin, pasaran kedua terbesar negara iaitu Jepun telah mengalami penurunan sebanyak 22 peratus kepada RM2 bilion.

Jelasnya, situasi tersebut didorong oleh penurunan eksport papan lapis ke negara berkenaan.

Manakala pasaran keempat dan kelima terbesar iaitu Australia dan Singapura, mencatatkan penurunan sebanyak 17 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, terang beliau.

Di samping itu, prestasi eksport bagi produk utama bernilai tambah tinggi seperti perabot kayu, tanggam dan kayu kumai secara keseluruhannya merekodkan peningkatan lapan peratus.

Manakala prestasi eksport produk primer utama seperti papan lapis dan kayu gergaji secara keseluruhannya merekodkan penurunan 24 peratus.

Justeru itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyimpulkan bahawa, walaupun negara dan pasaran global berdepan dengan situasi yang sukar akibat Covid-19, prestasi eksport semasa telah menunjukkan industri kayu negara berada pada fasa pemulihan dan masih berdaya saing.

“Kementerian berkeyakinan prestasi perdagangan ini akan kembali positif pada hujung tahun ini.

“Aktiviti perdagangan juga diharapkan dapat dijalankan dengan lebih rancak pada tahun hadapan sebaik pandemik ini berakhir bagi meningkatkan semula prestasi eksport produk perkayuan negara,” katanya.

Untuk rekod, industri perkayuan merupakan salah satu penyumbang utama pendapatan eksport negara yang juga subsektor ketiga terpenting selepas sawit dan getah. – HARAKAHDAILY 24/11/2050

Hibur Hibur Sikit: Album 2

Nak buat macam mana, kalau kepala otak sudah dijajah...

 

Adun terkejut NGO pertikai cadangan kawal arak

PASIR MAS: Banyak pihak terkejut kenyataan Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji tidak senang cadangan kerajaan memperluas larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka di seluruh negara tahun hadapan.

Adun Tendong, Rozi Muhamad berkata tidak sepatutnya seorang beragama Islam mempertikaikan cadangan kerajaan tersebut.

“Kenapa presiden NGO terbabit begitu tidak senang hati terhadap ura-ura kerajaan mengawal jualan arak yang berleluasa sekarang.

“Sebagai Muslim sepatutnya pemimpin NGO itu tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian. Sedangkan arak jelas diharamkan agama Islam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, Presiden NGO Patriot dilapor membidas kenyataan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary mengenai kemungkinan kerajaan memperluaskan larangan jualan di kedai runcit di seluruh negara.

Rozi berkata, cadangan kerajaan melarang penjualan arak di kedai runcit bukan bermakna kerajaan mengabaikan rasuah, perbuatan rasuah juga dilarang keras agama.

Menurut Adun Semerak, Wan Hassan Ibrahim, sepatutnya semua orang Islam menyokong usaha kerajaan menangani penjualan arak secara berleluasa seperti yang berlaku sekarang.

“Di Kelantan, penjualan arak dikawal dan diberi lesen premis di lokasi yang ramai masyarakat bukan Islam sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2020

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Nak buat macam mana, masih ada lagi sisa-sisa cara fikir otak penjajah setelah Islam datang membebaskan dari karat-karat jahiliah, dulu dan sekarang. Kesian!

Hibur Hibur Sikit: Album 2

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails