Friday, May 21, 2021

Israel kalah, tahniah dari Hizbullah. Kehancuran akibat peperangan bukan kerugian.

 

Penyokong Hizbullah dan Palestin mengibarkan bendera kebangsaan Palestin di Beirut, Lubnan. - Foto EPA

1. Hizbullah ucap tahniah kepada rakyat Palestin

BEIRUT: Kumpulan pergerakan Hizbullah Lubnan yang disokong Iran mengalu-alukan 'kemenangan bersejarah' buat rakyat Palestin selepas gencatan senjata yang berkuatkuasa hari ini, antara Israel dan pejuang Gaza selepas berperang selama 11 hari.

"Hizbullah mengucapkan tahniah kepada rakyat Palestin yang gagah berani dan penentang yang berani atas kemenangan bersejarah yang dicapai terhadap musuh Zionis," kata kumpulan pergerakan Syiah itu dalam satu kenyataan.

Pada 2006, Hizbullah yang pernah berperang dengan Israel kekal sebagai gerakan berkuasa dalam kancah politik Lubnan termasuk mempunyai hubungan erat dengan pejuang Hamas di Gaza.

Gencatan senjata yang Mesir menjadi 'orang tengah' usaha itu, berkuat kuasa jam 2 pagi tadi, menyaksikan pengakhiran peperangan paling serius dalam tempoh beberapa tahun.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, serangan Israel ke atas wilayah itu mengorbankan 232 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak serta pejuang.

Serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Gaza didakwa meragut 12 nyawa di Israel, termasuk dua kanak-kanak dan seorang tentera Israel, menurut polis. - AFP

2. Israel kalah kerana dunia bergabung bela Palestin


KOTA BHARU: Media-media di Israel melaporkan genjatan senjata yang diumumkan kerajaan negara zionis itu suatu hal yang paling memalukan zionis Israel.

Ini kerana gencatan senjata bukan konsensus awal kedua-dua pihak.

Pemerhati politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob berkata, strategi perang pejuang Hamas lebih padu dan bermoral kerana hanya menyasarkan tempat strategik berbanding Israel.

Katanya tentera zionis Israel membunuh dan mencederakan orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua yang dilarang dalam ajaran Islam.
“Malah mereka berperang tanpa maklumat yang lengkap. Ini dilihat cara Israel mengebom secara rambang termasuk menyerang bangunan syarikat akhbar antarabangsa di Gaza.
“Ia menjadi punca gerak banyak negara tidak lagi pro-Israel kerana masyarakat antarabangsa sudah cerdas teknologi maklumat,” katanya di sini.
Awal pagi tadi rakyat Palestin meraikan kemenangan dengan takbir raya berkumandang di seluruh jalan seolah-olah baharu menyambut Syawal setelah Israel tewas perang.
Tepat jam 2 pagi waktu Palestin (7 pagi waktu Malaysia) secara rasmi Zionis menghentikan serangan serta merta ke atas Semenanjung Gaza.
Dr Zulkeflee juga berkata, perjuangan Palestin bermula Intifada yang pertama pada 1987.
Kata beliau kebangkitan itu diakui menggerunkan Israel kerana zionis mundur dengan nilai-nilai kemanusiaan untuk memastikan rakyat Palestin hidup aman damai.
“Tinjauan di media sosial memperlihatkan sokongan masyarakat antarabangsa kepada Palestin meningkat dengan ketara.
“Israel kalah perang kerana masyarakat antarabangsa bergabung secara naratif dalam perjuangan Palestin.
“Sokongan kepada Palestin terutamanya di media maya berlaku di serata dunia termasuk Barat bagi membuka pekung Israel sebagai penjajah. Ini juga memalukan Amerika Syarikat,” katanya. HARAKAHDAILY 21/5/2021

3. Kemenangan Palestin tiup semangat perjuangan ummah -TG Hashim Jasin

“Janganlah kita melihat kehancuran akibat peperangan sebagai satu kerugian, namun peristiwa ini dapat meniup lagi semangat perjuangan dalam kalangan umat Islam,”

KANGAR: Genjatan senjata yang bermula pagi tadi menandakan kemenangan umat Islam di Palestin mempertahankan tanah air mereka selepas 11 hari diserang zionis Israel.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata kemenangan pejuang Islam di Palestin dapat membantu kewujudan kerajaan perpaduan dalam kalangan ummah tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan keturunan.

“Suasana politik di seluruh dunia terutamanya di negara umat Islam termasuk negara kita dilihat positif untuk melahirkan kerajaan perpaduan bagi menguatkuan ummah.

“Jadi bagi saya kita untung dari sudut itu sebagai contoh di Malaysia, hilang sekejap perhatian kepada wabak Covid di mana umat Islam rata-rata tanpa mengira parti bersatu membawa isu Palestin,” katanya ketika ditemui di sini.

Penduduk di Gaza meraikan kemenangan awal pagi tadi selepas zionis Israel mengumumkan gencatan senjata selepas melakukan serangan ke bumi Gaza selama 11 hari.

Zionis Israel mendapat tentangan hebat pejuang al Qassam dan kumpulan pejuang lain sehingga banyak berlaku kemusnahan di Tel Eviv.

Tuan Guru Hashim juga berkata, jumlah bantuan yang dikumpulkan ahli-ahli dan penyokong PAS menunjukkan kesedaran umat Islam ke arah perpaduan yang semakin memuncak sekarang.

“Jumlah bantuan daripada PAS amat luar biasa jika diikutkan dengan suasana ekonomi sekarang, namun ahli PAS dapat mengumpul jumlah sumbangan hampir RM9 juta.

“Pada awalnya kita hanya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM2 juta sahaja. Ini menunjukkan kesedaran perpaduan dalam kalangan umat Islam semakin tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, beliau meyakini langkah awal PAS dalam menyatukan seluruh umat Islam terutamanya di tanah air sebagai usaha yang paling tepat.

“Saya merasa langkah awal kita menyeru umat Islam supaya bersatu amat postif yang menandakan masa depan Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang bergerak ke arah mencari keredhaan Allah.

“Janganlah kita melihat kehancuran akibat peperangan sebagai satu kerugian, namun peristiwa ini dapat meniup lagi semangat perjuangan dalam kalangan umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

Al-hamdulillah, Allahu Akbar!

Penduduk Gaza bertakbir menang. Briged Al-Qassam siap roket lebih besar.

 

1. Penduduk Gaza bertakbir rai kemenangan

WISEL dibunyikan sebagai tanda tentera zionis Israel kalah ekoran tentangan sengit Briged Qasssam dan Jihad Islami. Akhirnya zionis Israel mengumumkan gencatan senjata.

Berikutan itu penduduk di Gaza meraikan gencatan senjata yang bermula jam 2 pagi waktu Gaza (7 pagi Malaysia). Biarpun kedinginan awal pagi namun mereka keluar meraikan kemenangan itu dengan bertakbir beramai-ramai.

Laungan takbir raya jelas kedengaran di corong-corong masjid memecah kesunyian awal pagi. Pemuda antara golongan paling gembira dengan kemenangan tersebut.

Pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia Nadir al Nuri berkata, ketika itu masih berlegar dron tentera zionis Israel di ruang udara Semenanjung Gaza sebagai memantau perkembangan selepas gencatan senjata diumumkan.

Bagaimanapun katanya penduduk di Gaza tidak menghiraukan kehadiran dron tentera zionis selepas gencatan senjata diumumkan.

“Kesabaran selama 11 hari rakyat Gaza akhirnya membuahkan kejayaan selepas berdepan dengan tembakan peluru, mortar dan bom yang menyebabkan kematian lebih 200 penduduk.

“Penduduk Gaza sanggup berkorban untuk mempertahankan Masjid al Aqsa dan bumi Palestin. Mereka berperang untuk maruah umat Islam di seluruh dunia,” katanya pada lintas langsung dari Gaza awal pagi tadi.

Menurutnya juga tentangan sengit pejuang al Qassam dan Mujahidin di Gaza menyebabkan zionis Israel terpaksa mengaku kalah dan akur untuk gencatan senjata.

Kata beliau pejuang terbabit selama 11 hari bersembunyi di bawah dan atas tanah hari ini keluar meraikan kemenangan penduduk Gaza.

“Sebenarnya apa yang berlaku perjuangan lebih besar baru bermula. Peperangan pada masa akan datang adalah untuk membebaskan al Quds dan bumi Palestin.

“Hari penduduk Gaza kembali ke tempat sisa-sisa runtuhan kediaman mereka yang kini ranap bagi membina semula penghidupan.

“Jadi rakyat Malaysia hendaklah mengambil peluang membantu mereka membangunkan semula Gaza dengan menghulurkan bantuan,” katanya.

Nadir juga memberitahu beliau bersama keluarga keluar ke jalanan bersama penduduk Gaza bagi meraikan kemenangan tersebut sambil meraikan sambutan Hari Raya.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Zulqarnian Hassan pula berharap pejuang-pejuang dan penduduk di Gaza terus tabah dalam perjuangan mempertahankan tanah air mereka.

Sepanjang 11 serangan tentera zionis Israel menyebabkan seramai 232 rakyat Palestin telah terkorban. Namun rejim itu ditentang hebat Hamas, Jihad Islami serta beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin. – HARAKAHDAILY 21/5/2021 

2.‘Kami telah bersiap sedia dengan roket lebih besar’

KUALA LUMPUR: Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah menegaskan pihaknya telah bersiap sedia dengan roket yang lebih besar untuk menyerang Israel sama ada di utara mahupun selatan.

Bagaimanapun, katanya Briged Al-Qassam menggantung serangan pada waktu bermulanya gencatan senjata dengan zionis Israel.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.

“Kami sebenarnya telah bersiap sedia dengan roket yang lebih besar untuk menyerang Israel baik di utara mahupun selatan, tetapi kami memberi maklum balas kepada misi damai.

“Kami menggantung serangan pada waktu bermulanya gencatan senjata. Apa yang menyebabkan kami menghentikan serangan ialah apabila pihak musuh iaitu rejim zionis Israel memberi respons terhadap gencatan senjata tersebut lewat malam ini (waktu Gaza),” ujarnya.

Seramai 232 rakyat Palestin telah terkorban dalam masa 11 hari berlangsung pertembungan antara rejim zionis Israel dengan Hamas, Jihad Islami serta beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin.

Angka itu termasuk 65 kanak-kanak, 39 wanita, 17 warga emas termasuk lebih 1,900 orang yang mengalami kecederaan sementara di pihak rejim zionis Israel pula, seramai 12 orang terbunuhn termasuk dua kanak-kanak.

Dalam tempoh itu, lebih 90,000 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal akibat daripada bedilan roket rejim zionis Israel yang memusnahkan kediaman mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikecam teruk oleh penentangnya, wartawan Israel dan pendatang haram Yahudi terutamanya yang tinggal di Semenanjung Gaza akibat kegagalannya meneruskan operasi ke atas Semenanjung Gaza dengan menggambarkan ia adalah gencatan senjata yang sangat memalukan dengan menyerah kalah kepada pejuang Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, Norwegian Sovereign Fund, salah satu dana pelaburan terbesar dunia bertindak melupuskan pegangannya dalam dua syarikat Israel kerana ada kaitan dengan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

Hijrah jujur, bukan 'trend'. Kisah Datuk Nash; Nabil Ahmad serta Amar Asyraf..

 

Nabil Ahmad menganggap kedudukan manusia di dunia tidak bernilai langsung di sisi Allah. - Foto IG Nabil Ahmad

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Aksi nakal di pentas malah ada antara mereka pernah dihambat kontroversi 'panas' kini menjadi suatu fasa dalam kehidupan selebriti yang sudah berhijrah ke arah kebaikan.

Bagi tiga selebriti popular, penyanyi rock, Datuk Nash; pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad serta pelakon, Amar Asyraf, niat menunjuk baik atau alim, jauh sekali difikirkan dalam benak hati.

Didorong rasa tanggungjawab sebagai umat Islam, mereka mendekati ajaran agama, biarpun langkah dalam dunia seni diteruskan sebagai sumber rezeki.

Baik Nash, Nabil dan Amar, perubahan yang dilakukan bukanlah kerana mengikut 'trend'. Sebaliknya, mereka mempunyai laluan dan alasan tersendiri terhadap perubahan dibuat.

Bagi vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenar, Jamaludin Elias, 62, penyertaan dalam kumpulan tabligh bukanlah baharu.

Sikap tidak gemar menghebohkan kegiatan kerohanian mungkin menjadi punca ramai orang menyangka penyanyi berasal dari Muar, Johor itu baru mengikuti kumpulan tabligh.

"Sebenarnya, sejak anak-anak masih kecil lagi saya sudah mengikuti pelbagai majlis ilmu. Tetapi saya tidak suka menghebohkan kegiatan itu. Cuma ketika terbabit dengan kemalangan di Seremban, Negeri Sembilan, bulan lalu, baru peminat tahu saya mengikut tabligh.

"Itu pun bukan saya yang menghebohkannya. Sebaliknya, rakan-rakan dan peminat yang beritahu saya keluar 40 hari untuk menuntut ilmu.

"Bagi saya, perkara seperti itu tidak perlu dihebohkan. Perubahan ke arah kebaikan dilakukan untuk diri sendiri dan kepada keluarga terdekat atas rasa tanggungjawab," katanya kepada BH Online.

Nash berpendapat, istilah hijrah tidak sesuai digunakan kerana memang dilahirkan sebagai umat Islam.

"Mungkin lebih tepat jika dikatakan sebagai suatu perubahan daripada tidak sempurna ke arah yang lebih sempurna. Keinginan untuk berubah bukan atas dorongan mahupun paksaan sesiapa, sebaliknya, rasa tanggungjawab ke atas diri sendiri," katanya.

Biarpun sering mengikuti majlis ilmu, kegiatan seni penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu tetap diteruskan.

Biarpun sering sering mengikuti majlis ilmu, kegiatan seni Datuk Nash tetap diteruskan.

Nash menganggap penyertaan dalam kumpulan tabligh tidak menghalangnya untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

Baginya, seni juga menjadi suatu tanggungjawab kerana tidak memiliki kemahiran lain. Namun, demi memastikan karier selari dengan imej, Nash berusaha menjaga batas dengan sebaik-baiknya.

"Bagi saya tidak menjadi masalah untuk seorang penyanyi menunaikan tanggungjawab sebagai artis dan mengikuti majlis ilmu.

Pembabitan kita sebagai anak seni adalah atas izin Allah. Namun, kita perlu tahu menjaga batas dan jarak.

"Saya bersyukur kerana lagu-lagu dinyanyikan sama ada ketika bersama Lefthanded atau solo, banyak yang menuju ke arah ketuhanan dan kerohanian.

"Tetapi apabila menyanyikan lagu yang sarat dengan mesej yang baik, imej kita perlu selari. Bukanlah bermakna apabila kita ingin berubah ke arah kebaikan, kita perlu menukar imej seperti memakai jubah atau kopiah sepanjang masa.

"Sebaliknya, imej yang saya maksudkan adalah perbuatan kita selari dengan lagu dinyanyikan. Soal gaya, hendak pakai apa pun tidak mengapa , ikutlah kesesuaian asalkan menutup aurat," katanya.

Namun, kata Nash, dia bukanlah hebat malah tidak layak untuk digelar ulama atau ustaz. Sebaliknya, Nash mengaku masih belajar dan menghargai kasih sayang dan ilmu yang diberi kumpulan tabligh disertainya.

Nash juga memohon individu yang tidak pernah mengenali kumpulan tabligh agar tidak mengecam kerana mereka menyampaikan ilmu Allah dan sunnah Nabi.

Sementara itu, Nabil, 37, mengaku keadaan semasa mendorongnya untuk berubah.

Penutupan masjid dan surau serta solat jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) akibat penularan COVID-19 menyebabkan anak kelahiran Negeri Sembilan itu merasakan dia perlu mempersiapkan diri.

Baginya, dunia sudah semakin tua.

"Banyak peristiwa yang tidak disangka terjadi sejak akhir-akhir ini. Apabila kita mendengar kembali ceramah agama, membaca al-Quran dan mengikuti apa yang Nabi Muhammad SAW sampaikan selama ini, semuanya mula berlaku.

"Kita sebenarnya semakin mendekati akhir zaman. Sebagai hamba-Nya, kita perlu cerdik... Banyak yang kita sudah dengar, tahu dan nampak benda pelik terjadi.

"Saya sangat sedih apabila tidak diizinkan masuk ke masjid. Sejak belajar mengenali Allah dan Nabi, ia meninggalkan kesan cukup mendalam pada diri saya," katanya.

Amar Asyraf berdamping dengan guru agama untuk memperkasakan ilmu tauhid. - Foto IG Amar Asyraf

Bagi Nabil, kedudukan manusia di dunia ini tidak bernilai langsung di sisi Allah.

"Melalui ilmu yang saya pelajar, kejayaan sebenar adalah akhirat. Berjaya setakat mana sekalipun, kita kena taat perintah Allah dan ikut sunnah Nabi. Itu yang saya belajar dan memberi kesan dalam diri saya," katanya.

Biarpun sudah berhijrah, Nabil bagaimanapun tidak terfikir untuk meninggalkan bidang seni.

Akui pengacara program hiburan Meletop itu, dia ingin menggunakan platform seni untuk menghidupkan sunnah dalam kalangan artis.

"Di sinilah saya ingin terapkan apa yang dipelajari daripada majlis ilmu. Bagi saya tidak menjadi kesalahan untuk membawa imej agama dalam industri.

"Ramai yang sudah memulakannya. Insya-Allah dengan berkat doa semua, ia boleh menjadi kenyataan," katanya.

Akui Nabil, dia bimbang jika tidak menyampaikan ilmu dipelajari atau tidak menegur perkara yang tidak diketahui teman-teman menyebabkan dirinya diheret ke neraka.

"Ujian untuk kekal istiqamah datang daripada diri sendiri. Ada masa rasa malas ingin menyampaikan ilmu yang baik atau bercerita mengenai kebesaran Allah dan Nabi kepada teman-teman. Maklumlah saya pun hanya manusia biasa dan lemah.

"Tapi apabila melihat ada teman tidak tahu hukum Allah, timbul rasa simpati. Jadi, mahu atau tidak, saya perlu sampaikan ilmu dipelajari supaya tidak diheret sama ke neraka," katanya yang memohon doa semua agar dirinya terus istiqamah.

Bagi Amar, 34, Allah yang mendorong hatinya untuk berubah.

Akuinya, selepas mengenal Allah, banyak yang dipelajari termasuk tiada makhluk yang berkuasa di muka bumi ini melainkan Allah.

"Lebih banyak saya belajar, lebih dalam kesannya kepada diri saya. Ini mengajar saya untuk memperkasakan lagi tauhid. Bagaimanapun, saya tidak alim. Imej alim itu hanyalah sekadar untuk meniru dan menghidupkan sunnah Nabi.

"Saya hanya mengikut apa yang ulama cakap. Menurut mereka, satu sunnah yang kita hidupkan, pahala yang bakal kita peroleh adalah 100 kali ganda dan bersamaan dengan mati syahid," katanya yang masih meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan. (BH)

BERITA BERKAITAN

Netanyahu, gencatan senjata &Serangan roket Al-Qassam..

 

1. Netanyahu Tak Terima Permintaan AS Turunkan Ketegangan di Gaza

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, tidak menerima permintaan Presiden AS Joe Biden untuk mengurangkan ketegangan untuk gencatan senjata.

Netanyahu dalam pernyataan bertulisnya,

"Saya menghargai sokongan Presiden AS untuk mempertahankan diri Israel. Tetapi sehingga matlamatnya tercapai, saya bertekad untuk meneruskan operasi ini." dengan menggunakan pernyataan tersebut, dia berpendapat bahawa tujuan operasi itu adalah "untuk menjamin keamanan rakyat Israel".

Netanyahu menyatakan bahawa tentera Israel menyerang pasukan kumpulan di Gaza lebih banyak setiap hari, dan semakin banyak menghantam bangunan tinggi dan depot senjata di Gaza.

Dalam pernyataan bertulis dari Gedung Putih, dilaporkan bahawa Biden dan Netanyahu mengadakan panggilan telefon hari ini, di mana mereka membincangkan peristiwa di Gaza.

Dalam pertemuan itu, proses Israel dalam mengurangi kemampuan Hamas dan kumpulan lain, serta inisiatif diplomatik negara-negara di rantau ini dan Amerika Syarikat untuk mengurangkan ketegangan di rantau ini,

"Presiden Biden menyampaikan kepada Perdana Menteri Israel Netanyahu bahawa dia mengharapkan ketegangan di wilayah tersebut dapat dikurangi secara drastis hari ini dalam perjalanan menuju gencatan senjata." maklumat disertakan.


2. Israel-Gaza umum gencatan senjata.

Serangan roket dari Gaza ke Israel sejurus sebelum gencatan senjata diumumkan ini selepas pertempuran 11 hari Israel-Palestin. - Foto AFP

GAZA: Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata semalam, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari.

Menurut kenyataan pejabat Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, Kabinet keselamatannya 'dengan sebulat suara' menerima cadangan yang dibuat atas inisiatif Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.

Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad turut mengesahkan gencatan senjata iti dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuatkuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan).

Kenyataan pihak Israel tidak memaklumkan bila gencatan senjata akan bermula.

Pertempuran terkini menyaksikan jet Israel membedil Gaza melalui serangan udara, dibalas dengan ribuan roket dari Gaza menyasarkan, susulan ketegangan yang makin memuncak selepas 10 Mei lalu.

Semalam, di Rafah, selatan Gaza, wartawan AFP menyaksikan serangan ganas Israel memusnahkan bangunan dan ambulans berulang alik membawa mangsa serangan.

Serangan roket dari Gaza meningkat menjelang petang semalam, memaksa penduduk Israel mencari tempat perlindungan selepas diarah berbuat demikian oleh tentera Israel.

Tentera Israel berkata Hamas dan kumpulan pejuang Islam lain di Gaza menembak fired 4,070 roket ke arah Israel tetapi kebanyakannya yang disasarkan ke penempatan penduduk berjaya dipintas sistem pertahanan udara Iron Dome.

Menurut pihak polis, serangan roket itu mengorbankan 12 nyawa di Israel, termasuk dua kanak-kanak dan seorang askar Israel selain seorang warga India serta dua warga Thailand.

Serangan Israel terhadap Gaza pula mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,900 orang manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal, menurut pihak Hamas.

Semalaman, Israel terus membedil Gaza melalui serangan udara dan artileri menyasarkan rangkaian terowong bawah tanah dan infrastruktur lain milik Hamas, menurut tentera Israel. - AFP

3. Serangan roket Al-Qassam ke atas bas tentera zionis

BRIGED Al-Qassam menyiarkan sebuah video serangan roket ke atas bas yang mengangkut tentera rejim zionis Israel di Zakeem. (Gambar 1)


Sebuah kilang di Beer Sheva rosak teruk dibedil roket pejuang Palestin hari ini. (Gambar 2)

Pejuang Palestin melancarkan roket ke arah Ashdod, Beer Al Saba, Ashkelon, Ayres, Yad Mordkhay, Siderot, Yevim, Lakhish, Sofia, Huolit, Beer Sheva, satu artileri meriam Howtizer di utara Ashkelon, sistem pertahanan Iron Dome di Nahal Oz, pangkalan tentera Raeem dan pangkalan logistik tentera rejim zionis Israel di Mashmar.

Sebuah rumah pendatang haram Yahudi di Askelan rosak teruk dibedil roket pejuang Palestin. (Gambar 3)
Menteri Luar rejim zionis Israel mengiringi seorang ahli Menteri Luar Kesatuan Eropah melawat bangunan yang musnah akibat terkena bedilan roket pejuang Palestin. (Gambar 4)

Seorang warga Palestin terkorban di Al Safawi, bandar Gaza apabila kenderaannya meletup akibat dibom. (Gambar 5)

Polis rejim Israel menyerbu masuk ke Hospital Al Maqsad di Jerusalem untuk mencari dan menangkap penduduk Palestin yang cedera. (Gambar 6)
Berlaku kerosakan teruk kepada sistem pembentungan akibat bedilan roket rejim zionis Israel di wilayah Safawi, Jabalia utara Semenanjung Gaza. (Gambar 7)
Ratusan rakyat Iraq berarak ke sempadan Jordan meraikan kemenangan Palestin dan meraikan penghantaran bekalan ubat-ubatan ke Palestin. (Gambar 8)


Pesawat pejuang rejim zionis Israel hari ini terus mengebom Semenanjung Gaza dengan menyasarkan Khan Younis, Beit Hanoun, Rafah, Pusat Perindustrian Gaza, Beit Lahia sambil memusnah kediaman ramai keluarga Palestin antaranya kediaman keluarga Rajab di wilayah Shaima, Lahia, kediaman keluarga Al Muqir di Rafah, utara Semenanjung Gaza, kediaman milik keluarga Kahili di Al Shajala, timur bandar Gaza, kediaman keluarga Al Arini di Zeitar Hill di kem Jabalia, utara Gaza dan sebuah pangsapuri di Al Raed berdekatan Masjid Palestin di bandar Gaza.

Selamatkan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

(Kredit: Al Jazeera Chanel, Alarabiya Palestine, Al Quds, Shehab News, Gaza Now.)

SUMBERMUHAMMAD KHALIL ABDUL

3 keris pusaka Nik Amar dibida RM42,500. Komen DAP?

 

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah melelong tiga keris pusaka bagi membantu umat Islam di Palestin melalui kempen #Aid4Palestine.

Katanya, tempoh lelongan dan bidaan tamat pada jam 6 pagi semalam selepas dibuka selama 24 jam (dua hari).

Beliau berkata, ketiga-tiga keris tersebut berjaya dibida sebanyak RM42,500.

“Keris pertama dibida pada harga RM17,000. Manakala keris kedua sebanyak RM9,000 dan ketiga dan RM6,500.

“Bagaimanapun seorang pembida yang tidak berjaya turut menyatakan untuk terus menyumbang sebanyak RM10,000,” katanya di sini.

Proses bidaan itu dikelolakan Pertubuhan Cakna Palestin dan semua bayaran juga sudah dipindahkan pembida dan penderma terus ke akaun Cakna Palestin.

“Pagi esok saya akan membuat pengumuman nama-nama mereka yang berjaya dan membuat serahan keris-keris berkenaan.

“Bidaan amal keris adalah salah satu tarikan dan usaha menggiatkan kempen #Aid4Palestine. Kita semua boleh terus menyumbang dalam pelbagai bentuk dan saluran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

SUMBERSALMAH MAT HUSAIN


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kita belum dengar lagi ada pemimpin DAP yang sanggup 'bergadai bergolok' seperti di atas untuk pembebasan kemanusiaan yang diperjuangkan rakyat Palestin tertindas. Lihat.. DAP kecam serangan Israel... Dasar musang ... - Ibnu Hasyim

Derma melalui PAS paling selamat dan meyakinkan -Dato’ Albert Tay

 

ALOR SETAR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nova Asia Resources Sdn Bhd, Dato’ Albert Tay telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Tabung #Aid4Palestin, di sini semalam.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menerima sendiri serahan oleh ahli perniagaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CLA Global Holding Sdn Bhd kediaman rasmi Seri Mentaloon.

Kata Albert, walaupun beliau berbangsa Cina, tetapi beliau anak Malaysia dan anak Negara Islam yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan penjajah Zionis Israel. 

Beliau mengecam tindakan terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa dan mengakui pendermaan melalui PAS adalah paling selamat dan meyakinkan dan menyeru bantuan untuk kesengsaraan Palestin segera berakhir.

Sanusi dalam pada itu menyifatkan sumbangan Dato’ Albert melalui beliau yang juga Pengerusi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) menunjukkan keyakinan pelbagai pihak kepada PASRelief.

Juga katanya, menunjukkan kempen #Aid4Palestine telah menzahirkan keprihatian yang melangkaui sempadan bangsa dan agama di mana ia merupakan perkembangan sangat baik untuk Malaysia.

“Ini bermakna, orang ramai berkongsi rasa atas nama kemanusiaan sejagat. Terima kasih kepada syarikat-syarikat perniagaan dan orang ramai yang prihatin,” ujar beliau.

PASRelief merupakan badan khusus PAS yang melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan dan bantuan di peringkat antarabangsa termasuk Palestin yang disalurkan bantuan bulanan serta pelbagai komitmen lain. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

SUMBERIZWAN ABDUL HALIM

Thursday, May 20, 2021

Ini kisah pelakon 'kayu', jolokan kepada Sharifah Rose. Mengapa?

 

Sepantas kilat, kehadiran Sharifah Rose mendapat reaksi netizen yang menganggapnya sebagai pelakon kayu. - Foto IG Sharifah Rose

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Sejak gadis berusia 23 tahun, Sharifah Rose muncul dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang disiarkan slot Lestary di TV3, tumpuan mula terarah kepada selebriti media sosial atau Instafamous itu.

Sepantas kilat, kehadiran Sharifah Rose mendapat reaksi netizen yang rata-rata membangkitkan soal kemampuan gadis yang lebih dikenali dalam platform media sosial ini, berlakon.

Tidak hairanlah, gelaran pelakon 'kayu' atau 'pokok' kembali diperkatakan dalam laman sembang. Netizen turut membangkitkan kewajaran penerbit dan stesen penyiar memilih personaliti media sosial sebagai pelakon drama berdasarkan faktor individu terbabit mempunyai pengaruh besar atau pengikut ramai di Instagram (IG).

Ini membuka perdebatan terhadap kewibawaan penggiat seni dan pembekal kandungan hingga ada yang mengaitkan apakah penyiar atau penerbit sanggup memperdagangkan mutu produk semata-mata mengejar rating.

Rata-rata netizen menganggap personaliti media sosial yang tiba-tiba terjun dalam dunia lakonan, tidak berbakat, hanya bergantung kepada paras rupa dan diragui kemampuan mereka beraksi.

Mengajukan soalan itu kepada pengarah drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Nizam Zakaria, Sharifah Rose mampu berlakon biarpun masih 'hijau' dalam dunia seni.

"Untuk bakat baharu dan 'hijau' seperti Sharifah Rose, dia berada pada tahap okay. Pasti jika terus diasah dan mencuri ruang belajar, dia boleh berlakon mengikut tahap dimahukan penonton," katanya kepada BH Online.

Nizam berkata, gelaran artis 'kayu' hanyalah persepsi penonton.

"Kalau pengarah, penerbit dan stesen TV fikir seseorang pelakon tidak 'kayu', maka tidak 'kayulah' dia. Sedangkan hakikatnya, kamilah yang kena menghadap pelakon itu setiap hari sampai dia tidak lagi digelar 'kayu'.

"Kebiasaannya, orang yang mengatakan pelakon 'kayu' itu adalah mereka yang tidak tahu menilai lakonan... Perkara ini sangat subjektif," katanya.

Nizam berkata, sebagai pengarah, dia memiliki keupayaan menilai kemampuan bakat baharu seperti Sharifah Rose.

"Saya memiliki keupayaan mengagak apakah seseorang itu boleh pergi jauh dalam dunia lakonan atau sebaliknya. Jadi, percayalah dengan keupayaan saya itu," katanya.

Tambah Nizam, kemampuan penonton menilai bakat lakonan adalah berbeza.

"Perkara ini berbalik kepada cita rasa. Ada orang suka menu Melayu dan ada yang suka masakan Barat. Begitu juga dalam soal lakonan. Adakalanya lakonan bersahaja sudah memadai untuk menzahirkan emosi.

"Namun, ada pula pihak yang menganggap lakonan keterlaluan atau 'over the top' itulah yang dikatakan bagus. Pada akhirnya, kita sukar memuaskan hati orang," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah polemik segar ke arah meninggikan mutu filem-filem Melayu Malaysia. Bagus! Tambah pandangan sikit lagi...

'Pengarah-pengarah, penerbit dan stesen TV pula perlu fikir bagaimana untuk dapat mensesuaikan karya-karya mereka tersebut selaras dengan kehendak agama Islam dan patuh syariat. Rujuk Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Insya Allah akan berbahagia di dunia dan akhirat!'


Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..

Rogol 1:Pasngan Suami-Isteri rogol gadis di Bukit Tinggi.  Rogol 2: Dipenjara 1,050 tahun, 24 sebatan.  Rogol 3: Budak 10 tahun didapati hamil di Sarawak.... Rogol 4: Babitkan wanita kasta rendah di IndiaRogol 5: Bukti Gagalnya Barat. Perancis X dapat Me...  Rogol 6: Persundalan Elit. Pengasas Sugarbook dita...  Rogol 7: Kes Rogol ADUN Tronoh. Esok sambung lagi.  Rogol 7 (i): ADUN Tronoh. 2 kesan koyakan baharu p... Rogol 8: Da'i, rogol + setubuh di luar tabii. Rogol 9: Serah bukti dakwaan ADUN Gombak Setia ja...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails