Friday, August 20, 2021

‘Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ – Penganalisis Politik

 

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Sokongan majoriti kepada Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri dilihat mampu meyakinkan rakyat setelah beliau mengukir kejayaan menguruskan pandemik Covid-19 sepanjang berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pemimpin yang berintegriti serta mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik adalah kriteria dambaan rakyat.

“Rakyat sekarang hanya mahu lihat pemimpin yang berkerja kuat untuk mereka dan bebas daripada dakwaan, salah laku dan hukuman mahkamah.

“Bagi saya menteri-menteri daripada Umno dalam kerajaan sebelum ini terlibat secara terus dengan pelbagai program menangani Covid-19 dan mereka berjaya.

“Maka mereka yang berjaya ini perlu dilantik semula untuk meneruskan tugas yang belum selesai agar tidak menggangu perancangan dan strategi melawan Covid-19,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan dasar di dalam kerajaan sebelum ini wajar diteruskan bagi mengelak usaha menangani Covid-19 terbantut serta melambatkan proses imuniti kelompok dicapai.

“Sudah pasti beberapa dasar yang baik diperkenalkan sebelum ini wajar diteruskan, kita tidak boleh bakar kelambu kerana hanya marahkan seekor nyamuk.

“Kita akan gagal jika masuk ke Putrajaya dengan merombak semua dasar, program dan jentera bagi menangani Covid-19 dan ekonomi,” katanya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM).

Walaupun terdapat kekurangan di dalam dasar-dasar sedia ada katanya, usaha tersebut wajar diteruskan serta diperkasa bagi menggerakkan usaha penggemblengan mengurus pandemik berkenaan dapat dicapai semaksiumnya.

“Ya, betul ada beberapa kelemahan tetapi kita perlu memperbaiki kelemahan berkenaan.

“Jika kita kembali bermula dengan langkah pertama dan perbaharui semula program dan strategi berkenaan, kita akan meletihkan petugas barisan hadapan dan berkemungkinan jentera melawan Covid-19 dan membangkitkan semula ekonomi tidak mampu untuk mengembalikan negara kita seperti sediakala,” jelasnya.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan mengesahkan PN bersetuju menamakan Naib Presiden Umno itu sebagai calon Perdana Menteri yang baharu dengan syarat pelantikan Kabinet yang dibentuk kelak adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu, kerajaan juga diminta terus menghormati prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan Raja Berperlembagaan. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

Sokongan 50 AP kepada Ismail Sabri adalah bersyarat. Ini syaratnya?

"Pembantu utama Muhyiddin Yassin mendedahkan sebuah babak ketika perbualan sewaktu sarapan bersama perdana menteri sehari sebelum peletakan jawatannya yang menyaksikan tumbangnya kerajaan yang menerajui negara selama 18 bulan ketika pandemik melanda negara.". Ya ke?

'Umno gelisah sokongan bersyarat Bersatu, MT bermesyuarat esok' 

B Nantha Kumar & Hariz Mohd 

GARA-GARA gelisah dan mencurigai dengan sokongan bersyarat yang diikrarkan oleh sekutunya, Bersatu dalam memberi sokongan bersyarat kepada calon perdana menteri parti itu Ismail Sabri Yaakob, Umno dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok. 

"Malam tadi, beberapa pemimpin Umno mengadakan perbincangan. Malam esok pula dijadual MT khas. "Umno gelisah dan pandang serius kenyataan sokongan bersyarat Muhyiddin," kata sumber dalaman itu kepada Malaysiakini. 

Ketika dihubungi, seorang anggota MT mengesahkan perjumpaan malam tadi. Namun, katanya masih tidak pasti dengan mesyuarat khas esok. 

"Saya dengar ada mesyuarat MT khas esok. Tapi, masih tidak menerima panggilan untuk mesyuarat. Mungkin tunggu pengumuman daripada Majlis Raja-Raja hari ini," kata seoarang lagi pemimpin parti yang tidak ingin mendedahkan namanya. 

Semua ini gara -gara parti itu yang memandang serius dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang menyatakan sokongan bersyarat kepada calon perdana menteri parti itu Ismail Sabri Yaakob. 

"Ada juga kemungkinan mesyuarat MT diadakan selepas calon PM angkat sumpah," tambahnya lagi. 

Semalam, Muhyiddin menerusi kenyataan berkata bahawa sokongan daripada 50 anggota parlimen gabungan itu kepada Ismail Sabri adalah bersyarat. 

Muhyiddin berkata naib presiden Umno itu mesti memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah. 

Selain itu Muhyiddin berkata Ismail juga mesti meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan. 

Sementara itu, sumber parti berkenaan berkata mesyuarat beberapa pemimpin tertinggi Umno semalam membincangkan kesan jika terima sokongan brsyarat Muhyiddin. 

"Umno berpendapat bahawa kenyataan Muhyiddin satu ugutan. "Umno bimbang Ismail Sabri tak mampu bertahan, jika Bersatu teruskan ugutan," kata sumber parti itu lagi. 

Sumber itu turut menyentuh peristiwa 15 ahli Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin yang memaksa Presiden Bersatu itu meletak jawatan pada 16 Julai. 

"Sekarang Umno bimbang Bersatu boleh buat tindakan yang sama. Tiada jaminan sebuah kerajaan stabil boleh dibentuk," katanya. 

Malaysiakini sedang menghubungi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan untuk mendapatkan komen. Raja-Raja Melayu dijadual mengadakan pertemuan di Istana Negara hari ini bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya berkaitan dengan pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan. 

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu dijadual bermula 2.30 petang, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Berdasarkan kenyataan parti-parti utama dan ahli parlimen sehingga semalam, nama naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob merupakan calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin, manakala PH kekal mencalonkan presiden PKR, Anwar Ibrahim. 

at 8/20/2021 02:07:00 PTG (KERENGGA)

Raja Petra serang Istana, dakwa Agong mahu Anwar dilantik timbalan PM

 

Penulis Malaysia yang kini berlindung di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin dilihat telah secara terang terangan menyerang Yang di-Pertuan Agong apabila mendakwa baginda melambat-lambatkan upacara mengangkat sumpah Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Dengan tajuk berita “Agong menyekat perlantikan Ismail Sabri sebagai PM-9“, Raja Petra mendakwa, dua pegawai yang dekat dengan Istana Negara dan Istana Perak telah menjadi penghubung istana dengan pemimpin luar.

“Agong melampaui kuasanya dan memaksa Malaysia ke dalam satu lagi krisis Perlembagaan,” dakwa Raja Petra yang lebih dikenali sebagai RPK ketika menulis dalam blognya, Malaysia-today.net.

Penulis yang dilihat memihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (sebelum ini kepada Datuk Seri Najib dan sebelum itu Anwar)  itu mendakwa, dua pegawai kanan Istana telah menyampaikan mesej kepada Perikatan Nasional bahawa Ismail tidak akan mengangkat sumpah sebagai PM-9 selagi beliau tidak bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan dan melantik Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

RPK (kiri sekali) meraikan presiden Pas dan lain-lain pemimpin kanan parti itu ketika mereka ke London

“Kedua-dua orang penting itu adalah Mohd Annuar Zaini dan Ahmad Fadil Shamsuddin, yang bukan sahaja penasihat Agong tetapi penyokong tegar Anwar Ibrahim,” dakwa RPK yang biasa meraikan ramai pemimpin Pas apabila mereka berkunjung ke England.

Datuk Mohd Annuar Zaini adalah pihak yang rapat dengan Baginda Sultan Perak manakala Datuk Indera Ahmad Fadil adalah Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang biasanya membuat kenyataan Istana Negara bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Dakwa RPK,  penulis yang pergi ke England selepas siasatan dibuat ke atas beliau sebelum ini, orang inilah yang selama ini yang membocorkan dokumen Istana Negara dan surat kepada media sosial dan media arus perdana.

Berita yang ditulis malam tadi itu kini tular dan dikongsikan oleh lebih 4,000 pembaca dalam media sosial masing-masing.

Di media sosial, aktivis mula menyifatkan RPK menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong.

“RPK tuduh YDPA langgar perlembagaan? #Derhaka,” tulis Jamzuri Ardani.

Moreeza Mohamad yang membuat komen terhadap posting itu menulis, “Cam dah gelabah je RPK tu. Kerja dia memang nak menghalang sesuatu yang baik dari jauh.”

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh Ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan memberi fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang berlaku.

“Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” titah baginda dalam kenyataan Istana Negara 18 Ogos kelmarin.

(MD)

Jam 2.30 petang ini, mula bincang sokongan majoriti PM...

 

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meninggalkan Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlI-Mustafa Billah Shah pada semalam.

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja petang ini jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Tumpuan seluruh negara terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, petang ini.

Inti pati perbincangan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang itu, terarah kepada perlantikan seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri, selaras Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Perbincangan petang ini adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Perbincangan petang ini diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas, semalam.

Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya setakat pagi ini, tidak menerima panggilan menghadap Seri Paduka.

Ketika sesi menghadap semalam, Yang di-Pertuan Agong mendengar sendiri Ahli Parlimen yang secara bergilir-gilir menyembah maklum secara lisan sokongan mereka kepada calon perdana menteri.

Setiap Ahli Parlimen juga mengesahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka dengan menamakan seorang calon perdana menteri yang dititahkan dihantar kepada Istana Negara kelmarin.

Selain majlis menghadap secara fizikal di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima menghadap secara maya daripada Ahli Parlimen daripada GPS yang berada di Kuching, Sarawak.

Sesi menghadap itu diadakan selepas mereka menghantar surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pelantikan Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.

Berdasarkan kenyataan parti dan Ahli Parlimen, setakat ini Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjadi pilihan PN, BN dan GPS dengan 114 sokongan sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin, manakala PH kekal mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong bertemu pemimpin parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Yang masuk menghadap Seri Paduka ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya semua parti politik di negara ini, bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan perdana menteri yang akan dilantik, mengemukakan segera usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.

Seri Paduka juga mengingatkan ketua dan wakil parti politik yang menang, seharusnya menghulurkan tangan bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya dan bersedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan suasana.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu diadakan pada 28 Februari tahun lalu di Istana Negara bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Ia menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tumbang.

Majlis Raja-Raja kemudiannya sekali lagi berbincang pada 16 Jun lalu atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong berkenaan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat. (BH)

Bentuk K'jaan Baru: Zailah, Solat /Munajat Ulamak &Rasuah '0'.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

1. Integriti syarat yang perlu diterima pakai – Siti Zailah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyokong syarat-syarat yang ditegaskan Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan kerajaan baharu.

Menurutnya, beliau berpandangan bahawa syarat yang ditetapkan itu harus diterima pakai dalam pentadbiran kerajaan supaya selaras dengan prinsip PN mempertahankan kerajaan berintegriti.

“Saya bersetuju, maknanya syarat itu hendaklah terus diterima pakai dalam pentadbiran baharu.

“Kita mahukan sebuah kerajaan yang stabil yang dinamik, yang benar-benar memenuhi aspirasi rakyat.

“Insya-Allah, pelantikan ini benar-benar dimanfaatkan untuk meneruskan dasar-dasar kita,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.

Semalam, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sokongan yang diberikan PN kepada Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno adalah bersyarat.

Antara syarat yang diletakkan sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu kata Zailah, kerajaan di bawah pimpinan Ismail juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut berharap keputusan yang dibuat nanti adalah yang terbaik dan menjadi tempat berlindung bagi rakyat Malaysia.

“Jadi kita meletakkan harapan akan menyambung legasi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita mengharapkan supaya mana-mana yang baik, yang kita sudah laksanakan untuk negara dan rakyat, diteruskan.

“Mana-mana yang mungkin ada kekurangan dan kelemahan itu kita semak balik,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, beliau turut berharap agar tiada lagi sebarang isu berbangkit membabitkan isu-isu menarik sokongan dan seumpamanya.

“Seperti yang kita tengok Tuanku sudah penat hendak melayan ahli-ahli politik ini. Setiap tahun angkat sumpah, menghadap, maknanya kita harapkan ada perubahanlah.

“Selepas ini berakhir dengan bubar parlimen dan pilihan raya. Tiada lagi isu tarik sokongan dan beri sokongan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

2. Dewan Ulamak PAS seru solat hajat, munajat.

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru semua ahli PAS serta seluruh umat Islam yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan untuk sama-sama menunaikan solat hajat dan munajat kepada Allah SWT bagi mendapatkan pertolongan dan inayah-Nya dalam kemelut politik yang sedang berlaku.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, seperti yang sedia maklum, pihak kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha dengan sebaik mungkin bersama jamaah menteri serta petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) untuk menghadapi dan memerangi Covid-19.

“Alhamdulillah, melalui kenyataan media YAB Perdana Menteri pada hari ini, program vaksinansi kebangsaan semakin menunjukkan hasil yang poitif selain dari pengumumam pembukaan tambahan sektor-sektor ekonomi yang memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada mereka yang terjejas dengan pandemik ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya DUPP melahirkan kekesalan dan kekecewaan dengan sikap sebahagian pimpinan-pimpinan politik yang berterusan mendesak Perdana Menteri agar meletakkan jawatan atas dakwaan telah gagal menangani pandemik Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, dakwaan-dakwaan seperti itu hanyalah bersifat retorik dan alasan kosong semata-mata.

Katanya, desakan-desakan berterusan itu, bukan sahaja mengganggu tumpuan pihak Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani Covid-19,  bahkan turut menimbulkan suasana politik yang tidak stabil dan tidak harmoni yang memberikan kesan langsung kepada seluruh rakyat.

“Sehubungan itu, DUPP sekali lagi menyeru ahli-ahli PAS secara khusus, serta umat Islam seluruhnya untuk sama-sama menunaikan solat hajat dan munajat kepada Allah SWT bagi memohon keharmonian dan kesejahteraan negara serta perlindungan-Nya daripada perkara-perkara yang boleh mandatangkan kerugian kepada Islam dan ummah,” ujarnya.

Tambahnya, umat Islam hendaklah yakin dengan janji Allah SWT di dalam Surah Ghafir, ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

3. SPRM tahan bekas Pegawai Tugas-tugas Khas AP. Ke Arah '0' rasuah?

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen hari ini, kerana disyaki menyeleweng wang berjumlah RM140,600.

Sumber berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan kedudukannya bagi melakukan kegiatan berkenaan sejak Ogos 2019 hingga Januari 2020.

"Suspek yang pernah bertugas sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada seorang Ahli Parlimen di negeri ini dikatakan menyeleweng Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen.

"Dia dipercayai menggunakan beberapa invois palsu bagi menuntut bayaran bagi kerja di kawasan Parlimen berkaitan bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000" katanya.

SPRM dijangka akan memohon perintah reman ke atas suspek di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pagi esok.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kalau kerajaan PAS Kelantan boleh wujudkan '0' rasuah, mengapa mengapa Kerajaan Persekutuan tidak boleh? Boleh rancang dengan kerjasama PAS?

(IH)

Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..

AP GPS, Umno, Bersatu & Bebas mula dilihat memasuki Istana Negara ..

 

Doa pembentukan kerajaan dipemudahkan Allah

KUALA LUMPUR: Semua perancangan PAS bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah petang ini dijangka berjalan lancar, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang dihubungi HarakahDaily hari ini berkata, segala persiapan ahli-ahli Parlimen parti berkenaan bagi menghadap Ketua Negara itu akan berjalan dengan baik.

Berhubung harapannya terhadap perdana menteri dan kerajaan baharu katanya, PAS mengharapkan yang terbaik bagi pembentukan kerajaan serta pimpinan baharu ini.

“Kita doakan agar pembentukan kerajaan dipermudahkan Allah,” katanya ringkas.

Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini, oleh 114 Ahli Parlimen dijadualkan berlangsung secara berperingkat membabitkan lima kumpulan.

Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), Umno, Bersatu dan Bebas mula dilihat memasuki Istana Negara bermula pada jam 11.35 pagi, hari ini dan dijangka berakhir jam 5 petang, hari ini. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

MoU tidak nyata projek terowong dibuat secara tender terbuka

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, memaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang bahawa projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu ditawarkan secara tender terbuka.

Bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata semasa MMK negeri pada 27 April 2011 ada catitan yang menyatakan bahawa, Lim menyatakan ada tender terbuka berhubung projek itu sebelum beliau pergi ke China.

Bagaimanapun Hock Seng berkata, dalam dua perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) sekitar 2011, tidak menyatakan projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Menurut Hock Seng, selepas MoU dimeterai projek itu diberikan kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), yang merupakan syarikat usaha sama dengan BUCG.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada hari keenam perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Saksi pendakwaan ketiga  itu berkata, beliau kemudian bertemu dengan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Urusan CZBUCG, dan memaklumkan pertemuan mereka kepada MMK negeri.

“MMK negeri yang dipengerusikan oleh Lim, kemudian mengarahkan satu kertas kerja cadangan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu, dikemukakan untuk pertimbangan,” katanya.

Sebelum ini dalam penyataan saksinya, Hock Seng memberitahu mahkamah bahawa Iklan Pre-Qualification (Prakelayakan), berhubung tender projek itu melalui laman web Kerajaan Negeri dibuat pada 11 Nov 2011, manakala iklan melalui akhbar tempatan dibuat 15 Nov 2011.

Hock Seng berkata, lapan syarikat berjaya melepasi syarat prakelayakan iaitu China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd, Setia Precast Sdn Bhd, ECK Construction Sdn Bhd, Gamuda Berhad, Zambina Wawasan Sdn Bhd, IJM-CRGL Joint Ventures, Consortium Zenith BUCG Juteras & Sri Tinggi JV dan WCT Daewoo Joint Ventures.

Bagaimanapun, CZBUCG telah dilantik bagi menjalankan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, kerana syarikat berkenaan mendapat ‘markah tertinggi’ bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azur Alwi bersambung esok. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Kriook! Krioook! Kriook! Bunyi daun pintu mahkamah Malaysia. Rupanya kepala cicak 'biang keladi' dalam politik negara sudah mula terapit tersepit di balik pintu. Badan cicak mula menggelupur akan jatuh. 

Tapi ekornya jatuh dulu. Tuu, sedang kelupoq di lantai. Barua atau ekornya sedang pertahankan. Terkodek-kodek! Biar badan rebah, misai jangan mencecah tanah. Biar dada meleciaq, janggut jangan cecah pasiaq!

Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails