Friday, December 03, 2021

MP Jelutong patut sokong tutup operasi judi

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mengaku adalah peminat mantan Mursyidul Am PAS dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, beliau juga berulang kali mengaitkan hujahnya dengan pemimpin tersohor PAS.

Kelihatan suatu pertentangan yang ketara apabila seorang pemimpin dari DAP, parti yang menentang perjuangan PAS menegakkan Islam, menjadikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang diminati.

Namun mungkin ada benarnya kata Rayer kerana perlu diakui bahawa peminat Allahyarham bukan sahaja daripada kalangan ahli dan penyokong PAS, malah meliputi pelbagai peringkat rakyat dan merentasi kepercayaan politik.

Kalau begitu, apa masalahnya dengan pendirian Rayer?

Realitinya di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jelutong hanya menggunakan nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, untuk menyerang PAS dalam pelbagai isu, terutama tindakan kerajaan Kedah, menutup kedai judi.

Ketika sidang Dewan Rakyat 23 November lalu, Rayer mendakwa pemimpin PAS sekarang tidak mencontohi ajaran Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum dalam negara.

Beliau memberi contoh tindakan Menteri Besar (MB) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

“Saya nak mengambil kesempatan untuk merujuk kepada Almarhum Nik Aziz sebagai ikon perpaduan walaupun beliau pemimpin PAS. Kita lihat ketika pentadbirannya dulu, orang bukan Islam di Kelantan, kebajikannya diberi perhatian malahan peruntukan besar diberikan Nik Aziz kepada masyarakat India di Kelantan dan kepada kerja membina kuil dan sebagainya,” kata Rayer.

Ketika itu, Ahli Parlimen Kuiala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, silih berganti meminta laluan dan mencelah membetulkan fakta, termasuk menyatakan bahawa MB Kedah mengikut Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Semalam, ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan, Ahli Parlimen Kuala Krai, menempelak Rayer.

Jika benar-benar mengagumi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, katanya Rayer akan menyokong penutupan premis judi di Kelantan dan terbaharu di Kedah.

Katanya, ini kerana Allahyarham Tuan Guru, membuat keputusan menutup premis judi, selain mengehadkan lesen premis menjual arak sebaik sahaja PAS mengambil alih tampuk pemerintahan Kelantan pada tahun 1990.

“Keputusan yang dibuat oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz agak kontroversi pada awalnya. Namun, akhirnya diterima dengan penuh terbuka oleh semua pihak, termasuk bukan Islam,” katanya.

Abdul Latiff mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Katanya, ini adalah suatu tindakan yang baik, tegas dan sangat bertanggungjawab serta akan memberi kebaikan kepada rakyat.

“Ini jelas menunjukkan ia adalah peraturan yang baik dan terkehadapan, bukan berkait dengan rasis atau agama. Saya harap Jelutong juga akan mengambil perkara ini apabila merujuk kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/21

Sila lihat sebelum ini..
Siri Praktikal Kesihatan:

Adil mengikut perspektif Islam

 

ADIL ialah salah satu daripada sifat wajib bagi Allah SWT dan sifat ketuhanan yang Maha Suci daripada segala kekurangan, bahkan mustahil bagi Allah SWT bersifat zalim. Malah, keadilan-Nya tiada bandingan dan tandingan. Maha Adil ialah salah satu daripada nama-nama terbaik bagi Allah SWT.

Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ١٨

“Allah menyatakan bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Tuhan yang sentiasa menegakkan keadilan, dan para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan perkara yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Tuhan yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali ‘Imran: 18)

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:

‌يَا ‌عِبَادِي ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ ‌عَلَى ‌نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.

“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat zalim ke atas diri-Ku dan Aku jadikannya (kezaliman) haram antara kalian, maka janganlah kalian berlaku zalim sesama kalian.” (Riwayat Muslim 2577)

Maka, Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan cara pelaksanaannya yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan petunjuk yang sebenar kepada makna dan objektif keadilan. Konsep yang berbeza dengan pendapat ahli-ahli falsafah Barat dalam kalangan pencipta sekularisme yang memisahkan agama daripada cara dan sistem kehidupan manusia yang memenuhi fitrah dan ada matlamat kejadiannya.

Al-Quran menegaskan betapa kedudukan adil itu yang tinggi, sehingga berada di langit merangkumi seluruh kejadian alam semesta. Hal ini sebagaiman firman Allah SWT:

وَالسَّمَاءَ رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَانَ٧ أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ٨ وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ٩

Dan Allah telah menjadikan langit yang tinggi, serta Dia mengadakan neraca keadilan (undang-undang). (7); Supaya kalian tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (8); Dan betulkanlah timbangan itu dengan adil, dan janganlah kalian mengurangi neraca timbangan. (9).” (Surah al-Rahman: 7-9)

Adil yang diwajibkan itu adalah berkonsepkan Samawi (perintah Allah) yang melengkapi segala hubungan manusia dengan kehidupannya dan mengatasi undang-undang ciptaan manusia itu sendiri. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ٩٠

Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berlaku adil, dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kalian (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kalian mengambil peringatan dengan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Ayat di atas menegaskan tentang kewajipan berlaku adil kepada seluruh manusia yang bermasyarakat majmuk tanpa mengira perbezaan taraf hidup, agama dan bangsa. Perkara tersebut dibebankan menjadi amanah yang wajib dipikul, sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨

Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Tugas menegakkan keadilan diserahkan kepada orang-orang yang benar-benar berkelayakan dari segi iman, ilmu dan akhlaknya. Hal ini demikian kerana, ia merupakan amanah yang paling besar kewajipannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا٧٢

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir akan mengkhianatinya; dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan perkara-perkara yang bodoh.” (Surah al-Ahzab: 72)

Amanah yang paling besar ialah amanah bagi mengendalikan urusan memerintah dan mentadbir negara berserta segala urusannya. Maka, menyerahkan tugas kepada orang yang tidak mempunyai kelayakan untuk menegakkan keadilan adalah sebab berlakunya kemusnahan alam dunia keseluruhannya. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌إِذَا ‌وُسِّدَ ‌الأَمْرُ ‌إِلَى ‌غَيْرِ ‌أَهْلِهِ ‌فَانْتَظِرِ ‌السَّاعَةَ.

“Apabila dilantik bagi melaksanakan urusan (umat) kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat berlakunya kemusnahan alam (kiamat).” (Riwayat al-Bukhari 59)

Adil itu digerakkan oleh keimanan, sehingga sanggup menghukum diri sendiri dan keluarga yang terdekat. Sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا١٣٥

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian menjadi orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kalian sendiri, ataupun ibu bapa dan kaum kerabat kalian. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, maka Allah lebih mengetahui kemaslahatan kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kalian mengikuti hawa nafsu supaya kalian tidak menyeleweng daripada kebenaran. Dan jika kalian memutarbelitkan keterangan (kata-kata) ataupun enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Nisa’: 135)

Rasulullah SAW sangat murka apabila Baginda diminta supaya tidak menjatuhkan hukuman ke atas seorang bangsawan yang telah melakukan kesalahan jenayah mencuri. Lantas Baginda SAW bersabda:

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، ‌وَإِذَا ‌سَرَقَ ‌فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.

“Sesungguhnya telah binasa umat pada zaman dahulu sebelum kalian, kerana sesungguhnya apabila bangsawan dalam kalangan mereka mencuri lalu dibebaskan; tetapi apabila golongan yang lemah dalam kalangan mereka pula yang mencuri, mereka menjatuhkan hukuman kesalahan jenayah. Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad (puteriku) mencuri, nescaya aku jatuhkan hukuman agar dipotong tangannya.” (Riwayat al-Bukhari 3475)

Bahkan, diwajibkan juga berlaku adil sekalipun terhadap musuh yang paling dibenci, kerana Allah SWT menyebutkan melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menerangkan keadilan; dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Dan firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٨

Allah tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama (kalian), dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)

Selain itu, keadilan perlu ditegakkan dengan bersedia untuk menjatuhkan hukuman tegas ke atas kumpulan Islam yang melampau. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٩

“Dan jika ada dua puak daripada kalangan mereka yang beriman itu berperang, maka hendaklah kalian mendamaikan antara keduanya. Jika salah satunya melampau terhadap yang lain, hendaklah kalian perangi kalangan yang melampau itu (setelah dinasihati) sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan hendaklah kalian berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat: 9)

Dalam pada itu, Islam juga menganjurkan konsep perdamaian, sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasul-Nya, dan juga kepada Ulil Amri antara kalian. Kemudian, jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Orang yang beriman juga dilarang melampau dalam peperangan terhadap musuh yang menceroboh, hal ini disebabkan firman Allah SWT:

…فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ١٩٤

“…Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kalian, maka balaslah pencerobohan itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya terhadap kalian; dan bertaqwalah kalian kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 194)

Dan juga firman Allah SWT:

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨

Dan jika kalian membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kalian membalas dengan kejahatan yang sama sepertimana yang telah ditimpakan ke atas kalian, dan jika kalian bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah kamu berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah kamu bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (127); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128).” (Surah al-Nahl: 126-128)

Ayat di atas menunjukkan wajib berlaku adil walaupun saat peperangan berlaku, pada ketika kemarahannya yang paling tinggi terhadap musuh yang menceroboh. 

Sekiranya berlaku tindakan melampau terhadap musuh, maka individu tersebut wajib dihukum dengan membayar ganti rugi kepada musuh yang dizalimi.

Perkara ini ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW sewaktu Baginda mengarahkan ‘Ali bin Abi Talib RA untuk membayar pampasan kepada kabilah Bani Juzaimah, disebabkan Panglima Khalid bin al-Walid RA telah bertindak melampau terhadap kabilah tersebut. Bukan sahaja dibayar kepada manusia yang akibat salah laku itu, malah digantikan semula bekas makanan anjing yang telah dirosakkan.

Inilah rahsianya apabila kedatangan Islam ke negara-negara lain dianggap sebagai penyelamat bukannya penjajah. Keadilannya merupakan hujah akan kebenarannya yang lebih berkesan daripada kata-kata dan tulisan. Oleh itu, Islam dilihat kehebatannya kerana keadilannya, bukan kerana takutkan kuasanya ataupun paksaan dan kezalimannya.

Yakinlah bahawa fitnah yang mencipta Islamofobia ialah satu pembohongan dan ia pasti akan kecundang pada akhirnya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS 
Bertarikh: 28 Rabi‘ul Akhir 1443 / 3 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 3/12/2021

Tubuh 'bola sepak amputee', khianati perjuangan Palestin.

 

Pemain bola sepak Palestin menjalani latihan di bandar Gaza dalam usaha melayakkan pasukan ke Piala Dunia Amputee. - Foto AFP

Rakyat Palestin tubuh pasukan bola sepak 'amputee'

BANDAR GAZA: Pemain bola sepak di Semenanjung Gaza menggunakan tongkat dan kaki palsu untuk meregang, berlari dan menggelecek sebagai sebahagian latihan dalam usaha melayakkan pasukan itu ke Piala Dunia Amputee (individu yang diamputasi).

Pasukan itu berlatih di Stadium Palestin di bandar Gaza di bawah seliaan Jawatankuasa Bulan Sabit Merah Antarabangsa dengan 20 pemainnya dipilih dalam kalangan individu hilang anggota badan daripada lima kelab Gaza.

Pemain, Hassan Abu Kareem, 38, berkata kakinya dipotong selepas dia cedera dalam serbuan Israel ke atas kem pelarian Al-Maghazi, pada 2006.

"Hidup saya tak banyak berubah sejak cedera. Saya teruskan cita-cita dan impian hidup dan matlamat saya untuk mewakili Palestin serta membuat pencapaian untuk diri sendiri dalam bidang sukan," katanya.

Jurucakap Bulan Sabit Merah, Suhair Zakkout, berkata pemain sudah menetapkan standard baharu Palestin selepas pasukan tempatan pertama bermula dengan beberapa pemain pada 2019.

Katanya, pemain sedang menjalani latihan untuk perlawanan kelayakan dijadual diadakan di Iran, pada Mac 2022.

Pasukan itu akan mara ke Piala Dunia Amputee di Turki pada akhir 2022, jika melepasi pusingan kelayakan.

"Mereka hari ini mencipta sejarah apabila membentuk pasukan bola sepak kebangsaan pertama bagi orang yang menjalani amputasi," katanya.

Pengerusi Persatuan Bola Sepak Amputee Palestin, Fuad Abu Ghaliun, berkata pasukannya memohon menyertai Persekutuan Bola Sepak Amputee Dunia pada 2019, dan pencalonan mereka diterima awal tahun ini.

Jumaat adalah Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Antarabangsa.

Jurulatih Simon Baker, juga individu yang menjalani amputasi berkata dia bekerja dengan pemain sama seperti melihat bola sepak dimainkan orang biasa, bukannya OKU.

"Kami mahu orang ramai menghormati pemain dan melihat mereka seperti Ahmed atau sesiapa sahaja, bukannya individu cacat. Kami mahu menjadikan pemain ini wira," katanya yang mengasaskan Persatuan Bola Sepak Orang Amputee Ireland.

Pasukan Palestin berada di kawasan terpencil Semenanjung Gaza dengan dua juta penduduknya berada dalam sekatan Israel sejak dikuasai Hamas, pada 2007.

Ahmed Abu Nar, 34, berkata dia menggunakan tongkat akibat cedera ketika tentera Israel menindas penunjuk perasaan Gaza pada 2018.

"Saya menjadi individu berbeza selepas cedera. Hidup, matlamat cita-cita dan cabaran baharu bermula, kini saya sedang mencapai matlamat," katanya - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sudah berbeda, lain dulu lain sekarang. 

Ahmed Abu Nar, 34, berkata dia menggunakan tongkat akibat cedera ketika tentera Israel menindas penunjuk perasaan Gaza pada 2018. Itu dulu. Tetapi sekarang katanya...

"Saya menjadi individu berbeza selepas cedera. Hidup, matlamat cita-cita dan cabaran baharu bermula, kini saya sedang mencapai matlamat," katanya.

Iaitu matlamat menghalalkan penjajahan Israel ke atas bumi Palestin. Penjajahan, perampasan, pembunuhan, perogolan, dan pelanggaran hak asasi manusia.

Lagi contoh kebiadaban Israel bangsat itu..

Gambar Pogba&Dlallo yang diedit Zahavi sebelum dimuat naik diinstragram miliknya.

Bintang bola sepak Israel 'koyak..

London: Bekas pemenang kasut emas Liga Super China, Eran Zahavi mengedit gambar bintang Manchester United, Paul Pogba dan Amad Diallo yang mengibarkan bendera Palestin kepada bendera Israel di media sosial sekali gus mencetuskan kontroversi.

"Terima kasih," tulis pemain berusia 33 tahun itu di gambar yang sudah di edit.

"Kami menghargai sokongan anda di seluruh dunia," tambahnya.

Beratus penduduk terbunuh di Gaza sejak rejim Zionis Israel melakukan serangan ke atas Palestin dengan beberapa bintang bola sepak menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Gambar asal Pogba&Dlallo memegang bendera Palestin.

Pogba dan Diallo diberikan bendera Palestin oleh penyokong Manchester United yang kembali menyaksikan perlawanan di Old Trafford ketika seri 1-1 dengan Fulham.

Kedua-dua pemain beragama Islam itu mengibarkan bendera Palestin mengelilingi stadium sebelum Zahavi yang juga pemain antarabangsa Israel mengedit gambar berkenaan.

Zahavi yang kini beraksi bersama PSV Eindhoven selepas meninggalkan Guangzhou R&F pertengahan musim lalu, melakukan perkara sama ke atas gambar barisan pemain Leicester City selepas kelab itu memenangi Piala FA, Sabtu lalu.

Hamza Choudhury dan Wesley Fofana dilihat memegang bendera Palestin mengelilingi Stadium Wembley selepas menewaskan Chelsea 1-0.  Disiarkan pada: Mei 21, 2021 @ 1:26pm


Sila lihat sebelum ini..
Siri Praktikal Kesihatan:

Talkin buat PH di Sarawak

 

PILIHAN Raya Umum ke-14 tahun 2018 lalu telah menggegarkan landskap politik negara. Hasil janji-janji melangit dan bertalu-talu fitnah telah mengakibatkan Barisan Nasional buat pertama kali hilang genggaman kuasanya di Putrajaya termasuklah kebanyakan negeri lain di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dan Pahang.

Atas runtuhan BN itu bangkit kuasa baru politik melalui Pakatan Harapan iaitu gabungan beberapa parti blok pembangkang sebelumnya yang didominasi DAP. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika itu telah diangkat sebagai Perdana Menteri PH yang pertama.

Dengan kejayaan besar PH itu ramai yang menjangkakan sukar bagi mana-mana parti untuk mengganggu-gugat PH lagi dan mereka diyakini terus berkuasa untuk satu jangka waktu yang panjang. 

Tanggapan seumpama itu menaikkan nafsu politik PH sehingga mereka berani mengganggu-gugat banyak status quo yang selama ini dipertahankan termasuklah berkaitan kepentingan umat Melayu Islam. 

DAP yang punya kuasa dominan dalam kerajaan mula mengasak untuk memperkenalkan cita-cita perjuangannya dalam pentadbiran kerajaan. Namun tanpa diduga baru 22 bulan memanaskan kerusi-kerusi empuk di Putrajaya, kerajaan kucar itu roboh apabila Perdana Menterinya letak jawatan. Ini diikuti dengan jatuh pula kerajaan negeri-negeri mereka di Johor, Kedah, Perak dan Melaka.

Sebelumnya beberapa siri Pilihan Raya Kecil bermula di Cameron Highlands telah menyaksikan yang ‘grip’ politik PH rupanya masih rapuh dan mudah sahaja dipatahkan. Dan apabila terbentuk kerajaan baru di Putrajaya nasib mereka terus malang.

Kerajaan PH-Warisan di Sabah pula kecundang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020. PH langsung tidak dapat menyumbang untuk mempertahankan kerajaan negeri, malah mereka lebih merupakan liabiliti buat Warisan.

Kini di Melaka, PH kalah lagi. Jika pada PRU ke-14 tahun 2018 mereka merangkul negeri ini dengan memenangi 15 dari 28 kerusi. Dalam PRN Melaka baru-baru ini kemenangan di 15 DUN itu merosot teruk apabila PH hanya mampu bertahan di 5 DUN, iaitu 4 dimenangi DAP dan 1 PAN. PKR langsung tidak mampu menang walau satu kerusi.

Ternyata rakyat semakin menolak dan tidak lagi mesra PH sebagaimana pra PRU ke-14 dulu. DAP, PKR dan PAN mula diragui rakyat sehinggakan di Melaka komponen BN iaitu MCA dan MIC yang sebelum ini kalah teruk lantaran ditolak masyarakat bukan-Melayu pun mampu memenangi kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada mereka termasuk di kerusi-kerusi milik DAP.

Siri-siri kekalahan ini membuktikan rakyat sudah hilang kepercayaan pada PH dan tidak lagi menaruh kepercayaan pada mereka. Mungkin pengalaman 22 bulan berpayung di bawah PH memberi rakyat pengajaran bahawa pimpinan PH tidak kiralah sama ada dari DAP, PKR mahupun PAN semuanya tidak mampu memimpin dan memenuhi kehendak rakyat. 

Mereka sekadar ghairah dan galak menabur janji dan menuding jari tetapi apabila diberi peluang berkuasa mereka malah lebih teruk dari musuh-musuh politik mereka yang mereka kambing hitamkan.

Kerana itu di Sabah dan terbaru di Melaka , PH seakan tidak mampu bangkit kembali. Mungkin politik ekstrem, rasis dan tidak peduli pada sensitiviti rakyat memang tidak ada tempat di Malaysia. 

Begitu juga sikap melompat parti, rakyat di Melaka telah memberi isyarat bahawa mereka tidak dapat lagi menerima sikap atau tindakan ADUN yang melompat parti, kerana itu dalam PRN Melaka, semua calon yang melompat parti telah kalah.

Trend ini dijangka akan berulang dalam PRU ke-15 nanti termasuk di PRN Sarawak. Kini bulan Disember ini akan menyaksikan pula Pilihan Raya Negeri Sarawak. Ia berkemungkinan Pilihan Raya Negeri terakhir sebelum PRU ke-15 yang dijangka diadakan tahun 2022 nanti.  Soalnya mampukah PH, khasnya DAP dan PKR diterima oleh rakyat Sarawak setelah apa yang berlaku sebagaimana disebutkan?

Jika mereka mampu mencetuskan sesuatu yang luar biasa di Sarawak yang punya 82 kerusi DUN itu, barulah mereka punya masa depan khasnya dalam menghadapi PRU ke-15 nanti akan tetapi kiranya Sarawak juga sama sebagaimana Melaka dan lain-lain yang kita sebutkan bermakna PH bakal roboh dan hancur musnah.

Di Sarawak dalam PRN yang lalu DAP menang 7 kerusi manakala PKR 3. Malang buat PKR kini ketiga-tiga wakilnya iaitu dari Batu Lintang, Ba’kelalan dan Krian telah ‘lompat parti’ menyertai parti lain.

Sehingga saat ini tidak nampak ada lagi persefahaman antara parti-parti bawah gabungan PH untuk menghadapi PRN Sarawak ini. Seperti biasa DAP dan PKR berantakan berebut kerusi manakala PAN pula terpaksa berpuas hati dengan sisa-sisa kerusi yang tiada kepentingan buat DAP dan PKR.

Dengan trend kekalahan di Semenanjung dan Sabah, PH Sarawak juga bakal menempah ‘maut’ dalam PRN kali ini dengan GPS atau Gabungan Parti Sarawak iaitu parti pemerintah hari ini dijangka menang besar. Jika di Melaka pun calon-calon PH ada yang hilang wang pertaruhan, tidak mustahil rakyat Sarawak juga akan memberi hukuman yang sama buat mereka dalam PRN nanti.

Sebagaimana biasa, isu-isu panas dan ekstrem dimainkan oleh blok PH yang hanya memecahbelahkan antara rakyat di negeri ini selain mencetuskan kebencian dan ketegangan dengan Kerajaan Persekutuan, suatu kempen yang langsung tidak memberi manfaat buat sesiapa.

Gesaan atau ancaman untuk memisahkan Sarawak dari Malaysia pasti akan ditolak majoriti rakyat yang masing-masing telah yakin dan mahu bangkit membangun dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri. Sesungguhnya inilah peluang terbaik buat rakyat menghukum dan memusnahkan PH. 

GPS dengan sokongan Kerajaan Persekutuan perlulah berkempen dengan cara yang paling matang dan harmoni, semarakkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang lebih inklusif dengan menjanjikan masa depan yang lebih baik dan bermakna buat semua rakyat Malaysia termasuk anak-anak Sarawak.

Rakyat Sarawak perlu tunjukkan bahawa ‘Keluarga Malaysia’ perlu bebas dari pimpinan yang ekstrem dan porak-peranda seumpama Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mat Sabu. Apa yang kita perlukan adalah kerajaan dan pimpinan yang menepati janji, yang meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara di hadapan, yang bermoral dan penuh integriti. 

Di Sabah, rakyat telah membuat pilihan tepat demikian juga di Melaka dan kini giliran Sarawak. Jika dalam PRN ini rakyat Sarawak juga bangkit menolak PH, sekali lagi landskap politik Malaysia akan berubah dan kali ini isyarat yang diberikan adalah bahawa rakyat Malaysia mahukan ketenangan dan kestabilan. 

Kemenangan yang ‘solid’ di Sarawak bakal meranapkan PH dalam PRU ke-15 nanti dan dengan itu akan hilang terus penguasaannya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Malaysia bakal merehatkan Anwar, Guan Eng dan Mat Sabu. Dan ianya akan bermula dari PRN Sarawak. Selamat berpilihan raya rakan-rakan di Sarawak dan selamat mengundi.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1652875851718411/

Sila lihat sebelum ini..
Siri Praktikal Kesihatan:

Usul bahas kenaikan harga barang dihantar ke kamar khas

 

Diterbitkan:  Dec 2, 2021 3:48 PM Dikemaskini: 4:17 PM

Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang meminta supaya usul berkaitan kenaikan harga barang yang dibawa Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dibahas pada sesi persidangan Dewan Rakyat, dan bukannya dirunding secara terhad di Kamar Khas.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usul itu melibatkan kepentingan orang ramai memandangkan kenaikan harga barang pada masa ini menyebabkan rakyat menghadapi kesusahan.

“Isu melibatkan harga barang tidak melibatkan hanya KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tetapi kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, kementerian berkiatan ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Ini adalah krisis nasional, sebab itu ia tidak boleh dibincang di Kamar Khas kerana terbatas. Apakah ada jaminan bahawa keempat-empat menteri ini akan hadir di Kamar Khas?” katanya selepas Salahuddin mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat hari ini.

Salahuddin bangun membawa usul itu selepas sesi soal jawab hari ini dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon memutuskan usul itu dibincang di Kamar Khas petang ini.

Pandangan Anwar disokong beberapa Ahli Parlimen lain yang turut bangkit meminta keputusan bagi usul itu dirunding di Kamar Khas dikaji semula, antaranya Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mencadangkan supaya perbahasan peringkat Jawatankuasa untuk kementerian hari ini dihadkan sehingga 5.30 petang bagi membolehkan isu harga barang dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

Selain itu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) pula berkata perbincangan di Kamar Khas bersifat sehala kerana tiada aspek perbahasan dan perdebatan, manakala Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) meminta supaya cadangan Anwar dipertimbangkan kerana terdapat banyak aduan oleh rakyat dan peniaga kecil berhubung isu itu.

Menyokong perkara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) berkata perlunya ada ketetapan segera oleh Speaker bagi memberi gambaran bahawa institusi Parlimen sangat prihatin terhadap masalah dan kepentingan rakyat.

Terdahulu, Salahuddin menarik perhatian Dewan Rakyat dengan membacakan usul itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan beliau mengatakan telah menerima surat rayuan daripada seorang peniaga kecil pada Selasa lepas meminta ia diserahkan kepada KPDNHEP agar harga barang dapat diturunkan.

"Sehubungan itu, antara isu yang menjadi perhatian saya adalah perkara ini perlu disegerakan kerana isu kenaikan harga barang asas seperti dilaporkan akhbar rasmi, dan saya dengar rintihan orang ramai, serta isu ini juga dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen di Dewan ini, maka saya rasa perlu mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan," katanya.

Mohd Rashid kemudiannya memaklumkan usul itu boleh dirunding di Kamar Khas pada 2.30 petang ini kerana ia memenuhi tiga syarat iaitu melibatkan perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan. - Bernama

Komen Rakyat dalam blog ini..

1 comment:

Anonymous said...

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan)

Negara sedang menghadapi krisis inflasi dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan kenaikan harga makanan, keperluan asas serta kos bahan pembinaan. Sekali lagi kerajaan Persekutuan kelihatan lembab dan tidak mampu menangani krisis baru negara ini. Malah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi telah berubah-ubah pendirian dengan cuba lari daripada kenyataannya sendiri untuk bertanggungjawab sekiranya beliau tidak dapat memulihkan kenaikan harga barang keperluan asas menjelang 9 Disember.

Malaysia tidak mampu untuk gagal lagi berikutan kegagalan sebelum ini dalam menguruskan krisis berkembar kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan angka kematian yang mengerikan sebanyak 30,425, dan 2,626,879 jangkitan pada 30 November 2021. Walaupun Mahiaddin Md Yassin telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, muka yang sama yang bertanggungjawab terhadap kerajaan yang gagal tersebut masih berada di dalam Kabinet sekarang. Kini berlakunya krisis negara baharu yang menyebabkan harga barang melambung tinggi ke tahap yang tidak pernah berlaku semasa PH memerintah.

(Ini statement kerajaan hancing. Menjuarai arak dan judi, menentang Islam dan jawi, kemudian perlekeh org lain.)

Kesihatan: Kebas kaki tangan amaran gangguan saraf

 

PRAKTIKAL KESIHATAN

RASA kebas dan mencucuk pada anggota badan sering dianggap sebagai masalah penuaan menyebabkan ia terabai dan tidak menerima rawatan sewajarnya.

Hakikatnya rasa kebas dan mencucuk terutama pada kaki dan tangan adalah antara gejala atau petanda seseorang mengalami masalah sistem saraf periferal (PNS) yang fungsinya terjejas dikenali sebagai periferal neuropati.

Periferal neuropati menyebabkan proses penghantaran sesuatu maklumat kepada otak tersekat dan boleh mengganggu kualiti kehidupan pesakit.

Perunding Perubatan & Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Hiew Fu Liong, berkata malangnya tahap kesedaran mengenai PNS dalam kalangan orang ramai termasuk doktor sangat rendah iaitu daripada 100 pesakit, hanya 43 saja menjalani saringan kesihatan saraf mereka.

Beliau berkata, pesakit selebihnya tidak menjalani saringan kerana mereka tidak mengetahui mengenai PNS atau tidak ditanya oleh doktor.

- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Akibatnya ramai menyangka tiada rawatan untuk masalah dihadapi dan memilih rawatan alternatif yang tidak terbukti kesannya seperti duduk di atas kerusi elektrik atau merendamkan kaki dengan air panas sehingga melecur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Pengurusan Saraf Sihat Optimum-Mencari Bahagian Yang Hilang’, baru-baru ini.

Dr Hiew berkata punca neuropati tidak diketahui tetapi terdapat beberapa keadaan yang mana saraf boleh rosak.

Katanya, diabetes adalah punca utama neuropati membabitkan lebih 50 peratus pesakit mengalaminya selain gaya hidup kurang sihat seperti minuman beralkohol, merokok dan mereka yang tidak mengamalkan makan sayuran.

Selain itu katanya, faktor penuaan juga meningkatkan risiko mengalami kerosakan saraf dengan 8.1 peratus penghidap berusia 40 sehingga 49 tahun dan meningkat kepada 34.7 peratus dalam kalangan populasi berusia 80 tahun ke atas.

“Jenis pekerjaan yang berulang seperti menaip, memasak, duduk terlalu lama, trauma akibat kemalangan, jatuh atau kesan kecederaan sukan boleh meningkatkan risiko kerosakan saraf.

“Kekurangan zat seperti vitamin B juga boleh menjadi punca selain genetik dan kesan pengambilan ubat tertentu,” katanya.

Ujian saraf boleh dilakukan menerusi tusukan pin atau jarum pada bahagian kaki untuk melihat tindak balasnya atau menerusi soalan berkaitan simptom yang dialami.

Pengurus Kanan Perubatan Global Proctor & Gamble Health International, Dr Inna Eiberger, berkata vitamin B1, B6 dan B12 penting untuk mencegah kerosakan saraf dan merawatnya.

Antara sumber vitamin ini boleh didapati dalam bijirin, daging, sayuran, kentang, susu dan produk tenusu, buah-buahan, kekacang, ikan dan telur.

“Semua vitamin ini boleh didapati dalam makanan seharian yang seimbang tetapi tidak semua populasi di dunia dapat jumlah yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 1.4 miligram (mg) sehari dengan jumlah keseluruhan melebihi 300 mg.

“Kekurangan vitamin B boleh menyebabkan seseorang rasa kepenatan, lemah otot, mengalami sawan malah memberi kesan ke atas mental seperti kemurungan,” katanya.

INFO: Sistem saraf sihat:
Memberikan reaksi kepada keadaan sekeliling

Sistem saraf mengandungi:
1. Sistem Sentral: otak dan saraf tunjang
2. Sistem saraf periferal (PNS): tangan, kaki dan keseluruhan tubuh

Rawatan dan pencegahan:

1. Vitamin:
- B1: memberi tenaga kepada sel saraf, merangsang saraf dan sintesis pemancar kepada otak
- B2: Sintesis kunci isyarat molekul di dalam sistem saraf: penghantaran neuron
- B3: pematangan dan pertumbuhan semula sel saraf dan metabolisme sel saraf.

Kaedah di rumah:
1. Sapu minyak untuk menghangatkan tangan atau kaki.
2. Jangan biarkan tangan dan kaki terdedah terus kepada pendingin hawa
3. Hangatkan badan dengan selimut atau sarung tangan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sedikit tambahan maklumat mengenai perubatan di zaman Rasulullah SAW.

BEROBAT DENGAN MADU, BEKAM, DAN BESI YANG DIPANASKAN

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

"Obat itu ditemukan dalam tiga hal: Meminum madu, pisau bekam dan besi yang dipanaskan. Tetapi saya melarang umatku dari besi yang dipanaskan"(H.AlBukhari: 10/116).

Allah Subhanahu wa Ta’ala Berfirman mengenai keistimewaan madu:

"Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan." (Qs. An-Nahl ayat 69).

Sedangkan dalam sahih Bukhari dan Muslim disebutkan bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam pernah berbekam, kemudian beliau memberi upah kepada orang yang membekamnya. (HR.Al-Bukhari: 10/124 dan Muslim: 1202).

Juga dalam Ash-Shahihain disebutkan bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: "Sebaik-baik yang kalian gunakan untuk berobat adalah Hijamah (Bekam)"(HR.Al-Bukhari: 10/126, Muslim: 1577).

Sedangkan berobat dengan besi yang dipanaskan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam telah menyebutkan dalam sebuah hadits:

"Saya tidak suka berobat dengan besi yang dipanaskan"(HR. Al-Bukhari: 10/130).

Beliau berkata demikian, sebagai isyarat bahwa seseorang harus menunda berobat dengan besi panas. Ia tidak boleh berobat dengannya sampai benar-benar terpaksa. Dan seharusnya orang yang terserang penyakit tidak buru-buru berobat dengan besi tadi, karena berobat dengannya menimbulkan rasa sangat pedih, yang kadang lebih pedih dari penyakit yang diderita itu sendiri.

Sumber : Mengobati Penyakit dengan Al-Qur'an dan Sunnah (Syaikh Abdul Majid Bin Abdul Aziz Az-Zahim)


Sila lihat sebelum ini..
Siri Praktikal Kesihatan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails