Friday, February 18, 2022

Siri TV 30 episod pejuang Islam, Hamas memerangi Israel..

 

HALAMAN HIBURAN

Siri TV Hamas memuliakan perjuangan menentang Israel

BEIT LAHIYA, Genting Gaza: Pejuang Palestin bergegas keluar dari sebuah terowong dan menyerang sebuah kereta kebal Israel pada siang hari ketika tembakan dan letupan bergema di seluruh sempadan Gaza.

Ini bukan satu lagi perang yang meletus antara penduduk Palestin dan regim zionis, Israel tetapi merupakan adegan aksi dalam satu babak yang dirakamkan untuk siri TV, Qabdat al-Ahrar (Fist of the Free) yang diterbitkan oleh saluran media, Al-Aqsa di bawah kendalian  Hamas. 

Siri TV 30 episod itu menampilkan kumpulan pejuang Islam, Hamas sebagai wira yang memerangi pencerobohan tentera Israel yang lebih lengkap bersenjata. 

Plotnya berkisar tentang operasi pencerobohan Israel pada tahun 2018 di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian tujuh pejuang Hamas dan seorang pegawai tentera Israel. Sejak 2008, pejuang Hamas sudah empat kali terlibat dalam medan perang menentang kekejaman tentera Israel di bumi Palestin itu.

Namun tidak seperti drama terbitan Israel, Fauda yang menampilkan plot yang lebih kurang sama, Fist of the Free sebaliknya berkemungkinan tidak akan disiarkan di Netflix.

Ia berdasarkan kepada fakta bahawa Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza, sebuah wilayah yang dianggap sebagai miskin dengan populasi berjumlah 2.3 juta penduduk itu  dilabelkan sebagai organisasi pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. 

Fist of the Free menggunakan khidmat pelakon dalam kalangan warga Palestin untuk melakonkan watak-watak bangsa Israel.

Fist of the Free merupakan filem (untuk siaran TV) terbaharu diterbitkan untuk siaran Al-Aqsa yang telah banyak membuat pelaburan dalam sektor penerbitan filem di tengah-tengah sekatan Israel yang melumpuhkan Gaza sejak kumpulan pejuang Islam itu merampas kuasa pada 2007.

Satu lagi fakta yang membezakan penerbitan siri TV Hamas daripada Israel ialah dari segi penampilan barisan pelakon.

Siri TV yang dihasilkan Israel sering menampilkan pelakon daripada golongan minoriti Arab-Israel di negara itu, namun produksi di Gaza sebaliknya tidak menggunakan khidmat sebarang pelakon Israel.

Barisan pelakon watak pejuang Islam Hamas dalam satu babak aksi Fist of the Free dirakam di lokasi penggambaran siri TV itu di Beit Lahiya, di utara Genting Gaza pada 3 Februari 2022. (FOTO AP)

Ini menyebabkan studio penerbitan Hamas terpaksa merekrut pelakon dalam kalangan warga Palestin bagi melakonkan watak-watak Israel, yang mendedahkan mereka kepada bahaya dikecam oleh penduduk Palestin di dunia realiti.

Salah seorang daripada pelakon terbabit ialah Jawad Harouda, berusia awal enam puluhan yang memiliki suara serak-serak  basah. Dia melakonkan watak ketua perkhidmatan keselamatan domestik Israel, Shin Bet Israel dalam Fist of the Free.

Salah satu babak aksi perang mencemaskan dalam Fist of the Free.
Menurut Harouda, bagi menghidupkan karakter lakonannya itu, dia ‘menyerapkan dirinya ke dalam skrip’ filem itu.

“Sesetengah wanita pasti akan melihat saya dan berdoa agar saya mati. Namun, saya akur dan gembira apabila ada yang membuat kecaman. Itu bermakna lakonan saya berjaya menghidupkan watak lakonan saya itu,” ujarnya.

Selain itu, dalam produksi Gaza, watak-watak Israel berdialog dalam bahasa Arab dan atas permintaan mufti atau ahli perundangan Islam Hamas, pelakon-pelakon wanita yang melakonkan karakter bangsa Yahudi perlu memakai hijab.

Fist of the Free bakal  ditayangkan menjelang bulan Ramadan yang akan disambut umat Islam  bermula 3 April ini. – Arab News

DAP, hati-hati.. 'kes LTTE tu patut diteruskan siasatan'. -Mufti Perlis.

 

Mufti ingatkan orang Islam jangan sokong ekstremis

‘Dr MAZA Beri Amaran Kepada Ramasamy DAP-Dakwaan Penculikan 3 Kanak-kanak Oleh Pihak Berkuasa Agama Perlis’.

MUFTI Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kesal dengan tindakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, yang sentiasa menunjukkan permusuhan dengan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang-orang Islam yang mempunyai aqidah yang betul untuk tidak terlibat menyokong kumpulan pelampau seperti ini.

Beliau juga memberi amaran kepada kumpulan pelampau ini supaya jangan memainkan api perkauman jika tidak mahu menyesal di kemudian hari.

Tegas Dato’ Dr Mohd Asri, “Dan Ramasamy, tuan-tuan baca kenyataan-kenyataan dia memang menyakitkan hati kita sebagai satu masyarakat yang harmoni. Apa pemikiran dia duduk dalam negara majoriti orang Islam, cara, bahasa, cakap, sikap dia, sentiasa menunjukkan permusuhan dia dengan masyarakat Islam.”

“Kita bukan kempen pilihan raya, kita tak terlibat dengan pilihan raya, tapi tidak wajar bagi mana-mana orang Islam boleh terlibat menyokong orang-orang yang seperti ini kalau dia ada aqidah yang betul. Kumpulan ini pelampau.”

“Saya bagitau ini bukan soal kempen pilihan raya, tapi pihak DAP hati-hati dengan isu-isu yang awak bangkitkan. Jangan main api perkauman yang akhirnya semua orang akan menyesali apa yang mereka buat.”

“Jangan bakar satu benda yang akhirnya akan membakar rumah kamu jua. Nanti kamu akan menuai apa yang kamu lakukan. Jangan tangan kamu berani menyincang jika bahu kamu tak mampu menanggung.”

“Dan jangan orang Islam terlibat dengan kumpulan-kumpulan ekstremis yang seperti ini, yang sentiasa mencari jalan yang tidak harmoni di dalam menentukan ataupun jalan untuk kita harmonikan kehidupan negara yang majmuk ini.”

Dato’ Dr Mohd Asri berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang disiarkan di mukabuku Channel Dr Mazayang bertajuk ‘Dr MAZA Beri Amaran Kepada Ramasamy DAP-Dakwaan Penculikan 3 Kanak-kanak Oleh Pihak Berkuasa Agama Perlis’.

Ia adalah sebagai reaksi kepada kenyataan Dr P Ramasamy yang mendakwa kes pengIslaman tiga anak ibu tunggal bernama Loh Siew Hong di Pulau Pinang berpunca dari penculikan dan paksaan oleh pihak berkuasa agama Perlis.

Mengulas lanjut, Dato’ Dr Mohd Asri berkata Dr P Ramasamy tidak sepatutnya cuba mencetuskan isu perkauman serta agama sebaliknya boleh menghubungi beliau untuk bertanya hal sebenar.

“Dia (Ramasamy) bangkitkan padahal kalau dia mahu boleh semak dan hubungi. Tapi mereka buat tuduhan dan bangkitkan isu perkauman serta agama, kononnya culik, perkataan culik dia guna, macam seolah-olah paksa masuk Islam.”

“Saya sebut beberapa kali kepada kerajaan bahawasanya individu Ramasamy ni satu individu yang kita amat bimbang kewujudan dia dalam negara ni, sebab tu kes LTTE tu patut diteruskan siasatan, termasuk beberapa orang tokoh-tokoh DAP ni, yang kita tahu zaman masa depa ada kuasa sikit hari tu bukan main sakan depa.”

Tegas Dato’ Dr Mohd Asri, tiga anak tersebut dijaga dan dibantu oleh pihaknya setelah ditinggalkan terbiar oleh ibu mereka, dan mereka memeluk agama Islam secara sukarela dan bukannya dipaksa. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

Temuan dengan Duta Qatar. Afghan, Islam kembali bersinar..

1. Utusan Khas PM adakan pertemuan dengan Duta Qatar

KUALA LUMPUR: Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengadakan perbincangan lanjut dengan Duta Qatar ke Malaysia, Fahad Mohd Y. Kafoud semalam.

Pertemuan tersebut berkisar hasil dari susulan lawatan kerja beliau ke Qatar bagi membincangkan peranan yang perlu diambil oleh Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutamanya dalam bidang pendidikan, kemanusiaan dan ekonomi.

“Insya-Allah tindakan susulan akan diambil oleh pemegang-pemegang taruh bagi menjayakan usaha murni ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau sebelum ini telah menyempurnakan lawatan kerja selama empat hari ke Qatar pada 31 Januari hingga 4 Februari  dengan mandat dan persetujuan Perdana Menteri.

Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah pada 4 Februari lalu menyatakan tujuan lawatan itu adalah untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-Qatar yang sedia terjalin serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang lawatan di Doha, Tuan Guru Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama seperti Perdana Menteri, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani, Menteri Perdagangan dan Industri, Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani, Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Lolwah binti Rashid Al-Khater.

“Fokus utama lawatan ini adalah untuk menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusian, di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat bersama,” ujar kenyaatan itu lagi. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

2. Islam kembali menyinar di bumi Afghanistan

SEJAK Ogos 2021, Bumi Afghanistan telah kembali dipimpin oleh kumpulan Islam Taliban apabila pihak Amerika Syarikat tidak lagi memberi sokongan ketenteraan kepada Kerajaan Afghanistan di bawah kepimpinan Ashraf Ghani. Kemenangan Taliban mengusir Amerika Syarikat itu telah memberi tamparan yang hebat kepada musuh Islam di seluruh dunia.

GAMIS memuji usaha Kerajaan Malaysia melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ke arah mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Afghanistan. YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Afghanistan ke Malaysia, TYT Dr Moheb Rahman Spingar hasil dari susulan lawatan kerja YB Tan Sri ke Qatar bagi membincangkan peranan Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutama dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan. 

Melihat perkembangan yang berlaku di Afghanistan setelah hampir 6 bulan bertukar kerajaan, GAMIS melihat usaha ke arah membaikpulih ekonomi sedang giat dijalankan oleh Taliban. Namun, hal ini akan lebih mudah dijayakan jika sekatan ekonomi dan pembekuan aset yang merupakan tulang belakang ekonomi Afghanistan ditamatkan. Dalam hal ini, negara-negara Islam seharusnya berganding bahu bagi memastikan usaha ini berjalan dengan baik demi menjaga kebajikan rakyat Afghanistan. 

Seawal peralihan tampuk kepimpinan di Afghanistan, kerajaan baharu Afghanistan telah menegaskan bahawa mereka akan menjadikan Islam sebagai sistem negaranya. Hukum hudud, perundangan Islam dan cara hidup Islam termasuk pakaian kebangsaan Afghanistan kembali diamalkan khususnya dalam acara rasmi kerajaan. Islamofobia juga tidak lagi menjadi topik hangat yang dibicarakan dalam kalangan masyarakat bukan Islam di sana. 

Oleh itu, GAMIS melihat usaha untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara perlu diteruskan melalui program bantuan kemanusiaan ke arah memastikan kebajikan saudara seagama kita di sana terpelihara. Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W:

‎مَثَلُ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌فِي ‌تَوَادِّهِمْ، ‌وَتَرَاحُمِهِمْ، ‌وَتَعَاطُفِهِمْ ‌مَثَلُ ‌الْجَسَدِ ‌إِذَا ‌اشْتَكَى ‌مِنْهُ ‌عُضْوٌ ‌تَدَاعَى ‌لَهُ ‌سَائِرُ ‌الْجَسَدِ ‌بِالسَّهَرِ ‌وَالْحُمَّى.

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman (umat Islam) dalam hal saling menyayangi, bersimpati dalam kalangan mereka dan mengasihi laksana hubungan anggota dalam satu jasad, apabila salah satu anggota itu kesakitan, maka seluruh anggota jasad turut berjaga dan demam (merasai kesakitan).”

(Riwayat Muslim 2586)

Sebagai umat Islam, kita tidak sewajarnya termakan dengan berita palsu rekaan media Barat yang hanya memotretkan cerita buruk pasca peralihan kuasa yang berlaku di Afghanistan. Sebaliknya, kita harus sentiasa memberi sokongan terhadap segala usaha ke arah memartabatkan Islam di muka bumi ini. 

Akhir kata, GAMIS menyeru seluruh umat Islam untuk sentiasa mendoakan agar kebangkitan Islam di Afghanistan dapat memberi kesan yang positif kepada negara-negara Islam yang lain termasuklah Palestin, Bumi Baitul Maqdis kita tercinta.

“Membangun Kesatuan Mahasiswa”

MUHAMMAD YUSUF NAZARUDDIN

Timbalan Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)HARAKAHDAILY  18/2/2022

3. Apa salah kami perlu bayar pampasan mangsa 9/11?

KABUL: Sentimen umum di Afghanistan ialah Amerika Syarikat (AS) telah merampas wang milik 38 juta rakyat Afghanistan terhadap kesalahan yang tidak mereka lakukan.

Bagi Rizakullah, 35, mengambil wang daripada rakyat Afghanistan dengan alasan untuk membayar pampasan keluarga mangsa 9/11 ketika Afghanistan dilanda kebuluran adalah perbuatan keji. Buruh di ibu negara Afghanistan bertanya mengapa penduduk negaranya dihukum.

“Untuk mencari 100 Afghanis (AS$1/RM4.2) sehari pun sangat susah. Saya tidak mampu membeli roti kosong untuk keluarga.

“Kami diasingkan dari tempat lain di dunia ini dan dihukum terhadap jenayah yang tidak kami lakukan,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, Presiden AS, Joe Biden, menandatangani perintah mencairkan aset Afghanistan bernilai AS$7 bilion (RM29.3 bilion) yang kini dibekukan di AS, tetapi diasingkan dengan sebahagian untuk membayar pampasan keluarga mangsa 9/11 dan sebahagian lagi untuk bantuan kemanusiaan Afghanistan.

AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) diasingkan untuk mahkamah di AS menentukan sama ada boleh digunakan bagi menyelesaikan tuntutan keluarga mangsa 9/11. Tindakan ini akan memufliskan Bank Pusat Afghanistan dan meletakkan negara yang sedia miskin dalam malapetaka ekonomi.

Mengikut Bank Dunia, kadar pendapatan di Afghanistan merosot hingga 18 peratus dalam beberapa tahun lalu dan menjelang pertengahan tahun ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa menjangkakan 900,000 orang akan kehilangan pekerjaan. 

Sekatan AS terhadap Afghanistan sejak kumpulan Taliban mengambil alih pemerintahan Ogos tahun lalu, juga menghalang usaha pertubuhan antarabangsa membantu rakyat Afghanistan. Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan berpendirian bahawa aset berkenaan milik Afghanistan dan patut dipulangkan kepada negara itu.

“Simpanan Bank Pusat Afghanistan bukan milik kerajaan atau kumpulan tertentu, tetapi hak rakyat Afghanistan. Ia hanya digunakan untuk perlaksanaan dasar matawang, memudahkan perdagangan dan meningkatkan sistem kewangan negara,” kata jurucakap kerajaan, Suhail Shaheen.

Katanya, membekukan atau mencairkan aset secara sebelah pihak untuk apa tujuan pun adalah tidak adil serta tidak boleh diterima oleh rakyat Afghanistan. Nasair Khan yang berhijrah dari Khogyani di daerah Nangarhar ke sini, lapan tahun lalu dan kini bekerja sebagai pekerja binaan bergaji hari, tidak dapat mencari kerja yang sesuai.

“Wang itu milik kami. Jika tidak dapat, kami akan terus sengsara,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia dan penganalisis memberi amaran bahawa AS$3.5 bilion yang diketepikan untuk bantuan kemanusiaan tidak cukup untuk membaiki keadaan di Afghanistan melainkan keadaan ekonomi dipulihkan.

“Mengagihkan AS$3.5 bilion untuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Afghanistan kelihatan pemurah, tetapi perlu ingat bahawa seluruh AS$7 bilion dari sudut undang-undang adalah milik rakyat Afghanistan,” kata Human Right Watch, minggu lalu.

Kembali di Kabul, Inzar Gul dari daerah Kapisa yang mencari kerja di Kabul apabila ditanya sama ada dia tahu mengenai keputusan Biden: “Dunia sedang memerhati kami dihalang mendapat keperluan asas: makanan, pendidikan, pekerjaan, kesihatan. Perang memusnahkan kami.

“Apa salah kami? Kenapa kami perlu bayar?” – TRTWorld

Lagi pemimpin PAS wakaf tanah prihatin rakyat, DAP ada begitu?

 

Mursyidul Am wakaf tanah bina Kompleks Ibnu Aqil

KANGAR: Pembinaan Kompleks Ibnu Aqil di Kampung Kubang Siput, Jalan Kodiang, Pauh fasa pertama kini hampir 90 peratus siap hasil sumbangan orang ramai terutamanya ahli PAS.

Kompleks itu turut menempatkan Maahd Tahfiz Al-Quran Ibu Aqil (MATIQ) yang menggabungkan pengajian tahfiz, diniah dan akademik.


Pengerusinya Ruselie Eizan berkata, penubuhan kompleks itu hasil cetusan idea Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin bagi memperbanyakkan sekolah aliran agama.

Katanya, tanah terbabit diwakafkan Mursyidul Am dan keluarganya sebanyak lima relong.

“Nama Ibnu Aqil diambil sempena nama datuk Ustaz Hashim iaitu Hashim bin Jasin bin Aqil. Majlis pecah tanah pembinaan kompleks itu disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 19 Januari 2018,” katanya di sini.

Menurutnya juga pembinaan sekarang diteruskan fasa kedua yang akan menempatkan pendidikan rendah iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), sekolah rendah dan pondok moden.

Kata beliau fasa kedua memerlukan dana kira-kira RM9 juta termasuk membina rumah mudir, guru, staf, dewan makan, pusat sukan, asrama pelajar, padang permainan dan tapak pertanian.

“Oleh itu, saya sebagai pengerusi merayu sumbangan daripada para dermawan bagi menyiapkan pembinaan fasa kedua,” katanya.

Beliau juga berkata, MATIQ bakal menerima 20 pelajar lelaki sebagai permulaan pada Mac depan.

Sumbangan derma boleh disalur melalui akaun Maybank (559012322588) atas nama Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lagi pemimpin PAS prihatin rakyat wakaf tanah, DAP ada begitu?

Pinjam RM100,000 bantu rakyat, Ada ke pemimpin DAP begini?


Kak Lah pinjam RM100,000 demi bantu rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkongsi pengalamannya pernah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 dan memperuntukkan 85 peratus daripada gajinya untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, semasa menjadi Ahli Parlimen dalam blok pembangkang, beliau dan rakan Ahli Parlimen pembangkang lain tidak menerima sedikitpun wang peruntukan daripada kerajaan ketika itu.

Justeru, beliau terpaksa berdepan dengan kekangan peruntukan untuk disalur kepada rakyat yang memerlukan.

“Masa itu kita pembangkang, daripada 2000 hingga 2006 saya merupakan senator daripada pembangkang. Kemudian, berterusan daripada 2008 sehingga 2019 sebagai pembangkang,

“Ketika itu, satu sen pun peruntukan tidak diberikan kepada ahli parlimen, kita hanya dapat elaun gaji kita, itu sahaja. Daripada kerajaan persekutuan masa itu, semua ahli parlimen pembangkang, satu ringgit pun tidak dibagi peruntukan,” kongsinya.

Beliau berkongsi pengalaman tersebut dalam Program Diari Inspirasi anjuran Inspirasi Muslim yang ditayangkan secara langsung melalui Facebook Live pada Selasa.

Menurut Siti Zailah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lah, apabila beliau turun padang melihat kesusahan rakyat, pelbagai permohonan bantuan diterima pihaknya.

Katanya, antara bantuan yang sering diminta oleh rakyat adalah peruntukan untuk atap zink yang bocor, yuran sekolah, bantuan kelengkapan sekolah, keperluan kerusi roda dan banyak lagi.

Justeru, atas rasa tanggungjawab untuk memenuhi keperluan dan permintaan rakyatnya, Siti Zailah tekad memperuntukkan 85 peratus daripada gaji yang diterimanya untuk memenuhi keperluan rakyat.

“85 peratus daripada gaji saya, saya bahagikan untuk rakyat, beri kepada rakyat. Hanya 15 peratus saya guna untuk diri sendiri.

“Sebab itu saya berbelas tahun jadi wakil rakyat, satu gelang pun saya tiada, satu cincin pun saya tiada. Saya korban gaji saya untuk rakyat,” kongsinya.

Menurutnya lagi, sebagai seorang pemimpin, beliau tidak berputus asa dengan tugasnya kerana berpegang teguh bahawa perjuangan yang dibawa adalah kerana Allah SWT, bukan kerana manusia.

Kongsinya lagi, beliau pernah membuat pinjaman peribadi berjumlah RM100,000 demi memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat.

“Ada suatu ketika, disebabkan terlalu banyak orang minta bantuan, ketika ini menghampiri Ramadhan, saya buntu bagaimana untuk terus membantu rakyat.

“Ketika itu, saya berjumpa dengan seorang rakan yang bekerja dengan Bank Islam, saya mohon untuk buat pinjaman peribadi berjumlah RM100,000.

“Dia tanya untuk apa Kak Lah hendak buat pinjaman? Hendak beli tanah ke? Saya jawab, ‘Tidak, saya tidak beli harta. Duit ini saya hendak guna untuk bantu rakyat miskin.

“Terkejut pegawai bank, sebab tiada orang buat begitu, tetapi saya kata, ‘Tolonglah bantu saya, saya bayar sikit-sikit bulanan,” kongsinya.

Kata Siti Zailah lagi, beliau mengambil tempoh sepanjang 10 tahun untuk membayar kembali wang pinjaman tersebut.

Katanya, menjadi seorang pemimpin bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya ia satu tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah SWT kelak. – HARAKAHDAILY 18/2/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pinjam RM100,000 demi bantu rakyat, sepatutnya diberi penghargaan sebagai pemimpin prihatin contoh, yang mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.. 

Ada ke pemimpin DAP yang bermulut lebar begini?

'Kris diketepikan', Ngapa sikh boleh berserban?

 

Komen Rakyat dalam blog ini..

2 comment:

Anonymous said...

Sudah tiba masanya parti cop kris diketepikan. Rasuah melata dlm parti itu dan pandai bermuka muka. Abg Ri yg terkenal tegas rupanya ada skandal dlm kes trowong eng guan. Konon utk tahfiz pattani. Peralat agama utk sucikan rasuah eng guan. Abg Syam guna aes utk kaut komisyen dari harga aes yg berganda ganda dari harga sebenarnya. Peralat keselamatan jalan raya utk ambil rm dari aes. Wak seperti dah sedia maklum 47 kes dan ajib dgn kes 1mdb yg terkenal seantero dunia.

Mat bangla dipertikaikan kejujuran dlm kes vaksin. Ramai yakin ada huluran rm di balik tirai suntikan. Mat selan pulak dlm senyum meleret juga diragui senyumannya. Senyuman ada makna. Pendek kata setiap lapisan dlm kris ada niat rasuah dlm sanubari masing masing. Terbaru statement abg syam langgar sop bukan jenayah, dianggap hal remeh. Boleh ker ada double standard antara ahli parti dan rakyat marhaen.

Tumbang kris, negara maju tanpa rasuah dan bongkak sombong.

Anonymous said...

Perkauman oleh yg non muslim. Hijab, sari, serban apa bezanya dalam konteks patuhi etika berpakaian mengikut fahaman agama masing masing. Ngapa sikh boleh berserban, hijab pulak dilarang. Kolot, kuno dan sempit pemikiran penganut agama selain Islam. Di malaysia, tiada larangan tentang pakaian atau berhala atau makan babi atau sambutan agama atau anut sebarang jenis agama. Islam mengamalkan keterbukaan. Yg dilarang adalah berjudi, arak, membunuh, homoseks, lesbian, womenizer, rasuah, salah guna kuasa dsb.

Islam makan lembu tak makan babi, hindu tak makan lembu, cina makan babi dan lembu. Tidak salah cina nak makan makanan kesukaannya iaitu babi. Tapi jangan ganggu isu ruu355 yg tiada kaitan dengan fahaman cina.

Eng guan nak kontrol org cina, tiada masalah. Tapi jangan nak kontrol fahaman dan budaya org Islam. Berpada pada dgn berpolitik. Jangan cetus politik perkauman sempit legasi komunis.

Thursday, February 17, 2022

Jangan jadikan Eropah X aman bagi Islam, & kerjasama KASA-Jepun.

 

1. Turki, Pakistan dan Malaysia, dipuji gigih lawan Islamofobia

ISTANBUL: Turki, Pakistan dan Malaysia, mendapat pujian antarabangsa kerana usaha tanpa henti melawan Islamofobia dan jenayah kebencian anti-Islam.

Timbalan Menteri Keadilan Turki, Yakup Mogul, berkata usaha menangani isu itu memerlukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bermuafakat, meningkatkan kolaborasi dan menggunakan platform sedia ada dengan lebih berkesan.

Katanya, negara Islam perlu menyokong mana-mana pihak yang menghadapi diskriminasi di seluruh dunia dengan Turki menawarkan diri untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan anggota OIC.

“Jika kita tidak mengambil tindakan, keadaan akan menjadi semakin teruk,” katanya merujuk kepada pendudukan haram Yahudi di Palestin dan kezaliman rejim Myanmar terhadap penduduk Islam etnik Rohingya.

Beliau berkata demikian kepada peserta Seminar Antarabangsa Mengenai Pencabulan Hak Asasi Manusia Yang dihadapi Umat Islam. Program dua hari di sini, dianjurkan bersama oleh Kementerian Keadilan dan Luar Negara Turki serta Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC).

Mengulas kejadian Islamofobia di Eropah, katanya: “Kita tidak boleh membenarkan Eropah menjadi tempat yang tidak aman kepada orang Islam.

Pengerusi IPHRC, Haci Ali Acikgul, pula berkata blok Islam dan pertubuhan hak asasi manusia perlu lantang mengecam tindakan bermotifkan kebencian terhadap orang Islam di seluruh dunia seperti di Kashmir, Nagorno Karabakh, India, Sri Langka, Perancis, New Zealand, Republik Afrika Tengah dan Myanmar.

Katanya, Islamofobia telah menjadi retorik sistematik anti-Islam oleh ekstremis sayap kanan untuk mencapai matlamat politik mereka.

“IPHRC telah mengemukakan strategi anti-Islamofobia yang lengkap kepada OIC, tetapi berdasarkan skala cabaran yang besar, usaha OIC dan IPHRC sahaja tidak mencukupi.

“Ini memerlukan kerjasama menyeluruh oleh negara, masyarakat sivil, cerdik pandai dan media,” katanya yang memuji kepemimpinan Turki, Pakistan dan Malaysia kerana menyediakan hala tuju dan dorongan politik yang diperlukan terhadap usaha berterusan pada skala global.

Acikgul berkata, Turki menyokong usaha bersama OIC untuk menunjukkan imej Islam yang sebenar, terutama menyebarkan keamanan dan toleransi.

Katanya, kajian menunjukkan pergerakan sayap kanan dan anti-Islam mendapat tempat di seluruh dunia, terutama di Eropah dengan krisis pelarian telah mencetuskan semangat nasionalisme di benua itu. – TRTWorld

2. Kunjungan Duta Jepun rintis kerjasama lebih bermanfaat 

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertemuan beliau dengan Duta Jepun ke negara ini, Takahashi Katsuhiko akan merintis kerjasama lebih erat.

Beliau menerima kunjungan duta tersebut dan delegasi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), hari ini.

“Alhamdulillah, saya menerima tetamu Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko dan delegasi di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), pagi tadi,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, bagi pihak KASA, pihaknyamengalu-alukan kehadiran beliau dan bersetuju menjalinkan kerjasama dalam bidang pengurusan alam sekitar, perubahan iklim dan pengurusan air.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, banyak perkara yang telah dibincangkan pada pertemuan itu. Beliau berkata, antaranya mengenai pengurusan sumber air, risiko bencana, model sistem radar cuaca dan pencemaran plastik marin.

“Saya sangat berbesar hati agar pertemuan dua hala pagi ini akan merintis kerjasama yang lebih bermanfaat pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails