Tuesday, June 06, 2023

RM akan jadi lebih kuat/stabil siri 2. Tapi.. bersambung

 


1. Ringgit jatuh: Perlu Menteri Kewangan kompeten, sepenuh masa 
Mohd Syahir Che Sulaiman

RINGGIT makin menyusut.

Dalam tempoh enam bulan ini, ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika dan matawang lain sehingga mencecah paras RM4.60/USD, dan dijangka boleh mencecah paras RM5.00/USD jika tidak dikawal.

Secara umumnya, penyusutan ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi dan kemelut hutang di Amerika Syarikat, serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua matawang, termasuklah ringgit.

Cuma lemahnya ringgit kali ini, bukan sekadar jatuh berbanding USD, tetapi juga lemah berbanding dolar Singapura, baht Thailand dan rupiah Indonesia.

Persoalannya, mungkin ada faktor dalaman yang menyebabkan ringgit menjadi lemah berbanding matawang negara jiran.

Pada masa sama, jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia telah memasuki minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM58.7 juta minggu lalu.

Menurut MIDF, pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 15 daripada 21 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM2.45 bilion.

Ringgit perlu bertahan.

Di pihak BNM, dasar monetari telah diambil bagi mengimbangi risiko dalaman dan luaran ini, termasuklah menaikkan OPR baru-baru ini.

Penjelasan awam perlu ditingkatkan, supaya rakyat faham situasi getir yang sedang kita berdepan. Ringgit jatuh, import mahal, kos bahan meningkat, harga barang juga meningkat.

Di pihak kerajaan, kita masih menunggu formula dan strategi yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi. Setakat ini masih belum kelihatan strategi yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan.

Malah Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sukar memberikan fokus di MOF, dengan bebanan tugas yg berat sebagai Perdana Menteri di luar.

Peranan dan penumpuan seorang Menteri Kewangan adalah amat penting dalam tempoh kritikal ini, khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil oleh Bank Negara yang mengawal dasar monetari.

Inilah sebahagian daripada kegusaran kami ketika pembentukan Kabinet, apabila Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan.

MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok
31 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 31/5/2023 


2. OPR: Di sebalik PMX jawab kenyataan Guan Eng 


Semenjak pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate atau OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dari kadar 2.75 peratus kepada 3.0 peratus berkuatkuasa pada 3 Mei 2023, isu ini mendapat perhatian ramai pihak dengan pelbagai pendapat, pandangan dan tidak kurang juga yang melemparkan pelbagai tuduhan. 

Ahli-ahli parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat yang berlangsung ketika ini juga tidak terlepas dari membangkitkan isu kenaikan OPR. 

Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim (PMX) selaku Menteri Kewangan terpaksa sekali lagi menjawab serta menghuraikan asas kepada keputusan kenaikan ini sebagaimana yang dilaporkan akhbar The Star bertarikh 25 Mei 2023.

Apa yang menarik perhatian ialah kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkaitan isu OPR ini. Beliau mengatakan kenaikan OPR ini hanya menguntungkan pihak bank. 

Sebagai sebahagian dari Kerajaan Perpaduan, pernyataan seumpama ini mungkin dilihat dari pelbagai sudut oleh masyarakat; kemungkinan tiada perbincangan di peringkat kerajaan, kemungkinan juga untuk meraih populariti dalam kalangan masyarakat, atau mungkin juga telah diatur sedemikian rupa (planted) untuk membolehkan penjelasan diberikan oleh Menteri Kewangan. 

Jika kenyataan seumpama itu datangnya dari pihak pembangkang, ia sesuatu yang boleh dijangkakan.

Walau bagaimanapun, apa jua hasrat atau tujuan sebenar pernyataan dari ahli parlimen Bagan tersebut, isu OPR ini dijangka akan terus dipolemikkan menjelang pilihan raya negeri (PRN) 2023 di enam buah negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) yang dijangka akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Selain dari isu kenaikan OPR, dijangkakan ada isu-isu lain yang akan menjadi ‘bahan kempen’ menjelang PRN di enam buah negeri tersebut. 

Mungkin antara isu yang akan menjadi perhatian adalah berkaitan cadangan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan dari 13 peratus  kepada 20 peratus, juga fasiliti atau kemudahan pengeluaran wang KWSP, isu penarikan balik rayuan penggunaan kalimah Allah SWT, kebenaran penganjuran konsert Coldplay, isu gaji minima, selain dari isu-isu setempat seperti isu air di Kelantan, isu penambakan tanah di Pulau Pinang, hatta kemerosotan pungutan pingat oleh kontingen Malaysia di Sukan SEA 2023.

Pada pandangan saya, ia adalah satu perkara yang biasa bagi mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang untuk memainkan isu-isu seumpama ini menjelang pilihan raya. 

Apa yang penting adalah untuk mana-mana pihak memberi penerangan serta penjelasan yang sebetul-betulnya kepada rakyat. 

Besar kemungkinan penjelasan yang diberikan adalah mengikut neraca atau sisi pandang penceramah dan dari mana pertaliannya samada pro kerajaan atau sebaliknya. 

Apapun saya percaya para pengundi sudah semakin bijak dan matang untuk menilai sesuatu isu serta maklumat yang disampaikan dengan adanya pelbagai saluran media yang dapat dirujuk, khususnya oleh pengundi-pengundi muda (saluran 4 dan ke atas). 

Bagi pengundi yang agak berusia, khususnya yang berada di luar bandar, adalah diharapkan agar anak-anak mereka dapat menyampaikan maklumat yang selayaknya kepada ibubapa mereka. 

Melalui pendedahan dan penyampaian maklumat yang betul, para pengundi boleh dan akan membuat pilihan yang bijak. 

Justeru, saya menyeru agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dengan menyampaikan maklumat yang betul dan tepat demi kemakmuran dan kesejahteraan negara tanah tumpah darah kita yang tercinta ini. – HARAKAHDAILY 29/5/2023 
Profesor Madya Dr Amanuddin Shamsuddin ialah Dekan UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Penulis boleh dihubungi melalui e-mel amanuddin@uniten.edu.my


3. Perkongsian pemilikan rumah di UK: Satu perspektif  

DI MALAYSIA, cara memiliki rumah yang paling popular digunakan adalah dengan memohon pembiayaan daripada pihak bank sama ada melalui perbankan Islam atau perbankan konvensional. Di samping itu, pihak kerajaan telah menyediakan beberapa bantuan untuk memudahkan para pembeli rumah pertama memiliki rumah seperti skim perumahan PR1MA dan pengecualian duti setem menerusi inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia. Begitu juga di United Kingdom (UK), kebanyakan rakyat UK memohon pinjaman  (mortgage) daripada pihak bank untuk membeli rumah dan Kerajaan UK juga menyediakan beberapa inisiatif untuk membantu mereka seperti Rumah Mampu Milik (Affordable Home Ownership) dan Skim Rumah Pertama (First Homes Schemes).

Di samping pinjaman daripada bank, terdapat satu lagi alternatif untuk membeli rumah sendiri yang disediakan oleh Kerajaan UK iaitu Perkongsian Pemilikan atau Shared Ownership. Konsepnya adalah pembeli boleh memiliki sebahagian daripada ekuiti serendah 10 peratus daripada harga pasaran rumah dan membayar sewa ke atas ekuiti selebihnya. [1] Namun begitu, kerajaan telah menetapkan sewa yang dikenakan tidak boleh melebihi 3 peratus setiap tahun. Dari masa ke masa, pembeli boleh membeli lagi ekuiti daripada 10 peratus kepada 20 peratus sebagai contoh, menjadikan bayaran sewa ke atas ekuiti selebihnya lebih rendah daripada sebelum ini. Bila sudah mampu, pembeli boleh akhirnya membeli 100 peratus ekuiti menjadikan pembeli itu pemilik penuh rumah tersebut dan tidak perlu membayar sewa lagi. Kebanyakan skim perkongsian pemilikan di UK disediakan oleh pihak pemaju sendiri dan juga persatuan perumahan (housing association), bukannya pihak bank. Alternatif ini memberi peluang kepada golongan muda untuk berada dalam pasaran hartanah di peringkat awal lagi.

Menggunakan contoh harga di Malaysia, andaikan ada sebuah apartmen berharga RM200,000 di pasaran dan Ali sebagai seorang pembeli rumah pertama membeli 10 peratus ekuiti berjumlah RM20,000 menggunakan simpanan terkumpul atau pinjaman daripada ibu bapa. Sewa yang perlu dibayar setiap bulan selama mana Ali memegang ekuiti 10 peratus itu adalah RM450 (3 peratus x RM180,000 / 12 bulan). Jika Ali tiada dana RM20,000 untuk membeli ekuiti 10 peratus tersebut, Ali boleh memohon pembiayaan peribadi daripada bank untuk tempoh yang singkat (5 tahun sebagai contoh) dan membayar lebih kurang RM400 setiap bulan bagi membayar semula pembiayaan daripada bank. Jumlah bayaran bulanan adalah sekitar RM850 sebulan pada 5 tahun yang pertama dan sesudah pembiayaan bank terbayar, bayaran bulanan hanya tinggal RM450 iaitu sewa ke atas 90 peratus ekuiti yang tidak dimiliki oleh Ali. Jika dibandingkan dengan menyewa semata, harga sewa yang dikenakan oleh tuan rumah mungkin mencecah RM1,200 ke RM1,500 sebulan. Melalui skim ini, Ali dapat berjimat sekurang-kurangnya RM350 sebulan dan boleh menabung simpanan itu sehingga Ali boleh membeli lebih ekuiti daripada masa ke masa.

Jika Ali mendapat pekerjaan baru dan perlu berpindah ke kawasan yang lain, Ali boleh menjual ekuiti 10 peratus yang dimilikinya samada di pasaran atau menjual semula kepada pihak pemaju atau persatuan perumahan mengikut harga pasaran semasa. Jika harga pasaran meningkat daripada RM20,000 kepada RM25,000 selepas beberapa tahun sebagai contoh, lebihan RM5,000 itu menjadi milik Ali. Sebaliknya jika harga pasaran menurun, Ali juga perlu menanggung kerugian tersebut namun melihat kepada pasaran hartanah, harga pasaran berkemungkinan lebih besar untuk menaik.

Dalam perspektif bank yang memberikan pembiayaan kepada Ali dalam contoh di atas, risiko yang diambil oleh bank menjadi rendah disebabkan amaun yang tidak terlalu tinggi dan tempoh pembayaran balik adalah lebih singkat jika dibandingkan dengan pembiayaan perumahan yang lebih besar dan tempoh yang lebih panjang. Ali juga sebagai golongan muda boleh membina skor kredit (credit score) dengan lebih baik dan menaikkan peluang di masa akan datang jika Ali ingin memohon pembiayaan lagi daripada pihak bank.

Di samping manfaat kepada penyewa, skim ini juga memberi peluang kepada para pelabur yang berminat untuk melabur dalam pasaran hartanah tetapi tidak perlu pelaburan yang terlalu besar dan tidak perlu terlalu banyak berfikir untuk mencari hartanah mana, di kawasan mana dan sebagainya. Hal ini kerana pihak pemaju atau persatuan perumahan sendiri yang akan mencari hartanah yang sesuai dan menjadi pengantara di antara pihak penyewa dan pihak pelabur dalam aspek pengurusan dan penyelenggaraan. Skim ini juga tidak meletakkan bebanan yang terlalu banyak kepada pihak kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Pihak kerajaan hanya perlu menguatkuasakan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pihak pemaju dan memantau pelaksanaan skim ini.

Di UK, lebih kurang 200,000 penduduk mendapat manfaat daripada skim ini mengikut data pada tahun 2019 dan 2020. [2] Walaupun sebahagian besar rakyat memilih untuk membeli dengan pinjaman bank, skim ini membantu pembeli rumah pertama khususnya dan lebih jimat daripada menyewa semata. 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki seperti kos pentadbiran yang agak tinggi apabila penyewa ingin menaikkan ekuiti mereka kepada ekuiti yang lebih tinggi. Ada juga penyewa yang komen agak sukar untuk mereka menjual semula ekuiti mereka di pasaran namun boleh diperhalusi melalui institusi pihak pemaju dan persatuan perumahan.

SHAHEER SHAHIDAN
Kelab PAS United Kingdom – HARAKAHDAILY 30/5/2023

Rujukan:
[1] https://www.gov.uk/shared-ownership-scheme 
[2] https://www.independent.co.uk/money/shared-ownership-cheap-property-first-time-buyer-b1945385.html 


Komen Weblog Ibnu Hasyim: RM akan jadi lebih kuat/stabil siri 2. Tapi.. bersambung lagi seterusnya.
Ya, tuan-tuan pengundi di Malaysia boleh lihat sendiri, apa suku-sakat menteri duit atau PMXsastera buat sejak memerintah? 

Sebenarnya umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam, termasuk 'barua-barua'nya yang ada di negara kita. 

Tolak 'kerajaan Pak Pandir' mereka.  Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. Dunia selamat, akhirat selamat, bukan dunia saja, insya Allah!

Sunday, June 04, 2023

RM akan jadi lebih kuat/stabil, ini... Apa menteri duit/PMsastera buat?



1. Hutang dan mata wang

BANK Negara mengatakan, kalau Malaysia berjaya mengurangkan hutang negara, nilai RM akan menjadi lebih kuat dan stabil.

Kenyataan itu dilaporkan berdasarkan kepada hutang negara sekarang ialah kira-kira RM1.5 trilion.

PETRONAS juga digesa untuk meningkatkan pengeluaran minyak sementara harga bahan tersebut masih tinggi sekarang.

Ditambah kesedihan itu dengan kejatuhan nilai RM yang paling rendah setakat ini, tetapi dijawab Pak Menteri, ia membawa keuntungan kepada kita dalam bidang pelancongan. 

Dengan kejatuhan RM, ia akan meningkatkan lagi hutang negara sebab kita kena bayar dengan lebih RM berbanding sebelum ini dengan jumlah hutang yang sama. Nilai berbeza. 

Aku yakin, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi menangani hutang negara, sebab imej mereka juga akan tercalar di sebalik dakwaan Malaysia sedang diterajui oleh bekas Menteri Kewangan terhebat di Asia dahulu. 

Tetapi dalam masa yang sama, tiba-tiba aku teringat kepada Menteri Besar Terengganu yang dalam masa tiga tahun, sudah RM472.78 juta iaitu hampir 70 peratus hutang yang Kerajaan BN dulu buat, diselesaikan dengan pengurusan kewangan yang betul, walaupun dia bukan seorang pakar ekonomi.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar seorang pakar aeroangkasa. Walaupun begitu, beliau tidak sembang sampai terbang dalam bab hutang, biarpun dia pakar dalam bab penerbangan. 

Aku terus berfikir, kalaulah Terengganu ada mempunyai mata wangnya sendiri, semesti mata wang Terengganu antara yang paling kukuh di antara negeri-negeri di Malaysia.

Sama juga seperti dahulu, di Kelantan, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) telah mengemudi Kelantan dengan jayanya walaupun tanpa kepakaran dalam bidang ekonomi.

Bezakan, apabila orang yang tahu amanah memegang jawatan utama kemudian dituduh sebagai tidak amanah berbanding dengan orang yang sudah dibuktikan pecah amanah, tetapi masih mengaku dia seorang yang amanah.

Padahal sama sahaja kewangan Kerajaan Terengganu yang dahulu menerima wang royalti dengan kerajaan sekarang, walaupun masih ada lagi baki yang tidak diberikan oleh Kerajaan Pusat. 

Lagi rare, bila yang mengaku kata mahu hapuskan kes pecah amanah, mengambil orang yang pecah amanah juga untuk menjaga amanah sambil dia menafikan kejahatan rakannya dan menuduh orang yang amanah itu pula sebagai pemecah amanah… arrhhh pening aku.

Dan kalau Terengganu nak buat mata wang sendiri mestilah namanya Rial untuk duit kertas dan Samah untuk lima puluh sen, macam yang diguna pakai sekarang. 

Aku sekarangpun dah guna Rial kat tempat aku kerja, Qatar dan kat kampung aku Terengganu ni.

MOHD NASIR ABDULLAH
29 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 29/5/2023   


2. Atasi hartanah tidak terjual, elak beban ekonomi negara 

KUALA LUMPUR: Isu hartanah tidak terjual, khususnya kediaman yang siap dibina,  boleh menjadi beban ekonomi kepada negara jika tidak diatasi dengan kaedah sewajarnya.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, hartanah tidak terjual merujuk kepada unit kediaman, komersial dan industri yang telah siap dibina dengan mendapat sijil penyiapan dan pematuhan tetapi masih tidak dapat dijual melebihi tempoh sembilan bulan dari tarikh dilancarkan atau selepas 1 Jan 1997.

Bernama pada 14 April lepas, melaporkan jumlah kediaman siap dibina tidak terjual berkurangan kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion pada akhir Disember tahun lepas berbanding 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion pada penghujung 2021.

Dalam laporan itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Johor kekal merekodkan jumlah dan nilai kediaman tidak terjual tertinggi, iaitu 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion, diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion dan Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion).

Meskipun angka keseluruhan menunjukkan penurunan, pakar bimbang masalah akan berlanjutan jika pihak berwajib tidak mencari langkah penyelesaian bersifat jangka panjang.

Ketidaksepadanan dalam pasaran

Penganalisis hartanah Prof Dr Noor Rosly Hanif berkata isu lambakan hartanah tidak terjual berlaku sejak 2016, merentasi pelbagai kategori hartanah.

“Pada waktu itu, keadaan ekonomi sangat memberangsangkan sehingga menggalakkan pemaju untuk membangunkan hartanah. Namun malangnya, kadar kenaikan gaji dan pendapatan isi rumah tidak setara dengan peningkatan harga hartanah, khususnya rumah.

“Dalam hal ini, ketidaksepadanan nilai hartanah yang dibina (penawaran) dengan kemampuan rakyat (permintaan) menjadi punca utama berlakunya perkara ini (lambakan hartanah tidak terjual),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Noor Rosly yang merupakan profesor Program Pengurusan Hartanah dan Lelong, Fakulti Perniagaan, Universiti Malaya-Wales, berkata walaupun wujud permintaan untuk kediaman, harga yang ditawarkan pemaju tidak mampu dipenuhi oleh pembeli berpotensi yang turut sukar mendapat pinjaman bank berikutan kedudukan kewangan tidak menepati syarat.

“Jenis hartanah yang dibina oleh pemaju pula bukanlah yang diperlukan oleh pasaran. Sebagai contoh, rakyat mengharapkan rumah teres (bertanah) pada harga mampu milik, tetapi pemaju kebanyakannya membina kondominium/pangsapuri yang menurut Laporan Pasaran Harta 2022, Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), adalah penyumbang terbesar kepada hartanah tidak terjual, iaitu 61.9 peratus.

“Faktor cita rasa rakyat turut memberi kesan, lebih-lebih lagi golongan muda yang kurang berminat membeli rumah sebaliknya memilih untuk menyewa. Mungkin mereka terpaksa menerima realiti untuk tinggal menyewa atau tunggu lewat umur baru fikir nak beli rumah. Itupun jenis bertingkat seperti pangsapuri yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya, menambah situasi itu adalah trend semasa.

Rumah bukan komoditi

Berdasarkan Laporan Pasaran Harta 2022, hartanah dalam lingkungan harga RM500,001 hinggan RM1 juta adalah paling banyak tidak terjual, mewakili 33.6 peratus atau 9,323 unit, iaitu meningkat berbanding 30.2 peratus pada 2021.

Hartanah dalam lingkungan RM300,001 dan RM500,001 pula di tempat kedua, merangkumi 29.3 peratus (8,128 unit), manakala rumah dalam lingkungan harga mampu milik bawah RM300,000 membentuk 23.5 peratus (6, 509 unit), diikuti oleh hartanah lingkungan harga melebihi RM1 juta yang menyumbang 13.6 peratus (3,786 unit).

Menurut Noor Rosly, purata kemampuan rakyat adalah rumah berharga sekitar RM250,000 hingga RM300,000. 

“Disebabkan itulah terdapat mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi sanggup membeli rumah di Seremban, Negeri Sembilan kerana kediaman di luar Kuala Lumpur harganya lebih rendah dan mereka masih dapat memiliki rumah teres setingkat pada harga sekitar RM250,000,” katanya.

Menurut beliau lagi, pembeli juga akan menimbang faktor lain seperti jarak ke tempat kerja, akses kepada pengangkutan awam, kemudahan kesihatan, keselamatan serta sekolah yang berhampiran dengan kediaman sebelum membeli kediaman.

Sekalipun berpendapat pasaran hartanah semasa dalam keadaan stabil, pemerhati itu berkata kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, harus memantau dengan lebih ketat sektor tersebut dan tidak memberikan kelulusan pembangunan baharu, khususnya projek mewah, atas dasar galakan ekonomi semata-mata.

“Dulu mungkin kita mengharapkan pelabur dari luar untuk membeli, namun kini kerajaan harus pantau dan tidak sewenang-wenangnya memberi kelulusan pembangunan sedemikian kerana permintaan sebenarnya adalah terhadap perumahan bagi rakyat sendiri, bukan untuk (tujuan) pelaburan (oleh warga asing).

“Dasar Perumahan Negara juga harus dikaji semula, mungkin boleh diwajibkan pemaju atau kerajaan menyediakan rumah kediaman bersifat lebih mampu milik yang diperlukan rakyat.

“Rumah bukan komoditi untuk pelaburan tetapi adalah keperluan asas bagi rakyat,” katanya yang turut menyentuh tentang kewajaran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih meluluskan projek komersial baharu seperti ruang pejabat dan pusat beli-belah, sedangkan subsektor itu mengalami lambakan.

Bagi mengurangkan harga rumah, beliau menyarankan pemaju memendekkan tempoh pajakan tanah yang pada masa ini selama 30, 60 atau 99 tahun.

“Mungkin ini satu pendekatan yang lebih efektif dalam mengatasi masalah pemilikan unit kediaman walaupun di akhirnya nanti hartanah tersebut tidak boleh diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Kerajaan juga boleh memperkasakan semula konsep wakaf bagi membantu pemilikan hartanah  dalam kalangan bumiputera. Sebagai contoh di Turkiye dan beberapa negara lain, konsep pembangunan tanah dan tabung wakaf bagi membantu pemilikan hartanah di tengah bandar oleh umat Islam sangat berjaya,” katanya.

Sinergi pembuat dasar, pihak berkepentingan

Sementara itu, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata sekalipun industri pembinaan menyumbang 8.7 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2022, kediaman tidak terjual memberikan kesan kepada 120 buah industri yang berkaitan.

“Kitaran pasca-COVID-19 tidak terkecuali memberi kesan langsung yang menjadikan sektor ini masih dalam aliran pemulihan, dan pasaran buruh yang masih belum stabil secara langsung membataskan kemampuan pengguna untuk membeli unit kediaman pada harga tinggi.

“Pasaran buruh mengambil masa untuk pulih. Begitu juga dengan pendapatan isi rumah dan pengeluar. Justeru, rasional dan strategi pemaju sangat dituntut untuk meningkatkan prestasi jualan,” katanya, menambah kebanyakan pemaju di Malaysia tersenarai di Bursa Malaysia dan memiliki kepelbagaian perniagaan yang membantu kelangsungan operasi mereka.

Ujar beliau, kenaikan Kadar Faedah Semalaman (OPR) yang berturut-turut sejak tahun lepas turut membawa konotasi bahawa sekarang bukan masanya untuk membeli hartanah, terutama menerusi pembiayaan bank, kerana kenaikan OPR bermakna peningkatan kadar faedah pinjaman institusi kewangan.

Keadaan ini juga memberi kesan kepada penggerak industri yang pastinya perlu menaikkan harga hartanah yang ditawarkan bagi menampung kos pembangunan, jelas beliau.

“Selain itu, pihak bank juga akan lebih berhati-hati dalam meluluskan pinjaman kepada pembeli berpotensi bagi mengelakkan isu pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Ringkasnya, kesan kepada pemaju ialah jualan menjadi perlahan dan terganggu kerana pembeli menangguhkan pembelian. Akibatnya, risiko unit kediaman tidak terjual akan terus meningkat dalam pasaran,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, apabila pasaran hartanah terjejas, pemaju akan terkesan dari segi pulangan pelaburan, sementara PBT pula kerugian dalam aspek kutipan hasil akibat lambakan unit tidak terjual.

Pemberi kredit dan institusi perbankan pula mungkin mengehadkan pelaburan dalam hartanah, sebaliknya beralih ke sektor lain, dan ini berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur asing kerana sentimen perniagaan memberi gambaran terhadap kestabilan ekonomi sesebuah negara, jelas beliau lagi.

“Isu hartanah tidak terjual, khususnya kediaman, perlu dilihat secara harmoni dengan sinergi dibentuk antara pembuat dasar, pihak berkepentingan dan perancang bandar.

“Pelbagai perkara boleh dikenal pasti, antaranya kemampuan sebenar isi rumah atau pembeli, di samping tanah yang dibangunkan juga perlu dilihat secara ekonomi seperti kos lepas yang terlibat apabila dibangunkan,” tambahnya.

Pemilikan rumah bumiputera

Mengulas tentang pemilikan rumah dalam kalangan bumiputera, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) Ishak Ismail berkata lebih banyak kediaman mampu milik perlu dibina, terutama bagi kumpulan B40 dan M40.

Beliau turut berpendapat skim ‘Sewa Untuk Beli’ (RTO) wajar diperluas bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki unit hartanah selepas menyewa selama tempoh yang dipersetujui oleh pemaju dan penyewa.

“Walaupun konsep ini agak baharu di pasaran hartanah tempatan, RTO boleh membantu bakal pembeli memiliki kediaman sendiri kerana mereka tidak terbeban untuk membayar jumlah deposit yang tinggi seperti proses membeli rumah biasa.

“Melalui kaedah ini, kos membayar sewa bulanan dipindahkan menjadi status milikan (apabila mencapai satu tempoh yang dipersetujui antara pembeli dan pemaju), pemaju dapat menjual dengan lebih cepat, menggalakkan pemilikan dalam kalangan anak muda, di samping menjadikan pembelian rumah sebagai keutamaan mereka,” jelasnya.

Ishak yang juga Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn Bhd, pada masa sama berkata kerajaan perlu menetapkan sasaran mewujudkan ‘Tabung Simpanan Rumah Pertama’ dengan mekanisme simpanan seperti Tabung Haji.

“Melalui kaedah ini, bakal pembeli boleh membuat potongan gaji bulanan seperti potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja , dividen tahunan akan dikreditkan ke dalam akaun peserta.

“Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) boleh dipertanggungjawabkan untuk membina rumah bagi program ini dan pengeluaran hanya dibenarkan atas tujuan pembelian rumah pertama,” katanya.

Tambah beliau, kajian terperinci berhubung “affordability vs affordable homes”  (kemampuan dan rumah mampu milik) perlu dilakukan bagi melihat keupayaan sebenar bumiputera dalam pemilikan hartanah, sekali gus membantu pemaju serta agensi kerajaan berkaitan menetapkan sasaran pembangunan perumahan.

Pada masa sama, beliau turut menasihati pembeli berpotensi agar mengambil kira beberapa aspek sebelum membeli hartanah, antaranya prestasi pemaju dan lokasi, selain tujuan pembelian sama ada untuk dihuni sendiri atau pelaburan.

“Pemaju yang berpengalaman dan mempunyai prestasi kewangan yang baik, kawasan tumpuan dan mudah mendapatkan penyewa, kawasan selamat dan persekitaran yang kondusif mampu menarik minat pembeli,” katanya yang turut meminta pihak berwajib meneliti peningkatan kos bahan binaan yang secara langsung menaikkan harga perumahan. – BERNAMA  

Komen Weblog Ibnu Hasyim: RM akan jadi lebih kuat/stabil, ini... Apa menteri duit/PMsastera buat?

Ya, tuan-tuan pengundi di Malaysia boleh lihat sendiri, apa suku-sakat menteri duit atau PMXsastera buat sejak memerintah? Sebenarnya umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam, termasuk 'barua-barua'nya yang ada di negara kita. 

Tolak 'kerajaan Pak Pandir' mereka.  Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. Dunia selamat, akhirat selamat, bukan dunia saja, insya Allah!

Friday, June 02, 2023

Tentang 'barua' komunis China di M'sia.. Ini dia!




Ini lah gambar Lim Kit Siang semasa muda Komunis Bintang Tiga. (bawah)

1. Lim Kit Siang tekan ‘panic button’


PEMIMPIN Veteran DAP Lim Kit Siang pada 15 Mei 2023 telah mencadangkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menghulurkan salam kerjasama kepada PAS.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) jawab dengan jelas PAS sedia jumpa sesiapa sahaja termasuk Anwar Ibrahim. 

Namun Tan Sri TGHH menegaskan keterbukaannya itu mestilah tidak lari dari prinsip, matlamat dan perjuangan PAS. Tan Sri TGHH turut mengesahkan dihubungi beberapa kali dengan tawaran bersama Kerajaan Perpaduan. 

Melihat saranan ini datang daripada manusia yang menganggap PAS sebagai musuh ketat dan sentiasa menjadikan PAS sebagai modal politik, kita perlu ‘Read between the lines’ kenapa tawaran ini dilontarkan. 

Pertamanya, tawaran ini adalah bukti Kerajaan Campuran PH-BN sudah mengesan bakal kehilangan sokongan Melayu Islam secara total dalam PRN. Maka panic button ditekan dan Lim Kit Siang dihantar untuk selamatkan keadaan. Bayangkan PH kehilangan 4 atau 5 negeri dalam PRN termasuk Selangor. Bukankah itu mimpi ngeri pimpinan PH?

Sekiranya dilihat pada PRU15, PKR hanya memiliki 30 kerusi dan hanya 19 kerusi Melayu. Ini menjadikan Kerajaan PH-BN adalah kerajaan majoriti bukan-Islam. 

Pada PRU15 PH dan BN juga mencatatkan kehilangan sokongan pengundi Melayu. Ini merupakan keputusan walaupun Zahid Hamidi berhempas pulas menafikan hubungan sulit dengan Anwar Ibrahim (yang kemudian dikantoikan oleh Saifudin Nasution).

Pada PRN kali ini, Umno akan secara rasmi bertanding sebagai satu koalisi dengan PKR dan DAP. Ini sudah tentu akan menyebabkan sokongan Melayu terus terhakis dari PH-BN dan PN akan mendapat manfaat besar swing undi Melayu ini. 

Terdapat kajian yang menjangkakan Umno akan kalah semua kerusi dan hilang deposit di kebanyakan kerusi ditandingi. PH pula akan hanya ‘survive‘ dengan kerusi Cina.

Pada PRU15 PN mendapat 69 peratus undi Melayu meningkat dari 32 peratus pada PRU14. BERSATU juga meningkat dari 20 peratus pada PRU14 ke 48 peratus pada PRU15. Ini menyebabkan PAS menjadi parti dengan kerusi terbesar dalam Parlimen. 

PRU16 dijangkakan sokongan Melayu akan swing secara total dan dijangkakan mencapai sehingga 70 peratus – 80 peratus kepada PN. Faktor penolakan kepada Umno oleh penyokong dan pengundinya sendiri, faktor kebencian kepada DAP, serta faktor ketiga adalah peralihan sokongan pengundi atas pagar kepada PN. Perlu diingat peralihan ini telahpun berlaku pada PRU15 dan dijangka akan berterusan dalam PRN nanti.  

PH juga berhadapan dengan protes dari pengundi Cina dan India kerana bersama dengan Umno dalam kerajaan. Protes ini akan memberikan keuntungan kepada PN.

Malah terdapat bantahan dari pengundi bukan-Melayu yang tidak mahu mengundi Umno dalam PRN nanti. Mereka rela tidak mengundi. 

Perkara ini turut disahkan oleh Ibrahim Suffian Merdeka Center yang menjangkakan akan ada trend swing undi dari PH-BN ke PN di Negeri Selangor. 

Maka atas sebab di atas, jelaslah kenapa Lim Kit Siang mewakili PH yang sudah menekan panic button dan sanggup menjilat ludah lama bagi mengekalkan kuasa mereka. Tahniah Tan Sri DS TGHH atas ketegasan dalam melayan tawaran dari PH-BN ini.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/5/2023  

2. Nasib Islam di China: Selepas Uighur, kini Hui 
Penduduk Islam dari etnik Hui berhadapan dengan pihak polis China bagi mempertahankan Masjid Najiaying di Nagu, dalam wilayah Yunnan, China pada 27 Mei 2023. (FOTO: AsiaNews)

“Saya mahu dunia tahu apa yang sedang kami alami sekarang, dan apa yang kami takuti akan berlaku seterusnya.”

Itu luahan dan keluhan berbaur penuh kebimbangan dan ketakutan penduduk Islam di Najiaying, daerah Tonghai, dalam wilayah Yunnan, China.

Mereka melaungkan suara mewakili etnik Hui – salah satu daripada 56 kumpulan etnik yang diiktiraf oleh Beijing, yang menetap di wilayah Yunnan menempatkan kira-kira 700,000 daripada 10 juta umat Islam di seluruh China; yang mana merujuk kepada jumlah populasi rakyat China yang sudah mencecah jumlah 1.412 bilion, penganut Islam di negara komunis itu adalah kaum minoriti.

“Ia ekoran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China telah mengalih keluar seni bina Islam di negara itu secara terang-terangan – memusnahkan kubah dan meruntuhkan menara – daripada lebih seribu masjid etnik Hui di seluruh negara itu,” kata sumber saksi kepada CNN sambil menambah bahawa Masjid Najiaying yang terletak di bandar Nagu itu menjadi salah satu kawasan suci Islam terakhir yang akan ‘dimusnahkan’ oleh kerajaan China.

Ia adalah susulan tindakan kerajaan China yang mahu meneruskan rancangan memusnahkan empat menara dan bumbung kubah Masjid Najiaying, lapor AFP

Beribu-ribu penduduk Islam etnik Hui mempertahankan Masjid Najiaying di bandar Nagu demi maruah agama mereka. (FOTO: YouTube Aljazeera English)

Masjid Najiaying yang pada asalnya dibina pada tahun 1370 dan sejak 600 tahun lalu, masjid tersebut telah diperbesarkan sebanyak beberapa kali, yang mana pada 2001, sebuah bangunan masjid baharu telah dibina; dan pada 2019, sebahagian daripada masjid itu telah disenaraikan sebagai peninggalan budaya yang dilindungi.

Bandar Nagu seluas 12 kilometer persegi yang terletak di barat laut daerah Tonghai menghadap Tasik Qilu, 110 kilometer dari bandar Kunming, dengan ketinggian purata 1800 meter, yang mana ia merangkumi Kampung Najiaying, Kampung Gucheng dan Kampung Sanjia.

Kesemua penduduk di bandar etnik itu adalah daripada etnik Hui yang menganut agama Islam, yang mengekalkan tradisi budaya dan adat mereka sendiri. Terdapat tiga buah masjid di bandar Nagu, salah satunya ialah Masjid Najiaying.

Dalam kejadian pada Sabtu (27 Mei) lalu, beribu-ribu etnik Hui telah berkumpul di Masjid Najiaying dalam usaha terakhir bagi menghalang apa yang mereka katakan sebagai percubaan pihak berkuasa negara itu untuk mengalihkan kubah dan menara rumah ibadah mereka, ketika tindakan keras terhadap kebebasan beragama khususnya terhadap penganut agama Islam di China kini semakin meluas 

Foto daripada India TV News yang menyiarkan berita tentang pertempuran antara penduduk etnik Hui dengan pihak polis China dalam mempertahankan Masjid Najiaying di Nagu.

“Berpuluh-puluh penunjuk perasaan dari kaum etnik Hui telah ditangkap oleh polis China di tempat kejadian,” dedah aktivis dan pengasas Yayasan Antarabangsa Hope Umbrella, Ma Ju, kini menetap di Amerika Syarikat dan sentiasa berhubung rapat dengan penduduk Najiaying sambil menambah, kira-kira 30 orang (penunjuk perasaan) telah ditangkap.

Perubahan ketara secara paksaan oleh kerajaan China terhadap masjid milik kumpulan etnik Hui itu berlaku di tengah-tengah kempen besar-besaran yang dilancarkan oleh pemimpin China, Xi Jinping yang dilabelkan sebagai ‘menghina’ agama dan penganut Islam di negara itu.

Pembersihan’ kepercayaan agama

Dasar tersebut menurut laporan CNN lagi adalah bertujuan untuk membersihkan kepercayaan agama daripada pengaruh asing dan menyelaraskannya lebih rapat dengan budaya tradisional China – dan pemerintahan autoritarian Parti Komunis ateis secara rasmi.

Kini, kempen yang dikenali dengan istilah ‘sinicization’ itu nampaknya akhirnya datang menggugat Najiaying – di masjid  bersejarah bagi etnik Hui dan hab penting untuk budaya Islam di Yunnan, sebuah wilayah terletak di sempadan China dengan Asia Tenggara.

Namun desakan kerajaan komunis itu telah menghadapi tindak balas sengit daripada penduduk tempatan. 

Kaum hawa daripada etnik Hui tidak ketinggalan menyertai tunjuk perasaan membantah pencerobohan pihak berkuasa China terhadap Masjid Najiaying di Nagu dalam kejadian pada 27 Mei 2023. (FOTO: The Guardian)

Video yang disiarkan di media sosial dan geolokasi oleh CNN menunjukkan penduduk tempatan bertempur dengan barisan anggota polis yang memakai peralatan rusuhan, yang menghalang pintu masuk ke masjid dan menolak orang ramai dengan perisai dan belantan.

Paparan video itu juga  menunjukkan beberapa penduduk menjerit balas dengan marah, dengan beberapa orang membaling botol air dan batu bata ke arah polis.

“Ini adalah maruah terakhir kami,” kata seorang saksi tempatan kepada CNN. “Ia seperti datang ke rumah kami untuk merobohkan rumah kami. Kami tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku,” tegasnya.

Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang keselamatan diri, berkata beribu-ribu penduduk Hui – termasuk lelaki dan wanita, warga emas dan kanak-kanak – telah berkumpul di sekitar Masjid Najiaying pada Sabtu, di bawah pengawasan rapi lebih 1,000 pegawai polis yang ditempatkan berdekatan.

“Selepas tiba di masjid, kami menyedari bahawa mereka telah memacu kren ke dalam perkarangan dan bersedia untuk perobohan secara paksa,” kata sumber itu sambil menambah bahawa perancah telah pun didirikan di sekeliling masjid berkenaan.

“Ketegangan semakin memuncak sekitar jam 1 tengah hari, dengan jemaah menuntut untuk masuk ke masjid untuk solat zuhur,” kata sumber itu yang menambah bahawa polis telah memukul orang ramai dengan belantan, yang mendorong beberapa penduduk bertempur untuk mempertahankan diri. 

Kaum etnik Hui di Najiaying berikrar mempertahankan kesucian agama mereka sehingga ke titisan darah terakhir. (FOTO: Muslim Mirror)

Mirip kejadian di Palestin, India

Kejadian itu mirip seperti senario penduduk Islam di Palestin yang mempertahankan maruah agama dan  bangsa mereka terhadap penindasan zionis Israel, dan hampir juga menyamai nasib umat Islam di beberapa kawasan di India yang sebelum ini dilaporkan sering ditindas kerajaan negara jiran Pakistan itu.

Cuma bezanya, ia telah menghasilkan kemenangan sementara bagi penunjuk perasaan etnik Hui, yang menyaksikan polis berundur, menurut saksi dan video dalam talian.

“Sepanjang malam Sabtu dan Ahad (28 Mei), penduduk bergilir-gilir menjaga masjid, bimbang pihak berkuasa China akan datang kembali merobohkan kubah hijau besar dan empat menara di tengahnya,” kata sumber itu.

Namun kesannya segera menyusul, lapor CNN, yang mana menjelang petang Ahad, berita mula tersebar bahawa pihak berkuasa sedang menahan lebih ramai penduduk tempatan dari etnik Hui.

Pada petang Ahad itu juga, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang di perbandaran Nagu, mengeluarkan kenyataan yang tegas tetapi samar-samar. 

Tanpa menyebut protes atau masjid, ia berkata polis sedang menyiasat insiden yang berlaku pada Sabtu, yang dilabelkan sebagai ‘serius mengganggu ketenteraman sosial’ dan menyebabkan ‘impak sosial yang keji’.

Bantahan terhadap kerajaan China susulan penindasan terhadap etnik Uighur di Xinjiang pada 8 Julai 2022. (FOTO: REUTERS)

Pihak berkuasa juga menyeru penganjur dan peserta tunjuk perasaan  untuk menyerahkan diri mereka sebelum 6 Jun ini.

“Menjelang Isnin (29 Mei), Najiaying diselubungi ketakutan,” kata sumber itu.

“Internet telah terputus di banyak kawasan kejiranan. Dron berdengung di atas kepala dan mengawasi kampung. 

“Pembesar suara awam mengulangi mesej pihak berkuasa, menggesa penunjuk perasaan untuk menyerahkan diri,” dedah sumber tadi dan juga Ma.

“Mimpi ngeri kami baru bermula sekarang,” kata sumber itu kepada CNN. “Semua orang kini dalam ketakutan…Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”

Seorang pemilik kedai yang dihubungi CNN melalui telefon berkata: “Kamu wartawan harus datang ke sini untuk melaporkan apa yang berlaku kepada kami.” Apabila diminta oleh CNN untuk menjelaskan apa yang berlaku, lelaki  menjawab dia ‘tidak tahu’ dan mematikan telefon.

Sejuta Uighur dipenjara

Kejadian tersebut bukan kali pertama umat Islam Hui terlibat dalam perselisihan tegang dengan pihak berkuasa China untuk melindungi masjid mereka.

Pada 2018, beribu-ribu etnik Hui di Ningxia, di barat laut negara itu, mengadakan protes duduk selama tiga hari untuk menghalang pihak berkuasa daripada merobohkan masjid yang baru dibina di situ.

Sekumpulan lelaki Muslim etnik Hui meninggalkan Masjid Laohuasi selepas solat Jumaat di Linxia, dalam wilayah Gansu pada Mac 2018. (FOTO laporan npr.org bahawa Gansu setakat tarikh tersebut masih dapat mengekalkan sebahagian besar masjidnya manakala kubah dan menara masjid di wilayah lain telah diubah atau dialihkan.)

Kerajaan tempatan menangguhkan perobohan itu, tetapi kemudiannya menggantikan kubah dan menara masjid dengan pagoda gaya Cina tradisional.

Pembaikan seni bina masjid telah datang dengan dakwaan ia bermatlamat mengetatkan kebebasan beragama untuk Hui, sebuah etnik berjumlah 11 juta orang yang tinggal secara berselerak di seluruh China dari barat laut ke bandar pantai di timur, termasuk di wilayah autonomi yang ditetapkan secara rasmi di Ningxia.

Dipercayai merupakan keturunan jauh pedagang Arab dan Parsi, etnik Hui telah diasimilasikan dengan baik ke dalam masyarakat Cina yang lebih luas didominasi oleh majoriti etnik Han (etnik terbesar di China yang terbesar dan di dunia, dengan bilangan melebihi 1.3 bilion).

Kebanyakan etnik Hui berbahasa Mandarin, tinggal bersama-sama etnik Han, dan dalam beberapa dekad kebelakangan ini telah diberi lebih banyak ruang untuk mengamalkan kepercayaan mereka berbanding kumpulan etnik lain.

Namun aktivis Hui berkata kumpulan etnik mereka kini telah menjadi sasaran terbaharu dalam tindakan keras Parti Komunis China terhadap Islam, yang bermula di wilayah barat Xinjiang.

Sejak sekurang-kurangnya 2017, kerajaan China telah dituduh menahan lebih sejuta Uighur, dan minoriti Islam lain di kem tahanan di Xinjiang dan melakukan asimilasi kuat untuk menindas identiti budaya dan agama mereka.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menuduh kerajaan China telah melakukan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap etnik Uighur sabit kesalahan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’.

Kerajaan China bagaimanapun telah berulang kali menafikan tuduhan itu dan menegaskan bahawa kem besar-besaran yang dibina sebagai penempatan etnik Uighur itu adalah ‘pusat latihan vokasional’ sukarela.

Masjid Najiaying di bandar Nagu pada asalnya telah dibina pada tahun 1370. (FOTO: Trip.com)

Pemadaman identiti Hui

Aktivis Hui dan kumpulan hak asasi mendakwa pihak berkuasa telah meningkatkan usaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menyekat amalan agama Muslim etnik itu di seluruh China, termasuk menutup sekolah-sekolaj aliran Islam, kelas-kelas bahasa Arab dan menyekat kanak-kanak daripada belajar dan mengamalkan illmu dan ajaran Islam.

“Pelaksanaan kempen sinicization telah ‘mempunyai kesan menghilangkan hubungan masyarakat etnik Hui dengan budaya, agama, dan antara sesama mereka dengan begitu teliti dan secara halus, sehingga sesetengah pemimpin melihat pemadaman identiti Hui pada masa hadapan sebagai suatu kemungkinan yang besar’,” ujar kenyataan laporan yang dikemukakan kepada badan perjanjian PBB pada Januari 2023 oleh Pembela Hak Asasi Manusia China dan Yayasan Antarabangsa Harapan Umbrella.

Merujuk kepada wikipedia, istilah sinicization (atau ‘pencinaan’) adalah merujuk kepada ‘proses apabila masyarakat atau penduduk yang dilabelkan bukan asal dari China (termasuk etnik minoriti seperti Hui dan Uighur) dijadikan seratus peratus berada di bawah pengaruh budaya China, terutama dari segi budaya, bahasa, identiti, dan norma masyarakat etnik Han’.

Dalam laporan itu, Ma mendedahkan bahawa lebih dua ratus masjid di Yunnan telah kehilangan kubah dan menara asalnya.

“Pada mulanya, orang ramai menganggap ia hanya soal gaya seni bina…tetapi tidak lama-kelamaan ia menjadi jelas bahawa (kerajaan China) bukan sahaja mengalihkan kubah dari masjid, tetapi juga mengalihkan fungsi keagamaan dan sosial kami (untuk mengikut acuan mereka),” kata Ma.

Tambahnya, di bawah sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China, ramai etnik Hui kini takut untuk pergi ke masjid, yang telah lama menjadi pusat kehidupan keagamaan dan sosial bagi masyarakat tersebut.

Beribu-ribu etnik Hui Islam melanjutkan bantahan mereka di Masjid Besar Weizhou di Ningxia pada 10 Ogos 2018 selepas kerajaan tempatan menghentikan rancangannya untuk merobohkan bangunan masjid itu tetapi berkeras untuk mengubah suainya bagi menjadikannya agar kurang menyerupai seni bina masjid di Arab. (FOTO: South China Morning Post)

Berjuang sehingga titisan darah terakhir

Ma mendakwa matlamat akhir parti komunis yang memerintah China adalah untuk melaksanakan dasar ‘pembunuhan beramai-ramai budaya dan agama’,seperti yang dilakukan di Xinjiang, yang bagaimanapun sebelum ini telah dinafikan oleh kerajaan China.

Bagi penduduk di Najiaying, rancangan kerajaan untuk menukar reka bentuk masjid itu hanyalah petanda awal tindakan keras yang akan datang terhadap etnik Hui.

“Ini (insiden di Masjid Najiaying) hanya langkah pertama (kerajaan China). Apa yang kita bimbang selepas itu, (pihak berkuasa) akan melarang anak-anak kita pergi ke kelas (agama), menghalang kanak-kanak di bawah umur daripada memasuki masjid dan melarang kita belajar al-Quran,” kata penduduk Najiaying kepada CNN,  merujuk kepada sekatan yang dikatakan telah dikenakan terhadap komuniti Hui di seluruh China.

“Selepas mereka menginjak-injak maruah kami, mereka akan menindas kami selangkah demi selangkah, dan mengasimilasikan (menyerapkan) etnik Hui sepenuhnya ke dalam etnik Han, generasi demi generasi. Ini kerana kami tahu, itulah yang mereka lakukan di Xinjiang,” kata mereka.

Walaupun budaya ketakutan yang meresap, etnik Hui di Najiaying telah berikrar untuk ‘berjuang sehingga ke titisan darah akhir’ demi kebebasan kepercayaan dan maruah etnik Hui yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

“Kami rakyat biasa tidak meminta banyak. Kami hanya mahu mempunyai kebebasan beragama sendiri. Kami hanya mahu hidup dengan aman,” kata mereka. – HARAKAHDAILY 31/5/2023 


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tentang 'barua' komunis China di M'sia.. Ini dia! 

Sebenarnya umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah komunis, termasuk 'barua-barua'nya yang ada di negara kita. Tolak 'kerajaan Pak Pandir' mereka.  Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. 

Dunia selamat, akhirat selamat, insya Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails