Wednesday, August 23, 2023

Jom pulihkan balik negara.. Masalah air PP & S'gor.

 


Masalah air Pulau Pinang: PBAPP gagal selesaikan?

NAK tanya… macam mana ya nak minta PBAPP hantar air esok untuk mandi mayat?”

“Katanya esok sampai pukul 2 tak ada air”

Salah seorang waris keluarga si mati yang baru kehilangan ahli keluarga bertanya.

Kejadian ini berlaku di Taman Seruling Emas, dalam Mukim 5, Sungai Bakap, SPS (Sebarang Perai Selatan), Pulau Pinang.

Reaksi keluarga si mati ini terbit setelah pengumuman PBAPP semalam bahawa terdapat banyak kawasan di SPS sekitar Batu Kawan, Bandar Cassia dan seluruh BKIP (Batu Kawan Industrial Park) akan mengalami gangguan air daripada 8 malam tadi sehingga 2 petang esoknya.

Namun, hakikatnya di kawasan Mukim 5, Taman Seruling Emas, tiada bekalan air berlaku setiap hari daripada jam 6:30 petang sehingga 11:30 malam. Berterusan 5 tahun masalah seperti ini tak selesai.

Jadi siapa kata Penang tak ada masalah air?

Apabila terdapat pengumuman terkini gangguan air tambahan maka keluarga si mati amat bimbang. Bagaimana kalau esok pagi iaitu pada hari ini gangguan itu berterusan sedangkan sebelah malam memang air tak ada bagi mukim 5.

Mereka hanya berbekalkan tong statik tepi rumah. Yang kadang diragui kebersihan air yang diisi ke dalamnya.

Mengurus jenazah bukan isu kecil dalam amalan agama dan hal sosio-budaya masyarakat Islam. Isu tatakelola yang gagal menjangkaui 5 tahun.

Tak selesai masalah air bagi kawasan Taman Widuri, Taman Seruling Emas, Taman Sungai Duri Indah dan sekitarnya dalam mukim 5, Sungai Bakap.

Insiden keresahan penduduk untuk urus jenazah ini adalah isu real di lapangan. Apakah pihak kerajaan negeri yang dikatakan maju gagal selesai isu ni?

Jawapannya adalah ya. Dan sehingga kini tak selesai. Baru saja habis Pilihan Raya Raya Negeri. Perubahan telah dibuat oleh penduduk di sini.

Maka, penduduk akan mula melihat bagaimana ADUN baru berusaha untuk mendesak kerajaan negeri supaya menyelesaikan masalah ini segera.

Rakyat mukim 5, berhak tahu mengapa agensi negeri iaitu syarikat operator air Pulau Pinang , PBAPP gagal selesaikan.

Apakah Pengerusi GLC PBAPP dan Ahli Lembaga Pengarah gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik?

Kalau gagal, berapa elaun mereka dapat sedangkan masyarakat mukim 5, terseksa lebih 5 tahun.

Ataupun, Kerajaan Negeri gagal merancang pembangunan dengan baik sehingga keperluan domestik penduduk marhaen tidak diutamakan berbanding kawasan elit dan kawasan industri.

Semua ini menjadi tanda tanya penting.

Bersabarlah pihak keluarga jenazah, semoga pegawai PBAPP di lapangan tahu masalah ni dan segera hulur bantuan untuk keluarga ini.

ZIKRULLAH ISMAIL
Prihatin Masalah Air Penang
Cyberjaya , 16 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 16/8/2023 

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Jom pulihkan balik negara.. Masalah air PP & S'gor.

Lagi komen rakyat..
(i) S'ngor pun sama, banjir kilat 'peka bukan pekak'. 
Ahmad Yunus Hairi

Kerajaan negeri Selangor digesa agar lebih peka dan serius dalam menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kejadian banjir kilat akibat hujan lebat yang berulang kembali ini tidak sepatutnya berlaku, malah sepatutnya ditangani dengan baik terutama di bandaraya Shah Alam.

“Kejadian banjir kilat petang semalam sangat mendukacitakan rakyat Selangor seolah-olah kerajaan masih tidak serius dalam menangani masalah banjir,” kata yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Selangor kepada HarakahDaily.

Menurut laporan sebelum ini, banjir kilat yang berlaku di Seksyen 13, Shah Alam semalam didakwa berpunca dari pam air yang tidak berfungsi. 

Senario banjir kilat yang melanda beberapa lokasi di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor pada petang semalam, 16 Ogos 2023. (FOTO: YouTube)

(ii) Kami, saksi banjir semalam.. 

Suasana banjir kilat yang melanda sekitar Tadisma Business Park, di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor pada petang semalam, 16 Ogos 2023. (FOTO: Tangkapan skrin video ihsan Khairul Fitri Mustafa)

Khairul Fitri

Seorang saksi banjir kilat, jurutera awam, Khairul Fitri Mustafa, 38, yang ditemui hasil tinjauan  HarakahDaily di salah satu lokasi yang dilanda banjir kilat tersebut, di Tadisma Business Park, Seksyen 13, di sini, pada hari ini, berkata, dia ada mendengar tentang antara punca utama kejadian itu tersebut berlaku kerana pam air yang gagal berfungsi di kawasan tersebut.

Namun, dia tidak menolak antara punca lain banjir kilat tersebut, mungkin adalah disebabkan masalah perparitan di kawasan itu. 

Visual keadaan longkang di sekitar Jalan Lawan Pedang, Tadisma Business Park pada hari ini, 17 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

“Longkang dan parit di sekitar kawasan ini agak tersumbat kerana berkemungkinan jarang diselenggara oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” tegasnya yang sempat berkongsi video bahagian hadapan pejabatnya dilanda banjir kilat dengan arus yang sedikit laju dan hampir menenggelamkan beberapa buah kereta diparkir di lokasi kejadian, petang semalam itu.

“Jarang-jarang (atau) tidak pernah saya rasa, nampak MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) cuci longkang (di sekitar kawasan ini),” luah Khairul Fitri. 

Keadaan di Jalan Lawan Pedang, Tadisma Business Park pada hari ini, 17 Ogos 2023.

Tinjauan HarakahDaily di sekitar kawasan itu pula mendapati keadaan longkang di situ kelihatan tidak diselenggara dengan baik.

Terdapat rumput dan tumbuhan kecil berhampiran longkang yang tidak dipotong dan tumbuh meliar, selain mendapan tanah yang tebal turut didapati terdapat  di dalam longkang terbabit. 

Amir


Sementara seorang lagi saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai, Amir, 25, memberitahu ketika banjir kilat di kawasan itu berlaku, paras air hampir mencecah paras 3  kaki.

“Paras air yang begitu tinggi menyebabkan air hampir memasuki rumah kedai, yang mana jarak antara pintu rumah kedai dengan air banjir hanya selangkah sahaja,” katanya. 

Pada hujung 2021, Seksyen 13, Shah Alam antara lokasi yang turut dilanda banjir yang telah melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, selain Hulu Langat dan Taman Sri Muda yang meyaksikan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, seramai 25 mangsa melibatkan 17 lelaki dan lapan perempuan.

Sementara pada Jun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penduduk Taman Sri Muda meneruskan saman terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan syarikat milik kerajaan, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. yang menuntut ganti rugi RM3.8 juta atas dakwaan menyebabkan penduduk mengalami kerugian jutaan ringgit akibat banjir dahsyat berkenaan. 

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 014 400 2015.

Guan Eng tak kebal lagi, diperintah bayar RM250,000..

 

Benarkah Guan Eng semakin terdesak? Dan apa erti kenyataan 'mahkamah rendah telah terkhilaf menolak saman Abdul Azeez terhadap Lim..' dalam kenyataan di bawah ini'?


Fitnah: Guan Eng diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Azeez August 21, 2023

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membayar ganti rugi am RM250,000 kepada bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kerana memfitnah berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azimah Omar yang membenarkan rayuan Abdul Azeez turut memerintahkan Lim selaku responden membayar kos RM70,000 kepada Abdul Azeez.

Hakim Azimah ketika membacakan keputusan itu berkata mahkamah rendah telah terkhilaf menolak saman Abdul Azeez terhadap Lim dan membenarkan pembelaan Lim bagi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak berhubung kenyataannya berkaitan Abdul Azeez.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Dis 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut.

Hakim Azimah berkata responden (Lim) tidak berusaha untuk mengesahkan maklumat itu dan beliau tidak pernah meminta sebarang maklum balas daripada perayu untuk pengesahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Lim mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu ketika negara bakal mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Responden bertindak demi kepentingan politik beliau dan mempunyai agenda dan kepentingan peribadi,” tambah beliau.

Hakim Azimah juga berkata kenyataan responden itu telah melangkaui dengan meminta pihak berkuasa menyiasat isu dakwaan salah laku projek terowong dasar laut selain mendakwa perayu terlibat dalam perkara itu.

“Tiada bukti responden menghubungi perayu, tidak ada proses pengesahan. Responden terburu-buru menghebahkan kenyataan fitnah itu,” katanya sambil menambah Lim tidak mengeluarkan kenyataan tersebut dengan niat baik tetapi dibuat demi kepentingan politik.

Menurut hakim, pemaju projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd telah menghantar notis tuntutan (NOD) kepada Abdul Azeez pada Februari 2018 untuk mendapatkan semula wang itu tetapi kemudian menarik balik NODnya dalam masa seminggu, berikutan maklum balas Abdul Azeez terhadap syarikat berkenaan.

Hakim Azimah berkata responden bukanlah “orang awam biasa” tetapi merupakan “ahli politik veteran terkenal dan berpengalaman” yang bukan orang asing dalam proses litigasi.

Justeru, kata hakim ia sepatutnya jelas kepada Lim bahawa NOD itu menunjukkan Abdul Azeez tidak bersalah dan tiada percubaan daripada Lim untuk mengesahkan kandungan LOD itu.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom, Abdul Azeez diwakili peguam Porres Royan dan Craign Ho manakala Lim diwakili peguam Datuk N. Mureli dan Felix Lim. – BERNAMA


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Guan Eng tak kebal lagi, diperintah bayar bayar RM250,000..


Lihat komen atas kenyataan ini..

(i) Kerajaan apa ni, tutup surau kerana tiada air.. 

Norazian Md Ali

Di Kuantan, sejak kira-kira dua tahun lalu, penduduk di Felda Sungai Panching Utara, 28 kilometer dari sini terpaksa menelan kesukaran dihadapi mereka. Ini berikutan masalah gangguan bekalan air di kawasan itu belum menunjukkan bakal berakhir.

Penduduk mendakwa isu berkenaan sudah lama berlaku dan aduan juga sudah dibuat kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

“Surau kami pun kadang kala terpaksa ditutup, kalau tak ada (bekalan) air, tak bolehlah nak buat solat berjemaah di sini,” kata bilal Surau As-Sajiddin, Felda Sungai Panching Utara, Norazian Md Ali, 52, ketika ditemui, hari ini.

Norazian berkata, sebelum ini surau berkenaan menerima ramai jemaah setiap kali masuk waktu solat fardu, namun sejak masalah gangguan air berlaku, tidak lagi boleh mengadakan solat berjemaah seperti sebelumnya.

“Macam sekarang, dah dua tiga hari kami tak boleh berjemaah di sini, jadi semua perlu ke Masjid Al Huda jika nak solat berjemaah.."


Seorang lagi penduduk Felda Sungai Panching Utara, Hayati Baharum, 52, mengakui masalah itu turut menjejaskan perniagaannya. (Foto)

Dia yang sebelum ini mengusahakan nurseri mendakwa terpaksa menghentikan operasi perniagaan itu berikutan masalah gangguan bekalan air.

Aduan dan laporan penduduk itu sudah sampai kepada pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yang turut sama meninjau masalah berkenaan hari ini. 

Apandi menunjukkan bekas yang digunakan untuk menadah air kepada Ustaz Mohd Tarmizi.

(ii) Melayu bodoh? Siapa bodoh sebenarnya.. 

Presiden PAS menjelaskan..

"Saya terbaca satu artikel dalam media Malaysiakini yang merendahkan Melayu dengan merujuk kepada tulisan Abdullah Abdul Kadir Munshi (1796–1854) yang merupakan seorang penulis khadam kepada penjajah pada zaman kemuncaknya (sila baca riwayat hidupnya). 

Bukunya yang diterbitkan pada zaman penjajah dahulu dalam tulisan Jawi, membawa fikrah yang sama dengan penulisan para orientalis Barat yang merendahkan Islam dan penganutnya, termasuk bangsa Melayu kerana Islam yang dianutinya.

Mereka sengaja menutup sejarah keemasan atau menafikan kehebatan rumpun Melayu Nusantara yang mempunyai tamadun sendiri ketika bersama Islam selama beberapa abad, sehingga perjuangan mereka melahirkan tokoh-tokoh ulama’ dan raja yang alim, raja yang adil, serta para mujahid (pejuang) yang menentang penjajah. Penjajah Barat telah melupai jasa tamadun Islam yang mengeluarkan mereka daripada era kegelapan ilmu.

Dipilihnya model Kelantan dan Terengganu, negeri terakhir dan benteng terakhir yang dijajah sebagai sasaran tekanan, sehingga diteruskan selepas mencapai kemerdekaan oleh anak-anak penjajah pula.

Terkini, sebabnya adalah kerana Perikatan Nasional (PN) mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang tersungkur rebah bersama ideologi warisan penjajah yang menjadi perjuangan mereka. Sekalipun mereka banyak menggunakan senjata fitnah dan pembohongan yang menjadi sebab rakyat menolak mereka.".

Akhirnya diringkaskan dari suntingan Presiden PAS ini, beliau menyarankan...

Kepada mereka yang membodohkan Melayu, saya bacakan firman Allah SWT:

﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ١٣ وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ١٤ ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ١٥ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ١٦﴾

“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Adakah kami akan beriman sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya, merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu. (13) Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman.’ Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya, kami berpendirian seperti kamu, kami hanyalah berolok-olok.’ (14) Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka. (15) Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk. (16)” [Surah al-Baqarah: 13–16]

Kumpulan yang membodohkan Islam telah wujud pada masa al-Quran mula diwahyukan. Maka, pada zaman kini, lebih ramai lagi baka keturunannya yang berkeliaran menjadi bala tentera syaitan atau pencari upahannya.

Kepada mereka yang mempertahankan Islam pula, bacalah firman Allah SWT:

﴿وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا٦٣ وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمۡ سُجَّدٗا وَقِيَٰمٗا٦٤﴾

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan. (63) Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri ikhlas kerana Tuhan mereka. (64)” [Surah al-Furqan: 63–64] (rujuk kenyataan Presiden PAS 21 Ogos 2023)

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 014 400 2015.

Monday, August 21, 2023

Presiden tetap terus kuliah. PAS temu paderi. Inilah PAS!

 

Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.

Masih sesat walau al-Quran telah diturunkan.

KUALA LUMPUR: Walaupun al-Quran telah diturunkan menjadi petunjuk kepada seluruh manusia tetapi masih ada kalangan mereka yang sesat, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, hal demikian kerana mereka menolak peranan hidayah dan berfikir sendiri perjalanan kehidupan dengan menggunakan akal yang tetap bersifat lemah.

Di samping itu, ujarnya ada juga dalam kalangan mereka yang terpengaruh akibat terlalu mengikuti atau terikut-ikut orang lain.

“Antaranya, seperti kalangan para pemimpin yang membawa masyarakat kepada kesesatan,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Tambahnya, manakala golongan yang bertaraf cerdik pandai dan bertaraf ahli falsafah pula, mereka tetap berada dalam kesesatan.

Kata beliau, keadaan itu berlaku sekiranya mereka meninggalkan hidayah Allah SWT, atau bersikap takabur dengan menolaknya.

“Betapa bodohnya mereka, sehingga sanggup mengabdikan diri kepada makhluk yang lebih rendah daripadanya dari segi kejadian yang ditentukan oleh Allah SWT seperti batu, binatang dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kini, kata Tuan Guru sudah ramai ilmuwan yang beriman dan memeluk Islam setelah mereka tergamam dengan kebenaran petunjuk al-Quran.

Begitu juga, ujar beliau setelah mereka mendapati segala kandungan yang terdapat dalam al-Quran menepati dengan hasil kajian yang mereka lakukan dalam lapangan ilmu masing- masing. HARAKAHDAILY 18/8/2023  

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Presiden tetap terus kuliah. PAS temu paderi. Inilah PAS!

Lihat juga komen-komen ini..

(i) Al-hamdulillah, pertemuan PAS dengan paderi katolik Pulau Pinang berjalan lancar. Tahniah PAS.  


PAS Pulau Pinang terus mengadakan pertemuan mahabah bersama golongan paderi Gereja Katolik di sebuah hotel di sini, kelmarin. Program itu dianjurkan oleh Lajnah Dakwah PAS Pusat dan Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang.

Majlis turut disertai Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, AJK PAS Pusat, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Mohammad Fauzi Yusoff, Norazman Ishak (timbalan pesuruhjaya), Iszuree Ibrahim (setiausaha) dan Mohd Rafaie (bendahari).

Pemimpin agama katolik diketuai oleh Cardinal Datuk Seri Sebastian Francis. Turut hadir ialah Ketua Paderi Bahagian Pulau, Jude Miranda serta paderi Aloysius Tan, Michael Raymond, Oliver Tham, Esmond Chua OFM, Crispus Mosinoh OFM, Cosmas Francis OFM, Deacon Paul Kang termasuk wakil daripada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), Ariokadass Anthony dan Vincent Vega.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS negeri, Amir Hamzah Abdul Hashim berucap bagi mewakili lajnah itu manakala Idris mewakili PAS Pusat. Cardinal Dato’ Seri Sebastian Francis pula telah berucap mewakili seluruh para paderi yang hadir.

Amir Hamzah menegaskan Islam agama kedamaian dan PAS sendiri meraikan pelbagai agama dalam negara ini dan telah membuktikan dalam pentadbiran negeri dan negara.

Bagi Sebastian Francis, mengharapkan agar pemimpin-pemimpin politik sama ada Islam atau bukan Islam bertindak sebagai pemimpin yang bertolerasi seperti disebut dalam kitab suci iaitu al-Quran dan buku penganut agama Katolik.

Idris pula menekankan Islam agama yang sangat meraikan dan menghormati agama-agama lain yang memetik ayat 13 surah Al Hujurat. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati.(rujuk  HARAKAHDAILY 19/8/2023)

(ii) Inilah Islam, inilah PAS/PN. “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi mu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku atas mu dan Aku pun telah redha Islam menjadi agama bagi mu.” (QS Al-Ma’idah: 3). 

Allahu Akbar! 


Islam adalah suatu sistem yang komprehensif, menyentuh seluruh aspek kehidupan. Bermula sejak turunnya Nabi Adam AS hinggalah hari kiamat nanti.

Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan umat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah peradaban dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan keadilaan. Islam adalah kebendaan dan kekayaan atau usaha dan kecukupan. 

Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih tidak kurang tidak lebih.

Insya Allah!

(iii) Pengumuman: PN umum calon PRK Pulai, Simpang Jeram minggu depan.

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 014 400 2015.

Wednesday, August 16, 2023

Bahasa Melayu: Kembang di China, di M'sia dihina..

 


1. Bahasa Melayu pesat berkembang di negara tembok besar

KUALA LUMPUR: Disapa oleh warga asing dalam bahasa Melayu ketika berada di luar negara sentiasa mengujakan penulis, dan itulah yang dirasai apabila pertanyaan “apa khabar” menerjah pendengaran sebaik penulis menjejakkan kaki di Universiti Minzu, Yunnan, China lewat tahun lepas.

Tinggi lampai dan berkaca mata, yang menyapa adalah seorang lelaki tempatan dan memperkenalkan dirinya – dalam bahasa Melayu yang fasih – sebagai Zhao Ran, 36, seorang daripada pensyarah bahasa Melayu di universiti itu.

Penulis terkejut dan kagum dengan kelancaran Zhao bertutur dalam bahasa Melayu – tidak ubah seperti rakyat Malaysia – kerana tidak dimaklumkan oleh penganjur Program China Asia Pasific Press Centre 2022, bahawa ada warga universiti yang terletak di Kunming, ibu kota Yunnan itu boleh berbahasa Melayu.  

Zhao yang kelihatan teruja menyambut kedatangan kami – peserta program yang rata-rata berasal dari Asia Tenggara – turut memberitahu bahawa pihak universiti telah menyediakan pelbagai acara kebudayaan bagi meraikan lawatan kami pada hari berkenaan.

Barangkali berbangga dapat menunjukkan kemahirannya kepada penulis, Zhao rancak bercerita, terutama tentang pensyarah, pelajar serta senario pembelajaran di Sekolah Pengajian Bahasa-bahasa dan Budaya Asia Tenggara dan Asia Selatan yang disertainya sejak 13 tahun lepas.

“Kebanyakan pensyarah dan pelajar di sekolah ini mempunyai nama Melayu. Nama Melayu saya ialah ‘Bulan’, diterjemahkan daripada nama bahasa Inggeris saya, iaitu Moon,” ujarnya, mencuit hati penulis, serta menambah nama Melayu itu bertujuan menyuntik semangat warga fakulti dalam menguasai bahasa Melayu.

Beliau kemudian memperkenalkan penulis kepada seorang pelajar wanita yang nama Melayunya ialah ‘Humairah’.

Hampir sama

Kami dibawa oleh Zhao ke bangunan utama universiti, dan di sepanjang perjalanan itu kami rancak berbual. Di kiri dan kanan jalan pula lebih 100 pelajar berpakaian tradisional etnik mewakili kesemua 56 suku kaum yang diiktiraf oleh kerajaan China, berdiri sederet, menyambut kedatangan kami.

Sambil menguntum senyuman manis, mereka menari dan menyanyikan lagu “selamat datang”.

Sepintas lalu, pakaian tradisional yang dipakai oleh pelajar terbabit seakan busana suku kaum Kadazandusun di Sabah dan etnik Iban di Sarawak.

Penulis yang berketurunan Bisaya, tidak pernah menyangka ada etnik di luar Malaysia yang mempunyai pakaian tradisional hampir sama dengan satu daripada busana warisan budaya negeri kelahiran, iaitu Sabah, membuatkan penulis berasa begitu dekat dengan mereka.

Lebih-lebih lagi kesemua pelajar terbabit begitu ramah, sekali gus mengubat kerinduan penulis yang telah berada di negara Tembok Besar itu sejak Julai 2022, mengikuti program enam bulan hingga Disember, anjuran China Public Diplomacy Association menerusi China International Press Communication Center.

“Jurusan bahasa Melayu ditubuhkan pada 2010, dan sekarang kita ada lebih kurang 80 pelajar yang mengikuti pengajian selama empat tahun.

“Ada empat orang pensyarah bahasa Melayu, kesemuanya warga China, dan kebanyakan kami adalah lulusan Beijing Foreign Studies University,” ujar Zhao, mengalih perhatian penulis yang tertumpu pada kumpulan pelajar terbabit.  

Universiti etnik terkemuka China

Universiti Minzu yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1951, adalah antara universiti untuk minoriti yang terawal negara itu dan terkenal dengan penekanan terhadap pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan budaya etnik minoriti mereka.

“Sekolah ini bertujuan memupuk bakat profesional berorientasikan bahasa yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa dari rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara. Kami telah membangunkan program pembelajaran 15 bahasa rasmi kesemua 14 negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

“Bahasa-bahasa tersebut ialah Thai, Burma, Vietnam, Lao, Kemboja, Melayu, Indonesia, Hindi, Bengali, Filipina, Tamil, Pashto, Sinhala, Nepal dan Urdu. Penguasaan bahasa-bahasa ini akan menghapuskan halangan bahasa, menggalakkan interaksi budaya dan merapatkan hubungan rakyat dengan rakyat,” kata Presiden universiti Zhang Qiaogui semasa menyambut kedatangan kami.

Institut pengajian tinggi ini mempunyai lebih 15,000 pelajar peringkat sarjana muda dan siswazah. Majoriti pelajar adalah daripada lebih 50 kumpulan etnik yang ada di China selain segelintir pelajar asing, mengikuti pelbagai program pengajian bahasa dan budaya suku kaum minoriti serta kursus-kursus lain di bawah bidang antropologi. 

“Saya sudah belajar bahasa Melayu selama setahun setengah dan saya sangat teringin ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja di sana,” kata Liu Zhi Hui, penuntut tahun dua jurusan bahasa Melayu ketika ditanya tentang faktor dia mempelajari bahasa itu.

Liu atau nama Melayunya Zarif, adalah daripada etnik Va, turut memberitahu yang dia akan mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pada Oktober ini.

Sejarah pengajian Bahasa Melayu di China

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China bermula pada 1960-an dengan Beijing Foreign Studies University (BFSU) menjadi universiti pertama menawarkan kursus bahasa Melayu di negara itu menerusi usaha perintis Prof. Wu Zongyu.  

Sementara itu, menurut Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China BFSU Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan yang dihubungi Bernama di sini, susulan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya pengajaran bahasa Melayu di China, sebuah pusat pengajian ditubuhan di BFSU pada 1997.

Dikenali sebagai Pusat Bahasa Melayu, institusi itu kemudian dinaik taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China pada 2005, dan secara rasmi menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China, kata beliau yang dilantik ke jawatan itu pada April lepas.

Mengulas lebih lanjut, Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, berkata pada masa ini terdapat 13 universiti di China yang menawarkan program pengajian bahasa Melayu peringkat ijazah dan sebuah kolej dengan program diploma.

“Universiti dan kolej terbabit terletak di kota Beijing, Tianjin, Kunming, Guangzhou, Nanning, Xian, Luoyang, Hainan. Pada masa sama, ada beberapa buah universiti lain yang menawarkan bahasa Melayu sebagai kursus elektif seperti di Hebei dan Sichuan,” katanya.

Ujian pengiktirafan Bahasa Cina-Bahasa Melayu

Pada tahun lepas, China melancarkan Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu (CATTI BC-BM), iaitu ujian kelayakan vokasional peringkat negara yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Sekuriti Sosial China menerusi Jabatan Komunikasi Antarabangsa China.

CATTI dilancarkan bagi mengukuhkan pengurusan industri penterjemahan, menyeragamkan pasaran kerja penterjemahan, meningkatkan mutu penterjemah dan jurubahasa, sekali gus menyaksikan pendidikan bahasa Melayu berkembang pesat di China sejak akhir-akhir ini.

Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dilaporkan berkata melalui ujian itu, pendidikan modal insan dalam bidang penterjemahan bahasa akan dipermudah, di samping mendorong persefahaman antara rakyat China dan Malaysia. – BERNAMA

2. Bahasa Melayu dipandang hina  

Minda Presiden PAS
BAHASA MELAYU DIPANDANG HINA

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤

“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, juga memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Ayat di atas menunjukkan bahasa sendiri memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa petunjuk dan ilmu kepada suatu bangsa mengikut ciptaan Allah SWT. Sekalipun Allah SWT mencipta berbagai-bagai bangsa dan bahasanya, sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kalian dan warna kulit kalian. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Allah SWT menetapkan bahasa Arab menjadi bahasa al-Quran, bukan sahaja kerana ketinggian nilai dari segi sastera dan kekayaan bahasanya. Malah, disebabkan kehebatan perkataannya yang tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa yang lain.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW diperintah supaya memulakan dakwah Islam pada akhir zaman dengan memulakan kepada kaum dan bangsanya sendiri terlebih dahulu. Sekalipun Islam itu wajib disampaikan kepada seluruh manusia di seluruh alam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa.

Allah memerintahkan Baginda SAW supaya memulakan dakwah dengan bangsa dan keluarganya melalui firman-Nya:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syu‘ara’: 214)

Apabila Islam tiba di Nusantara, maka bahasa Melayu berperanan menjadi bahasa dakwah, pelajaran dan pendidikan, berserta peranannya dalam membina ketamadunan serantau. Bahasa Melayu berkembang bersama Islam, sehingga ia ditulis dengan huruf al-Quran bersama tambahan beberapa huruf lagi.

Perkembangannya berlaku sehingga beberapa abad sebelum kedatangan era penjajahan yang merosakkan umat termasuk bahasanya sekali.

Ketika awal kedatangan penjajah dan era penjajahannya, mereka juga terpaksa menggunakan bahasa Melayu. Sehinggakan, Perjanjian Pangkor yang termeterai pun ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi. Bahasa Melayu ketika itu menjadi bahasa perantaraan semua kaum yang dibawa masuk oleh penjajah.

Gerakan merosakkan bahasa Melayu dilakukan pada era penjajahan secara halus dengan perubahan yang berlaku pada tulisannya daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi melalui pelajaran dan pendidikan. Termasuklah penulisan cerita-cerita dongeng yang mengkhayalkan, sehingga sejarah Islam dan peranannya dilupakan.

Seterusnya usaha meminggirkan peranan bahasa Melayu disambung selepas kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sehingga generasi baharu majoritinya buta huruf terhadap tulisan Jawi. Hal ini berbeza dengan kaum Cina dan India yang tetap memelihara tulisannya.

Para pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan, sehinggakan ia disebutkan dalam perlembagaan. Seterusnya, ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan dan selanjutnya diikuti dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  

Malangnya, segala usaha tersebut tidak mendapat dukungan yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak. Sehinggakan, bahasa Melayu  hanyut terpinggir dalam masyarakat. Bahkan, ia dibariskan berada paling bawah dan tulisannya kecil.

Dalam pada itu, banyak perkataannya tidak menepati makna asal apabila diubah penggunaan ejaan hurufnya. Contohnya, perkataan ni‘mat (نعمة) ditukar kepada nikmat (نقمة) dengan makna celaka atau bencana.

Saya mengikuti persidangan antarabangsa yang disiarkan khususnya yang diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menunjukkan bahawa semua pemimpin negara-negara besar dan maju berucap dalam bahasa ibunda masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Walaupun ada yang dapat menguasai beberapa bahasa, namun mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Saya berasa bangga apabila Tan Sri Razali Ismail yang pernah dipilih menjadi Presiden Perhimpunan Agung PBB memulakan ucapannya dalam bahasa Melayu pada waktu itu.

Adapun yang berucap dalam bahasa bekas penjajahnya ialah para pemimpin yang diberikan gelaran negara sedang membangun. Hal ini demikian kerana, betapa lemahnya jiwa mereka walaupun dikatakan telah mencapai kemerdekaan dan paling kuat melaungkan perkataan merdeka serta mengibarkan bendera kebangsaannya. Akan tetapi, lemah jiwa bangsanya kerana tidak mempertahankan bahasanya sendiri.

Mereka itu apabila disebutkan slogan bahasa jiwa bangsa, tetapi sikapnya terhadap bahasa ibunda sendiri terlalu lemah atau sudah hilang, maka ia menunjukkan jiwanya masih dijajah. Keadaan ini berlaku sekalipun jasadnya bertempik slogan merdeka dan tangannya mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing. Apa yang paling menarik adanya kalangan mereka yang merasa malu apabila berbahasa kebangsaan dan melecehkan bahasanya sendiri. Walhal, kakinya berpijak di sini, tetapi rohnya tersangkut dengan bekas penjajah yang telah memperhambakannya.

Sehinggakan, mereka berucap dan bermesyuarat dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan melakukan pengumuman di darat dan udara dengan mendahulukan bahasa Inggeris. Bahkan, segala iklan di kedai dan pasar serta nama-nama bandar dan jalan pun dinamakan dengan bahasa Inggeris, walaupun sasarannya secara majoriti besar tidak tahu berbahasa Inggeris.Betapa lemahnya jiwa bangsa mereka, sehingga berbahasa Inggeris kerana hanya seorang yang tidak tahu berbahasa Melayu. Pada masa yang sama, tidak mempedulikan kepada beribu para hadirin daripada rakyat yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris.

Peranan bahasa ibunda dalam kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), menunjukkan kejayaan pendidikan negara yang maju kerana mereka menjadikan bahasa ibunda masing-masing menguasai sistem pendidikan, pelajaran dan media. Contohnya, negara Jerman dan Jepun yang bangkit selepas Perang Dunia Kedua.

Pada hari ini, di negara China, bahasa asing dipelajari bagi mengambil ilmu daripada berbagai-bagai bangsa yang lain.

Adapun bagi memperkasakan ilmu bangsanya pula, mestilah ilmu tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Hal ini penting supaya dapat melahirkan ilmuwan yang ramai dengan mudah dalam tempoh masa yang ringkas.

Semua negara yang menjadikan bahasa asing khususnya bahasa bekas penjajahnya sehinggakan peminta sedekah juga berbahasa Inggeris, tetap berada pada tahap merangkak. Walaupun negaranya tersenarai dalam senarai perkataan negara sedang membangun yang tidak diketahui bila boleh bangun sendiri menjadi bangsanya mencapai kemajuan dalam semua lapangan.

Bahkan, mereka terus bergantung dengan penjajahnya yang mengambil kesempatan memeras bukannya membantu.

Sejarah Tamadun Islam pada zaman keemasan bangkit bersama bahasa Arab dan bahasa ibunda bangsa yang menganut Islam dan mengambil alih kepimpinan daripada bangsa Arab. Pernah suatu ketika dahulu bahasa Urdu dan bahasa Parsi yang berhuruf Arab dijadikan bahasa rasmi oleh Kerajaan Islam Mogul di India.

Begitu juga, Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah dengan bahasa Turki yang berhuruf Arab sebagaimana bahasa Melayu yang bertulisan Jawi di Nusantara. Sehinggakan, keadaan sedemikian mempengaruhi wilayah luas yang dikenali Alam Melayu, dengan huruf yang mencukupi dan istilah yang tepat maknanya.

Mustafa Kamal Ataturk memaksa bahasa Turki ditulis dengan huruf rumi, dengan alasan ingin menjadi negara maju seperti Eropah. Hal ini menjadikan Turki merempat beberapa dekad dan kini sedang dilakukan perubahan untuk kembali ke pangkal jalan.

Apabila berlakunya gerakan meminda tulisannya mengikut agenda penjajah, maka bahasanya rosak dan dilemahkan peranannya pula. Sehinggakan, pengaruhnya juga dirancang supaya dihapuskan, malah menjadikan kita sudah ketinggalan jauh ke belakang.

Kini, sudah ada suara kesedaran yang wajib diikuti dengan tindakan yang bersungguh-sungguh. Jangan pedulikan suara songsang yang mengigau kerana masih tidur dalam lamunan zaman penjajah atau kalangan mereka yang gila mahu memaksa bahasa Melayu ditinggalkan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Zulhijjah 1443 / 2 Julai 2022

 

Komen Weblog Ibnu HasyimBahasa Melayu: Kembang di China, di M'sia dihina..

(i) Maklumat Malaysia: Bahasa Rasmi


Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. 

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996). 

Namun pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

Kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa antarabangsa yang lain khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa. 

Sumber: Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)


(ii) Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. 

Perkara 152Perlembagaan Malaysia  memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walau bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya Perkara 152 hendak dipinda.

Teks[sunting | sunting sumber]

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.


 Kesimpulan:


Jom tinggalkan PMX Malaysia..
Kepada rakyat Malaysia, sebenarnya kebangkitan Islam di negara ini berada di hujung jari anda. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam, yang ada di negara kita. 

Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. Insya Allah!


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails