Monday, June 18, 2007

Politik Belut: Anwar Terajui Malaysia?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI


KAMI, kini di Kota Bharu. Masuk ke sebuah medan selera, yang menghidangkan pelbagai jenis makanan rakyat. Dari kueh-kueh, pelbagai jenis me, laksa buyung, pelbagai jenis sup serta nasi, termasuk pulut durian dan macam-macam. Masing-masing pilih kegemaran masing-masing. Tapi saya pilih sub belut.. Mengapa dengan belut? Begini ceritanya…

“Dulu hang sebut teori Anwar nak cuba terajui semula politik Malaysia mengikut jalan dalam yang singkat… Pada aku itu satu kenyataan dan ulasan yang merbahaya.” Kata kawan saya dari Permatang Pauh. Kami sama-sama ke Kelantan mengikuti muktamar agung PAS. Dia hadir sebagai tetamu jemputan di muktamar tersebut. Di medan selera ini, dia pilih makanan pulut durian, tak macam kami yang pesan sub belut.

Memang saya ada menulis mengenai pilihan raya Ijok di Selangor hari tu, seolah-olah meragui Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dikatakan menyerang TPM sahaja tidak PM, serang Najib saja tidak serang anak buah Pak Lah lain, tidak serang dasar UMNO atau Barisan Nasional (BN) habis-habisan, yang secara kasarnya memang nampak macam menyerang semuanya. Mengapa pula beliau cuma pilih jadi Penasihat KeAdilan (PKR) saja, tidak jadi presidennya?

Kerana itu ada yang mengandaikan, beliau hanya menyerang kerusi TPM supaya tinggal kosong. Kalau kerusi TPM sudah kosong, dan pemecatan Anwar boleh diusahakan supaya ditarik balik, maka kerusi itu ada harapan jadi milik Anwar.. Saya tulis hal ini di bawah judul ‘Cubaan Anwar Terajui Malaysia’ dalam Catatan Santai: ibnuhasyim.blogspot.com. Suatu teori yang masih belum basi lagi.

“Pada aku pun macam tu juga.. kalau dibiarkan tak ulas hal itu aku anggap merbahaya! Begitu juga dengan isu yang diwarwarkan baru-baru ini, PKR mohon 50% kerusi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kelantan dari PAS, untuk bertanding mewakili Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya umum akan datang…” Saya jawab.

“Itu pun permintaan yang tak siuman..” Sampuk kawan seorang lagi (mungkin penyokong PAS) dengan pantas. “Buat syarat sebelum berunding, depa ingat PAS nak bagi??”

“Pasai apa hang kata macam tu??”

“Tunaikan permintaan tak menasabah PKR itu, sama dengan memberi sebiji ‘time bomb’ ke tangan Anwar, memberi kuasa penentu yang amat besar kepada beliau. Kalaupun PAS menang semua kerusi (50%) dipertandingkan dan PKR menang satu kerusi sajapun, PKR masih berkuasa penuh, kerana PAS tidak mampu tubuh kerajaan kecuali dengan bantuan PKR walaupun dengan satu kerusi ADUN.

Apa lagi kalau sasaran kemenangan PAS tidak tercapai 50%, sudah tentu PKR mampu menumbangkan kerajaan PAS Kelantan, dengan kerjasama parti-parti lain dari PAS yang menang.. Kalau PKR menang banyak kerusi ADUN dan PKR kekal bersama BA, belum tentu PKR dapat menjamin ADUN-ADUNnya ‘tidak dapat dibeli’, kerana harganya waktu itu terlalu mahal.

Sedangkan ADUN-ADUN PAS kini sudah teruji tidak dapat dibeli, walaupun dengan kelebihan satu kerusi ADUN seperti yang terbukti sekarang!”

“Pasai apa pula hang samakan kuasa penentu itu dengan time bomb yang sentiasa menunggu masa untuk meletup??”

“Tuan-tuan semua tentu tahu, Parti KeADILan ditubuhkan setelah Dato’ Seri Anwar dipecat dari UMNO. Dasarnya lebih kurang macam UMNO dan BN juga, cuma mereka nakkan keadilan dengan mengembalikan hak Anwar ditempatnya. Kalau dah dapat, nak lawan UMNO dan BN buat apa lagi??

Sejarah menunjukkan parti-parti serpihan dari UMNO takkan dapat bertahan lama. Bermula dengan Parti Negara atau IMP ditubuhkan September 1951 oleh Dato’ Onn Jaafar yang keluar meninggalkan UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman (UMNO ditubuhkan 1946). Begitu juga parti serpihan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah berlawan dengan UMNO pimpinan Dr Mahathir, yang akhirnya bersama PAS menawan Kelantan pada 1990.

Kini Parti Keadilan pula, walaupun dah bercantum dengan Parti Rakyat Malaysia, jadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, namun statusnya tetap disebut ‘parti serpihan’. Mungkin Anwar sedar hal itu (parti serpihannya tidak akan tahan lama). Beliau menunggu peluang baik untuk kembali memimpin Malaysia bersama UMNO. Tetapi beliau perlu ada kekuatan di tangannya dan kuasa dari orang dalam UMNO itu sendiri (aku yakin sekarang sudah ada!). Kalau kuasa sebuah Kelantan ada di tangannya, barulah dirinya menjadi mahal dan ada kekuatan untuk berunding dengan Pak Lah (termasuk menantunya) atau UMNO.

Dalam perundingan, mungkin ada 2 pilihan di depannya waktu itu. Satu, wujudkan politik kerjasama atau Kerajaan Campuran seperti yang berlaku selepas 13 Mei 1969 di zaman pemerinthan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke2. Kedua, kembalikan haknya dalam UMNO seperti dulu, dengan itu beliau akan tinggalkan BA yang akan bertukar menjadi lawannya pula. Itulah maksud aku bom jangka atau ‘time bomb’ yang akan meletup bila-bila masa sahaja di tangan Anwar.

Ooo, ada lagi pilihan ketiga bagi Anwar, tak payah runding-runding lagi beliau akan menjadi pembangkang, yang tidak tentu entah bila akan menangnya, macam parti-parti pembangkang yang lain.” Jelas kawan yang pro PAS itu.

“Hang jangan cuba merendah-rendahkan rakan se BA kita, hang tak tau ke Anwar tu sudah dikenali sebagai pemimpin Islam di negara Arab dan seluruh dunia??” Kawan saya yang dari Permatang Pauh itu membidas balik.

Aku tidak rendahkan sesama kawan.. Kalau rakan-rakan kita boleh sindir PAS, suruh gugurkan konsep negara Islamnya jika nak diterima oleh orang bukan Islam, takkan la aku nak kata sikit macam ni pun tak boleh?? Aku bukan tak hormat perjuangan Islam Brother Anwar, bos aku dulu dalam ABIM, tapi kebelakangan ini aku tengok beliau dah lain sikit... Kalau takat menari tu (seperti yang disiarkan dalam tv Malaysia) aku tak kisah la, tapi dalam soal murtad tu dia nampaknya membisu seribu bahasa.. Nak tunjuk politik belut sangat?!!”

“Dah la tu.. Sekarang kita sudah bincangkan satu lagi teori cubaan Anwar terajui politk Malaysia.” Saya memotong cakap mereka. Makanan dan minuman yang kami pesan pun sudah sampai. “Licik-licik belut pun, boleh dibuat sup! Mai kita makan sup belut!!”

“Ooo.. pasai apa hampa (anda) pilih sub belut??” Tanyagurau si pemesan makanan pulut durian tadi.

“Sup belut khasiatnya macam tongkat ali, kalau pulut durian tak tau la..”

“Tak kira belut atau pulut, yang penting semuanya masuk mulut!!”

Sama-sama tertawa kecil.


Catatan santai:
ibnuhasyim.blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
10-06-2007.



Pulau Pinang: Balik Pulau Bayan Lepas...

Kartun politik ini diambil dari akhbar 'Majlis ' 6 Sept 1947. 10 tahun sebelum merdeka, bertajuk 'Malaya Hak Melayu'

Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

SUARA azan subuh berkumandang memecah kesunyian pagi di masjid sebuah kampong di Balik Pulau, Pulau Pinang. Selepas solat, kami bersembang-sembang dibalai lintang masjid tersebut.

“Banyak perubahan sejak Tuan Aji tidak kerap balik kampung macam setahun dua dulu?” Kata imam masjid itu kepada saya. Saya kebetulan pulang melihat orang tua saya sakit. Orang tua saya dulu imam dan khatib di situ, beliaulah penggantinya, kini.

“Dulu, kampong kita ini terkenal dengan kampung yang penghuninya100% Melayu dan kebanyakan tanahnya milik orang Melayu.. tapi sekarang banyak tanah-tanah milik kita terlepas ke tangan bangsa asing yang pastinya bukan orang Islam..” Kata beliau, dengan menyebut beberapa nama dan tanah-tanah yang terlepas itu, dengan nada agak sedih..

Kampung ini bernama Kampung Perlis. Kampung yang asalnya dibuka oleh orang-orang dari negeri Perlis, berhijrah ke Pulau Pinang… Terdapat 3 Kampung Perlis, iaitu di Seberang Perai, Bayan Lepas dan Balik Pulau, dalam negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang adalah negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis. Dari segi geografi Pulau Pinang terbahagi kepada 2 bahagian. Iaitu Pulau Pinang , sebuah pulau dengan keluasan 293 km persegi, dan Seberang Perai , sejalur tanah seluas 760 km persegi bersempadan dengan Kedah di utara dan timur, juga Perak di selatan.

Ibu negeri dan bandar terbesar di Pulau Pinang ialah Georgetown. Ianya dibuka, atau boleh juga disebut dijajah pada tahun 1786 oleh Kapten Francis Light. Kini, Georgetown adalah bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. Ianya menjadi bandaraya tertua di Malaysia apabila Ratu Elizabeth II menganugerahkan taraf bandaraya pada 1 Januari 1957.

Hal ini mengingatkan saya, semasa kecil-kecil dulu ibu saya mengajarkan lagu rakyat berbunnyi…

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja,
Bagaimana hati tak haru,
Melihat bunga kembang seroja.

Bila besar saya terfikir. Bagaimana hati boleh jadi ‘haru’ atau terharu bila melihat ‘bunga kembang’?? Takkah pelik?

Mai kita lihat sejarah! Pulau Pinang memang asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah. Tetapi telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur British (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah. Penyerahan sebagai gantian untuk dapat perlindungan pihak British dari serangan Siam dan Burma.

Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau sebagai Pulau Prince of Wales untuk menghormati Raja Muda penjajah dari Britain. Penempatan di Tanjung Penaigre yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakannya ‘Georgetown’, iaitu sempena nama Raja George III dari Britain.

Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka membangkit minat Syarikat Hindia Timur British menggunanya sebagai pelabuhan untuk kapal-kapal dagangnya, dan juga sebagai pangkalan tentera laut untuk menentang cita-cita orang Perancis di wilayah tersebut Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan tentera tanpa kebenaran Syarikat Hindia Timur British.

Apabila syarikat tersebut gagal membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba ambil balik pulau tersebut pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal, bahkan berlaku sebaliknya, Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah Pulau Pinang kepada Syarikat dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun.

Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan serahan tambahan pula Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah. Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat (Straits Settlements) di bawah pentadbiran British di India.

Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963. Pulau Pinang menjadi sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969.

Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, namun Zon Perdagangan Bebas di selatan pulau, menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di wilayah Asia. Hal ini berlaku dari 1970an sehingga akhir 1990an, walaupun pada tahun 2004, telah berlaku kemerosotan ekonomi.

Jadi, perkembangan yang begitu pesat dan rancak (‘Pulau Pinang bandar baharu’), tidak banyak memberi manfaat kepada kaum bumiputera asal dan agama anutannya ( kerana kesan penjajah musuh Islam ‘Kapten Light menjadi raja’).Walau bunga-bunga di taman Pulau Pinang berkembang, tapi ianya layu atau melayu pada warga Melayu.. Mungkin itulah sebabnya hati warga Melayu jadi ‘haru’ biru..

Begitu juga dilihat dari segi bilangan penduduk. Asalnya memang tinggi peratus Melayunya. Lama kelamaan makin berkurangan. Kini, Pulau Pinang mempunyai penduduk ke 9 terbanyak di Malaysia. Dengan kepadatan penduduk paling tinggi, iaitu 2,031.74 penduduk sekilometer persegi di pulau, dan 865.99 penduduk sekilometer persegi di Seberang Perai.

Komposisi kaum mengikut bangsa pada 2006 ialah Cina: 635,500 (42.5%), Melayu: 612,300 (41.0%), India: 148,000 (9%) dan lain-lain: Bumiputra Bukan Melayu: 5,600 (0.38%) serta Bukan Warganegara: 91,200 (6.1%). Negeri Pulau Pinang juga adalah negeri yang mempunyai peratusan etnik Melayu dan penganut Islam terendah di Semenanjung Malaysia. Bangsa Melayu cuma 41.1% sahaja dari keseluruhan penduduk!

Belum lagi kalau kita lihat dan perincikan dari segi pemilikan hartanah.. Terutama sejak akhir-akhir ini seperti yang disebut oleh Tuan Imam tadi.

Kata pula seorang lagi yang berada di sebelah imam itu, “Kegelisahan rakyat Balik Pulau perlu di ambil kira. Kepada pemimpin-pemimpin Melayu-Islam Pulau Pinang kita berseru, jangan cuma nampak kuman di seberang lautan saja, tetapi gajah di depan mata tak nampak pun!!”

“Datuk nenek kita dulu telah memberi amaran dalam sebuah Pantun Melayu lama Pulau Pinang, antaranya menyebutkan… ‘Balik Pulau Bayan Lepas, sana terpelau sini terlepas’!!” Jawab saya pula.

Cahaya matahari pagi kurniaan Ilahi mulai memancarkan cahayanya, menerjang kegelapan, menerangi alam maya. Begitulah juga yang diharapkan pada penghuni-penghuninya di pulau ini…

Catatan santai: P.Pinang siri 1
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com).
Balik Pulau 28-05-2007.

Saturday, May 26, 2007

Harga Barang Naik… atasi dengan nuklear



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

SEBIJI bom nuklear mampu memusnahkan sebuah bandar. Senjata nuklear telah digunakan 2 kali dalam pertempuran semasa Perang Dunia II oleh Amerika Syarikat terhadap bandar Jepun, Hiroshima dan Nagasaki. Pemilik kuasa nuklear yang diistihar adalah Amerika Syarikat, Russia, United Kingdom, Perancis, Republik Rakyat China, India dan Pakistan.

Selain itu, negara Israel dipercayai mempunyai senjata nuklear, walaupun tidak diuji dan Israel enggan mengisytiharkan sama ada ia memiliki senjata nuklear ataupun tidak. Senjata nuklear kini dapat dilancarkan melalui pelbagai cara seperti melalui kapal terbang pengebom, peluru berpandu, peluru berpandu balistik, dan peluru berpandu balistik antara benua. Senjata nuklear adalah senjata yang mendapat tenaga dari reaksi nuklear dan mempunyai kuasa pemusnah yang besar.

Laporan akhbar New York Times (NYT) menyebutkan, para merinyu nuklear Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Iran telah mula memperkaya uranium pada skala lebih besar selepas menghuraikan masalah teknikal dalam prosesan berkenaan. Di Natanz, IAEA mendapati para jurutera Iran sudah pun menggunakan kesemua 1,300 emparan. Ia menghasilkan bahan bakar yang sesuai bagi reaktor nuklear.

Masyarakat antarabangsa telah mengenakan sekatan ke atas Iran, dengan menyenarai hitam 12 individu dan 10 pertubuhan. Salah satu pertubuhan terbaru yang disertakan dalam senarai itu ialah Bank Sepah, yang dikendalikan oleh pemerintah Iran. Bank itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pembangunan nuklear. Termasuk juga Jepun telah membekukan aset 13 pertubuhan dan 15 individu.

Jimat

Sebenarnya, reaksi nuklear juga boleh digunakan untuk menjana elektrik. Mungkin ramai yang masih belum tahu. Kos menggunakan nuklear jauh lebih jimat berbanding dengan minyak. Kos penggunaan minyak semakin lama semakin tinggi, menyebabkan TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik untuk menambah keuntungan. Teknologi pada tahun 1998 Jepun, dengan sesudu teh uranium dapat menjana tenaga elektrik untuk satu bandar Tokyo. Satu sudu uranium membolehkan kapal selam US dapat bertahan penggunaannya selama untuk setahun,

Itu sebabnya baru-baru ini, menurut AFP (Mei 2007) kerajaan Thai buat kali pertama menyenaraikan tenaga nuklear sebagai satu pilihan dalam perancangan tenaga jangka panjangnya, meskipun timbul kebimbangan mengenai masalah alam sekitar. Perancang kerajaannya percaya menjelang hujung dekad akan datang, pembinaan loji nuklear mereka akan menjadi cara paling menjimatkan untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin pesat meningkat di negara tersebut.

“Kami menjangka menjelang tahun 2019, loji tenaga nuklear akan menjadi loji tenaga paling murah untuk menjana tenaga elektrik,” kata pegawai di Kementerian Tenaga Thai, Twarath Sutabutr baru-baru ini.

Loji Tenaga Nuklear

Pembinaan empat loji tenaga konvensional sudah pun diluluskan, tetapi Rancangan Pembangunan Tenaga kerajaan yang meliputi tempoh 15 tahun sehingga 2021 mengambil kira tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baru. Membina loji nuklear sebenarnya jauh lebih mahal daripada loji tenaga konvensional tetapi tenaga yang dihasilkan jauh lebih murah... Terutamanya jika harga minyak dan gas asli terus meningkat pada masa depan, kata Twarath lagi.

Thailand membelanjakan RM88.4 bilion (912 bilion baht) untuk import tenaga yang kebanyakannya minyak mentah pada 2006, peningkatan 16 peratus daripada tahun 2005, menurut kementerian tersebut. Sebab itulah kerajaan Thai mula menimbangkan penggunaan tenaga nuklear 30 tahun lalu tetapi cadangan itu digugurkan selepas simpanan gas asli ditemui di Teluk Siam.

Kira-kira 70 peratus bekalan elektrik Thailand berpunca daripada gas asli, dengan bakinya daripada minyak, arang batu dan tenaga hidro. Namun simpanan gas asli semakin berkurangan, sekali gus memaksa Thailand mencari sumber tenaga baru bagi mengurangkan pergantungan kepada import petroleum.

“Jelaslah Thailand perlu mempelbagaikan sumber tenaganya dan pilihannya sama ada nuklear atau arang batu,” kata pakar tenaga di Singapura, Martin Daniel pula.

Kini, Thailand sudah pun mengadakan beberapa perjanjian tenaga dengan negara jiran, Myanmar termasuk projek tenaga hidro bernilai RM20.4 bilion (AS$6 bilion) di Sungai Salween, sungai terpanjang tanpa empangan di Asia Tenggara.

Persiapan

Menurut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kerajaan (kerajaan Pusat) perlu membuat sesuatu yang boleh menyenangkan perasaan rakyat kerana berdepan dengan kenaikan harga barang ekoran kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

“Apa yang saya lihat kegelisahan rakyat makin kuat apabila berlaku kenaikan harga barang. Nampaknya belum ada program yang dibuat kerajaan Pusat untuk menyenangkan perasaan rakyat mengenai perkara itu,” katanya selepas mesyuarat Exco Negeri di Kota Bharu 23 Mei ini.

Kesimpulannya, jalan penyelesaian jangkapanjang ialah dengan mengikut langkah kerajaan Thailand, yang boleh dilihat dari pelbaggai sudut.

Pertama, penjimatan kos supaya harga minyak boleh dikawal, demi kesejahteraan rakyat walaupun dalam masa jangka panjang.

Kedua, kerajaan melalui agensinya boleh wujudkan sebuah projek bisnes antara negara, dan

ketiga, demi keselamatan negara masa depan, seperti fiman Allah SWT Surah ke 8 Al-Anfal, ayat 60:

‘Dan persiapkanlah untuk (menghadapi) mereka, apa saja yang kamu sanggup daripada kekuatan dan daripada ikatan kuda-kuda, untuk kamu pertakuti dengan dia musuh Allah dan musuh kamu.’

Ibnu Hasyim: Nama sebenar adalah Dr Hj Mohd Hj Hashim, pernah menulis di beberapa akhbar tempatan, pernah menjadi pengarang majalah Al-Ummah dan menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama.

Thursday, May 24, 2007

Mengapa Bangunan PAS Di Belakang Mati?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BANGUNAN PAS tujuh tingkat, kini tersergam indah di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kalau dari Bangunan MARA melalui jalan sehala Jalan Raja Laut melintasi beberapa lampu isyarat lalulintas anda akan bertemu bangunan tersebut. Di belakang bangunan itu terdapat Lorong Haji Taib terkenal dengan perniagaan persundalan, yang masih belum mati-mati, disebut juga Belakang Mati.

Antara ucapan Tok Guru Mursyidul Am PAS pada perasmian bangunan itu (21-05-2007), ada menyebutkan tentang berkembang pesatnya penubuhan Kelab Penyokong PAS bukan Islam. Ianya terus berkembang di Kelantan terdiri dari orang bukan Islam, berketurunan Cina, India dan terakir dari yang berketurunan Siam.

Menurut Ustaz Mujahid Haji Yusuf Rawa yang mengetuai Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, sudah banyak kelab-kelab ini ditubuhkan seperti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Kelantan. Pengerusi kelab-kelab tersebut ialah encik Hu Pang Chaw dari Kelantan.

“Mengapa ditubuhkan kelab-kelab penyokong PAS, adakah untuk meluaskan medan dakwah Islamiah di kalangan bukan Islam?” Saya tanya beliau, sewaktu bertemu bersama beberapa kawan yang lain.

Beliau adalah rakankarib saya yang menyertai PAS melalui tangan saya dulu. Saya yang menghantar borang ahlinya ke pejabat agung PAS melalui PAS Kawasan Balik Pulau (waktu itu saya jadi YDPnya, di mana saya menerima amanah Tok Guru Abdul Hadi yang memesan supaya cepat-cepat beri borang ahli PAS, semasa beliau pulang belajar dari Mesir dulu, walaupun beliau adalah anak bekas Yang Di Pertua atau Presiden PAS waktu itu.)

“Tidak.” Kata Ustaz Mujahid. “Tujuan utama Kelab Penyokong PAS itu ditubuhkan ialah untuk merobohkan tembuk-tembuk pemisah perkauman dan asabiah yang menjadi tabiat politik Malaysia.”

“Tabiat politik Malaysia??” Ada orang lain menyampuk.

“Ya!” Saya pula yang jawab. “Supaya orang bukan Islam melihat PAS bukan lagi dari balik tembuk yang tidak telus. Bukan melihat dari sudut mata sepet pemimpin-pemimpin kerajaan yang tidak pernah nampak langsung kebaikan PAS. Menuduh PAS dan parti-parti pembangkang sebagai perkauaman kononnya… untuk sembunyikan sifat perkauman mereka. Itulah tabiat perkauman politik Malaysia.”

“Ya..” Ustaz Mujahid menambah. “Supaya ada atau diwujudkan penjelas-penjelas Islam sebenar dari kalangan orang bukan Islam sendiri. Terutamanya di waktu saat-saat genting bila berdepan dengan pilihanraya, kita tidak saja tergesa-gesa perlu pertolongan dari parti-parti pembangkang bukan Islam lain, bahkan perlu dari rangkaian bukan Islam yang kita tangani sendiri!”

“Adakah dengan adanya pejabat PAS di pusat bandar KL ini ada kena mengena dengan meroboh atau merubah tabiat politik Malaysia itu?”

Pada telitian saya memang ada! Bukan sahaja meroboh tembuk perkauman, tetapi membina binaan Islam di atas runtuhan tersebut. Bukan sahaja Islam itu sebagai asas perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan manusia sejagat, bahkan juga sebagai asas kepada penyelesaian segala masalah sosial masyarakat seperti di Belakang Mati ini. Kalau Belakang Mati yang tidak secara langsung menjadi simbol, ke ‘hitam’an seperti pelacuran kelas bawahan di pusat bandar ini, maka wujudnya pejabat PAS di sini akan menjadi simbul pemutihan ibarat purnama yang cahayanya menerangi malam gelap-gelita. Simbul kepada pembebasan golongan mustad’afin dari penindasan golongan mustakbirin! Itu jawapan saya.

“Sila beri komen anda mengenai bangunan baru PAS ini?”

“Kerana bangunan PAS ini terletak di tengah-tengah kawasan majmuk sekitar Chow Kit, maka kita kena jadikan PAS sebagai lambang perpaduan masyarakat berbangsa-bangsa di Malaysia. Perpaduan di bawah payung Islam bukan bererti orang bukan Islam ‘kena masuk Islam’, seperti tidak semestinya orang berfikiran Islam mesti orang Islam.” Kata saya.

Komen saya, kalau boleh sila tambahkan atau pampangkan nama PAS itu dalam bahasa Cina dan India juga di puncak bangunan tersebut…

Ibnu Hasyim: Nama sebenar adalah Dr Hj Mohd Hj Hashim, pernah menulis di beberapa akhbar tempatan, pernah menjadi pengarang majalah Al-Ummah dan menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama.

Monday, May 21, 2007

Kisah Cik Siti, Puteri & Seekor Kijang...


Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

‘SITI’ adalah gelaran yang diberikan oleh seorang ahli bisnes Arab, yang bahasakan Cik Siti Wan Kembang dengan ‘Siti’ sahaja. Hal ini berlaku dalam perbualan didengari oleh beberapa orang yang berada di balai mengadap waktu itu.

“Apakah erti Siti itu?” Salah seorang dari mereka bertanya.

“Siti adalah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai.” Jawab ahli bisnes itu. seperti yang dinukilkan berdasarkan buku ringkasan cerita Kelantan karangan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja.

Demikian sahabat saya Ustaz Tuan Junuh bercerita mengenai Cik Siti Wan Kembang atau negeri Kelantan. Kami sedang menuju dengan sebuah kereta ke negeri tersebut melalui rentasan lebuhraya timur-barat. Dia ingin balik kampong, dan kawan saya sorang lagi itu, isterinya adalah orang negeri Cik Siti.

Sambungnya lagi, “Ada juga sumber sejarah menyatakan beliau turut juga digelarpanggil dengan Paduka Cik Siti. Dalam buku sejarah Kelantan karangan Arifin Abdul Rashid (terbitan Pustaka Al-Ahliah -1962), menyebutkan ‘Siti’ bererti tuan (perempuan) yang layak digelarkan kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah negeri.”

Bila sebut sahaja Cik Siti Wan Kembang, orang pasti kaitkan dengan Kelantan, hingga menjadi nama timangan negeri berkenaan selain dari Serambi Makkah. Cik Siti adalah raja ke 6 yang diwariskan oleh ayahnya, adalah dari keturunan Iskandar Shah. Ayahnya ialah Sultan Ahmad (1548-1580) dan bondanya ialah Cik Banun.

Dalam usia empat tahun, Cik Siti Wan Kembang kehilangan kasih sayang ayahnya yang mangkat, menyebabkan pucuk pemerintahan Kelantan diserahkan kepada Raja Husain, sepupu Cik Banun (berasal dari Johor) dengan gelaran Sultan Husain Pemangku Raja (1580-1610). Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan mulai 1610-1677. selama 67 tahun. (Sumber :’Detik-Detik Sejarah Kelantan’, Sa'ad Shukri bin Haji Muda, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1971)


Beliau yang tidak pernah berkahwin, dalam usia 30 tahun telah dilantik sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin. Beliau bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya ditukar nama sebagai Gunung Chinta Wangsa, terletak kira-kira 40 kilometer di tenggara Kuala Krai. Nama gunung itu kekal hingga kini.

“Beliau adalah seorang Muslimah pertama perintah Kelantan, yang hebat lagi bijaksana.” Sambung Ustaz Tuan Junuh lagi.

“Kenapa Ustaz kata begitu?”

“Saya beri 2 sebab.” Terang Ustaz Tuan Junuh lagi. “Pertama, sepanjang pemerintahannya, ramai pedagang dari luar negara, terutama Arab dan China datang berdagang di negerinya membuatkan nama Cik Siti Wan Kembang jadi terkenal dan harum semerbak keluar negara waktu itu. Maknanya beliau terkenal kerana pandai membangunkan ekonomi negara. Kedua, walaupun muslimah yang memerintah, namun tidak nampakpun kelemahan-kelemahan yang menjolok, dan beliau berjaya mengatasi beberapa masalah…”

“Apa masalah yang diatasinya?” Tanya sahabat saya yang seorang lagi.

“Bukti masalahnya .. bila bimbangkan pemerintahan di Gunung Chinta Wangsa mungkin diserang, beliau merancang pembinaan sebuah kota pentadbiran baru supaya tidak hanya bergantung kepada satu pusat pemerintahan saja.. Dua pusat pemerintahan, itulah strategi politiknya..”

Menurut Ustaz Tuan Junuh lagi, dalam mencari kawasan baru itu, beliau sampai ke hutan yang dipenuhi pokok tegayong. “Di situ, beliau membuka Kota Tegayong, bagaikan kebijaksanaan Parameswara memilih tempat membuka kota Melaka dulu.”

Di kota pentadbiran baru itu, beliau membina sebuah taman rekriasi dinamakan ‘Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong’. Kini terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh. Semasa pemerintahannya, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti (1638M /1046H). Setelah Raja Sakti mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja (1649M).

Baginda dianugerahkan 2 cahaya mata iaitu seorang putera, (dinamakan Raja Sakti juga) yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadung. “Satu lagi kehebatan pentadbiran Cik Siti, di mana beliau berjaya menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Loyor di Jembal, melalui pengambilan Puteri Saadung sebagai anak angkatnya yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.”

“Tetapi kenapa pula Cik Siti tak kahwin-kahwin??” Sahabat saya tadi bertanya lagi. “Nak ikut macam Rabiah Adawiyah seorang sufiah di tanah Arab dulu ke?”

Rabiah binti Ismail Al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Rabiah menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan: “Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.” Itu kisah seorang Muslimah sufiah.

“Sebenarnya memang ramai raja atau putera-putera raja yang nak kahwin dengan Cik Siti kerana beliau amat cantik. Tetapi peminangan mereka itu tetap ditolak .. alasannya ‘tidak terlintas dihatinya untuk bersuami’. Akhirnya, lama kelamaan keadaan ini menyebabkan beliau merasa sunyi, seolah-olah hidup bersendirian.” Kata Ustaz itu lagi.

Menurut versi yang satu lagi, pada suatu hari apabila Cik Siti melihat ratu kecil Puteri Saadung ketika mengadap Raja Loyor di Jembal, timbul hasrat beliau untuk mengambil puteri anak raja tersebut sebagai anak angkatnya. Setelah berunding, akhirnya dengan kerelaan, Raja Loyor dan permaisurinya sanggup menyerahkan Puteri Saadung untuk dijaga atau dididik oleh Cik Siti Wan Kembang.

“Khabarnya, cerita Puteri Saadung pun menarik juga!?” Sampuk kawan saya itu lagi.

“Panjang ceritanya…” Kata Ustaz Tuan Junuh. Puteri Saadung adalah seorang gadis ayu serta cantik dan digelar penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Kecantikan Puteri Saadung itu menyebabkan Maharaja Siam menghantar utusan meminangnya, tetapi ditolak Cik Siti Wan Kembang. Bimbang timbul masalah, Cik Siti kahwinkan Puteri Saadung dengan Raja Abdullah (sepupunya) dari Jembal sebelum dimahkotakan di Kota Tegayong dan kemudian berpindah ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Sejarah Cik Siti Wan Kembang berakhir apabila beliau melantik Raja Abdullah dan Puteri Saadung sebagai muslimah kedua pemerintah Kelantan. Selepas pelantikan itu, Cik Siti Wan Kembang kembali semula ke Gunong Chinta Wangsa, kota pemerintahan awalnya.. Akhirnya, kisahnya tidak diketahui lagi.


Ustaz Tuan Junoh menyambung. “Seterusnya, penglima tentera Siam bernama Phraya Decho telah menculik Puteri Saadung dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688). Namun kerana kesetiaannya pada suaminya, dirinya diusahakan supaya tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Akhirnya, Puteri Saadung berjaya kembali ke Kelantan. Tetapi malangnya bila bertemu suaminya Raja Abdullah itu, berlaku pula pergaduhan dan tuduh menuduh. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadung.”

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadung telah melantik Raja Abdul Rahim (saudara raja Abdullah) menjadi Sultan di Kota Mahligai (1671M) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah (anak Penghulu Ngah Jembal). Selepas itu Puteri Saadung menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.

“Khabarnya lambang seekor kijang kerajaan Negeri Kelantan ada kaitan dengan Cik Siti?”

“Ya! Bila nama Cik Siti Wan Kembang mula terkenal, rakyatnya yang mendiami Gunung Ayam (berhampiran Sungai Nenggiri, kini Hulu Kelantan), membawa pelbagai persembahan untuk beliau. Antara persembahan itu ialah seekor anak kijang cantik yang amat dikasihinya. Kerana terlalu sayangkan kijang itu, Cik Siti Wan Kembang menerapkan lambang kijang pada wang emas negeri selain diabadikan pada sebahagian lambang kebesaran Kelantan yang kekal hingga kini.”

Tiba-tiba kereta kami terpaksa berhenti. Di depan kami pun sudah ada beberapa kereta yang senasib dengan kami. Tak boleh lalu, kerana beberapa ekor gajah sedang berehat di atas lebuhraya, mungkin untuk memanaskan badan….

“Gajah rupanya..” Kata Ustaz Tuan Junuh.

“Kalau gajah ada di kawasan ini, tentu kijang pun ada??” Tingkah kawan saya yang tadi.

“Kijang sudah ada. Tu!” Saya pula menjawab, sambil jari saya menunjuk kepada lambang kijang negeri Kelantan yang terlekat di hadapan keretanya. “Nampaknya anda lebih Kelantan dari sesetengah anak Kelantan jati…”

“Kita perlu buktikan, di mana kita sokong Kelantan (yang pernah dipimpin oleh dua muslimah, dan kini Tok Guru pula), bukan kerana asabiah negeri…” Jawabnya dengan suara yang tinggi sikit. Satu pukulan maut pada sindirgurau saya.


Wednesday, May 16, 2007

Masjid Cina: Pembongkaran Kecinaan Seorang Hang Tuah

Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


‘MANUSIA Mati Meninggalkan Nama’, ‘Nama Menunjukkan Bangsa’ dan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pepatah petitih Melayu menunjukkan, di mana bangsa itu, jiwanya ialah bahasa dan pertanda kepada sesuatu bangsa ialah nama. Nama atau jasa, itulah yang menjadi sebutan dan bahan sejarah. Mari kita lihat asal-usul Hang Tuah.

(gambar: Masjid tertua di Beijing, China)

Mula-mula kita lihat namanya…

Satu kajian dibuat dalam perbendaharaan Melayu, terutamanya dalam Kesultanan Melayu Melaka, tidak ada nama yang di awalnya sebutan ‘Hang’ pada nama-nama Melayu, seperti Hang Tuah dan 4 sahabatnya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Tetapi ‘Hang’ pada nama-nama bangsa Cina, memang ada. Contohnya, yang bermula dari Hang, Tan dan Lee. Itupun bergantung kepada suku kaum asal mereka dari wilayah-wilayah tertentu dari negeri China. Kalau nak dikatakan, ianya adalah gelaran anugerah dari Raja-raja Melayu, itupun tidak benar juga. (Nama Hang Samrin sekarang ada, tapi bukan di Malaysia).

Kenapa?

Menurut Mohd Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM (dalam kertaskerja bertajuk Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan), gelaran-gelaran yang diberi hanyalah Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Syahbandar dan Mandulika. Tiadapun gelaran ‘Hang’!

Menurut buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G.Shellabear MPH Ltd S’pore), pemergian Tun Perpatih Putih utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China, telah membawa balik Puteri Hang Li Po bersama 500 dayang-dayang. Sultan Mansur Shah telah berkahwin dengan puteri tersebut (kahwin campur) dapat putera, diberi nama Paduka Mamat. Tidak pula diberi nama Paduka ‘Hang’ Mamat.

Biasanya nama-nama dalam loghat Cina mempunyai 3 sukukata. Hang Tuah dikaitkan dengan Hang Too Ah. Hang Jebat dari Hang Jee Fatt. Hang Lekir dari Hang Lee Ker dan Hang Lekiu dari Hang Lee Kiew. Bagaimana pula dengan Hang Kasturi yang mempunyai 4 sukukata?

Terdapat 2 andaian.

Pertama, Hang Kasturi memang berbangsa Melayu, tetapi bergaul rapat dengan anakcucu dari rombongan Puteri Hang Li Po.
Kedua, memang nama sebenarnya Kasturi, tetapi ditambah ‘Hang’ oleh 4 rakankaribnya yang Cina itu, hingga menjadi sebutan kekal.

Ada lagi pendapat yang menarik, di mana dalam kertaskerja Ong Hak Ching dari Jabatan Sejarah UKM menyebutkan, Sultan Mansur Shah telah memberi tempat kediaman di Bukit Cina kepada Puteri Hang Li Po dan 500 dayang-dayangnya. Termasuk mereka yang belum Islam atau sudah Islam. Anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ yang bermakna ‘golongan yang dilindungi’.

Pada saya, mungkin dari sinilah lahirnya golongan ‘baba & nyonya Melaka’ yakni golongan Cina yang masih belum beragama Islam tetapi sudah berbudaya (berpakaian, bercakap, makan atau lain-lainnya) seperti orang Melayu, terdapat hingga ke hari ini di Melaka. Kerajaan waktu itu tidak memaksa mereka menganut agama pemerintah, menekan atau menghalau keluar dari negaranya sendiri seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara minoriti orang Islam hari ini.

Golongan seperti ini (yang belum Islam) dalam Negara Islam disebut ‘zimmi’, bermakna ‘yang dijamin’ (yakni dijamin keselamatannya oleh kerajaan Islam). Bagi golongan yang telah menganut agama Islam dan berbudaya Melayu waktu itu, mereka sudah tiada beza dengan orang Melayu dan larut dalam bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, bahkan dalam budaya Melayu pun sudah diresapi pengaruh Cina. Umpamanya istiadat payung kuning di kalangan raja Melayu, gelaran ‘biduanda Cina’, hang, silat kuntau, ukiran pagoda di masjid-masjid Melaka dan sebagainya.

Di situlah perlunya Masjid Cina atau Pusat Kebudayaan Cina, untuk kembalikan balik budaya Cina di kalangan orang Cina yang beragama Islam, atau kepada orang Cina yang baru hendak masuk Islam. Mengikut Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempertahankan pembinaan Masjid Cina,

“… senibina pun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.”

Begitupun, Masjid Cina bukan untuk orang Cina sahaja, seperti juga Masjid Melayu di Pulau Pinang dan Masjid India yang ada hampir di seluruh negara bukan digunakan oleh sesuatu bangsa sahaja. Jadi, ciri-ciri Masjid Cina perlu diluaskan perbincangannya. Konsep pembinaan dan peranaannya perlu diperjelaskan.

Seperti firman Allah SWT; ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.’ (Hujurat: 13)

Tidak timbul soal perkauman seperti yang dicanang oleh golongan yang tidak mahu pembinaan Masjid Cina. Contohnya, di bandaraya Pulau Pinang sendiri pun sudah ada Masjid Melayu, Masjid Capitan Keling, Masjid Benggali dan Masjid Pakistan, takde gaduh-gaduh pun?!

Berbalik kepada kertaskerja Ong Hak Ching lagi, terdapat 3 andaian hipotesis mengenai hal yang disebutkan tadi.

Pertama, tidak semua dari rombongan Puteri Hang Li Po itu memeluk agama Islam.
Kedua, Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew adalah keturunan Puteri Hang Li Po. (Semua nama-nama itu bermula dengan ‘Hang’.)
Ketiga, keempat-empat sahabat karib ini kemudiannya memeluk agama Islam, tetapi mengekalkan nama Cina mereka mengikut loghat Melayu.

Jadilah nama mereka seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah Melayu sekarang, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. (Kalau perkataan tuah, jebat dan kasturi ada maknanya dalam bahasa Melayu, bagaimana dengan makna lekir dan lekiu? Tandanya nama-nama ini bukan asal dari Melayu..)

Mengenai Hang Kasturi menurutnya terdapat percanggahan pendapat sejak dulu lagi. Siapa pula sebenarnya yang derhaka kepada Sultan Melaka? Pengarang ‘Sejarah Melayu’ mengatakan Hang Kasturi, sedangkan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ menyebutkan Hang Jebat.

Terdapat 3 andaian mengenainya.

Pertama, terdapat sesuatu yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh ini, sehingga tiada kata sepakat dari kedua-dua pengarang tersebut atau pakar sejarah lampau.
Kedua, pengarang ‘Sejarah Melayu’ menggunakan bahan dalam penulisannya, hanya secara mengambil pendapat lisan, dan tiada suatu penulisan terperinci, yang luas dan menyeluruh.
Ketiga, pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ nampaknya lebih formal, kerana menggunakan semacam bentuk kajian hingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara detail.

Kesimpulannya, Hang Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu. Ianya dijadikan simbol dan kemegahan Bangsa Melayu, walaupun sebenarnya beliau adalah orang Cina yang di ‘Melayu’kan. Begini asal usulnya menurut hipotesis itu…

Hang Tuah, adalah anakcucu kepada keturunan rombongan Puteri Hang Li Po berbangsa Cina, yang datang dari negeri China ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pendapat ini tidak sama dengan apa yang saya pernah sebutkan dalam tulisan pertama (Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu. iaitu “…Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po”).

Nama asalnya ialah Hang Too Ah. Tetapi setelah memeluk Islam dan berkhidmat dengan Sultan Melaka, sebutan namanya ini telah bertukar menjadi Hang Tuah. Pengislaman Hang Tuah telah mempengaruhi rakan karibnya yang 3 lagi, iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew, yang juga akhirnya masuk Islam. Mereka pula bergaul rapat dengan Kasturi, rakan sebaya yang berbangsa Melayu. Sebagai tanda persahabatan yang abadi, Kasturi pun diberi gelaran ‘Hang’, menjadi Hang Kasturi.

Mereka berlima mulai terkenal di kalangan istana apabila mereka berjaya menyelamatkan Bendahara Negeri Melaka dari serangan orang mengamuk. Mereka terkenal dengan nama-nama Melayu, walaupun mereka berempat berasal dari anakcucu Hang Li Po berbangsa Cina. Disebabkan tiada bantahan apa-apa jika dilihat dalam sejarah, maka orang Melayu waktu itu dikatakan boleh menerima orang Cina seperti saudara sebangsa mereka.

Pernah Saudara Kamal Koh, seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan berbangsa Cina bercerita kepada saya, di mana beliau dan kawan-kawannya (semuanya berbangsa Cina yang sertai PAS) pernah berjumpa seorang tokoh pembangkang Cina yang terkenal di Malaysia. Mereka bertanya pendapat mengenai kemasukan mereka dalam PAS. Jawab pemimpin Cina tersebut…

“Maaf saudara! Saya sudah terlambat. Kalau saya masih berumur seperti saudara-saudara, saya juga akan memeluk agama Islam seperti saudara. Saya berseru kepada genarasi muda Cina supaya memeluk agama Islam. Berusahalah saudara-saudara menarik mereka kepada Islam. Kerana amat sukar bagi orang Cina untuk menjadi pemimpin negara yang majoritinya orang Melayu, kecuali kalau ia beragama Islam.”

Seorang Cina Muslim akan mendapat sokongan bukan sahaja dari kalangan orang Cina, bahkan juga dari kalangan orang Melayu. Buktinya, tokoh-tokoh Cina dalam PAS yang masih muda juga boleh diterima sebagai pemimpin di kalangan orang Melayu dalam PAS. Begitu juga dalam parti yang perjuangkan kebangsaan Melayu seperti UMNO, mereka juga boleh menerima orang yang bukan Melayu tulen menjadi pemimpin utama mereka, kerana ia beragama Islam, masakan bagi orang Cina Muslim tidak boleh? Nak tukar agama memang boleh, tetapi nak tukar bangsa mana boleh?!

Pernah akhbar ‘Tras Pembangunan’ bil 1 Nov 1991 (mungkin sekarang dah takde) menyebutkan, dua tokoh sejarah dan pendidik keturunan Cina, Prof Dato’ Khoo Kay Kim dan Dr Tan Ooi Chin sepakat menyatakan di mana perkara ini adalah terlalu unik dan perlu kajian yang mendalam. Menurut mereka, kita sepatutnya menunggu hasil kajian pengkaji-pengkaji di Hong Kong mengenai sejarah kerajaan Melaka berdasarkan sumber-sumber Cina.

Saya nak tanya, nak tunggu sampai bila? Dah 16 tahun dari tarikh kenyataan tu? Apakah ada golongan yang cuba menghalang?

Kini ada pula pandangan dan kajian terbaru menyebutkan nama sebenar Hang Tuah adalah Tun Saaban, iaitu Sultan Iskandar Muda Thani, Sultan Acheh. Gelarannya di Siam (Ayuthia) disebut Narai. Lihat blog, ‘sejarahnagarakedah.blogspot.com.’

Apakah langkah-langkah yang patut diambil untuk mewujudkan sebuah Masjid Cina di Malaysia?

Kalau mereka adalah orang dalam kerajaan, mereka mesti main peranan dari dalam. Pertubuhan-pertubuhan bebas, NGO-NGO, atau pertubuhan-pertubuhan Cina Muslim, pertubuhan-pertubuhan Islam hatta pertubuhan politik pun perlu turut campur. PAS juga patut memain peranan seperti dalam tulisan saya, ‘Pilihanraya Kecil Ijok: Mampukah PAS Perintaah Malaysia? (TranungKite Online April 2007)”

Jadi, tidak semestinya Masjid Cina itu dibina dan diusahakan oleh orang Cina (seperti pertanyaan dalam tulisan ‘Masjid Cina: Hang Too Ah & Misteri Masjid Tak Siap’ yang lepas)… Kalau betul Hang Tuah orang Cina itu boleh di ‘Melayukan’, takkanlah masjid-masjid unsur kecinaan di Melaka itu tidak boleh di ‘Masjid Cina’kan???

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
16-05-2007

Saturday, May 12, 2007

Masjid Cina: Hang Too Ah & Misteri Masjid Tak Siap

Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

(gambar: Masjid Tengkera berbentuk Cina di Melaka).

HANG Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Macam Robin Hood di Eropah atau Sipitung di Indonesia. Kerana itu ada yang menganggap beliau hilang tiada kuburnya. Kini, konon kuburnya sudah dijumpai di Melaka, yang pernah saya ziarahi, dulunya disebut kubur Tok Guru, dan sekarang sudah menjadi kubur Hang Tuah.

Hang Tuah bukan saja pernah menunjukkan kehandalannya di Tanah Jawa seperti yang disebut dalam buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G. Shellabear terbitan MPH Ltd. S’pore), bahkan pernah sampai ke Venice, Itali, dalam hubungan diplomatik kerajaan Melayu Melaka di bawah Sultan Mansur Shah. (Lihat buku tulisan A.Kadir Ahamad ‘Terangnya Matahari’ terbitan DBP-KL). Hebatnya orang Melayu, sudah ke Eropah sejak abad ke15 lagi!

Saya lihat pula buku-buku di perpustakaan rumah saya. Antaranya, ‘Pengantar Sejarah Patani’ sempena mengenang 40 tahun Haji Sulung oleh Ahmad Fathy Al-Fatani (terbitan Pustaka Darussalam Kedah) ada mencatatkan, terdapat sebuah perigi yang digali oleh Hang Tuah, sewaktu beliau datang ke Patani. Perigi tersebut terletak sebelah selatan lebuhraya, di tepi jalan masuk Kampung Chembar. Pun saya pernah ke sana, tapi tiada apa-apa istimewa pada perigi itu.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi…

Setelah berbalas salam dan bertanya khabar, kawan saya itu berkata, “Saya terbaca tulisan Tuan Aji dalam laman web TranungKite mengenai Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu…”

Dia adalah orang Melayu Pattani menjadi setiausaha kepada sebuah persatuan belia Islam seluruh Thailand. Menjadi guru dan pembaca berita di radio bahagian Selatan Thai. Saya panggil dia Ustaz. Dia yang menelefon saya dari Yala.

“Ya. Betul tu! Kenapa??”

“Tuan Aji ingat tak.. Waktu aman-aman dulu (waktu sebelum berlaku pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek dan Tak Bai oleh Thaksin yang jadi Perdana Menteri Thai ketika itu), kita berpusing-pusing berkeliling dengan kereta melihat kesan-kesan sejarah perjuangan Islam dan Melayu Pattani…”

“Ya. Betul. Saya ingat.”

“Ingat tak Masjid Kerisek? Adakah masjid itu boleh dikategorikan sebagai Masjid Cina kerana dia dibina oleh seorang yang berbangsa Cina??”

“Oo!” Tak terjawab saya. Kenangan lama menghimbau kembali.

Perjalanan kereta kami melalui lebuhraya Pattani-Narathiwat, sebelah utaranya terdapat sebuah masjid yang nampak tak siap-siap, di mana arah ke barat sikit dari tempat bersejarah ‘Kubur Marhum’ dan ‘Telaga Lama’. Kereta kami membeluk ke kiri dan masuk ke kawasan berhampiran masjid itu.

Antara yang menarik cerita-cerita di Kerisek di samping kisah ‘masjid tak sudah’ ini,

terdapat juga ‘Kubur Wayang Melayu’, iaitu 2 buah kubur lama ditandai dengan 2 pasang batu nisan Acheh yang cantik, terletak di tepi sebatang jalan setapak dalam sebuah ladang nyiur atau kebun kelapa.(ditemui pada 1988, sebuahnya telah patah). Begitu juga mengenai perigi yang digali oleh Hang Tuah seperti disebutkan.

Kereta kami berhenti dan parking dekat simpang masuk ke Bendang Garam, tempat orang-orang Melayu membuat garam.

“Kenapa dengan masjid ini? Mengapa tak siap-siap? Lamakah sudah dibina??” Meloncat pertanyaan dari mulut saya.

“Masjid ini dibina agak kemudian dari Masjid Teluk Manak juga masjid bersejarah yang telah kita lawati semalam. Jika kita lihat buka-buku sejarah Pattani, seperti tulisan Ibrahim Shukri, A. Bangnara dan A.Teeuw & D.K.Wyatt, tiada kata sepakat mengenai tarikhnya dibina.” Jawabnya.

Menurutnya lagi, terdapat 3 sumber dari 3 jarak masa yang berlainan. Menariknya, dia mengutip kenyataan-kenyataan dan cerita tradisi sekitar Kerisek, Tanjung Lulok serta Tanjung Dato’, di mana nama sebenar masjid tersebut ialah Masjid Pintu Gerbang, yang dibina oleh ahli binaan berbangsa Cina. Nama lelaki Cina pembina itu ialah Lim Toh Kian atau Lim Tau Kin. Orang-orang Pattani menyebutnya dengan To’ Kian sahaja.

Mulanya beliau hanya bisnes di negeri Pattani. Tetapi apabila beliau melihat keindahan agama Islam yang dipimpin oleh raja-raja Melayu Pattani, dan rakyatnya yang hidup tenang serta damai, maka beliau memilih untuk memeluk agama Islam, serta terus membuat kesimpulan untuk tinggal tetap di sana. Menurut versi tersebut, hal ini berlaku sekitar zaman Raja Biru (1616-1624) masehi atau beberapa tahun selepasnya.

Walaupun beliau berbangsa Cina, beliau tetap ikut berbakti kepada agama dan negara tempat beliau berhijrah. Beliau ditugaskan untuk mengepalai membuat meriam-meriam kerajaan (Sila lihat buku ‘Sejarah Kerajaan Melayu Patani’ oleh Ibrahim Shukri). Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat serangan pertama Kerajaan Siam ke atas Negeri Pattani pada tahun 1603.

“Maknanya…” Saya memberi komen. “Mungkin kerajaan Pattani pada masa itu telah mempelajari dan menggunakan teknologi senjata dari Negeri China. Mungkin To’ Kian ini jadi perantaranya.. samada To’Kian agen kerajaan Pattani ke Cina atau sebaliknya..”

Kawan saya Ustaz ini bercerita lagi, “Terdapat 3 laras meriam telah disiapkan. 2 laras meriam besar bernama ‘Seri Negara’ dan ‘Seri Patani’ berukuran 3 depa, 1 hasta dan 2 inci panjang. Satu lagi bernama ‘Mahalela’ berukuran kecil 5 hasta dan 1 jengkal sahaja. Tetapi malangnya pada tahun 1785, Patani kalah dalam peperangan dengan kerajaan Siam, meriam-meriam itu dirampas dan di bawa ke Bangkok. Satu darinya jatuh di Kuala Patani sewaktu nak diangkat naik ke kapal, satu lagi hilang entah ke mana.. Dan yang bernama ‘Seri Patani’ itu dipamerkan di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan Thai di Bangkok hingga sekarang.”

“Tempat membuat dan menempa kerja-kerja menuang meriam-meriam itu kini disebut Kampung Tuang Bedil... tepi kampung saya!” Kata kawan ustaz yang sekali datang bersama-sama kami. “Kesan tapak masih boleh dilihat. Tanah sekitarnya menjadi hitam, oleh sisa-sisa tahi besi dan tembaga yang terkumpul mendak atau mendap di situ. Tidak banyak rumput tumbuh. Kalau ada masa, jom kita pergi lihat lepas ni. Nak ke??”

“Insya Allah, kalau sempat!”

Kini, Masjid Kerisek tetap tersergam kukuh di hadapan kami. Walaupun ia terbuat dari batu-batu pejal yang nampak lama dan usang. Tidak berbumbung tetap pula. Macam sengaja dibiarkan tidak siap. Mungkinkah kerajaan yang bukan Islam di sini, tidak minat untuk membantu menyiapnya? Kalaupun begitu takkanlah penduduk Islam di sini tak mampu membuat dan menyiapnya? Sedangkan masjid-masjid lain di sini boleh pula disiapkan? Apakah misteri di balik kisah ini??

Kami masuk ke masjid itu dan bersembahyang sunat. Lepas itu…

“Maaf Ustaz!” Saya masih tak puas hati lagi. “Pertanyaan saya tadi ustaz masih belum jawab-jawab. Mengapa masjid ini masih tidak siap-siap??”

“Oo.. Tadi, masih belum selesai lagi ceritanya!” Katanya. Dia mengajak kami arah ke barat masjid tersebut. Jarinya menunjukkan betul-betul di luar perkarangan masjid. Terdapat ramai pelancung Cina sedang berkerumun melihat kuil mereka. “Tuan Aji lihat tu! Di situ terdapat sebuah kuil bernama ‘Tok Pek Kong Mek’… milik bangsa Cina.”

Membuat saya lagi tercengang. Apa kena mengena kuil itu dengan Masjid Kerisek yang terletak sebelah menyebelah ini??

“To’ Kian pembina masjid ini, mempunyai seorang adik perempuan yang sangat disayanginya, tapi terpaksa ditinggalkan di negeri China. Namanya Lim Kou Niu. Beberapa lama kemudian kerana abangnya tidak pulang-pulang, adiknya merasa terpanggil dan datang ke Pattani dengan harapan yang sungguh besar. Harapan untuk mengajak abangnya pulang ke pangkal jalan, pulang ke negeri China.” Terang Ustaz itu dengan nada yang agak sedih.

Suasana menjadi hening bening seketika..

“Apa hendak dikata, adiknya tentu tidak faham, kalau seseorang itu sudah mendapat kelazatan iman dalam Islam, dan hendak kembali kepada tidak beriman, seolah-olah memaksa beliau meminum racun berbisa yang membunuh... Tak usah pujuklah, orang yang sudah menemui cahaya terang berpetunjuk, tentu tidak akan kembali sesat ke jalan gelap.”

“Kalau bertemu antara dua cinta yang tidak dapat dibelah bahagi, terpaksa pilih satu antara dua, sudah tentu beliau pilih cinta yang kekal iaitu kepada Pencipta rasa cinta itu sendiri!” Saya pula menambah perencah. Macam tambah budu kalau sedang makan nasi..

Begitu kecewa adiknya, harapan yang tinggi menggunung telah jatuh berderai berkecai relai, bagai kaca nipis dihempap batu berat. Dia terus mengambil keputusan gopoh, dengan menggantung diri di pokok ketereh (pokok gajus) di tepi Tasik Tanjung Lulok, kira-kira 2 kilometer dari situ. Kasihan! Jelas Ustaz itu lagi. Macam heroin filem Hindustan, akhirnya dia dihormati dan dimuliakan sebagai tokoh yang sanggup mati mempertahankan keyakinannya, oleh orang-orang Cina Pattani waktu itu.

Kerana terlampau cinta kepadanya, orang-orang Cina mengukir wajah Lim Kou Niu di batang ketereh tersebut untuk dipuja, disembah dan dikuilkan dalam upacara agama mereka. Malangnya, kerana kawasan itu selalu terendam dan terhakis kerana air pasang, kuil itu dipindahkan di sebelah Masjid Kerisek yang dibina oleh abangnya. Jelas Ustaz itu lagi. “Itulah kuilnya sekarang, tidak putus-putus orang-orang Cina mengunjunginya.”

Saya masih berfikir-fikir lagi. Saya masih belum dapat jawapan yang saya tanya tadi.

Ustaz itu mungkin dapat membaca riak fikir saya. Katanya, “Jawapan ini adalah sebuah teka-teki yang saya hadiahkan kepada Tuan Aji sebagai ole-ole dari Pattani… Kalau Tuan Aji masih tak dapat jawab juga, bila sampai di Malaysia sila hubungi saya lagi!!”

Lepas pulang ke Malaysia, saya terus lupa memikirnya.

Beberapa tahun kemudian hingga sebentar tadi, bila saya ingin menulis tentang Hang Tuah, sebagai lanjutan dari tulisan lepas, dan bila Ustaz itu menelefon saya mengorek balik kisah-kisah lama bersamanya, baru saya dapat jawapan tersebut. Apa jawapannya???

Tiba-tiba, telefon saya menjerit lagi.. dari Ustaz itu.

“Ooo, maaf. Talian tadi terputus sebab lama sangat duduk fikir nak jawab soalan Ustaz…”

“Takpe. Tapi sekarang baru saya ingat nak tanya, sudah ke Tuan Aji dapat jawaban teka-teki ole-ole dari Pattani yang saya hadiahkan beberapa tahun dulu? Kalau dah dapat, apa jawabnya?”

“Sudah! Ustaz cuba lihat dalam tulisan ini nanti. Bolehjadi besok akan tersiar. Ataupun lawati blog saya (ibnuhasyim.blogspot.com) terus, banyak lagi tulisan-tulisan lain di situ…”

“Bagaimana pula soalan yang saya tanya tadi mengenai Masjid Cina?”

“Saya akan simpan sebagai membalas ole-ole yang Ustaz beri pada saya dulu. Tapi tak lama sangat. Saya akan jawab dalam siri tulisan selanjutnya, sikit hari lagi!”

Sekarang baru saya terfikir mengapa Ustaz itu tidak menjawab spontan mengenai misteri Masjid Kerisek tak siap-siap yang saya tanya itu? Mungkinkah secara halus dia nak latih saya berfikir, mengikuti perkembangan semasa dan melihat kemelut Islam di sana? Mungkin juga dia tidak mahu dituduh menghasut pelancung kerana jawapan sebenarnya agak negatif?

Apa jawapan negatif itu?

Saya fakir-fikir lagi, mungkin ada golongan tertentu yang mahu pembinaan Masjid Kerisek itu tidak siap-siap, kerana hendak memberi laluan kepada berkembang, membesar dan membangunnya kuil Tok Pek Kong Mek itu. Tok pek kong yang dulunya tiada, kemudiannya ada tetapi terlalu kecil, kini sudah hampir menyamai dan menandingi masjid yang di sebelahnya.

Kisah 2 beradik, yang 1 bangsa tapi menganut 2 fahaman dan bertembung di 1 tempat. Datang 1 golongan menyokong pihak adiknya, yang menjadi lambang kekuatan kerajaan sefahamannya. Bila kekuatan yang satu lagi ingin naik juga, ianya perlu dihadang dan dihalang. Mungkin itukah penyebab berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek tempoh hari??

Kalau di peringkat antarabangsa, seperti golongan-golongan yang memusnahkan, menyekat pembangunan Negara Palestin dan jiran-jirannya, dengan membiarkan, menyokong leluasanya negara haram Israel Yahudi bangsat itu, supaya membangun menjadi kuasa besar atau samseng yang mengacau dunia hari ini.

Mungkinkah jawapan itu juga sama seperti jawapan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu apabila berlaku cubaan membongkar mengenai kecinaan seorang Hang Tuah atau nama asalnya Hang Too Ah seperti yang saya sebutkan mengenai Masjid Cina pada keluaran lepas? Mereka cuba sekat perkembangan kajian tersebut, dengan membiarkan atau membajai perkembangan asabiah kebangsaan mereka, walaupun mereka sedar perbuatan tersebut merugikan agama mereka, yaitu Islam itu sendiri??? Wallahu aklam. Ikuti siri Masjid Cina selanjutnya.

Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com e-mail: ibnuhasyim@gmail.com 13 Mei 07

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails