Sunday, August 05, 2007

Sejarah PAS 6: Bersama Kebangkitan Islam


IBNU HASYIM: FOKUS PAS SIRI 6

KEBANGKITAN Islam telah meletus bersama-sama kebangkitan PAS. Melihat peringkat awal kebangkitan PAS ini, maka difokuskan kepada dua perkara:


Pertama:


Melihat kepada latarbelakang keIslaman tokoh dan peranan individu-individu waktu penubuhan parti tersebut. Mereka adalah individu kumpulan atau parti Islam sebelum tertubuhnya Parti Islam Se Malaysia atau PAS. Yakni individu-individu perjuangan dan pergerakan PAS yang sama dengan Hizbul Muslimin atau yang sebelumnya, hatta di seluruh dunia sekalipun.


Kedua:


Dalam arus kebangkitan tersebut, berlaku proses penapisan dan pembersihan dalam wadah perjuangannya. Proses tersebut berlaku mungkin kerana ‘salah langkah’, atau ‘terpengaruh’, ataupun kerana ‘tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti’ oleh pemimpin-pemimpin dan pendukung-pendukungnya. (Walaupun sebenarnya perjuangan tersebut sudah jelas tercatat di kertas perlembagaan).

Mari kita lihat individu-individu yang hadir dalam Muktamar Penubuhan PAS di Kelab Melayu Bagan, Butterworth Seberang Prai tersebut. Jumlah kehadiranya kira-kira 200 ke 230, lelaki dan wanita, termasuk pemerhati, seperti yang dicatatkan oleh Utusan Melayu 25 November dan Warta Negara 26 November 1951.

Ustaz Uthman Hamzah dalam ‘Risalah cenderamata sempena Muktamar Agung PAS ke 38’ pada 10-12 April 1987 menyinaraikan persatuan-persatuan yang hadir:

1.Persatuan guru-guru agama, Perlis.
2.Persatuan ulama, Kedah.
3.Persatuan Anak-anak Rakyat Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
4.Kelab Darul Ehsan, Selangor.
5.Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai.
6.Persatuan al-Ehya As-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
7.Perikatan Melayu Bersatu, Seberang Perai dan Pulau Pinang.
8.Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang. Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.

Menurut Ustaz Uthman lagi, wakil Persatuan Anak-anak Kalimantan Malaya, Perak, ialah Ustaz Ahmad Azam. Ia pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang pertama, dan pernah ditugaskan ke Terengganu sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu, yang berperanan sehingga berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya kebangsaan 1959. Kini beliau tinggal di Selangor dan masih aktif dalam Persatuan Ulama Malaysia (iaitu sehingga buku ini ditulis cetakan pertama1993).

Juga turut bersama dalam Muktamar Penubuhan PAS itu ialah Ustaz Baharudin Latif. Beliau abang kepada Haji Subky Latif penulis politik tanah air yang dikenali ramai. Ustaz Baharudin dilahirkan pada tahun 1927 di Setiawan, Perak, adalah bekas penuntut Maahad Ihya Al-Syarif Gunung Semanggul. Beliau bergiat dalam politik sejak tahun 1945 di dalam PKMM, API dan GPMS (Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung), bersama-sama Allahyarham Aminuddin Baki, Tan Sri Abdullah Ayub dan Allahyarham Datuk Ali Haji Ahmad. Dalam PAS, beliau pernah memegang jawatan AJK(ahli jawatankuasa agung) antara 1956 hingga 1987.

Pernah menjadi Setiausaha Agung, Bendahari, Setiausaha dan Ketua Penerangan, pengarang suara resmi PAS ‘Bulan Bintang’ dan ‘Berita PAS’, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri Perak atas tiket PAS 1959-1964 dan 1974-1978. Pada Disember 1956, beliau adalah Naib Ketua Pemuda PAS yang menghadiahkan Al-Quran dan buku undang-undang tubuh PAS kepada Dr Burhanuddin Al-Helmi yang dipilih sebagai YDP PAS yang ke 3. (Dikatakan sebuah simbolik supaya YDP yang baru dalam PAS itu tidak lari dari perjuangan Al-Quran dan Hadith seperti yang diperjuangkan oleh PAS).Beliau masih aktif dalam PAS hingga meninggal dunia pada 11 Disember 2001.

Di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad, banyak cawangan-cawangan PAS ditubuhkan. Antaranya cawangan pertama ditubuhkan, iaitu di Butterworth, Pulau Pinang pada 9 Mac 1952. Ketuanya adalah Haji Ibrahim Aqibi. Cawangan kedua pula ditubuhkan di Kuala Kangsar, Perak, pada 10 April 1952, diketuai oleh seorang tuan guru pondok iaitu Haji Abdul Samad Noh. Diikuti pula oleh cawangan Parit Buntar , Perak pada 6 Julai 1952.

Sebelum itu, cawangan yang pertama di Perlis, ditubuhkan pada 2 Mei 1952 di Bangunan Sekolah Melayu Perempuan, Kangar. Cawangan Kuala Lumpur pula diketuai oleh Haji Mas’ud Hayati bersama 40 ahli yang hadir, ditubuhkan pada 13 Julai 1952. Sehingga Disember 1952, PAS telah berjaya menubuhkan sebanyak 16 cawangan di Tanah Melayu dan Singapura.

Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim telah menubuhkan cawangan pertama Pantai Timur Semenanjung, iaitu di Pasir Mas, Kelantan pada 23 Julai 1953. Omar Yusuf seorang saudagar getah di Pasir Mas menjadi ketua dan Amaluddin Darus sendiri menjadi Setiausahanya. Seramai 60 orang penduduk pekan tersebut menjadi ahlinya. Diikuti pula oleh cawangan kedua di Kelantan, iaitu cawangan Macang, dipimpin oleh Tuan Haji Muhammad Nor bin Haji Yusuf.

Berikut adalah dinukilkan catatan Amaluddin Darus di dalam bukunya ‘Kenapa Saya Tinggalkan PAS’ (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur, dalam usaha mengembangkan PAS di Kelantan.

‘Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek, kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi ke sana dan menemui imam, dan dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak tahu siapakah yang meminta saya bersyarah di sana. Saya pergi bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorang pun pedulikan saya.

Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan imam lalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar.

Saya meminta se cawan teh dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan kewajiban saya. Se moga ini semua tidak akan disia-siakan oleh Allah.

Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi. "Huh!” katanya, "Boleh saya tanya sikit?".

Saya merenung pemuda ini dan mempersilakan dia membuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi. Demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?"
Saya tersenyum kepadanya.

Dia mengulang lagi, "Bila PAS boleh perintah Kelantan?".

“Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi, Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi menggantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tok guru-tok guru di Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah PAS menang dan insya Allah akan memerintah negeri Kelatan ini.”

Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai itu barangkali. Beberapa hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengingatkan kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu.

Katanya, "Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai tahun 1958 saya telah menyokong PAS”

Begitulah kisah kemasukan PAS di Kelantan oleh Amaluddin Darus.

Penubuhan PAS di Kelantan sebenarnya bertitik tolak daripada pelbagai faktor. Asas berpolitik yang dibina dalam tahun-tahun 1920an oleh Datuk Perdana Menteri Haji Mahmood bin Ismail, Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusoff bin Ahmad, Haji Muhammad bin Muhammad Said dan lain-lain sangat berperanan dalam membuka hati rakyat menyambut dan menyokong parti politik yang selari dengan pemikiran mereka. Memenuhi tuntutan inilah, PAS muncul sebagai parti yang memperjuangkan ‘survival’ politik di Kelantan.( Sumber: ‘Majalah Dunia Islam’ Ogos 1991, Penerbitan Zin, Kuala Lumpur.& Alias Muhammad (1984), ‘Kelantan di Bawah PAS, Masalah Tanah dan Rasuah’, Terbitan Insular Publishing House Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.)

Sementara dalam konteks lain, Amaluddin Darus membayangkan terdapat faktor lain yang menggerakkan tokoh-tokoh tempatan menubuhkan PAS:

"Muhammad Asri, Hasan dan Abdul Rahim adalah kawan lama, dan mereka adalah pemuda-pemuda dari API atau Angkatan Pemuda Insaf. Saya berkenalan dengan Hasan dan Abdul Rahim setelah API diharamkan, di mana banyak daripada mereka di Kelantan telah ditangkap oleh British bersama-sama pemimpin-pemimpin PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Di antara pemimpin-pemimpin API itu, ada juga yang cerdik dan melarikan diri dari Kelantan. Bila Muhammad Asri kembali ke Kelantan dan bertemu dengan teman-teman se perjuangannya, mereka berbincang hebat mengenai politik. Cara berfikir, Hasan dan Abdul Rahim masih sama seperti dulu, ke kiri. Selalunya radikal dan progresif. Tetapi cara berfikir Muhammad Asri sekarang telah berubah. Beliau memandang politik nasional dengan kacamata Islam”

Walau apapun, faktor sebenar PAS cepat bertapak dan berkembang di Kelantan adalah hakikatnya kerana arus perjuangan Islam telah lama bertapak di kalangan tokoh tempatan khususnya di sekitar Kota Bharu. Pengaruh perjuangan Islam tersebut telah dibawa oleh beberapa pimpinan Masyumi Indonesia yang datang menetap dan melawat Kelantan. Di antara mereka yang dimaksudkan ialah Tamee @ Bustamin bin Ismail yang telah datang menetap di Kelantan sejak tahun 1932.

Beliau dilahirkan di Bukit Tinggi Sumatera Barat. Di Kota Bharu, beliau telah membuka perniagaan restoran menyedia menu masakan ala Sumatera. Beliau telah bersahabat baik dengan Mohd Daud bin Salleh seorang penulis petisyen bertauliah di Kota Bharu. Mohd Daud adalah seorang yang meminati dan menghayati perjuangan Islam Masyumi. Semasa PAS ditubuhkan tahun 1951, berita itu cepat sampai ke pengetahuan Bustamin dan Mohd Daud.

Mereka mendapat maklumat daripada beberapa rakan dan individu tertentu di Perak, khususnya melalui Khaidir Khatib yang asalnya dari Sumatera juga sedang mengajar agama di Maahad Ehya Al-Syariff Gunung Semanggol. Pada masa itu, Dato' Mohd Asri yang aktif dalam API telah berpindah ke Perak lebih awal untuk mengelak dari diburu oleh pihak berkuasa dan berkahwin dengan Ustazah Sakinah anak kepada Haji Joned, salah seorang guru di Ehya Al-Syariff yang berasal dari Sumatera.

Pada masa di Ehya Al-Syariff itulah Dato' Mohd Asri telah mula memahami perjuangan Islam dan kemudian bekerja dengan pejabat PAS di Kepala Batas, Seberang Prai selepas PAS ditubuhkan. Dato' Mohd Asri adalah adik ipar kepada Mohd Daud. Dengan sokongan moral dan kewangan dari Mohd Daud dan Bustamin, beberapa rakan turut sama mengadakan ceramah mengembangkan PAS di sekitar Kota Bharu. Sehingga mereka berjaya menubuhkan ranting PAS pertama di Kota Bharu dalam tahun 1952.

Di antara tokoh yang bersama-sama Mohd Daud dan Bustamin ialah Mohd Amin bin Yaakob (pembantu Mohd Daud), Ishak Lotfi bin Omar (anak tiri Mohd Daud/pegawai Majlis Agama) dan Abdul Rahman Sulong (imam di Dewan Beta)

Demikian hasil dari temubual dengan Tuan Haji Mohd Amin bin Yaakob, seorang pengasas PAS di Bachok di rumahnya pada 16 Disember 1997 dan temubual dengan Armin anak ketiga (bongsu) Bustamin bin Ismail, di restorannya di Kota Bharu pada 17 Disember 1997, restoran yang ada adalah peninggalan Bustamin yang sekarang diuruskan oleh Armin. Bustamin meninggal dunia pada tahun 1981, mempunyai tiga anak Tamerin @ Tamberin, Salmah dan Armin.

Seperti disebutkan, PAS cawangan pertama (sekarang ini dikenali sebagai PAS Kawasan) di Kelantan mula-mula sekali ditubuhkan atas usaha Amaluddin Darus, Omar bin Yusuf, Ustaz Abdullah Ahmad dan lain-lain. Medan pertama PAS ialah di Pasir Mas yang ditubuhkan secara rasmi pada 23 Julai 1953. Berteraskan perjuangan Islam, PAS berjaya menarik golongan yang benar-benar cintakan Islam seperti para ulama', ustaz-ustaz dan pelbagai lapisan masyarakat. (Alias Muhammad (1994), PAS ‘Platform: Development and Change 1951 – 1986’, Gateway Publisihing House Sdn. Bhd., Petaling Jaya. lihat juga, Amalauddin Darus.)

Melihatkan kejayaan cawangan Pasir Mas, tokoh-tokoh awal seperti Amaluddin Darus, Ahmad bin Yatim dan Mohd Noor bin Senik terus menyebarkan PAS ke seluruh negeri Kelantan dengan berbagai cara termasuklah dengan cara berbual di kedai kopi. Kesempatan berbual di kedai kopi dimanfaatkan dengan memperkenalkan dasar perjuangan PAS. (Lihat Faridah Bt Ali (1974), ‘Sejarah Awal Perkembangan PAS di Kelantan 1953-1959’, dalam JEBAT, Journal Jabatan Sejarah UKM, Bangi.

Cawangan kedua PAS ialah di Machang pada 21 September 1953 dan orang yang bertanggungjawab membawa PAS ke Machang ialah Haji Muhammad Nor bin Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Haji Mohd Nor Machang. Selepas cawangan Machang, PAS berjaya menubuhkan rantingnya di Tanah Merah dan diikuti dengan Kota Bharu dan Pasir Puteh pada tahun 1954. PAS dikatakan berkembang pesat setelah kepulangan Mohamad Asri Haji Muda dibantu oleh Ishak Lotfi Omar anak saudaranya dan Ustaz Othman Abdullah, Ketua Pemuda PAS, di samping seorang tokoh tempatan dari Pasir Puteh, Ustaz Haji Adam Kamil.

Hasilnya PAS telah berkembang sebagai cawangan di Tanah Merah (1955), Bachok (1956), Kuala Krai (1958) dan Tumpat (1959).

Banyak jasa-jasa dan pengorbananTuan Haji Ahmad Fuad yang dicurahkan kepada persatuan yang ia sama-sama bina, taja, tubuh dan sama-sama memimpinnya. Beliau telah pergi, namun perjuangan akan tetap berjalan terus. Fajar kebangkitan Islam akan tetap selalu menyinsing, walaupun kadang-kadang dilindungi oleh awan hitam yang berarak.

Boleh dibuat kesimpulan, sejak dari kegiatannya peringkat awal penubuhan penaja pada Februari 1950 di Muar, hingga tertubuhnya PAS di Kelab Melayu Bagan Butterworth Ogos 1951, dan terus mengembangkan sayap pengaruhnya dari Perlis ke Singapura, dari pantai barat ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu adalah satu kejayaan dan kemenangan yang besar.

Itulah era kabangkitan PAS pertama. Walaupun Tuan Haji Ahmad Fuad melepaskan jawatan, namun yang patah tetap akan tumbuh semula, yang hilang akan berganti. Jawatannya di pangku oleh Dr Haji Abbas Alias.


Rujukan:


1.Utusan Melayu 25 November dan Warta Negara 26 November 1951.

2.Risalah cenderamata sempena Muktamar Agung PAS ke 38.10-12 April 1987

3.Amaluddin Darus. Kenapa Saya Tinggalkan PAS (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur.

4.Alias Muhammad (1994), PAS Platform: Development and Change 1951 – 1986, Gateway Publisihing House Sdn. Bhd., Petaling Jaya.

5.Faridah Bt Ali (1974), Sejarah Awal Perkembangan PAS di Kelantan 1953-1959, dalam JEBAT, Journal Jabatan Sejarah UKM, Bangi.

Sejarah PAS 5: PAS Bebas Lepas.






IBNU HASYIM:
Fokus Sejarah PAS Siri 5


MESKI pun jelas terdapat matlamat dan tujuan PAS, tetapi pemerhati-pemerhati politik menganggap penubuhan serta pengisytiharan PAS sebagai sebuah parti politik baru masih tidak mempunyai alasan kukuh bagi kewujudannya. Tetapi apa yang jelas, tokoh-tokoh MATA dan Hizbul Muslimin tetap bersama-sama, sentiasa mengawasi dan mempengaruhinya (Lihat A.K.Hidayat-PAS 1551-1991 Tercabar-Mencabar. Terbitan GG Edar KL ).


PAS juga menyatakan, ia merupakan sebuah pertubuhan yang bebas dari pengaruh mana-mana parti politik, terutamanya selepas dua persidangan politik penting yang telah di adakan di Malaya.


Persidangan tersebut ialah:

1.Persidangan yang dikenali sebagai National Conference yang dibuat kesimpulan untuk terus tidak dihadiri oleh PAS. National Conference adalah tajaan dan gagasan yang diketuai Datuk Onn Jaafar bersama 7 orang Menteri Besar yang berkrisis dan berpecah dengan UMNO. Lantas beliau menubuhkan parti baru, Parti Negara dan meninggalkan UMNO. Parti Negara nama asalnya ialah Parti Kemerdekaan Malaya atau Independence of Malaya Party (IMP) yang ditubuhkan pada bulan September 1951.


Dikatakan, elemen-elemen Islam atau semangat Islam dalam PAS ini mula terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Di Pertua Agung pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Datuk Onn Jaafar itu, tetapi tidak diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS. Ramai yang berpendapat, Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Datuk Onn yang juga merupakan rakan karib beliau.

2.Persidangan yang disebut National Convention, walaupun dihadiri oleh PAS tetapi berlaku kekecuhan dan perselisihan. Wakil PAS keluar majlis dan terus tidak mengikuti pada hari-hari berikutnya hingga selesai. National Convention adalah tajaaan Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman, yang mengambil alih kepimpinan UMNO peninggalan Datuk Onn. Haji Ahmad Badawi (ayah kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang) adalah penyokongnya.


National Convention dianjurkan oleh UMNO-MCA atau Parti Perikatan yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman. MCA adalah singkatan dari Malayan Chinese Associotian yang asalnya adalah badan kebajikan orang-orang Cina. Ia diberi kuasa politik oleh UMNO yang akhirnya memiliki kuasa politik penentu dan penggugat politik negara di masa-masa mendatang. UMNO-MCA telah menubuhkan Perikatan pada tahun 1952. Gabungan tersebut disertai MIC atau Malayan Indian Congress sebelum pilihan raya 1959. National Convention bersidang pada 11 Oktober 1953 dihadiri oleh 2 wakil PAS, iaitu Muhammad Hanif dan Muhammad Asri. Persidangan itu meluluskan lapuran jawatan kuasa kecil pilihanraya, perlembagaan dan pilihan raya federal 1954.


Dalam persidangan yang dihadiri PAS (National Convention) itu, PAS membantah dasar Jus Soli. Jus Soli adalah satu dasar meluluskan sebarang bangsa asing yang dilahirkan di Malaya menjadi pengundi dalam pilihan raya, atau sebarang bangsa asing yang tidak lahir di Malaya, tetapi tinggal di Malaya selama 5 tahun.


Dikatakan juga:


"Persidangan ini memperlihatkan pertentangan dan perbedaan yang nyata antara PAS dan UMNO. Terutama dalam masalah hak mengundi. Muhammad Hanif tidak bersetuju dengan langkah pemperluaskan kelayakan hak mengundi. Menurutnya, rakyat bukan warganegara federal tidak boleh dijamin kesetiaannya. Hak mengundi hendaklah diberikan kepada rakyat raja-raja Melayu dan warganegara persekutuan sahaja.


Dr Ismail dari UMNO menjawab, bahawa jika hendak menjadikan negara ini demokratik, maka pertama sekali yang mesti dilakukan, ialah memberikan hak-hak demokrasi itu. Kerana perbedaan ini, PAS tidak lagi menghantar wakilnya dalam sessi berikut yaang diadakan pada 14 Januari 1954 (kira-kira 3 bulan selepasnya)."

PAS juga membantah kerana adanya wakil-wakil lombong dan ladang getah menghadiri National Convention itu. Kerana itu PAS juga mencadangkan supaya dikhaskan untuk wakil-wakil penanam padi, bukan kerana petani-petani itu orang Melayu, tetapi kerana bidang pertanian itu penting dan patut dikembangkan untuk kepentingan negara. Namun PAS juga menyokong beberapa isu untuk kebajikan rakyat seperti mendesak pilihan raya umum diadakan cepat pada tahun 1954.


Detik-detik ini juga membuktikan PAS sudah lepas bebas dari pengaruh mana-mana parti politik. Tidak berpihak pada Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman atau Parti Negara pimpinan Datuk Onn. PAS tidak mahu individu-individu tertentu cuba menarik PAS menyokong parti-parti tertentu.


Contohnya, seperti yang berlaku kepada Yang Di Pertua Agungnya Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan sendiri. Beliau terpaksa melepaskan jawatannya, keluar dari PAS untuk bersama-sama Datuk Onn, dalam satu Perhimpunan Khas pada 26 September 1953 (Ada kalangan menyebutkan pada 23 September 1953) di Tanah Liat Bukit Mertajam, Seberang Prai.


Pada hal baru sebulan lalu 600 ahli PAS telah memberi mandat baru kepada beliau untuk terus memimpin PAS dalam Muktamar Agung PAS ke 2, yang berlangsung pada 26 Ogos 1953 di Madrasatul Ulum, Bagan Datuk, Perak. Begitu juga dalam Muktamar Agung PAS ke 1, yang diadakan setahun sebelumnya, di Madrasah Ad-Dairat Al-Maarif, Kepala Batas, Pulau Pinang. Seramai 20 orang AJK eksekutif dan 20 orang dari 11 buah cawangan telah memperbaharui mandat kepada beliau.

Menurut Amaludin Darus yang hadir dalam Perhimpunan Khas di Tanah Liat tersebut:
“Cadangan PAS Pasir Mas yang saya sendiri mewakilinya, telah menyebabkan PAS mengambil satu sikap menyokong National Convention, tetapi tidak terikat kepadanya sekiranya langkah-langkah National Convention itu pada pendapat PAS akan merugikan orang Melayu dan Islam.”

Di sana dengan lantang Ustaz Amaludin Darus berkata:


“Kita hendaklah tegak untuk meminpin manusia dan bukan untuk membonceng sesiapa pun jua. Sesungguhnya saya telah melakukan sesuatu bagi mengekalkan PAS sebagai sebuah organisasi Muslimin di negara kita untuk bebas dan berdikiri, yang mana berikutan dengan peristiwa inilah saya telah mencadangkan supaya undang-undang tubuh PAS dipinda bagi menentukan tidak ada orang yang menjadi anggota parti politik lain, dibolehkan untuk dipilih sebagai ahli jawatan kuasa agung PAS dan pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan PAS.”

Pindaan ini telahpun diterima di dalam Muktamr Agung Ke 3 berikutnya.


Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS seperti yang disebutkan, sekali lagi menunjukkan kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud, walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah. Kesedaran Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS, walaupun sepanjang sejarah perjuangannya ramai di kalangan pemimpin atasnya meninggalkan parti, namun parti terus hidup, malah lebih kental dan subur.

Di sebalik perselisihan dan perbedaan pendapat dalam PAS itu, rupanya ada kebaikan-kebaikan yang tersembunyi. Proses pembersihan dari taksub atau fanatik kepada seseorang pemimpin yang rapat dengannya, sehingga membelakangkan kebenaran dan keadilan Islam telah berlaku. Proses pengikisan sifat-sifat asabiah dalam ertikata bantu membantu atau sokong-menyokong sesama kaum sendiri dalam perkara mungkar dan kezaliman dalam jamaah Islam sudah bermula.

Kekotoran asabiah yang membaluti tubuh perjuangan Islam sudah terhakis dan dikikis, tanda kekilatan cahaya wadah Islam akan mula terpancar. Tandanya PAS kini sudah lepas bebas tidak lagi dibelenggu oleh mana-mana individu dan organisasi. Tandanya lagi, kebangkitan Islam telah bersama-sama kebangkitan PAS, kerana PAS adalah wadah Islam. Kebangkitan PAS adalah kebangkitan kebebasan dan kebangkitan Islam.


Rujukan:


1.Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.

2. A.K.Hidayat-PAS 1551-1991 Tercabar-Mencabar. Terbitan GG Edar KL

3.Risalah & buku-buku kecil terbitan Jabatan Penerangan PAS Pusat sekitar 80an dan 90an..




Monday, July 30, 2007

Jangan Me'Melayu'kan Orang Asli..


Hasil carian imej untuk ORANG ASLI MALAYSIA


CATATAN SANTAI IBNU HASYIM
NAMANYA Hussein dan adiknya Hassan, macam cucu Nabi, katanya. Tapi beliau masih belum beragama Islam, walaupun kini sudah berumur kira-kira 56 tahun, dan memangku jawatan Tok Batin di Kampung Orang Asli Bukit Kala, Gombak Selangor. Kampung terdiri dari 2,500 orang penduduk 30% beragama Islam, 10% Kristian dan bakinya 60% lagi beragama ajaran nenek moyang orang Asli, iaitu ‘Anamisme’, atau disebut juga belum beragama..


NAMANYA Hussein dan adiknya Hassan, macam cucu Nabi, katanya. Tapi beliau masih belum beragama Islam, walaupun kini sudah berumur kira-kira 56 tahun, dan memangku jawatan Tok Batin di Kampung Orang Asli Bukit Kala, Gombak Selangor. Kampung terdiri dari 2,500 orang penduduk 30% beragama Islam, 10% Kristian dan bakinya 60% lagi beragama ajaran nenek moyang orang Asli, iaitu ‘Anamisme’, atau disebut juga belum beragama..

“Walaupun nama encik Hussein bin Ngah Yin, macam nama cucu Nabi orang Islam tetapi encik masih belum menganut Islam? Bagaimana boleh jadi begitu?” Saya pernah tanya beliau sebelum ini.

“Bila kami (orang Asli) nak daftarkan anak kami di pejabat pendaftaran, orang pejabat itu cadangkan guna perkataan ‘bin atau binti’, walaupun kami bukan Islam. Orang kami pun memang suka nama yang digunakan oleh orang Melayu. Jadi orang kami pun pakai nama-nama Islam yang dipakai oleh orang-orang Melayu. Tak ada masalah!” Kata Hussein, berasal dari Kampung Orang Asli Ulu Chen Nien, Lasah Sungai Siput Utara, Perak, negeri tempat nama beliau didaftarkan. Isterinya bernama Ameh bt Amar dan mereka mempunyai 7 orang anak.

“Apa pandangan encik atau kaum encik mengenai agama selain dari agama nenek moyang encik sekarang? Tak kira le, Kristian ke, Islam ke..”

“Mengenai orang Asli yang beragama Kristian, mereka masuk Kristian kerana kebijaksanaan dan keupayaan penyampai mempersembahnya.. Itu saja. Tapi bila orang-orang kampung tanya pendapat aku, aku cadangkan supaya mereka pilih Islam, kerana Islam adalah agama rasmi negara, dan kebudayaan orang Asli lebih dekat dengan kebudayaan orang Melayu yang beragama Islam. Cuma aku tak setuju me‘Melayu’kan orang Asli melalui agama Islam.”

“Memelayukan orang Asli?”

“Kami tak mahu bangsa kami larut dalam bangsa Melayu, walaupun kita sama-sama bumiputera. Bahkan kami lebih lagi, dua kali bumiputera.. dan rupa paras pun hampir sama!!” Jawabnya sambil tertawa.

“Ada lagi ke masalah mengenai agama Islam??”

“Satu lagi masalah, penyampai-penyampai Islam menerangkan agama Islam dalam bahasa yang susah nak faham, walaupun mereka tu baik-baik belaka. Misalnya. Semasa saya naik teksi pergi ke Selayang, pemandu teksi itu menceritakan kisah dakwah kepada orang Asli. Orang Asli bertanya kepada seorang penceramah mengenai ‘ada’nya Tuhan. Penceramah itu jawab, ‘Tuhan itu wajib ada, mustahil tiada dan tidak menyerupai segala sesuatu denganNya’.

Orang Asli yang dengar jawapan itu makin tak faham, makin berbelit-belit... Dia akhirnya tanya lagi, ‘Ustaz, cakap betul-betul ustaz! Tuhan itu ade ke takde??’ Itulah contohnya.”

Beliau meneruskan katanya, “Memang ada orang-orang dari pejabat agama datang. Tapi mereka cuma datang mengIslamkan orang yang nak masuk Islam. Lepas masuk Islam, dah tak dengar berita lagi. Mana kelas fardhu ainnya, mana kelas muqaddamnya, mana buku-buku agama yang nak dibaca, mana ustaz-ustaz yang mengajar di kampung ini?? Kami juga ingin anak-anak kami masuk musabaqah baca Al-Qur’an..

Di kampung kami sekarang terdapat 42 orang ibu tunggal yang perlukan pembelaan. Mereka perlukan bimbingan untuk bangun dan maju dalam serba segi. Kami perlukan kursus-kursus motivasi dan bantuan khidmat nasihat untuk menjadi usahawan. Kami perlukan kelas-kelas pengajian agama, atau bantuan lanjutkan pelajaran walaupun keluar negara. Juga kami perlu apa-apa saranan dari perbagai pihak seperti jabatan agama, kementerian wanita, usahawan, badan-badan berkanun dan lain-lain yang dirasakan perlu..”

Mungkin itulah sebabnya, bila saya tanya mengenai kegiatan Islam (seperti dalam tulisan sebelum ini ‘Lelaki Asli, Tiup Seruling Dengan Hidung’ lihat ibnuhasyim. blogspot.com atau Tranungkite.Net 27-07-07), beliau macam melenting, nak luahkan sesuatu tentang JAIS dan JAKIM, nak minta tolong tuliskan dalam internet mengenai hal ini.

Akhirnya saya terus berbincang dengan beliau dan sama-sama membuat rumusan dan cadangan ringkas kepada pihak bertanggung jawab seperti JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

Draf Cadangan: Percepatkan Orang Asli Masuk Agama Islam.

Kami melihat perkembangan orang-orang Asli Malaysia lebih menjurus dan meminati agama Islam.. Juga di kawasan ini seolah-olah menjadi kawasan contoh atau pusat tumpuan bagi orang-orang Asli di seluruh Malaysia lebih-lebih lagi di bidang kesihatan..
Maka saya sebagai sebahagian dari orang Asli Malaysia, mewakili Kampung Orang Asli Bukit Kala, Gombak Selangor dan kampung-kampung sekitarnya, memohon jasa baik jabatan yang berkaitan dengan Agama Islam di Malaysia seperti JAIS, JAKIM dan lain-lain atau badan kebajikan seperti ABIM, PERKIM dan lain-lain, supaya memberi perhatian lebih berat serta mengambil tindakan sewajarnya kepada kami.

Antaranya:


i.Mengadakan kursus pemahaman Islam secara teori dan praktikal di tempat kami yang masih belum Islam dan yang telah Islam secara berterusan samada setiap minggu atau bulan seperti pelajaran muqaddam, pertandingan membaca Al-Qur’an, belajar bahasa Arab, dan ilmu-ilmu Islam yang lain.
ii.Memilih dan menghantar anak-anak kami berkursus di dalam dan di luar negara dengan percuma samada di bidang agama atau lain-lain yang bersesuaian dengan kehendak Islam, samada bidang agama, ekonomi, usahawan dan lain-lain.
iii.Mengagihkan wang zakat kepada orang-orang Asli yang layak menerimanya (8 kumpulan yang layak menerima zakat seperti fakir, miskin, muallaf, musafir, jihad sabilillah, orang berhutang, amil dan sebagainya yang terdapat di kalangan orang-orang Asli) atau memberi kursus-kursus haji kepada layak dan meminatinya.
iv.Projek anak angkat di kalangan anak-anak orang Asli.
Itulah antara cadangan-cadangan dan program-program yang boleh mempercepatkan supaya orang-orang Asli memilih agama Islam, yang menjadi Agama Rasmi bagi negara ini. Kita boleh sama-sama perincikan lagi program-program tersebut dari masa ke masa.


Cadangan asal oleh Hussein bin Ngah Yin, pemangku Tok Batin Bukit Kala.
Alamat: Kampung Orang Asli Bukit Kala, Kilometer 24, Gombak, Selangor.
Dipanjangkan oleh Ibnu Hasyim.

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

Friday, July 27, 2007

Lelaki Asli. Tiup Seruling Dengan Hidung



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


DIA, nun jauh nampak sedang turun dari curaman Bukit Kala Gombak kawasan perumahannya, melintasi sungai melalui jambatan sementara, kerana jambatan baru sedang dibina. Di kiri kanan jambatan itu, ramai anak-anak mereka sedang bermain-main, bermandi air sungai jernih separas dada, bertelanjang bulat melengging tak kira lelaki atau perempuan. Anak-anak ikan seluang berlarian di air, terkejut dengan ledakan terjunan mereka ke dalam air sungai.

Dia terus melangkah longgokan pakaian kanak-kanak itu di tengah jambatan, antaranya termasuk pakaian sekolah, kerana ada yang baru pulang dari sekolah, tidak terus ke rumah tetapi singgah mandi-manda dulu. Di tangannya, ada sebuah bakul berisi beberapa biji durian yang dikutip pagi itu, juga ada bakul galas di belakang berisi kulit-kulit kayu untuk dibuat pakaian. Dia menuju ke sebuah rumah pondok yang bumbung dan dindingnya dari daun-daun atau batang kayu hutan melambangkan rumah tradisional mereka.

Rumah pusat kebudayaan Orang Asli yang sedang dibina sempena perasmian oleh wakil-wakil kerajaaan baru-baru ini. Terdapat di Kilometer 24, jalan lama ke Pahang dari Gombak.

“Cik, banyak durian hari ni?” Sapa saya yang pergi menemuinya. Saya, yang kebetulan sedang menunggu Tok Batin (sebenarnya pemangku) yang telah pergi ke Kuala Lumpur belum balik-balik lagi.

“Ada le sikit-sikit, takat nak makan tu..” Jawabnya sambil mempelawa saya makan. Bila saya menolak dia mula meneruskan kerja-kerjanya.

Di lantai tinggi dalam pondok itu terdapat banyak barangan kraf tangan orang Asli. Ada sumpit, contoh kain dibuat dari kayu, barangan anyaman dari mengkuang, bakul, bubu, simpal dibuat dari belahan rotan, barangan dari buluh seperti serunai dan banyak lagi, kebanyakannya dibuat sendiri oleh penduduk kampung orang Asli tersebut, terutamanya ibu tunggal.

“Inilah kerja harian aku, sambil tolong-tolong orang kampong jual barang ini. Aku tak makan gaji. Tapi, aku ada dijemput main muzik di hotel-hotel dan pusat kebudayaan orang asli.” Katanya selamba saja.

“Muzik? Muzik apa? Tentu ada istemewanya. Kalau tidak, takkan hotel nak jemput?”

“Ya le. Untuk dapat layanan istimewa, mesti buat sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain.” Maka dia pun mengambil seruling meniupnya. “Ini lagu tradisional orang Asli sewaktu ibu-ibu mendodoikan anaknya..”
Hah! Terkejut saya. Dia meniupnya dengan hidung. Guna angin hidung, bukan dari mulut Itulah istimewanya. Agak sedap didengar juga. Katanya dengan bangga, “Aku orang Asli pertama di dunia yang meniup seruling dengan angin hidung! Dua minggu lagi aku dijemput meniupnya oleh persatuan peguam di sebuah hotel terkemuka di KL!”

Belum sempat bercerita panjang, tiba-tiba seseorang memanggil saya mengatakan Tok Batin sudah sampai, beliau menyegerakan tugasnya kerana saya sedang menunggu. “Jom kita pergi ke rumah Tok Batin yang satu lagi di hujung sana (beberapa kilometer lagi arah ke Pahang).Nak jamu encik makan durian!” Katanya.

Kereta kami terus berlalu bersamanya. Akhirnya, masuk sebelah kiri menuruni lembah dalam bersebelahan jalan lama Gombak-Bentong itu. Menuju rumah Tok Batin yang satu lagi.

“Tok Batin mana?” Tanya Tok Batin setelah kami sampai ke muka pintu rumahnya.

“Tok Batin pergi ke kebun kutip durian!” Jawab isteri Tok Batin yang satu lagi itu.

“Buka la durian-durian yang ada tu, tamu kita ni nak makan!” Kata Tok Batin. Arahan yang mungkin sudah biasa bagi mereka. “Aku datang ni nak bagi tahu suruh siap kira-kira 40 biji durian cantik-cantik nak hantar ke bos kita orang kerajaan? Aku nak beli…”

“Buat apa bagi kepada wakil rakyat tu? Rumah kami ni dah dekat 50 tahun merdeka pun tak dapat letrik lagi, walaupun duduk sebelah jalan raya..” Kata isteri Tok Batin dengan lantang. Macam mengugut. Tapi dia terus menghidangkan durian kepada kami. “Ingat, kali ini kami tak mahu keluar mengundi lagi…”

“Jangan macam tu. Kita minta rumah-rumah PPRT pun dapat.” Sambil menunjuknya berhampiran rumah itu. “Kita minta baharui surau kampong ni pun dapat. Ni kita nak minta letrik pula, kita bagi la sesuatu yang istimewa kepada orang yang boleh tolong kita. Tapi bukan kepada wakil rakyat sini, dia tak pernah jenguk kita pun!” Jelas Tok Batin lagi.

Walaupun Tok Batin yang bersama kami ini masih pemangku, tetapi beliau menguasai sebuah kampung yang besar. Kira-kira 2,500 orang, tinggal di Bukit Kala yang seluas 10 ekar. Terdiri dari 474 keluarga dan berbagai etnik, berbanding dengan kampong ini yang cuma kira-kira puluhan keluarga. Kalau dipilih jadi Tok Batin pun, beliau Tok Batin gred A, kerana pentadbirannya luas.

Sebenarnya, Orang Asli terdiri dari 18 etnik. Di bahagikan kepada tiga kumpulan besar. Iaitu kumpulan Senoi, Melayu Asli dan Negrito. Kumpulan Senoi contohnya, terdapat enam etnik di bawahnya, seperti Timia, Semei, Jahut, Mahmeri, Che Wong dan Smoqberi. Begitu juga 12 etnik dalam dua kumpulan lagi.

“Untuk dapat layanan istimewa, mesti beri sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain.” Jelas Tok Batin lagi. Mungkin itu sebabnya beliau pilih durian yang cantik dan istimewa untuk dihadiahkan. Macam juga pemuda yang meniup seruling dengan hidung tadi, ada sesuatu yang istimewa darinya.

“Bagaimana dengan kegiatan Islam di sini?” Saya tanya.

Dia terus bangun dari duduknya dengan jari telunjuk menuding ke atas, terus berkata, “Ini satu lagi masalah.. Ada beberapa perkara yang aku nak luahkan tentang JAIS dan JAKIM (jabatan-jabatan agama Islam di Selangor atau Malaysia). Aku nak minta tolong encik tuliskan dalam internet mengenai hal ini. Bolehkan?”

“Insya Allah!!” Saya mengangguk.

Terfikir di fikiran, apakah ini juga hasil dari ‘untuk dapat layanan istimewa, mesti beri sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain’ ?? Saya sudah termakan durian istimewa mereka??
Bersambung…

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Gombak
27-07-2007.

Cadangan Terbuka Kepada Presiden PAS


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


MALAM tadi berlangsunglah Program Debat Kontemporari Siasah bertajuk, ‘Mengapa PAS Tak Dapat Undi Cina?’ anjuran PAS Kawasan Batu. Saya sebagai pendebat pertama mengemukan pandangan lebih kurang macam tulisan saya dalam ‘PAS Kuasai Ibukota 3: Patung Getah Orang Cina..’ di Tranungkite 9 Jun 2007 dan saudara Ann Wan Seng menerang keadaan realiti masyarakat Cina. Suatu yang amat menarik pada saya..

Setelah beliau menerangkan bagaimana pendekatan kita yang tak kena cara mereka, masyarakat Melayu yang ‘belum kenal betul’ masyarakat Cina dan sebagainya, maka beliau membuat rumusan, di mana masyarakat Cina sekarang sedang gelisah menunggu sesuatu penyelesain mengenai masalah ekonomi yang tak menentu dan membimbangkan kebajikan kaum mereka (walaupun pihak kerajaan kata makin baik). Menurut Ann lagi, inilah peluang terbaik untuk menangani masalah mereka, mendampingi mereka dan membuktikan sikap PAS terhadap kerja-kerja kebajikan tanpa mengira kaum.

Kini ada yang meramalkan pilihan raya umun mungkin akan diadakan antara September hingga November secepat-cepatnya. Maka pagi ini, beberapa dari kami berhimpun membincangkan apa alternatif terbaik perlu dibuat sekarang? (sila lihat juga tulisan saya ‘Negara Kebajikan: Bukan Islam Sokong PAS.. Dapat Apa?’ Tranungkite 23-06-2007). Maka lahirlah cadangan ini..

Draf Cadangan:

Sumbangan PAS sempena 50 tahun Merdeka Kepada Rakyat.
Iaitu memperluaskan Skim Insurans Takaful Kifaalah seperti yang dilaksanakan di Kelantan ke seluruh Malaysia.

1.Memberi bantuan kewangan kepada keluarga warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang meninggal dunia tidak kira agama, kaum dan bangsa di seluruh negara.
2.Bayaran RM500 kepada warisnya pada hari mati, dan baki RM2,000 lagi akan dibayar dalam tempoh 2 bulan dari tarikh kematian tersebut.


Dana yang diperlukan: RM30 juta.


Di anggarkan dana asal di Kelantan berjumlah RM3 juta. Kalau di seluruh Negara mungkin kira-kira RM30 juta. Bagaimana cara nak dapatkan?


1.Ahli PAS kini 1 juta. Kalau seorang meyumbangkan secara purata RM30, maka dapatlah RM30 juta. Untuk tidak membebankan bagi yang tak mampu, boleh bayar hingga 10 bulan, bererti sebulan RM3. Jadi secara purata satu hari cuma 10 sen sahaja!


2.Untuk mencarum dalam Takaful Insurans perlukan wang tunai, maka perlulah pinjam duit dari tokoh-tokoh korporat PAS, Harakah atau duit PAS sendiri samada Pusat, Dewan, Kawasan atau cawangan dahulu, bayar kemudian.


Masa: Sempena 50 tahun Malaysia Merdeka, selewat-lewatnya dalam bulan Ogos ini, sebelum pilihanraya atau sebelum pembentangan bajet negara. Sangat-sangat perlu disegerakan.


Tujuan:


1.Menyambut 50 tahun Merdeka tidak dengan kegiatan-kegiatan pembaziran wang, tetapi membantu mengurangkan masalah rakyat.

2.Untuk menggerakkan serentak dengan kerja-kerja pilihan raya, walaupun di tempat-tempat yang PAS tidak bertanding, kegiatan PAS akan tetap berjalan lancar, walaupun hingga lepas pilihan raya. Contohnya kerja-kerja mengisi borang bagi warga tua dan lain-lain.

3.Membuktikan kepada masyarakat bukan Islam, bahawa kegiatan-kegiatan kebajikan PAS tidak hanya kepada satu-satu kaum, agama dan negeri yang diperintah atau kawasan yang diwakilinya sahaja.


4.Buktikan PAS mampu buat kebajikan walaupun masih belum memerintah seluruh Malaysia.

Inilah pandangan dan cadangan kami yang kerdil ini, kami tujukan kepada Presiden PAS yang kami sayangi. Kalau pihak Tranungkite boleh tolong panjangkan secara terus kepada tuan Presiden dan seluruh AJK Agung PAS lagi baik. Komen-komen pelayar-pelayar laman web mengenai cadangan ini sangat-sangat dialu-alukan. Tak kira positif atau negatif. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 22-07-2007.

Wednesday, July 25, 2007

Hantu Global Di Belakang Masjid Merah



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


TELAH dianalisiskan adakah sama tragedi Masjid Lal atau Masjid Merah di Islamabad Pakistan, dengan tragedi pembunuhan di Memali Mukim Siong Baling Kedah dan siapa di belakang mereka? Sebenaranya dia adalah suatu kuasa di peringkat global, yang mendalangi setiap kegiatan berlawanan dengan kehendak dan kekuasaan Tuhan. Kuasa lawan Tuhan itu, ialah …hantu. Perkataan ‘Tuhan’ diterbalikkan jadi ‘hantu’.

Kuasa-kuasa besar sekarang (sebenarnya cuma ‘dianggap kuasa besar’ kerana kuasa Allahlah Maha Besar) yang melawan Islam semuanya adalah bernaung di bawah kuasa ‘hizbus syaitan’ ini, seperti pernah disebut oleh politikus revolusi Iran Ayatullah Khomeini (sekitar hujung 70an & awal 80an) dengan sebutan ‘syaitan besar’ atau bapa syaitan. …yang juga mengepalai barisan nasional atau internasional syaitan-syaitan sedunia.

Hal ini mengingatkan kembali kata-kata kawan saya yang menceritakan perihal kawannya sedang melaksanakan hobi mencari hantu, kira-kira dua tiga tahun lalu. Beliau seorang pensyarah sebuah universiti di utara semenanjung. Bila sebut saja di mana ada cerita-cerita seram, magik dan unsur-unsur hantu, maka dia akan sampai ke situ untuk menyempurnakan kajian dan analisis. Di Indonesia khabarnya, hingga ada skuad pemburu hantu, dan berusaha mewujudkan ‘kawasan bebas hantu’ seperti yang disiarkan dalam media dan tv-tv di sana.

Di Malaysia pun tidak kurang ada klinik-klinik penangkap hantu, yang harganya pernah menjangkau RM1,000 tiap seekor hantu upah khidmat tangkap. Percayakah anda? Anda boleh mencuba… Terutama di klinik-klinik yang ada kaitan dengan perubatan tradisional, syifa’ dan sebagainya.

“I sangat berminat dengan kisah-kisah hantu, dan I sedang membuat penyelidikan mengenainya.” Kata pensyarah tersebut. “I sekarang sedang berusaha melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Amerika yang membuat kajian tentang hantu. Kini Amerika sedang mengandaikan kemungkinan untuk menjajah dunia dengan menggunakan kuasa hantu pula!!”

Anda boleh lihat Al-Quran Surah Al-Falaq (Surah 113)Ayat 1 hinnga 5. Juga kitab-kitab tafsir muktabar yang menerangkan mengenai ilmu sihir dan hantu.

“David Copperfield pernah gemparkan dunia dengan ilmu sihirnya berjalan terus tembus merentasi Tembuk Besar Negeri China, dan pernah datang ke Malaysia.. adalah sebagai contoh ujikaji tersebut. Kini anak-anak muridnya mula bercambahan.” Jelas pensyarah itu lagi.

Saya telah cuba menghurai-rungkai kisahnya melalui sebuah novel berjudul ‘Hantu Global’ setebal 211 mukasurat cetakan 2005, dalam bahasa Malaysia. Harga RM15 termasuk pos di Malaysia. Boleh dibeli terus atau pos kepada penerbitnya: PLANET ILMU, No 63 Jalan AU3/31, Ampang Ulu Klang 54200 Kuala Lumpur.

Saya kisahkan tentang seorang anak muda yang sedang membuat kajian tentang hantu. Bermula di bekas runtuhan kondominiun yang pernah meragut banyak nyawa termasuk anak bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, di Ulu Klang Selangor, beberapa tahun lalu. Menyiasat kumpulan hantu yang merebak hingga ke KLCC, Thailand (Phuket & Bangkok) dan Indonesia. Kegiatan yang berpusatkan di Tel Aviv merangkumi operasinya ke New York, hingga India, Hongkong dan lain-lain.

Di mana dialog dan penyelesaiannya menurut agama Islam berdasarkan Al-Quran, Hadith dan pandangan-pandangan ulamak dari kitab-kitab tafsir lama dan baru. Sehingga ada seorang pembaca memberi komen ‘macam baca kitab!’…walaupun ada adengan-adengan ‘rampas kapal terbang’, tembak menembak di Airport Bangkok, serangan polis dua negara berhampiran Pulau James Bond Thailand, sekitar perkampungan Melayu di Saudi Arabia, kisah cinta dan lain-lain, berdasarkan pengalaman-pengalaman saya di luar negara.

“Apa nak heran, hantu nak guna kuasa hantu! Sekarangpun mereka sudah jadi bapa hantu, dan duduk dalam kumpulan hantu, tapi menggunakan teknologi moden.” Antara fikiran yang melayang dalam kepala otak watak utama di penghujung novel tersebut. “Tapi sejarah ilmu sihir dan menggunakan makhluk-makhluk halus hantu tidak pernah menang berlawan dengan kebenaran. Begitu juga dengan kumpulan syaitan. Yang jelas, apabila kebenaran datang, kebatilan akan sirna dan pasti akan hilang lenyap!”

Bagi golongan-golongan Hizbullah atau kumpulan Allah (lawan kepada Kumpulan Syaitan), atau kumpulan Islam atau Parti Islam di seluruh dunia pasti merasa yakin dengan kemenangan Islam tersebut. Bagi golongan-golongan Masjid Merah dan yang sepertinya, perjuangan tidak berakhir di situ. Sama dengan Taliban yang dikatakan sudah ranap hancur, Al-Qaeda yang pemimpin utamanya dikatakan sudah berkali-kali terbunuh, Iraq yang akhirnya Amerika dah nak cabut lari, Chechya yang sudah semakin semarak kegiatannya, dan Isreal yang makin tak senang duduk..

Semua kumpulan-kumpulan kebenaran pasti akan menemui kemenangan akhirnya seperti yang dijanjikan Allah SWT.
- ‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’Surah Al-Mujadalah ayat 22.
- ‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.
- ‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.
- ‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.” At-taubah ayat 32 & 33.

Kalau kumpulan Hizbullah di seluruh dunia yang akan menang, maka siapakah pula yang akan kalah, terutamanya seperti dalam pertarungan di Masjid Merah?? Itula hantu global di belakang Masjid Merah…

Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 21-07-2007.


Wednesday, July 18, 2007

Masjid Merah Berdarah, Samakah Dengan Memali?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

MASJID Lal atau Masjid Merah di Islamabad Pakistan, disebut begitu kerana bahan binaannya dibuat dari bata-bata merah. Saya pernah berada di sana pada tahun 1984. Waktu itu Pakistan di bawah pemerintahn Presiden Zia ul-Haq. Beliau dianggap cenderung kepada Islam, walaupun merupakan sekutu Amerika Syarikat. Beliau dikatakan ada hubungan dengan Maulana Abdullah, imam masjid tersebut yang bermazhab Sunnah Waljamaah.

Masjid ini dibina pada tahun 1965 mendapat naungan pegawai-pegawai tentera dan kerajaan. Sepanjang kira-kira 40 kewujudannya ia dikenali sebagai pusat ajaran Islam berbentuk radikal dan fundamental. Radikal maksud saya ialah yang mahu perubahan besar secara mengejut, dan fundamental ialah yang berpegang kepada asas asal ajaran agama secara teliti. Di dalamnya terdapat madrasah yang menampung ribuan pelajar lelaki dan wanita.

Abdul Aziz Ghazi dan Abdul Rashid Ghazi, anak-anak kepada Maulana Abdullah imam Masjid Merah yang dibunuh pada tahun-tahun 1990an mengambil-alih teraju kepimpinan ayahnya. Mereka dikatakan berpegang kuat kepada fahaman Sunni Deobandi, merujuk kepada madrasah Deoband India, yang melahirkan ramai ulama-ulama demi kebangkitan Islam sejak belum merdeka lagi. Masjid Merah terus memupuk semangat jihad dan melatih mujahidin bagi perjuangan menentang penjajahan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan dari 1979 hingga 1989. Perjuangan yang disokong oleh negara-negara barat menentang komunis, dan negara-negara dunia Islam.

Tetapi segala-galanya telah berubah setelah berlaku peristiwa 11 September 2001. Kerajaan Pakistan yang sebelumnya menyokong Taliban di Kabul telah mengubah pendirian mengisytiharkan menentang Taliban dan rangkaian Al-Qaeda. Dalam buku ‘In The Line Of Fire A Memoir Pervez Musharraf’ dicatat oleh Pervez Musharraf Presiden Pakistan sekarang, panggilan telefon dari Jeneral Collin Powell Setiusaha Negara Amerika yang memberitahu, “You are with us or again us.”

Musharraf menulis, “Saya menganggapnya sebagai kata dua.”

Menguatkan amaran itu ialah Richard Armitage, Timbalan Ketua Setiausaha Negara, “Bahawa kami mesti memilih samada memihak kepada Amerika atau para pengganas. Bahawasanya jika kami memilih pihak pengganas, maka kami mesti bersedia menghadapi kemungkinan dibom hingga ranap.”

Pada 13 September 2001, Duta Besar Amerika ke Pakistan, Wendy Chamberlain menyerahkan kepada Musharraf 7 tuntutan, antaranya: Pakistan mesti menahan anggota-anggota Al-Qeada di sempadan, mengizinkan pesawat-pesawat Amerika terbang di mana saja dan mendarat untuk segala gerakan tentera, serta membantu Amerika dalam gerakan-gerakan untuk membinasakan Osama bin Laden dan rangkaian Al-Qaeda.

Akibat dari tindakan-tindakan Musharraf selanjutnya, kepimpinan Masjid Merah mula menentang dasar kerajaan mereka, bahkan menghalalkan darah Presiden Pervez Musharraf itu sendiri. Suasana menjadi lebih buruk lagi, apabila berlaku penyiasatan pengeboman 7 Julai 2005 di London, Musharraf yang kian terdesak dan didesak oleh pihak-pihak barat terus menyerang masjid ini. Tetapi tindakannya berjaya dihalang oleh pelajar-pelajar wanita yang bersenjatakan kayu. Maka sejak setahun lalu dikatakan Masjid Merah secara terang-terang memberontak terhadap Islamabad.

Mereka dikatakan cuba buat kerajaan berasingan dengan menubuhkan Mahkamah Syariah sendiri. Pelajar-pelajarnya dikatakan melakukan pelbagai kegiatan mencabar pihak berkuasa seperti penculikan, pembunuhan dan kerosakan harta benda. Maka pada 3 Julai lalu, bermulalah pertempuran antara kedua belah pihak. Esoknya, apabila diisytiharkan pengampunan dikatakan 1,000 pelajar menyerah diri dan Abdul Aziz Ghazi yang cuba melepaskan diri telah ditangkap. Pada 5 Julai, Operasi Senyap dilancarkan, di mana Abdul Rashid Ghazi pula terbunuh bersama-sama ratusan umat Islam.

Apakah peristiwa ini sama dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali pada 19 November 1985? Di mana kerajaan pimpinan Barisan Nasional menggunakan 4,000 pasukan bersenjata menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya di rumahnya di Kampung Memali, Mukim Siong Baling Kedah, yang tidak bersenjata. Seramai 14 ahli dan penyokong PAS yang tidak berdosa gugur syahid, 8 cedera parah dan 161 orang termasuk kanak-kanak telah ditahan. Wang kebajikan PAS antara RM15,000 ke RM20,000 juga turut dirampas.

Jika diteliti balik, Musharraf bertindak atas desakan masyarakat antarabangsa dipelupori Amerika dengan lebel kempen ‘anti pengganas’ ciptaannya untuk menghapuskan musuh tradisinya iaitu agama Islam. Sedangkan kerajaan BN bertindak atas desakan Persidangan Agung UMNO beberapa kali sebelum berlaku tragedi tersebut, untuk menunjukkan kepada dunia terutamanya barat, di mana Malaysia mampu menundukkan ‘golongan pelampau agama’ di negaranya sendiri (sila rujuk buku ‘Percikan Darah Syuhada’ terbitan Jabatan Penerangan Dan Penyelidikan PAS Pusat), walaupun perkara ini berlaku sebelum 11 September 2001.

Adakah tindakan Musharraf dan BN sama, yakni hendak menunjukkan kekuatan serta kemampuan terhadap sesama Islam demi menjaga hati ‘tuan’nya yang jelas menjadi musuh kemanusiaan dan musuh Allah itu?? Mengapa Musharraf tidak sedar di mana barat menggunakan Pakistan serta mujahidin-mujahidin seperti Taliban menentang musuh mereka Kesatuan Soviet, dan bila Beruang Merah Rusia itu rebah tersungkur mereka kembali melagakan sesama umat Islam yang membantu mereka dulu? Menjadikan kerajaan-kerajaan orang Islam sebagai kuda tunggangan sahaja?

Ada pula penulis sebuah akhbar nasional menyebutkan, di mana peristiwa yang lebih dahsyat seperti ini pernah berlaku dalam sejarah Islam pada awal pemerintahan Khalifah Umayah. Disebutkan pula sebagai perang saudara di mana pemerintahan Khalifah Damsyik pernah menyerang hingga masuk ke dalam tempat ibadat di Masjidil Haram Makkah, yang tentu jauh bezanya dari Masjid Merah atau rumah Ibrahim Mahmud.... seolah-olah hendak membenarkan tindakan ganas kerajaan yang mengaku Islam sekarang.

Kita ingin tahu adakah sama pula pemerintahan awal Khalifah Umayah itu dengan kerajaan Musharraf atau kerajaan BN di Malaysia? Adakah Khalifah Umayah itu bertindak di atas desakan mana-mana kuasa besar waktu itu, seperti Musharraf yang diberi kata dua?? Bayangkan, bagaimana pula pemimpin-pemimpin Malaysia kalau berada seperti kedudukan atas bara seperti Musharraf (belum macam kedudukan Musharraf pun sudah bertindak hampir-hampir macam Musharraf)?

Belum lagi kalau dilihat dari sudut dasar pemerintahan atau perlembagaan negara, di mana dasar Khalifah Umayah mewarisi dasar pemerintahan Islam sepenuhnya Khulafa Ar-Rasyidin, sedangkan dasar sekular kerajaan Malaysia dan yang sama dengannya mewarisi undang-undang penjajah laknatullah! Islam menjadi agama ‘resmi’ atau ‘rasmi’ sebagai tempelan kepada induk perlembagaan tidak Islamik, yang membenarkan perjudian, persundalan, kilang arak dan macam-macam maksiat lagi. Samakah??

Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
18-07-2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails